Tuesday, December 31, 2013

Kuih Keria Keledek Ungu

Assalamualaikum & selamat pagi semua...



Dah lama rasanya MaDiHaA tak beli keledek.  Baru2 ni suami adalah beli seplastik kecil keledek.  Dengar katanya nak dibakar.  Tapi dah berhari-hari keledek bertapa kat dapur tak pula di usik2nya.  MaDiHaA malas la pulak nak tolong bakar sebab takut salah pulak caranya nanti. Manalah tau dia nak bakar guna arang ke, dapur gas ke, dalam oven atau dalam pemanggang ajaib. hehehe... Mungkin kerana masa dia ada kat rumah di hujung minggu terlalu terhad dia terlupa nak bakar keledek tu.  Masa kami bercuti di Bagan Lalang tempohari, adalah MaDiHaA membeli keledek rebus yang dijual bersama pisang rebus & dimakan dengan kelapa parut & gula perang.  Sedap sungguh rasanya dapat makan juadah kampong gitu lebih2 lagi makan di tepi pantai dengan hembusan angin sepoi-sepoi bahasa.  Terus MaDiHaA teringatkan keledek kat rumah yang dah mula nak menampakkan tunas.  Kalau dibiarkan nanti sikit lagi dapur ku boleh jadi kebun keledek.. hehehe....



Jadi cuti hujung minggu baru ni ada sedikit waktu terluang, MaDiHaA  pun rebuslah keledek tersebut tanpa berkata apa2 pun kat suami.  Dalam kepala entah berentah nak dibuat apa.. dalam kepala terfikir nak buat kuih bom keledek, tapi malas pula nak buat inti kelapanya. Nak buat onde-onde keledek... sama juga nak kena ada kelapa parut putih.  Akhirnya keledek ku jadi kuih keria ni ajelah sebab keria tak perlukan bahan yang susah.  Semua bahan ada kat rumah.  Sedap pula makan berebut2 dengan suami & anak2 di petang hari.. suami pun dah lupa hajat asalnya nak bakar keledek tu bila dapat makan keria yang sedap & lembut ni... hehehe...

Jom makan kuih kampong ni.... sedap... lembut jer...   Ada sesetengah keledek bila direbus jadi begitu lembik & terpaksa campurkan tepong yang lebih untuk dapatkan doh yang boleh dibentuk.  Jika terkena keledek begitu (biasanya keledek warna oren), biasanya MaDiHaA akan campurkan dengan tepong gandum & tepong pulut dengan nisbah tepong yang sama banyak. Jadi tidaklah keria menjadi keras jika hanya dicampurkan tepong gandum.  Tapi keledek ungu ni tidak meresap air jadi tak perlukan tepong yang banyak. Memadai dengan tepong gandum saja & alhamdulillah.. kuih kerianya sedap & lembut!




Kuih Keria Keledek Ungu
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
2 cawan keledek rebus yang siap dilecek halus (MaDiHaA guna keledek warna ungu gelap direbus dengan air & sedikit garam)
2/3 cawan tepong gandum
1/3 sudu kecil garam
Minyak masak utk menggoreng

Bahan salut
3 sudu besar gula pasir
1/3 cawan air

Cara menyediakan
1. Campurkan keledek lecek bersama garam & tepong gandum & uli sehingga rata.
2. Bahagikan doh kepada 2 bahagian. Ambil satu bahagian lalu digelek di atas papan pencanai menjadi bentuk silinder seperti keropok lekor tetapi bersaiz lebih besar anggaran berdiameter 2 inci.
3. Baringkan silinder tadi & potongkan kepada 8 bahagian.  Buatkan bentuk lubang ditengah2  & bentukkan menjadi gegelang atau bentuk keria. Habiskan kesemuanya.
4. Panaskan minyak masak api sederhana lalu gorengkan keria sehingga masak kedua2 belah. Angkat & toskan.
5. Dalam kuali bersih yang lain, masukkan bahan salut & masak sehingga gula larut & menjadi pekat, berbuih2 & bertali2 apabila diangkat dengan sudip.  Bila buih2 hampir hilang & pekat, masukkan kuih keria lalu dikacau rata tanpa berhenti. Bila semua kuih bersalut gula, kecilkan api dan terus balik2kan kuih sehingga air gula bersaka (mengeras) & bersalut dengan kuih tadi. Bila dah cukup kering & tiada lagi nampak berkilat, bolehlah tutupkan api & hidangkan.



