Friday, January 7, 2011

Bubur Pedas Sarawak


Salam & ketemu lagi... hari ni terajin sikit nak update.. bukan apa.. ada masa terluang sikit so update ajelah kan... ;-)

Okey ni sebenarnya kesinambungan dari entry yg pertama tadi... alang2 dah tunjuk ole-ole dari Sarawak pemberian Along Ayu tu tadi.. jadi aku pun masukkan sekali menu yang dah aku cuba iaitu menu yang menggunakan bumbu bubur pedas tu... Sebelum tu... masa Along bagi barang2 tu semua (masa dia ambil kuih-muih tempahan dia tu..) adalah Along ajarkan serba ringkas macamana nak masak gunakan bumbu pedas tu.. Tapi aku ni biasalah kan.. nak buat sesuatu tu mesti nakkan hasil yg pure.. hehe.. (bukannya nak kata Along ajar tu tak betul.. tapi aku sajalah nak cari resepi yg betul2 sebab menurut Along.. masa dia beli tu.. orang yang jual tu ajar pun cakap gitu2 je) demi untuk mendapatkan rasa bubur pedas yang orang kata lebih asli gitu... jadi aku pun godek2lah resepi dalam internet.  Ada banyak versi dari pelbagai sumber... tapi yang aku cuba ni resepi yang aku ambil dari Dayang_Jack MyR... Namun gitu.. terpaksa jugak derhaka sikit2 pada resepi sebab ada antara bahan2 yang tak dapat aku cari kat sini.  Terima kasih Dayang kerana berkongsi resepi.. mintak halal ye akak nak letakkan resepinya kat sini pulak untuk rujukan di masa hadapan & rujukan anak2 kelak.  Kalau siapa2 yang  berhajat nak pegi Sarawak bolehlah beli bumbu bubur pedas tu & bolehlah cuba masak sendiri nanti.  Tak rugi.. memang best!

Bila siap masak bubur tu.. aku terus teringatkan kuah lontong berkari yang ma selalu masak di pagi raya.. Tapi bila pertama kali aku rasa.. terasa macam makan bubur lambuk Trengganu pulak.  Mungkin penggunaan daun kunyit & daun kesum yang buat rasanya seiras.  Itu belum lagi aku campurkan pucuk midin (paku midin/lemiding) salah satu bahan wajib untuk bubur pedas ni... haiii.. manalah aku nak cekau pucuk midin kat dalam bandor nih? Dulu aku dapat pucuk midin sebeban masa petik kat tepi jalan on the way balik dari Kuantan tu dah selamat kami lebur dalam bubur lambuk Trengganu.. hehehe.. Mungkin ada rezeki lenkali boleh buat lagi kalau terjumpa pucuk midin kat pasar tani atau pasar malam.. kalau dah letak pucuk midin tu nanti sure  rasanya lagi sedap sesedap bubur lambuk Trengganu jugak! hehehe....

Ok Jom tengok resepi!

Bubur Pedas Sarawak by dayang_jack myresipi
Sumber : mamawandiha
Bahan-bahan ( 4-5 orang )

    * 4 sudu besar rempah bumbu bubur pedas Sarawak dibancuh dengan sedikit air    

    * 10-12 ekor udang basah saiz sederhana (dibuang kulit dan dibersihkan)
    * 6 biji bawang merah (dikisar)
    * 2 biji bawang putih (dikisar)
    * 2-3 tangkai cili kering (direndam lembut, dibuang biji dan dikisar)
    * 250 ml pati santan
    * 1½ liter air
    * 2-3 batang kacang panjang (dihiris kecil2)
    * 2 biji kentang (dipotong dadu kecil)
    * 1/2 biji keledek saiz kecil (dipotong dadu) (MaDiHaA letak 1 biji)
    * 50 gm tau miu (sejenis sayur dan dihiris) (xde stok so tak bubuh)
    * 50 gm fo chu campuran (suun, bunga lily (xde stok), fo chu kering (letak fucuk), cendawan halus (x letak jugak) - direndam lembut dan dihiris)
    * 2-3 batang jagung muda (dihiris)
    * sedikit daun kesum (diracik)
    * sehelai daun kunyit (diracik) (MaDiHaA letak separuh je ~ buang tulang tengah sebelum hiris)
    * 1 batang serai kecil (dihiris halus)
    * 1 sudu besar udang kering
    * garam, gula dan minyak masak secukupnya
    * lain2 jika nk tambah : daun singkel, sayur lemiding, lobak merah dsb.

