Tuesday, May 7, 2013

Cerita balik kampong jenguk ma yang tak sihat...

Assalamualaikum & salam sejahtera... 


Pagi ni MaDiHaA kurang sibuk jadi nak sembang2 sikit pasal balik kampong waktu jenguk ma yang tak sihat hujung bulan lepas.  Maaflah tulisan kali ni mungkin agak panjang.  Hanya cerita2 famili aje.  Kalau ada yang malas nak baca.. tengok-tengok gambar saja ye... hehe.. Cerita ni hanya untuk kenang2an buat kami.. insyaAllah..



Kami bertolak pulang ke kampong hari Jumaat 26hb April selepas kerja.  Lepas2 kerja pun.. berkemas pakaian, itu ini hampir pukul 8 juga baru boleh bergerak.  Yelah.. sampai rumah pun hampir 7 mlm.  Waktu tu ma dah dihantar ke Hospital Segamat oleh adik2.  Kebetulan pula Angah sekeluarga (adik no. 2) dari Klang memang dah balik sehari sebelum kami sebab kebetulan dia ada hal lain yang nak diuruskan.  Sedang eloklah semua dah ada sana.  Hanya MaDiHaA je yang belum sampai.  Dalam pukul 8 malam Abby (adik no. 3) beritahu ma sudah dibawa ke dewan bedah... hampir 4 jam juga adik menunggu ma di luar dewan bedah.  Kesian juga dia sorang2 tunggu ma.  Tapi nak buat macamana.. angah tak boleh nak teman sebab ada anak kecik.. begitu juga dengan adik ipar pun ada anak kecik yang masih menyusu badan.  Anak Abby sebaya dengan anak bongsu MaDiHaA sudah berumur 4 tahun.. jadi bolehlah ditinggalkan dengan adik2 yang lain... Lagipun kalau tunggu ramai2 nanti yang dibenarkan jaga ma dalam wad hanya seorang.. takkan yang lain nak tidor kat luar sorang diri pulak.  Rumah pun bukannya dekat.. hampir sejam perjalanan juga.  Jadi elokla Abby sorang je yang jaga ma. Waktu kami berhenti makan di simpang Serting hampir pukul 12 malam.. barulah adik beritahu ma baru saja siap di bedah.. semuanya ok.. tapi lepas beberapa jam.. adik beritahu nurse cakap oksigen ma tak berapa ok.. terpaksa diberikan oksigen tambahan. Berdebar2 juga hati ni... Abby kata ma tidor saja sepanjang malam tu.. Abby yang jaga ma sepanjang malam di hospital.  Abby kata nurse di hospital Segamat semuanya baik2 belaka. Sorang pun takde yang sombong. Alhamdulillah...



Esoknya kami semua bersiap apa yang patut.  Oleh kerana ramai rakyat jelata yang akan ikut (3 buah kereta) jadi untuk mengurangkan kos perbelanjaan.. kami bercadang untuk masak-masak dulu & bawa bekal ke hospital.  Soal nak makan kat mana itu kemudian kira.. hehe..  Waktu tu ma dah sedar & Abby kata ma nak makan bubur.  MaDiHaA jadi tukang masak hari tu dengan bantuan adik & adik ipar.. MaDiHaA masakkan ma bubur ikan bilis campur carrot & untuk kami.. MaDiHaA masak nasi putih, ayam masak kicap, ikan goreng sambal dan taucu cili hijau campur bilis.


Sampai2 je.. terus cari parking tempat yang ada ruang untuk kami makan2 dulu sebab waktu tu dah hampir pukul 2 petang. Waktu melawat tengahari dah nak tamat. Budak2 ni sempat lagi melawat kawasan.. Ada macam2 pokok kat sini.. terjumpa pulak pokok asam gelugur.. Kami semua memang tak kenal macamana rupa pokok asam gelugur.. itupun hubby yang bagitau.. oo.. barulah kenal.. hehe..

Inilah dia pokok asam gelugur yang ada berhampiran dengan parking Hospital Segamat.

Anak2 dah ambil tempat...

