Tuesday, December 22, 2015

Sosej Ban

Assalamualaikum & salam sejahtera.... 

Cuti  sekolah ni dah beberapa kali jugak MaDiHaA meroti.  Seronok membuatnya sebab ramai tukang makan.  Kebetulan mak & adik pun ada datang baru2 ni... anak2 saudara pun ada ikut... uli roti 1kg tepong satu hari boleh licin.  Laku keras... hihihi...

Ini antara roti kegemaran anak2 MaDiHaA... Sosej Ban. Oleh kerana anak2 selalu je kutip buang mix vege.. jadi MaDiHaA malas nak letak mix vege atas ban ni. 

Resepi roti asas ni yang selalu MaDiHaA guna tiap kali nak buat apa2 roti.  Cukup puas hati dengan hasilnya. Biarpun tak pernah masuk mana2 kelas membuat roti, rasanya hasil dari resepi basic dari sis Roshayati Johari ni antara yang terbaik resepi perkongsian secara percuma di laman sesawang ni.. insyaAllah.. pahala berterusan buat sis Roshayati... terima kasih banyak2 sis..


BASIC BREAD RECIPE (Roshayati Johari)
Ingredients :

(A)
500g bread flour/high protein flour
100g sugar
1 teaspoon salt
30g milk powder
1 teaspoon bread improver (optional)
1 teaspoon bread softener (optional)
4 teaspoons instant dry yeast

(B)
250ml water
1 egg (lightly beaten)

(C)
40g butter
40g shortening

Method :
1. Mix well all ingredients in (A)
2. Add (B) into (A) and knead till smooth.
3. Add (C) and continue kneading till smooth and shiny and dough does not stick to your hand.
4. Leave to prove for 30 - 40 minutes.
5. Punch down the dough to let the air out.
6. Divide the dough according to the weight you wish. Make into balls and leave to rest for 10 minutes.
7. Shape accordingly.
8. Leave to prove for 40 minutes - 1 hour.
9. Preheat oven 180C. Bake till golden brown. (about 15 minutes)


Sausage Mix Vegetables Bun

Bahan2 Tambahan
16 batang sosej ~ rebus sebentar, tos & dibelah 2 (ikut suka nak hiris2 pun boleh)
mix vege secukupnya ~ rebus sebentar & tos (MaDiHaA tak letak kali ni)
sos cili
mayonis

thousand island sos
sedikit susu cair utk sapuan pd roti

Cara2nya
1. Setelah doh naik utk proses perapan pertama (tengok step no. 4 kat atas ). Tumbuk2 doh dan bahagikan doh ke beberapa bebola kecil anggaran 60gm setiap satu. (MaDiHa dapat 16 ketul)
2. Ambil satu bebola tadi dan leperkan doh agak nipis dan letak atas tray yg dah disapu marjerin/mentega.
3. Perap selama 40 minit ~ 1 jam. (kalau nak cepat naik letak je dlm oven yg dipanaskan sebentar)
4. Panaskan oven 180C. Sapukan susu cair di atas bun. Aturkan sosej atas bun tadi. Taburkan mix vege. Paipkan mayonis, sos cili & thousand island sos. Kemudian bakar roti selama 15 - 20 minit atau sehingga roti masak.


Selamat mencuba!

Monday, December 21, 2015

Puding Marble & Roti Jala Tempahan

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Agak sibuk kebelakangan ni... tak sempat nak update blog sangat.  Nak taip resepi pun tak sempat. Jadi MaDiHaA update tempahan ajelah ye.  Tak banyak pun tempahannya. MaDiHaA pun bukanlah ambil tempahan sepenuh masa. Hanya pada cuti hujung minggu itupun jika takde aktiviti dengan keluarga. Saja suka2 buat tambah2 duit poket sikit.  Alhamdulillah walaupun sikit semua tu rezeki kan.



Tempahan dari sepupu nak puding marble untuk di bawa ke pejabatnya.



