Friday, January 27, 2017

Kari Ikan Ala Mamak

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Sekarang ni masak kari dah jarang masak versi bersantan. Sebab dah jatuh cinta dengan kari mamak yang tak gunakan santan. Jimat santan satu, satu lagi ianya lebih menyihatkan. Resepi kari ni asalnya dari resepi kari kepala ikan ala mamak sumbangan Ana Elianas. Sampai sekarang dok masak guna resepi Ana ni. T.kasih banyak2 pada Ana kongsi resepi ni. Hinggakan masak untuk tempahan pun MaDiHaA guna resepi ni juga. Cuma MaDiHaA olah kuantiti bahan2 ikut keperluan waktu memasak. Memang sangat berjasa. Mudah2an pahalanya mengalir pada empunya asal resepi ini. Aaminn..

Kali ni MaDiHaA masak guna ikan kembong je. Takde stok kepala ikan so guna ikan apa yang ada. Tekak ni tetiba rasa nak makan kari ikan. Letak kacang bendi banyak2... wallah!!!




KARI IKAN ALA MAMAK 
Resepi asal : Ana Elianas
Telah diubah suai oleh : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
3 ekor ikan kembong saiz besar (guna ikan lain pun boleh)
5 sudu besar rempah kari ikan
3 sudu besar cili kisar/ serbuk cili

Bahan2 Kisar 
1 biji bawang besar
3-4 biji bawang merah
4 biji bawang putih
sedikit lada hitam (letak 1 sudu kecik serbuk lada hitam)

Bahan2 Mayang
1 labu bawang besar dimayang halus
3 biji bawang putih

daun kari 2 tangkai (Jangan leraikan)
sedikit halba campur
air asam jawa lebihkan sedikit (MaDiHaA guna 2 sudu besar asam jawa + air ambil jusnya)
garam secukup rasa
air secukupnya utk kuah

Bahan Rampai 
Terung bulat
Kacang bendi
Cili hijau
Buah tomato

Cara Menyediakan
1. Panaskan minyak dan tumis bahan2 yg dimayang dengan halba campur. Setelah agak layu masukkan cili kisar, bahan mesin. Kemudian masukkan rempah kari ikan.  Masukkan 2 tangkai daun kari...jgn ceraikan daun tu..sbb batang daun kari tu akan memberi aroma yg sedap pada kari kita. Masak sehingga hilang bau rempah tu... masukkan air jika rempah nampak kering. 

2. Setelah rempah dah masak dan hilang bau, masukkan air asam jawa yg ditapis, air secukupnya ikut kepekatan kuah yg disukai...masukkan garam. 

3. Setelah mendidih, masukkan terung bulat. Masak sampai agak2 terung lembut barulah masukkan bendi & ikan. Masakkan sekejap sahaja supaya tak nak ikan masak terlalu lama dan hancur.  Paling akhir masukkan tomato. Rasakan apa yg kurang bolehlah ditambah. Bila bendi lembut bolehlah matikan api.Sedia utk dihidangkan.

Selamat mencuba!

Thursday, January 26, 2017

Muffin Persimmon & Raisin

Assalamualaikum & salam sejahtera...




Dalam peti sejuk terkonteng2 sebiji buah persimmon atau pisang kaki tak berusik. Biasa macam tu lah, bila dah tinggal satu takde siapa nak usik. Kadang tu ada yang kononnya nak simpan untuk orang lain, orang lain pun fikir nak simpan untuk orang lain pulak. Penyudahkan takde siapa yang ambik.  Dah ranum sangat nak dimakan macam tu dah kurang selera. Jadi MaDiHaA pun kopek2 potong dadu & godek2 jadikan muffin. Kebetulan semua bahan pun ada, so dapatlah jadikan sarapan untuk anak2 sebelum ke sekolah.

Jom kita tengok bahan2nya..




