Sunday, May 12, 2013

Tauhu Goreng dengan Sawi & Lobak Merah

Assalamualaikum & selamat berhujung minggu....


Takde resepi special hari ni... sekadar kongsi resepi sayur sempoi je...  Sayur ni dimasak waktu nak clearkan isian peti sejuk sebelum balik kampong.  Balik kampong bila ye..?  Dah lama sebenarnya ni. Biasanya jika nak balik kampong yang dirancang.. kami akan stop dari membeli lauk-lauk basah & sayur-sayuran. 1, 2 hari sebelum balik kampong MaDiHaA akan pastikan semua stok sayur akan dihabiskan.  Jika tak dapat nak dihabiskan... kadang2 MaDiHaA angkut je sayur-sayur tu balik kampong sekali terutama jika sayur jenis yang tak tahan disimpan.. elakkan dari membazir.. hehehehe...



Sayur campur macam ni dapat sambutan juga dari anak-anak terutama Haziq yang dah tak memilih sangat jenis-jenis sayur.  Boleh kata semua sayur dia dah pandai makan.. Hanya beberapa jenis sayur je dia tak berapa suka seperti peria & terung.  Kakak Dini pun sama juga semua sayur dia boleh makan.  Setakat ni.. anak dara kecik bambam (Alin) tu je yang agak memilih bab-bab sayur.  Sayur yang kakak & abangnya suka.. itulah sayur yang paling dia seteru iaitu sayur sawi! hehehehe...

Oklah... kongsi jugalah resepi sayur yang sempoi ni ye.... sayur yang boleh dikategorikan sebagai sajian yang seimbang kerana ada vitamin, fiber & juga protein kerana ia digandingkan dengan tauhu goreng...



Tauhu Goreng dengan Sawi & Lobak Merah
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
2 keping tauhu ~ digoreng & potong dadu
2 - 3 pokok sawi ~ dipotong2 & asingkan bahagian batang & daun, cuci bersih & tos berasingan
1/2 - 1 batang lobak merah ~ dihiris batang mancis
2 ~ 3 sudu besar sos tiram
sedikit air
garam jika perlu
3 ulas bawang merah ~ dihiris
2 ulas bawang putih ~ diketuk & cincang
minyak untuk menumis

Cara penyediaan
Panaskan minyak & tumiskan bawang putih & merah hingga wangi. Masukkan lobak merah & batang sawi kacau rata. Masukkan sikit air & sos tiram. Kacau hingga lobak agak empuk. Masukkan daun sawi & tauhu & kacau rata.  Rasakan jika kurang masin boleh tambahkan garam lagi atau boleh juga tambahkan sesudu lagi sos tiram.  

Selamat berhujung minggu..

Saturday, May 11, 2013

Tempahan 2 jenis apam lagi....

Assalamualaikum.... 


Baru2 ni dapat tempahan apam lagi... dua jenis apam yang berbeza character.. hehehe... Yang satu sesuai untuk kanak2 & yang satu lagi.. orang dewasa yang paling suka... 
 

Terima kasih pada Diana repeat order 50 pcs apam ladybug & terima kasih pada Sujah order 50 pcs apam beras /apam tapai nasi.

Selamat berhari minggu buat semua...

Friday, May 10, 2013

Ayam Kurkar

Assalamualaikum & selamat pagi....


Bersua lagi di pagi Jumaat yang barakah... Jumaat terakhir di bulan Jamadil Akhir... Esok dah bermula 1 Rejab.. hanya tinggal 2 bulan je lagi nak sambut Ramadhan...  sekejap je masa berlalu kan.. Pada yang belum habis ganti puasa tu.. elokla cepat2 ganti... ni cakap kat diri sendiri juga ni... belum habis lagi ganti puasa.. ada lagi 2 hari.. huhu.. InsyaAllah.. dah janji ngan anak dara nak puasa sama2 cuti sekolah nanti.. Katanya dia dah ganti puasa beberapa hari kat asrama.. berpuasa sama2 dengan kakak2 senior.. alhamdulillah.. walaupun berjauhan dari keluarga.. masih ada rasa tanggungjawab untuk menunaikan kewajipan..  

