Tuesday, July 31, 2012

Bingka Suji


Assalamualaikum...

Apa khabar semua? Harapnya semua pun sihat2 sentiasa ya.  Pagi tadi sempat juga MaDiHaA BW beberapa blog geng masak2.  Ada antaranya dah pun mulai membuat kuih raya.. Seronok pula tengok kuih2 raya yang kawan2 buat.. cantik & menarik!


Kat rumah pun kakak Dini ada juga bertanya tahun ni ibu nak buat kuih raya tak? Lalu ku jawap.. manalah ada hati ibu nak buat kuih raya kakak... sedangkan kita sendiri pun tak tau lagi nak beraya di mana... tak usah fikirlah pasal kuih raya... tak sampai hati ibu nak beria2 sambut raya sedangkan tokma masih lagi dalam keadaan yang tidak stabil ke sana ke sini bagai kucing kehilangan anaknya.. hmm.. entahlah.. tapi bila difikirkan balik.. kasihan pula pada anak2 yang teringin nak makan kuih raya kan... Bak kata teman2... apapun yang berlaku.. hidup harus diteruskan... Setiap tahun kalau ibu terasa rajin nak buat kuih raya.. kakak Dinilah yang selalu menolong ibu.. Tahun ini.. belum ada kepastian samada nak buat atau tak... tunggu & lihat sajalah..

Jom nak kongsi resepi kuih bingka yang sedap nih!  MaDiHaA ni kalau cerita pasal makanan semua pun sedappp.. hahaha.. Ehh.. tapi ni memang betul sedap.. kalau tak sedap kita diam2 je.. kalau sedap kenalah puji lebih2.. Tapi sedap atau tak tu sebenarnya bergantung pada selera masing2 jugalah kan.. Ada sesetengah orang kurang suka kuih2 jenis lembut macam ni dan dah tentu2lah dia akan kata kuih ni tak sedap.. hihi..


Ok kuih ni sebenarnya ku buat pada pagi Sabtu lepas untuk berbuka puasa. (buat pagi sebab petang nak ke Klang) Lepas hantar kakak Dini ke kelas tambahan singgah kedai untuk beli tahu pok untuk buat Tahu Anura kemudian sempat juga capai tepong suji & santan untuk buat kuih Bingka Suji ni.. Sempatlah godek & bakar sebelum jemput kakak Dini balik dari tuisyen.  Dah beberapa kali ku buat kuih ni sebabnya kuih ni kegemaran semua termasuk hubby!  Bukan senang en. abang nak makan kuih2 jenis macam ni.. tapi Bingka Suji ni dia suka la pulak.. Kalau nak baca cerita masa mula2 MaDiHaA buat dulu.. ada ceritanya kat sini.  Hehe.. memang kenangan.. kelakar pun ada.. tak boleh lupa bila hubby komplen kuih ni kenapa lembik.  Yelah.. apa tak lembiknya.. kuih baru je masak dah nak di'korek'nya.. haha.. Sebenarnya masa tu hubby tak tahan dengan bau Kuih Bingka Suji yang harum semerbak semasa kuih sedang di bakar. Tu yang panas2 dah nak di rasanya.. hihi...

 ni gambar lama masa mula2 buat dulu...
Bingka Suji
Resepi :  Chef Norzailina Nordin (terima kasih!)
Sumber : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
5 biji telur (MaDiHa guna gred A)
180-200 g gula kastor
250 g tepung suji
300 ml santan (dari 1 biji kelapa) (MaDiHa guna 200 ml santan kotak dilute dgn air menjadi 300 ml)
100 ml susu cair
6 - 7 helai daun pandan, hiris halus & dikisar dengan 150 ml air untuk jus pandan (air tu.. bukan air yg 550 ml tu tau!)
550 ml air
½ camt garam
140 g marjerin
50 g tepung gandum
1 camt vanila

Cara membuatnya:
1. Alas loyang 25 cm dengan foil. Lengser sedikit marjerin.
2. Pukul gula dan telur hingga sebati.
3. Tuang adunan telur ke dalam kuali, masukkan suji, susu cair, santan, jus pandan, garam dan air.
4. Kacau rata di atas api sederhana hingga pekat.
5. Ketepikan dari api, campurkan marjerin, tepung dan vanila. (MaDiHa ayakkan tepung sikit demi sikit terus ke dalam kuali sambil dikacau)
6. Kacau sebati kemudian tuangkan ke dalam loyang.
7. Bakar selama 1 jam dengan suhu 200C atau hingga keemasan. Gril sebentar biar permukaannya nampak garing (jika membakar api atas dan bawah, masa memasak singkat dan atasnya akan keperangan).

Selamat mencuba!

Monday, July 30, 2012

Tahu Anura yang marbelessss....


Assalamualaikum...

Alhamdulillah... sudah pun masuk Ramadhan ke sepuluh hari ini... sekejap betul masa berlalu... sedar2 nanti dah pun nak menghampiri Syawal.. Bagi ibu2 tentu sedang sibuk dengan persiapan raya kan.. maklumlah.. kalau ditunggu hingga ke saat akhir nanti kelam kabut pula... Jadi sebaiknya kita membuat persiapan awal terutama bab mencari pakaian raya anak2 yang masih kecil.  MaDiHaA pula ambil kesempatan minggu cuti hubby Sabtu kelmarin untuk mencari pakaian anak2. Dah settle semuanya bab pakaian.. cuma bab kasut je yang belum settle lagi.. maklumlah lain2 tempat.  Setiap tahun.. baju anak2 biasanya kami suka cari di The Store Klang saja.. manakala kasut pula kami suka cari di IOI Puchong.. hehe... Bukan apa.. di Puchong ada beberapa cawangan kedai kasut Princess..  sebab ibunya ni lain tempat memang susah nak cari kasut..hanya kat Princess je yg senang nak cari. Sebenarnya ibunya ni bukanlah kata kasut untuk beraya sangat.. tapi lebih kepada kasut untuk kerja sekali.. kira 2 in 1 jugalah kan...