Muffin Persimmon & Raisin 
Adaptasi dari : WWW.FOOD.COM

Bahan-bahan
2 biji telur (MaDiHaA guna gred A)
1/3 cawan minyak jagung
3/4 cawan susu segar
1/3 cawan gula kastor
1 cawan oatmeal (oat segera)
1 cawan tepung gandum
1 sudu kfc rata garam
1 sudu besar baking powder
1/2 sudu kecil serbuk kayu manis
1/2 sudu kecil serbuk buah pala (nutmeg powder)
1 biji persimmon ~ kopek kulit, buang biji & didadu

1/3 cawan raisins

Cara menyediakan
1. Panaskan oven 170-175C. Pukul ringan telur menggunakan whisker. Masukkan minyak jagung & susu segar. Gaul sebati.
2. Masukkan gula, garam & oat segera kacau rata. Masukkan tepong gandum, baking powder, serbuk kayu manis, serbuk buah pala & kacau sekejap.
3. Masukkan epal yang didadu & kacau rata. Jangan terlebih kacau agak2 sebati je.
4. Masukkan dalam acuan muffin sebanyak 3/4 ketinggian acuan muffin & bakar selama 15 - 25 minit bergantung saiz acuan muffin. MaDiHaA bakar 25 minit sebab acuan muffin agak besar.

Selamat mencuba!

Wednesday, January 25, 2017

Bergedil Ayam

Assalamualaikum & salam sejahtera....



Hari ni MaDiHaA kongsi satu lagi resepi kegemaran anak2. Ketiga2 anak2 MaDiHaA semua suka bergedil ni. Tak kisahlah versi ayam, daging ataupun udang kering. Kalau buat tu memang sekejap je licin. Kalau makan kat luar asal nampak bergedil ni mesti dorang ambik juga. Kat kedai harga 1 ketul bergedil saiz lebih kurang 1 1/2 dari saiz yg MaDiHaA buat tu harganya RM1 tau. Tengok bila kita buat sendiri dapat bukan main banyak. Puas anak2 kita boleh makan.  

Bergedil ni boleh dimakan begitu saja cicah dengan sos pun sedap. Jadikan lauk nasi pun sedap. Lagi2 kalau gu dengan soto... fuhhh.... memang terangkatlah!

Jom tengok resepinya..





Bergedil Ayam
Resepi : MaDiHaA

Bahan2
6 biji kentang saiz sederhana
1 cawan isi ayam ~ dicincang 
1 sudu besar tepong jagung
1 sudu besar lada sulah
1/2 cawan bawang goreng
1/2 cawan daun sup cincang
garam secukup rasa
1 biji telur
Minyak masak secukupnya

Cara menyediakan
1. Kentang dikopek & potong 6. Cuci bersih kemudian digoreng hingga empuk. Semasa kentang masih panas lecek kentang sehingga hancur.
2. Campurkan isi ayam, tepong jagung, lada sulah, bawang goreng, garam & daun sup ke dalam kentang lecek & gaul sebati.
3. Bentukkan adunan menjadi bebola kecil & leperkan.
4. Kocokkan telur. Panaskan minyak masak dengan api sederhana. Celup bergedil yang sudah siap dibentuk ke dalam telur & masukkan ke dalam minyak panas. Goreng hingga warna bertukar jadi coklat muda. Siap untuk dihidangkan.


Sebelum digoreng... beginilah rupanya..

Selamat mencuba!

Tuesday, January 24, 2017

Sandwich Tuna

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Pagi ni kongsi resepi mudah je ye. Menu sarapan pagi yang menyihatkan. Anak2 cukup suka bila MaDiHaA buat sandwich.  Tak kisahlah samada sandwich tuna, sardin atau telur.   Boleh habis 2 set tiap sorang jika hidang sandwich. Cuma si kecik bambam ibu takmau makan tomato dalam sandwich. huhu.... mujur salad dia nak makan... kalau tidak susah hati la ibunya ni.

MaDiHaA buat sandwich tuna ni senang je... jom tengok bahan2nya..




Sandwich Tuna

Bahan2
Roti sandwich secukupnya
butter secukupnya
1 tin tuna dalam air ~ buangkan airnya
1 biji bawang besar (jika terlalu besar guna setengah je) ~ didadu
2 biji cili padi ~ dihiris halus
mayonis secukupnya ~ ikut keperluan
2 sudu besar thousand island sos
secubit garam
salad secukupnya
tomato ~ dihiris

Cara menyediakan
1. Lecek tuna hingga hancur. 
2. Masukkan bawang besar dadu, cili padi, mayonis, thousand islan sos & garam ke dalam mangkuk berisi tuna. Gaul sebati.
3. Lengserkan butter pada roti. Sapukan inti tuna di atas roti sehingga rata. susun salad & tomato kemudian tangkupkan dengan sebelah lagi roti yang telah disapu butter.
4. Sedia dihidangkan.

