Tuesday, April 30, 2013

Sagupa

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Alhamdulillah syukur ke hadrat ilahi kerana memanjangkan umur ku sehingga ke ulangtahun kelahiran yang ke sekian kalinya pada hari ini.  Terima kasih ya Allah! Terima kasih kepada yang memberi ucapan seawal 12++ tengah malam tadi. Terima kasih juga yang menghantar sms & ucapan di FB.. Terima kasih tak terhingga buat ma tersayang kerana melahirkan ku ke dunia ini.  Terima kasih ma & Al-Fatihah buat arwah ayah yang dikasihi kerana sama2 membesarkan ku sehingga menjadi seorang 'insan'.  Terima kasih buat insan2 tersayang yang awal2 dah bagi hadiah tu ye... tahun depan jangan lupa bagi lagi ye.. hehe...

Buat ma tersayang, kaklong doakan semoga ma cepat sembuh luka bekas pembedahan tempohari.  Buat pengetahuan semua.. hari Jumaat baru2 ini ma dikejarkan ke hospital setelah disahkan appendiksnya pecah.  Ya Allah syukur tak terhingga padaMu kerana ma selamat dalam pembedahan tersebut.  Sempatlah MaDiHaA menjaga ma semalaman di Hospital Segamat menggantikan tempat adik nombor 3 yang telah menunggu ma sejak dari petang Jumaat.  Adik2 yang lain bukan tak boleh nak jaga.. tapi ada anak kecik yang menyusu badan.  Isnin semalam pun ambil cuti sehari lagi untuk temankan ma setelah dibenarnkan pulang.  Alhamdulillah ma dah semakin sihat, dah boleh berjalan tanpa dipapah & dah berselera untuk makan walaupun hanya boleh makan makanan yang lembut2 sahaja.

Tak lupa MaDiHaA juga ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada semua kakitangan Wad 8 Hospital Segamat yang semuanya sangat baik hati melayan pesakit dengan senyuman yang tak pernah lekang dari bibir.  Bukan seorang dua.. tapi kesemua staffnya begitu termasuk juga doktor yang bertugas.  Tahniah & terima kasih diucapkan.  Syabas di atas khidmat bakti dari kalian walaupun hanya di wad kelas III tapi servis kalian umpama kelas I!

Oklah untuk entry hari ni.. MaDiHaA nak berkongsi resepi kuih yang popular di Kelantan & juga Terengganu.  Terengganu & Kelantan ni memang banyak kuih-muih yang ada persamaan atau sedikit persamaan seperti kuih akok, puteri mandi, nekbat, sagupa dan lain2 lagi (hanya beberapa nama saja disebut).

Oklah terus ke resepi yang ingin dikongsikan ye... Resepi ni adalah resepi cara MaDiHaA.. mungkin lain orang lain pula cara penyediaannya..




SAGUPA
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan Sagu
300 gm sagu mata halus
1 cawan air panas

Bahan Kuah
3 cawan santan sederhana pekat
1 sudu kecil halba
1 cm halia ~ dihiris memanjang
1 ulas bawang merah ~ dihiris
4 sudu besar gula (boleh lebihkan jika suka lebih manis)
½ sudu kecil garam