    *1/2 biji carrot ~ dipotong dadu (MaDiHaA tambah)
    *Sejemput bunga kincam ~ direndam, cuci & simpul bunga kincam bagi tiap2 kuntum

Cara-cara

   1. Mula2 sediakan bahan2 yg diperlukan(jgn ade yg tertinggal).
   2. Panaskan minyak (lbh krg 3-4 sudu besar) dgn api sederhana. Tumis bahan2 kisar dan udang kering hingga terbit bau. Kemudian masukkan rempah bumbu(dibancuh dgn sedikit air) dan kacau hingga pecah minyak.
   3. Masukkan udang basah dan tumis lg hingga separuh masak. Kemudian masukkan air dan kacau rata2. Biarkan seketika hingga mendidih. (Part ni MaDiHaA tak letak lagi udang takut terlebih masak.. so biarkan air mendidih dulu barulah masukkan udang serentak dengan kentang & keledek)
   4. Masukkan kentang dan keledek dan kacau. Biarkan selama 1-2 minit atau sehingga empuk. Kemudian masukkan sayur tau miu, jagung muda, serai, daun kunyit, daun kesum dan fo chu. Kacau perlahan dan barulah dimasukkan santan. Kacau lg(jika kuah agak pekat bolehlah ditambah sedikit air). Akhir sekali perasakan dgn garam dan sedikit gula.
   5. Hidangkan. Sungguh enak dimakan begitu saja. Selamat Mencuba!



Ye betul.. memang enak banget! Terima kasih Along Ayu sebab bagi bumbu bubur ni ye.. kalau tidak.. tak tau bilalah saya boleh merasa makan bubur ni...


Selamat mencuba!

Tempahan & Ole-ole dari Along Ayu.. Terima kasih!

Salam & selamat pagi semua....

Sebenarnya... tempahan ni dah agak lama.. tahun lepas punya... hehehe.. dengar tahun lepas mcm dah lama sangat aje kan? Sebenarnya.. ni tempahan yang ku terima dari Along Ayu pada cuti hari natal pada 25hb Disember yg lepas.  Yang aku kata sibuk buat tempahan tu... inilah dia haa.. punya lama nak keluar entry kan? Takpelah.. janji diupdate ke blog untuk kenang2an.

Tempahan dari Along Ayu ni tak silap aku dah kali ke dua.  Dulu pun Along ada order lapis pisang jugak. Selain tu dia order jugak karipap frozen & tempeyek.  Terima kasih ye Along sebab sudi tempah lagi dengan MaDiHaA walaupun jarak antara kita ni agak jauh... sanggup jugak tu tempah dengan saya.  Oh ya.. kali ni.. Along datang siap bagi ole-ole lagi kat aku... ish ish ish... segan pulak rasanya.. Apa2pun.. terima kasih banyak2 ye Along sebab ingat jugak kat kita nak bagi ole-ole yang dibeli dari Sarawak tu... Kalau Along tak bagi.. rasanya.. memang tak jumpalah benda2 ni semua kat Semenanjung ni... Thanks again!

Nilah kuih muih yang Along oder hari tu.. 1 tray kuih lapis pisang (kuih lapis ni ku buat 2 adunan resepi) & 1 tray puding marble pelangi yang diminta dipotongkan sekali. Thanks ye Along.. lenkali bolehlah order lagi.. hehe..



























Kat bawah ni pula ole-ole dari Sarawak pemberian Along.  Ada gula apong, gula hitam & bumbu bubur pedas Sarawak yang sangat special. Thanks banyak2!