Selamat mencuba!

Monday, January 23, 2017

Sup Ayam Ala Thai

Assalamualaikum & jumpa lagi...



Salah satu lauk kegemaran MaDiHaA sekeluarga.  Sedap hirup sup yang masam2 pedas ni. Berselera makan. Tambah pula ada kailan ikan masin & telur dadar. Dah lengkap hidangan atas meja.

Jom kita tengok resepinya....




Sup Ayam Ala Thai

Bahan2
1/2 ekor ayam ~ potong saiz kesukaan ~ bersihkan (MaDiHaA buang kulitnya)
Air secukupnya untuk kuah
1 bungkus rempah sup bunjut
1 inci halia ~ diketuk
1 inci lengkuas ~ diketuk
1 batang serai ~ diketuk
3 ulas bawang putih ~ diketuk
4 biji cili padi ~ diketuk
1 pokok daun ketumbar ~ dibersihkan & hiris halus. bahagian akar ambil sekali
1 biji tomato ~ dipotong dadu kasar
1 biji limau nipis saiz besar
1 sudu kecil lada hitam ~ ditumbuk halus
1 biji lobak merah ~ potong baji
1 batang seleri ~ potong serong (MaDiHAa takde stok)
1 biji bawang besar ~ potong baji
garam secukup rasa
secubit gula
minyak masak secukupnya

Bahan ditumbuk halus
1 inci halia
2 ulas bawang putih

Bahan dihiris
4 ulas bawang merah

Rempah tumis
2 biji buah pelaga
1 kuntum bunga lawang
1 inci kayu manis
2 kuntum cengkih

Bahan tabur
Bawang goreng ~ takde
Hirisan daun sup ~ MaDiHaA letak sekali masa masak

Cara menyediakan
1. Bersihkan ayam. Masukkan dalam periuk bersama rempah sup bunjut, halia ketuk, lengkuas ketuk, bawang putih ketuk, serai & air secukupnya. Rebus ayam & biar mendidih & keluar minyak dari ayam.
2. Dalam kuali, tumiskan rempah tumis hingga wangi. Masukkan bawang merah yang dihirs & tumis hingga bawang hampir kuning. Terus masukkan bahan yang ditumbuk & tumis lagi hingga nampak masak. Masukkan ke alam air rebusan ayam tadi. Kacau sebati.
3. Masukkan cili padi ketuk, tomato dadu, bawang besar baji, lada hitam yang ditumbuk halus, lobak merah, daun ketumbar & akarnya sekali yg sudah dibersihkan. Perasakan dengan garam & gula.  Akhir sekali perahkan limau nipis untuk dapatkan rasa masam2. Guna ikut kesesuaian rasa (jika kurang masam boleh tambah lagi)
4. Bila lobak merah dah empuk & kuah dah secukup rasa, bolehlah matikan api. Taburkan bawang goreng & daun sup masa menghidang sup ini.

Selamat mencuba!

Cekodok Pisang Gebu

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Sarapan apa pagi ni teman2 semua? Mesti yang sedap2 & berkhasiat semua kan? Pagi ni kami sarapan sandwich aje.  Kelmarin sempat buat cekodok pisang gebu permintaan anak2.  Lepas tu goreng juga bihun. Anak2 kalau buat kuih muih manis mesti nak juga sarapan berat. Setakat kuih je... memang tak kenyang dorang tu semua. 

Okla pagi ni masukkan resepi cekodok pisang jelah yea. MaDiHaA ni kalau sebut pisang tak kisahlah diolah jadi apa pun juadah memang semua pun suka. Kali ni MaDiHaA buat cekodok pisang gebu. Muai & dapat cekodok lebih sikit berbanding buat cekodok pisang yang biasa tu. Tapi yang tu pun MaDiHaA suka juga lebih terasa pisangnya. Jenis yang gebu macam ni pun sedap juga ala2 macam kek pisang dibahagian dalamnya sebab gebu & luarnya pula terasa rangup bila dikunyah. So pilihan ditangan anda. MaDiHaA suka kedua2... hihi.. MaDiHaA kongsi resepi yer..

rangup diluar, gebu di dalam...