Hmm... baju raya anak2 dah siap.. tapi kami sendiri pun tak tau kemana arah kami nak beraya tahun ini.. di kampong halaman kami di Pahang kah? Atau di Kuala Terengganu kah? Semuanya belum dapat ditentukan lagi... Tapi yang pasti tahun ini memang giliran beraya di sebelah ku sebab tahun lepas dah beraya di rumah mertua... Begitulah rutin kami setiap tahun giliran beraya tetap diteruskan supaya masing2 berpuas hati.. hehe.. Cuma tahun ini kami belum dapat membuat keputusan beraya di mana.. Semuanya bergantung keperluan kerana dugaan yang melanda kami baru2 ini belum lagi dapat penyelesaiannya.  Seandainya perlu kemungkinan kami akan beraya di KT kerana ma sudah pun menyewa sebuah rumah di sana selama sebulan.. Dah tak larat nak sewa resort maupun homestay ikut hari atau minggu kerana kosnya terlalu tinggi... sewa terus dengan ikat janji sebulan-sebulan jika perlu.. dapatlah diskaun & dapatlah berjimat sikit...  Apa2pun.. segalanya masih belum dapat ditentukan... Rasanya.. raya tahun ini adalah raya yang amat menyedihkan bagi kami sekeluarga setelah yang terakhir pernah berlaku 10 tahun yang lalu dimana raya Aidilfitri kami pada tahun 2002, kami telah kehilangan ayah tercinta 4 hari sebelum raya menjelang. Tahun ini ianya mungkin berulang kembali... cuma situasinya saja yang berbeza.. sedihnya bila dikenang2 kembali....
Oklah.. barang yang lepas usah dikenang...  kita teruskan dengan tujuan asal untuk berkongsi resepi ye.  Mohon maaf kerana kebelakangan ini MaDiHaA banyak meluahkan perasaan & cerita2 peribadi di sini.. Bukan bertujuan untuk meraih simpati tetapi ianya sekadar buat kenang-kenangan kami... 


Ok jom MaDiHaA kongsikan resepi yang sedap nih!  Tertunda2 nak mencuba resepi dari Azian ni disebabkan kesibukan.  Tapi petang semalam gagahkan diri juga membuatnya sebab dah lama teringin nak merasa kesedapannya.  Pagi Sabtu kelmarin lepas hantar kakak Dini ke kelas tambahan terus singgah kedai untuk membeli tahu kering atau tahu pok bahan utamanya.  Manakala bahan2 yang lain semua dah ada kat dapur tu.. Kalau sebut tahu atau tauhu saja... MaDiHaA memang tak tolak punya... malah.. rasa tak sabar2 nak merasa..  Bila Azian menceritakan kesedapan Tahu Anura ni hingga dia berjaya membuatnya sendiri disebabkan keluarganya terlalu sukakannya.. Jadi pada hemat MaDiHaA tentu resepi ini sangat sedap & istimewa.. jadi bertambah2 tak sabar nak mencuba. Akhirnya petang Ahad barulah dapat membuatnya sebab petang Sabtu tu.. kami ke Klang mencari baju raya anak2.. Alhamdulillah.. tercapai juga hajat hati nak merasa Tahu Anura ni.. Memang betul2 sedap & menyelerakan!  Kakak Dini berkali2 suruh buat lagi.. hehe... Hubby pun cakap sedap... InsyaAllah.. pasti ada ulangannya..

Menurut Azian.. Tahu Anura sangat femes di Pasar Ramadhan Taman Melawati 12 ~ 13 tahun dahulu.. (dan mungkin juga sehingga kini)  Ianya adalah tahu kering yang disumbat dengan isian kentang yang dimasak terlebih dahulu.  Kemudian semasa menghidang dicurahkan dengan sosnya yang istimewa tu.. sebelum dimakan jangan lupa tabur bawang yang digoreng sendiri serta sedikit bijan yang disangai.. Tentu bertambah wangi & sedap dengan adanya bawang goreng tu.  Kemudian bolehlah rasakan kesedapannya tu... Aahh... malaslah nak goda lebih2 bulan2 puasa ni tak baik.. nak tau akan rasanya.. silalah cuba buat sendiri ye... Ribuan terima kasih MaDiHaA ucapkan pada Azian kerana berkongsi resepi specialty keluarganya dengan kami semua... Bukan senang tau orang yang dah berjaya mencipta sendiri resepi hanya dengan deria rasanya dari resepi yang asal kemudian nak berkongsi pula dengan semua orang.  Bukan senang tu... pasti dah buat ujikaji berulang2 kali untuk mendapatkan resepi yang serupa dengan resepi asalnya kan.. Thanks ye Azian.. Mohon diletakkan di blog MaDiHaA pula buat rujukan masa depan & mungkin juga buat teman2 atau peminat tahu macam MaDiHaA yang ingin mencuba...



TAHU ANURA 

BAHAN A

Tahu kering secukupnya (MaDiHaA guna 1 peket besar yg harga RM3.50 tu  & pastikan yang ada logo halal ye..)
(tahu utk tahu bakar)
4-5 biji kentang
1/2 cawan Frozen mix vegetable
2-3 ulas bawang putih
1 cawan air
2-3 biji telur
lada sulah
garam secukup rasa
minyak untuk menggoreng 

Bawang goreng secukupnya (MaDiHaA goreng sendiri bawang)
Bijan yg disangai


CARA MENYEDIAKAN:-
1. Kupas kulit kentang dan potong dadu. 
2. Tumbuk bawang putih dan tumis dengan sedikit minyak. Bila dah kekuningan masukkan air dan ubi kentang.
3. Masukkan garam secukup rasa dan masak sehingga kentang empuk. Tambahkan air jika perlu.
4. Apabila hampir kering airnya, masukkan mix vegetable dan gaul rata. Taburkan sedikit lada sulah.  Masak sehingga air agak kering.
5. Angkat dan sejukkan sebelum di sumbat ke dalam tahu kering. [cara nak sumbat tu.. MaDiHaA gunting sedikit permukaan tahu (spt dlm gambar) kemudian buka2 sikit tahu tadi biar ada ruang untuk inti..  (tahu kering tu memang agak kosong kat dalamnya) masukkan inti kentang menggunakan sudu sehingga penuh.]
6. Untuk menggoreng tahu, pecahkan telur. Perasakan dengan sedikit garam dan lada sulah. Kacau sedikit telur. 
7. Celupkan tahu dalam bancuhan telur tadi dan goreng di dalam minyak penuh yang cukup panasnya sehingga garing.
8. Angkat dan toskan minyak nya. Potong kiub besar-besar dan curahkan sosnya semasa menghidang. Taburkan bawang goreng dan sedikit bijan. (tanpa bawang goreng aroma tahu anura tidak akan naik.)

