Friday, December 20, 2013

Tempahan ~ Pulut Kuning Berhias & Apam Polkadots

Assalamualaikum & salam sejahtera....



Seperti biasa hari Jumaat tuan punya blog kurang rajin update resepi.  Jadi untuk tatapan hari ni hanya ada Pulut Kuning Berhias & Apam Polkadots tempahan sahaja. Jangan maree yer... 



Oh ya.. tempahan ni adalah tempahan yang diambil sebelum order ditutup.  Syukur alhamdulillah customer berpuas hati dengan tempahannya.  Sanggup datang jauh2 dari Kajang untuk ambil ordernya di Bandar Sunway.  Terima kasih Nadira.  

 Pulut kuning berlapis serunding daging yang sangat sedap!

Oklah.. layan gambar order dulu ye... nanti ada kerajinan & masa MaDiHaA update resepi pula ye. Yang pastinya.. mesti resepi2 sempoi belaka.  Nowadays... takde masa sangat nak bereksperimen yang cerewet2 macam dulu2.  Masa begitu terhad dengan pelbagai perkara yang wajib diselesaikan.  Jadi ibu bekerja macam ni lah... setiap hari sentiasa sibuk menguruskan dua kewajipan di pejabat & di rumah setiap hari.  Tapi alhamdulillah kita buat dengan ikhlas hati pasti ada ganjaran yang menanti.

200 apam polkadots

Hingga jumpa lagi...

Thursday, December 19, 2013

Apam Gula Hangus

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Baru2 ni jiran depan rumah tempah kuih dengan MaDiHaA.  Sebenarnya masa tu MaDiHaA dah tutup order.  Tapi tak sampai hati pulak nak tolak sebab dia dah berharap.  Katanya order untuk majlis kakaknya.  Akhirnya ambil jugalah ordernya. Nasib baik tak banyak sangat. Hanya 50 biji apam gula hangus & 60 biji kuih cara berlauk. hehe...

Oklah hari tu dah update kat FB ada pula yang tanyakan resepi apam gula hangus ni.  Jom MaDiHaA kongsikan.  Kalau teringin bolehlah cuba buat sendiri ya.  Tak susah mana pun.. mudah aje.  MaDiHaA dapat resepi ni pun dari internet juga.. insyaAllah pasti jadi.  Yang penting ikut step by step dengan betul ya.. Tuang adunan ke acuan tu jangan sampai penuh ye. Setakat 3/4 penuh dah cukup. Nanti apam akan naik tinggi. Terima kasih pada penyumbang asal resepi ni... sedap lembut & gebu...




APAM GULA HANGUS
Sumber : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2

150g Gula Castor
100ml Air panas
70g Mentega ~ dicairkan
75ml Susu cair
1 biji Telur ~ dipukul sedikit
150g Tepung gandum ~
1 sudu kecil Bicarbonate Soda ~ Ayak dengan tepong
Secubit garam ~
75g Gula Castor (MaDiHaA kurangkan ke 50 gm)

Cara Menyediakan
1. Cairkan 150g gula castor dengan api perlahan. Jangan sampai hangus nanti pahit. Setelah gula cair, tuangkan air panas perlahan-lahan. ~berhati-hati ye~
Kacau rata di atas api sehingga mendidih dan menjadik sirap gula. Tutup api dan biarkan sejuk. Sementara tu bolehlah panaskan kukusan.
2. Setelah sejuk, masukkan mentega cair, susu cair dan telur.. Kacau rata.
3. Campurkan bersama tepung, soda bikarbonat, garam dan 75g gula. Buatkan lubang ditengah adunan dan curahkan sirap gula perlahan-lahan. Kacau rata. Jika adunan berketul2 boleh ditapis atau guna mixer dan putar hingga berkrim. 

4. Tuang dlm acuan kegemaran 3/4 penuh (yang telah dilengser dengan minyak masak) dan kukus hingga masak anggaran 13 - 14 minit (bergantung saiz acuan).

 Selamat mencuba!

Wednesday, December 18, 2013

Sambal Tomato Marveles lawan dengan Ikan Bakar Garam Kunyit & Tumis Petola.. menu sihat pulak..