Cekodok Pisang Gebu

Bahan2 
10 biji pisang berangan (saiz sederhana)
1 sudu teh soda bicarbonat
3/4 sudu teh baking powder
3 sudu besar gula (atau secukupnya)
2 cawan tepung gandum
1/4 sudu teh garam halus
Minyak untuk menggoreng
Cara menyediakan
1. Isi pisang dilecek bersama gula sehingga halus. Tapiskan (guna penapis teh) soda bikarbonate & baking powder & kacau rata. (tapis supaya jika ada soda yg berketul2 menjadi halus)
2. Masukkan garam & tepong gandum & diaduk rata. 
3. Panaskan minyak masak secukupnya dengan api sederhana. Gunakan sudu kecil untuk menggoreng. Celupkan sudu kecil di dalam minyak kemudian sudukan 1 sudu kecil penuh adunan & goreng sehingga cekodok garing sekata. Selepas 2, 3 kali menyudu, pastikan celupkan lagi sudu ke dalam minyak panas. Ini bertujuan supaya adunan senang jatuh ke dalam kuali bila kita nak menggoreng.  Ulang cara ini ye supaya adunan mudah disudukan ke kuali.
4. Kacau2 cekodok buat garing sekata. Bila cekodok sudah garing, bolehlah angkat & toskan. Hidang bersama minuman kegemaran anda.


MaDiHaA nikmati Cekodok Pisang Gebu bersama Boh Green Tea Latte...


Selamat mencuba!

Friday, January 20, 2017

Yau Mak Tam Sos Tiram

Assalamualaikum & salam Jumaat....


Suka tengok warna sayur yau mak tam ni. Hijaunya tu nampak menyelerakan. Anak2 pun suka makan sayur ni. Tak tau nak masak macamana selain tumis dengan sos tiram atau dibuat sup. Sebab sayur ni makan mentah pun sedap. Tak perlu masak beria2 sangat sayur ni memang dah sedap. hihi..



Yau Mak Tam Sos Tiram
Bahan2
1 peket Yau Mak Tam ~ Dipotong sehelai2, cuci bersih & tos
5 ulas bawang putih ~ diketuk
3 sudu besar sos tiram
minyak untuk menumis
sedikit air

Cara menyediakan
Panaskan minyak masak. Tumis bawang putih hingga wangi. Masukkan yau mak tam, sos tiram & sedikit air. Kacau2 sekejap nampak layu boleh matikan api. Sedia dihidangkan.

Selamat memasak!

Thursday, January 19, 2017

Ubi Kayu Goreng

Assalamualaikum & salam sejahtera....



Apa khabar semua? Diharapkan semua pengunjung blog Dari Dapur MaDiHaA berada dalam keadaan sihat semuanya. Terima kasih MaDiHaA ucapkan kerana masih setia mengunjungi blog MaDiHaA yang dah suam2 kuku ni. Dah tak seaktif dulu. Apapun kerana terlalu sayangkan blog ini MaDiHaA cuba sedaya upaya untuk update juga walaupun tak dapat setiap hari seperti suatu waktu dulu.  Nak kata rajin sangat memasak pun tak jugak, nak kata pandai sangat dalam bidang masak lagilah jauh panggang dari api. MaDiHaA pun masih terkial2 dan masih belajar. Pada yang sama macam MaDiHaA kita sama2 belajar. Kalau kita tak berani mencuba, sampai bila2 pun kita takkan pandai. Selalu dengar orang cakap saya tak pandai masak itu, saya tak pandai buat ini. Sebenarnya dia bukan tak pandai, tapi dia belum pun pernah mencubanya. Jadi mana boleh cakap tak pandai. Jika dah cuba sekali tapi gagal, kenalah cuba lagi dan lagi. Jangan pernah berputus asa. Bab ini bukan saja dlm bidang masak memasak, tapi juga dalam apa saja bidang yang ingin kita pelajari.

Oklah hari ni MaDiHaA kongsi resepi orang kampung pula ye. Ubi kayu goreng ni MaDiHaA masak waktu berkunjung ke rumah kakak ipar di Tapah Perak bulan lalu. Tak susah pun membuatnya. jom MaDiHaA kongsi macamana nak perisakan ubi kayu supaya lebih sedap bila digoreng.




