Monday, July 21, 2014

Ayam Percik (Gaya Terengganu)



Assalamualaikum & salam sejahtera...


Alhamdulillah... sudah masuk fasa ke tiga di bulan Ramadhan & hari ini memasuki 23 hari kita berpuasa.  10 malam terakhir ini sama2lah kita merebut peluang yang ada untuk mencari lailatulqadar.. bukan mudah tapi kita perlu berusaha ke arah itu.. mudah2an dipermudahkan... amin...

Oklah.. berkongsi resepi lauk pula ye... menu wajib setiap kali bulan puasa.. iaitu Ayam Percik gaya Terengganu.  Nak buat macamana dah memang anak Terengganu.. jadi inilah antara resepi yang diperturunkan oleh ma sejak dulu & resepi pun memang dah lekat dalam kepala.  InsyaAllah.. sedap & memenuhi citarasa kami sekeluarga.  Paling suka mestilah anak2... peminat nombor satu ayam!

Ayam Percik (gaya Terengganu)Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
3/4 atau 1 ekor ayam saiz kecil ~ belah 2 dan bersihkan (MaDiHa buangkan kulitnya)
(1 sudu kecil garam + 1 suku kecil kunyit serbuk utk dilumur pd ayam)
15 biji cili kering* ~ buang biji & rebus
1 biji bawang besar*
3 ulas bawang putih*
1 inci kunyit hidup* 
(bahan bertanda* dikisar halus)
1/2 sudu kecil kunyit serbuk
1 inci lengkuas ~ dihiris nipis
3 batang serai ~ diketuk
1 keping asam gelugur
1 1/2 sudu kecil halba
1 biji kelapa diambil santan pekat
Minyak secukupnya
Garam, gula & perasa secukupnya

Cara Menyediakan
1. Lumurkan garam + kunyit pada ayam dan letak dlm bekas yg sesuai lalu dibakar dalam oven selama 30 minit suhu 200
°C).
2. Panaskan minyak dalam periuk dan tumis bahan2 kisar serta serai hingga wangi dan pecah minyak.
3. Masukkan lengkuas, halba, serbuk kunyit, asam gelugur & santan. Biarkan merenih sambil dikacau selalu hingga kuah pekat.
4. Keluarkan ayam yg dibakar tadi dari oven dan curahkan kuah ayam percik ke atas ayam hingga rata. Sambung bakar ayam selama 15 minit lagi kemudian terbalikkan ayam dan tuangkan lagi kuah dibahagian sebelah pula lalu dibakar lagi 15 minit. Keluarkan dan bolehlah dihidangkan bersama kuah lebihan yg ada.


Selamat mencuba!

Wednesday, July 16, 2014

Pulut Serawa Durian

Assalamualaikum & salam sejahtera....


Balik ke Raub tempohari..  pagi Ahad tu en. suami sajalah ronda2 kat pokok durian kat rumahnya.. rupa2nya dah ada beberapa biji durian yang gugur.  Memang nak jadi rezeki kami lah tu.. sebab menurut mak.. sebelum tu memang durian belum gugur.  Alhamdulillah.. dapatlah bawa balik beberapa biji durian.  Durian yang kurang elok atau ditebuk tupai pula kami kupas siap2 & masukkan dalam bekas.  Sampai PJ... esoknya balik kerja macam lipas kudung tanak pulut & masak serawa durian guna durian yang siap diperisi tu.. pastu masak lauk pauk lain.. alhamdulillah dapatlah bagi jiran2 merasa pulut serawa durian ni.    Masih ada lagi berbaki macam nak kena ulang buat sekali lagi je... hihihi...


Hmm.. kan dah kata.. menu bulan puasa ni asyik guna santan aje... habis diet makk... hehehe...

Resepi ulangan je ni.. tapi takpelah kan sebab resepi evergreen...resepi pun resepi agak2 je tiada bersukat... tak kisah mesti jadi punya..




Pulut Serawa Durian

Bahan2 pulut
500 gm beras pulut 

Pulut dibersihkan & tanak seperti tanak nasi biasa cuma kurangkan airnya. Guna air anggaran 1 cm lebih dari paras pulut & masak guna rice cooker lebih mudah!