Selamat mencuba!

Monday, December 30, 2013

Dah sampai masa..... alhamdulillah... terima kasih Nuffnang..!

Assalamualaikum & selamat petang semua.....



Dah lama MaDiHaA tak update pasal Nuffnang kan?  Alhamdulillah berkat sabar menunggu & mengupdate blog yang tak seberapa ni.. nampaknya dah sampailah masanya untuk MaDiHaA cash out Nuffnang yang terkumpul selama lebih kurang 2 tahun lebih.  MaDiHaA mula memasang iklan Nuffnang lebih kurang setahun selepas berblog bila nampak kawan2 blogger yang memasangnya.  Tempoh setahun sebelum itu MaDiHaA belum betul2 faham apa itu Nuffnang.  Alhamdulillah berkat perkongsian dari rakan2 terutamanya Mat Gebu ketika itu yang tak lokek berkongsi info, akhirnya MaDiHaA terbuka hati untuk membuka akaun Nuffnang.  

Terima kasih kepada semua pengunjung blog MaDiHaA ye.. Terima kasih juga kepada yang sudi klik2 iklan Nuff di blog ini.  Tanpa anda semua.. tiadalah hasil seperti ini. Thanks semua...



Kini dah tibalah masanya untuk MaDiHaA cash out sebab spek mata MaDiHaA sudah tiba masa untuk ditukar baru.  Dah hampir 6 tahun guna spek mata ni tau.. dah ada kesan2 calar yang sedikit sebanyak mengganggu pemandangan.  Power pun dah bertambah sikit.. jadi tak salah rasanya MaDiHaA gunakan hasil berblog ini untuk menukar spek baru kan... 

Terima kasih Nuffnang!

Tempahan terakhir sebelum order ditutup sementara....

Assalamualaikum & salam sejahtera....


Pagi ni scheduled entry je.   Pagi ni kena ikut bos keluar atas urusan kerja. So... memang tak sempat nak jenguk blog la ye.  Takde resepi untuk hari ni sebab tak sempat nak tulis resepi.. jadi pagi ni share sedikit tempahan terakhir sebelum MaDiHaA menutup order untuk sementara waktu.   


50 biji apam gula hangus & 60 biji cara berlauk order dari jiran depan rumah. Ini kira last minit order dah ni.. hehehe.. terima juga sebab jiran.. TQ Laily order dgn kita... lebih kurang minta halal ye..


Untuk resepi Kuih Cara Berlauk boleh klik SINI.


Apam Gula Hangus. Untuk resepi boleh klik SINI.




25 pack sandwich telur & 25 pack sandwich sardin order dari Ida.  TQ Ida harap berpuas hati dengan order ye.  Jika ada yang terkurang mohon dihalalkan.

Hingga jumpa lagi..



 

Friday, December 27, 2013

Gulai Lemak Cili Padi Labu Kuning

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Ini dia sayur yang diregukan dengan Sambal Tempe semalam.  Nampaknya tiap2 minggu ada menu bersantan ni.. hehehe.. takper2.. tak lebih dari sekali seminggu tu kira oklah. Masih under control.. hehe.. Goreng juga ikan gelama masin.  Memang bertambah2 Kak Ton makan nasi... Eh Kak Ton jangan makan banyak2... nanti hilang kecomelan... hahaha.. jangan marah ye Kak Ton.. gurau2 je..

Jomlah MaDiHaA kongsikan resepi kampong ni pula ye.  Lama sungguh tak buat labu masak lemak gini.  Hari tu ke pasaraya nampak labu elok & murah pulak tu.. terus rembat sebiji bersaiz sedang.  Elok empuk labunya.  Sayur gini anak2 tak layan.. dorang makan kuah je... haishh anak2 ni memang susah nak menduga selera dorang ni. 



Gulai Lemak Cili Padi Labu Kuning
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
1/2 biji labu saiz sedang
200 ml santan kotak
2 1/2 cawan air
garam & serbuk perasa secukupnya
1 helai daun kunyit
1 batang serai
1 sudu kecil serbuk kunyit

Bahan Kisar
15 biji cili padi (jika tak suka pedas boleh kurangkan)
4 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
sejemput ikan bilis

Cara menyediakan
1. Campurkan bahan kisar, santan & air dalam periuk. Masukkan serai & daun kunyit. Masak dengan api sederhana sambil dikacau sentiasa.
2. Bila hampir mendidih masukkan labu & teruskan mengacau perlahan2 sehingga labu hampir empuk. Masukkan garam & serbuk perasa secukupnya. Bila labu empuk bolehlah matikan api & hidang.