Ini pulak tempahan jiran depan rumah nak roti jala 100 keping.  Paksa merajinkan diri buat roti jala. Sebenarnya tak berapa rajin sangat nak kirai roti jala banyak2 ni.  Letih berdiri lama2 kat dapur.. hehe... Apa pun.. terima kasihla pada kazen & jiran ku yang sering beri support bisnes kecil MaDiHaa ni.

Thursday, December 17, 2015

Brownies Cheese Kukus



Assalamualaikum & salam sejahtera...


Bila anak2 semua berkumpul kat rumah.. barulah ada kerajinan untuk mencuba pelbagai resepi kuih muih yang dah lama terpendam untuk dibuat.  Yelah, walaupun yang tinggal kat asrama hanya seorang anak, hati tetap rasa sedih dapat makan sedap2, sedangkan sorang anak tak dapat nak merasa. Lagipun.. takdelah ibu ni menambah lemak sorang2... kongsi2lah tambah lemak sama2... hahaha...

Buat brownies ni... sekejap je  nak habis seloyang. Masa panas2 angkat dari periuk kukusan, dah ada permintaan nak rasa yang suam2.  Sapa kah dia? Siapa lagi.. en. suami la... dia memang suka makan yang panas2... bila dah sejuk dia dah tak berapa nak layan. Bila dah potong wajiblah yang lain2 pun merasa.... ok... setengah loyang habis malam tu jugak. Berbaloi buat sebab semua suka.  Peminat2 cheese tentu tau betapa enaknya dapat menikmati sepotong kek/brownies cheese yang digandingkan pula dengan coklat.. hmmm... kecur air liur dok teringat kesedapannya....

Ada yang terliur? Jomlah cuba... resepi MaDiHaA kongsikan kat  bawah ni ye. Terima kasih pada empunya asal resepi. Terima kasih juga pada Rohah yang kongsi resepi di blog.


 
Brownies Cheese Kukus
Resepi : Mufidah Abdul Hadi Alyunusi
Sumber : Rohah

Brownies:
Bahan A:
2 biji telur
1/2 cawan susu cair (cawan metrik, 1 cawan = 250 ml)
1/2 cawan susu pekat manis
100 ml minyak
1/2 cawan gula castor
Sedikit vanilla


Bahan-bahan yg diayak bersama:
1/3 cawan serbuk koko (boleh tambah hingga 1/2 cawan jika suka lebih koko)
1/2 cawan tepung gandum
1/2 sudu teh baking powder
1/4 sudu teh baking soda


Cara
Satukan bahan-bahan A dan masukkan ke dalam blender.Kisar perlahan-lahan hingga sebati.Masukkan bahan-bahan yang diayak dan kisar lagi hingga sebati.Masukkan ke dalam loyang 7 atau 8 inci yang digriskan dahulu dan dialas dengan kertas minyak dan kukus lebih kurang 25-35 minit hingga masak.[simpan sedikit sahaja adunan ini untuk membuat corak atas lapisan keju nanti].Bila brownies dah masak, baru tuangkan adunan keju di atasnya.

Lapisan Keju:
500g cream cheese
4 biji telur grade B
140g gula halus
Sedikit esen vanilla


Cara
Pukul cream chese hingga gebu.Masukkan gula dan pukul hingga sebati.Masukkan pula telur dan vanila.Pukul lagi hingga rata.Tuang ke atas brownies yang dah siap dikukus.Ambil sedikit adunan brownies dan titiskan ke atas adunan keju.Lorekkan dengan hujung pisau atau lidi.Kukus semula lebih kurang 20 minit dengan api sederhana hingga masak.Sejukkan sebelum dipotong dan dihidangkan.

Selamat mencuba!

Wednesday, December 16, 2015

Talapia Sri Rampai memang marbeles...

