Thursday, November 26, 2015

Roti Jejari Keju

Assalamualaikum & salam sejahtera...

Sekarang ni tiap2 hari kena fikir apa nak masak untuk anak2 yang ditinggalkan kat rumah tu.  Bila makanan dah tersedia, senang sikit hati ibu nak pergi kerja.  Buat roti ni, bolehlah dorang buat kudap2 bila terasa lapar.  Untuk sarapan & makan tengahari biasanya MaDiHaA terus masak makanan berat seperti goreng2 atau nasi putih dengan lauk-lauk ringkas.  Gilir2lah mana yang sempat & ikut stok bahan mentah yang ada. Mujurlah anak2 pun tak cerewet sangat bab2 makan ni.  Nampaknya cuti sekolah ni kena lebihkan sikitlah stok bahan mentah kat rumah.  Takpelah kan.. yang penting anak2 tak kelaparan. 

Nak biarkan si kakak masak kat rumah pun kadang tu risau jugak bila kita takde kat rumah.  Manalah tau kan.. buatnya lupa tutup api dapur tu... macam2 boleh jadi. Nauzubillah minzalikh...

Oklah.. jom kita meroti! seronok buat roti ni sebab anak2 semua suka.  Terima kasih pada empunya blog duniaresepi.com yang kongsi resepi ni. Mohon izin kongsi kat blog MaDiHaA pula ye.



ROTI JEJARI KEJU 
Sumber : duniaresepi.com 
Dicuba oleh : MaDiHaA aka Ratna




Bahan-Bahan:
Sediakan doh asas ban manis 
(Rujuk resepi asas ban manis di bahagian bawah )


Hiasan
Keju Cheddar yang telah diparut
Gula


Cara Membuat:
1.Bahagikan doh kepada 60gm dan bentukkan menjadi bebola. Biarkan selama 10- 15 minit.
2.Ratakan doh yang telah dibebola, canaikan menjadi jejalur panjang 30 sm. (seperti pembaris panjang ). Masukkan ke dalam dulang pembakar yang telah digris minyak kemudian biarkan ia menaik ditempat yang suam selama 40-45 minit.
3.Sapukan telur dan taburkan gula juga keju cheddar di atas doh.
4.Bakar pada suhu 190’c selama 12- 15 minit sehingga berubah warna kuning keemasan.





Resepi Asas Roti Ban Manis (Kaedah Doh Segera)



Bahan-Bahan:
Bahan 1
500gm Tepung Roti
100gm Tepung gandum
110 gm Gula
10 gm garam (MaDiHaA letak 1 sudu kecil)
20gm Tepung susu
4 sudu yis segera (MaDiHaA guna 1 pek/11 gm)
1 sudu Peningkatan roti (bread imrover)


Bahan 2
1 biji Telur
300ml Air sejuk
1/3 sudu besar cuka


Bahan 3
60gm mentega / marjerin


Cara Membuat:
1.Adun semua Bahan 1
2.Tambah bahan 2 dan uli sehingga menghasilkan doh.
3. Campurkan bahan 3, dan terus menguli untuk menghasilkan doh yang lembut dan kenyal.
4. Bentukkan menjadi bebola dan tutup doh dengan plastik,biarkan ia naik selama 15 minit atau berganda saiznya.
5. Siap untuk membuat roti atau ban.  

Selamat mencuba!

Wednesday, November 25, 2015

Sotong Masak Lada Hitam

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Tiap kali en. suami beli sotong, mulalah kering idea tak tau nak masak apa.  Kalau ikut selera anak2, dorang suka masak sambal tumis je.  Tapi tekak kita pulak dah rasa jemu. Nak goreng tepong malas pulak nak kerjakan sebab sotong kali ni saiznya tak besar sangat.  Pastu selak2 buku resepi Chef Hanieliza... nampak resepi mudah Sotong Masak Lada Hitam ni.  Kira on ajelah walaupun ada bahan yang tak cukup iaitu buah tomato.

Boleh tahan juga sedap sotong dimasak lada hitam ni ye. Tak terfikir pulak boleh masak macam ni.  Apa2pun.. terima kasih kak Liza untuk resepi. 