BAHAN B ( bahan sos)
2-3 ulas bawang putih
1 inci halia
1 cawan cili kisar
1 cawan cili sos
1/2 cawan tomato sos
2-3 keping gula melaka (MadiHaA guna gula merah yang dimasak dengan sedikit air & tapiskan)
1 cawan air asam jawa
(2 tbsp asam jawa)
1/2 cawan air
bijan untuk tabur.
minyak masak

CARA MENYEDIAKAN:-
1. Tumbuk bawang putih dan halia hingga lumat.
2. Tumiskan sehingga kekuningan. Masukkan cili kisar dan masak sehingga cili terbit minyak.
3. Masukkan cili sos, tomato sos dan gaul rata. Tuangkan air asam dan 1/2 cawan air serta gula melaka. Masak sehingga gula larut.
4. Masukkan garam secukup rasa.  Jika kuah tidak pekat, masukkan 1-2 sudu tepung jagung yang telah dilarutkan dengan sedikit air.
5. Apabila kuah pekat taburkan bijan.

Nota Azian: Kuah Tahu Anura hampir serupa kuah Yong Tau Foo tetapi ianya lebih ke rasa masam dan manis.


Haa.. pasal kuahnya tu.. pandai2lah ejas akan rasanya ikut citarasa sendiri ye... MaDiHaA semalam mujur kakak Dini tak boleh puasa.. jadi suruh dialah jadi tukang rasanya.. hehehe...  kalau tak.. susah juga nak ejas2 rasa sosnya tu sebab baru pertama kali buat memang tak reti nak main agak2.. kalau gulai or lauk pauk tu bolehlah nak agak2... Disebabkan dapat banyak & kakak Dini pun cakap sedap.. confident sikit & dapatlah bagi kat jiran2 juga... hehe...

Selamat mencuba ye!

Friday, July 27, 2012

Kuih Qasidah

Assalamualaikum...

Petang ni hanya nak berkongsi gambar saja... maaf ye resepi tak disertakan.  Bukannya nak berahsia.. tapi sebab utamanya kuih ni bukan MaDiHaA yang buat.. hehehe... Kuih Qasidah ni makcik yang buat.  Kira dah jadi macam makcik punya specialty gitu... kalau ada apa2 keraian atau jamuan mesti makcik akan buat kuih ni untuk tetamu.  Sayangnya.. anak saudaranya ni belum pernah lagi nak mencuba walaupun bab makan memang suka sesangat.  En. abang pun suka jugak... Faktor utama belum berani nak cuba buat tu sebab dah beberapa kali gagal nak bentukkan Kuih Qasidah tu jadi macam sekuntum bunga rose.. hihihi... (baik punya alasan.. padahal malas!) 

Kuih Qasidah ni rupanya ada banyak versi juga ye.  Ingatkan dulu hanya di sebelah2 Terengganu je yang femes dengan kuih ni.. rupa2nya.. di negeri lain pun ada juga.  Tapi setelah dibelek2 resepi ada sikit perbezaan bahan2 dalam resepi yang digunakan.  Resepi yang biasa MaDiHaA jumpa tidak menggunakan santan tapi ada dicampurkan minyak sapi (kalau tak silap) & kuih pula dibiarkan warna putih asli. Tapi kuih versi yang makcik selalu buat ni bancuhannya ada dicampur santan & boleh dikatakan sama bancuhan macam nak buat kuih bakar/bingka... cuma tak gunakan air pandan. Manakala taburan bawang goreng tu memang wajiblah bagi kuih ni..  Sebenarnya tak semestinya dibentukkan jadi bunga ros macam tu.. nak dimasukkan dalam loyang & dipotong2 pun boleh juga... Cuma... bila dah disepit2 jadi kuntuman bunga rose macam tu nampak lagi menarik kan?


InsyaAllah.. kalau ada kerajinan nanti bolehlah ku cuba buat sendiri kuih ni...  masa tu nanti baru boleh share resepi ok... 

Jumpa lagi...

Yee Mee Kantonis

Assalamualaikum...

Salam Jumaat buat semua... 
Pejam celik pejam celik.. dah pun masuk 7 hari kita berpuasa.  Alhamdulillah daku sangat bersyukur kerana diberikan kesihatan yang baik & dapat menjalani puasa dengan mudah.  Abang Haziq pun nampaknya setakat ni belum lagi ponteng puasa walaupun kadang kala ada juga cubaan untuk berbuka tu... Tapi bila dipujuk2 akhirnya berjaya juga habiskan puasa hingga sampai waktu berbuka.  Berpuasa tahun ni nampaknya tak seperti tahun2 yang lepas.  Hati ni sentiasa terasa sayu & sedih mengenangkan dugaan yang sedang kami lalui... Nak menyambut raya pun seakan2 tiada semangat.  Ya Allah kau permudahkanlah urusan kami ya Allah...  Amin ya rabbal alamin...