Hubby sempat lagi bergurau dengan anak saudara..... hishhh.. ditonggengnya anak orang.. sabar jelah... hehe...

Walaupun waktu melawat dah tamat.. MaDiHaA naik juga ke wad untuk hantar bubur nasi pada ma. Abby kata ma taknak makan makanan hospital & dia tunggu bubur kaklong buat.  Alahaii... redah rasa hati ni...  Guard kat situ pun baik & benarkan je MaDiHaA naik ke wad.  Bila sampai wad.. ma senyum je.  Nampak dia dah sihat.. dah boleh berjalan ke tandas.. Alhamdulillah.. Terus suruh Abby turun makan dulu dengan adik2 yang lain & sementara tu MaDiHaA suapkan ma bubur.  Berselera tengok ma makan.. sedap bubur kata ma.. tapi ma tak boleh makan banyak.. dia makan sikit2 tapi kerap.  Bila adik2 siap makan Abby naik & MaDiHaA pula turun makan sementara masuk waktu melawat pukul 4.30 petang.

Bila MaDiHaA turun ke bawah tengok masing-masing seronok bersembang.. Selesa betul duduk kat situ.. tanah rata & redup sebab ada banyak pokok... 
nak solat pun boleh.. ada paip air disediakan berhampiran.. Ruang solat memang ada disediakan diluar bilik wad..

Malam tu.. giliran MaDiHaA pula jaga ma kat wad. Kasihan juga kat Abby dari petang kelmarin dah jaga ma. Biarlah dia balik berehat kat rumah pulak.  Mujurlah malam tu sempat ambil kerusi malas.. jadi dapatlah landingkan diri.. kalau tak.. lenguh juga kalau duduk atas kerusi aje.. ma pun okay aje.. cuma sesekali je panggil minta nak minum air masak.  Esoknya.. doktor buat pemeriksaan katanya hari tu dah boleh balik.  Alhamdulillah...


Esoknya Isnin MaDiHaA ambil cuti ekstra sehari lagi untuk jaga ma sehari lagi.  Anak-anak pun terpaksalah ponteng sekolah sehari.  Takperlah.. lepas tu dah tak boleh nak jaga ma lagi.. nanti hanya Abby, Dee (adik bongsu) & adik iparlah yang kena jaga ma.  Memanglah tak perlu nak jaga ma macam baby.. hanya kenalah tolong masakkan makanan yang sesuai untuk orang sakit... Ma pun dah nampak sihat..  berselera ma makan bihun sup yang MaDiHaA masak pagi tu.. bihun sup hanya campur ayam & sayur sawi je.. ayam kalau MaDiHaA masak bahagian kulit & lemak2 memang MaDiHaA akan buang.  Bagi orang yang operation mcm ma.. ayam boleh makan.. tapi bahagian kulit jangan ambil sebab bahagian kulit tu orang kata gatal.. cuma jenis ikan je kena tengok2 jenis juga.. digalakkan makan ikan haruan bagi mempercepatkan luka dalaman cepat sembuh.. selain tu.. ma makan juga jelly gamat & pati ikan haruan.  Luka pembedahan tu lebih kurang 4 inci juga MaDiHaA tengok..  pendek beberapa inci je dari luka pembedahan waktu MaDiHaA lahirkan Alin..  harap2 biarlah cepat sembuh..  Berkali-kali MaDiHaA pesan kat ma supaya jangan buat kerja2 berat lagi.. suruh dia berehat je kat rumah.  Kalau sihat Ma ni memang jenis tak reti duduk diam.. ada je yang nak dibuatnya.. Tengok gambar kat bawah tu.. pokok2 cili tu semua ma yang tanam.. ma kata geram je nak meracun semak2 kawasan pokok cili tu.. pakkal ler tengah sakit.. hehe..

Semak sikit kawasan sebab tuannya tak sihat.. hehe...

Nampak macam takde sangat buahnya kan.. tapi kalau kita pegi dekat2.. lebat juga buahnya.. pokok2 ni semua baru je mengeluarkan buah yang pertama...

