Monday, September 21, 2015

Ayam Goreng Tepong Simple

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Cuti sekolah dah bermula.... anak yang sulung pun dah balik dari asrama.  Senang sikit sekarang ni sebab kakak dah pandai naik lrt & komuter sampai dekat dengan opis ibu. Jadi tak payah la ibu ambik half day tiap kali kakak balik dari asrama.  Jimat cuti tahunan ibu & jimat minyak kereta sebab tak perlu nak kena jemput dia kat stesen Pekeliling KL nu... yang tak tahan tu nak kena redah jem pulak.. aduhaii... Dia berani tu pun sebab ada geng yang sama2 naik lrt & komuter... kalau sorang2 memang taknak juga... hehehe... Ikutkan dah berapa kali ayahnya jemput naik komuter dan ajar macamana nak guna kenderaan awam tu.. tapi manja sikit.  Takde kawan takmau.. hai la anakk... Nak harapkan ayahnya jemput selalu tak kena timing. Jadi ibu jugakla yang selalunya kena jemput... kalau ibu jemput kena guna kereta sebab sah2 kena ambik adiknya dulu kat tadika. Kalau ambik on the way balik... takut lambat pulak jemput dari daycare... tak pasal2 kena bayar overtime. Takpelah demi anak yang nak menuntut ilmu...  ibu sanggup berkorban apa saja.

Oklah hari ni kongsi menu ringkas & mudah kegemaran anak2 MaDiHaA.  Bahan yang digunakan pun bahan2 simple yang setiap rumah pun ada. Ayam goreng tepong simple gini kalau masak hari2 pun takpe. Nak pulak si abang tu... tak reti2 jemu dengan ayam.  Tekak kita je yang tak sanggup nak telan ayam hari2.. hihi...



Ayam Goreng Tepong Simple
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
1/2 ekor ayam ~ potong kecil & cuci bersih & tos
2 sudu besar bawang + bawang putih + cili kering kisar
3-4 sudu besar tepong gandum (bergantung saiz ayam tambah mana yg sesuai)
3 sudu besar tepong jagung
1 sudu kecil garam
1 sudu kecil serbuk kunyit
2 sudu kecil serbuk rempah kari ayam
sedikit percikan air jika perlu
minyak masak secukupnya

Cara menyediakan
1. Masukkan potongan ayam yang siap dibersihkan ke dalam bekas yg sesuai. Biar besar sikit ye senang nak gaul.
2. Masukkan garam, serbuk kunyit, rempah kari & kisaran bawang & cili. Gaul rata2.
3. Masukkan tepong jagung & tepong gandum. Gaul sebati biar sehingga tepong melekat2 pada ayam. Jika nampak kurang tepong boleh tambah sesudu tepong lagi. Sebab kadang tu ayam tak sama besar saiz yang kita beli kan. Maknanya jika guna ayam besar.. lebihkanlah tepong tu. Jika terlalu kering boleh percikkan sedikit air & gaul sebati. Biasanya MaDiHaA tak perlukan air pun. 
4. Bila dah sebati bolehlah goreng ayam sehingga garing keemasan.  Sedap dihidang bersama nasi putih atau nasi lemak.

Selamat mencuba!

Thursday, September 17, 2015

Asam Pedas Halba Ikan Kerisi


Assalamualaikum & salam sejahtera...

Cuti Hari Malaysia semalam MaDiHaA & anak2 tak kemana-mana pun.  En. suami je ada 2 temujanji dengan kawan2nya sebab ada urusan sikit.  Pagi keluar ada urusannya sendiri ajak kawannya teman, balik dekat nak zuhur... petang lepas asar keluar lagi atas urusan kawan (kawan yang lain pulak). Pukul 10 lebih baru balik.  Aduhh.. bosannya rasa bila en. suami takde.  Anak2 asyik tanya je mana ayah pegi sebab memang jarang dia keluar lama2 tanpa bawa kami sama2 melainkan bila keluar kerja.  Tapi apa boleh buat... ada yang memerlukan dia selain kami... redho ajelah... cuma frust sikit  sebabkan sibuk dengan urusan kawan.. urusan MaDiHaA tak sempat nak buat. Ingatkan dia balik awal... 