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Alhamdulillah masih dipanjangkan umur & setiap hari masih dapat menikmati makanan yang sedap2 & menghirup udara ciptaan Allah s.w.t ini dengan begitu tenang.  Hati MaDiHaA sehari dua ni begitu tersentuh bila mendapat perkhabaran yang sahabat baik & teman sepermainan MaDiHaA semasa kecil dahulu sedang dalam kesusahan.  Sampainya hati sang suami meninggalkan beliau di saat2 beliau dalam kesakitan.  Sudahlah sakit & terpaksa berhenti kerja sebab mengalami kesakitan di bahagian tulang pinggul.  Suami pula meninggalkannya kerana mengejar perempuan lain.  Makan & minum pun harapkan belas ikhsan saudara mara terdekat kerana ketiadaan duit belanja.  Baru2 ni dia ke hospital kerana tak tahan sangat dengan kesakitan yang dialami & doktor sarankan untuk buat ujian MRI.  Masuk hospital pun ditemani anak kecil yang berusia 9 tahun.  Bila tanya kau masuk hospital siapa yang jaga anak?  Jawapnya.. "dia yang jaga aku kat hospital.. aku jaga dia, dia jaga aku".  Sedihnya mengenangkan nasib sahabat MaDiHaA tu.  Susah2 kami rupanya ada sahabat sendiri yang jauh lebih susah dari kami.  Ya Allah.. kau permudahkanlah urusan sahabat ku Norhana binti Zakaria.  Kau bukakanlah pintu hati suaminya untuk kembali padanya.. moga terjaga makan minum & sakit pening sahabatku itu ya Allah.. Amin ya Rabbal alamin. Hajat di hati teringin juga menjenguknya nanti jika ada rezeki.  Jika dekat dah lama MaDiHaA melawatnya. Tapi jarak kami agak jauh kerana dia berada di Kuantan.  (dapat contact balik dia pun disebabkan mak MaDiHaA yang terkandas banjir di Kuantan tempohari..) Suami pun dah memberi keizinan untuk membantu beliau apa yang kami mampu.  Tak sampai hati mendengar kesusahan yang dialami... hari ini hari dia.. mungkin esok lusa hari MaDiHaA pula. Maafkan MaDiHaA kerana bersentimental kat sini ya.. Sekadar meluahkan apa yang terbuku dalam hati.



Oklah jom MaDiHaA kongsi menu sihat hari ni.  Kelmarin dah makan lauk bersantan hari ni kita hidang menu sihat pula ye.  No santan, low oil. hehe.. MaDiHaA memang hadkan pengambilan santan dalam hidangan.  Paling kerap pun, seminggu hanya sekali ada menu bersantan.  Kadang2.. 2 minggu baru jumpa lauk bersantan. Kesihatan harus diutamakan.  Kalau dah sakit nanti.. sendiri juga yang merana.  Tapi kalau sesekali nak ternak lemak tu.. mungkin boleh dimaafkanlah ye.. kadang2 tekak ni teringin juga nak makan yg sedap2.. hehehe... Walaupun masak lauk simple begini.. alhamdulillah kami sekeluarga sangat berselera sekali.  Apalagi ada Sambal Tomato yang tersangatlah sedap ni.  Terima kasih Amie yang bercerita pasal kesedapan sambal tomato ni.. Lepas ni MaDiHaA dah tau lah nak buat apa jika ada stok tomato berlebihan (lebih deko pulut kuning). Pasti Sambal Tomato yang marbeles ni yang akan jadi sasaran... Hari tu konon2 nak buat ikut resepi macam banyak sangat.  Buat setengah resepi.. rupa2nya hanya sempat makan 2 kali je sambal dah selesai! hahahaha... lain kali buat terus 1/2 kg tomato.  Patutlah Amie kata dia suka buat stok sambal banyak2.  Sebabnya memang sekejap je selesai sambal tu apalagi ramai askar kat rumah kan..

Ok ok.. jom MaDiHaA kongsikan resepi sedap ni... rugi kalau tak cuba tau.. memang best & highly recomended!