Selamat berhujung minggu.

Thursday, December 26, 2013

Sambal Tempe, Kentang & Ikan Bilis

Assalamualaikum & selamat pagi...


Lauk berasaskan tempe ialah yang paling paling paling MaDiHaA gemar sekali. Kalau tapau atau makan nasi waktu lunch hari bekerja.. pantang nampak tempe, tak kiralah sambal tempe atau tempe goreng tepong... tanpa teragak2 memang wajib ambil.  Tak peduli uric acid tinggi kalau dah suka... den hentam saja... degil kan? Penyudahnya.. diri sendiri yang merana.. hehehe...  Sebab tu kat rumah MaDiHaA hadkan untuk masak tempe ni.  Kalau ikutkan hati memang suka sangat.  Cuma bila makan kat luar tu memang tak boleh elak bila makanan dah siap ada depan mata. hehe...

Rasanya semua orang pandai buat sambal tempe macam ni kan? Takpelah.. MaDiHaA letak sajalah resepi kat sini buat rujukan anak2 nanti.  Kakak Dini pun suka sambal tempe & kentang ni.  Sambal ni boleh dipelbagaikan.  Boleh guna cili kering kisar.  Tapi kali ni MaDiHaA masak guna campuran cili padi & cili merah.  Kasi pedas sikit baru sedap!




Sambal Tempe, Kentang & Ikan Bilis
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
2 keping tempe plastik ~ hiris kecil
2 biji kentang saiz sedang/besar ~ hiris sederhana nipis
Segengam ikan bilis yang siap dikopek
Garam, gula & perasa secukup rasa
Minyak masak secukupnya

Bahan kisar
15 biji cili padi
4 ~ 5 biji cili merah
1 biji tomato ranum saiz besar
6 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih

Cara menyediakan
1. Goreng tempe, kentang & ikan bilis cara berasingan sehingga garing.
2. Dalam kuali lain, panaskan minyak & tumiskan bahan kisar sehingga naik minyak.  Masukkan garam, gula & serbuk perasa secukup rasa.
3. Masukkan tempe, kentang & ikan bilis yang digoreng & gaul rata. Angkat & hidang.

Selamat mencuba

Tuesday, December 24, 2013

Mee Sizling

Assalamualaikum & salam sejahtera...



Lama juga MaDiHaA tak masak mee jenis berkuah ni.  Tapi kalau mee goreng memang kerap sangat jadi hidangan sarapan kami sekeluarga.  Cuma malas je nak ambik gambar.. hehe..  kalau makan kat luar.. kerap juga MaDiHaA order mee sizling ni.. kadang2 order nasi claypot.. en. husband pun suka hidangan ala Cina lebih2 yang ada masukkan cendawan shitake tu.  Dulu MaDiHaA kurang suka bau dari cendawan tu.. tapi sekarang dah ok dah.  Malahan dah jadi suka pulak dah kunyah2 cendawan yang kenyal2 tu.. faktor umur boleh jadi.. hehe..

Oklah jom kita ubah selera sikit kali ni.. asyik hidang dengan nasi pun jemu jugak.


Mee Sizling
Resepi : MaDiHaA aka Ratna (hidangan 5 orang)

Bahan2
5 keping mee kering/ yee mee (pastikan ada chop halal JAKIM)

Bahan2 Kuah
4 ulas bawang putih ~ diketuk & cincang
5 sudu besar cili kering + bawang besar + bawang putih kisar
400 gm isi ayam ~ dipotong sederhana nipis memanjang
8 keping cendawan shitake kering ~ direndam hingga kembang & hiris sederhana nipis
4 sudu besar sos tiram
2 sudu besar sos lada hitam
6 sudu besar kicap manis
2 sudu besar kicap pekat
1 sudu kecil serbuk pati ayam
2 sudu kecil lada hitam kisar (kisar sendiri)
2 ~ 3 pokok sawi ~ dipotong
1 mangkuk kecil cauliflower yang siap dipotong floret
2 sudu besar tepong jagung ~ bancuh dengan 100 ml air
900 ml ~ 1 liter air (ikut keperluan.. boleh kurangkan atau tambah ikut kepekatan yang anda suka)
minyak untuk menumis
telur ikut keperluan 
400 ml air (untuk masak telur)
1 sudu kecil cuka (untuk masak telur)