Oleh sebab sambut Hari Malaysia... hari tu MaDiHaA masak menu Malaysia lah jugak. Takmolah masak menu barat kang macam tak sayang kat Malaysia la pulak. hihi.... Sebenarnya tekak ni dok teringin dah lama nak makan asam pedas pekat2. Hmm.... telan air liur bila dok teringat. Almaklum... tanda2 tu dah faham sangatla kalau tekak nak makan masam2... hihi... Dalam kepala dok ingat daun kesum ada lagi rasanya dalam peti sejuk tu.. jadi masa pegi pasar Ahad lepas (hari sama beli ikan sardin saiz besar tu) takdelah MaDiHaA beli daun kesum.  Rupa2nya bila tengah memasak, cari2 daun kesum.. daun kesumnya dah lunyai. Kalau takat kering boleh guna lagi... tapi rupanya daun kesum dah busuk. Kalau orang Terengganu kata, dah lodoh.. hihihi... Maka sepantas kilat asam pedas MaDiHaA jadi asam pedas halba. Mujur stok halba tak pernah putus dalam simpanan.  Kira bolehlah asam pedas halba pun sedap juga.  Cuma kalau ikut resepi ma, asam pedas halba ma akan buat versi cair2 je.  Tapi bila buat pekat2 camni sebenarnya lagi sedap.  Bertambah2 makannya. Si kecik MaDiHaA pun suka.  Digandingkan pulak dengan ikan kerisi goreng, sambal getuk yang en. suami buat & berulamkan kubis. Sempat gak en. suami bantu di dapur tengahari tu walaupun balik penat2.

Dah jom tengok resepi... ni cara MaDiHaA la ye.... rasanya lebih kurang je kot resepi asam pedas ni kan...



ASAM PEDAS HALBA IKAN KERISI
Resepi : MaDiHaA aka Ratna


Bahan2
2 ekor ikan kerisi saiz besar ~ bersihnya & pastikan semua sisik dibuang, di potong 2
10 - 15 biji kacang bendi
1 sudu besar asam jawa + air ambil jus
1 liter air

1/2 sudu kecil halba
garam, gula & serbuk perasa (optional) secukup rasa
minyak secukupnya


Bahan Kisar Halus
25 tangkai cili kering ~ gunting, buang biji, rebus & tos
1 biji bawang besar
6 ulas bawang merah
4  ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
1 inci halia
3/4 inci lengkuas
1/2 inci belacan


Cara menyediakan
1. Panaskan minyak masak lalu tumiskan bahan kisar sehingga naik minyak.  Masukkan air asam jawa & air secukupnya. Biar mendidih.
2.  Masukkan ikan dan agak2 ikan dah hampir masak, tambah garam, gula, serbuk perasa, halba dan kacang bendi. 

3. Biarkan secukup rasa & jangan biar sampai bendi terlampau lembut... cepat2 matikan api. Siap untuk dihidangkan!
Selamat mencuba


Monday, September 14, 2015

Tumis Calong Dengan Sawi & Langkah Demi Langkah Nak Keluarkan Isi Ikan...

Assalamualaikum & salam sejahtera...

Hari ni terajin sikit nak menulis.  Sesekali membebel + kongsi ilmu.  Sekadar kongsi apa yang dipelajari dari ibu tersayang. Janganlah expect MaDiHaA ni macam chef professional ye.  Tak setaraf tu lagi. Ada pulak silent reader blog MaDiHaA ni yang pong pang pong pang hentam MaDiHaA berkenaan penggunaan bahan yang salah dan sebagainya.  Ambe ni orang kampong je... tak pernah belajar bab2 kulinari.. masuk U belajar hal masak2 pun tak pernah.  Ambe ni hanya chef untuk suami & anak2 je yang layaknya.  Yang penting apa yang dimasak suami & anak2 suka.  Hidup lagi dorang tu... belum keracunan lagi... alhamdulillah...


Oklah hari ni nak kongsi menu feberet arwah ayah MaDiHaA iaitu Tumis Calong Dengan Sawi.  Kalau ikut nama yang ma dan arwah ayah dok sebut2 hanya calong je.  Tapi MaDiHaA tambahlah sikit tajuk menu tu bagi panjang sikit & lebih detail.  Nanti kalau sebut calong je.. ada yang ingat mee calong.  Padahal calong tu ikut makna orang Pantai Timur kalau tak silap MaDiHaA lah ye... iaitu bebola ikan homemade.  Tak ingat dah pernah kongsi lagi ke tak dalam blog ni. Kalau siaran ulangan tu harap maaflah ye.. Takpelah siar acap2 sikit. Benda sedap & menu sihat camni eloklah kita kongsi2 selalu. Maklumlah... sekarang ni semua orang nak sihat.. nak hidup lama.. kalau kongsi benda tak sihat karang kena hentam lagi.. ahakss!

bandingkan ikan dengan saiz sudu besar tuu....