Sambal Tomato




Bahan-bahan:
1/2 kg buah tomato - cincang
2 biji bawang besar - cincang
2 batang serai - dititik
3 keping asam gelugur
garam / gula (MaDiHaA guna gula merah + gula pasir) / perasa pilihan secukupnya
minyak



Bahan kisar :
5 biji cili merah
1 cawan cili padi
10 ulas bawang putih
2 inci belacan
1/2 cawan udang kering - rendam hingga kembang dan toskan airnya
1 cawan udang geragau - bilas



Cara:
1. Panaskan minyak secukupnya dan masukkan kesemua bahan kisar. Tumis sehingga naik bau.
2. Masukkan serai, asam gelugur, bawang besar da tomato. Gaul rata.
3. Perlahankan api dapur, dam biarkan sambal mendidih sehingga tomato dan bawang besar hancur.
4. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.

Ikan Bakar Garam Kunyit

Bahan2
3 ekor ikan kembong saiz besar
garam & serbuk kunyit secukupnya
Sedikit minyak masak
 
Cara menyediakan
Bersihkan ikan & kelar.  Lumurkan dengan garam & serbuk kunyit.  Masukkan ke dalam pemanggang ajaib & tuangkan beberapa titik minyak masak. Masak menggunakan api kecil sehingga ikan masak kedua2 belah. (MaDiHaA balikkan ikan dengan membuka penutup pemanggang tu & balikkan secara manual je.)



Jemput makan...

Monday, December 16, 2013

Gulai Lemak Cili Padi Kulat Sisir / Cendawan Kukur

Assalamualaikum & salam sejahtera...


MaDiHaA lupa bila tarikh sebenarnya.. dalam 2 bulan lepas kot.. ada sorang adik yang hubungi MaDiHaA minta tolong carikan kulat sisir sebab maknya kat kampong teringin sangat2 nak makan kulat sisir.  Kesnya.. dia ternampak entry lama pasal kulat sisir dalam blog MaDiHaA ni.  Katanya kalau boleh dapatkan sebelum dia pulang bercuti ke kampong.  Memang MaDiHaA janji akan cuba carikan. Tapi malangnya memang tak jumpa kulat sisir kat mana2 waktu tu.  Suami MaDiHaA dah cuba cari kat pasar pagi Taman Medan, dan cari juga kat pasar besar PJ pun takde.  Jadi memang tak dapatlah nak lunaskan permintaan Izan buat maknya yang mengidam.  Memang takde rezeki.  Maaf kan akak ye Izan.



Minggu pertama cuti sekolah tempohari kami jemput kakak Dini kat asrama & ambil kesempatan untuk pulang ke kampong mertua sekali.  Yelah.. jarak kg mertua dengan sekolah anak sulung kami tu tak jauh mana pun.  Memang patut sangatlah kami balik kampong sekali kan.  Nak dijadikan rezeki.. mertua bagi kami kulat sisir yang dibelinya.  Beli kat mana tu tak pasti pula sebab waktu kami balik tu.. kulat sisir ni memang dah sedia ada kat dalam peti sejuk mak.  Tak silap MaDiHaA.. mertua kata dia beli RM16! Mak oii.. boleh tahan juga harganya.  MaDiHaA tengok takdelah banyak sangat kulat tu.  Tp tak taulah kalau mertua dah masak sikit kulat tu.  Kulat yg dibeli tu dibahagi dua dengan kami.  Alhamdulillah.. sebenarnya kami pun dah lama tak makan kulat sisir ni.. memang seronok sangatlah bila mak bagi tu.  Dapatlah sekali menggulai.  Terima kasih mak!

Menurut suami MaDiHaA zaman dia budak2 dulu.. kulat sisir ni diaorang kutip sendiri je pada batang getah yang tumbang.  Jenuh nak mengutip katanya.  Biasanya kulat sisir ni memang tumbuh pada batang pokok tumbang especially batang pokok getah seperti dalam gambar kat bawah tu.  Sebab tulah sebelum masak kulat ni kena kerat sikit kaki kulat tu sebab takut2 terlekat kulit batang getah pada kakinya tu.  Gambar ni ehsan dari fb Imah kawan MaDiHaA dari Perlis.  Imah kata.. kat kg dia senang nak jumpa kulat sisir ni nak plak kalau ada getah tumbang.  Memang jadi rezeki mereka lah.  MaDiHaA zaman budak2 dulu memang tak pernah ada pengalaman kutip kulat sisir. Sebab kg. MaDiHaA memang takde kebun getah. almaklum kg MaDiHaA hanya ada pokok sawit.  Kalau dalam kebun sawit.. senang nak jumpa kulat tahun.  Kulat tahun pun salah satu kulat feberet MaDiHaA. Sedap!  Sekarang ni pulak.. dengar kata ada sejenis kulat yang mereka panggil kulat tandan.  Kulat ni tumbuh pada tandan kelapa sawit lama yang dipotong.  MaDiHaA pernah rasa & kulat ni sama sedap macam kulat tahun juga. 