Masa Dee suruh masak taucu cili hijau campur ikan bilis tu.. Tertanya2 juga ada ke cili hijau sebab kalau nak masak kena guna cili hijau lebih sikit barulah best..  Rupa2nya masa ma masih sihat.. dia ada tanam beberapa pokok cili besar kat tepi rumah.  Bukan beberapa pokok.. ada jugalah dalam 50 pokok kata adik.  Rindu gamaknya nak berkebun macam dulu2 masa arwah ayah ada..  Untuk menghilangkan bosan duduk di rumah agaknya tulah dia berkebun sikit selain dari menjaga pokok2 bunga orkid dia tu.  Tapi kat rumah ni ma tanam cili dalam polibeg aje.. masa berkebun dulu tanam atas batas siap beralas plastic marching untuk mengurangkan rumput tumbuh atas batas & juga untuk mengurangkan masalah bena.  Tapi maklum ajelah kalau dah tanam beribu2 pokok tu.. selalunya musuh memang bermaharajalela...  nak kena spray dengan racun juga...



Untuk makan sendiri memang tak habis ni.... kecualilah kalau anak2 ma balik tiap2 minggu.. jadi tukang rembat.. hehe...



Yang ni nampak subur betul... geram sungguh..

Yang dah hampir nak masak pun ada... waktu arwah ayah berkebun dulu.. kami adik-beradik kutip cili merah sampai nak termuntah! punyalah byk... tiap kali cuti sekolah memang itulah kerja kami.. jadual memetik selang 2 hari sekali.. sekali petik dapat berbelas guni.. memang jemu dibuatnya.. hihi..


Seronok tiap kali balik kampong.. ada2 saja yang ma baru tanam... Kalaulah MaDiHaA punya banyak masa & ada tanah di sekeliling rumah.. mau juga MaDiHaA berkebun macam tu... sekurang-kurangnya.. dapat juga kurangkan belanja dapur.. Teringat masa kami menyewa rumah semi-D masa anak baru seorang dulu.. depan rumah penuh dengan pokok bunga ati-ati berbagai corak, pokok bunga rose Jepun atau portulaca pun banyak juga.. ada lagi beberapa jenis pokok bunga seperti impatient, aster & lain2 pokok bunga yang MaDiHaA tak tau namanya... hihi.. Belakang rumah pula.. MaDiHaA tanam cili padi, terung, serai & pokok kesum.  Memang tak perlu membeli... cukup utk kegunaan kami siap boleh bersedekah lagi..

MaDiHaA hanya petik banyak ni je untuk masak taucu hari Sabtu tu... pastukan.. ramai yang tak cukup masa kitorang berkelah kat hospital tu.. Esoknya.. adik pula masak sekuali lagi.. haa kauu.. barulah puas makan.. hehe.... ranap buah cili ma.. kekekeke...


Pagi Isnin tu.. sempat juga snap gambar bunga2 orkid ma sebelum MaDiHaA siram orkid & pokok2 cili ma tu... suka betul tengok bunga2 orkid yg sedang mekar tu.. tak putus-putus tiap kali kami balik ada aje bunga yg sedang mekar..

 Yang ni pun cantik...





Yang ni nampak besar bunganya kan.. tapi sebenarnya kecik jer.. pasunya pun comel jerrr dlm 3 inci je... hehe..


Petang Ahad hubby sempat juga tebang pisang.. dapatlah 2 tandan.. setandan pisang berangan & setandan pisang raja.  Sempat juga hubby, angah & Tasya (adik ipar) gotong-royong alihkan anak2 pisang ke tempat baru.  Sebabnya anak2 pisang tu dah merebak nak masuk kawasan rumah jiran.  Sementara semua pokok2 besar dah habis jadi ma suruh dorang alihkan anak2 pisang tu ke tempat lain.. harap2 tahun depan dapatlah hasilnya.. hehe..