Seronok Ahad lepas pegi pasar nampak ikan sardin saiz XXL rasanya adalah besar lengan budak. Dalam hati kata kalau buat calong ni memang syok sebab banyak isi.  Nak goreng kurang sikit kalau ikan yang biasa kita beli kecik2 tapi bila saiznya terlampau besar.. rasa mcm geli pun ye. hihi.  Buat bebola camni oklah.. boleh diterima.  Oklah jom tengok resepi sihat ni... resepi kat bawah ni adalah separuh kuantiti dari resepi yang MaDiHaA masak ye. Ikan pun MaDiHaA tulis 3 ekor saiz sederhana je sebab yang MaDiHaA gunakan tu 3 ekor saiz besar bersamaan dengan 6 - 7 ekor ikan saiz sedang tu. MaDiHaA takper masak seperiuk besar camni sebab memang suka... siap boleh meratah lagi.



Tumis Calong Dengan Sawi
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
3 ekor ikan sardin/selayang saiz sederhana (kalau dpt saiz XXL guna sekor je)
2 pokok/rumpun sawi biasa saiz sederhana ~ dipotong asing daun & batangnya & cuci bersih & tos.
1 batang lobak merah saiz kecil ~ potong ikut selera
2 sudu kecil tepong jagung / tepong ubi 
1/2 kiub bilis (jika suka)
750 ml air 
minyak masak secukupnya
garam & serbuk perasa secukupnya
1 sudu kecil lada hitam tumbuk

Bahan Tumbuk Halus
6 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 cm halia





Cara menyediakan 
1. Proses pertama mestilah sediakan isi ikan dahulu. Sila rujuk pada gambar di atas untuk cara2 mengeluarkan isi ikan. Selepas dikerat ekornya, buangkan semua tulang atas belakang & tulang bawah perut pada ikan. Kemudian siat kulit ikan. Cuci bersih ikan, kemudian potong sedikit isi ikan dileher ikan tapi jangan sampai putus. Keluarkan isi ikan menggunakan jari dengan menyisip isinya hingga ke tulang tengahnya. Pastikan buangkan kesemua tulang2 halus yang masih melekat pada isi ikan setelah dikeluarkan dari tulang tengahnya dengan cara menyungkit & tarik tulang tersebut menggunakan pisau & jari seperti kita nak buang selumbar tu. Dah siap dapat isi ikan barulah kita kisar isi ikan menggunakan food prosessor. Boleh juga gunakan pengisar kering tapi jangan letak banyak2 sekali gus ye.



2. Bila isi ikan siap dikisar, campurkan dengan 1 sudu besar bawang yang ditumbuk tadi, garam & serbuk perasa secukupnya serta tepong jagung atau tepong ubi. Gaul & uli sehingga sebati. Bulat2kan adunan menjadi bebola dengan membasahkan sedikit tapak tangan. Bila siap, ketepikan dahulu.



3. Seterusnya, panaskan sikit minyak masak & tumiskan lebihan bawang tumbuk tadi hingga wangi. Masukkan air, kiub bilis, garam, lada hitam & serbuk perasa jika suka. Bila mendidih, masukkan batang sawi & bebola ikan tadi. Biarkan mendidih & bebola bertukar warna.

4. Masukkan lobak merah serta daun sawi & kacau perlahan2. Jika ada chopstick boleh gunakannya untuk kacau2 dalam sup. Tujuannya untuk mengelakkan bebola ikan tadi pecah sekiranya kacau menggunakan senduk.

5. Bila sawi dah masak & sup dah secukup rasa, bolehlan matikan api & hidang.


Selamat mencuba!

Tuesday, September 8, 2015

Homemade Simple Garlic Spread.... buat sendiri lebih jimat!

Assalamualaikum & salam sejahtera...




Puan-puan di rumah kalau nak berjimat, boleh buat sendiri sapuan mentega bawang putih atau garlic spread ni.  Yang beli kat kedai tu... bukan saja harganya mahal... malah.. bukannya sedap sangat.  Buat sendiri lagi berbaloi2.

