Wednesday, June 14, 2017

Sagu Zamrud Bertatah Jagung

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Baru2 ni MaDiHaA sempatkan diri mengacau sagu untuk dibuat puding sejurus selepas sahur. Terkejar2 juga nak siapkan maklumla nak mandi, solat & bersiap pergi kerja pulak kan. Kukus pun tak sempat tunggu sagu betul2 jadi jernih. Kalut betul!  Kalau sesiapa yang nak cuba buat tu.. bolehlah kukus & tunggu sampai sagu betul2 jernih ye. Tapi takdelah terasa sagu mentah pun walaupun nampak putih2 pada sagu tu.. hehe... ayat cover line. Alhamdulillah kalau kuih2 sagu ni anak2 & suami memang suka sangat. Seronok kita yang membuatnya. Sekejapan je habis pemanis mulut yang simple dimple ni. Cara membuat tu sama je macam kita buat kuih sagu bronok. Beza cuma sagu zamrud ni kita hidang dengan susu cair & jagung cream. Yok cuba kelainan! Jom MaDiHaA kongsikan resepinya ye..



Sagu Zamrud Bertatah Jagung
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan-bahan
2 cawan sagu halus 
6 cawan air
1 1/2 cawan gula pasir
Pewarna hijau secukupnya
1 tin jagung cream ~ sejukkan di peti sejuk

1 tin susu cair ~ sejukkan di peti sejuk

Cara-cara
1. Panaskan air + pewarna hijau sehingga mendidih.
2. Masukan sagu, kemudian kacau rata.
3. Masukan gula, gaul rata. Apabila adunan nampak pekat sedikit, masukan kedalam loyang.
4. Kukus selama 20 minit.

5. Bila kuih sagu dah sejuk bolehlah dipotong kiub2 & susun dalam mangkuk yang sesuai. Tuangkan susu cair & sudukan jagung cream di atasnya & bolehlah dihidangkan untuk berbuka puasa.



Selamat mencuba!

Friday, June 9, 2017

Karipap Inti Kentang dan Lobak Purple ~ rare sangat...

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Jumpa lagi di Jumaat barokah. Jumaat ke dua di bulan Ramadhan. Hari ni agak free sikit, jadi bolehlah update blog sekejap. Hari ni nak kongsi resepi karipap yang agak rare sikit ye. Intinya berwarna gelap. Kalau tengok mesti terkejut.. hahaha... Sebenarnya MaDiHaA buat inti ni pun sebab nak habiskan lobak purple lebihan buat gubahan bunga untuk hiasan pulut kuning. Dah bermacam juga MaDiHaA olah guna lobak purple ni. Campur dalam nasi goreng, nasi pun jadi warna purple... hehehe.. Kali ni campur dalam inti karipap pula. Takde beza pun dari segi rasa. Sama macam rasa karipap. Tapi dari segi khasiat, rasanya inti karipap ini lebih berkhasiat & kaya nutrisi dengan adanya purple carrot seperti vitamin A & pythokimia termasuk carotenoid, phenolics, polyacetylenes, isocoumarins & sesquiterpenes. Nak tau kebaikan purple carrot bolehlah google cari maklumatnya ye. Mujurlah anak2 tak banyak komplen, makan dengan redho saja. Diaorang dah faham ibu dia memang suka buat benda pelik2. hahaha...



Moh kita menguli karipap untuk berbuka puasa kali ni! Resepi doh karipap ni MaDiHaA suka guna doh dari Tun Telani a.k.a Hawa sebab dohnya sangat perfect. Terima kasih ye Hawa sebab bersusah payah menyukat bahan semata2 sebab nak berkongsi resepi dengan kami semua. Sebenarnya MaDiHaA kalau buat karipap pun sama macam Hawa @ Tun juga main agak2 je. Malas betul nak sukat bahan. Sebab tu MaDiHaA takde kongsi resepi karipap sendiri sebab kalau MaDiHaA buat karipap memang main agak2 je bahan. Haa... bukan senang tau nak berkongsi resepi ni. Kena betul2 sukat bahan, kalau tak betul nanti tentu dikecam orang buat tak jadilah, tak sama mcam dalam gambarlah. Beginilah nasi seorang blogger. Kadang2 kita bagi resepi tu dah betul, tapi mungkin cara penyediaan tu yang tak sama. jadi hasilnya tentulah tak sama. Oklah moh kita tengok resepi...