Banyak juga rezeki dari kampong yang kami bawa balik ke PJ.  Selain pisang, sempat juga gali ubi kayu seperdu.. banyak juga isinya.  Pucuk2 ubi pun tak dibazirkan.. habis MaDiHaA kutip.. hehe.. Pastu MaDiHaA ajak hubby cari buah salak.. dapat juga sebaldi.  Tak lupa.. rembat juga cili hijau ma.. dapatlah seplastik kecik... tunggu balik sekali lagi kot ada banyak lagi buah2nya keluar...  anak2 tukang rembat jer.. hehe... Sebenarnya MaDiHaA ada ambik gambar buah2 yang dibawa balik dari kampong tu.. tapiiiii... gggrrrrrrr... Alin dah delete kesemuanya.. aduhaiii.. sabar jelah.. dia memang rajin sangat godek2 handphone MaDiHaA.  Dah banyak kali pesan jangan delete gambar2 ibu.. tapi terdelete juga... alahaiii anakk...

Tayang gambar lama je ya.. masa ni MaDiHaA pernah update pasal petik buah salak kat SINI.  Masa ni tahun 2007.. hehehe.. ni gambar hubby tau..Sekarang ni pokok salak masih lagi mengeluarkan buah.. memang puas anak2 makan.. kalau kami bawa balik.. memang bersedekah je kat jiran2 & kawan2..


Closed up gambar buah salak.. pokok2 salak ni arwah ayah & ma  yang tanam.  Ada satu lagi entry melawat kebun salak boleh klik SINI.

Oklah.. cukuplah dulu merapu2 untuk kali ni ye... 

Jumpa lagi...

Monday, May 6, 2013

Apam Beras / Apam Tapai Nasi

Assalamualaikum & salam sejahtera....


Apa khabar semua? Sihat ke tu? Ada yang demam-demam?  Demam pilihanraya sudah berlalu... kot la ada yang demam terkejut ke apa kan.. Ataupun keputusan di luar jangkaan... hehe.. Apa2pun... keputusan telah termaktup.. samada suka atau kurang suka.. kenalah ikut pilihan majoriti kan... MaDiHaA teringat kata-kata arwah ayah dulu bila tiap kali pilihan raya... katanya.. tak perlu nak taksub sangat dengan mana-mana parti politik sampai nak bergaduh sesama sendiri.. walau siapa pun yang memerintah.. tak kerja tak makan... hehe.. betul jugakan.. itu pendapat arwah ayah MaDiHaA la kan.. pendapat orang kampong.. seorang yang workoholic.. walaupun dah ada pendapatan hasil kebun dari FELDA tapi arwah masih rajin mengusahakan kebun sayur berekar2 tanpa sebarang bantuan kewangan untuk pasaran komersial.. biasanya hasil kebun di jual ke Pasar Besar Segamat.  Semuanya dah tinggal kenangan bagi kami...

Ehh dah melalut pulak mengimbas kenangan lalu.  Jom.. apa kata kita bersarapan atau minum petang dengan apam beras ni... Setiap kali MaDiHaA terima tempahan apam beras.. setiap kali itulah juga MaDiHaA buat ekstra untuk makan sendiri.  Kebetulan anak2 pun suka lebih2 bila dihidang dengan kelapa parut berkulit hijau... memang sedap sangat.  Bila buat lebih tu.. dapat jugalah bersedekah pada pengasuh, jiran-jiran & juga rakan sekerja.  


Baru ni ada yang tanya MaDiHaA takde nak buat kelas apam ke?  Alamakkk... tak terfikir la pulak nak buat kelas apam atau apa-apa kelas sekali pun.  MaDiHaA bukanlah pandai sangat hingga nak buka kelas mengajar orang lain.  Diri sendiri pun masih belajar & meniru-niru resepi orang lain... nak mengajar orang jauh sekali.  Lagipun rasanya kuih apam ni takdelah susah sangat nak membuatnya.  Apa lagi kuih apam polkadot atau apam ladybug tu.... dah pernah juga MaDiHaA berkongsi cara2 membuatnya.  Dalam blog rakan-rakan yang lain pun banyak juga yang berkongsi cara2 mencorak apam bercorak tu. Rasanya.. jika study betul-betul insyaAllah pasti boleh buat.  Tak perlulah nak membazir2kan duit nak masuk kelas... Kecualilah resepi-resepi canggih yang orang takmau berkongsi ataupun resepi berbayar tu... yang tu memang kena masuk kelas untuk belajar & dapatkan tips2 yang berguna.  Bagi yang tak berapa mampu macam MaDiHaA kena fikir dua kali kalau nak belajar.  Kelas2 yang pernah MaDiHaA ikut sebelum ni pun biasanya adalah kelas2 anjuran Pertiwi atau MBPJ.. jadi yurannya tidaklah terlalu mahal... 