Bahan2nya....

Jom kita buat sendiri garlic spread ni... resepi mudah sangat-sangat.. tak perlu letak bahan pelik2 pun...


MaDiHaA sapu pada 2 jenis roti... kemudian masuk oven & bakar hingga garing...
Jom tengok resepinya.....

Homemade Simple Garlic Spread
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
200 gm butter suhu biasa (MaDiHaA guna buttercup dalam tin je)
1 sudu besar daun english parsley yang dicincang halus (jika tiada boleh gantikan dengan parsley kering yang boleh dibeli dari kedai bakeri)
4 ulas bawang putih ~ dicincang halus
secubit garam halus


Cara menyediakan
Satukan semua bahan2 dan gaul sebati.  
Sedia digunakan.  Jika berlebihan, boleh simpan dalam peti sejuk & keluarkan garlic spread ni 1/2 jam sebelum digunakan.
 
Dah siap Garlic Bread MaDiHaA....


Jemput semua....
Selamat mencuba!

Friday, September 4, 2015

Kek Buah Kukus... resepi terbaik...




Assalamualaikum & salam sejahtera...






Minta maaf sebab masukkan resepi ulangan je. Sebenarnya dah beberapa kali buat kek buah kukus yang marbeles ni.  Memang tak rugi mencuba sebab hasilnya memang puas hati.  MaDiHaA buat sekali lagi kek ni masa buat makan2 untuk sepupu tempohari.  Bila dah siap potong-potong dan susun cantik2… jadi rajinlah nak ambik gambar.  Sebab nak hidang kat tetamu, MaDiHaA buat 1 ½ adunan & gunakan loyang empat segi saiz 9 inci. Kalau buat 1 adunan boleh gunakan loyang saiz 7” atau 8”.

Jom kita semak resepi...



 

KEK BUAH KUKUS
Resepi : Chef Zubaidah Chepa(buku Steamed Cake terbitan One Publisher)
Sumber : Hanamemories
sumber rujukan : kak.sheila.spices journey



Bahan-bahan 
250g butter @ seketul butter ( disarankan high quality butter)
350g gula pasir ~ MaDiHaA guna 290 gm
60ml air panas
500g buah-buahan campuran - MaDiHaA tambah 10 biji ceri merah
3 biji telur gred A
350g tepung gandum*
1 sudu kecil cream of tartar*
2 sudu kecil soda bicarbonat* ~ MaDiHaA guna 1 3/4 sudu kecil
1 sudu kecil serbuk buah pala/nutmeg*
1 sudu besar susu pekat
1 sudu besar sunquik
1 sudu kecil esen vanilla

Cara Menyediakan

1. Masak gula hingga keperangan dan masukkan air panas perlahan-lahan. Sebatikan. Masukkan butter sehingga cair kemudian masukkan buah-buahan campuran dan juga susu pekat dan sunquik. Kacau kemudian sejukkan.
2. Ayak bahan-bahan yang bertanda*.  Masukkan ke dalam adunan mix fruits tadi sedikit demi sedikit menggunakan senduk kayu sehingga sebati. Bolehlah panaskan periuk kukusan dengan air yang mencukupi.
3. Dalam mangkuk lain, pukul telur dan esen sehingga kembang dan masukkan perlahan ke dalam adunan kek dan gaul sebati menggunakan senduk kayu juga.
4. Alas loyang 7x7 dengan kertas baking. Sapukan butter keliling dan tuangkan adunan kek ke dalamnya. Tutup loyang dengan aluminium foil.
5. Kukus selama 4 jam untuk mendapat kelembapan yang diinginkan. (boleh dikukus 2 jam shj) ~ MaDiHaA kukus 3 jam. Nota MaDiHaA : Jika perlu menambah air dalam periuk kukusan... sila gunakan air panas untuk mengelakkan proses memasak kek terbantut.
6. Sejukkan sebelum dipotong. (Pastikan kek benar2 sejuk seeloknyer semalaman supaya kek dan buah tidak berderai dan padat ketika dipotong).  Setelah masak.. MaDiHaA terus keluarkan kek dari periuk kukusan & biarkan kek berada dalam loyangnya dan sejukkan di bawah tudung saji.  Petang keesokkannya barulah dipotong.


Selamat mencuba!