SOTONG MASAK LADA HITAM
Sumber : Chef Hanieliza (buku Senangnya Masak Makanan Laut)

Bahan2
500 gm sotong sederhana besar (dipotong kecil)
1 labu bawang besar (dipotong gelang)
3 sudu besar sos lada hitam
1 sudu besar lada hitam (ditumbuk kasar)
1 pokok daun bawang
1 biji tomato - dibelah 6
Garam secukup rasa (optional, kerana sos lada hitam sudah masin)

Bahan Tumis
3 ulas bawang merah - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
1 tangkai cili merah - dihiris (akak letak 1 lg cili hijau)
Cara Memasak
  1. Panaskan minyak dalam kuali, dan tumiskan bahan tumis hingga layu.
  2. Masukkan lada hitam, bawang besar dan sos lad hitam, kacau sebentar.
  3. Masukkan sotong dan biarkan masak sekejap sambil dibalik-balikkan.
  4. Masukkan garam secukup rasa.
  5. Tutup api dan taburkan daun bawang. Siap untuk hidangan.

Selamat mencuba!

Tuesday, November 24, 2015

Rezeki dari kampong...

Assalamualaikum & salam sejahtera....


Hari ni MaDiHaA nak borak-borak kosong je... takde resepi ye.  Ahad lepas kami baru balik dari Raub melawat mertua sesambil jemput anak dara sekali yang dah mula bercuti.  Hari Jumaat tu adik ipar tolong jemput kakak Dini dari asrama sebab kami masih kerja lagi hari tu.  Kami bertolak balik ke Raub dalam pukul 2 pagi Sabtu tu sebab en. suami habis kerja hari tu pukul 12 tengah malam.  Rasa seram juga nak lalu Karak Hiway dalam suasana malam/gelap sejak2 tanah runtuh tempohari.  Syukur alhamdulillah semuanya selamat.  Nampak jalan berhampiran tanah runtuh masih dalam proses baik pulih siap pasang spotlight dan hanya satu lane je yang buka.  Jadi kami ambik keputusan untuk balik KL hari Ahad pagi sebab kalau balik petang atau malam gerenti dapat makan jem free. hehehe... Memang betul telahan kami... kawan2 yang balik petang dari kampong semuanya tersekat dalam jem yang sangat teruk kat Karak Hiway.  Ramai yang update kat facebook suasana jem & pesta lampu brek. hihi...  



Hari ni saja nak tayang rezeki dari kampong mertua baru ni.  Ada masa rajin nak snap gambar.  Ada masa malas tu... memang tak snap lah. Kali ni terajin pulak snap gambar lepas je petik2 dari pokok, letak kat koridor dapur mak tu dan snap2lah. hihi.  Rezeki kali ni ada buah betik, bunga kantan, daun kunyit, cili padi & daun limau purut. Daun limau purut tu ada 2 jenis. Satu jenis bercekak kat tengah, yang satu tak bercekak. MaDiHaA ambil dari 2 pokok yang berlainan. Sayang tengok buah betik takde siapa yang makan kat kampong... ada yang sampai luruh & buruk je bawah pokok.  Kita kat bandar ni semuanya nak kena beli.  Bunga kantan pun tak habis dimakan sampai banyak yang kembang & jadi buah. So menantu ni apalagi... asal balik kampong je mesti rembat bunga kantan tu.. hehe...

Masa balik Keratong kampong MaDiHaA masa cuti Depavali aritu pun kami bawak balik macam2 dari rumah ma ... dengan ubi kayu, pucuk ubi, kangkong, telur tebu, timun, terung, kacang panjang, buncis dan macam2 lagi... semuanya hasil  ma bercucuk tanam sikit2 kat tepi rumah.  Memang tak habis makan untuk ma sebab dorang kat kampong tu pun duduk 3 bercucu je.  Yang suka makan sayurnya hanya ma sorang.  Adik MaDiHaA yang nombor 3 tu memang kurang minat makan sayur.  Semetelah anaknya yang umur 6 tahun tu lagilah tak suka.  Bila dah banyak2 sangat tu ma sedekah2 je kat kawan2 & jiran2.  Tunggu anak2 jelah balik sekali sekala dpt merasa air tangan ma.  Ma memang minat bertanam sejak dulu lagi. Kalau dulu tanam secara komersial masa arwah ayah ada. Sekarang ni tanam main2 je kat tepi rumah.