Cara menyediakan
1. Panaskan minyak lalu tumiskan bawang putih hingga wangi. Masukkan cili + bawang kisar & tumis hingga naik minyak.  masukkan cendawan shitake & isi ayam & masak hingga ayam berubah warna.  
2. Masukkan air (jangan habiskan dulu air), sos tiram, sos lada hitam, kicap manis, kicap pekat, serbuk pati ayam & lada hitam kisar.  Biarkan mendidih.  
3. Masukkan sawi & cauliflower & kacau rata. Perlahankan api tunggu ia merenih.  
4. Dalam kuali yang lain.. panaskan 400ml air & 1 sudu kecil cuka & biarkan mendidih.  Bila mendidih pecahkan telur dalam air satu persatu.  Tunggu telur seakan masak & angkat dalam piring & masak lagi telur ikut keperluan. (tujuan masak telur berasingan supaya telur tak hancur & mudah nak hidang nanti)
5. Sementara menunggu telur siap dimasak, dalam kuali kuah tadi bolehlah dituangkan air bancuhan tepong jagung & kacau rata sehingga kuah sedikit pekat.  Rasa kuah & jika kurang masin boleh tambah sedikit garam. (MaDiHaA tak masukkan garam dah).  Bila dah cukup rasa boleh matikan api.
6. Panaskan pula air untuk merebus yee me tadi.  Bila yee mee dah lembut bolehlah angkat & tos.
7. Untuk menghidang, ambil sedikit yee mee yang direbus dalam pinggan hidangan, letak sebiji telur & cedok kuah & curahkan atas yee mee tadi.  Boleh juga hidangkan dengan cili hijau jeruk.

Selamat mencuba!

Friday, December 20, 2013

Tempahan ~ Pulut Kuning Berhias & Apam Polkadots

Assalamualaikum & salam sejahtera....



Seperti biasa hari Jumaat tuan punya blog kurang rajin update resepi.  Jadi untuk tatapan hari ni hanya ada Pulut Kuning Berhias & Apam Polkadots tempahan sahaja. Jangan maree yer... 



Oh ya.. tempahan ni adalah tempahan yang diambil sebelum order ditutup.  Syukur alhamdulillah customer berpuas hati dengan tempahannya.  Sanggup datang jauh2 dari Kajang untuk ambil ordernya di Bandar Sunway.  Terima kasih Nadira.  

 Pulut kuning berlapis serunding daging yang sangat sedap!

Oklah.. layan gambar order dulu ye... nanti ada kerajinan & masa MaDiHaA update resepi pula ye. Yang pastinya.. mesti resepi2 sempoi belaka.  Nowadays... takde masa sangat nak bereksperimen yang cerewet2 macam dulu2.  Masa begitu terhad dengan pelbagai perkara yang wajib diselesaikan.  Jadi ibu bekerja macam ni lah... setiap hari sentiasa sibuk menguruskan dua kewajipan di pejabat & di rumah setiap hari.  Tapi alhamdulillah kita buat dengan ikhlas hati pasti ada ganjaran yang menanti.

200 apam polkadots

Hingga jumpa lagi...

Thursday, December 19, 2013

Apam Gula Hangus

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Baru2 ni jiran depan rumah tempah kuih dengan MaDiHaA.  Sebenarnya masa tu MaDiHaA dah tutup order.  Tapi tak sampai hati pulak nak tolak sebab dia dah berharap.  Katanya order untuk majlis kakaknya.  Akhirnya ambil jugalah ordernya. Nasib baik tak banyak sangat. Hanya 50 biji apam gula hangus & 60 biji kuih cara berlauk. hehe...

Oklah hari tu dah update kat FB ada pula yang tanyakan resepi apam gula hangus ni.  Jom MaDiHaA kongsikan.  Kalau teringin bolehlah cuba buat sendiri ya.  Tak susah mana pun.. mudah aje.  MaDiHaA dapat resepi ni pun dari internet juga.. insyaAllah pasti jadi.  Yang penting ikut step by step dengan betul ya.. Tuang adunan ke acuan tu jangan sampai penuh ye. Setakat 3/4 penuh dah cukup. Nanti apam akan naik tinggi. Terima kasih pada penyumbang asal resepi ni... sedap lembut & gebu...