Oh ya...! Pada kawan2 yang tau apa kegunaan GULA HITAM tu... boleh tak berkongsi dengan MaDiHaA? Agaknya... kuih apa yang sesuai menggunakan gula hitam tu ye?

Thursday, January 6, 2011

Sambal Tumis Udang Bertempoyak


Assalamualaikum & selamat tengahari semua...

Hari ni nak berkongsi resepi marbeles kesukaan ku, suami & kakak Dini... Haziq dengan Alin punya ibu kena masak versi tak pedas (ibunya masak udang goreng kunyit aje) sebab menu ni agak pedas & diaorang berdua tu belum boleh lagi makan pedas2.  Aku ni pelik sikit.. kalau lauk gulai tempoyak... agak kurang minat sangat (cuma aritu cuba masak gulai tempoyak resepi Mariam barulah aku suka.. kalau gulai tempoyak yg warna kuning aku kureng) TAPI... kalau tempoyak dibuat sambal sebagai pencicah atau campur dalam budu atau sambal tumis gini aku suka sangat2 la pulak... tak ke pelik namanya tuh..?  Masak lauk ni memang berselera makan dibuatnya... tak kisahlah guna udang atau ikan bilis.. nak campurkan dengan petai pun boleh.. jawabnya bertambah2lah makan.. hehehe...

Sebenarnya masakan ni aku pandai masak pun sejak kawin dengan cik abang ku.. family diaoranglah yg perkenalkan kat aku resepi ni.. nak harapkan family aku.. tempoyak pun jarang2 ada stok kat rumah.  Kalau rumah mertua.. tempoyaknya berbalang2... biasalah kan org ada dusun durian.. hehehe... Sambal ni lawan dengan nasi lemak gantikan dengan sambal tumis bilis yg merah tu pun sedapp tauu! Buat cicah dengan jemput-jemput bilis pun masyuk... makan dengan roti sandwich pun boleh.. pendek kata.. makan dengan apa saja pun sedap!

Okay.. ni resepinya kalau ada yg nak mencuba... ehh.. sapa tak cuba memang rugi.. hehe..

Sambal Tumis Udang Bertempoyak by MaDiHaA

Bahan2
400 gm udang ~ bersihkan
1 biji bawang besar ~ dimayang bulat
1 sudu besar gula (jika guna tempoyak masam, jika tempoyak yg baru dibuat.. guna 1 sudu kecil gula saja)
Garam secukup rasa
Serbuk perasa jika suka
1 senduk besar minyak masak
30 ~ 35 biji cili padi* (bergantung kepedasan yg anda suka)
1 inci kunyit hidup* (boleh ganti dengan 1 sudu kecil serbuk kunyit)
3 sudu besar penuh tempoyak*
1 ½ cawan air

Cara2 Menyediakan
1. Tumbuk bahan2 bertanda* sehingga lumat. Dahului dengan menumbuk kunyit hidup kemudian barulah masukkan cili padi & tumbuk hingga lumat. Akhir sekali masukkan tempoyak lalu tumbuk & campurkan hingga sebati. Masukkan ½ cawan air ke dalam lesung & bancuh sebati. (kalau lesung anda kecik.. keluarkan bahan yang ditumbuk masuk ke dalam mangkuk yg lain barulah ditambah air)
2. Panaskan minyak dalam kuali.  Tumiskan bahan2 tumbuk tadi sehingga wangi & tempoyak berubah warna & nampak masak.  Masukkan bawang besar yang dimayang & kacau sebati.
3. Masukkan 1 cawan air, gula, garam & serbuk perasa. Biarkan kuah mendidih lalu masukkan udang. Biarkan sehingga udang masak & kuah sedikit pekat. (Kepekatan kuah bergantung selera masing2).  Rasakan apa yang kurang bolehlah ditambah. 
4. Sedia untuk dihidangkan dengan nasi putih atau nasi lemak.  Gerenti best punya!!