En. suami teringin nak makan sayur pucuk paku, jadi pagi Sabtu tu dia pegi mengutip pucuk paku dengan maknya kat lokasi yang tidak MaDiHaA ketahui.. hehe... MaDiHaA kat rumah je sebab tak berani nak ikut tolong kutip sebab biasanya tempat2 macam tu ada banyak pacat.. hehehe... jadi MaDiHaA hanya ronda2 keliling rumah mertua jelah sambil2 kutip apa yang patut.  MaDiHaA dah siap2 snap gambar yang kat atas tu.. en. suami pun balik bawak pucuk paku selambak dengan sikit pucuk ubi.  So... snaplah lagi untuk tontonan dalam blog ni.. Syokkan dok kampong... banyak benda boleh dapat free je... kalau kat bandar ni semuanya guna duit. Dahla tu.. harganya bukan main lagi. 

Friday, November 20, 2015

Cucur Jagung Rangup



Assalamualaikum & salam sejahtera...



Cuaca sejuk2 & musim2 hujan ni perut sentiasa je lapar kan? Tambah pula bila dah masuk cuti sekolah, anak-anak sentiasa ada kat rumah memang asyik lapar aje kejenya.  Kalau ada jagung lebih kat rumah tu bolehlah dibuat cucur.  Cucur ni sangat rangup dimakan masa panas2 tu... memang krup krap krup krap bila mengunyah.  Dah mula mengunyah tak sedar berketul2 dah masuk perut.  Tapi cucur ni bila dibiarkan sejuk, cucur jadi lembut.  Cucur ni memang tak keras ye.. cuma bila sejuk ia jadi lembut & hilang kerangupannya.  Jadi kalau nak makan rangup2... hidanglah terus masa panas2 tu..

Jom tengok resepinya.  Resepi ni MaDiHaA adaptasi dari resepi Cucur Udang Rangup yang dibuat dulu...


CUCUR JAGUNG RANGUP

Resepi : MaDiHaA akak Ratna



BAHAN-BAHAN

4 cawan tepung gandum *
1 sudu besar (penuh) baking powder* ( diayak bersama )
3 sudu besar udang kering ~rendam & tumbuk
2 tongkol jagung ~ hiris ambil isinya
3 cawan air sejuk
2 sudu besar knorr Pasti Sedap ( jika tiada boleh ganti dgn 1 sudu besar serbuk pati ayam )
1 1/4 sudu kecil garam @ secukup rasa
1 1/2 biji bawang besar ~ potong dadu
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 biji telur
Minyak untuk menggoreng


CARA PENYEDIAAN :-


1.    Campurkan kesemua bahan2 dalam satu bekas yang besar kecuali air dan telur.  Gaulkan kesemua bahan2 tadi biar rata. Masukkan telur & air sikit demi sikit sambil dikacau rata. Habiskan kesemua air dan kacau rata.

2.    Panaskan minyak yang banyak secukupnya dengan api yang sederhana.  Ambil sesenduk kecil bancuhan cucur ( sebaiknya gunakan senduk nasi yg lebar tu ) lalu cucurkan ke dalam minyak yang telah panas dengan cara membentuk cucur membentuk menjadi bentuk yang agak lebar. Ulangi proses sehingga cucur memenuhi kuali.

3.    Bila cucur dah timbul..cerai2kan cucur supaya tidak melekat antara satu sama lain. terbalikkan cucur & goreng sehingga garing ke dua2 belah

4.    Bila dah garing, angkat dan toskan.  Hidang cucur udang dengan sos cili kegemaran semasa panas2 atau suam2 untuk nikmati kerangupanya



p/s: boleh buat setengah adunan bagi keluarga kecil.

Thursday, November 19, 2015

Sup Cendawan Eryngii

Assalamualaikum & salam sejahtera....