Oklah.. kita lupakan sejenak akan kesedihan yang sedang MaDiHaA lalui.. Kita teruskan dengan resepi yang nak dikongsikan hari ni ye... Seperti resepi yang lepas2.. resepi kali ini juga resepi yang dah lama MaDiHaA cuba.  Maaflah ye... nampaknya sepanjang puasa kali ini.. MaDiHaA belum berkesempatan nak memasak yang special untuk juadah berbuka.  Permulaan puasa tempohari Sabtu & Ahad MaDiHaA pula kurang sihat. Itupun nasib baiklah encik abang rajin masak.. Hari kerja pun... lepas ambik anak2 di rumah pengasuh & di sekolah.. sampai rumah pun dah lewat. Bila sampai rumah setiap hari pun nampak encik abang dah ketung ketang kat dapur.. hehe.. Jadi MaDiHaA tolonglah mana2 yang patut.. Sambung masak mana2 yang dia belum sempat masak & tolong bancuhkan air & hidang. Siap segala tau2 dah dengar orang azan.. hee... Minggu depan encik abang dah tukar kerja shift siang pula... dia sampai rumah pun paling awal pukul 8.30 malam.  Nampaknya dah takde orang yang akan tolong memasak... & rasanya minggu depan terpaksalah MaDiHaA tinjau2 juga ke bazar Ramadan untuk beli kuih muih utk berbuka sementara siap memasak juadah2 yang lain.. Dah memang tiap2 tahun rutinnya macam tu... redho ajelah. Nak buat macamana.. jarak rumah dari ofis agak jauh.. tapi nasiblah juga sempat berbuka kat rumah.  Ada juga di kalangan teman2 yang lain hari2 berbuka dalam kereta sebab jarak rumah dengan tempat kerja mereka lebih jauh lagi... nak buat macamanakan.. nak cari rezeki macam tulah...

Ok resepi kat bawah ni MaDiHaA buat ikut bahan2 apa yang ada kat rumah... tak ikut 100% resepi asalnya... Sesekali ubah selera... takdelah jemu asyik mengadap benda yang sama aje kan.. sedap Yee Mee Kantonis ni... lagi2 kalau ada cili jeruk tu... lagi ummphh!


Yee Mee Kantonis
(hidangan 4 orang)
Sumber : Majalah Wanita
Sumber : MaDiHaA aka Ratna
 
Bahan-bahan
4 keping yee mee (pastikan yg halal )
200 gm udang basah ~ kopek kulit (MaDiHaA letak lebih sebab ayam takde)
250 gm isi ayam ~ dihiris (takde stok.. so tak bubuh)
3 keping fish cake ~ hiris
5 ulas bwg putih ~ diketuk lalu dicincang halus
1 cm halia muda ~ hiris halus memanjang
2 pokok sawi ~ (MaDiHaA ganti dgn sayur kangkung, kobis & jagung muda )
½ cawan tepung jagung ~ bancuh dengan air
4 biji telur
2 sudu besar minyak bijan
2 sudu besar minyak masak
minyak utk goreng yee mee
garam secukup rasa
lada sulah secukupnya
1 cawan air rebusan ayam (MaDiHaA ganti dengan 1 sudu kecil serbuk pati ayam)
2 biji cili hijau / cili jeruk secukupnya
air secukupnya untuk mendapatkan kuahnya. (agak2 je ni.. tak sukat pun.. tengok pekat kuah yg kita nak)

Cara membuatnya
1. Panaskan minyak dalam kuali (sederhana byk) dan gorengkan yee mee hingga garing kedua2 belah lalu ditos & angkat. Goreng ke semua 4 keping tadi satu persatu. Ketepikan.
2. Panaskan 2 sudu minyak biasa & 2 sudu minyak bijan dlm kuali yg lain. Tumiskan bawang putih & halia hingga agak garing (jgn sampai jd coklat tua) lalu masukkan isi ayam, udang & fish cake. Masukkan air rebusan ayam (MaDiHaA masukkan air biasa & serbuk pati ayam).
3. Masukkan air tepung jagung, lada sulah dan garam secukup rasa sambil dikacau2 agar tepung tak bergentel. Biarkan mendidih.
4. Masukkan sayuran2 tadi dan biar seketika hingga sayur layu. Kalau rasa kuah terlalu pekat boleh tambah air lagi. Biar mendidih.
5. Akhir sekali masukkan telur dlm seminit tutupkan api lalu dikacau2 sedikit.
6. Tuang kuah ke atas yee mee yg digoreng tadi lalu taburkan dengan cili jeruk atau cili hijau dan nikmati hidangan ini panas2.

Letak cili hijau hiris atau cili jeruk... masa makan tu kunyah sekali... yummy!
 
Selamat mencuba!

Thursday, July 26, 2012

Krim Paf / Cream Puff

Assalamualaikum....

Mulakan hari ini dengan resepi Krim Puff / Cream Puff / Pastri Choux ni pula ye... Memang sedap sangat2 & berbaloi2 kalau buat sendiri.  Adunan ni agak muai & dapat agak banyak juga.. puas anak2 makan.  Anak2 & en abang pun suka... alhamdulillah..

Masa buat ni dulu... godek2 pafnya lepas bersahur... then bila balik dari kerja baru buat krim kastardnya... macam nak kena buat balik je cuti ni... heee...

Terima kasih pada Mat Gebu yang berkongsi resepi dari Chef Alex Goh ni ye... akak ulang tayang siarannya kat blog pulak.. mintak halal ye.. Owwhh.. lupa nak cakap.. resepi ni dulu ambil dari blog Mat Gebu yang pertama dulu tauu... bukan blog Mat Gebu yang sekarang nih.. haa.. jangan tak tau.. Mat Gebu kita ada dua blog... hee... sekadar berkongsi je.. may be ramai yang dah tau... I memang tau sejak dulu sebab memang peminat no. 1 blog Mat Gebu ni.. hehehe...

Ok kat bawah tu resepinya ye... krim kastardnya tu resepinya MaDiHaA godek2 sendiri je...





Cream Puff/ Krim Paf
Resepi : Chef Alex Goh
Sumber : Che Mat Gebu

 Bahan Cream Puff / Pastri Choux
100 g mentega
250 ml air
½ camca teh garam
150 g tepung gandum, diayak
3 biji telur gred A

Cara membuatnya
 
1. Dalam periuk satukan air, mentega dan garam. Masak hingga air mendidih dan mentega cair. Masukkan tepung dan dengan pantas kacau adunan sehingga menjadi seketul doh yang tidak melekat di periuk, gunakan api perlahan dan kacau hanya satu arah.
2. Panaskan oven pada suhu 200C. Lenser dulang pembakar dengan sedikit mentega atau alas dengan silicone paper.
3. Masukkan doh tadi dalam mixer dan pukul hingga doh menjadi suam. Pecahkan telur dan kacau dengan garfu. Masukkan sedikit demi sedikit telur ke dalam adunan doh hingga habis. Pukul hingga adunan menjadi pes yang lembut.
4. Masukkan pes tadi ke dalam piping beg yang dipasang muncung bintang atau muncung biasa. Paipkan bentuk siput/spiral atas dulang pembakar. Buat hingga habis dan bakar 20 minit hingga kuning keemasan.
5. Bila masak, alih cream puff atas jaringan dan biar sejuk. Belah sedikit puff (jangan sampai putus) dan bolehlah paipkan kastad di tengah2nya. Sedia dihidangkan.

