Friday, September 29, 2017

Salad Buah

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Bersua kembali... hari ni MaDiHaA nak share resepi sihat pula dengan semua pengunjung blog Dari Dapur MaDiHaA. Resepinya ringkas saja & tak perlu gunakan dapur. Campur & gaulkan sahaja bahan2 & boleh terus menikmatinya. 

Terima kasih pada Chef Hanieliza yang banyak berkongsi resepi sejak dari awal pembabitan MaDiHaA dalam dunia Fotopages & hingga jadi blogger MaDiHaA banyak jadikan resepi Chef Hanieliza sebagai rujukan. 

Jom lihat resepinya. MaDiHaA gunakan buah yang ada dalam simpanan je.  Hanya 3 jenis buah yang digunakan iaitu buah betik, epal hijau & epal merah.  Kita buat ikut apa yang ada je. Ikut bajet masing2 ye... Jika ada banyak lagi buah2 lagi sedap dan lagi berwarna warni salad buah kita nanti. Contoh seperti anggur, strawberri, pear, kiwi.... tu semua buah yang sedap2 belaka...


Salad Buah
Resepi : Chef Hanieliza

Bahan: 
2 biji epal hijau 
2 biji epal merah 
2 biji mangga (yg masak tapi keras) 
1 biji betik exotica 
1 tin nenas kiub 
anggur merah dan hijau 
kismis hitam dan kuning 
3 cawan yogurt (sebarang perisa) 
3 cawan ice-cream vanilla 
3 s/b oren sunquick 

Cara: 
1. Potong dadu semua bahan yang besar. 
2. Gaul rata bersama yogurt semua bahan2 in. 
3. Sejukkan dalam peti sejuk sebelum dihidangkan. 
dihidangkan dalam mangkuk kecil 
4. Hiaskan dengan manik warna warni




Selamat mencuba!

Tuesday, September 26, 2017

Pais Jagung

Assalamualaikum & salam sejahtera...



Hari Sabtu kelmarin en. suami ada beli jagung dari pasar pagi.  En. suami minta buatkan bubur jagung. Jadi kitapun tanpa banyak soal terus siapkan bahan2.  Bila anak balik dari asrama seronok nak masak macam2. Dalam dok mengopek kulit jagung tu tiba2 teringatkan resepi Pais Jagung yang pernah dikongsi oleh cikgu Amie. MaDiHaA pun teruslah simpan 3 tongkol jagung senyap2 tanpa pengetahuan en. suami. 7 tongkol lagi dibuat bubur jagung campur sagu & 3 tongkol lagi MaDiHaA proses jadikan pais jagung atau kalau bahasa mudahnya boleh juga kot kita panggil lepat jagung.  




Pais Jagung ni resepi orang lama2 dari negeri Sabah mengikut kata cikgu Amie. Istimewanya Pais Jagung dibungkus menggunakan kulit jagung itu sendiri. Itu yang buatkan MaDiHaA tertarik hati untuk mencubanya. Alhamdulillah sedap. Suami & anak2 pun sukakannya.

Sebenarnya bila bermain dengan jagung ni MaDiHaA teringat nostalgia waktu kanak-kanak. Waktu tu arwah ayah ada tanam jagung kampong waktu kami tinggal di Rompin, Pahang. Ma pula rajin buat penganan jagung. Teringat2 keenakan kuih tersebut. Kuih tu kami panggil kuih 'Hati Pari'.  Hanya jagung kampong saja yang boleh digunakan untuk membuat kuih Hati Pari sebab jagung kampung ada banyak patinya. Bila diparut & diperah boleh dapat pati yang pekat. Pati itulah yang digunakan untuk mengadun menjadi kuih Hati Pari. Jagung madu atau jagung yang biasa terjual di pasaran sekarang tak banyak pati. Memang tak boleh nak buat dah kuih kegemaran MaDiHaA tu... sekarang hanya tinggal kenangan..

Jom MaDiHaA kongsi resepi Pais Jagung ni. Mana tau ada yang ingin mencubanya sendiri. Terima kasih tak terhingga buat cikgu Amie yang sudi berkongsi resepi orang lama2 dari Sabah. Bolehlah kita dari semenanjung mencubanya juga... minta izin ye Amie resepi dikongsi di blog MaDiHaA pula...