 Gambar kat atas ni.. belah kiri tu kulat sisir yang telah direndam & dibersihkan, dan sebelah kanan tu selepas kulat ditumbuk kasar. Kulat yang terjual biasanya kulat yang sudah dikeringkan. Jadi kita kena rendam sebelum dimasak.

Okey jom tengok resepi Gulai yang MaDiHaA masak baru2 ni.  Seronok bila berkongsi di FB.. ramai yang berkongsi lain2 resepi yang boleh dimasak menggunakan kulat sisir ni.  MaDiHaA sebelum ni hanya pandai masak goreng pedas + cili padi & bilis dengan gulai lemak aje. Lain kali boleh cuba resepi2 yang kawan2 cadangkan pula.



Gulai Lemak Cili Padi Kulat Sisir / Cendawan Kukur
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
2 cawan kulat sisir / kulat kukur kering
15 biji cili padi
4 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
sejemput ikan bilis ~ direndam sekejap
2 batang serai ~ dititik
900 ml santan sederhana pekat (MaDiHaA gunakan 200 ml santan kotak + 700 ml air)
garam & serbuk perasa secukupnya

Cara menyediakan.
1. Kulat sisir dibersihkan segala kotoran, kerat kakinya jika terlekat kulit kayu kemudian direndam.  Sauk kulat sisir menggunakan tangan buangkan air serta kekotorannya.  Rendam sekali lagi & buatlah seperti tadi sekali lagi supaya semua kekotoran yang melekat pada kulat terpisah.  Cucurkan kulat di bawah air paip & tos sebentar.  Tumbuk kulat menggunakan lesung batu tetapi jangan sampai hancur.  Tumbuk manja2 je ye.
2. Tumbuk pula ramuan seperti cili padi, ikan bilis, bawang merah & bawang putih hingga lumat.
3. Dalam periuk, masukkan santan, bahan tumbuk, serai, kulat yang ditumbuk, garam & serbuk perasa secukupnya.  Masak dengan api sederhana sambil sentiasa dikacau.  Jika suka boleh masukkan 1 keping asam gelugur.  Boleh dimatikan api bila dah secukup rasa.



Selamat mencuba!

Friday, December 13, 2013

Tempahan yang lalu...

Assalamualaikum & salam sejahtera....



Bertemu lagi kita ye... mood rajin update plak hari ni.  Kali ni update order plak.  Walaupun MaDiHaA dah tutup order sehingga 10hb Januari depan.. tapi jangan tak tau.. masih ada beberapa order yang belum sempat MaDiHaA kongsikan di blog.  Alhamdulillah.. sejak bisnes kecil MaDiHaA diiklankan di blog ini.. rezeki MaDiHaA tak pernah putus dengan order yang datang bertalu2.. ada juga order yang terpaksa MaDiHaA tolak kerana tidak mampu buat kerana diminta buat pada hari bekerja.  Ada juga yang perlukan tempahan dibuat penghantaran.  Maaf sangat2 kerana MaDiHaA tak mampu nak laksanakannya kerana MaDiHaA kurang arif selok belok jalan walaupun dah lama bermastautin di Selangor ni.  Lagipun.. MaDiHaA memang tak punya cukup masa untuk melakukannya.  Kewajipan terhadap keluarga harus diutamakan juga.  

Setakat ini.. bersyukur dengan rezeki yang Allah s.w.t kurniakan.  Syukur dengan kesihatan yang Allah s.w.t berikan dan dengan itu.. dapatlah MaDiHaA melaksanakan tanggungjawap menyiapkan tempahan2 customer ini.

Terima kasih kepada customer yang tak jemu2 order dengan MaDiHaA ya.  Jom layan gambar tempahan yang tak seberapa ni..


Tempahan dari Nisa, Subang Jaya 300 apam polkadot pelbagai filling.  TQ Nisa sudi menempah.. kawannya Suraya yang bertanggung jawap menempah bagi pihak Nisa.  TQ both of you!