Nota MaDiHaA: Resepi ini boleh juga kalau nak gantikan udang dengan ikan bilis.  Kalau nak tambah petai lagi sedap (bagi peminat petai lah).


Selamat mencuba!

Wednesday, January 5, 2011

Makaroni Bakar Bertuna Cendawan


Salam pagi Rabu buat semua...

Mencelah masuk entry kejap sementara dah habis sibuk.. Makaroni bakar ini pun salah satu yang sempat ku buat masa ma & adik ada kat rumah minggu lepas.  Konon2 nak buat sebagai sarapan.. (ku buat & bakar lewat mlm) bila siap dibakar.. semua orang tak boleh tahan dengan baunya yang harum & lazat.. so masing2 dah rasa sorang sikit masa panas2 tu.. hehehe... memang sedap sangat! Semua orang kata sedap! TQ Mat Gebu kerana berkongsi resepi yang sedap ni ye.  Walaupun akak hanya guna keju slice sahaja sebab tiada stok keju mozarella.. tapi tetap sedap.  Tapi akak nak mintak maaf sebab derhaka sikit pada sukatan makaroni tu.. jangan mare yg Mat.  Bukan apa.. mangkuk yg akak gunakan tu tak muat kalau nak guna makaroni 250gm.. Jadi akak dah kurangkan ke 200 gm saja so maknanya.. akak punya tu terlebih intinyalah daripada makaroninya.. hehehe... tu yg bertambah2 jadi sedap tu sebab lauknya lebih.. kekeke... Ok Mat.. izinkan akak copy & paste resepinya di sini ye.. Thanks again!


MAKARONI BAKAR BERTUNA CENDAWAN by Mat Gebu

BAHAN-BAHANNYA :-)
250 gram makaroni yang belum direbus (MaDiHaA guna 200 gm saja)
125 gram keju mozarella, hiris nipis (nak parut pun boleh)..atau guna keju pilihan anda (MaDiHaA guna 5 keping keju slice)
1 tin cendawan butang, ditoskan (mat guna cap "ayam")
1 tin tuna, tos kan
1 biji tomato merah, cincang halus
1 biji bawang holland, dadu (belasah guna bawang biasa pun boleh)
3 ulas bawang putih, cincang halus
1 camca teh lada hitam yang baru dikisar
2 helai bay leaf
1 camca besar sos tomato
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit minyak zaitun
Sedikit air

BAHAN KASTARD :-)
5 biji telur (MaDiHaA guna gred A)
50 ml susu sejat
1/2 camca teh serbuk lada hitam
Secubit garam
Secubit gula

CARA MEMBUATNYA :-)
   1. Rebus makaroni tadi dalam air yang dimasukkan sedikit garam, hingga lembut, toskan dan gaul dengan sedikit minyak zaitun, sejukkan. Cendawan butang tadi dibahagi dua, satu bahagian hiris kasar dan satu bahagian lagi hiris nipis. (Part ni MaDiHaA hiris nipis semua cendawan, kemudian campurkan kesemuanya semasa memasak inti). Panaskan oven pada suhu 175C. Sediakan belas berukuran 8 inci x 8 inci x 3 inci, lenser dengan sedikit mentega dan alas dengan aluminium foil, lenser juga aluminium tadi. Ketepikan.
2. Panaskan minyak zaitun dalam kuali, tumis hirisan bawang besar, bawang putih dan bay leaf hingga harum, masukkan tomato cincang dan tomato sos, kacau rata dan tuang sedikit air. Tambah lada hitam dan juga cendawan. Masak sekejap, masukkan tuna, pecah2 kan isi ikan tuna tadi dan gaul rata. Tambah garam secukup rasa dan secubit gula. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh angkat. Kelurakan bay leaf tadi dan ketepikan.
   3. UNTUK MAKARONI BAKAR :- Bancuh semua bahan kastard dan pukul dengan whisk hingga sebati. Masukkan makaroni yang telah sejuk tadi dan gaul rata. Tuang 1/2 bahagian ke dalam tin yang telah disediakan tadi. Tuang pula no. 2 atasnya dan ratakan. Lapis dengan makaroni yang selebihnya. Susun cendawan yang dihiris nipis atas makaroni tadi. (Part ni MaDiHaA bahagikan inti kepada 2 bahagian.  Akhiri dengan lapisan inti di atas sekali kemudian tutup inti dengan cheese) Kemudian susun pula keju mozarella (atau keju pilihan anda). Tekan2 sedikit dan bakar 30 - 35 minit. Bila masak boleh dihidangkan.Pada mat hidangkan masa panas lagi sedap ....