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Cuti sekolah tahun ni agak sibuk dengan bermacam perkara yang perlu diselesaikan.  Setiap minggu ada saja yang perlu dibereskan selain menerima tempahan & jemputan kenduri kahwin.  Janji dengan anak2 nak bawak jenjalan pun tak tertunai lagi... aduhaiii... Tapi takpelah masih ada cuti berbaki lagi. Harap2 sempatlah bawak dorang jenjalan.  Tahun ni jenjalan yang dekat2 je. Ibu takde bajet nak chek in ya anak2...

Anak2 order ikan masak 3 rasa pun belum sempai ditunaikan... tapi ibu mengelat masak ikan sri rampai tapi ibu cakap inilah ikan masak 3 rasa versi baru... kekekekeke... bohong sunat bak kata P. Ramlee.... haha... Licin sekejap je anak2 makan.  Kalau ikan besar2 camni lajulah anak2 makan. Senang nak cubit2 isi ikan. Tambah pulak masakan ni memang sedap... marbeles. Lagi berselera anak2 makan.  Kalau ikan kecik2, adalah yg cebikkan mulut... ish ish ish...


Talapia Sri Rampai
Sumber : Memey (Ketuk2 Ramadhan)
Resepi telah diolah oleh : MaDiHaA aka Ratna


Bahan2
2 ekor ikan talapia ~ bersihkan, kelar2, lumur garam & serbuk kunyit & goreng garing (resepi asal guna ikan siakap)
1 labu bawang besar saiz besar ~ dimayang
4 ulas bawang putih ~ dimayang
1 1/2 inci halia ~ dimayang halus memanjang
3 batang serai ~ diketuk
15-20 biji cili padi ~ dihiris halus (ikut kepedasan yg anda suka)
1 kuntum bunga kantan ~ dimayang (kalau kecil letak 2)
6 - 7 s/b sos cili
6 - 7  s/b sos tomato
5 sudu besar sos ikan
1 s/b cuka
Sedikit gula
Garam sekiranya perlu
Serbuk perasa 
1/2 cawan air

Cara2
1. Panaskan minyak & tumis bawang, halia hiris dan serai sehingga layu & wangi.
2. Masukkan semua sos & semua perisa...gaul rata. Tambahkan air.
3. Masukkan hirisan bunga kantan & cili padi. Kacau2 & pastikan secukup rasa.
4. Curahkan ke atas ikan yg digoreng td. Sedia dihidangkan.

Selamat mencuba!

Friday, December 11, 2015

Jemput-Jemput Jejari Ketam

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Waktu cuti2 camni goreng jemput2 untuk sarapan atau minum petang pun syok juga. Anak-anak tu dok lapar je semedang.  Moh kita ke dapur....


Jemput-Jemput Jejari Ketam
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
600 gm tepong gandum
10 batang jejari ketam ~ dihiris
semangkuk kecil hirisan kobis
1 labu bawang besar ~ didadu kecil
1 biji cili merah ~ hiris buang biji & hiris halus
750 - 800 ml air
1 biji telur
Garam secukup rasa
Serbuk perasa jika suka
Minyak masak secukupnya

Cara menyediakan
  1.  Masukkan tepong gandum dalam besen sederhana besar. Masukkan hirisan jejari ketam, kobis, bawang besar, cili, garam serta serbuk perasa. Gaulkan sebati.
  2. Tuangkan separuh air dan kacau rata. Masukkan telur & kacau. Tuangkan baki air & kacau hingga rata. Pastikan bancuhan secukup rasa.
  3. Panaskan minyak guna api sederhana & gorenglah jemput2 dengan sudu satu persatu ke dalam minyak panas. Balikkan jemput2 bila dah kekuningan. Angkat bila kedua2nya kekuningan & toskan dahulu sebelum dihidang bersama sos kegemaran.
Selamat mencuba!

Thursday, December 10, 2015

Gulai Lemak Telur Itik Dengan Pucuk Ubi

Assalamualaikum & salam sejahtera...

