Showing posts with label Sayur. Show all posts
Showing posts with label Sayur. Show all posts

Wednesday, May 30, 2018

Kerabu Pucuk Paku

Assalamualaikum & salam sejahtera....


Dah hampir separuh bulan Ramadan baru sempat jenguk blog. Tak tau apa yang disibukkan.  Selamat menjalani ibadah puasa buat semua.  Jom MaDiHaA kongsi resepi kerabu pucuk paku. Sesuai untuk berbuka puasa. Tapi MaDiHaA buat baru ni untuk bersahur. hehe.... lain dari orang lain kan? Macam biasa kami sekeluarga berbuka puasa tanpa nasi putih setiap tahun. Jadi jika masak lauk pauk memang untuk bersahur je. Ikut je apa yang suami suka. Anak2 pun dah terbiasa macam tu. Tak kisah berbuka takde nasi. Tapi kalau rasa nak masak nasi biasanya MaDiHaA masak nasi berperisa untuk berbuka seperti nasi ayam, nasi tomato, nasi dagang, nasi lemak & sebagainya. Setakat ni hanya sempat masak nasi lemak & nasi dagang je. Tapi nasi goreng memang biasa menjadi menu berbuka kami. Kalau nak masak nasi berperisa mesti hari cuti. Kalau hari kerja memang tak sempat nak buat sebab kesuntukan masa. Ok dah jom tengok resepi... Kerabu ni MaDiHaA siapkan bahan2 waktu malam, bangun pagi2 barulah digaul & diperisakan.





Kerabu Pucuk Paku
Resepi MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
2 ikat pucuk paku ~ disiang dapat dalam 1 mangkuk besar
2 senduk kelapa ~ disangrai sekejap
1 sudu besar penuh kerisik
1 kuntum bunga kantan ~ dihiris
2 batang serai ~ dihiris nipis
2 ulas bawang merah ~ dihiris
1 biji limau nipis ~ ambil jus

garam dan gula secukup rasa

Bahan Sambal
1 biji cili merah
5-6 biji cili padi
sejemput ikan bilis/udang kering
secubit belacan
2 - 3 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
sedikit minyak masak

Cara menyediakan
1. Pucuk paku dicuci bersih & tos. Masak air lalu celur pucuk paku hingga lembut & toskan.
2. Bahan sambal ditumis dalam minyak yang sedikit hingga layu. Kemudian diblender halus guna blender kering. Satukan bahan sambal dalam kelapa sangrai dan masukkan kerisik. Gaul hingga rata.
3. Masukkan kelapa bercampur sambal ke dalam bekas pucuk paku, tambah bunga kantan, serai, bawang hiris serta jus limau nipis. Tambah garam secukup rasa & sedikit gula.
4. Gaul mesra & bolehlah dihidang untuk berbuka puasa.

Selamat mencuba!

Sunday, April 1, 2018

Tempura Sayuran

Assalamualaikum & salam sejahtera



Stok brokoli & bunga kobis agak banyak kat rumah. Seronok beli brokoli sebab harganya agak murah sekarang ni. MaDiHaA selalu beli kat pasaraya Checkers atau Giant je sebab itu yang dekat dengan pejabat.  Pasaraya lain tak pastilah pulak murah ke tidak. Definisi murah tu bagi MaDiHaA kalau harga brokoli seketul bawah RM2.80 tu kira murah la tu. Kalau harga seketul atas dari RM3 memang MaDiHaA tak beli... Ehh! Pernah MaDiHaA jumpa kat pasaraya TF kat Raub dorang jual brokoli seketul RM1 tau! Punyalah murah kan. Macam tak percaya pun ada. Mungkin terlampau banyak lambakan brokoli kat Cameron Highland agaknya. Lagipun Raub dengan CH kan jaraknya tak jauh sangat.. tu boleh jual murah. Masa kat Raub tu MaDiHaA borong brokoli berketul2 macam dah taknak makan sayur lain je... kikikikiii.... 

Okey balik pada kisah brokoli ni tadi disebabkan banyak sangat stok sayur 2 jenis ni macam dah jemu pulak dibuat sup atau kacau goreng.  So moh le kita buat tempura pulak. Tak sangka pula anak2 suka. Sepinggan habis diratah macam tu je sebelum makan dengan nasi. Mujur MaDiHaA buat lebih. Ok dah jom kita tengok resepi!



Tempura Sayuran

Bahan2
Sayuran yang disukai
MaDiHaA hanya guna bunga kubis & brokoli.
Minyak masak secukupnya

Bahan-bahan Batter
1 cawan tepong gandum
2 sudu besar tepong jagung
garam secukup rasa
2 sudu kecil serbuk lada sulah
3/4 cawan air sejuk dari peti sejuk
1 biji telur
ketulan ais

Cara menyediakan
1. Sayuran dibersihkan & dipotong ikut selera. Campurkan tepong gandum, tepong jagung, garam & serbuk lada sulah.
2. Masukkan air sejuk & kacau rata menggunakan whisker. Masukkan telur & kacau rata.
3. Akhir sekali masukkan ketulan ais dan tunggu sebentar dlm 2 minit. Panaskan minyak & apabila minyak sudah panas, kacau adunan batter sebelum menggoreng. Celup sayuran ke dalam batter & goreng seperti menggoreng pisang. Balikkan supaya garing rata.
4. Angkat & toskan sebelum dihidangkan. Sedap dinikmati waktu panas2 atau suam2.