CATATAN MAT GEBU :- Satu nak pesan, resipi ni perlu penggunaan garam yang agak sedikit, apa2 pun ikut citarasa masing, yang penting anda rasa dulu, jangan main lambak saja. Lagi satu penggunaan keju lain selain mozarella juga akan memberi kesan pada rasa masin..itu saja...

Selamat mencuba!

Tuesday, January 4, 2011

Jejari Ikan Dori Bersos BBQ Bermadu


Salam & selamat tengahari....

Lama pulak rasanya tak update blog..  Alhamdulillah.. anak2 pun dah mulakan sessi persekolahan mereka.  Haziq begitu teruja hari pertama bersekolah tadika semalam.  Aku hanya hantar di muka pintu tadika nya. Lepas bersalam, cium pipinya & tinggalkan beberapa pesanan padanya.. aku terus pergi meninggalkannya.  Tak pula menangis atau buat hal.. Alhamdulillah.. mudah urusan ibu.  Semalam aku cuti sehari kerana menghantar adik ke PPUM.  Akhirnya.. dapat juga tarikh untuk buat pembedahan kecil masalah telinganya pada bulan Mac nanti setelah beberapa kali buat check up kat situ.  Harap2 semuanya akan berjalan lancarlah hendaknya.  Amin...

Selama seminggu ma & adik tinggal kat rumah ku sementara menunggu tarikh ke hospital.  (sedang molek boleh dorang tengok2kan anak2 kat rumah yg belum pulih betul dari sakit mata masa tu) Seronok sebab bila balik kerja aje.. ma dah siap masak.  Bukan setakat masak memasak di tanggung beres.. malah kerja2 rumah pun ma & adik2 yg bereskan.. amboi... macam ada pembantu rumah pulak..  terima kasih ma & abby sebab rajin tolong buat semua kerja2 rumah tu ye.. disebabkan kerja rumah semua dah beres & makanan pun siap masak.. maka kami sekeluarga boleh makan malam awal & lepas tu bolehlah kakaknya ni bereksperimen masak2 untuk sarapan esoknya.. hehehe..   Sajian ikan dori ni pula.. sesaja aku buat balik dari kerja untuk makan2 ratah gitu je sementara makan nasi... dapatlah ma & adik merasa sama.. aku pun baru pertama kali makan ikan dori ni... sedap jugak rupanya... ma & adik yg tak makan ikan besar pun kata sedap.. anak2 pun suka... tak cukup.. yelah buat pun sikit utk percubaan... lain kali bolehlah buat lagi...


Jejari Ikan Dori Bersos BBQ Bermadu by MaDiHaA

Bahan2
1 paket fillet ikan dori (beli fillet siap dari supermarket)
Garam secukupnya
1 sudu kecil serbuk cili kasar (coarse chilli powder)
½  sudu kecil serbuk kunyit
½  sudu kecil serbuk kari
Tepong beras secukupnya
1 biji telur
Bread crumb secukupnya
Minyak utk menggoreng
Brokoli yang dicelur (untuk hiasan... tapi boleh juga dimakan)

Bahan2 Sos BBQ
½  cawan sos BBQ (apa2 jenama pun boleh)
1 sudu besar sos cili
2 sudu besar Heinz hot cili sauce
2 ~ 3 sudu besar madu
Sedikit bijan yang disangai