Bahan Inti
½ cawan kacang hijau ~ direndam semalaman
½ cawan gula




Cara menyediakan 1. Sediakan Inti : Kacang hijau direbus sehingga empok dan nampak pecah. Biarkan sehingga agak kering.
2. Masukkan gula dan kacau sehingga betul2 kering. Sejukkan sebelum dibulat2 & dileperkan.
3. Sagu dibersihkan dan toskan. Masukkan ke dalam kuali. Buka api perlahan. Siramkan dengan air panas dan kacau rata sehingga nampak kental. Tutup api & biarkan sejuk atau suam. Sementara tu.. panaskan periuk pengukus. Sapukan loyang dengan sedikit minyak.
4. Gunakan bekas plastik kecil (utk isi dadih) spt dlm gambar. Sediakan sebesen air yg bersih. Basahkan tangan serta bekas plastik kecil tadi. Ambil sesudu besar sagu masukkan ke dalam bekas plastik tadi. Tekan2 dengan jari biar rata.
5. Ambil seketul inti dan letakkan di atas sagu tadi. (rujuk gambar). Ambil sesudu besar lagi sagu dan tutup atas inti tadi. Dengan jari yg basah tekan2 & mampatkan sagu biar inti tertutup.
6. Telangkupkan kuih tadi atas tapak tangan dan susun dalam loyang yang telah disapu minyak terlebih dulu. (kuih akan mudah keluar dari bekas plastik tadi kerana bekas tersebut telah dibasahkan terlebih dulu..) Habiskan semua bahan.
7. Letakkan loyang tadi dalam periuk kukusan. Kukus sagu sehingga masak lebih kurang 15 - 20 minit.
8. Sementara itu sediakan kuahnya pula.. Masakkan santan bersama halia, halba, bawang merah, gula & garam dengan api perlahan sehingga mendidih.
9. Masukkan sagu yang telah masak (nampak jernih) ke dalam kuah & masak seketika.
10. Boleh hidang suam2 atau sejuk terpulang selera anda.

I am submitting this post to Malaysian Food Fest, Kelantan Month hosted by Gertrude@My Kitchen Snippets.


Friday, April 26, 2013

Tempahan ~ Blueberry Cake & Sandwich......... alhamdulillah...

Assalamualaikum & salam Jumaat....


Just quick update hari ni ye... jadi cuma update tempahan hari Sabtu lepas 20hb.  Alhamdulillah terima kasih ya Allah untuk rezeki mu yang tak pernah putus walaupun bukanlah berderet-deret.... hehe... kalau berderet2 nanti MaDiHaA sendiri yang tak mampu nak buat pula.. hehe.. Apa2 pun terima kasih tak terhingga kepada semua yang sudi menempah dengan MaDiHaA...



Kek Span Bluberi ni ditempah oleh Nurul Huda sempena hari lahir ibu tersayang.  



Menggunakan kek span/sponge berperisa bluberi dilapisi freshcream & blueberry filling & disalut juga dengan freshcream.  Deko bahagian luar ala-ala deko Blackforest Cake.. menggunakan maraschino cherry sebagaimana permintaan Nurul.  Tapi ini bukan kek Blackforest ye.. sebab bahagian dalam kek atau bahagian fillingnya tak menggunakan dark pitted cherry pun.. hehe... Teringat dulu masa masuk kelas Chef Anuar Deraman.. kami pernah bertanyakan dengan Chef boleh tak gantikan dark pitted cherry dengan blueberry filling kalau nak buat kek Blackforest.. Chef Anuar kata kalau ganti blueberry filling tu dah tak bolehlah guna nama Blackforest lagi sebab bahan utamanya (dark pitted cherry) dah takde dlm kek tu... Jadi kek ni MaDiHaA gunakan nama Blueberry Cake.




Ini pula 70 pek sandwich sekali lagi tempahan dari AJK masjid di taman perumahan yang pernah MaDiHaA tinggal dulu.  



Kali ni dalam setiap pek diminta letakkan 1 keping sandwich sardin & 1 keping sandwich telor.  Order yang sebelum ini mereka minta letak asing2... kali ni barulah adilkan sebab setiap orang dpt rasa kedua2 sandwich.. hehehe...

Jika ada yang nak order.. jangan segan2 hubungi MaDiHaA ye.. (nombor telefon di sebelah kanan sidebar).  Untuk tempahan sandwich berjumlah besar MaDiHaA hanya ambil tempahan untuk hari Sabtu & Ahad sahaja. Harap maklum.

Terima kasih

Thursday, April 25, 2013

Kuih Kasui / Kaswi

Assalamualaikum & salam sejahtera buat semua....