Bahan serawa
Isi durian secukupnya
Santan sederhana pekat secukupnya
Gula merah + gula melaka ikut manis
2 helai daun pandan ~ simpul
sedikit garam

Cara2
1. Masak gula merah & gula melaka dengan sedikit air hingga larut kemudian tapiskan.
2. Jerang santan bersama2 dengan air gula tadi, daun pandan & garam. Biar mendidih & pastikan sentiasa di kacau. Masukkan isi durian & kacau sentiasa hingga nampak sedikit pekat bolehlah matikan api. 
3. Hidang serawa durian bersama dengan pulut tanak atau boleh juga dicicah dengan roti putih atau roti jala. 
Selamat memasak..

Monday, July 14, 2014

Ayam Masak Lemak Cili Padi ala N9

Assalamualaikum & salam sejahtera....

Pejam celik pejam celik.. rupanya dah 16 hari kita semua berpuasa.  Sebenarnya MaDiHaA jarang mengira berapa hari berpuasa.. Selalunya biarkan macam tu je.  Tau2 bila dah nak cuti Nurul Quran tu.. automatik la tau oo.. dah nak masuk 17 Ramadan.  Biasanya bila dah melepasi Nuzul Quran.. semakin cepat Ramadan berlalu...  Memang betul.. cepat betul masa berlalu... semoga akan dipanjangkan umur hingga bertemu Ramadhan di tahun mendatang pula.. mudah2an... amin..


Nampaknya bulan puasa ni banyak betul langgar pantang.  Banyak betul menu yang dimasak yang wajib guna santan.  Aduh aduhh... selama 11 bulan penggunaan santan dihadkan hanya 2 kali sebulan & maksimum 4 kali sebulan.. tapi nampaknya.. bulan Ramadan ni banyak sangat memasak menggunakan santan.  Banyak sangat menu yang terfikir nak masak.. rata2 menggunakan santan.  Ni belum raya lagi ni.. dengan rendang, lontong & macam2 lagi... aduiii... sabor jelah.. Nak buat macamana kan.. bila dah berpuasa tu.. nafsu teringin tu terlebih sikit dari hari2 biasa.  Lagipun nak memancing anak2 berpuasa... kenalah masak yang agak sedap2 sikit dari biasa.  Kalau biasa tu dengan sayur tumis air je kan.. takpelah kan.. lepas raya nanti kita tukar ke menu cara sihat pulak.. hihihi...

Ayam ni memang menu pilihan utama anak... Masak lemak ala N9 tak berbawang.  Memang resepi ini yang lebih menyelerakan kami berbanding masak lemak yang letak bawang tu...

 
Ayam Masak Lemak Cili Padi ala N9
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
1/2 ekor ayam ~ potong sesuai selera & bersihkan (MaDiHaA buang kulitnya)
3 biji kentang ~ dikopek & dibelah 4
garam & perasa secukupnya
3 cawan air
1 cawan santan pekat
2 batang serai ~ diketuk
1 keping asam gelugur
Garam & sedikit gula
serbuk perasa jika suka

Bahan tumbuk
3 inci kunyit hidup
20 ~ 25 biji cili padi (ikut kepedasan sendiri)

Cara menyediakan
1. Campurkan bahan tumbuk, air, serai & ayam & renihkan di atas dapur.  Bila ayam bertukar warna, masukkan santan, asam keping, garam & sedikit gula.  Sentiasa dikacau supaya santan tidak membuak.
2. Masukkan kentang & kacau sentiada sehingga kentang empuk.  Bolehlah matikan api & hidangkan.

Selamat memasak!

Friday, July 11, 2014

Kuih Lompat Tikam (versi Terengganu)

Assalamualaikum & salam sejahtera....

Seronok hujung minggu lepas dapat pulang ke kampong mertua & berbuka bersama2.  Balik kampong kali ni... anak dara kat asrama pun dapat balik juga.. jadi kami berkumpul kat rumah opahnya jelah.  Menurut kata kakak Dini bulan puasa ni tiap minggu boleh balik.  Tapi oleh kerana bulan puasa dia malas nak balik KL... tak larat. Jadi kami pesan suruh dia balik rumah opahnya ajelah tiap minggu naik bas.  Belajar2 berdikari... Kalau tak sebelum ni pakciknya yang jemput.  Hari ni katanya ada kawan nak ikut.. jadi bolehlah jadi teman dia naik bas ke rumah opah nanti.  Taklah takut sangat sebab pertama kali nak tahan bas kan. hehe..  Harap2 semua selamatlah.  Tak jauh pun asrama dia dengan rumah opahnya.. dalam 15 ~ 20 minit je dengan kereta. 


