Showing posts with label Nasi. Show all posts
Showing posts with label Nasi. Show all posts

Thursday, November 2, 2017

Nasi Tomato

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Apa khabar semua? Semoga semua yang mengunjungi blog MaDiHaA hari ini semuanya sihat2 sahaja.  MaDiHaA sendiri pun sebenarnya kesihatan tidaklah begitu baik. Tetapi alhamdulillah masih mampu melaksanakan kerja harian seperti biasa. Biasalahkan bila sudah berusia kesihatan merosot & stamina pun tak sama macam masa muda2 dulu. Maka... jagalah kesihatan & pemakanan kita dari usia muda. Bak kata orang tu nak makan apa pun biar berpada2.

Diam tak diam hanya tinggal tak sampai sebulan dah nak masuk cuti sekolah. Cepat betul masa berlalu. Dari setahun ke setahun rasanya masa berlalu begitu pantas. Kalau dulu MaDiHaA kelam kabut dengan anak kecil dengan setiap hari pegi kerja kena hantar baby ke pengasuh, tapi sekarang ni sibuk dengan persekolahan mereka pula. Semuanya berlalu pantas. Usia pun dah semakin bertambah nak masuk setengah abad. Apa pun syukur alhamduillah kerana diberi peluang menikmati pengalaman hidup yang akan menjadi kenangan manis di hari tua nanti. Mudah2an anak2 kita semua akan menjadi anak2 yang berjaya dunia & akhirat. Tak lupakan tanggungjawabnya pada ayah & ibu. Aamin..



Cerita pasal anak2, inilah dia nasi tomato yang MaDiHaA masak waktu kakak Dini balik dari asrama. Bila anak balik dari asrama barulah masak yang agak istimewa sikit. Yelah, bila tak cukup sorang ahli keluarga dalam rumah memang rasa tak sampai hati nak masak... hati tu dok ingat je kat anak yang kat asrama. Begitulah naluri seorang ibu. Padahal bukanlah masak yang grand-grand sangat pun. Nasi tomato je pun.... hehehe...

Jom MaDiHaA kongsi resepi nasi tomato yang mudah ni... Lauknya MaDiHaA gandingkan dengan acar timun campur nenas serta ayam masak merah kegemaran anak2. Bertambah2 mereka makan.




Nasi Tomato
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
5 pot beras basmathi (pot rice cooker) ~ cuci & rendam 30 minit
6 pot air
1 pot susu cair
3 sudu besar minyak sapi
2 sudu besar marjerin/butter
4 sudu besar tomato puri
2 sudu besar oren sunquick
2 sudu kecil garam atau secukupnya

Bahan menumis
5 ulas bawang merah ~ dimayang
2 ulas bawang putih ~ dimayang
1 inci halia ~ dihiris batang mancis halus
2 batang serai ~ dititik
2 helai daun pandan ~ disimpul
rempah 4 sekawan

Cara menyediakan
1. Toskan beras yang direndam. Panaskan minyak sapi dan butter di dalam periuk rice cooker di atas dapur. Tumiskan bahan2 menumis hingga wangi & layu.
2. Masukkan beras yang telah ditoskan tadi lalu dikacau rata.
3. Campurkan tomato puri & oren sunquick di dalam air yang telah disukat & kacau sehingga rata. Tuangkan ke dalam periuk beserta susu cair & garam. Kacau rata2.
4. Pindahkan periuk tadi ke dalam periuk rice cooker & tekan cook/on.
5. Tunggu sehingga nasi masak sepenuhnya. Jangan buka periuk sehingga mahu dihidangkan. Sebelum hidang, karih nasi menggunakan chopstick supaya ianya sekata.

Selamat mencuba!

Wednesday, December 14, 2016

Nasi Dagang (Versi Terengganu)

Assalamualaikum & salam sejahtera semua...


Huarrghh... hari ni nak pergi kerja rasa lemau badan. Almaklumlah bila dapat bercuti lama mulalah naik lemak.. hihi.. Gitulah kan.. Ambik kesempatan pulang ke kampong jenguk ma tersayang bila ada cuti & kelapangan lebih-lebih lagi bila dapat cuti panjang macam kelmarin. 4 hari Selangor dapat public holiday... wehh.. syoknya la.. Sekadar menghabiskan masa sama2 dengan famili je.. takde ke mana2 pun sebab ongkos kurang mengizinkan. 