Karipap Inti Kentang dan Lobak Purple

Bahan2 inti
3 biji ubi kentang ~ dipotong kiub 
2 biji carrot purple ~ dipotong kiub
1 biji bawang besar ~ dipotong halus
2 ulas bawang putih ~ dicincang halus
200 gram dada ayam ~ dipotong dadu
3 sudu besar serbuk kari
1 sudu kecil serbuk cili

sedikit daun sup (sekiranya suka)
Garam dan gula secukup rasa
minyak untuk menumis
minyak untuk menggoreng karipap


Cara menyediakan
1. Tumiskan bawang besar & bawang putih, masukkan serbuk kari dan serbuk cili kemudian tambahkan sedikit air utk mengelakkan tumisan hangus. Masukkan isi ayam & air & biar mendidih.
2. Masukkan ubi kentang & carrot. Tambahkan air sehingga menyamai paras kentang + carrot tadi. Perasakan dengan garam dan gula. Masak sehingga kentang empuk, kering & secukup rasa. 
3. Akhir sekali masukkan daun sup, kacau sebentar dan tutup api.

Inti Kentang campur lobak purple & ayam, 
hasilnya abis jadi warna gelap belaka...

Bahan2 Doh
Resepi : Tun Telani
4 cawan tepung gandum
2 sudu besar marjerin (panaskan bersama minyak) 
1/2 cawan minyak (panaskan) 
3/4 cawan air (atau secukupnya)
1/2 sudu kecil garam (MaDiHaA larutkan garam dalam air)
Cara menyediakan doh
panaskan margerin dan minyak dlm periuk. tutup api. tengah panas2 tu, masukkan tepung dlm periuk td dan gaul guna garpu (jgn guna tangan, melecur nnti). dh sejuk sikit, campur garam n air sedikit2. Uli sampai x melekat di tangan. sedia untuk digunakan. (cara gaul dgn minyak panas ini adalah utk dapatkan kulit yg rapuh)
Bila dah siap bolehlah dicanai & terap, masukkan inti secukupnya & kelim bahagian tepinya. 

Cara MaDiHaA.. suka bulat2kan doh.. setiap biji bebola untuk sebiji karipap. Lepas siap dibulat2kan rehatkan doh 10 minit sebelum dicanai. Lepas tu canai bebola tadi sehingga nipis & masukkan inti.. tutup inti & kelim macam biasa.  Bila dah siap bolehlah digoreng.  Untuk dapatkan karipap yang tak meletop2 kulitnya.. masukkan karipap sebelum minyak panas dengan mengecilkan api.. bila dah masukkan karipap barulah dibesarkan sikit api & gorenglah sehingga perang keemasan. Angkat & tos bolehlah dihidang.

Selamat mencuba!

Thursday, June 8, 2017

Puding Roti Sos Kastard

Assalamualaikum & salam sejahtera...



Sejak berpuasa ni dah 2 kali MaDiHaA buat puding roti. Anak2 yang request jadi ibu pun ikut ajelah selera anak2. Lagipun puding roti ni antara juadah pemanis mulut paling mudah nak sediakan. Balik dari kerja masih sempat nak sediakan. MaDiHaA sediakan puding dahulu, pastu sementara tunggu puding masak terus sediakan sosnya. Bila siap sos terus siap2kan utk masak juadah yang lain pula. Sekarang cuti sekolah adalah kakak Dini menolong sediakan bahan2 untuk masak. Jadi cepatlah sikit kerja. Waktu en. suami kerja shift malam pun dia turut sama tolong di dapur. Kerja yang berat jadi ringan bila sama2 bantu membantu. Alhamdulillah. Tapi nanti bila sekolah dah buka, kakak Dini pun dah balik asrama, mungkin masa agak terhad lebih2 lagi bila suami dah mula kerja shift siang, takdelah sudah geng di dapur sebab dia habis kerja jam 8 malam. Tak taulah masih boleh sediakan pemanis mulut atau tidak. Kita tengoklah nanti macamana. Kalau tak sempat, berbuka ala kadar sajalah. Sediakan mana yang sempat ajelah.