Terima kasih pada semua yang masih sudi berkunjung ke blog MaDiHaA.  Terima kasih yang tak terhingga juga pada semua follower lama & juga yang baru.  Mohon maaf sangat2 sebab kadang2 tak berkesempatan nak berkunjung balas atas faktor masa.  Kepada yang tinggalkan komen pada entry yang baru insyaAllah semuanya dah MaDiHaA baca.   Jika ada pertanyaan akan MaDiHaA usahakan untuk menjawap.  Jika ada yang tinggalkan komen pada entry-entry yang lama dengan pelbagai pertanyaan.. MaDiHaA mohon maaf sekiranya ada yang terlepas pandang.  Boleh saja smskan atau whatsApp pertanyaan anda mengenai masakan di nombor telefon yang tertera di sebelah kanan blog ni ye.



Sebenarnya MaDiHaA ada banyak lagi gambar lama dok terperap dalam folder selain dari gambar kuih kasui atau kaswi ni termasuk gambar2 sayur sempoi yang dah tak berapa nak ingat resepi sebab resepi campak2.. hehehe... lepas masak kemain ambik gambar tapi resepi malas nak catit... bila dah lama2.. terus lupa bubuh sos itu banyak mana, sos ini banyak mana... jadi gambar2 tu tak dapatlah nak publish selagi tak boleh nak ingat balik resepi yang tepat..

Oklah cerita pasal kuih kaswi yang dah sebulan dibuat ni sebenarnya sebelum dan selepas dah berkali2 di buat kat rumah tu sebab ini antara kuih paling senang nak buat & paling digemari anak2.  Tinggal lagi malas bebenor nak susun atur ambik gambar cantik2.  MaDiHaA sangat salute pada blogger2 yang sangat rajin menyusun atur masakan mereka berserta dengan prop yang sangat menarik dipandang mata.. tambah pula yang punya dslr.. hasil gambar semua kebabom!  MaDiHaA sekadar ambil gambar dari handphone saja... itu saja yang mampu setakat ni... bak kata orang.. ukur baju di badan sendiri kan.. tak kisahlah gambar tak menarik yang penting niat kita untuk berkongsi resepi untuk rujukan anak2 & mereka yang berminat dapat kita realisasikan..

Oklah jomlah layan kuih kaswi yang dibuat waktu cuti sekolah sebulan yang lalu ni... nasiblah sempat juga diposingkan beberapa keping ni.  Ini pun sempat snap gambar dah petang dah balik dari kerja.. tengok2.. hanya tinggal suku loyang je dikerjakan dek anak2 kat rumah.. hehehe... ada adjustment sikit pada resepi jika dibandingkan dengan resepi MaDiHaA sebelum ni sebab terpengaruh dengan minat kawan2 dengan resepi kaswi yang lembut.  Jika ikut selera MaDiHaA sendiri tak cerewet sangat kaswi lembut atau tidak (asal bukan keras keretong sudah! hehe) sebab sejak dari kecil lagi MaDiHaA dah biasa dengan kuih tepong kapur (kuih tradisi dari Terengganu yang ala2 kaswi juga) yang teksturnya lebih pejal berbanding kaswi.  Bezanya kuih tepong kapur biasanya dihiris nipis2 lalu digaul dengan kelapa berbanding kuih kaswi yang dipotong dengan kepingan yang lebih besar.  Tak dinafikan kuih kaswi harus lebih lembut... tapi bagi MaDiHaA kuih kaswi yang tak bergoyang inul pun tetap MaDiHaA suka tapi dengan syarat kuih kaswi wajib ada berbau kapur sirih!  Jika kaswi tanpa haruman kapur.... rasa macam tak best je... yelah dah nama pun kaswi.. air kapur adalah salah satu bahan wajib ada.