APAM GULA HANGUS
Sumber : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2

150g Gula Castor
100ml Air panas
70g Mentega ~ dicairkan
75ml Susu cair
1 biji Telur ~ dipukul sedikit
150g Tepung gandum ~
1 sudu kecil Bicarbonate Soda ~ Ayak dengan tepong
Secubit garam ~
75g Gula Castor (MaDiHaA kurangkan ke 50 gm)

Cara Menyediakan
1. Cairkan 150g gula castor dengan api perlahan. Jangan sampai hangus nanti pahit. Setelah gula cair, tuangkan air panas perlahan-lahan. ~berhati-hati ye~
Kacau rata di atas api sehingga mendidih dan menjadik sirap gula. Tutup api dan biarkan sejuk. Sementara tu bolehlah panaskan kukusan.
2. Setelah sejuk, masukkan mentega cair, susu cair dan telur.. Kacau rata.
3. Campurkan bersama tepung, soda bikarbonat, garam dan 75g gula. Buatkan lubang ditengah adunan dan curahkan sirap gula perlahan-lahan. Kacau rata. Jika adunan berketul2 boleh ditapis atau guna mixer dan putar hingga berkrim. 

4. Tuang dlm acuan kegemaran 3/4 penuh (yang telah dilengser dengan minyak masak) dan kukus hingga masak anggaran 13 - 14 minit (bergantung saiz acuan).

 Selamat mencuba!

Wednesday, December 18, 2013

Sambal Tomato Marveles lawan dengan Ikan Bakar Garam Kunyit & Tumis Petola.. menu sihat pulak..

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Alhamdulillah masih dipanjangkan umur & setiap hari masih dapat menikmati makanan yang sedap2 & menghirup udara ciptaan Allah s.w.t ini dengan begitu tenang.  Hati MaDiHaA sehari dua ni begitu tersentuh bila mendapat perkhabaran yang sahabat baik & teman sepermainan MaDiHaA semasa kecil dahulu sedang dalam kesusahan.  Sampainya hati sang suami meninggalkan beliau di saat2 beliau dalam kesakitan.  Sudahlah sakit & terpaksa berhenti kerja sebab mengalami kesakitan di bahagian tulang pinggul.  Suami pula meninggalkannya kerana mengejar perempuan lain.  Makan & minum pun harapkan belas ikhsan saudara mara terdekat kerana ketiadaan duit belanja.  Baru2 ni dia ke hospital kerana tak tahan sangat dengan kesakitan yang dialami & doktor sarankan untuk buat ujian MRI.  Masuk hospital pun ditemani anak kecil yang berusia 9 tahun.  Bila tanya kau masuk hospital siapa yang jaga anak?  Jawapnya.. "dia yang jaga aku kat hospital.. aku jaga dia, dia jaga aku".  Sedihnya mengenangkan nasib sahabat MaDiHaA tu.  Susah2 kami rupanya ada sahabat sendiri yang jauh lebih susah dari kami.  Ya Allah.. kau permudahkanlah urusan sahabat ku Norhana binti Zakaria.  Kau bukakanlah pintu hati suaminya untuk kembali padanya.. moga terjaga makan minum & sakit pening sahabatku itu ya Allah.. Amin ya Rabbal alamin. Hajat di hati teringin juga menjenguknya nanti jika ada rezeki.  Jika dekat dah lama MaDiHaA melawatnya. Tapi jarak kami agak jauh kerana dia berada di Kuantan.  (dapat contact balik dia pun disebabkan mak MaDiHaA yang terkandas banjir di Kuantan tempohari..) Suami pun dah memberi keizinan untuk membantu beliau apa yang kami mampu.  Tak sampai hati mendengar kesusahan yang dialami... hari ini hari dia.. mungkin esok lusa hari MaDiHaA pula. Maafkan MaDiHaA kerana bersentimental kat sini ya.. Sekadar meluahkan apa yang terbuku dalam hati.