Ok hari ni awal sikit kongsi resepi... mana tau ada ibu-ibu yang takde idea nak masak apa hari ni.. bolehlah cuba lauk yang simple tapi sedap ni. Hari ni Jumaat mesti ibu-ibu atau suri rumah nak masak awal hari ni kan.  Nanti anak-anak balik awal dari sekolah nak makan. Ada juga suami yang akan pulang ke rumah untuk makan tengahari.. lepas tu nak pegi solat Jumaat pula.  So bolehlah cuba masak lauk mudah ni.. Bahan2 pun mudah..



Lauk ni sekali pandang macam kari.. tapi sebenarnya bukan walaupun rasanya seakan-akan.  Yang pasti lauk ni sedap di tekak kami sekeluarga.  Terima kasih pada bundo yang berkongsi resepi Ayam Kurkar.... Mesti ramai yang tertanya-tanya.. apa itu Kurkar? Kalau nak tau apa maksud Kurkar... silalah semak sendiri bahan2 dalam resepi nanti akan tau jawapannya... hehehe...

Mohon izin ye bundo MaDiHaA letak kat sini resepinya.... Terima kasih juga pada Yana Shaiful & Nshafea yang mengwar-warkan kesedapan resepi ni..



AYAM KURKAR
Resepi : Ibundo @ Dapur Ibundo
Sumber :
YanaShaiful, Nshafea & MaDiHaA

Bahan2
2 ekor ayam kampung ~ MaDiHaA guna 1 ekor ayam biasa (dibuang kulit)
santan dari 1 biji kelapa
3 biji kentang ~ potong 4 ~ MaDiHaA letak 4 (anak2 suka kentang)
5 sudu besar rempah kurma
2 sudu besar rempah kari 
1 biji tomato ranum XXL ~ yang ni MaDiHaA tambah sebab takde stok tomato puri
3 sudu besar pes tomato puri  ~ takde stok jadi MaDiHaA guna 3 sudu besar sos tomato
2 sudu besar pes cili giling ( cili kering ) ~ MaDiHaA guna serbuk cili 2 sudu besar
4 ulas bawang merah ~ dihiris
2 ulas bawang putih
1 inci halia ~ dihiris mancis
2 batang serai ~ dititik
minyak masak secukupnya
garam, serbuk perasa secukupnya

Cara Penyediaan
1. Masukkan rempah kurma, kari, pes tomato dan cili ke dalam mangkuk.
Tambah sedikit air dan jadikan pes. (step ni MaDiHaA kisarkan buah tomato ranum dengan rempah2 & serbuk cili dengan sikit air utk jadikan pes)
2. Panaskan minyak dan tumis bawang merah, putih dan halia sehingga wangi.
Masukkan pes rempah dan serai titik. Tumis sehingga masak dan berbau harum wangi.
3. Masukkan ayam dan masak sehingga air ayam kering.  Tambah santan. Apabila ayam setengah masak masukkan kentang, garam & serbuk perasa.
4. Masaklah sehingga ayam & kentang empuk dan kuah pekat. Tak payah bubuh asam sebab tomato puri memang dah ada rasa masam.
Selamat Mencuba :-)



Thursday, May 9, 2013

Moist Banana Muffin



Assalamualaikum & salam sejahtera semua...


Dah lama MaDiHaA tak buat muffin.  Masa en. hubby nak balik ke kampong pada petang Sabtu untuk mengundi, sempat MaDiHaA adun 3 adunan muffin pisang ni untuk kirimkan ke kampong.  Anak dara MaDiHaA kebetulan pun sedang bercuti sejak dari hari Sabtu sehingga hari Selasa. 4 hari berturut2 cuti sebab sekolahnya juga digunakan sebagai tempat mengundi & kebetulan hari Selasa tu pulak merupakan hari Hol Negeri Pahang... sebab tu dapat cuti 4 hari terus.  Ikutkan hati.. kakak Dini nak balik ke PJ.. tapi ayahnya kata tak payahla balik sebab ayah pun nak balik kampong untuk mengundi.  Jadi ayahnya suruh dia balik ke rumah opahnya je lah.  Cuma ibu yang tak boleh balik sebab nak mengundi kat sini.  Mulanya sedih juga dia tak dapat balik PJ sebab tak dapat nak jumpa ibu.. tapi bila dipujuk2 barulah okey.  Sempat lagi tu suruh ibu buatkan kuih untuk dia.  Tu yang MaDiHaA buat muffin.. tahan lama sikit berbanding kuih.. hehe..  Lagipun kebetulan pisang berangan & pisang raja yang dibawa balik dari rumah ma tempohari dah mulai ranum... sedang moleklah.  Tak perlulah nak cari bahan mentah yang lain untuk buat kuih... guna je apa yang ada.  