Kuih Kasui / Kaswi
Resepi MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
3 cawan tepong gandum
1 1/2 cawan gula merah (MaDiHaA nak kurangkan manis jadi letak 1 cawan je)
1/2 cawan tepong ubi
7 cawan air
2 helai daun pandan
3 sudu kecil air kapur (masukkan 1/4 cawan air dalam bekas kapur mkn & kacau2 sikit gunakan jari untuk menghasilkan air kapur yg  sederhana pekat, kemudian baru di sukat)
3 sudu besar kicap manis (untuk warna & untuk menaikkan rasa lemak)

Bahan salut
1 biji kelapa yang agak muda di parut putih
sedikit garam halus
(kukuskan kelapa sebentar untuk mengelakkan ia cepat basi)

Cara menyediakan
1. Masak gula merah bersama dengan 3 cawan air & daun pandan sehingga gula larut. Tapiskan & campurkan dengan 4 cawan air lagi.  
2. Panaskan periuk kukusan.
3. Campurkan tepong gandum dengan tepong ubi dalam satu bekas & gaulkan.  Tuangkan air gula sedikit demi sedikit sambil di kacau rata menggunakan whisker.  Campurkan air kapur & kicap & kacau sehingga tiada berbintil.  Tapiskan adunan ke dalam loyang saiz 10".
4. Kukus kuih sehingga masak lebih kurang 45 - 55 minit dengan penutup periuk kukusan dibalut dengan kain bersih. Jika ada air dipermukaan kuih, bolehlah dibuang dengan merengkan sedikit loyang & cedok dengan sudu. Boleh juga ambil tuala dapur bersih/tisu dapur & lapkan permukaan kuih.
5. Biarkan kuih betul2 sejuk sebelum dipotong & disalut dengan kelapa parut untuk hidangan pagi atau minum petang.  Kuih boleh dimasak waktu malam untuk dihidang keesokkan harinya.

Nota MaDiHaA : jika suka lebih manis.. boleh tambahkan sedikit gula pasir dalam adunan semasa membancuh. (boleh rasa sikit adunan yang dibancuh sebelum mengukus utk agak manis dah ok atau belum)  MaDiHaA tak suka manis2 sangat.



Selamat mencuba!

Wednesday, April 24, 2013

Ikan Tongkol Goreng Lada Hitam

Assalamualaikum & selamat pagi semua...


Pagi ni MaDiHaA kongsi resepi lauk pula ye.... macam dah lama je tak kongsi lauk pauk.. hehe...  Macam biasa resepi yang dah berminggu-minggu dimasak..  Inilah dia resepi adaptasi dari resepi Ayam Goreng Lada Hitam yang Yatie kongsikan tempohari.  MaDiHaA dah buat versi ayam & memang sedap ditekak kami sekeluarga.  Disebabkan berkenan sangat dengan resepi ni... kali ni MaDiHaA tukar bahan asasnya kepada ikan & dicampur dengan kacang panjang pula.. Harap Yatie tak marah ye pandai2 akak olah resepi Yatie ni & akak mintak halal ye kongsi resepi kat sini pulak. 

Resepi kali ni MaDiHaA buat agak berkuah sedikit berbanding waktu masak ayam tempohari yang agak kering.  Jadi bila berkuah.. bolehlah tambahkan sedikit garam untuk dapatkan sos yang secukup rasa. Itupun jika perlulah ye.. Jadi sebelum tambah garam.. rasalah dulu samada perlu tambah garam atau tak...
Ok kat bawah ni resepinya yang telah MaDiHaA olah sedikit...


Ikan Tongkol Goreng Lada Hitam

Adaptasi dari resepi Ayam Goreng Lada Hitam : Yatie Memories

Olahan : MaDiHaA aka Ratna


Bahan-Bahan

  • 6 keping ikan tongkol saiz besar ~ dibersihkan
  • 5 urat kacang panjang ~ dikerat pendek
  • 1 sudu kecil serbuk kunyit
  • 1 sudu kecil garam
  • minyak masak secukupnya
  • 1 1/2 sudu besar lada hitam yg dikisar kasar
  • 1 tangkai cili merah*
  • 1 tangkai cili hijau*(*potong serong)
  • Daun sup secukupnya-hiris halus (MaDiHaA tak letak)
  • 2 biji tomato- belah 4
  • 1 labu bawang besar-potong bulat


Bahan Hiris

  • 1 labu bawang besar
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci halia


Bahan Sos

  • 3 sudu besar kicap jalen manis
  • 3 sudu besar sos lada hitam
  • 2 sudu besar sos tiram (MaDiHaA tambah ini)
  • 1 cawan air
  • Garam sekiranya perlu


Cara Menyediakannya.