Cara2 Menyediakan
1. Ikan dori dinyahbeku dengan merendamkannya dalam air yang dicampurkan dengan 1 sudu kecil garam.  Bila ikan dah lembut.. basuh bersih & lap kering.  Potong fillet ikan dori sebesar dua jari atau selebar 1 inci setiap keping.  Perap jejari ikan dori bersama garam, serbuk cili, serbuk kunyit & serbuk kari selama 15 minit.
2. Ambil sekeping jejari ikan dori & golek2kan ke dalam tepong beras bagi tiap2 keping sehingga habis & ketepikan dahulu.
3. Pecahkan telur & dipukul sedikit dengan garfu.  Sediakan bread crumb secukupnya. Celup sekeping jejari ikan dori ke dalam telur.. tos sekejap & terus golek2kan ke dalam bread crumb sehingga bersalut keseluruhannya.  Buat step yang sama bagi semua jejari ikan dori sehingga habis.
4. Panaskan minyak dengan api yang sederhana.  Goreng jejari ikan dori sehingga garing kedua2 belah. Angkat & tos.
5. Sediakan sos.  Campurkan kesemua bahan2 sos kecuali bijan.  Panaskan sebentar di atas dapur dengan api perlahan.  Tuangkan kedalam mangkuk yg sesuai & taburkan dengan bijan yg telah disangai terlebih dulu.
6. Hidangkan jejari ikan dori bersama sos bbq bermadu & juga brokoli yang dicelur.  


Selamat mencuba!

Saturday, January 1, 2011

Bubur Cha Cha


Salam & selamat tahun baru diucapkan kepada semua pengunjung blog mamawandiha/MaDiHaA/Ratna...


Sekejap aje tahun berganti tahun... tak terasa masa berlalu begitu pantas.. usia pun semakin bertambah.. anak2 semakin membesar.. & tahun ini.. hero ku yang sorang tu pun dah nak mulakan sesi persekolahan di tadika Islam.. macamanalah agaknya hari pertama dia kat tadika nanti yek.. sekarang ni.. ramai ibu bapa yg dah hantar anak2 mereka ke tadika pada usia seawal 4 & 5 tahun.. Bila masuk darjah satu.. kebanyakan anak2 semua dah pandai membaca..  beruntung anak2 zaman sekarang...

Oklah.. hari ni.. kongsi resepi mudah aje.  Dah lama betul tak buat bubur cha cha ni.. hari tu masa pegi kedai runcit belakang ofis ni.. ternampak tepong bubur cha cha tu terus teringin nak buat.. belilah sepeket kecil & sekali dengan keladi, keledek serta santan.. balik kerja sampai rumah terus siapkan bubur cha cha ni... anak2 semua suka tambah2 si kecik tu.. banyak jugak dia makan....



Masukkan jugalah resepi walaupun semua orang dah tau buat...

Bubur Cha Cha by MaDiHaA

Bahan2
1 cawan tepong bubur cha cha warna warni
2 ketul keledek yg kecil
1 ketul keladi sederhana
2 1/2 mug santan
gula secukup rasa
2 helai daun pandan ~ cuci & simpul
sedikit garam

Cara2 Menyediakan
1. Kupas keledek & keladi & dicuci bersih.  Potong dadu besar keledek & keladi & isikan dalam bekas yang berasingan.  Kukus keledek & keladi berasingan hingga 3/4 masak.
2. Dalam periuk.. cuci tepong bubur cha cha & rebus tepong bubur cha cha hingga tepongnya lembut.  Angkat & cuci dibawah air paip kemudian toskan.
3. Dalam periuk yang lain satukan santan, daun pandan, gula & sikit garam dan masak hingga mendidih sambil dikacau2 sentiasa agar santan tak membuak. Bila mendidih.. Masukkan tepong bubur cha cha yang direbus, keladi & keledek yang dikukus 3/4 masak.  Kacau2 biarkan kuah sedikit pekat (jangan pekat sangat!). Biarkan secukup rasa manis & lemaknya ikut citarasa sendiri.  Siap untuk dihidangkan.

Selamat memasak!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...