Ohya... cerita pasal ma, teringat menu kegemaran MaDiHaA iaitu nasi dagang. Oleh kerana memang suka sangat makan nasi dagang, jadi wajiblah anaknya ni belajar memasaknya sendiri dengan ma. Alhamdulillah bila2 masa rasa teringin tu... boleh je masak. Tapi takdelah selalu masak pun sebab menu nasi dagang ni kalau selalu2 makan makin gemok metto (gedempol) la si tukang masak jawabnya... hahaha... Biasanya MaDiHaA masak bila buat makan2 ajak keluarga terdekat datang ke rumah. Kalau setakat untuk makan 5 beranak, macam tak berbaloi nak masak. Tapi kalau tahap teringin tu terlalu tinggi... masak jugalah. Iyelah dok kat sini payah nak jumpa nasi dagang yang kena dengan citarasa. Yang masak sendiri juga yang puas hati. Bab nasi mungkin semua orang boleh masak, tapi bab gulainya tu yang kurang berkenan sebab kebanyakan yang masak gulai tu serupa gulai kari je. 

Oklah kat sini MaDiHaA share resepi nasi dagang turun temurun dari keluarga kami... insyaAllah sedap ditekak kami semua... Pada yang belum pernah masak sendiri tu bolehlah cuba resepi ni pulak. Atau mungkin juga korang ada resepi yang lebih best bolehlah share2 kita cuba kelainan pulak. Gambar2 masakan ni semua adalah gambar semasa raya haji yang lepas. Kami tak pulang ke kampong dan hanya beraya di PJ saja, jadi MaDiHaA masak nasi dagang untuk jamu tetamu yang datang berkunjung...




NASI DAGANG
(versi Terengganu)
Resepi : MaDiHaA a.k.a Ratna

Bahan2
1.2 kg beras siam
400 gm beras pulut
(nisbah utk beras = 1 bahagian beras pulut : 3 bahagian beras biasa)
1 ½ biji kelapa (ambil santan anggaran 600 ml ~ PERAH GUNA AIR MASAK!) (ni anggaran saja yer.. kalau tak cukup boleh tambah lagi.. sebab masa buat tu MaDiHa tak ukur pun santannya)
garam secukup rasa (Bancuh dalam santan)
700 ~ 800 ml air/santan cair utk arong nasi (boleh tambah jika masih tak mencukupi.. MaDiHa agak2 je ni)
5 ulas bawang merah ~ hiris nipis
1 inci halia ~ hiris nipis & halus memanjang
1 sudu kecil halba

Cara Menyediakan

1. Campurkan beras biasa dengan beras pulut dan cuci beras hingga bersih & jernih (mcm nak masak nasi tu). Rendamkan beras semalaman dalam air yg banyak.
2. Keesokannya.. panaskan periuk kukus & toskan beras dan kukus beras selama 30 ~ 40 minit. (guna periuk kukus berlubang kecil jika ada.. jika tiada.. alaskan dasar periuk kukus dengan kain putih bersih/ kain maslin/ jala bersih/daun pisang agar beras tak jatuh melalui lubang kukusan).
3. Angkat nasi kukus tadi dan masukkan nasi dlm besen besar. (Sementara itu.. tambahkan lagi air dalam periuk kukusan agar airnya tak kering utk mengukus kali kedua.. teruskan memanaskan periuk kukusan tadi.) Arong nasi dengan air biasa/santan cair sehingga rata dan tak berketul2.
4. Kukus sekali lagi nasi sehingga 30 ~ 40 minit. (kali ni tak perlu alas dasar kukusan).
5. Keluarkan nasi dan masukkan dlm besen tadi dan arong sekali lagi dengan santan yg dicampurkan garam serta taburkan bahan2 hiris serta halba. Kacau rata dan bolehlah dihidangkan.


Nota MaDiHaA: Santan tadi boleh juga dimasakkan sebentar diatas api sederhana sebelum diarong dengan nasi. Kaedah ini untuk membuatkan nasi dagang lebih tahan lama.. tapi jika tidak masak pun.. memadai perahkan santan guna air masak.. insyaAllah nasi dagang boleh bertahan dari pagi hingga ke malam.