Ubi Kayu Goreng

Bahan2
Ubi kayu secukupnya ~ anggaran 1 kg
4 ulas bawang putih ~ ditumbuk halus
serbuk kunyit
garam
sedikit tepong gandum
minyak masak untuk menggoreng

Cara memasak
1. Ubi kayu dibersihkan, buang kulit & cuci segala kekotoran. Potong baji anggaran tebal 2cm & cuci sekali lagi. Toskan.
2. Masukkan ubi kayu dalam bekas. Campurkan serbuk kunyit & garam secukupnya (agak2 seperti nak goreng ikan). Campurkan bawang putih yang ditumbuk & digaul rata.
3. Taburkan beberapa sudu tepong gandum dan gaul rata lagi agak2 tepong bersalut sikit2 dengan ubi kayu. Kuantiti tepong ikut keperluan. Tidak terlalu tebal. Hanya bagi dia nampak melekat2 je dengan ubi kayu. 
4. Panaskan minyak masak & bolehlah digoreng sehingga kuning keemasan. Angkat, tos sekejap & bolehlah hidangkan. Boleh makan begitu saja atau boleh juga dihidang bersama cili kicap.

Selamat mencuba!



Monday, January 16, 2017

Japanese Souffle Cheese Cake

Assalamualaikum & salam sejahtera...



Dah lama betul tak buat cheese cake. Cuti sekolah hujung tahun lepas rajinkan diri buat juga bila anak yang balik dari asrama buat permintaan nak cheese cake. Ibu bukannya tak suka kek2 keju teramatlah suka. Cuma paksa diri untuk menahan keinginan sendiri bimbang bila buat nanti makan sampai lupa diri... haha.. Tapi bila anak dah buat permintaan terpaksalah buat juga. Pejam mata sajalah makan sekali sekala... berat badan naik jangan salahkan sesiapa. Sendiri mau ingat hokey... hahaha...



Resepi Japanese Souffle Cheese Cake ni MaDiHaA adalah beberapa kali buat dulu. Antara yang sempat MaDiHaA entrykan boleh tengok sini. Sekarang pun masih guna resepi yang sama yang MaDiHaA ambil dari fotopages Nina Batriesyia. Terima kasih Nina berkongsi resepi.

Walaupun kejadian kek tidak berapa memuaskan, tapi bolehlah buat lepas keinginan anak2. MaDiHaA buat 2 adunan resepi di bawah.




JAPANESE SOUFFLE CHEESE CAKE 
Sumber : FP Nina 

Bahan2nya 

250gm cheese cream (room temperature) 
75ml susu segar 
130 gm gula castor (MaDiHa kurangkan ke 120 gm) 
4 biji telur (asingkan) 
40 gm tepung jagung 
½ sudu the cream of tartar 

Cara2nya 
Panaskan oven pada suhu 180°C dan alaskan acuan tin 18cm. Panaskan cream cheese dan susu segar hingga larut. Guna api kecil sahaja. Kemudian masukkan separuh daripada gula ke dalam adunan cheese bersama telur merah, tepung jagung dan cream of tartar. Putih telur di pukul bersama lebihan gula hingga menjadi meringue. Masukkan meringue ke dalam adunan cheese dan kaup balik hingga ia rata. Tuangkan ke dalam acuan dan bakar secara bain marie (water bath) selama 45 minit – 1 jam. 



Note : MaDiHa buat 2 adunan & letakkan blueberry filling di atas kek untuk dapatkan rasa masam2 manis.

Selamat mencuba!

Friday, January 13, 2017

Gulai Lemak Kulat Sisir

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Lama dah aritu janji nak share sayur yang bawak dari kampong. Hampir2 terlupa. Resepi ulangan je, tapi ini antara sayur2 kegemaran en. suami & kini puan isteri pun dah terminat sama. Kalau dulu tu bau kulat sisir yang mentah tu pun rasa pelik, apalagi tengok rupa kulat sisir yang hitam2 tu... rasa macam tak selera nak makan. Mujurlah MaDiHaA ni jenis suka mencuba pelbagai masakan. Kalau jenis yang asal nampak pelik takmau mencuba tu memang tak dapatlah kot nak rasa masakan yang sedap2 & yang pelik2 kan? Bila dah rasa tu barulah tau sedap ke tidak, boleh masuk ke tidak. Tapi kebanyakan yang en. suami perkenalkan masakan kampong semua MaDiHaA suka... hehehe... Dasar kuat makan...

Resepi ulangan je ni, tapi bukan gambar ulangan ye.. semua gambar terbaru.. layan jelah ye...