Oklah, jom tengok resepi puding roti yang mudah ni. 



Puding Roti Sos Kastard
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2 Puding (loyang 10")
12 keping roti
3 cawan susu segar
3 biji telur
4 sudu besar gula (kalau suka manis sila tambah lagi)
1 sudu teh esen vanila
3 sudu besar mentega (dicairkan)
kismis secukupnya
coklat chips secukupnya

Bahan2 Sos
1 tin susu cair
1/2 tin air (sukat guna tin susu)
3 sudu besar gula
secubit garam
1 sudu teh esen vanila
3 sudu besar tepong kastard
sedikit pewarna kuning (jika suka)

Cara menyediakan
1. Roti dicarik2 & masukkan ke dalam loyang & ratakan.
2. Dalam bekas, pukul ringan telur menggunakan whisker. Masukkan gula, susu segar, vanila, mentega cair & kacau rata.
3. Tuangkan bancuhan tadi ke atas roti. Tekan2 roti supaya menyerap keseluruhan cecair yang dituang. Biarkan 5 minit.  Taburkan kismis & coklat chip di atas puding.  Sementara tu, panaskan oven suhu 175C.
4. Bakar puding roti sehingga bahagian atas bertukar warna kuning keperangan. Angkat & sejukkan.
5. Sementara tunggu puding masak, sediakan sosnya. Tuangkan susu cair dalam bekas. Sukat air menggunakan tin susu & gunakan air tadi untuk membancuh tepong kastard. Tuangkan ke dalam susu. 
6. Tapiskan ke dalam periuk. Masukkan vanila, gula, garam & sedikit pewarna kuning. Panaskan di atas dapur dengan api sederhana. Kacau sos menggunakan whisker tanpa henti. Biar sehingga sos menjadi pekat. Tutup api & bolehlah digunakan untuk menghidang puding roti.

Selamat mencuba!

Wednesday, June 7, 2017

Daging Pekasam Homemade (Cara Mudah)

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Hari ni MaDiHaA nak kongsi resepi Daging Pekasam dengan kaedah yang mudah sangat. Resepi ni dikongsi oleh sahabat MaDiHaA iaitu bekas kawan sekolah kat dalam whatsapp group sekolah. Terima kasih sangat2 pada Mahpuzah yang sudi kongsi cara2 buat pekasam yang mudah sangat2 ni. Tak perlu tunggu lama, semalaman pun dah boleh dimasak. 




Sebenarnya sebelum MaDiHaA cuba buat pekasam daging ni, dah banyak kali juga MaDiHaA nampak orang menjual pekasam daging ni secara online. Tapi MaDiHaA tak pernah beli pun. Terasa ralat pulak nak beli dengan harga yang ditawarkan tetapi kuantitinya hanya dapat tak seberapa. Nak buat makan sekeluarga pun tak cukup. Dasar kedekut kan? hehehe... Bila dah dapat resepi ni cepat2 buat sendiri. Sesuai sangatlah kita buat untuk masak waktu sahur. Sangat menyelerakan.