  1. Ikan digaul bersama serbuk kunyit dan garam.
  2. Goreng sehingga masak. Angkat, toskan minyak dan ketepikan dulu.
  3. Panaskan minyak, tumiskan bahan2 hiris sehingga sedikit layu. Masukkan bahan2 sos dan gaul rata.
  4. Masukkan lada hitam kasar, cili hijau, cili merah & air. Masukkan ikan & kacang panjang. Gaul rata.
  5. Masukkan bawang besar yg di potong bulat dan tomato. Gaul rata. Tambahkan sedikit gula dan garam jika perlu. Perasakan, sekiranya dah ok...matikan api dan bolehlah di angkan dan hidangkan.
  6. Taburkan dngn hirisan daun sup. Sedap di makan bersama nasi putih panas.

Tuesday, April 23, 2013

Tempahan apam & Resepi Chocolate Filling



Assalamualaikum & selamat petang...

Petang semalam di kawasan PJ ni hujan lebat sungguh!  Dalam perjalanan pulang dari pejabat petang semalam.. ada juga kawasan yang digenangi air sampai kenderaan tak boleh nak lalu.. nasib baiklah itu bukan laluan ku... Alhamdulillah... hujan tu rezeki yang Allah turunkan.. pokok2 semua tentu bersyukur sebab ada hujan.. 

Oklah layan dulu gambar order baru2 ni ye... 

Apam Bee ni order yang agak mengejut dari Izah untuk majlis hari jadi anaknya yang bertemakan Bee.  Pada mulanya Izah dah order dengan orang lain yang lebih dekat dengan rumahnya.  Tapi disebabkan kes ketiadaan air di kawasan tertentu di Selangor baru2 ni.. order Izah terpaksa di batalkan.  Jadi Izah kelam kabut carikan orang yang boleh buatkan apam bee ni.  Kebetulan Izah terjumpa blog MaDiHaA & teruslah dia buat tempahan.  Ikutkan Izah nak order 100... tapi aku hanya mampu buatkan 45 biji je walau pada mulanya aku janji hanya mampu buat 50 biji sebab masa tu ada order lain juga iaitu pulut kuning dari Juliana yang ku update tempohari... semalaman tak tidor malam hingga ke pagi menyiapkan order pulut kuning & apam.  Nak siapkan bahan deko tu yang makan masa sebenarnya.  Sebabnya.. malam yang sama tu juga.. en. hubby bawa kami ke Muara Port Klang makan2 seafood kat sana. Lewat malam juga baru sampai rumah.  Itupun sebelum bertolak ke P. Klang.. sempat MaDiHaA rendam dulu beras pulut.  

Memang dah lama abang sebut2 nak bawa makan kat sana.. tapi nak makan kenalah tunggu waktu kakak Dini ada.  Jadi alang2 kakak Dini cuti.. itulah masa yang dirasakan sesuai.  Tapi tak sesuai pulak bagi MaDiHaA sebab sepatutnya MaDiHaA kena siapkan tempahan.. hehehe.... Tambahan pula hari Sabtu tu.. kami semua nak bertolak balik ke Raub menghantar kakak Dini.  Jadi memang mengejar masa sikitlah.. nak siapkan order, nak kemas baju.. mana Haziq lagi ada program kat sekolahnya pagi Sabtu tu... Tapi disebabkan tak sampai hati.. aku terima jugalah tempahan Izah.. entah macamana satu adunan tu tak cukup 50 biji padahal.. biasanya memang boleh dapat 50 biji & kadang ada lebih lagi sebiji dua.  Hmmm.. macam tulah.. bila buat sesuatu dalam keadaan tergesa2.. memang hasilnya tak memuaskan hati.  Ni dah kali ke dua dah terjadi... Pada Izah akak minta maaf ye sebab hanya setakat tu yg akak mampu tolong... harap majlis hari lahir anak Izah tempohari berjalan lancar.  Sempat juga Izah sms mengucapkan terima kasih kerana aku sudi buatkan apam tu.. hehe... sama2 Izah.. akak pun mohon di halalkan juga ye apa2 yang terkurang..