Selamat mencuba!

Friday, October 13, 2017

Acar Rebung Madu II

Assalamualaikum & salam sejahtera....


Balik kampung mertua baru2 ni dapat sedikit rebung madu dari nenek biras (wan) yang datang melawat mertua MaDiHaA bersama2 dengan besan mertua. Masa dikampung dah dapat makan pajeri rebung madu yang wan masak. Sedap sungguh! Rebung madu yang belum dimasak ni MaDiHaA teringin pula nak buat acar. Lama sungguh tak makan acar rebung madu ni.  Teringin la pulak.  Apa2 masakan yang berasaskan rebung memang kegemaran MaDiHaA.




Acar Rebung Madu

Bahan Kisar
2 biji bawang besar
2 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih

Bahan2 Tumis
3 cm halia ~ hiris halus memanjang
2 sudu kecil biji sawi
minyak masak secukupnya

Bahan2 Lain
550 gm rebung madu yang siap direbus ~ dikelar2
2 batang carrot ~ potong batang mancis kasar
1/2 cawan Enzim Halia (sekira tiada abaikan)
15 ulas bawang merah (sekiranya bawang merah agak besar boleh dibelah 2 tak putus)
15 ulas bawang putih (jika besar dibelah 2)
15 biji cili padi
2 sudu besar rempah kari daging
2 sudu besar serbuk cili
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 cawan air
2/3 cawan cuka
7 sudu besar gula
garam secukup rasa
bahan perasa sekiranya perlu
Bijan yang disangai ~ MaDiHaA tak letak



Cara menyediakan
1. Panaskan minyak masak & tumiskan hirisan halia & biji sawi hingga wangi.  Kemudian masukkan bahan kisar & tumis hingga naik minyak. Masukkan rempah kari, serbuk cili & serbuk kunyit dan tumis lagi hingga rempah masak.
2. Masukkan air, cuka dan rebung madu. Kacau rata. Bila mendidih, masukan hirisan carrot, bawang merah, bawang putih, enzim halia serta garam & gula. Masak sehingga mendidih lagi. Kemudian boleh campakkan cili padi & gaul rata.
3. Masak hingga agak pekat kuahnya. Rasakan apa yang kurang boleh ditambah biar ada rasa masam, manis & masin. Bila dah cukup pekat bolehlah dihidangkan. Tabur bijan sangai semasa menghidang.

Selamat mencuba!

Wednesday, October 4, 2017

Pajeri Nenas

Assalamualaikum & salam sejahtera....

Rasanya dah banyak kali kongsi resepi pajeri nenas samada di fotopages maupun blog. Ini memang salah satu menu kegemaran kami suami isteri. Anak2 je tak layan sangat. Sebab tu boleh dikatakan jarang memasaknya. Tapi bila datang teringin tu tak boleh tidak, wajib masak juga. Bila ada pajeri ni dah tak payah nak masak lauk lain beria2 sangat. Dapat ikan goreng atau ayam goreng kunyit pun dah cukup. Bertambah2 makan nasi. Itu sebab tak boleh selalu sangat masak lauk ni. Nanti makan lupa diri.... hihi....

Jom MaDiHaA kongsikan lagi resepi mudah ni. MaDiHaA memang suka masak yang mudah2 je. Kadang tu bila mencuba resepi2 yang ajar cara susah pun MaDiHaA akan fikir cara mudah jugak. Bukan apa.. tak ada banyak masa sangat nak berlama-lama kat dapur sekarang ni. Banyak benda lain yang perlu dibereskan apabila pulang dari kerja. Kami bukannya ada pembantu rumah. Semua benda dibuat sendiri...



Pajeri Nenas
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2 
1 biji nenas biasa (morris atau josephine) ~ dikupas & hiris sesuai selera 

3 cawan santan sederhana pekat (tambah lg kalau rasa tak cukup)
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
1 biji buah pelaga

3 kuntum bunga cengkih
3 sudu besar rempah kari ikan*

3 sudu besar rempah kari daging* ~ bahan bertanda* dibancuh dengan air jadikan pes
Minyak secukupnya
2 sudu besar gula merah
2 sudu besar kerisik (yang dah siap ditumbuk homemade ye)
Garam secukup rasa 


Bahan hiris halus
1 inci halia 
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih 

(kalau suka boleh tambah 1 sudu besar udang kering direndam & ditumbuk halus ~ MaDiHaA tak letak pun masih sedap juga)

Cara menyediakan

1. Panaskan minyak dalam periuk dan tumiskan bahan hiris serta kulit kayu
manis & kawan2nya (4 sekawan) sehingga layu & wangi.  Masukkan pes rempah kari dan tumis hingga pecah minyak. Sentiasa kacau supaya rempah tidak hangus.
2. Masukkan kerisik dan kacau supaya rempah tidak melekat pada
periuk.
3. Masukkan santan, garam serta gula merah. Bila dah mendidih masukkan hirisan nenas. Sentiasa dikacau2 supaya tak membuak.
4. Masak hingga kuah pekat dan naik minyak serta nenas masak.
5. Sedia dihidangkan bersama nasi putih atau nasi berperisa.