Gulai Lemak Cili Padi Kulat Sisir / Cendawan Kukur
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2 
2 cawan kulat sisir / kulat kukur kering
15 biji cili padi
4 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
sejemput ikan bilis ~ direndam sekejap
2 batang serai ~ dititik 
900 ml santan sederhana pekat (MaDiHaA gunakan 200 ml santan kotak + 700 ml air)
garam & serbuk perasa secukupnya 


Kulat sisir yang sudah direndam & dibersihkan


Cara menyediakan. 
1. Kulat sisir dibersihkan segala kotoran, kerat kakinya jika terlekat kulit kayu kemudian direndam.  Sauk kulat sisir menggunakan tangan buangkan air serta kekotorannya.  Rendam sekali lagi & buatlah seperti tadi sekali lagi supaya semua kekotoran yang melekat pada kulat terpisah.  Cucurkan kulat di bawah air paip & tos sebentar.  Tumbuk kulat menggunakan lesung batu tetapi jangan sampai hancur.  Tumbuk manja2 je ye.
2. Tumbuk pula ramuan seperti cili padi, ikan bilis, bawang merah & bawang putih hingga lumat.
3. Dalam periuk, masukkan santan, bahan tumbuk, serai, kulat yang ditumbuk, garam & serbuk perasa secukupnya.  Masak dengan api sederhana sambil sentiasa dikacau.  Jika suka boleh masukkan 1 keping asam gelugur.  Boleh dimatikan api bila dah secukup rasa.


Kulat sisir yang ditumbuk kasar 

Selamat memasak!

Tuesday, January 10, 2017

Lepat Ubi Kayu

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Baru2 ni buat lepat ubi kayu dengan ibu tersayang.  Dah lama tak buat kuih2 lama ni. Kebetulan ma datang rumah bawak ubi kayu, projek pun menjadi lah. Tak sangka pula anak2 semua suka kuih orang2 lama ni. Elokla tu.. jangan dok eksen sangat tak reti nak makan kuih2 melayu. Kita ni asal usul orang Melayu patut bangga dengan kuih2 tradisi macam ni. Jangan asyik dok bangga dengan makanan2 barat je. Tak salah kalau suka makanan barat, tapi makanan tradisional kita jangan dilupakan.

Jom kita buat lepat ubi kayu. Sedap layan waktu minum petang maupun waktu sarapan.



Lepat Ubi Kayu

Bahan2
3 cawan ubi kayu yang diparut
1 cawan kelapa parut muda
1/2 sudu teh garam
120 ml santan pekat (MaDiHaA guna santan kotak je)
1 1/2 cawan gula merah serbuk ~ gula ni tak perlu dimasak sebab ia dah sedia serbuk (ikut manis yang disukai, boleh tambah jika suka manis ~ boleh rasa manisnya sebelum dibungkus ye)
2 sudu besar tepong pulut
2 sudu besar tepong gandum
Daun pisang secukupnya, dilayur supaya lembut

Cara menyediakan
1. Ubi yang diparut tadi dimasukkan ke dalam kain muslin atau kain bersih. Punjutkan kain tadi & perah ubi supaya air ubi keluar. Buang air agak2 je jangan sampai kering kontang pula ye. Air perahan tadi dibiarkan sebentar supaya pati ubi mendap ke bawah. Bila dah nampak pati ubi di bawah, tuangkan airnya & ambil pati ubi tadi dan campurkan ke dalam ubi kayu parut tadi.
2. Satukan kelapa parut muda, gula, garam, santan pekat, gula merah serbuk, tepong pulut & tepong gandum ke dalam parutan ubi kayu tadi. Digaul sebati.
3.Bila dah sebati, bolehlah dibungkus lepat tadi sehingga habis & kukus selama 30 minit atau sehingga masak. Sedia dihidangkan.



Selamat mencuba!

Monday, January 9, 2017

Tempahan Pulut Kuning Berhias dan lain-lain

Assalamualaikum & salam sejahtera....


Lama betul tak jenguk blog kesayangan ni. Terlajak sibuk dengan urusan semasa. Hari ni menyelit sekejap update, itupun hanya mampu update tempahan2 yang lepas iaitu tempahan 2016. 

Layan jelah ye. Mohon maaf nama2 si penempah semua dah lupa. Semua data pasal penempah hilang tiada jejak bila computer & handphone rosak. Gambar2 ni pun terselamat sebab pernah update kat facebook. Apapun, terima kasih pada semua yang sudi menempah. 









Semoga semua customer berpuas hati.