Apam polkadot pula order dari Anje sebanyak 100 biji untuk majlis di pejabatnya.  Terima kasih Anje.. kali ke 3 Anje order..

OKlah.. kat bawah ni sekadar berkongsi resepi Chocolate Filling atau Inti Coklat yang MaDiHaA buat masa di rumah mertua.  Kakak Dini minta apam polkadot inti coklat kesemuanya untuk di bawa ke asrama untuk dimakan bersama kawan-kawan... alhamdulillah.. menjadi & sedap sangat.  Terima kasih Anna Qawina berkongsi resepi & t.kasih kak Nor sebab MaDiHaA ambil resepi ni dari blog kak Nor...


 
CHOCOLATE FILLING/ INTI COKLAT
sumber: Anna Qawina
sumber : K.Nor@SecubitGaram & MaDiHaA aka Ratna
 

Bahan-bahan :
250ml susu sejat
180ml air suam (kurangkan sikit sbb inti agak lembik)
125gm gula halus atau gula kastor..boleh tambah sedikit jika nak manis
60gram mentega
60gram serbuk koko
40gram tepung jagung
1 sudu teh esen vanilla

Cara-cara :
Campurkan susu,koko, air suam dan tepung jagung.Kacau
Tapis kedalam bekas berisi gula..Ana campur & blender sampai halus, terus tuang dalam bekas gula
Kacau dan pekatkan diatas api..guna api perlahan
Kacau sampai pekat
Campurkan mentega dan esen
Kacau sebati dan tutup api..sejukkan

* K.Nor lebihkan gula sbb serbuk koko yg K.Nor guna agak pahit. MaDiHaA pun tambah juga sikit lagi gula sbb inti agak tawar..


Ini hasil apam polkadot yang dibuat kat rumah mertua.  Sempat lagi tu mengapam.. hehe..  Masa ni mertua ke Kuantan.  Bahan2 apam semua import dari PJ termasuklah mixerku sekali ku angkut.. hehe.. MaDiHaA hanya bancuh saja adunan apamnya.. selebihnya.. semua kakak Dini yang buat sendiri dari mengatur cawan kertas.. paip adunan, paip inti.. buat polkadot sehinggalah ke proses mengukus... hmm.. pandai pun anak dara ibu..  MaDiHaA bukan taknak tolong.. tapi badan masa tu dah rasa exhausted sesangat dah.. mana dengan tak tidor semalaman.. berjalan jauh lagi.  Memang rasa badan dah melayang2 je waktu tu.  Tak kisahlah dia buat sendiri sebab bukan buat utk order... kalau order punya memang tak bagi dia buat pun.. hehe.. (dia nak tolong pun tak boleh kan dia dok kat asrama) Apam ni dapat anggaran 100 biji kesemuanya.. kakak Dini bawa ke asrama 80 biji dan selebihnya.. kena kebas dek adik2, ayah & ibu pun nak merasa juga apam inti coklat. Sedap! Bolehlah kawan2 mencuba ye.  Sesuai untuk inti apam, pau & juga roti.

Selamat mencuba!

Monday, April 22, 2013

Congo Bars



Assalamualaikum & selamat petang...


Lagi update gambar yang lama terperap.  Dah lama simpan resepi Congo Bars ni.  Dah ramai pun yg membuatnya satu ketika dulu.  Tapi belum tergerak hati nak mencuba.. hehe.