Selamat mencuba!

Sunday, September 24, 2017

Sambal Goreng Kentang Petai

Assalamualaikum....


Selamat bersua kembali.  Ada satu hari tu tak tau dah nak masak apa. Otak dah beku tak tau nak buat lauk apa asyik masak ikan ayam ikan ayam pun jemu juga rasanya. Teringat ada petai yang kawan suami bagi masih banyak maka tercetus idea nak buat sambal kering2 campur dengan kentang & ikan bilis. Hmmm.... tak sangka lauk macam ni pun menjilat jari masing2 makan nasi. Anak2 pula dah berjinak2 belajar makan ulam petai ni bila ayahnya suruh cuba.  Jadi ibu pun bertabahla kalau toilet berbau bila kat rumah ada petai... hehehehe....

Jom MaDiHaA kongsikan resepi mudah yang memikat selera ni. Boleh buat tambah2 hidangan di atas meja selain menu2 yang lain. Pasti ramai yang suka nanti.. Nak pula kalau anak2 yang sukakan pedas2 & yang garing2...





Sambal Goreng Kentang Petai
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
4 biji kentang saiz besar/sederhana (campur2)
5 papan petai ~ dikupas kulit & belah/potong dua
2 gengam ikan bilis yang siap dikopek kulit
minyak masak secukupnya
1 sudu kecil asam jawa ~ campur air jadikan pes
2 sudu kecil gula
garam secukup rasa

Bahan di kisar halus
7 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
15 - 25 biji cili padi (bergantung pada penggunaan jenis cili & kepedasan yang anda suka)

Cara menyediakan
1. Kentang dikupas kulit & cuci bersih.
2. Panaskan minyak secukupnya dalam kuali. Gunakan penyagat & sagat terus kentang ke dalam kuali. Goreng sehingga garing seperti menggoreng kerepek pisang. Sentiasa dibalik2kan supaya garing sama rata. Bila garing angkat & toskan.
3. Kurangkan sukatan minyak bekas goreng kentang. Goreng pula ikan bilis sehingga garing. Goreng 2 batch/2 kali untuk 2 gengam ikan bilis supaya tak perlu guna minyak yang banyak. Angkat & ketepikan.
4. Gunakan minyak yang sama, tumiskan bahan2 yang dikisar halus. Kacau sehingga tumisan garing & naik minyak. Masukkan air asam jawa, garam & gula secukup rasa. Gaul rata. Masukkan petai & masak sehingga sambal kembali naik minyak.
5. Akhir sekali masukkan kentang goreng & ikan bilis goreng & gaulkan sehingga rata. Bolehlah dihidangkan bersama2 nasi putih.

Selamat mencuba!

Friday, September 15, 2017

Pajeri Bombay

Assalamualaikum & salam sejahtera...



Masih terkenang2 dengan anak2 syurga yang terkorban dlm kebakaran di Maahad Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Hujung Keramat awal pagi semalam. Sebak & pilu di hati belum lagi surut. Salam takziah buat semua kaum keluarga mereka yang terlibat.  Semoga mereka yang terkorban menjadi penghuni syurga abadiMU ya Allah.. aamin ya robbil alamin...


Hari ni takmau celoteh panjang sebab memang agak sibuk juga sekarang ni. Hari ni MaDiHaA kongsi resepi Pajeri Bombay yang dimasak beberapa hari lepas. Tiba2 tekak teringin nak makan pajeri bombay. Susah nak jumpa juga masakan ni. Kalau ada pun waktu kenduri kahwin. T.kasih Mat Gebu untuk perkongsian resepi. MaDiHaA copy & paste resepi dari blog Chemat je ni. Kawan2 bolehla cuba untuk tukar2 menu untuk keluarga..




PAJERI BOMBAY
Resepi : Mat Gebu

BAHAN-BAHANNYA :-)
1 biji saiz sederhana nenas madu atau sebarang nenas pilihan anda
8 biji bawang merah kecil
5 ulas bawang putih, belah 2 setiap 1
1 biji cili merah, hiris serong
1 biji cili hijau, hiris serong
3 camca besar cuka makan JALEN
2 camca besar gula
1/2 camca teh serbuk kunyit (MaDiHaA guna lebih)
Garam secukup rasa (kurang lebih 1/2 camca teh/ secukup rasa)
1 camca teh biji sawi
1 batang kayu manis
1 kuntum bunga lawang
2 biji buah pelaga
5 kuntum bunga cengkih
1 inci halia (MaDiHaA tambah)