Bahan-bahan Kastard: 

Resepi : MaDiHaA aka Ratna

1 sudu besar tepung gandum
1 sudu besar tepung kastard
4 sudu besar gula
1 cwn (250ml) susu segar
1 biji telur
1 sudu besar mentega

Cara-cara:
1. Campurkan kesemua bahan2 di atas kecuali mentega. Kacau rata menggunakan whisker.
2. Jerang atas dapur dengan api yg perlahan dan masak sambil dikacau2 sentiasa sehingga kastad nampak pekat.
3. Tutup api & masukkan mentega dan kacau2 lagi.
4. Biar sejuk sebelum dimasukkan ke dalam piping bag.

Selamat mencuba!

Wednesday, July 25, 2012

Gulai Rebung & Daging

Assalamualaikum..

Bersua lagi di petang hari...  kali ni dengan resepi lauk pula ye... resepi kali ni adalah resepi yang agak baru juga di masak.. bukan gambar lama dah tauu.. (kita gilir2lah ye..hehe..) tapi walaupun gitu... bukan juga menu iftar sebab gulai ni dimasak sebelum puasa tempohari...



Dah lama berkenan & terliur dengan Gulai Rebung & Daging dari Chef Hanieliza  yang lebih mesra dipanggil Kak Liza ni tau... sejak kak Liza berkongsi resepinya di fotopages lagi ku dah berkenan.. Tapi hajat tertunda2 disebabkan tak berjumpa dengan rebung jenis kecik2 & panjang2 serupa dengan rebung yang Kak Liza gunakan.  Rebung yang biasa MaDiHaA nampak jenis rebung yang dah siap dihiris nipis2 tu.. Sebenarnya... pernah juga abang bawak balik rebung jenis panjang2 tu yang dibeli dari pasaraya di Shah Alam tu.. tapi tiap kali rebung ada.. stok daging pulak yang takde.. Bila stok daging ada.. rebung pula yang takde.  Yang wife dia ni memang jarang nak kirim2 & pesan2 suruh beli itu ini... biasanya masak je apa yg dia bawak balik.. hehe...  Nak dijadikan rezeki tempohari.. kebetulan ada lebihan daging dalam peti ais & tiba2 suatu petang tu abang bawak balik rebung yang panjang2 tu.. wahh.. apalagi time tu jugak rasa dah tak sabar2 nak masak gulai rebung kak Liza ni.. hehe.. Habis semua baki2 stok kelapa parut frozen yg ada dlm freezer ku gunakan untuk masak gulai ni.. hahaha...  Kalau tak.. tak tau sampai bilalah kelapa parut frozen tu nak terperuk dlm peti sejuk tu.. apa taknya.. bila nak guna santan je asyik dok beli santan siap perah je.. heeee....

Ok jom tengok resepinya.. Gulai ni memang sedap! Puas hati! Walau pertama kali cuba menggulai rebung jenis berkari macam ni.. tapi alhamdulillah.. selera kami boleh terima. Sedap!  Bolehlah dibuat lagi nanti.. tidaklah asyik rebung dengan gulai lemak cilipadi aje kan.. hehe..  Terima kasih kak Liza untuk resepi yang dikongsi tu ye.... mohon izin letak resepi kat sini pulak..



Gulai Rebung & Daging
Resepi : Chef Hanieliza


Bahan

500 gm rebung jeruk [rebung hutan kecil]
200 gm daging [hiris nipis]
3 cawan santan [1/2 biji kelapa]
1 s/b kerisik [jika suka]
2 keping asam keping
3 s/b minyak
garam

Bahan Tumis
3 s/b rempah kari daging
3 ulas bawang merah ]
2 ulas bawang putih ] tumbuk
2 cm halia ]
1 cm kulit kayu manis
daun kari (takde stok jd MaDiHaA tak letak)

Cara
1. Rebung dipotong pendek dan basuh. Rebuskan sehingga agak lembut. Toskan.
2. Panaskan minyak dan tumiskan bahan tumis sehingga wangi.
3. Masukkan santan, daging dan rebung dan masakkan sehngga daging lembut.
4. Masukkan garam dan asam keping.
5. Perlahan api. Masak sehingga agak pekat dan naik minyak
5. Tutup api dan hidangkan dengan nasi putih.


Selamat mencuba!

Apam Span

Assalamualaikum...

Salam bertemu kembali di Ramadhan ke lima...

Di pejabat ni nampaknya macam ada banyak waktu terluang & kurang sibuk sedikit.. dan kerana itulah MaDiHaA sempat selongkar semula simpanan gambar2 lama & resepi2 yang pernah dicuba dulu untuk dikongsikan dengan teman2 sekalian di blog kesayangan MaDiHaA ni.  Tiada niat lain selain sekadar berkongsi & mungkin dapat memberi idea & inspirasi pada kawan2 sebagai juadah berbuka puasa di hari2 mendatang.  Lagipun.. semua gambar2 & resepi2 yang dipaparkan semuanya belum pernah dikongsi di blog ini... maka rasanya tak salah MaDiHaA kongsikan di sini walaupun hanya dengan gambar2 lama yang diambil ketika itu seadanya..  hehe..

Jika di pejabat tak begitu sibuk, berbeza pula dengan keadaannya bila pulang ke rumah sejak2 masuk bulan puasa ni.. agak kesuntukan masa nak menyiapkan juadah berbuka.  Hari2 pun terkejar2 & memang tak sempat nak bereksperimen langsung!  Mujurlah suami memahami keadaan & bertolak ansur serta sering bantu membantu dalam menyiapkan juadah berbuka sementara beliau berkerja shift malam ni ( sebab siang2 dia ada kat rumah).  Mujur juga anak2 tidak cerewet & menerima saja apa yang terhidang di atas meja.  Alhamdulillah dengan rezeki dari Mu ya Allah... sesungguhnya aku bersyukur...