Kedua2 apam di atas, polkadot & ladybug di tempah oleh Kak Maz pada hari berlainan.  Repeat order selepas kali pertama Kak Maz order 200 pcs apam polkadot tempohari. TQVM kak.... lebih kurang minta halal ye kak..

Oklah.. itu saja order untuk kali ni... segalanya apam! hehe... 

Bingka Roti Berlapis Inti

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Masih ingat lagi misi MaDiHaA mencari resepi tanpa telur untuk menghabiskan lebihan kerak roti?  Sebenarnya.. dah lama habis semua kerak2 roti lebihan buat sandwich tempahan tempohari.   Alhamdulillah tiada yang membazir. Tinggal lagi.. MaDiHaA je yang tak sempat2 nak update resepi ke blog disebabkan kekangan masa.  Alhamdulillah kali ni godek2 resepi savoury pulak sebab anak2 kat rumah tu lebih suka kuih muih savoury berbanding kuih2 manis.  Selera mereka samalah dengan selera ayahnya.. hehe.. alhamdulillah.. bila dah siap bakar..  kuih ni digemari semua warga dalam rumah.  Lega... hehe..


Hasil eksperimen di dapur akhirnya kerak roti dah pun bertukar jadi Bingka Roti Berlapis Inti.  Yang penting ianya tanpa telur khas untuk anak bujang yang dalam pantang waktu tu.  Kalau kawan2 nak buat & letak telur pun takde masalah. Boleh je pecahkan telur sebiji atau dua & sebatikan dalam cecair dalam resepi sebelum dituang pada roti.



Bingka Roti Berlapis Inti
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2 Bingka
600 gm roti (dalam kes MaDiHaA ni roti kena timbang sebab menggunakan kerak2 roti lebihan buat sandwich.. jika guna roti kepingan.. anggaran 18 keping kot)
3 3/4 cawan susu segar 
3 sudu besar tepong jagung
4 sudu besar mentega ~ dicairkan
Cheddar Cheese atau mozarella cheese secukupnya (MaDiHaA guna cheddar cheese)

Cara menyediakan
1. Sediakan inti seperti resepi di bawah & ketepikan dahulu.
2. Bancuh tepong jagung bersama sedikit susu sehingga rata.  Satukan bersama lebihan susu serta mentega cair.
3. Tuangkan ke dalam bekas yang berisi roti & biarkan ia kembang.
4. Sapukan loyang 10" dengan mentega.  Tuangkan setengah daripada adunan roti tadi ke dalam loyang.  Tuangkan pula inti yang disiapkan tadi rata2.
5. Tuangkan lebihan adunan roti menutupi inti tersebut. Kemudian taburkan cheese pilihan anda. Lagi tebal cheese lagi sedap!
6. Bakar Bingka anggaran 50 minit atau sehingga bingka masak sepenuhnya.  Sejukkan sebelum dipotong.


Bahan Inti Kari Kentang & Ayam 
Resepi : MaDiHaA aka Ratna


Bahan2
450 gm kentang
1 cawan isi ayam yang didadu
1 biji bawang besar ~ didadu
1 sudu besar cili kisar atau serbuk cili
3 sudu besar serbuk kari daging/ayam
garam secukup rasa
1 sudu besar gula
sedikit minyak
air secukupnya


Cara menyediakan

1. Kentang dikopek & dicuci bersih.  Potong dadu kecil kentang sehingga habis.  Cucur air paip kentang dadu & toskan.

2. Panaskan minyak lalu tumiskan bawang besar dadu.  Serbuk kari & serbuk cili dicampurkan sedikit air dijadikan pes.  Bila bawang besar layu, masukkan pes kari tadi.  Tumis sehingga naik minyak.

3. Masukkan isi ayam dan gaul rata sehingga ayam bertukar warna.

4. Masukkan kentang & air.  Kuantiti air biar lebih anggaran 1 cm dari paras kentang.  Masukkan garam & gula & biar sehingga kentang empuk.  Sekali sekali kacau kentang agar tidak berkerak.

5. Rasa inti biar secukup rasa & bila inti agak kering, bolehlah dimatikan api & biarkan sehingga inti sejuk sebelum digunakan.
Selamat mencuba!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...