Pucuk ubi ambil kat rumah ma tempohari dapatlah MaDiHaA gulaikan campur dengan telur itik. Nak masak pucuk ubi saja nampak macam sikit je.  Gulai telur itik ni kegemaran en. suami.  Kerap perhatikan dia bila makan kat luar asal ada gulai lemak telur itik mesti dia cedok... hihi.. Alhamdulillah bila masak sendiri ni pun berselera dia makan.

Resepi biasa2 je... tapi MaDiHaA kongsi jugak untuk rujukan sendiri & anak2 satu hari nanti...


Gulai Lemak Telur Itik Dengan Pucuk Ubi
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan-bahan
1 cekak pucuk ubi kayu ~ ambil daunnya sahaja
4 biji telur itik ~ cuci bersih kulitnya

800 ml air
1 kotak kecil/200 ml santan kotak
Sedikit kunyit serbuk
2 batang serai ~ diketuk
1 keping asam gelugur
Serbuk perasa jika suka
Garam secukup rasa

Bahan ditumbuk lumat
2 inci kunyit hidup
4 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
10 - 15 biji cili padi

Cara menyediakan
  1. Celur pucuk ubi sehingga daunnya empuk. Nak tau empuk atau belum, ambil sedikit daun yang direbus & cuba putuskan. Jika senang putus bermakna pucuk ubi sudah empuk. Sekiranya terasa susah putus teruskan rebus sehingga empuk. Bila empuk toskan airnya & tunggu sejuk sekejap. Potong-potongkan sikit pucuk ubi jika suka.
  2. Dalam periuk, tuangkan santan serta masukkan bahan tumbuk, serai, sedikit serbuk kunyit serta sedikit garam & didihkan santan hingga mendidih.
  3. Perlahankan sedikit api. Pecahkan telur itik satu persatu ke dalam periuk & biarkan telur membeku sambil dikacau2 perlahan supaya telur tak pecah. Sebaiknya pecahkan telur itik dalam mangkuk yang kecil dahulu sebelum tuangkan dalam periuk untuk mengelakkan terkena telur yang busuk. Bila telur dah beku, masukkan asam gelugur & pucuk ubi tadi. Rasakan kuah jika perlu tambahan garam & bahan perasa jika suka. Masaklah hingga kuah mendidih & secukup rasa. Hidang dengan nasi putih & lauk2 sampingan yang lain.
Selamat mencuba!

Wednesday, December 9, 2015

Kuih Kasui / Kaswi... kuih evergreen

Assalamualaikum & salam sejahtera...

Kuih kasui / kaswi ni adalah antara kuih favourites MaDiHaA sekeluarga.  Kuih paling mudah nak dibuat. Kalau balik kampong pun kerap juga buat. Kat kampong lagi seronok nak buat kuih ni sebab nanti dapat makan dengan kelapa parut dari kelapa yang kulitnya belum kering. Kat KL ni jarang sangat dapat jumpa kelapa yang berkulit muda.. rata2 semuanya kulit dah kering. Nasib2 je jumpa kelapa yang kulitnya masih berwarna cerah.  Sekiranya kebetulan masa nak beli kelapa ternampak kelapa kulit warna cerah.. awal2 MaDiHaA akan ambik dulu & minta diparutkan sekali. Simpan stok kot2 rajin nak buat kuih kaswi atau apam.  Kali ni bernasib baik juga sebab terjumpa kelapa berkulit muda... maka rajinkan diri buat kuih kasui.  Bolehlah buat kudap2 anak2 kat rumah masa cuti sekolah ni.

Ini resepi terbaik olahan MaDiHaA sendiri sejak dulu lagi. Resepi pun dah ingat dalam kepala dah.  Jarang buat kasui resepi orang lain sebab resepi sendiri dah cukup memuaskan hati sendiri.  Kadang2 bila nak mencuba resepi orang lain, tersentak kejap tengok kuantiti gula yang digunakan... oh... no no no... mesti terlajak manis.  Jadi resepi sendiri juga yang jadi pilihan sebab manisnya yang cukup2 je serta tekstur kuih pun secukup2 je lembutnya.
 