Balik kampong baru ni.. mertua request nak makan kuih Lompat Tikam.  Memang dah jadi kebiasaan kalau kat kampong bab kuih muih ni memang MaDiHaA la yang kena prepare. Bukan kat rumah mertua je.. rumah ma sendiri pun sama.. tauke kuih katakan... hehehe.. gurau je.. Nasib baik dalam kepala masih ingat sukatan & nisbah untuk kuih lompat tikam tu...  Alhamdulillah jadi jugak lompat tikam ku.  Maklumlah.. buat pun setahun sekali kan.. 

Oklah kongsikan kat sini resepi kuih Lompat Tikam versi Terengganu ye.  Bezanya tak banyak.. kalau vesi Kelantan ada pulut tawar yang warna merah tu.  Versi Terengganu memang takde.  Dari segi rasa tak banyak beza pun sebab pulut tu tawar je kan.  Dua2 pun sama dimakan dengan air gula merah atau gula kerek atau gula nissang.  Sukatan resepi kat bawah ni MaDiHaA dah kecilkan dari resepi yang MaDiHaA buat kat kampong baru ni. Resepi kat bawah ni muat untuk satu loyang 8 atau 9" rasanya.  Masa kat kampong baru ni MaDiHaA buat double resepi ni.. maklumla umat ramai kan... seronok betul berbuka ramai2 ni..


Lapisan bawah

Kuih Lompat Tikam
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan Lapisan Bawah
1 cawan tepong beras
sedikit air kapur sederhana pekat (dalam 1 sudu kecil)
3 1/4 cawan air daun pandan (dari 8 helai daun pandan dikisar dengan 2 ~ 3 cawan air ~ jika tak cukup sukatan air 3 1/4 cawan tadi.. tambah je dengan air paip)

Bahan Lapisan Atas
1 1/2 cawan tepong beras
4 1/3 cawan santan sederhana pekat/kepekatan biasa
1 1/2 sudu kecil garam

Air gula
Gula merah/gula kerek secukupnya
air secukupnya
1 helai daun pandan

Cara menyediakan
1. Bancuh bahan lapisan bawah hingga rata & tapiskan. Masak di dalam kuali atau periuk dengan api sederhana dengan sentiasa dikacau sehingga pekat & berkilat menandakan bancuhan telah masak. 
2. Tuangkan ke dalam loyang & ratakan.
3. Bancuh bahan lapisan atas hingga rata & tapiskan.  Masak seperti lapisan bawah tadi dengan sentiasa dikacau sehingga bancuhan menjadi pekat & berkilat.  Tuang di atas lapisan pertama tadi & ratakan.  Biarkan kuih sejuk & beku.  Boleh juga jika nak masukkan dalam bekas kecil2.
4. Masak gula merah atau gula kerek dengan air secukupnya. Tapiskan.  
5. Potong kuih tadi & letak dalam mangkuk hidangan.  Tuangkan air gula sebelum dihidangkan.


Nota MaDiHaA : sengaja MaDiHaA buat lapisan atas lebih sedikit dari lapisan bawah sebab MaDiHaA lebih suka bahagian putih yang lemak2 tu.  Jika suka nak buat sama tebal.. boleh ikut sukatan seperti bahagian bawah untuk lapisan atas tu ye.

Selamat mencuba!

Monday, July 7, 2014

Kari Ikan Ayam @ Ikan Jebong

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Bertemu lagi kita di 9 Ramadan.  Tahun ni tiada kerajinan nak update iftar tiap2 hari macam tahun lepas.  Tambah pula setiap hari kami hanya berbuka dengan juadah yang sangat ringkas.  Takde lauk pauk istimewa maupun kuih muih hebat yang sempat dibuat tambah pula di hari bekerja.  Betul2 kesuntukan masa.  Kuih2 pun kebanyakan hanya sempat beli di bazar Ramadan saja.  Bila dah singgah di bazar akibatnya sampai rumah jadi lebih lewat lagi.  Jadi memasak pun hanya yang mudah2 & ringkas2 sajalah.  Mujurlah anak-anak tak merungut.  Kalaulah anak-anak pandai tengok FB & group Whatsapp ibunya ni... mesti mereka jeles tengok rumah orang lain juadah berbuka hebat2 sampai penuh meja... hehehe... takpelah ringkas2 je lagipun berbuka 3 beranak je termasuk di bambam Alin yang belum puasa lagi tu. En. suami berbuka kat tempat kerja sebab kerjanya habis hingga 8 malam.  InsyaAllah minggu ni dapatlah berbuka dengan en. suami sebab dah bertukar shift... Tapi sedihla pulak nanti bersahur berdua je la dengan abang Haziq.. huhu... apa boleh buat kan.. dah tugasnya begitu... redho jelah suami mencari rezeki untuk kami juga..