GULAI NASI DAGANG 
(kuantitinya dianggarkan cukup utk nasi dagang diatas )
Resepi: MaDiHaA a.k.a Ratna 

Bahan2
2 atau 3 ekor ikan tongkol hitam (anggaran 2 kg) (dipotong, dibersihkan & direbus bersama sedikit air, 3 sudu kecil garam dan 6 keping asam gelugur)
2 biji kelapa (ambil santan sederhana pekat @ cair sedikit pun tak mengapa)
1 sudu besar rempah kari ikan (campur sikit air jadikan pes)
1 sudu besar rempah masak cap bunga rose (jadikan pes dengan rempah ikan tadi)
2 sudu besar rempah gulai cap bunga rose (jadikan pes dengan rempah ikan tadi)
(jika tiada rempah masak & rempah gulai cap bunga rose.. tambahkan lagi 1~2 sudu besar rempah kari ikan)
2 sudu besar kerisik yg ditumbuk halus
2 inci kulit kayu manis
2 keping asam keping
10 biji cili hijau
15 biji cili api
10 biji belimbing buluh (kalo ada.. takde pun takpe)
½ ketul gula melaka (tambah lagi jika kurang ~ gulai nasi dagang memang terasa manis sedikit)
garam secukup rasa
serbuk perasa jika suka

Bahan2 Dikisar Halus
1 sudu besar ketumbar 
1/2 sudu besar jintan manis 
8 ulas bawang merah 
1 biji bwg besar (kalau kecik.. letak 2)
3 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
1 inci halia 
1 1/2 inci lengkuas 
15 ~ 20 biji cili kering ~ dikerat2 & rebus sebentar & buang biji (dikisar)

Cara Menyediakan

1. Gunakan periuk yg agak besar sedikit. Masak santan bersama (sedikit saja) garam di atas api sederhana sehingga pecah minyak. Kacau sekali sekali sahaja.
2. Masukkan kulit kayu manis, ramuan yang dikisar dan pes rempah tadi ke dalam santan. Jika suka.. bahan2 ini boleh juga ditumiskan dulu dengan sikit minyak hingga wangi sebelum dimasukkan dlm santan. (terpulang anda.. tp jika tumis.. kuah akan jadi lebih berminyak!)
3. Masukkan gula melaka, garam, kerisik (bancuh sedikit dgn kuah santan agar tak berketul2) dan asam keping. Biar mendidih sebentar.
4. Masukkan ikan rebus beserta air rebusannya & asam keping semasa merebus tadi. Tambahkan serbuk perasa.
5. Biarkan kuah pekat sedikit. Hati2 semasa mengacau agar ikan tidak pecah. Masukkan belimbing buluh, cili hijau dan cili api. Biar merenih sebentar dan  sesuaikan rasanya bolehlah di angkat.



Acar Timun
Bahan2 agak2 lah sendiri yer..
Timun
bawang besar
cili merah
cuka
gula & garam
(jika suka boleh campur dgn carrot juga)

Cara2
Hiris memanjang timun (buangkan empulurnya). Cuci bersih.
Mayang bawang besar & hiris cili merah. Gaulkan timun, bawang besar, cili dengan semua bahan2 lain. Adjust sendiri rasa acar ikut selera masing2.

 Ok.. selamat mencuba!

Wednesday, November 9, 2016

Nasi Lemak

Assalamualaikum & salam sejahtera....


Nasi lemak merupakan makanan kegemaran rakyat Malaysia. Ia sangat sinonim dengan menu sarapan pagi kerana bahan2 seperti sambal, telur rebus, kacang goreng & bilis goreng boleh dimasak malam dan dengan itu mempercepatkan masa menyediakan sarapan untuk keluarga. Bangun pagi hanya masak nasinya saja. Jika nak lauk pauk yang lain itu terpulanglah pada citarasa masing2. Bagi MaDiHaA bila nak cepat, hanya nasi lemak biasa atau yang basic sajalah yang MaDiHaA sediakan untuk family. Jika teringin nak makan nasi lemak berlauk macam2, beli sajalah di gerai pagi2 tu bolehlah pilih pelbagai lauk atau jika nak masak sendiri, kena tunggu hujung minggulah jawapnya.. hihi..

Sekarang nasi lemak popular tak kira waktu. Pagi atau malam... ada saja dijual dimana2.

Jom masak nasi lemak!