Kuih Kasui / Kaswi
Resepi MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
3 cawan tepong gandum
1 1/2 cawan gula merah (MaDiHaA nak kurangkan manis jadi letak 1 cawan je gula merah + 2 sudu besar gula putih)
1/2 cawan tepong ubi
7 cawan air
2 helai daun pandan
3 sudu kecil air kapur (masukkan 1/4 cawan air dalam bekas kapur mkn & kacau2 sikit gunakan jari untuk menghasilkan air kapur yg  sederhana pekat, kemudian baru di sukat)
3 sudu besar kicap manis (untuk warna & untuk menaikkan rasa lemak)

Bahan salut
1 biji kelapa yang agak muda di parut putih
sedikit garam halus
(kukuskan kelapa sebentar untuk mengelakkan ia cepat basi)

Cara menyediakan
1. Masak gula merah bersama dengan 3 cawan air & daun pandan sehingga gula larut. Tapiskan & campurkan dengan 4 cawan air lagi.  
2. Panaskan periuk kukusan.
3. Campurkan tepong gandum dengan tepong ubi dalam satu bekas & gaulkan.  Tuangkan air gula sedikit demi sedikit sambil di kacau rata menggunakan whisker.  Campurkan air kapur & kicap & kacau sehingga tiada berbintil.  Tapiskan adunan ke dalam loyang saiz 10".
4. Kukus kuih sehingga masak lebih kurang 45 - 55 minit dengan penutup periuk kukusan dibalut dengan kain bersih. Jika ada air dipermukaan kuih, bolehlah dibuang dengan merengkan sedikit loyang & cedok dengan sudu. Boleh juga ambil tuala dapur bersih/tisu dapur & lapkan permukaan kuih.
5. Biarkan kuih betul2 sejuk sebelum dipotong & disalut dengan kelapa parut untuk hidangan pagi atau minum petang.  Kuih boleh dimasak waktu malam untuk dihidang keesokkan harinya.
Nota MaDiHaA : jika suka lebih manis.. boleh tambahkan sedikit gula pasir dalam adunan semasa membancuh. (boleh rasa sikit adunan yang dibancuh sebelum mengukus utk agak manis dah ok atau belum)  MaDiHaA tak suka manis2 sangat. 
Selamat mencuba!

Monday, December 7, 2015

Ayam Kapitan

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Apa khabar semua? Semoga silent reader semua sihat2 hendaknya. Hari ni MaDiHaA nak kongsikan resepi yang sangat sedap ni.  Resepi olahan Chef Wan kita yang MaDiHaA ambil dari buku beliau.  Menggunakan bahan2 ala rendang cuma beza resepi ini tidak dimasukkan kerisik.  Mudah nak menyediakan & insyaAllah sedap.  Silalah mencuba jika ada yang teringin, resepinya MaDiHaA dah rajinkan diri menaipnya satu persatu.




AYAM KAPITAN

Resepi : Chef Wan

Dicuba oleh : MaDiHaA aka Ratna



Bahan2
Minyak masak secukupnya          
1 ekor ayam aggaran 1.5kg ~ dipotong sesuai selera
500 ml santan dari sebiji kelapa
1 sudu besar asam jawa ~ campur sikit air ambil pes
3 helai daun limau purut ~ koyak2kan (resepi asal dikisar sekali dengan rempah pes tu.. tp MaDiHaA masukkan yg koyak2 je)
Garam, gula & serbuk perasa secukup rasa


Bahan Pes Rempah
20 biji cili kering ~ dipotong, rebus & tos
6 biji buah keras
2 labu bawang besar
15 biji bawang merah
4 ulas bawang putih
½ inci kunyit hidup
½ inci lengkuas
½ inci halia
3 batang serai ~ hiris