Oklah jom MaDiHaA kongsi menu sihat hari ni.  Kelmarin dah makan lauk bersantan hari ni kita hidang menu sihat pula ye.  No santan, low oil. hehe.. MaDiHaA memang hadkan pengambilan santan dalam hidangan.  Paling kerap pun, seminggu hanya sekali ada menu bersantan.  Kadang2.. 2 minggu baru jumpa lauk bersantan. Kesihatan harus diutamakan.  Kalau dah sakit nanti.. sendiri juga yang merana.  Tapi kalau sesekali nak ternak lemak tu.. mungkin boleh dimaafkanlah ye.. kadang2 tekak ni teringin juga nak makan yg sedap2.. hehehe... Walaupun masak lauk simple begini.. alhamdulillah kami sekeluarga sangat berselera sekali.  Apalagi ada Sambal Tomato yang tersangatlah sedap ni.  Terima kasih Amie yang bercerita pasal kesedapan sambal tomato ni.. Lepas ni MaDiHaA dah tau lah nak buat apa jika ada stok tomato berlebihan (lebih deko pulut kuning). Pasti Sambal Tomato yang marbeles ni yang akan jadi sasaran... Hari tu konon2 nak buat ikut resepi macam banyak sangat.  Buat setengah resepi.. rupa2nya hanya sempat makan 2 kali je sambal dah selesai! hahahaha... lain kali buat terus 1/2 kg tomato.  Patutlah Amie kata dia suka buat stok sambal banyak2.  Sebabnya memang sekejap je selesai sambal tu apalagi ramai askar kat rumah kan..

Ok ok.. jom MaDiHaA kongsikan resepi sedap ni... rugi kalau tak cuba tau.. memang best & highly recomended!


Sambal Tomato




Bahan-bahan:
1/2 kg buah tomato - cincang
2 biji bawang besar - cincang
2 batang serai - dititik
3 keping asam gelugur
garam / gula (MaDiHaA guna gula merah + gula pasir) / perasa pilihan secukupnya
minyak



Bahan kisar :
5 biji cili merah
1 cawan cili padi
10 ulas bawang putih
2 inci belacan
1/2 cawan udang kering - rendam hingga kembang dan toskan airnya
1 cawan udang geragau - bilas



Cara:
1. Panaskan minyak secukupnya dan masukkan kesemua bahan kisar. Tumis sehingga naik bau.
2. Masukkan serai, asam gelugur, bawang besar da tomato. Gaul rata.
3. Perlahankan api dapur, dam biarkan sambal mendidih sehingga tomato dan bawang besar hancur.
4. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.

Ikan Bakar Garam Kunyit

Bahan2
3 ekor ikan kembong saiz besar
garam & serbuk kunyit secukupnya
Sedikit minyak masak
 
Cara menyediakan
Bersihkan ikan & kelar.  Lumurkan dengan garam & serbuk kunyit.  Masukkan ke dalam pemanggang ajaib & tuangkan beberapa titik minyak masak. Masak menggunakan api kecil sehingga ikan masak kedua2 belah. (MaDiHaA balikkan ikan dengan membuka penutup pemanggang tu & balikkan secara manual je.)



Jemput makan...

Monday, December 16, 2013

Gulai Lemak Cili Padi Kulat Sisir / Cendawan Kukur

Assalamualaikum & salam sejahtera...


MaDiHaA lupa bila tarikh sebenarnya.. dalam 2 bulan lepas kot.. ada sorang adik yang hubungi MaDiHaA minta tolong carikan kulat sisir sebab maknya kat kampong teringin sangat2 nak makan kulat sisir.  Kesnya.. dia ternampak entry lama pasal kulat sisir dalam blog MaDiHaA ni.  Katanya kalau boleh dapatkan sebelum dia pulang bercuti ke kampong.  Memang MaDiHaA janji akan cuba carikan. Tapi malangnya memang tak jumpa kulat sisir kat mana2 waktu tu.  Suami MaDiHaA dah cuba cari kat pasar pagi Taman Medan, dan cari juga kat pasar besar PJ pun takde.  Jadi memang tak dapatlah nak lunaskan permintaan Izan buat maknya yang mengidam.  Memang takde rezeki.  Maaf kan akak ye Izan.