Baru je selepas 3 hari masuk sekolah selepas cuti penggal pertama.. dapat panggilan dari anakanda di asrama mengatakan yang kain dalamnya hilang di ampaian.  Track bottom pun hilang... haii.. sabar jelah kan.  Biasalah kalau dah tinggal di asrama.. mana2 pun sama je.. pasti berdepan dengan perkara yang sama.  Minta ibu poskan kain dalam segera sebab katanya setiap Isnin ada spot check.. sapa2 yang tak pakai kain dalam, atau anak baju... nanti kena denda.  Jadi ibu pun kelam kabutlah cari kain dalam ibu kat rumah tu untuk di poslaju. Nak cari di kedai tak sempatla kalau hari kerja. Bila tengok barang yang nak di pos.. alahaii.. ringan sangat.. alang2.. terfikir untuk hantar makanan sekali.. tp kalau nak hantar makanan.. mesti yang tahan lama.. nak buat cookies tak rajin.. jadi terfikir utk buat Congo Bars ni.  
 
Yang kelakarnya... pos hari Jumaat.. kononnya hari Isnin akan sampai.. tup2.. pagi Isnin tu juga kakak Dini telefon perihal sekolah tutup seminggu lagi sebab peristiwa histeria.  Barang yang di pos belum diterima... kakak Dini dah naik bas pulang semula ke KL... alahaiiii... memang takde rezeki kakaklah tu.  Bimbang makanan rosak sebab sekolah tutup seminggu.. terus MaDiHaA telefon pihak sekolah.. bercakap dengan kerani di sana & pesan jika ada terima parcel untuk anak MaDiHaA.. MaDiHaA minta jasa baik beliau untuk telefon mak mertua di kampong.. suruh mak mertua ambil kat sekolahnya sebab sekolah dengan rumah mertua tak jauh sangat.  Alhamdullillah... selamatlah parcel tu dibawa pulang ke rumah mak.  Dah pesan juga suruh mak buka je parcel tu & makan ajelah Congo Bars kat dalam tu... hehehehe... Begitulah ceritanya... dah tersurat agaknya Congor Bars tu nak jadi rezeki mak mertua & adik ipar di kampong.. hehehe.... Tak kisahlah tu.. janji makanan tu tak rosak begitu saja & tiada pembaziran...



Ok jom tengok resepi nya.. MaDiHaA hanya makan seketul dua je.. selebihnya di pos ke Raub... sedap layan benda ni nak pulak ada sekali nescafe panas... time perut tengah lapar.. hehe...

TQ kak Nor berkongsi resepi yang di ambil dari blog kak Ayu... asalnya dari blog Rima... kalau tak silap.. Rima pula ambil dari internet... haa... macam tu lah asal usul resepi ni lebih kurang.. tak salah kan kita memanjang2kan resepi.. yg penting.. jangan lupa link kan dari mana kita ambil resepi tersebut.. barulah sumbernya rasa diri dihargai.. hehe.. Ok Kak Nor, Kak Ayu & Rima... thanks a lot! 
 
CONGO BARS
sumber: Rima & Ayu
sumber : K.Nor@SecubitGaram

Ingredients,
2 3/4 cup all purpose flour-(315g)
2 1/2 teaspoons baking powder
1/2 teaspoon salt
2/3 cup butter, softened-(150g)
1 lb. light brown sugar(453g) - (k.nor letak 220gm ~ MaDiHaA ikut kak Nor)
3 eggs ~ (k.nor guna telur A)
1 teaspoon vanilla
11.5 ounce package milk chocolate chips(326g) - (k.nor guna choc chips ~ ikut Kak Nor tp dikurangkan sikit)
1 cup chopped pecans (optional) (MaDiHaA guna walnut)

Sift flour, baking powder and salt into a large bowl. Set aside.
Stir brown sugar into softened (not melted) butter in another large bowl until butter disappears. You can use the back of your spoon to help incorporate the two together.
Add eggs one at a time to butter mixture and stir well after each egg.
Add vanilla, chocolate chips and nuts. Mix well.
Add dry flour mixture and stir until well combined.
Coat a 13 X 9 -(Ayu used 10x10 ~ MaDiHaA ikut kak Ayu.. rasanya guna tray lebih besar lebih sesuai sbb ia jd nipis yg nampak lebih menarik
) pan with non-stick spray and spread batter evenly into dish(Ayu used parchment paper).
Bake at 170 degree for 30 minutes or until top is golden brown. Make sure you don’t over bake.