Sekarang ni masak pun lauk2 biasa je.  Tak serajin dulu nak eksperimen macam2 jenis masakan.  Masa terbatas jadi masak yang mudah2 aje.  Kesihatan pun tak mengizinkan. Tak boleh tak cukup tidor... nanti mulalah ting tong.  Kalau dulu berjaga time hari kerja sampai kul 2 pagi pun steady lagi.  Tapi sekarang... kena terima hakikat yang diri dah nak masuk era orang tua veteren... kihkihkih....

Hari ni kongsi resepi sayur je.  Jenis2 cendawan ni kalau masak kat rumah memang laku je.  Semua pun suka.  Tapi cendawan eryngii ni tak mampu nak beli selalu sebab mahal sangat harganya... huhu... Sekali sekala teringin tu bolehlah kayuh pelan2.. haha.. Kalau cendawan2 ni suka buat sup atau tumis air camni je.  

Cendawan eryngii ni ada juga yang panggil cendawan peha ayam dan nama lainnya king oyster mushroom.  Boleh cari kat mana2 pasaraya mesti ada punya.  Nak tengok rupa sebenar cendawan ni... google je eryngii mushroom.

Jom layan resepi ringkas ni..



Sup Cendawan Eryngii
Resepi : MaDiHaA aka Ratna
 
Bahan2
6-7 batang cendawan eryngii ~ dipotong ikut citarasa, cuci & tos
3 ulas bawang putih ~ ditumbuk
3 ulas bawang merah ~ ditumbuk
sedikit lada hitam/lada sulah ~ ditumbuk berasingan
sedikit minyak
500 - 600 ml air
1/2 kiub ayam/bilis
garam secukup rasa

Cara menyediakan
1. Panaskan minyak & tumis bahan tumbuk hingga wangi. Masukkan air & kiub ayam.
2. Bila mendidih masukkan cendawan & tambah garam secukup rasa. Tak perlu banyak sebab kiub tu pun ada garam.  Biar hingga cendawan masak & terbit airnya... bolehlah matikan api & hidang.

Selamat mencuba...

Wednesday, November 18, 2015

Sambal Lada Hijau... aduhh sedapnyerr....

Assalamualaikum & salam sejahtera....

Semalam ada masa terluang sikit jadi sempat blog walking.  Ternampak sambal lada hijau kat blog Hazila... haishh... terliur dibuatnya.  Teringat pula kat rumah ada pucuk ubi yang belum sempat direbus ambik dari kampong tempohari.  Kebetulan semua bahan2 pun memang ada kat rumah... so apalagi... balik kerja tu... kita pun kelentung kelentang la menumbuk sambal hijau yang marbeles ni.  TQ Hazila kongsi resepi menyelerakan ni.  Sebenarnya MaDiHaA pun selalu jugak buat sambal ala2 macam ni.  Bila en. suami tanya sambal apa ni.. MaDiHaA cakap sambal asal jadi... kekeke.... cuma bezanya sambal yang biasa MaDiHaA buat tu guna cili padi lebih sikit & campur beberapa biji je cili merah dan juga buah tomato ranum. 

Sambal lada hijau yang MaDiHaA buat ni dapat pujian dari anakanda bujang katanya sedap betul lauk hari ni.  Padahal hanya goreng ikan rebus, goreng kangkong, sambal lada hijau dengan pucuk ubi rebus. Bertambah2 dia makan.  Sekarang kalau masak lauk ikan dah tak complaint apa2 dah.  Dah boleh terima lauk ikan.  Tapi lauk ayam memang pilihan utamalah.  Nampak dia makan semalam, sekali cekup pucuk ubi pun boleh tahan dicicah pula dengan sambal tu.  Lagipun sambalnya kurang pedas memang boleh sangatla dia makan.  Selama ni dia tak pernah makan pucuk ubi, kali ni baru dia berani mencuba.  Ni dah cuba, baru tau sedap... hihi...

Jika ada yang nak mencuba.. bolehla salin resepi di bawah ni ye.  Kalau suka lebih pedas, boleh tambah kuantiti cili padi tu. Minta izin ye Zila saya letak resepi kat blog saya pula...