Minggu pertama cuti sekolah tempohari kami jemput kakak Dini kat asrama & ambil kesempatan untuk pulang ke kampong mertua sekali.  Yelah.. jarak kg mertua dengan sekolah anak sulung kami tu tak jauh mana pun.  Memang patut sangatlah kami balik kampong sekali kan.  Nak dijadikan rezeki.. mertua bagi kami kulat sisir yang dibelinya.  Beli kat mana tu tak pasti pula sebab waktu kami balik tu.. kulat sisir ni memang dah sedia ada kat dalam peti sejuk mak.  Tak silap MaDiHaA.. mertua kata dia beli RM16! Mak oii.. boleh tahan juga harganya.  MaDiHaA tengok takdelah banyak sangat kulat tu.  Tp tak taulah kalau mertua dah masak sikit kulat tu.  Kulat yg dibeli tu dibahagi dua dengan kami.  Alhamdulillah.. sebenarnya kami pun dah lama tak makan kulat sisir ni.. memang seronok sangatlah bila mak bagi tu.  Dapatlah sekali menggulai.  Terima kasih mak!

Menurut suami MaDiHaA zaman dia budak2 dulu.. kulat sisir ni diaorang kutip sendiri je pada batang getah yang tumbang.  Jenuh nak mengutip katanya.  Biasanya kulat sisir ni memang tumbuh pada batang pokok tumbang especially batang pokok getah seperti dalam gambar kat bawah tu.  Sebab tulah sebelum masak kulat ni kena kerat sikit kaki kulat tu sebab takut2 terlekat kulit batang getah pada kakinya tu.  Gambar ni ehsan dari fb Imah kawan MaDiHaA dari Perlis.  Imah kata.. kat kg dia senang nak jumpa kulat sisir ni nak plak kalau ada getah tumbang.  Memang jadi rezeki mereka lah.  MaDiHaA zaman budak2 dulu memang tak pernah ada pengalaman kutip kulat sisir. Sebab kg. MaDiHaA memang takde kebun getah. almaklum kg MaDiHaA hanya ada pokok sawit.  Kalau dalam kebun sawit.. senang nak jumpa kulat tahun.  Kulat tahun pun salah satu kulat feberet MaDiHaA. Sedap!  Sekarang ni pulak.. dengar kata ada sejenis kulat yang mereka panggil kulat tandan.  Kulat ni tumbuh pada tandan kelapa sawit lama yang dipotong.  MaDiHaA pernah rasa & kulat ni sama sedap macam kulat tahun juga. 


 Gambar kat atas ni.. belah kiri tu kulat sisir yang telah direndam & dibersihkan, dan sebelah kanan tu selepas kulat ditumbuk kasar. Kulat yang terjual biasanya kulat yang sudah dikeringkan. Jadi kita kena rendam sebelum dimasak.

Okey jom tengok resepi Gulai yang MaDiHaA masak baru2 ni.  Seronok bila berkongsi di FB.. ramai yang berkongsi lain2 resepi yang boleh dimasak menggunakan kulat sisir ni.  MaDiHaA sebelum ni hanya pandai masak goreng pedas + cili padi & bilis dengan gulai lemak aje. Lain kali boleh cuba resepi2 yang kawan2 cadangkan pula.



Gulai Lemak Cili Padi Kulat Sisir / Cendawan Kukur
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
2 cawan kulat sisir / kulat kukur kering
15 biji cili padi
4 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
sejemput ikan bilis ~ direndam sekejap
2 batang serai ~ dititik
900 ml santan sederhana pekat (MaDiHaA gunakan 200 ml santan kotak + 700 ml air)
garam & serbuk perasa secukupnya

Cara menyediakan.
1. Kulat sisir dibersihkan segala kotoran, kerat kakinya jika terlekat kulit kayu kemudian direndam.  Sauk kulat sisir menggunakan tangan buangkan air serta kekotorannya.  Rendam sekali lagi & buatlah seperti tadi sekali lagi supaya semua kekotoran yang melekat pada kulat terpisah.  Cucurkan kulat di bawah air paip & tos sebentar.  Tumbuk kulat menggunakan lesung batu tetapi jangan sampai hancur.  Tumbuk manja2 je ye.
2. Tumbuk pula ramuan seperti cili padi, ikan bilis, bawang merah & bawang putih hingga lumat.
3. Dalam periuk, masukkan santan, bahan tumbuk, serai, kulat yang ditumbuk, garam & serbuk perasa secukupnya.  Masak dengan api sederhana sambil sentiasa dikacau.  Jika suka boleh masukkan 1 keping asam gelugur.  Boleh dimatikan api bila dah secukup rasa.



Selamat mencuba!