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Kupas nenas, belah 4 dan buang empulur. Hiris sederhana tebal, kemudian celur dalam air mendidih, masukkan 1 camca teh serbuk kunyit dan celur 1 minit, toskan. Panaskan minyak dalam kuali (anggaran 2 camca besar), masukkan biji sawi, kemudian kayu manis, bunga lawang, buah pelaga dan bunga cengkih. Masak hingga harum.
  2. Tambah bawang putih, bawang merah, halia dan serbuk kunyit. Kacau rata dan masak hingga bawang layu. Masukkan gula dan cuka makan, kacau dan masak hingga pekat. Guna api kecil dan kacau selalu.
  3. Tambah sedikit garam (anggaran 1/2 camca teh), cili merah, cili hijau dan nenas. Gaul rata2 dan masak hingga nenas lembut. Tak perlu tambah air, nanti nenas akan mengeluarkan air. Boleh angkat dan hidangkan..
Selamat mencuba!

Friday, August 25, 2017

Tumis Pedas Pucuk Meranti

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Jumaat barokah yang pertama di bulan Zulhijjah.  Minggu hadapan jika dipanjangkan umur dapatlah kita menyambut hari raya Aidiladha pula. MaDiHaA doakan semua sahabat2 yang mengerjakan haji pada tahun ini dipermudahkan segala urusan serta dikurniakan kesihatan yang baik sepanjang mengerjakan ibadah haji serta didoakan semoga mendapat haji yang mabrur. Aamin....

Nak cerita sikit pasal sayur nostagia kegemaran MaDiHaA ni.  Sayur ni kalau dulu2 ia banyak tumbuh di kebun sayur & cili yang arwah ayah usahakan. Bila tanah baru dibuka... selain rumput rampai tumbuh di celah2 batas sayur... pokok meranti ni pun sama2 tumbuh. Sememangnya meranti kategori rumput juga, tapi rumput yang boleh dimakan. Memang puaslah makan sayur free waktu tu.  Sedap sangat dimasak lemak putih atau digoreng dengan cili padi rencah ikan bilis.

Waktu ke pasar baru2 ni bila ternampak ada pucuk meranti di jual hati berbunga2 & terus ambil 2 ikat. Dalam hati cakap nampak rimbun & secekak besar pula tu... cukuplah untuk kami sekeluarga 2 ikat ni.  Sesampai je kat rumah teruslah bersiap2 untuk masak. Bila buka ikatan getah pada tangkai meranti ni.... rupanya2 dalam ikatan tersebut dicampur dengan tangkai2 kosong. Maksud MaDiHaA bila dipegang ikatan tu memang nampak besar bila kita cekak dalam ukuran secekak penuh.  Tapi rupa2nya apa yang kita cekak tu bercampur dengan tangkai2 kosong. Tangkai yang dipatahkan dari tangkai asal... kemudian tangkai tanpa daun2 itu dicampur sekali dalam ikatan supaya bila dipegang, ikatannya nampak banyak. Owwhhh... ada juga manusia yang cuba nak guna trik ni ye. Masih ada yang nak menipu. Buat cara tu.. sekali jelah customer beli dari awak... lain kali customer tak beli dah dari awak. Berniaga menipu macam tu tak berkat tau. Itulah sebabnya sayur yang MaDiHaA masak tu nampak bawang berlebih sebab dah siap2 tumbuk rencah rupanya sayurnya dpt hanya sedikit. Tak apalah kan.... rezeki MaDiHaA setakat tu je... 

Jom siapa2 yang belum pernah masak sayur meranti, bolehlah cuba... sedap sangat sayur ni... 



Tumis Pedas Pucuk Meranti

Bahan2
2 ikat pucuk meranti
4 ulas bawang merah*
2 ulas bawang putih*
6 - 8 biji cili padi*
sedikit ikan bilis* yang siap dikopek ~ rendam kemudian tos
minyak masak
garam secukup rasa

Cara menyediakan
1. Siangkan pucuk meranti ambil pucuk, daun dan batangnya bahagian yang lembut sahaja. Cuci bersih pucuk meranti dengan merendam seketika & kaup ke dalam penapis. Buat beberapa kali supaya jika ada pasir yang melekat pada daunnya akan hilang & bersih.
2. Didihkan setengah periuk air. Bila mendidih masukkan pucuk meranti & balik2kan ia. Angkat dan tos. (jika kalian suka rasa yang pahit2 tak perlu dicelur, boleh terus gunakan selepas sayur dibersihkan.
3. Tumbuk bahan bertanda*. Panaskan minyak dalam kuali kemudian tumiskan bahan tumbuk hingga wangi. Masukkan garam secukup rasa & kemudian masukkan pucuk meranti yang dicelur/yang segar. Balik2kan & rasakan garamnya. Bila dah cukup layu bolehlah diangkat & hidangkan.

Selamat mencuba!



Thursday, June 1, 2017

Lemak Cili Padi Pisang Muda Dengan Lala

Assalamualaikum & salam sejahtera....