Sambal Lada Hijau
Resepi diambil dari Buku Selera Perdana
Sumber : Hazila
Bahan-bahan
6 biji cili hijau
10 biji cili padi
1 cawan ikan bilis
8 ulas bawang kecil
3 ulas bawang putih
Belacan
Asam jawa / limau kasturi
Minyak untuk menggoreng

Cara cara
1. Goreng ikan bilis sebentar - jangan sampai garing. Angkat & masukkan dalam lesung.
2. Goreng cili hijau, cili padi, bawang merah dan bawang putih agak layu.  Tolak ketepi kuali untuk sementara.
3. Tumbuk kasar ikan bilis dan ketepikan.
4. Tumbuk bahan bahan yang telah digoreng tadi hingga lumat atau separuh kasar. Masukkan belacan dan tumbuk hingga sebati.
5. Masukkan semua bahan yang telah ditumbuk ke dalam bekas. Masukkan air asam jawa atau jus limau kasturi. Gaul sebati.

### Garam tidak dimasukkan kerana ikan bilis & belacan sudah masin tetapi jika suka lebih masin boleh tambah garam sesuai rasa

Tuesday, November 17, 2015

Pulut Kuning & Rendang Ayam *Tempahan*

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Perlahan-lahan panaskan blog yg dah suam2 kuku ni....  Hari ni update tempahan yang MaDiHaA buat beberapa minggu lepas.  Tempahan kali kedua dari Myra.  Dulu Myra tempah kuih muih.. kali ni pulut kuning & rendang pula.  Baru tau yang Myra ni rupanya menantu pada kak Mas yang juga pernah menempah dengan MaDiHaA satu ketika dulu... hihi... TQ ye kak sebab promosikan produk MaDiHaA pada menantu pula... hihi..



Tempahan kali ni 2 kg pulut kuning & 3 ekor rendang ayam.  Moga berpuas hati & mohon halal jika ada sebarang kekurangan.

Jika ada yang nak menempah.. boleh hubungi MaDiHaA ~ 019-3171150. Harap maklum, tempahan hanya untuk hujung minggu atau cuti umum sahaja.

Terima kasih.

Monday, November 16, 2015

Damailah kau di sana....

Assalamualaikum & salam sejahtera...

Lamanya tak update kedua2 blog.  Semangat seakan hilang seketika untuk berceloteh dalam blog ni.  Sebenarnya.. kami baru saja kehilangan seorang anak sepupu sebelah en. suami yang sama2 satu sekolah dengan anak sulung MaDiHaA.  Sayu rasa hati bila baya2 anak sendiri pergi dulu meninggalkan kita.  Selama 33 hari arwah terlantar koma di Hospital Temerloh selepas kemalangan.  Selama itu jugalah keluarganya berkampong di hospital kerana jarak rumah mereka terlalu jauh kerana rumah mereka di Raub.  Hospital Raub terpaksa transfer arwah ke Temerloh sebab masa tu arwah dalam keadaan kritikal & mungkin di Hospital Raub kekurangan peralatannya.  


Apa pun.. sudah tertulis hanya setakat itu & akhirnya arwah pegi juga meninggalan kami semua pada 5hb November 2015 selepas 33 hari koma di ICU.  Semoga arwah Annas Najmi bin Mohammad Faizil tenang di sana & semoga ditempatkan di kalangan insan beriman.  Sebak rasa hati masa melihat jenazah arwah disolatkan & diimamkan oleh guru kelasnya sendiri.  Kawan2 arwah dari SMA Al-Falah juga datang berkunjung termasuk guru besarnya & beberapa guru pengiring yang lain.  Dikebumikan pada hari Jumaat sebelum solat Jumaat.  Alhamdulillah.. segalanya dipermudahkan...


Damailah kau di sana wahai Annas.....Takde dah orang yang boleh tengok2kan kakak Dini kat sekolah...

Thursday, November 5, 2015

Lemak Putih Kailan, Keledek & Petai

Assalamualaikum & salam sejahtera....