Sebenarnya dah lama simpan resepi CT Delima ni... cuma tunggu je ada peluang nak buat.  Bila dah ada bekalan pisang ni bolehla buat.. hehe.. Sebelum ni bukan tak pernah beli pisang.  Tapi hubby selalu beli pisang yg selalu dibeli ialah pisang 40 hari, lemak manis atau emas.. kalau pisang tu... sekejap je licin dikerjakan dek anak-anak.  Semuanya suka makan pisang.. haha...

Oklah.. kalau dah merapu tak boleh nak berhenti... jom tengok resepi ni.  Kejadian muffin ni sangatlah gebu.  Muffin ni adalah kategori muffin yang lembut sama seperti cupcakes.  Bukan muffin yang sedikit padat tu ye.  Cara buat pun berbeza sebab resepi ni memerlukan mixer untuk membancuh.  Kalau muffin biasa yang naik membukit tu hanya perlukan whisker je untuk godek adunan.  Budak2 suka makan muffin ni sebab ada inti coklat kat dalamnya... sedap sebab MaDiHaA buat tak manis sangat... dah dikurangkan gula dari kuantiti asal... so takdelah manis sangat.. sedang2 elok je dengan selera kami.. Terpulanglah pada citarasa masing-masing ye.  Kalau suka manis boleh ikut sukatan asal.  Terima kasih CT Delima untuk resepi ni ye... mohon kongsi kat blog MaDiHaA plak ye.. 


Moist Banana Muffin/Mafin Pisang Lembab
Resepi : Olahan CT Delima yang diambil dari internet
Sumber : MaDiHaA aka Ratna

Bahan basah :
1 biji telur gred A - suhu bilik
75 gram gula kastor (MaDiHaA guna 60 gm)
1 sudu besar madu
1 sudu besar susu segar
1 sudu kecil esen vanila / pisang
90 ml minyak jagung / minyak masak
3 biji pisang masak (150 gram) - dilecek halus

Bahan kering :
125 gram tepung gandum
1/2 sudu teh baking powder
1/2 sudu teh baking soda
1/2 sudu teh serbuk kayu manis (MaDiHaA guna 1/4 sudu teh)
3 sudu besar badam cincang - dipanggang dalam oven 5 minit (takde stok)

30 gram coklat masakan - dadu besar (MaDiHaA gunakan choc filling resepinya di SINI)

Cara-cara :

1. Panaskan oven pada suhu 175' C susun kertas muffin dalam loyang muffin dan ketepikan.

2. Pukul gula dan telur sehingga ringan dan berkrim dengan kelajuan sederhana. Masukkan bahan-bahan basah dan putar pada kelajuan perlahan hingga rata.

3. Tambah bahan-bahan kering yang telah diayak kedalam bahan basah dan kaup balik rata dengan spatula. Tidak perlu lama cukup sekadar sebati sahaja.

4. Scoopkan adunan 1/3 dalam kertas muffin masukkan coklat masakan ditengahnya dan scoopkan adunan lagi untuk menutupnya.

5. Bakar selama 25 minit atau sehingga diuji lidi keluar bersih. Biarkan sejuk diatas rak dawai sepenuhnya. Ayakkan gula aising sebelum dihidangkan.


 
Selamat mencuba!


Wednesday, May 8, 2013

Rendang Ayam Bunga Kantan



Assalamualaikum & salam sejahtera....

Pagi-pagi dah tayang lauk.  Ini lauk yang MaDiHaA masak beberapa minggu yang lalu... Operasi untuk menghabiskan bunga kantan yang dibawa balik dari kampong.  Tak putus2 dalam laci peti sejuk.  Baru ni abang balik dari mengundi di kampongnya di bawanya lagi 5 kuntum bunga kantan & sebiji buah durian belanda saiz XXL!  Abang balik naik bas je sebab MaDiHaA mengundi di PJ... jadi malasla nak terkejar2 balik sana balik sini... Lagipun kami baru je lepas balik kampong MaDiHaA waktu ma masuk hospital.  Jadi MaDiHaA suruh dia balik sorang2 je ke kampong. Jimat sikit duit minyak kereta. 