Oklah untuk resepi yang nak dikongsi hari ni rasanya sesuai juga dijadikan juadah berbuka selain juadah2 yang lain.  Apam Span ni memang sedap sekali dimakan dengan kelapa parut yang dicampurkan garam.  Apamnya sangat lembut.. berongga2 di bahagian dalamnya... dan memang patutlah diberikan namanya sedemikian rupa.  Tapi kalau kawan2 ingin mencuba.. wajiblah kawan2 menyediakan tapai nasinya dahulu ye...

Terima kasih kepada sahabat cyber iaitu Wila rakyat Malaysia yang berketurunan Siam yang sangat rajin berkongsi resepi2 tradisi yang sedap2 belaka.  Masih banyak resepi2 beliau yang belum sempat MaDiHaA cuba walau hati meronta2 ingin mencuba... 


Apam Span
Resepi : Wila ( Resepi pembaca Majalah Sedap)
Bahan2nya
150 gm tepung beras
100 gm gula
2 gram yis mauripan (½ s/k) ~ dibancuh dengan 50 ml air yg di ambil dari 300 ml air di bawah)
300 ml air
½ cawan tapai nasi
½ biji kelapa parut putih digaul dengan sedikit garam (kukus sebentar utk tahan lama)

Cara2nya
1. Campurkan tepung beras, gula, tapai nasi & 250 ml air ke dalam jug pengisar & kisar hingga halus lalu ditapis. (MaDiHa tak tapis pun..)
2. Masukkan bancuhan yis dan gaulkan rata.
3. Perapkan selama 50 minit.
4. Panaskan periuk pengukus. Sapu loyang dengan sedikit minyak & panaskan sebentar di dalam periuk pengukus.
5. Tuangkan adunan tadi lalu kukus selama 25 minit.
6. Biarkan sejuk sebelum dipotong. Hidang bersama kelapa parut yang digaul dengan sedikit garam.

Cara membuat tapai nasi
3 cawan nasi sejuk
½ biji ragi

Caranya:-
1. Deraikan nasi sejuk.
2. Ragi dihancurkan di dalam penapis dan ayakkan ke atas nasi sejuk tadi lalu digaul rata2.
3. Masukkan nasi dalam bekas bertutup (eg. bekas aiskrim kosong) dan simpan selama 2 ~ 3 malam. 

Nota MaDiHaA : sukatan resepi tapai ni mungkin dapat lebih tapainya nanti.. MaDiHaA main agak2 aje.. so boleh buat kuih lebih dari sekali atau boleh doublekan resepi.. Lagipun.. resepi di atas memang dapat sikit je.. untuk family besar elok buat double recipe.


Selamat mencuba!

Tuesday, July 24, 2012

Puding Roti Karamel

Assalamualaikum....


Sambung lagi entry untuk hari ni yer... masih lagi dengan gambar2 lama.... jangan marah yer..  Sayang pula kalau tak update ke blog...lagipun.. blog ni memang tempat ku nak kumpulkan segala resepi yang pernah dicuba... Kalau ikutkan memang banyak lagi resepi2 & gambar2 lama yang belum sempat nak pindahkan ke blog ni.... pelan2lah kot..

Nampaknya bulan puasa kali ni belum kesempatan lagi masak menu2 special untuk berbuka puasa... Seronok tengok kawan2 dengan menu2 iftar yang special2 semua... Kami berbuka ala kadar je.. Ingatkan semalam balik dari kerja sempatlah nak masak sebelum berbuka sebab rasa badan dah sihat sikit & lagipun.. dapat pelepasan balik awal setengah jam kat ofis ni..  Dah janji dengan en. abang lauk pauk ku masak & kuih muih nak suruh dia beli je kat bazar... Sekali lepas jemput semua anak2 nak menghala ke Federal Highway jalan jem giler! Kesudahannya sampai rumah hampir 7 malam....  Bila sampai rumah nampak en. abang sedang memasak kat dapur... phewww!! Mujur!  Tanya dia nak masak apa lagi.. katanya tinggal sayur je belum bersiang lagi.. maka bergegaslah tolong siangkan sayur bayam & digorengkan sekali... & Daging Tumis Asam Jawa yang en. abang masak dah hampir siap... Cuma kuih muih je tak sempat nak beli sebab masa tu pun dah lewat en. abang nak bersiap ke tempat kerja lagi... sudahnya berbukalah anak2 dengan bubur lambuk yang ambik kat rumah tokcu dorang... Mujurlah tokcu sendiri yang buat bubur lambuk.. jadi takdelah segan nak ambik hari2.. hehe....  Takpelah.. yang penting en. abang dapat bawak bekal nasi untuk bersahur... Takdelah susah2 dia nak kena keluar kul 4, 5 pagi mencari makanan untuk bersahur...

Oklah. panjang pulak membebel... meh nak kongsi resepi pemanis mulut yang dicuba ni.  Resepi ambil dari Chef Hanieliza.  Masa buat ni dulu khas untuk adik2 ipar yang datang bertandang... alhamdulillah.. semua pun suka.. rasanya sesuai juga jika nak hidang untuk pemanis mulut waktu berbuka puasa.. Terima kasih ye kak Liza utk resepi ni...


Puding Roti Karamel
Resepi : Chef Hanieliza

Bahan-bahan Bahan A:
1/2 cawan gula ..dicairkan dalam loyang yg nak dikukuskan nanti

Bahan2 B
1 buku roti (MaDiHaA guna 7 keping roti murah je )
1 tin susu cair
1 tin air buah dari fruit cocktal/peach (MaDiHa guna buah peach)
2 biji telur  (MaDiHaA guna 4 biji)
1/2 cawan gula
1 sudu teh esen vanilla
2 sudu besar tepung kastad

Hiasan
1 tin buah koktel/peach
ceri (jika suka)

Cara Memasak
1. Panaskan kukusan.
2. Gaul rata semua bahan B & tapis (MaDiHaA masukkan dlm blender ajer.. pastu kisar & terus tuang dlm loyang berisi gula karamel tadi)
3. Masukkan bancuhan kedalam loyang yg ada gula yg telah dicairkan.
4. Tutupkan loyang dengan plastik glaze nipis. (tak tutup pun)
5. Kukuskan selama 30 minit.
6. Sejukkan dahulu baru di terbalikkan dalam pinggan besar.
7. Susunkan dengan perlahan-lahan isi buah fruit cocktail ta buah peach
8. Sejukkan & bolehlah dihidang

Nota dari MaDiHaA: sebelum terbalikkan ke dlm pinggan.. renggang2kan (guna pisau kecil) sikit puding dari bahagian tepi loyang supaya tiada bahagian yg melekat. 