Cara menyediakan
  1. Bersihkan & hiris bahan2 pes rempah & kisar sehingga halus.
  2. Panaskan minyak & tumiskan bahan kisar tadi hingga wangi & naik minyak. Masukkan ayam dan kacau rata.  Guna api seberdana & tutup kuali dengan penutup dan biar ayam masak selama 10 minit.
  3. Masukkan santan serta air asam jawa sambil dikacau rata & biarkan mendidih. Masukkan daun limau purut, garam, gula & serbuk perasa secukupnya & renihkan ayam hingga empuk. Biarkan kuah agak pekat & secukup rasa. Hidang dengan nasi putih.
Selamat mencuba!

Friday, December 4, 2015

Pulut Kuning Berhias *Tempahan*

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Pagi ni MaDiHaA update tempahan pulut kuning berhias yang MaDiHaA buat baru-baru ni.  Terima kasih pada Tasha yang menempah khas buat anakandanya yang akan melangsungkan majlis berkhatan.  Biasalahkan bila tiba musim cuti sekolah ni ramai juga yang ambil peluang khatankan anak lelaki mereka selain mengadakan walimatul urus dan juga majlis bertunang.



Anak bujang MaDiHaA dah selamat dikhatankan masa umurnya 7 tahun.  Dia sendiri yang tak sabar2 nak bersunat sejak dari umur 5 tahun lagi asyik tanya je bila nak sunatkan dia.  Kami je tak bagi sunat awal sangat & kami suami isteri dah janji dengan dia akan sunatkan dia bila dia dah masuk tahun 1.  Tahun depan dia dah nak masuk tahun 4 dah... dah bujang dah anak MaDiHaA rupanya.



Pulut kuning ni menggunakan 1kg beras pulut.  Dekorasinya pula dibuat ikut contoh yang Puan Tasha berikan.  Tidaklah dapat menyamai 100% sebagaimana contoh yang diberi. Tapi MaDiHaA cuba sedaya upaya untuk buat yang sama.  Bukan apa, kadang tu bahan2 yang diperlukan kita tak dapat nak cari. Contoh macam tomato ceri tu, MaDiHaA dah masuk 3 pasaraya tapi semuanya jual tomato ceri bersaiz agak besar.  Contoh gambar gunakan tomato ceri bersaiz kecil & berbentuk agak lonjong.  Lada benggala tu pun.. jenuh nak cari yang bersaiz kecil.  Mujur ada satu pasaraya yang jual lada benggala merah & kuning bersaiz kecil.  Tapi nak cari lada benggala hijau saiz kecil langsung tak jumpa.  Semuanya saiz besar2 belaka... hihi..  Jadi bila tak dapat cari bahan2 yang sama... maka hasilnya pun tak dapatlah nak menyamai design yang diminta.  

Oklah.. cukup dulu berceloteh... nanti ada masa MaDiHaA update lagi..

Terima kasih..

Thursday, December 3, 2015

Masak Lemak Putih Sayur Meranti dengan Telur Tebu

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Lama betul tertunda entry sayur ni. Dah berzaman dah MaDiHaA masak ni.. hehe.. Masukkan juga ke blog sebabnya ini sayur yang sangat rare.  Tak ramai yang biasa makan sayur ni.. betul tak? Kalau yang dok kat kampong tu mungkin pernah rasa.  Tapi yang tinggal kat bandar ni memang takde harapan la nak jumpa.  Kat pasar tani pun MaDiHaA tak pernah jumpa.  Mungkin kat pasar pagi kat pekan2 ada yang jual. Telur tebu ni MaDiHaA bawak balik dari kampong MaDiHaA.  Punyalah dapat banyak mak petikkan dari pokok tebu belakang rumah.  Hilang rindu dapat makan sayur telur tebu.  MaDiHaA campurkan dengan sayur meranti. Memang padan betul gandingan dua sayur ni. Masak lemak putih biasa je pun.. Tapi oleh sebab dua2 sayur ni jenis sayur yang susah nak jumpa kat bandar ni jadi bila makan tu selera dia lain macam sikit.  Tambah pulak disertakan dengan sambal belacan, ulam pucuk ubi rebus & ikan goreng. Hmm.. bertambah2 makan nasi.. hehe..  