Rasanya kat Dapur MaDiHaA ni baru lagi masak sayur kailan kan? hihi... Sebenarnya tiap2 hari memang masak sayur kat dapur MaDiHaA.. tapi setakat sayur goreng biasa2 tu takdelah nak kongsi kat sini.  Mana2 sayur yang nampak rare tu barulah dikongsi.  Ataupun.. bila dah takde modal nak update apa... masuk jelah resepi sayur pun sayurlah... kikikiki....

Sebenarnya.. MaDiHaA pun baru pertama kali masak lemak sayur kailan ni.  Tiba2 je idea timbul bila ada seketul keledek berbaki kat dapur tu. Dah tu... stok petai frozen pun banyak lagi.  Tiba2 teringat kalau buat masak lemak ketiga2 bahan ni sedap jugak kot.  Bila masuk petai tu... MaDiHaA teringat sayur kolok resepi warisan negeri Terengganu di mana bahan utamanya ialah kulit buah rambai, kacang panjang, petai & beberapa lagi bahan2 lain.. Terliur pulak bila teringatkan sayur kolok.  Nak masak... tapi mana nak cari kulit buah rambai?? kikikikiii....

Ok jom tengok resepi ni.  Antara sayur yang sesuai dibuat masak lemak dicampur keledek antaranya sayur asin2/pucuk manis, pucuk labu, pucuk cemperai dan beberapa lagi jenis sayur yang MaDiHaA tak dapat nak ingat.  Apa2pun... cubaan campuran kailan & petai bersama keledek ni pun ok jugak nampaknya.. yelah.. kita yang buat dia kan.  Yang penting.. mesti ada sambal belacan! Baru ngam!




Lemak Putih Kailan, Keledek & Petai
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
1 pek sayur kailan (anggaran harga rm2++) ~ dipotong & bersihkan
1 ketul keledek oren ~ dipotong2
1/2 cawan isi petai
segengam ikan bilis dikopek bersih
1 biji bawang besar ~ hiris memanjang
2 ulas bawang putih ~ hiris
2 biji cili merah ~ belah 2
850 ml air
200 ml santan kotak
garam & perasa secukupnya

Cara Menyediakan
1. Rebus keledek dengan 850 ml air hingga separuh empuk.  
2. Masukkan semua bahan2 lain & masak sehingga kailan nampak layu.  Pastikan kuah secukup rasa & bolehlah matikan api. Hidang dengan lauk sampingan lain seperti ikan/ayam goreng, telur masin, ulam serta sambal belacan.

Selamat mencuba!

Wednesday, November 4, 2015

Daging Kentang Kicap

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Menu simple kegemaran anak-anak pulak hari ni... kalau terasa nak pedas2 sikit bolehlah ketuk cili padi 2, 3 biji campak dalam kuali.  Jom layan resepi mudah ni...


 
Daging Kentang Kicap
Resepi : MaDiHaA

Bahan2
450 gm daging ~ hiris
2 biji ubi kentang ~ hiris tebal & goreng hingga keperangan
1/2 biji bawang besar ~ belah 4/6
2 biji cili hijau ~ potong serong tebal
1 keping asam gelugur
1/2 cawan kicap lemak manis
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap pekat/karamel masakan
minyak masak untuk menumis
500 ml air (ikut jenis daging)

Bahan tumis
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga cengkih
1 biji buah pelaga
1 kuntum bunga lawang
1 inci halia ~ hiris nipis
1/2 biji bawang besar ~ mayang
2 ulas bawang putih ~ mayang

Cara menyediakan
1. Panaskan minyak masak & tumiskan bahan tumis sehingga wangi.  Masukkan daging yang dihiris & kacau rata.  Masukkan air secukupnya untuk empukkan daging. Jika guna daging batang pinang... kurangkan airnya, tetapi biar berkuah sikit jangan kering ye.
2. Bila daging empuk, masukkan kentang goreng, kicap, sos tiram, kicap pekat, asam gelugur, bawang besar & cili hijau. Kacau rata hingga sebati & kuah mendidih kejap.  Matikan api & boleh hidangkan.

Selamat mencuba!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...