Selamat mencuba!

Makaroni Sup

Assalamualaikum....

Pagi ni sekadar berkongsi resepi Makaroni Sup yang mudah tetapi sangat disukai oleh anak2.  Bagi orang dewasa pula kalau nak lebih ummphh... jangan lupa hidang dengan sambal kicap & bahan2 tambahan yang lain.  Mungkin juga sesuai dijadikan menu berbuka jika dah kehabisan idea nak masak apa... Tapi hari ni baru je masuk hari ke empat berpuasa kan... tentu masih berderet2 lagi menu yang tersenarai yang ingin dicuba sebagai juadah berbuka nanti... hehe... 

Takpelah.. MaDiHaA kongsikan juga resepinya di sini sebab ini salah satu menu kegemaran anak2.  Boleh juga dijadikan rujukan buat diri sendiri.  Kalau masak ni berulang2 anak2 makan.   Anak2 memang suka menu yang ringkas sup2 macam ni.. Nanti bolelah masak lagi sebagai menu berbuka puasa pula...

 
Makaroni Sup
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
250 gm makaroni - direbus lembut kemudian cuci di air paip & ditos
1/4 ayam (bahagian dada) - dipotong kecil
1/4 kubis (saiz kecil) - dipotong kecil
1 biji carrot - potong saiz kegemaran
1 biji kentang - potong kiub
10 cawan air
2 kiub sup bunjut knorr
1 kiub ayam
garam secukup rasa
1 sudu kecil serbuk lada hitam (sukat lada hitam yg dah dikisar/tumbuk)
1 inci halia - diketuk
5 ulas bawang merah - dihiris
2 ulas bawang putih - diketuk
minyak untuk menumis

Bahan Tambahan
Daun sup & daun bawang (takde stok kali ni)
Bawang goreng
Sambal kicap (segengam cili padi + 1 ulas bawang putih dikisar + 1 sudu besar gula + 1/2 cawan kicap manis/ secukupnya)

Cara Menyediakan
1. Panaskan minyak secukupnya dalam periuk yang agak besar sedikit. Tumiskan bawang putih, bawang merah yang dihiris berserta halia yang diketuk sehingga naik bau. Masukkan ayam dan kacau rata.  Masukkan 10 cawan air, 2 kiub sup bunjut Knorr & 1 kiub ayam. Biarkan mendidih.
2. Sementara itu sediakan sambal kicap & bawang goreng (sekira nak goreng sendiri) & hiriskan daun sup.
3. Bila sup dah mendidih, masukkan kentang & carrot. Selang 3 minit masukkan pula kubis, serbuk lada hitam & garam secukup rasa.  Bila kentang sudah empuk masukkan makaroni yang telah direbus & kacau rata.
4. Hidang makaroni sup dengan bahan2 tambahan sekiranya suka.


Selamat mencuba!

Monday, July 23, 2012

Cendol Durian

Assalamualaikum...

Petang2 ni.. sajalah nak kongsikan pemanis mulut yang rasanya amat sesuai sekali dihidangkan untuk berbuka puasa.  Sebenarnya.. entry kali ni hanyalah menggunakan gambar lama yang pernah di update ke Fotopages MaDiHaA tak lama dulu.  Oleh kerana di blog belum pernah update lagi.. jadi hari ni update ke blog pula mana tau kalau2 fotopages tu corrupt ke.... ada juga backupnya kat sini kan.. hee... kira aci lah ye... yang penting tak 'curi' gambar orang lain betul tak?


Kalau kat rumah tu ada lebihan durian yang dah rasa tak tau dah nak buat apa.. atau rasa2 dah jemu nak dimakan saja atau dibuat santan durian & dimakan dengan pulut... sangat-sangat2 di sarankan untuk mencuba resepi ni.  Alhamdulillah.. hidang dengan cendol macam ni tak begitu muak untuk dimakan berbanding bila dihidang dengan pulut.. Cuma cara menyediakan tu ada sedikit kelainannya.  Air gula merah atau gula melaka tu jangan dicampurkan terus ye.. Jom kita lihat resepinya... Sebelum tu terima kasih  buat Kak Sha yang berkongsi idea ini... terkenang2 lagi kesedapannya.. insyaAllah kalau ada durian nanti boleh dibuat lagi..

Cendol Durian
Resepi : Kak Sha

Bahan2 Untuk Cendol Durian

Kuah santan durian (lihat resepi dibawah)
Cendol (beli aje senang )
Air gula merah/gula melaka (1 cwn gula merah/ 1 ketul besar gula melaka + ½ cawan air. Dimasak & tapis)
Ais kiub (jika suka)

Cara Menyediakan Cendol Durian
1. Sendukkan kuah santan durian ke dalam mangkuk.
2. Sudukan cendol. Tuangkan air gula merah secukup manis & sedia dinikmati.
(Jika suka cendol berais nikmati semasa kuah durian sejuk sedikit & masukkan ais kiub semasa menghidang) 


Resepi Santan Durian
 Bahan2
1 biji durian ~ ambil ulasnya
1 biji kelapa diambil santan sederhana pekat
1 helai daun pandan ~ cuci & simpul
secubit garam

Cara2 menyediakan
1. Campurkan ulas durian bersama santan, daun pandan & secubit garam.
2. Masak hingga agak2 pekat dan tutupkan api.
3. Hidang bersama cendol & air gula merah.


Selamat mencuba!

Ayam Masak Kicap Berkentang

Assalamualaikum & salam Ramadhan buat semua...