Hari ni dah masuk Ramadan hari ke 6. Sekejap je masa berlalu. Selamat berpuasa MaDiHaA ucapkan pada semua pengunjung setia blog suam2 kuku MaDiHaA ni... hihi....



Hari ni MaDiHaA nak kongsikan resepi yang MaDiHaA masak dua hari sebelum Ramadan. Waktu tu MaDiHaA dapat MC 2 hari sebab sakit mata. Lepas je balik dari klinik sempat singgah pasar besar PJ & beli ikan, lala, pisang muda dan lain2 lagi. Balik rumah terus tung tang tung tang kat dapur. Dapatlah makan tengahari dengan en. suami yang kebetulan kerja shift malam minggu kelmarin. Rindu sangat nak makan masak lemak pisang muda ni apatah lagi bila ternampak mama Hamka iaitu Puan Yatie dok pos kat FB. Dalam sakit2 mata pun sempat gak singgah pasar beli bahan2 untuk masak hari tu... heheh.... Sesuai sangat menu ni dimasak untuk menu berbuka puasa.  Manalah tau kalau2 dah jemu dengan menu sendiri, bolehlah cuba menu kampong macam ni.

Resepinya biasa2 je. Tapi MaDiHaA kongsi jugalah dah nama pun blog masak2 kan... hehehh..



Lemak Cili Padi Pisang Muda Dengan Lala

Bahan2
1 sikat pisang muda ~ disiangkan ikut citarasa
1 kg lala ~ dibersihkan
2 biji kelapa parut ~ ambil santan secukupnya
2 keping asam gelugur
3 keping serai ~ dititik pangkalnya
sedikit serbut kunyit jika perlu
garam secukup rasa

Bahan2 tumbuk halus
25 biji cili padi
6 ulas bawang merah (MaDiHaA guna bawang merah saiz besar)
2 ulas bawang putih
2 inci kunyit hidup

MaDiHaA kupas kulit pisang seperti dalam gambar ni, kulit tu dimasakkan sekali.

Cara menyediakan
1.Masukkan bahan tumbuk ke dalam periuk yang agak besar. Masukkan pisang muda yang siap dipotong. Tapiskan santan ke dalamnya. Masukkan serai, garam serta sedikit serbuk kunyit. Jerang sehingga mendidih. Perlu dikacau selalu supaya santan tidak membuak.
2. Agak2 pisang nampak lembut sedikit terus masukkan lala yang telah dicuci bersih, asam keping. Masak sehingga kuahnya mendidih & lala bertukar warna & terbuka. Bila dah yakin lala sudah masak (apabila kulitnya semua sudah bertukar warna, bolehlan matikan api setelah sesuaikan rasanya.

Selamat mencuba!

Tuesday, February 7, 2017

Acar Lobak Purple

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Lepas cuti raya Cina ni agak busy sikit. Sekarang barulah boleh bernafas sikit.  Jadi kita mencelah le kejap.  Hari ni sekadar update resepi mudah2 je. Takde nak kena taip panjang2. 



Pernah tak tengok lobak warna purple? Ehh.. bukan purple gelap tau.. yang ni purple samar2 je macam dalam gambar tu. Kot yang purple gelap tu rasanya bentuk & rasa mungkin lebih kurang lobak merah/oren tu kan? Cantik tengok orang buat deko pulut kuning. Tapi yang MaDiHaA maksudkan ni lobak purple yang tak terang sangat. Rasanya yang ni dalam keluarga lobak putih juga sebab ia jenis juicy gitu. Tapi saiznya lebih besar & dompok dari lobak putih. Ukura diameternya rasanya lebih kurang sebesar bekas taufufa tu. Memang besar. MaDiHaA potong 2 & kongsi dengan ma bagi dia rasa bawak balik kampung.  MaDiHaA beli kat Cameron Highland masa cuti sekolah tahun lepas. Saja nak rasa je. Rasa lebih kurang lobak putih & lebih sedap lagi sebab rasa maung dia tu tak sekuat lobak putih.  So takde lain la yang jadi feberet kami kalau lobak2 jenis macam ni MaDiHaA buat acar mentah aje. Sedapp... krup krap lawan pulak dengan kari ikan kat entry sebelum ni memang gu dialah...

Jom cuba.... kecur tengok balik gambar ni... ratah macam tu pun sedap...




Acar Lobak Purple

Bahan2
Lobak purple secukupnya
1 biji bawang merah ~ dimayang
1 biji cili merah
cuka secukupnya
garam & gula secukupnya

Cara menyediakan
1. Lobak dikupas kulitnya & dipotong memanjang halus. Cuci bersih & tos.
2. Campurkan lobak dengan bawang & cili. Tambah cuka, garam & gula secukup rasa. Biarkan sebentar supaya mesra sebelum dihidangkan.

Selamat mencuba...


Friday, January 20, 2017

Yau Mak Tam Sos Tiram

Assalamualaikum & salam Jumaat....