Oklah jom belajar buat apam beras tanpa perlu bayar yuran.. hehe... senang je.. takdelah susah mana.. yang penting kena ada kerajinan... insyaAllah pasti menjadi.. MaDiHaA tak pasti samada pernah kongsi resepi di sini.. jika sudah ada ini kira resepi ulangan la ni ye... Jika di Fotopages sememangnya ada... Resepi apam beras kali ni ialah pure apam yang hanya menggunakan tepong beras & juga tapai nasi... memang sedap..!




APAM BERAS / APAM TAPAI NASI
Resepi : Ogy (kakak Hajar)

 Bahan2
2 1/2 cawan tepung beras
2 cawan air
3/4 cawan tapai nasi
3/4 cawan gula
2 paket ENO ( 1/2 tbsp )
pewarna yg disukai

 
Cara2 menyediakan
Semua bahan diblend kecuali ENO & pewarna.
Tuangkan ke dlm bekas, tutup & perap 1-3 jam.
Selepas perap 1-3 jam, masukkan ENO..gaul sebati.
Bahagikan adunan kpd 2.  1 warna asal,1 lagi warna yg disukai
Masukkan dlm acuan cawan kecil...kukus 10-15 minit.


Nota MaDiHaA : sebelum membancuh adunan dengan ENO.. panaskan periuk pengukus terlebih dahulu. Acuan apam disapukan dengan sedikit minyak masak disekelilingnya sebelum menuang bancuhan apam.




 


RESEPI TAPAI NASI  
Resepi : MaDiHaA

3 mug nasi sejuk ~ dileraikan
1/4 (suku) biji ragi tapai ~ dihancurkan
& tapis dengan penapis teh



Cara menyediakan

Gaul nasi sejuk dengan ragi & simpan dalam bekas bertutup di tempat yg gelap. Biarkan selama 3 malam. Bila tapai dah masak & mengeluarkan air.. bolehlah disimpan dalam peti sejuk jika ada lebihan utk kegunaan akan datang. 


Selamat mencuba!

Saturday, May 4, 2013

Ikan Cencaru Sumbat Sambal versi tutup dengan tepong pula...

Assalamualaikum & selamat pagi semua...







Tinggal sehari je lagi kita semua akan menunaikan tanggungjawap terhadap negara.  Buatlah pilihan yang tepat ye... jangan pula membuat pilihan yang salah kemudian menyesal pula di kemudian hari..  Sebagai rakyat Malaysia yang terkenal dengan budi bahasa... MaDiHaA berharap tiada sebarang kekecohan berlaku semasa hari pengundian esok mahupun selepas keputusan diumumkan...berfikirlah secara rasional dan menerima kekalahan dengan hati yang terbuka.  Pasti ada sebab mengapa rakyat tak memilih pihak yang kalah tu kan... so fikir-fikirkanlah....  Eh.. sejak pula MaDiHaA pandai bercakap pasal politik ni?  Selalu dok bercakap pasal makanan aje kan.. hehehe.... sesekali kita ubah topik... bukan tiap2 tahun pun..


Tepong tu boleh je dimakan.. macam kita mcm cekodok je rasanya.. hehe..