Sapa2 yang tak kenal macamana rupa telur tebu... kat bawah tu ada MaDiHaA tunjukkan gambarnya. Sebenarnya telur tebu ni asalnya daripada bunga tebu yang belum berkembang lagi.  Tapi bukan dari pokok tebu yang biasa orang ambik untuk proses air tebu tu ye. Tebu ni memang khas hanya makan telurnya sahaja.  Tebunya kurus takde isi pun.... yang dimakan hanyalah telurnya saja.  Sekali imbas bila tengok macam kobis bunga. Tapi tekstur kobis bunga agak keras. Telur tebu ni lembut sikit. Dari segi rasa, memang sedaplah.. susah nak cerita bab rasa.. hihi..

Oklah layan resepi biasa2 ni ye..




Masak Lemak Putih Meranti dengan Telur Tebu

Bahan2

Telur tebu secukupnya ~ dipotong 2
Sayur meranti secukupnya ~ dicelur hingga lembut & tos airnya
cili merah ~ belah 2
bawang besar ~ belah kasar2
sejemput ikan bilis
santan secukupnya
garam secukupnya
bahan perasa jika suka 

Cara menyediakan
Satukan semua bahan2 dalam satu periuk & masak hingga mendidih. Masukkan bahan perasa secukupnya.  Sentiasa kacau supaya santan tak membuak. Bila sayur telur tebu lembut. Bolehlah matikan api & hidang.



Selamat mencuba!

Wednesday, December 2, 2015

Bingka Pandan / Kuih Bakar

Assalamualaikum & salam sejahtera....


Sibuk betul kebelakangan ni sampai tak sempat nak berblog sangat.  Semalam sibuk dengan stok cek.. maklumlah dah ujung tahun kan.  Hari ni ada kelapangan sikit, jom MaDiHaA kongsikan resepi bingka pandan atau kuih bakar yang sedap ni.  Lemak & manis2 buah je... makan pun tak muak.  Kalau yang suka lebih manis tu bolehlah lebihkan gulanya ye. Bagi selera MaDiHaA dah cukup perfect dah rasa manis dia.  Anak2 & suami pun suka sangat makan.  Sampai anak mintak buatkan lagi.  hehehe... Seronok pulak buat kuih muih bila semua anak2 berkumpul kat rumah.  Masak je apa saja mesti habis punya.  Hmm... gambar pun ambik lebih kurang je sebab kelam kabut pagi2 nak sediakan makanan untuk anak2 & bersiap2 nak pegi kerja.



BINGKA PANDAN


Bahan2

2 cawan tepung gandum
3/4 cawan gula pasir

3  cawan santan dari 1 biji kelapa
1 1/2 cawan jus pandan dari 15 helai daun pandan yang dikisar
3 biji telur A ~ dipukul ringan
3 s/b majerin dicairkan
1 s/k garam
pewarna hijau epal secukupnya
Bijan secukupnya

Cara menyediakan
1. Panaskan oven 170'C selama 15 minit. Gunakan api atas dan bawah.
2. Gaulkan tepong, gula & garam hingga sebati menggunakan hand whisk. Tuangkan jus pandan, santan & telur. Kacau rata sehingga sebati. Tambahkan pewarna hijau secukupnya, marjerin cair & gaul sebati. Tapiskan.
3. Tuangkan dalam loyang 8 x 8 yg telah disapukan minyak.  Taburkan bijan dipermukaan.
4. Bakar selama 1 jam 15 minit atau sehingga masak. (bergantung oven masing2 ye... boleh tambah masa membakar untuk dapatkan permukaan yang garing)

5. Sejukkan kuih sebelum dipotong.

Selamat mencuba!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...