NASI LEMAK
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
3 pot beras
3 1/2 pot santan sederhana pekat
2 ulas bawang merah ~ hiris
1 inci halia ~ hiris
2 helai daun pandan ~ simpul
garam secukup rasa

Cara menyediakan
1. Beras dicuci bersih kemudian toskan airnya. Terus masukkan santan, bawang merah & halia yang dihiris, daun pandan & garam. Kacau rata. Untuk kaedah rice cooker, tekan saja butang cooking & tunggu sehingga ia masak sepenuhnya. Aggaran selepas 5 - 10 minit butang rice cooker menunjukkan nasi sudah masak, gemburkan nasi lemak kemudian tutup kembali tutup periuknya. Sedia dihidangkan.
2. Untuk kaedah masak di atas dapur gas, selepas dicampurkan semua bahan2 masak seperti biasa sehingga santannya nampak agak kering terus tutup periuk dengan penutupnya & perlahankan api. Biar sehingga nasi tanak. Sejurus sebelum dihidangkan, gemburkan dahulu nasinya.
3. Hidang nasi lemak bersama sambal tumis, timun, ikan bilis goreng, kacang tanah goreng, telur dadar/telur rebus/telur mata kerbau ikut kesukaan masing2.





SAMBAL TUMIS IKAN BILIS
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
Segendam besar ikan bilis ~ dikopek bersih
4 senduk nasi cili kering kisar
1 sudu besar rata asam jawa biji ~ campur sikit air ambil jus
2 biji bawang besar ~ dimayang
Gula, garam & aji (jika suka) secukup rasa
1 cawan air
Minyak masak secukupnya

Bahan Kisar
Sejemput ikan bilis ~ dikopek bersih
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
2 sudu kecil rata belacan (agak2 jelah ye)

1. Panaskan minyak & goreng ikan bilis hingga garing & ketepikan.
2. Menggunakan minyak yang sama (ini boleh menambah kesedapan sambal tumis) tumiskan bahan2 kisar & cili kisar sehingga terbit minyak.  Masukkan air asam jawa, gula, garam & aji (jika suka). Masukkan air & biar mendidih. Bila nampak sambal terbit minyak bolehlah masukkan hirisan bawang besar.  Ikan bilis yang digoreng tadi boleh jugak dimasukkan ke dalam sambal bersekali semasa masukkan bawang.  Boleh juga kalau tak dimasukkan bilis goreng & hidang bilis yang garing tadi berasingan semasa makan. Terpulang pada citarasa masing2.




Bahan2 Tambahan
Timun
Telur rebus
Kacang goreng
Bilis goreng

Selamat menjamu mata...!

Monday, February 9, 2015

Nasi Beriani Pakistan


Assalamualaikum & salam sejahtera...


Nasi Beriani Pakistan ini adalah antara juadah yang sempat dimasak semasa anak2 cuti sekolah tahun lepas.  Bila kakak Dini balik bercuti barulah seronok sikit nak mencuba masakan yang agak istimewa.  Bila dia di asrama, rasa tak sampai hati nak masak sedap2.  Terkenang2 anak diasrama entah apalah yang dijamahnya.  Itulah naluri seorang ibu. Walaupun bila dia ada dirumah kadang2 ada gaduh2 manja.. tapi bila berjauhan tetap ingat kat dia.. hehe...

Resepi ini MaDiHaA ambil dari blog kak Ayu Singapore. Katanya resepi ini ambil dari blog kak Azie.  Terima kasihlah buat kedua2nya ye.  Resepi ini boleh juga gunakan kambing (rasanya resepi asal guna kambing kot) tapi MaDiHaA hanya gunakan ayam sahaja.  Cara memasak MaDiHaA ikut cara yang lebih mudah iaitu ikut cara kak Ayu... jadi takdelah perlu salin2 periuk lain.. hehe..

Jika nak mencuba... bolehlah salin resepi di bawah ye. InsyaAllah.. sedap ditekak kami. 


Nasi Beriani Pakistan
Sources: Azie Kitchen & Kak Ayu@curlybabesatisfaction
Dicuba oleh : MaDiHaA aka Ratna
Bahan bahan:  
5 cawan beras basmathi (rendam & tos)   
1 kg ayam, daging atau kambing (dg tulang, lagi sedap)-(MaDiHaA gunakan 1 ekor ayam)  
4 kuntum bunga lawang  
2 inci kayu manis  
8 buah pelaga-(MaDiHaA gunakan 6)    
10 bunga cengkih-(MaDiHaA gunakan 8 biji)  
1 sb serbuk ketumbar  
1 sb serbuk jintan manis  
1 sb serbuk jintan putih
1 sk serbuk kunyit
 