Lauk ni sedap & menyelerakan.  Jika kawan-kawan nak rasa kelainan masakan rendang.. bolehlah cuba resepi ni... insyaAllah.. sedap di tekak kami sekeluarga..


Kat bawah ni MaDiHaA kongsikan resepinya... jika sudi bolehlah mencuba..

RENDANG AYAM BUNGA KANTAN


Bahan2

1 ekor ayam saiz kecil / sederhana ~ dipotong kecil & bersihkan
3 sudu besar kerisik homemade
1 biji kelapa ambil santan anggaran 2 ½ cawan
1 kuntum bunga kantan ~ dibelah 2
garam secukup rasa 
secubit gula
½ kiub ayam / serbuk perasa secukupnya
1 keping asam gelugur
minyak secukupnya untuk menumis


Bahan dikisar halus
2 cm lengkuas
2 cm halia
2 cm kunyit hidup
1 biji bawang besar
2 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
3 biji buah keras
2 biji cili merah
15 biji cili padi
3 batang serai ~ dihiris
2 kuntum bunga kantan (jika bunga yg hampir kembang letak 1 sahaja)

Cara menyediakan
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga bahan tumisan masak & naik minyak.
2. Masukkan ayam & santan.  Biarkan ia mendidih.
3. Masukkan garam, secubit gula, kiub ayam atau serbuk perasa, asam gelugur, bunga kantan & kerisik.  Kacau rata.
4. Masak sehingga kuah agak pekat & biarkan ia secukup rasa.  Boleh dihidangkan dengan nasi berperisa atau nasi putih & lauk sampingan yang lain.



Selamat mencuba!

Tuesday, May 7, 2013

Pucuk Ubi Kayu Goreng Cili Padi

Assalamualaikum... 


Tadi bercerita sikit punya panjang... sekarang baru berkongsi resepi pula... resepi biasa2 aje... sayur pucuk ubi yang di bawa balik dari kampong tempohari.  Dapat banyak juga.. MaDiHaA siangkan buang tangkai, ambil daun & hanya ambil batang bahagian yg lembut saja kemudian rebus hingga empuk.. sebahagian dibuat ulam cicah budu & sebahagian digoreng pedas dengan cili padi.  Buat kaw-kaw sikit pedasnya.. waduhhh.. berselera makan.  Kalau ikut selera kampong kami.. memang sedap!  Anak bujang MaDiHaA si Haziq pun makan bertambah2.  Tak sangka pula dia suka pucuk ubi.. Selera orang bandar tak taulah.. ada yang tak pandai makan pucuk ubi pun ada jugak kan.. Ada juga yang alah dengan pucuk ubi katanya angin.  MaDiHaA tak kenal alah dengan apa2 makanan rasanya... semua pun bedal... cuma kenalah juga dengar nasihat orang tua2. Waktu beranak kecik terutama ada baby menyusu badan kenalah 'puasa' dulu makan pucuk ubi ni sebab takut baby kembong... 

Jom semak resepi...





PUCUK UBI KAYU GORENG CILI PADI
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
400 gm pucuk ubi yang telah direbus empuk & ditos ~ dipotong kasar
1/2 cawan air
1/4 kiub ikan bilis
garam secukup rasa
serbuk perasa (jika perlu)
Sedikit ikan bilis ~ dibersihkan
Minyak untuk menumis

Bahan dikisar kering/tumbuk halus
25 biji cili padi
6 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
Sejemput ikan bilis ~ dibersihkan & rendam sebentar

Cara menyediakan
1. Panaskan minyak lalu tumiskan ikan bilis yang dikopek serta bahan2 yang ditumbuk halus.  Biar sehingga naik bau & agak garing.  Masukkan pati ikan bilis serta air & kacau rata.
2. Bila air mendidih terus masukkan pucuk ubi celur yang dihiris, garam & serbuk perasa jika perlu. Gaul rata & biar secukup rasa.  Jangan biar terlalu kering.. agak lembab2 sikit bolehlah dimatikan api & hidang dengan nasi putih serta lauk sampingan yang lain.




 

Selamat mencuba!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...