Ok jom kita tengok macamana cara membuatnya.  MaDiHaA bagi sukatan agak2 je ye. Ikut citarasa sendiri je tau.

selepas 2 malam diperap



Daging Pekasam Homemade (cara mudah)

Bahan2
700 gm daging ~ dihiris nipis & lebar
3 sudu besar garam halus
2 biji lemon

Cara menyediakan
1. Daging dibersihkan & hiris nipis & lebar. Cuci & tos kering.
2. Susun selapis hirisan daging di dalam bekas yang sesuai yang mempunyai penutup. Taburkan dengan garam sedikit2.
3. Lemon dihiris untuk ambil jusnya. Kemudian perahkan jus lemon di atas lapisan daging tadi. Susun lagi selapis hirisan daging & tabur lagi garam. Kemudian perahkan lagi lemon di atas daging. Hirisan lemon yang diperah tu lapiskan sekali atas daging tadi. Kemudian lapiskan lagi dengan baki hirisan daging. Tabur garam & perah lemon. Buatlah sehingga habis. 
4.Akhir sekali susunkan hirisan lemon yang masih berbaki di atas daging yang terakhir. Tutup bekas & simpan dalam peti sejuk bahagian bawah (bukan dekat sejuk beku tu). 
5. Selepas semalaman atau pun 2 malam kita sudah boleh gunakan daging pekasam untuk dimasak.




Daging Pekasam Goreng
Bahan2
Daging pekasam
Bawang besar atau bawang merah
Cili padi

Cara
1. Ambil daging sebanyak mana yang kita suka. Hiriskan supaya menjadi hirisan daging lebih kecil supaya mudah nak makan. Cuci sekadar perlu & tos.
2. Masukkan sedikit minyak ke dalam kuali. Bila panas masukkan daging. Kacau daging hingga rata & daging akan mengeluarkan air. Biarkan sehingga air daging kering kemudian goreng daging pekasam hingga bertukar jadi warna gelap.
3. Akhir sekali masukkan bawang & cili padi hiris. Gaul rata hingga layu. Bolehlah dihidangkan.

Selamat mencuba!






Friday, June 2, 2017

Laksam

Assalamualaikum & salam sejahtera...



Bila hari2 kena masak kita kaum ibu ni sampai dah tak tau nak masak apa dah kan? Hari2 masak nasi & lauk kadang pun jemu juga. Jika keluarga MaDiHaA, waktu berbuka memang tak makan nasi atau kalau makan pun jarang2 atau hanya nasi goreng sahaja. Jadi MaDiHaA perlu fikir menu selain nasi untuk berbuka. Tapi untuk sahur memang nasilah. 



Dulu2 masa anak masih kecil jika teragak nak berbuka dengan laksam, MaDiHaA beli je kat bazar Ramadan. Tapi sejak anak2 dah besar2 ni, dorang pun dah pandai makan laksam ni sebab MaDiHaA selalu juga masak sendiri. Jadi kalau masak banyak pun memang boleh habis punya. Takdelah orang kata penat2 kita masak, tapi anak2 tak makan. Kalau macam tu kita pun takde mood nak masak. So, memang sesuai sangatlah kalau kita nak jimat & nak sedap, kita masak je sendiri laksam untuk keluarga. Dapatlah kita buat ikut citarasa kita. Cukup lemaknya, cukup terasa ikan pada kuahnya.

Jom MaDiHaA kongsi resepinya...

Laksam
by MaDiHaA aka Ratna




Bahan bahan laksam
3 cawan tepung beras (seeloknya guna cap 3 gajah/ 5 gajah)
1/2 cawan tepung gandum
5 cawan air suam





Cara menyediakan
1.Bancuh semua tepung dengan air hingga rata.  Kemudian tapiskan.  

2. (kaedah microwave) Sapu minyak pada pinggan, tuangkan sedikit adunan tadi dlm pinggan, dan masukan dlm microwave selama 2minit pada suhu 900w.  Bila dah masak tunggu sejuk sebentar baru gulung.
3. (kaedah periuk pengukus)  Pastikan panaskan dulu kukusan.  Sapu minyak masak pada tutup periuk. Masukkan dalam kukusan. Tuangkan adunan & kukus selama 10 minit.
4. Bila dah masak, sejukkan sekejap kemudian, gunakan pisau plastik & kuis2 laksam dari tepi & gulung perlahan2 menggunakan pisau tadi & letakkan dalam pinggan lain. 
5. Boleh terus sambung mengukus dengan menyapu minyak pada tutup periuk tadi tanpa perlu dicuci walaupun ada kesan2 tepong yang melekat. Ulangi cara yang sama sehingga adunan habis.