Suka tengok warna sayur yau mak tam ni. Hijaunya tu nampak menyelerakan. Anak2 pun suka makan sayur ni. Tak tau nak masak macamana selain tumis dengan sos tiram atau dibuat sup. Sebab sayur ni makan mentah pun sedap. Tak perlu masak beria2 sangat sayur ni memang dah sedap. hihi..



Yau Mak Tam Sos Tiram
Bahan2
1 peket Yau Mak Tam ~ Dipotong sehelai2, cuci bersih & tos
5 ulas bawang putih ~ diketuk
3 sudu besar sos tiram
minyak untuk menumis
sedikit air

Cara menyediakan
Panaskan minyak masak. Tumis bawang putih hingga wangi. Masukkan yau mak tam, sos tiram & sedikit air. Kacau2 sekejap nampak layu boleh matikan api. Sedia dihidangkan.

Selamat memasak!

Friday, January 13, 2017

Gulai Lemak Kulat Sisir

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Lama dah aritu janji nak share sayur yang bawak dari kampong. Hampir2 terlupa. Resepi ulangan je, tapi ini antara sayur2 kegemaran en. suami & kini puan isteri pun dah terminat sama. Kalau dulu tu bau kulat sisir yang mentah tu pun rasa pelik, apalagi tengok rupa kulat sisir yang hitam2 tu... rasa macam tak selera nak makan. Mujurlah MaDiHaA ni jenis suka mencuba pelbagai masakan. Kalau jenis yang asal nampak pelik takmau mencuba tu memang tak dapatlah kot nak rasa masakan yang sedap2 & yang pelik2 kan? Bila dah rasa tu barulah tau sedap ke tidak, boleh masuk ke tidak. Tapi kebanyakan yang en. suami perkenalkan masakan kampong semua MaDiHaA suka... hehehe... Dasar kuat makan...

Resepi ulangan je ni, tapi bukan gambar ulangan ye.. semua gambar terbaru.. layan jelah ye...


Gulai Lemak Cili Padi Kulat Sisir / Cendawan Kukur
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2 
2 cawan kulat sisir / kulat kukur kering
15 biji cili padi
4 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
sejemput ikan bilis ~ direndam sekejap
2 batang serai ~ dititik 
900 ml santan sederhana pekat (MaDiHaA gunakan 200 ml santan kotak + 700 ml air)
garam & serbuk perasa secukupnya 


Kulat sisir yang sudah direndam & dibersihkan


Cara menyediakan. 
1. Kulat sisir dibersihkan segala kotoran, kerat kakinya jika terlekat kulit kayu kemudian direndam.  Sauk kulat sisir menggunakan tangan buangkan air serta kekotorannya.  Rendam sekali lagi & buatlah seperti tadi sekali lagi supaya semua kekotoran yang melekat pada kulat terpisah.  Cucurkan kulat di bawah air paip & tos sebentar.  Tumbuk kulat menggunakan lesung batu tetapi jangan sampai hancur.  Tumbuk manja2 je ye.
2. Tumbuk pula ramuan seperti cili padi, ikan bilis, bawang merah & bawang putih hingga lumat.
3. Dalam periuk, masukkan santan, bahan tumbuk, serai, kulat yang ditumbuk, garam & serbuk perasa secukupnya.  Masak dengan api sederhana sambil sentiasa dikacau.  Jika suka boleh masukkan 1 keping asam gelugur.  Boleh dimatikan api bila dah secukup rasa.


Kulat sisir yang ditumbuk kasar 

Selamat memasak!

Thursday, December 22, 2016

Jeruk Maman

Assalamualaikum & salam sejahtera...




Hari ni MaDiHaA nak share resepi orang kampong pula ye. Jeruk maman namanya. Ada yang pernah makan? Atau ada yang tak pernah tau atau tak pernah dengar? hihi... Rasanya kalau asal dari kampong tentu pernah tengok kan? Maaflah tak dapat nak tunjuk maman sebelum dijeruk sebab jeruk ni ma MaDiHaA yang buat.  Ini salah satu sayur kegemaran MaDiHaA. Kalau jumpa jeruk maman ni, terbau je dah boleh buat kecur air liur. Baru2 ni balik kampong, ma MaDiHaA dah siap2 buatkan sebekas besar jeruk maman untuk anakandanya yang nak pulang ke kampong.  Dia tahu anaknya memang suka makan tu yang dia siap2 petik maman yg ditanam kat tepi rumah. Terima kasih ma susah payah buatkan semua ni untuk anakmu. Anak dah tua2 macam ni pun ma tetap layan macam anak kecik lagi... sayang ma ketat-ketat... hihi...



Jeruk Maman

Bahan2
3 ikat maman atau secukupnya
Air masak secukupnya
Garam secukup rasa (jangan masin sangat)
1 senduk nasi sejuk

Cara menyediakan
1. Maman disiang ambil daun & bahagian tangkai2nya yang lembut sahaja. Cuci bersih & toskan.
2. Masukkan ke dalam bekas yang sesuai. Masukkan air masak agak2 tenggelam maman tu.
3. Masukkan garam agak2 ye & nasi sejuk diperoikan. Kacau2 sikit. Tutup bekas & peram sebaiknya 2 malam sebelum dimakan bersama nasi. Boleh juga masukkan cili padi dalam jeruk maman & masa nak makan picitkan cili tadi. Boleh juga hidang dengan ikan bakar. Selepas beberapa malam dijeruk, jika nak bagi tahan lama, simpan jeruk maman dalam peti sejuk.