Okla.. sekadar berkongsi menu ulangan yang digemari semua ahli keluarga MaDiHaA... Terima kasih sangat-sangat pada Nani yang sudi berkongsi resepi yang memang MaDiHaA suka ni sejak dulu lagi.  Sejak mencubanya tempohari.. dah berulang-kali MaDiHaA buat.  Tapi baru-baru ni MaDiHaA cuba tukar cara penyediaannya dengan menutup belahan pada ikan tu dengan bancuhan tepong gandum yang dibancuh macam nak buat cekodok tu.  Saja aje nak cuba konon2 nak kurangkan dari minyak jadi kotor sangat.  Cara ni pun dikongsi oleh seorang sahabat iaitu Jaja yang pernah komen dalam entry MaDiHaA yang DULU... so MaDiHaA pun cubalah... 

Hasilnya sambal dalam ikan kurang garing... bila sambal tak garing..rasa pun kurang mengancam la.. hihi.. takper nanti kita cuba tumiskan dulu sambal tu...
 

Memang betul minyak kurang kotor sebab sambal terperangkap dalam perut ikan tak boleh keluar sebab ada tepong di luar... Tapi pada pendapat MaDiHaA... sambal kurang ummmphh sebab sambal kurang masak atau kurang garing lantaran sambal tak terkena minyak gorengan.  Hasilnya.. sambal seakan2 masih mentah gitu.  Rasanya pun kurang sedap sebab tak garing. Jadi rasanya.. cara sebegini kurang sesuai kecuali jika sambal tersebut ditumiskan dahulu sebelum disumbat... Apa2pun.. terima kasih kepada Jaja yang berkongsi petua ni ye... tak salah kita mencuba.. beliau pun dapat dari seorang tauke kedai makan yang ajar pada emaknya...  beliau sendiri pun belum pernah cuba lagi.. hehe..

Oklah.. jika inginkan resepi ni.. bolehlah klik SINI ye.. Resepinya sama saja seperti dulu.. cuma bezanya kalau kawan2 nak tepek tepong gandum untuk mengurangkan sambal masuk dalam minyak & mengotorkan minyak.. bolehlah bancuh sedikit tepong gandum dengan air & tempek tepong tersebut seperti gambar di bawah. Tapi sebaiknya sambal tersebut ditumis & diperasakan terlebih dahulu sebelum disumbat ke dalam ikan, barulah sedap!



Selamat mencuba!

Friday, May 3, 2013

Beberapa tempahan yang lalu... alhamdulillah..

Assalamualaikum.... bersua lagi...


Update sikit tempahan yang MaDiHaA terima baru2 ni... Alhamdulillah tak putus2 rezeki yang Allah s.w.t berikan..  Masa MaDiHaA dapat tau mak dalam kesakitan & dihantar ke hospital oleh adik2 dikampong... hati ni risau sangat akan keselamatan mak.  Rasa nak balik waktu tu jugak.  Selain risaukan keadaan mak... risau juga dengan tempahan dari customer yang sepatutnya MaDiHaA siapkan pada hari Isnin... Terpaksalah MaDiHaA berbincang semula dengan customer & alhamdulillah customer faham jadi tempahan tersebut terpaksa di batalkan.  Risau sangat bila dah terima tempahan lebih2 tempahan untuk sesuatu majlis tiba2 kita pula ada aral yang mendatang.  Alhamdulillah.. hanya satu tempahan saja yang terpaksa MaDiHaA batalkan sebab MaDiHaA terpaksa pulang ke kampong menjenguk ibu tersayang.  Duit boleh dicari.. ibu yang seorang manakan boleh ku cari ganti... Alhamdulillah.. ma dah semakin sihat.. cuma tak boleh nak buat kerja2 berat sebab lukanya belum sembuh lagi...

Oklah jom tengok tempahan baru2 ni... Tak sangka selepas Firda menempah apam beras tempohari... ada pula orang lain yang teringin nak makan apam beras.  Terima kasih Farra yang menempah 50 pcs apam beras, 1 tray brownies & 1 kg pulut kuning.  Kalau ikutkan Farra nak lauknya sekali.. tapi MaDiHaA tak sanggup nak buat... huhu.. sorry ye Farra... Apam beras Farra minta buat tanpa warna... senang kerja tak perlu bancuh warna.. hehe... & Apam yang warna kuning & pink tu pula order ulangan dari Firda sekali lagi untuk minum petang di rumah mertua katanya sebab yang order dulu tak cukup... jadi kali ni dia order lagi 60 pcs hehe... TQ Farra & Firda ye sudi menempah lagi...