Oklah untuk resepi hari ni kongsi menu bersahur kami beberapa hari lepas... resepi biasa2 saja iaitu resepi kari ikan... tapi inilah menu evergreen yang tak pernah jemu jadi hidangan kita semua kan? Ikan ayam atau panggilan orang pantai timur ikan jebong antara ikan yang jarang2 terjumpa di pasar sebab kami pun jarang2 ke pasar sebenarnya.. hihi.  Dulu tak yakin sangat nak masak ikan ni.. tapi disebabkan ma selalu masakkan untuk kami bila kami pulang ke kampong.. cuba2 lah masak sendiri pula & lama2 jadi tersuka la pulak.  Suami yang tak pernah makan ikan ni pun dah semakin suka..



Kari Ikan Ayam @ Jebong

Bahan2
1 ekor ikan ayam @ jebong saiz sederhana~ siang, buang kulit & bersihkan
1 senduk santan pekat (guna santan kotak je)
4 sudu besar rempah kari ikan ~ bancuh dengan air jadikan pes
2 sudu besar cili kisar
1 sudu besar asam jawa ~ campur air jadikan jus
air secukupnya (ikut pekat cair kari yg disukai ~ dlm 2 ~ 3 cawan je)
garam & gula secukup rasa
minyak untuk menumis
Bendi atau terung bulat secukupnya
cili hijau & tomato jika suka

Bahan penumis
1 sudu kecil halba campur
5 ulas bawang merah ~ dihiris
2 ulas bawang putih ~ dihiris
1 inci halia ~ hiris batang mancis
2 tangkai daun kari ~ biarkan bertangkai jangan lurut

Cara menyediakan
1. Ikan dipotong beberapa bahagian.
2. Panaskan minyak secukupnya dalam periuk lalu tumiskan bahan penumis sehingga wangi & kekuningan. Masukkan cili kisar & tumis hingga naik minyak.  Masukkan pes rempah kari & kacau lagi hingga naik minyak.
3. Masukkan air asam jawa & air & kacau rata.  Bila mendidih, masukkan ikan & biarkan merenih dengan api sederhana.  Sesekali dikacau perlahan supaya ikan tidak hancur.  Masukkan santan, garam & gula secukup rasa.
4. Biar mendidih & kari pecah minyak, bolehlah masukkan bendi & cili hijau & kacau2 bahagian atasnya sehingga bendi lembut.   Akhir sekali masukkan tomato & kacau sedikit lalu matikan api.  Bolehlah dihidangkan bersama gu nya iaitu papedom & lain2 lagi.

Selamat memasak..!

Thursday, July 3, 2014

Kuih Cara Durian

Assalamualaikum & salam Ramadhan...

 
Edisi nak habiskan durian frozen dalam freezer.  Tiba2 datang idea buat kuih cara perisa durian ni untuk iftar hari pertama.  Maklumlah hari pertama puasa kan hari Ahad.. jadi bolehlah nak buat kuih untuk berbuka.  Kalau hari bekerja... pendek kata kuih bazar ajelah..  Rasa kuih cara ni tidaklah kuat sangat rasa durian tu... Nak campur banyak takut adunan jadi pekat & susah pula gula nak tenggelam.  Adunan ni kira ngam2 je.. tak pekat sangat & tak cair sangat.  Kalau nak rasa kelainan kuih cara bolehla cuba... biasa kita makan kuih cara perisa pandan.. kali ni perisa durian pulak... hihihi...