Selamat mencuba! Maaflah tak rajin nak translate ke BM... 

Sunday, April 21, 2013

Sedapnyer sayur pucuk cemperai...! Rezeki dari kampong mertua...

Assalamualaikum..... selamat hari minggu semua....


Alhamdulilah.. rezeki kami semasa pulang ke kampong mertua menghantar kakak Dini ke asrama minggu lepas... dapat bawa balik seberkas sayur pucuk cemperai, bunga kantan & juga daun cemomok (daun cemomok tu ramuan untuk buat gulai asamrong).  Pucuk cemperai tu, dapatlah 2 kali masak.  Dalam gambar tu MaDiHaA hanya sempat snap selepas ianya dah dimasak separuh.  Jika belum masak.. memang menggununglah banyaknya.. hehe..   Dah lama juga tak makan pucuk cemperai.  Maklumlah dok kat bandar ni.. bukan senang nak jumpa orang jual sayur2 kampong atau sayur yang hanya boleh dijumpai dalam hutan atau belukar macam pucuk cemperai ni.  Kalau ada pun di pasar pagi.... itupun kalau tiap2 minggu pegi bernasib baik berjumpa. Macam MaDiHaA ni pegi sesekali... sayur2 kampong macam ni bukan tiap2 minggu ada.  



Waktu kami balik kampong minggu lepas... mertua & adik ipar tiada di rumah sebab adik ipar menghantar isterinya balik ke Kuantan.  Jadi mak mertua pun teringin nak ikut sekali.  Memang dah tau mereka nak pegi Kuantan, tapi tak mengapalah... kami balik juga sebab memang nak hantar Kakak Dini minggu tu... Lagipun kami memang ada kunci rumah & mak mertua pun tau kami nak balik. Jadi hanya kami 5 beranak jelah yang tidor kat rumah mak... tuan rumah takde.. siap sempat buat apam polkadot lagi... hehe... untuk bekalan kakak Dini kat asrama.. Pagi Ahad tu.. sempat en. hubby ke rumah pakciknya & nak dijadikan rezeki kami.. kebetulan pakciknya memang nak mencari pucuk cemperai... maka.. adalah rezeki kami.  



Ya Allah... sedapnya dapat makan sayur kampong ni.  Dah lama betul tak makan.. rindu dibuatnya.  Kebetulan ada 2 ketul keledek kat dapur tu... jadi seketul di masak bening dengan pucuk cemperai tu.. dan keesokkannya dimasak pula sayur lemak putih dengan seketul lagi keledek.  Tak sangka pula Haziq pun suka sayur ni... cuma Alin je kurang suka sayur2 hijau.. Memang puaslah kami dapat makan sayur pucuk cemperai ni... manis jer rasanya... ehh.. bukan manis macam kita makan buah... tapi manis sayur... hehehehe....



Tak perlu kot kongsi resepi sebab sayur biasa-biasa je... semua orang pun dah pandai masak sayur bening atau sayur air dan juga sayur lemak putih ni kan?  Jadi MaDiHaa kongsi gambar sajalah ye... Pucuk cemperai ni nak masaknya tak perlu dicelur.. boleh terus dimasukkan ke dalam kuah yang dah mendidih.  Masak sehingga ia lembut.  Semasa nak menyiangnya.. lepas di petik dari tangkainya.. pulas2kan sikit biar ia jadi kecik2 sikit... jadi takdelah lebar sgt sayur tukan... hehehe... Masa masak ni.. stok ikan bilis kehabisan.. jadi hanya guna kiub ikan bilis saja.. janji sedap..

Oklah.. itu saja perkongsian hari ni... Jumpa lagi..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...