Yang di bawah tu pula.. order dari Diana untuk majlis yang dibuat di kampongnya iaitu 100 pcs apam ladybug warna merah & 100 pcs apam ladybug warna kuning.  Masing-masing berintikan blueberry & strawberry.  TQ Diana sudi order walaupun terpaksa drive jauh nak ambil apam ni....


Akak minta halal jika ada yang terkurang dengan order2 di atas ye.. Terima kasih semua...


Menang Tun Telani's 1st Give Away & Award dari Dapur Nasya

Assalamualaikum & selamat pagi...


Awal2 pagi dah hujan kat PJ ni.. mujurlah masa nak keluar pagi tadi hujan tak bersekali dengan angin. Kalau tidak.. haruslah basah kuyup baju kami tiga beranak walaupun dah berpayung.  Jalan sedikit sesak.. tapi alhamdulillah.. tidaklah sampai anak lewat masuk kelas... ada lagi 5 minit.. hehe...

Ok hari ni nak kongsi kegembiraan MaDiHaA bila diumumkan sebagai salah seorang dari pemenang Tun Telani's 1st Give Away pada bulan March yang lalu... umakk aihhh... lama dah kan..hehe.. biasalah.. entry Dapur MaDiHaA ni memang banyak entry tertunda.  Kat rumah asyik sangat ambil gambar makanan yang dimasak.. tapi payah benor nak snap gambar2 hadiah.  Apa tidaknya.. setiap kali snap gambar dalam keadaan tergesa2 sebab suami & anak2 dah menunggu untuk makan. Lepas makan bergegas sambung kerja2 rumah yang lain pula.. sebab tu selalu terlupa nak ambik gambar hadiah ni.  Akak minta maaf ye Tun... Apa2pun.. akak ucapkan ribuan terima kasih kerana sudi mengadakan 1st Give Away tempohari.  Hadiahnya berupa 2 buah buku resepi memang menjadi idaman ramai blogger2 masakan termasukla MaDiHaA. Tak sangka pula menjadi salah seorang pemenang.  Lagi tak sangka pemenang yang seorang lagi ialah CT Zaliedana yang mana dulu pun kami berdua pernah sama2 menang dalam Giveaway dari Lizahanum... memang ada chemistry gamaknya ye... hehehehe...

Ok jom nak tayang hadiahnya! Suka sangat2 dapat buku resepi ni.  Berganda-ganda suka bila Tun bermurah hati hadiahkan juga spatula & brush dari silicon yang sangat2 berguna tu.  Kedua2nya sudah pun MaDiHaA rasmikan setiap kali buat kek atau kuih muih.  Brush tu MaDiHaA pernah guna masa buat Kare Pan dulu... senang kerja.. hehe... TQ so much ye Tun.  Moga Tun dimurahkan rezeki selalu hendaknya. Amin...

Buku resepi Cupcakes, Cookies & Coffee Cakes hadiah dari Tun Telani's 1st Giveaway



Bertambah suka bila Tun bermurah hati berikan juga spatula & brush dari silikon.  Sangat2 berguna dalam menyediakan kek atau kuih muih.  TQ Tun!



Ok sekali harung MaDiHaA angkut juga award dari Nasya yang dah lama juga dia suruh ambik ni.  So MaDiHaA gabungkan terus dalam entry ni... sesuaila kan.. hehe... Terima kasih ye Nasya sudi bagi akak award ni... Best Blog lagi tu... ye ke best blog? Ramai lagi blog lain yang lebih best sebenarnya.. Blog MaDiHaA biasa2 je... hehe...


Award dari Nasya

Terima kasih!

Thursday, May 2, 2013

Kambing Masak Merah

Assalamualaikum & salam sejahtera...