Kuih Cara Durian
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
1 cawan tepong gandum
1 3/4 cawan santan sederhana pekat (boleh tambah 1 ~ 2 sudu besar air jika perlu)
90 g isi durian
1 biji telur B
secubit garam
sedikit pewarna kuning telur
Gula secukupnya
Minyak masak secukupnya

Cara menyediakan
1. Masukkan isi durian ke dalam pengisar diikuti dengan telur, tepong, santan, garam & pewarna kuning.  Kisar sehingga halus & sebati.
2. Panaskan acuan cara & oles dengan sedikit minyak masak. (MaDiHaA guna berus silikon.. jika tiada boleh buat berus dengan daun pandan yang diikan tebal & lipat2)  Tuangkan 2/3 adunan ke dalam acuan cara.  Masukkan gula pasir ikut manis yg disukai lebih kurang 1/2 sudu kecil atau lebih. Tambahkan lagi adunan kuih cara menutupi gula.  Tutup acuan cara & biar seketika sehingga kuih masak.
3. Buka penutup & bolehlah keluarkan kuih cara & susun berdakap di atas pinggan kuih.  Buat sehingga habis. 

Selamat mencuba!

Tuesday, July 1, 2014

Masam Manis Ikan Telinga Gajah

Assalamualaikum & salam sejahtera...

Selamat menjalani ibadah puasa buat semua para sahabat di luar sana... Alhamdulillah sudah memasuki hari ke tiga kita berpuasa. Mudah2an Allah permudahkan urusan ibadah kita di bulan yang mulia ini.. amin...

Sebagai ibu & isteri.. bila sebut bulan puasa pasti tidak lari dengan kewajipan menyediakan hidangan berbuka & bersahur untuk keluarga.  Baru hari ke tiga berpuasa.. sudah pening tak tau nak masak apa.  Almaklumlah.. kalau hari kerja biasanya sehari hanya masak lauk untuk makan malam.  Tapi bila bulan puasa ni.. sehari kena masak 2 kali... untuk berbuka & juga bersahur.. hehe... Mujurlah suami & anak2 MaDiHaA jenis tak kisah.. malah suami lebih suka makanan yang ringkas2 saja untuk berbuka.. jadi tak perlu susah2 nak fikir nak masak lauk pauk.  Masa yang terhad juga membataskan MaDiHaA untuk masak berbagai2... jadi jalan mudah.. kita masak yang goreng2 umpama mee, bihun atau nasi goreng.. Kadang2.. mee & bihun dijadikan sup.. senang keje makcik.  Kalau terlampau buntu.. sesekali kita beli saja di bazar Ramadhan.  Biasanya menu yang dibeli tak lari dari roti john & murtabak... hihihi...

Oklah.. sebenarnya menu yang dikongsi hari ni bukanlah menu berbuka.  Dah beberapa minggu di masak.. cuma tak sempat nak kongsi di blog.  Keadaan kesihatan yang kurang baik.. buat mood untuk update blog jadi lemau... 

Istimewanya menu kali ni.. dapat ikan telinga gajah pemberian dari bapa saudara yang memancing di laut.  Tak pernah beli ikan ni sebelum ni apalagai merasanya.  Ini kali pertama & alhamdulillah.. sedap juga rasa isi ikan ni..  Saranan dari makcik katanya masask masam manis pun sedap.. jadi kita pun buatlah masak manis...



Masam Manis Ikan Telinga Gajah
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan-bahan
1 ekor ikan telinga gajah saiz sederhana/besar (atau apa2 ikan kegemaran)
garam & serbuk kunyit
5 - 6 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tomato

1/2 sudu besar sos tiram
1 cawan air

suku biji nenas ~ didadu
1 biji timun jepun ~ didadu

tomato ceri secukupnya
serbuk perasa jika suka
gula & garam secukup rasa

minyak

Bahan tumis
1 ulas bawang putih ~ didadu
1 biji bawang besar saiz kecil ~ didadu
1 cm halia ~ dihiris halus memanjang

Cara menyediakan
1. Ikan yang sudah dibersihkan dikelar2 kemudian sapukan dengan garam & serbuk kunyit.  Goreng ikan sehingga garing.  Angkat & letakkan di atas pinggan hidangan.
2. Dalam kuali yang sama, kurangkan sedikit minyak lebihan goreng ikan tadi.. tumiskan bahan tumis sehingga layu & wangi.  Masukkan air, sos cili, sos tomato, sos tiram, nenas & timun & biar seketika.

3. Masukkan garam, gula & serbuk perasa biar secukup rasa.  Akhir sekali masukkan tomato ceri & kacau2 kejap & bolehlah dimatikan api.
4. Tuangkan sos masam manis di atas ikan yang telah tersedia.  Hidang panas2.


Selamat mencuba!