Pais Jagung
Resepi : Cikgu Amie


Bahan-bahan:
3 batang jagung = 2 cawan jagung parut (bersama sedikit hirisan jagung)
1 cawan tepung gandum 
1 cawan kelapa parut
2 sudu besar gula pasir (MaDiHaA tambah sesudu lagi)
secubit garam
kulit jagung secukupnya




Cara:
1. Masukkan parutan jagung ke dalam sebuah mangkuk.
2. Tambahkan kelapa parut, tepung gandum, gula pasir dan secubit garam.
3. Gaul bahan hingga sebati.
4. Ambil sehelai kulit jagung. Sendukkan satu sudu besar bahan adunan di atas kulit jagung. (Jumlah bahan boleh disesuaikan mengikut kelebaran daun.
5. Tutup bahan dengan kulit jagung, kiri dan kanan dan kemudian lipat atas dan bawannya.
6. Kukus selama 30 minit.
7. Sejukkan sebelum dihidang.

Selamat mencuba!

Sunday, September 24, 2017

Sambal Goreng Kentang Petai

Assalamualaikum....


Selamat bersua kembali.  Ada satu hari tu tak tau dah nak masak apa. Otak dah beku tak tau nak buat lauk apa asyik masak ikan ayam ikan ayam pun jemu juga rasanya. Teringat ada petai yang kawan suami bagi masih banyak maka tercetus idea nak buat sambal kering2 campur dengan kentang & ikan bilis. Hmmm.... tak sangka lauk macam ni pun menjilat jari masing2 makan nasi. Anak2 pula dah berjinak2 belajar makan ulam petai ni bila ayahnya suruh cuba.  Jadi ibu pun bertabahla kalau toilet berbau bila kat rumah ada petai... hehehehe....

Jom MaDiHaA kongsikan resepi mudah yang memikat selera ni. Boleh buat tambah2 hidangan di atas meja selain menu2 yang lain. Pasti ramai yang suka nanti.. Nak pula kalau anak2 yang sukakan pedas2 & yang garing2...





Sambal Goreng Kentang Petai
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
4 biji kentang saiz besar/sederhana (campur2)
5 papan petai ~ dikupas kulit & belah/potong dua
2 gengam ikan bilis yang siap dikopek kulit
minyak masak secukupnya
1 sudu kecil asam jawa ~ campur air jadikan pes
2 sudu kecil gula
garam secukup rasa

Bahan di kisar halus
7 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
15 - 25 biji cili padi (bergantung pada penggunaan jenis cili & kepedasan yang anda suka)

Cara menyediakan
1. Kentang dikupas kulit & cuci bersih.
2. Panaskan minyak secukupnya dalam kuali. Gunakan penyagat & sagat terus kentang ke dalam kuali. Goreng sehingga garing seperti menggoreng kerepek pisang. Sentiasa dibalik2kan supaya garing sama rata. Bila garing angkat & toskan.
3. Kurangkan sukatan minyak bekas goreng kentang. Goreng pula ikan bilis sehingga garing. Goreng 2 batch/2 kali untuk 2 gengam ikan bilis supaya tak perlu guna minyak yang banyak. Angkat & ketepikan.
4. Gunakan minyak yang sama, tumiskan bahan2 yang dikisar halus. Kacau sehingga tumisan garing & naik minyak. Masukkan air asam jawa, garam & gula secukup rasa. Gaul rata. Masukkan petai & masak sehingga sambal kembali naik minyak.
5. Akhir sekali masukkan kentang goreng & ikan bilis goreng & gaulkan sehingga rata. Bolehlah dihidangkan bersama2 nasi putih.

Selamat mencuba!

Thursday, September 21, 2017

Sandwich Sardin Goreng

Assalamualaikum & salam sejahtera...






Inilah sarapan pagi kami di suatu pagi. Nak menghabiskan roti wholemeal yang hampir2 luput tarikh. Apa tidaknya... en. suami pulang dari kerja malam beli roti semasa puan isteri sudah pergi kerja. Puan isteri pula pulang kerja petang singgah kedai beli lagi roti yang sama. Ok... 2 plastik roti wholemeal perlu dihabiskan sebelum tamat tempoh. Anak2 pula kurang gemarkan roti wholemeal walau disapu jem. Mereka lebih sukakan roti sandwich putih. Jadi nak bagi cepat habis, maka inilah caranya! Kita sandwichkan ia & bagi 'pakai baju'. hehehe... Boleh dikatakan semua orang pun suka benda2 bergoreng ni kan. Termasuk la yang menaip ni... 


Moh le kita buat Sandwich Sardin Goreng. Tukar2 selera gitu.  Sedap dimakan, rangup diluar & lembut di dalam.  Makan 2 ketul pun dah terasa kenyang.  Resepi ni resepi biasa2 & ikut dan je ni...  pandai2lah korang ubahsuai ikut tekak masing2 ye...