Nak kerja hari ni macam malas-malas gitu.. hehe.. biasalah kan.. macam tak puas cuti sehari je.  Biasanya kalau cuti hujung minggu bagi MaDiHaA mesti 2 hari.. bila cuti sehari macam tak cukup je.  Tapi alhamdulillah.. banyak perkara dapat diselesaikan semalam bila suami sama2 bercuti.  Bukan apa.. bila cuti hujung minggu tu suami MaDiHaA hanya dapat merasa cuti sebulan 2 kali je.  Lagi 2 kali dia kena kerja juga a.k.a overtime wajib.  Bila kebetulan kami sama2 cuti... kadang tu asyik sibuk ambil peluang balik kamponglah, jenguk anak kat asrama lah, berkemas rumahlah... sampaikan nak buat sesuatu yang lain tak berkesempatan.  Tapi semalam walaupun hanya cuti sehari.. banyak perkara tertunda dapat diselesaikan.  Bila dah selesai tu.. rasa macam dah selesai bayar hutang aje.. hehehe... Padahal bukan apa pun.. hanya perkara2 kecil yang dijanjikan dengan anak-anak dapat ditunaikan.  Dan seperkara lagi.. baru berkesempatan dapat melawat kawan yang bersalin anak ke tiga.  Sampaikan dia dah abis pantang baru kami sempat jenguk.. phewww... sibuk betul!



Oklah terus dengan resepi yang nak dikongsikan hari ni.  Resepi yang rasanya hanya dimasak setahun sekali je kot. Itupun bukannya beli sendiri... tapi yang disedekahkan orang.  Jangan tak percaya.. inilah daging kambing korban tahun lepas punya.. hahaha... berbulan2 dok dalam peti sejuk beku tu.  Punyalah lama dibiarkan daging tu bertapa dalam peti sejuk tu.  Bukan apa.. kami dua2 laki bini bukan tak makan kambing... cuma ada sedikit seriau gitu.. hahaha... Ni semua sebab mitos yang kami selalu dengar kononnya daging kambing boleh buat tekanan darah naik atau pening2 bila selepas makan... hmmm.. entahlah betul atau tak.. kena tanya pada yang pakarlah ye... Tapi lepas kami makan.. takde pula rasa pening-pening pun.. nampak sangatlah penipunye! (sila baca macam Usop Wilcha cakap dalam cerita Hantu Mak Limah Balik Rumah yeee... hehehe...)

Pada Kak Liza.. terima kasih untuk resepi ni.  Resepi yang MaDiHaA ambil dari buku resepi 1 Hari 1 Resepi.  Jarang2 dengar masak merah versi daging atau kambing.  Jadi kita cuba-cubalah kali ni ye... Alhamdulillah sedap.  Anak2 pun makan berselera... tapi ibu dia tak cakap tu daging kambing... ibu dia cakap daging je... takut anak2 taknak makan pula kalau sebut kambing.. hehehe...


 
KAMBING MASAK MERAH
Resepi : Chef Hanieliza dari buku resepi 1 Hari 1 Resepi
Sumber : MaDiHaA aka Ratna

Bahan A
500 gram daging kambing
1 sudu makan serbuk jintan manis
1 labu bawang besar (dimayang)
3 sudu makan minyak masak (MaDiHaA letak secukupnya)
Garam, serbuk perasa & sedikit gula jika suka

Bahan B
1 inci kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
3 tangkai daun kari
20 tangkai cili kering*
5 biji bawang merah*
3 ulas bawang putih*
2 inci halia*
3 biji tomato*

Cara Membuat
1. Kisar bahan bertanda*.  Perapkan daging bersama serbuk jintan manis selama 1 jam.
2. Panaskan minyak dan tumiskan rempah tumis & daun kari sehingga wangi.  Masukkan bahan kisar & tumis sehingga naik minyak.
3. Masukkan daging yang diperap & kacau rata. (MaDiHaA tambah 1 cawan air). Masukkan garam, serbuk perasa & sedikit gula.
4. Masak sehingga daging lembut & empuk. Masukkan bawang besar dan biar sehingga pecah minyak.
5. Sedia untuk dihidangkan.




Selamat mencuba!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...