Selamat mencuba!

Friday, December 9, 2016

Tofu Telur, King Mushroom & Kobis Bunga Sos Tiram

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Ini salah satu masakan kegemaran keluarga MaDiHaA terutama anak2. Sayuran tu boleh saja nak ditukar dengan apa2 sayuran yang sesuai. Kuantiti masakan ni agak banyak ye. Kalau keluarga kecil yang tak kuat makan atau untuk makan 2 orang, buat 1 tiub tofu pun dah cukup. Yang MaDiHaA masak ni untuk 4-5 orang makan, ini pun macam tak berapa nak cukup. Masing2 kuat makan lauk.. hihi...

Kalau tak de idea nak masak apa hari ni, boleh cuba resepi ni... 



Tofu Telur, King Mushroom & 
Kobis Bunga Sos Tiram

Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2

3 tiub tofu telur
1 pack king mushroom (4 batang) ~ potong ikut selera
1/2 ketul kobis bunga ~ potong floret
3 ulas bawang putih ~ diketuk & cincang
3 ulas bawang merah ~ dihiris nipis
2 biji cili padi ~ dihiris halus
4 sudu besar sos tiram
3 cawan air (1 cawan guna untuk bancuh tepong jagung)
2 sudu besar tepong jagung dibancuh dengan 1 cawan air dari 3 cawan tadi
sedikit minyak

Cara menyediakan
1. Panaskan minyak untuk menggoreng. Tofu telur di keluarkan dari tiub & letak atas tapak tangan, cuci dibawah air paip sambil berselawat sikit kemudian  hiris terus ke dalam minyak yang dipanaskan. Goreng garing kedua2 belah. Goreng hingga habis batch by batch ye.
2. Keluarkan sikit minyak masak tadi tinggalkan sikit untuk menumis. Tumiskan bawang putih, bawang merah & cili padi sampai berbau. Masukkan 2 cawan air & biarkan mendidih. Masukkan cendawan & kobis bunga serta sos tiram. Bila dah mendidih tambahkan bancuhan tepong jagung tadi sambil dikacau sehingga pekat. Akhir sekali tambah tofu telur yang digoreng tadi & kacau perlahan2 supaya tofu tidak hancur. Sedia dihidangkan.

Selamat mencuba!

Wednesday, November 30, 2016

Pucuk Paku Goreng Pedas

Assalamualaikum & salam sejahtera...



Bulan November pecah rekod kami sebab 3 kali kami balik Raub. Wahh... ! Memang tak sangka balik sekerap itu.  Bukan tak suka dapat balik kerap macam tu.. yelah sekurang-kurangnya dapat jenguk mertua. Tapi yelah.. nak balik selalu2 pun en. suami bukannya jenis cuti macam orang lain tiap2 minggu cuti. Cuti dia sebulan hanya 2 kali je, bermakna kerja 2 minggu baru dpt cuti 2 hari. Di samping tu, bila balik kerap sangat tu faham2 ajela... poket pun boleh kempis. Kalau balik kampong paling kurang RM250 belum tentu cukup. Tapi oleh kerana memang perlu balik, redho ajelah balik tiap2 minggu sampai 3 minggu berturut2 kami balik.. haha.. 



Balik Raub kali pertama sebab anakanda sulung dapat anugerah tahfiz kali ke dua kat sekolahnya kat Raub tu. Jadi bagilah semangat sikit anak nak naik pentas katakan. (kali pertama dpt anugerah kami tak dapat pergi sebab dompet en. suami tercicir padahal kami dah pack barang siap dah). Kali ke dua pula balik Raub sebab sepupu en. suami meninggal. Ada hikmah juga tu dapat balik kali ke dua sebab masa tu mertua sakit lutut sampai tak boleh berjalan. Masa nak pegi melawat jenazah tu pun en. suami dukung maknya dari rumah hingga ke kereta.. hehe.. pertama kali tengok anak dukung mak gitu.. alhamdulillah. Mujurlah anak2 lelaki mak besar2 belaka... senang nak dukung mak bila mak sakit. Sekarang ni mertua pun dah sihat lepas dibawa ke klinik. Lepas tu kali ke tiga balik sebab nak jemput anak sulung kat asramanya. Hah.. tu dia sampai 3 kali balik. 

Yang seronoknya bila balik ke kampong, kami sempatlah borong sayur2 kampong dan pisang dengan harga yang murah. Itu sebab yang keluar menu pisang goreng hari tu.. hihi.. Kali ni pula menu pucuk paku goreng pedas. Pucuk paku beli kat kampong semua segar2 dan murah. 3 ikat dapat harga RM4 sahaja.  (1 ikat tu secekak besar orang dewasa). Pucuk paku pula muda2 & gemuk2 memang puas hati. 2 kali kami beli pucuk paku tu tau. Cuma kali pertama balik je tak sempat beli sebab nak cepat balik lepas anak dapat anugerah sebab en. suami kena kerja pulak malam tu.