Alhamdulillah dah masuk hari ke tiga kita di bulan yang mulia ini...  Sepanjang 2 hari berpuasa kami berbuka & bersahur secara sederhana & alakadar sahaja.  Tiada persediaan yang berlebih2an... malahan anakanda berdua yang berpuasa pun hanya berbuka dengan bubur lambuk sahaja.  Walaupun Sabtu & Ahad ku tak bekerja tapi mood nak buat kuih macam takdelah pulak.. mungkin sebab kurang sihat agaknya..

Alhamdulillah.. abang Haziq berjaya menghabiskan puasanya selama dua hari yg lepas.. harap2nya dapatlah dia meneruskan puasa yang berikutnya sehingga habis juga. Walaupun ibu, ayah & kakak terpaksa memujuk2 juga bila dah menjelang tengahari.... hehe..  

Pagi tadi di sekolah tadikanya pun ku berpesan pada cikgunya yang Haziq berpuasa.  Bukan apa.. takutlah cikgu bagi makanan pulak pada Haziq sebab kalau hari2 biasa menurut Haziq kalau murid2 yang tak bawa bekalan ke tadika cikgu akan bagi biskut.. heee....  Tahun lepas semasa Haziq umur 5 tahun.. dia hanya bertahan berpuasa penuh selama 5 hari saja.. manakala hari2 yang lain hanya mampu berpuasa separuh hari.. Harap2 tahun ni dapatlah dia buat lebih lagi dari tahun lepas... 

Oklah.. berpuasa kali ni kena masak ikut selera anak2.. antara kegemaran anak2 ialah Ayam Masak Kicap Berkentang ni... Oklah layan menu sempoi hari ni yer...

Ayam Masak Kicap Berkentang
Resepi : MaDiHaA

Bahan2
½ ekor ayam ~ potong beberapa bahagian
Garam & serbuk kunyit secukupnya
2 biji kentang ~ kupas & potong wedges
1 biji carrot saiz sedang ~ potong bulat
½ cawan kicap manis atau secukupnya
1 sudu besar sos tiram
2 cawan air atau secukupnya
2 keping asam keping
2 biji cili merah ~ dibelah 2
Minyak masak secukupnya

Bahan Tumis
1 inci kayu manis
1 kuntum bunga lawang
2 kuntum bunga cengkih
1 biji buah pelaga
1 ulas bawang putih ~ dihiris
3 ulas bawang merah ~ dihiris
1 biji bawang besar saiz kecil ~ dimayang
1 inci halia ~ dihiris batang mancis

Cara menyediakan
1. Kentang yang dipotong wedges digoreng hingga masak. Angkat & toskan. Ayam dibersihkan & gaul garam & kunyit. Goreng ¾ masak, angkat & tos.
2. Kurangkan minyak dalam kuali tinggalkan secukupnya untuk menumis. Tumis rempah 4 sekawan hingga wangi kemudian tumiskan bahan2 yang dihiris hingga layu & wangi.
3. Tambahkan kicap & air & masukkan carrot & ayam yang digoreng tiga suku masak. Bila mendidih & carrot nampak lembut masukkan asam keping, kentang & cili merah. Biarkan kuah mendidih & secukup rasa.  Sesuaikan rasa & bolehlah dimatikan api.


Selamat berpuasa...

Friday, July 20, 2012

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak... & muffin permintaan anak2 lagi...

Assalamualaikum....

Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak buat semua pengunjung setia & juga semua follower Dari Dapur MaDiHaA.  Tak lupa buat ma, adik-adik, saudara-mara, rakan taulan & sahabat handai jauh dan dekat.  Semoga kita semua diberikan kesihatan yang baik agar dapat melakukan ibadah puasa dan ibadah iringannya dengan lebih sempurna lagi.. amin ya robbal alamin...


Sekejap je masa berlalu kan... esok umat Islam dah pun mula berpuasa... Ramadhan kali ini bermacam2 perasaan bercampur baur ku rasakan.. sukar untuk digambarkan... walau apapun daku bermohon kepada yang Esa semoga segalanya dipermudahkan... amin...

Oklah.. hari ni terpaksa ulangtayang resepi muffin sekali lagi.  Sebabnya takut bila dah masuk Ramadhan nanti dah tak sesuai nak letak gambar muffin... mana ada orang yg selera nak berbuka dengan muffin kan?? heee.... Jadi cepat2 letak gambar muffin ni sebelum terlambat.  Maaflah ye sebab ini resepi ulang tayang je... bezanya hanyalah penggunaan warna & filling dalam muffin tersebut sahaja yang membezakan antara Muffin Blueberry dengan Muffin Kiwi.  Manakala resepi asasnya semuanya sama.  Kedua2nya pun sedap!  


Ulang buat lagi muffin lagi sebab permintaan kakak Dini yang tak puas lagi mkn muffin... semak resepinya sekali lagi ye....



Muffin Kiwi
Resepi : BlueKey Self-Raising Flour phamplet 
Sumber : MamaFaMi & MaDiHaA

Bahan-bahan :

300g tepung naik sendiri
150 g (2/3 cawan) gula kaster (MaDiHAa guna 140 g)
15g (2 sudu besar) susu tepung
120g (1/2 cawan) mentega/majerin (MaDiHaA campur kedua2nya)
30g (5 sudu besar) madu – MaDiHa Kurangkan jd 2 sudu besar sahaja
90g (2) telur
165g (3/4 cawan) air
3g (1/2 sudu kecil) esen vanilla
Sedikit pewarna hijau – MaDiHaA tambah

90g Kiwi filling atau secukupnya


Kaedah penyediaan :

1. Panaskan ketuhar kepada 180 C (350 F)
2. Pukul gula, susu tepung, mentega/majerin dan madu hingga kembang.
3. Masukkan telur satu persatu.
4. Ayakkan tepung naik sendiri ke dalam adunan, silih berganti dengan air. Masukkan sedikit pewarna hijau & kacau sebati.
5. Sudukan satu sudu besar bancuhan ke dalam mangkuk muffin. Letakkan sedikit filling di tengah dan tutupkan dengan satu sudu besar adunan. Bancuhan haruslah separuh dari mangkuk muffin tersebut. (MaDiHaA letak 2/3 ketinggian muffin cup kemudian paipkan sedikit kiwi filling di atasnya)
6. Bakar selama 20 hingga 25 minit atau sehingga masak. 




Selamat mencuba!