3 bawang besar – potong dadu
5-6 buah tomato masak saiz besar – potong dadu (lagi banyak lagi sedap)  
2 labu bawang putih – tumbuk    
3 inci halia – tumbuk    
1 ½ cawan yoghurt  
2 bay leave    
Minyak olive    
4 biji telur – rebus, kupas & kelar-(MaDiHaA masukkan akhir bersama ayam)    
4 biji kentang kecil – kupas & rebus -(MaDiHaA masukkan akhir)   
½ cawan susu (optional)- Saffron & pewarna kuning-(MaDiHaA gunakan pewarna oren sahaja)
 

Hiasan 
Bawang goreng  
Daun ketumbar – hiris    
4 biji cili hidup hijau - potong 
1 inci Daun mint
Badam & kismis, jika suka (takde stok jadi tak letak)

 

Penyediaan Ayam:
Perap ayam dengan garam, separuh dari bawang putih dan halia yang dikisar serta serbuk kunyit, serbuk ketumbar, serbuk jintan putih dan jintan manis selama 1 jam.

Panaskan minyak, tumis rempah menumis, baki bawang putih dan halia kisar serta bawang besar sehingga naik bau. Saya masukkan juga daun pandan sebab suka wangian nya.
Masukkan ayam yang diperap dan kacau sehingga rata. Masukkan air sedikit sahaja jika menggunakan ayam tapi jika daging, air agak agak tenggelam daging supaya daging empuk. 
Satukan yoghurt dan buah tomato dan tuangkan ke dalam kuali, masak lagi sambil dikacau rata hingga naik minyak.  Jangan sampai terlalu kering. Biar berkuah sedikit. Akhir sekali masukkan bay leave, garam dan gula. Sesuaikan rasa.
Tutup kuali dengan penutup dan masak menggunakan api perlahan sebelum ditutup api.

Penyediaan Nasi:
Basuh beras, rendam selama 20 minit dan ditos. Di dalam periuk berasingan, masukkan air, sedikit minyak, buah pelaga, cengkih, bay leave dan sedikit garam. Masak sehingga air mendidih.
Masukkan beras dan masak sehingga nasi hampir masak tetapi tidak 100% masak.

Tutup api dan tos lebihan air nasi di dalam bekas penapis sehingga kering.-(Ayu masak nasi macam biasa aje, lepas tu baru titiskan pewarna, dan sendukkan kuah ayam sahaja gaul perlahan2.) (MaDiHaA ikut sama macam kak Ayu buat.. masak nasi macam biasa dlm rice cooker.. bila nasi masak titiskan pewarna & biarkan sekejap.. Bila nak hidang, keluarkan nasi masuk dalam bekas yg lebih besar sikit, masukkan separuh dari lauk ayam tadi & gaul perlahan2, kemudian barulah dihidangkan)

 
Penyediaan Beriani:
Di dalam periuk lain, letak lapisan pertama iaitu nasi. Sudukan susu secara random ke atas nasi. Titiskan pewarna kuning atau  ayakkan saffron dengan menggunakan penapis teh ke atas nasi. Letakkan telur yang telah dikelar dan kentang rebus. Taburkan tomato potong dadu, bawang goreng, cili hijau potong 1 inci, daun ketumbar dan daun mint yang dihiris.
Letak pula lapisan kedua, iaitu ayam bersama sedikit kuahnya sehingga menutupi lapisan nasi. Lapisan ketiga, letak nasi sehingga menutupi lapisan daging tadi. Sudukan susu dan titis pewarna kuning.
Lapisan atas sekali ialah lapisan ayam. Tabur dengan bawang goreng, tomato, cili hijau dan daun ketumbar.

Masukkan periuk ke dalam rice cooker dan biarkan masak seketika. Boleh juga ditutup dengan aluminium foil dan dimasak menggunakan microvave atau dapur gas.
Keluarkan periuk dari rice cooker dan sendukkan nasi dan ayam ke dalam mangkuk lain dan digaul rata dengan perlahan lahan supaya nasi tidak patah. Bolehlah dihidangkan dengan salad dan yoghurt. Taburkan daun ketumbar.

 
Salad  
Lettuce Tomato Bawang besar Timun – buang biji Green bell pepper Garam & gula Minyak olive Perahan lemon Daun ketumbar Potong dadu dan satukan kesemuanya. Sesuaikan rasa yang disukai.
  
Sos Yoghurt  (MaDiHaA tak buat ni...)
Yoghurt Bawang besar – potong bulat Daun ketumbar - hiris halus Garam Satukan kesemuanya dan gaul sehingga sebati.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...