Hmm.. panjang pulak celoteh hari ni.. moh ler kita ke dapur masak pucuk paku... Lepas ni tunggu menu sayur kampong yang lain pulak yer...




PUCUK PAKU GORENG PEDAS 

2 cekak pucuk paku - siang ambil bahagian lembut, bersihkan lalu disejat 
5 ulas bwg merah* 
1 ulas bwg putih* 
8 biji cili padi*                                 *ditumbuk halus 
1 cm kunyit hidup* 
segengam ikan bilis dibersihkan & rendam* 
minyak utk menumis 
garam secukup rasa 

Cara menyediakan 
Panaskan minyak & tumis bahan tumbuk hingga wangi.
Masukkan pucuk paku dan kacau rata. 
Masukkan garam dan kacau sehingga rata. (tak perlu tambah air)
Bila pucuk paku dah layu dan batangnya empuk bolehlah dihidang. 


Selamat memasak!

Thursday, June 23, 2016

Sayur Lemak Jambu Golok Campur Sotong

Assalamualaikum & salam sejahtera...
 
 
Balik kampung MaDiHaA di Pahang 2 bulan lepas kebetulan musim buah gajus.  Jadi tak lepaskan peluang untuk merasai keenakan sayur lemak buah gajus dicampur dengan sotong. Masakan popular di Terengganu ketika musim buah gajus atau lebih dikenali buah jambu golok kat sebelah sana.  Kalau sebelah Kelantan rasanya kat sana panggil buat ketereh. Ada banyak nama buah ni... janggus pun ye jugak. 

Yang kuning comey2 tu yang kawan bagi... yang saiz besar tu yang ambik rumah pakcik tu...

Mulanya tak tau jugak musim buah jambu golok ni. Kawan sekampong dok share kat FB... apa lagi.. kita pun ngeceklah buahnya.. sapa suruh tunjuk.. hihi.. Tapi nampaknya hanya dapat beberapa biji je buahnya & bersaiz kecik pulak comel pulak tu.. mana la cukup kalau dimasak.. lepas kecut rasanya  setengah mangkuk  pun belum tentu dpt. Jadi MaDiHaA ajak ma & suami ronda satu kampong untuk mencari kalau2 ada jumpa pokok jambu golok ni kat rumah sesapa nak minta beli. Ronda punya ronda.. jumpala kat belakang rumah peneroka Krtg 2 ada pokoknya.  Sanggup bagi salam kat rumah pakcik tu & minta beli. Tuan rumah pula baik sungguh... dia cakap petik jelah nak.. takde siapa ambik pun buah tu.. siap dia bagi galah penjolok yang siap ada tempat khas sambut buah kat hujung galah tu... punyalah baik. Kitorang pun apalagi... petikla selagi ada buahnya... yelahkan.. rezeki jgn ditolak. Nampak banyak buah jatuh2 kat bawah pokok memang takde siapa yang ambik. Lepas petik bagai... masa nak pulangkan galah pakcik tu... sedekahla juga kat pakcik tu rm5 sebagai tanda terima kasih. Pakcik tu taknak ambik pun katanya pakcik tak jual nak... tapi kami paksa juga dia ambik...  & kami kata kami pun tak beli.. ni saja nak sedekah je.. hehehe... tak sedapla kan ambik macam tu saja.. Eh!! panjang pulak celoteh hari ni.. jomlah tengok resepi ulangan ni.... berselera makan... dapat jugak bagi kat kawan yg bg buah tu merasa sikit sayur lemak ni sebab dia tak pernah rasa lagi sayur ni.



SAYUR LEMAK JAMBU GOLOK CAMPUR SOTONG
(Resepi Tradisi Trengganu)
Sumber rujukan : Ma


Bahan2
½ kg buah jambu golok / gajus yang ranum
½ kg sotong sederhana besar
1 biji bawang besar ~ hiris
1 ulas bawang putih  ~ hiris
2 biji cili merah/hijau ~ belah/hiris
beberapa biji cili padi jika suka
1 hiris halia (untuk menghilangkan hanyir sotong)
3 cawan santan sederhana pekat (atau secukupnya)
garam secukupnya

 
 Cara2

1. Buah jambu golok dibuang bijinya dan isinya dihiris2 memanjang. Apabila habis dihiris semua isinya diramas/diperah supaya airnya keluar. Kemudian dicuci bersih. Bersihkan pula sotong & hiris.
2. Campurkan semua bahan2 di atas dalam satu periuk dan masaklah macam biasa sambil sentiasa dikacau2 supaya santan tidak membuak.
3. Rasakan garamnya biar secukup rasa. Sedia dihidangkan bersama nasi putih panas2. Lebih sedap jika ada sambal belacan & ikan masin. 
 
Selamat mencuba!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...