Sandwich Sardin Goreng


Bahan2

Roti sandwich secukupnya (MaDiHaA guna wholemeal)
minyak untuk menggoreng

Bahan2 inti

1 tin besar sardin
1 biji bawang besar ~ didadu
2 ulas bawang putih ~ dicincang
10 biji cili padi ~ hiris halus
sedikit perahan limau nipis/kasturi
minyak untuk menumis

Tumiskan bawang & cili padi. Masukkan garam, perahan limau serta sardin & hancurkan sardin. Masak sehingga sosnya kering. Sedia digunakan


Bahan batter

1 1/2 cawan Tepong gandum
1/2 cawan tepong beras
1/4 cawan tepong jagung
1 biji telur gred B atau C
garam secukup rasa
Air secukupnya batter sederhana pekat.

Campurkan kesemua bahan & kacau sehingga sebati menggunakan whisker. Sedia digunakan.




Cara menyediakan. 
1. Letakkan inti sardin pada sekeping roti & lipat dua. Tekan keliling roti menggunakan garfu agak2 biar nampak ia mampat/melekat (tak melekat sangat pun tak apa). Habiskan atau buat sebanyak mana keperluan.
2. Panaskan minyak masak secukupnya untuk menggoreng terendam.
3. Pegang roti dibahagian yang ditekan dgn garfu tadi. Celupkan ke dalam batter di bahagian hujung kiri dan kanan, diikuti dengan bahagian tertutup/terlipat. Akhir sekali celup pula dibahagian satu lagi. (masa proses mencelup, roti mesti sentiasa dipegang). Terus masukkan ke dalam minyak yang sedia panas. Ulangi proses  satu persatu sehingga roti memenuhi kuali. Goreng sehingga garing dikedua2 belah. Bila garing angkat & toskan.
4. Bolehlah dihidangkan semasa masih panas.

Selamat mencuba!


Friday, September 15, 2017

Pajeri Bombay

Assalamualaikum & salam sejahtera...



Masih terkenang2 dengan anak2 syurga yang terkorban dlm kebakaran di Maahad Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Hujung Keramat awal pagi semalam. Sebak & pilu di hati belum lagi surut. Salam takziah buat semua kaum keluarga mereka yang terlibat.  Semoga mereka yang terkorban menjadi penghuni syurga abadiMU ya Allah.. aamin ya robbil alamin...


Hari ni takmau celoteh panjang sebab memang agak sibuk juga sekarang ni. Hari ni MaDiHaA kongsi resepi Pajeri Bombay yang dimasak beberapa hari lepas. Tiba2 tekak teringin nak makan pajeri bombay. Susah nak jumpa juga masakan ni. Kalau ada pun waktu kenduri kahwin. T.kasih Mat Gebu untuk perkongsian resepi. MaDiHaA copy & paste resepi dari blog Chemat je ni. Kawan2 bolehla cuba untuk tukar2 menu untuk keluarga..




PAJERI BOMBAY
Resepi : Mat Gebu

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 biji saiz sederhana nenas madu atau sebarang nenas pilihan anda
8 biji bawang merah kecil
5 ulas bawang putih, belah 2 setiap 1
1 biji cili merah, hiris serong
1 biji cili hijau, hiris serong
3 camca besar cuka makan JALEN
2 camca besar gula
1/2 camca teh serbuk kunyit (MaDiHaA guna lebih)
Garam secukup rasa (kurang lebih 1/2 camca teh/ secukup rasa)
1 camca teh biji sawi
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
2 biji buah pelaga
5 kuntum bunga cengkih
1 inci halia (MaDiHaA tambah)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kupas nenas, belah 4 dan buang empulur. Hiris sederhana tebal, kemudian celur dalam air mendidih, masukkan 1 camca teh serbuk kunyit dan celur 1 minit, toskan. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 2 camca besar), masukkan biji sawi, kemudian kayu manis, bunga lawang, buah pelaga dan bunga cengkih. Masak hingga harum.
  2. Tambah bawang putih, bawang merah, halia dan serbuk kunyit. Kacau rata dan masak hingga bawang layu. Masukkan gula dan cuka makan, kacau dan masak hingga pekat. Guna api kecil dan kacau selalu.
  3. Tambah sedikit garam (anggaran 1/2 camca teh), cili merah, cili hijau dan nenas. Gaul rata2 dan masak hingga nenas lembut. Tak perlu tambah air, nanti nenas akan mengeluarkan air. Boleh angkat dan hidangkan..
Selamat mencuba!