Wednesday, May 30, 2018

Kerabu Pucuk Paku

Assalamualaikum & salam sejahtera....


Dah hampir separuh bulan Ramadan baru sempat jenguk blog. Tak tau apa yang disibukkan.  Selamat menjalani ibadah puasa buat semua.  Jom MaDiHaA kongsi resepi kerabu pucuk paku. Sesuai untuk berbuka puasa. Tapi MaDiHaA buat baru ni untuk bersahur. hehe.... lain dari orang lain kan? Macam biasa kami sekeluarga berbuka puasa tanpa nasi putih setiap tahun. Jadi jika masak lauk pauk memang untuk bersahur je. Ikut je apa yang suami suka. Anak2 pun dah terbiasa macam tu. Tak kisah berbuka takde nasi. Tapi kalau rasa nak masak nasi biasanya MaDiHaA masak nasi berperisa untuk berbuka seperti nasi ayam, nasi tomato, nasi dagang, nasi lemak & sebagainya. Setakat ni hanya sempat masak nasi lemak & nasi dagang je. Tapi nasi goreng memang biasa menjadi menu berbuka kami. Kalau nak masak nasi berperisa mesti hari cuti. Kalau hari kerja memang tak sempat nak buat sebab kesuntukan masa. Ok dah jom tengok resepi... Kerabu ni MaDiHaA siapkan bahan2 waktu malam, bangun pagi2 barulah digaul & diperisakan.





Kerabu Pucuk Paku
Resepi MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
2 ikat pucuk paku ~ disiang dapat dalam 1 mangkuk besar
2 senduk kelapa ~ disangrai sekejap
1 sudu besar penuh kerisik
1 kuntum bunga kantan ~ dihiris
2 batang serai ~ dihiris nipis
2 ulas bawang merah ~ dihiris
1 biji limau nipis ~ ambil jus

garam dan gula secukup rasa

Bahan Sambal
1 biji cili merah
5-6 biji cili padi
sejemput ikan bilis/udang kering
secubit belacan
2 - 3 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
sedikit minyak masak

Cara menyediakan
1. Pucuk paku dicuci bersih & tos. Masak air lalu celur pucuk paku hingga lembut & toskan.
2. Bahan sambal ditumis dalam minyak yang sedikit hingga layu. Kemudian diblender halus guna blender kering. Satukan bahan sambal dalam kelapa sangrai dan masukkan kerisik. Gaul hingga rata.
3. Masukkan kelapa bercampur sambal ke dalam bekas pucuk paku, tambah bunga kantan, serai, bawang hiris serta jus limau nipis. Tambah garam secukup rasa & sedikit gula.
4. Gaul mesra & bolehlah dihidang untuk berbuka puasa.

Selamat mencuba!