Bahan-Bahan Ulam & Sambal
Timun -potong halus memanjang
kacang panjang - potong halus
Daun kesum - hiris halus digaul bersama kacang panjang 
Bunga kantan - hiris nipis
taugeh - buang ekor & cuci bersih
limau nipis / limau kasturi

Untuk sambal boleh guna cili kering blend halus (campur air masak sikit je ye) atau boleh juga gunakan cili padi tumbuk halus (Nak tumbuk campur belacan sekali pun boleh)

belacan tambahan jika suka.



Bahan Untuk Kuah
6 ekor Ikan selayang - rebus + garam & asam keping
1 biji kelapa - ambil santan secukupnya
3 keping asam keping
5 ulas bawang merah

1 hiris halia
Sedikit lada hitam tumbuk
Garam secukup rasa

Cara menyediakan 
1. Ikan diambil isinya sahaja dan blend dengan bawang & halia.
2.Campurkan semua bahan2 di atas dan masak atas api sampai mendidih dan pekat. 


Cara menghidang
Potong laksam pendek2. Taburkan ulam2an, perah limau, curahkan kuah dan bubuh sambal belacan. Gaul rata & sedia untuk dinikmati. Jika kurang masin, boleh taburkan sedikit garam ikut selera masing2. Jika suka belacan lebih.. boleh tambah belacan & ratakan belacan dalam kuahnya.

Selamat mencuba!

Thursday, June 1, 2017

Lemak Cili Padi Pisang Muda Dengan Lala

Assalamualaikum & salam sejahtera....

Hari ni dah masuk Ramadan hari ke 6. Sekejap je masa berlalu. Selamat berpuasa MaDiHaA ucapkan pada semua pengunjung setia blog suam2 kuku MaDiHaA ni... hihi....



Hari ni MaDiHaA nak kongsikan resepi yang MaDiHaA masak dua hari sebelum Ramadan. Waktu tu MaDiHaA dapat MC 2 hari sebab sakit mata. Lepas je balik dari klinik sempat singgah pasar besar PJ & beli ikan, lala, pisang muda dan lain2 lagi. Balik rumah terus tung tang tung tang kat dapur. Dapatlah makan tengahari dengan en. suami yang kebetulan kerja shift malam minggu kelmarin. Rindu sangat nak makan masak lemak pisang muda ni apatah lagi bila ternampak mama Hamka iaitu Puan Yatie dok pos kat FB. Dalam sakit2 mata pun sempat gak singgah pasar beli bahan2 untuk masak hari tu... heheh.... Sesuai sangat menu ni dimasak untuk menu berbuka puasa.  Manalah tau kalau2 dah jemu dengan menu sendiri, bolehlah cuba menu kampong macam ni.

Resepinya biasa2 je. Tapi MaDiHaA kongsi jugalah dah nama pun blog masak2 kan... hehehh..



Lemak Cili Padi Pisang Muda Dengan Lala

Bahan2
1 sikat pisang muda ~ disiangkan ikut citarasa
1 kg lala ~ dibersihkan
2 biji kelapa parut ~ ambil santan secukupnya
2 keping asam gelugur
3 keping serai ~ dititik pangkalnya
sedikit serbut kunyit jika perlu
garam secukup rasa

Bahan2 tumbuk halus
25 biji cili padi
6 ulas bawang merah (MaDiHaA guna bawang merah saiz besar)
2 ulas bawang putih
2 inci kunyit hidup

MaDiHaA kupas kulit pisang seperti dalam gambar ni, kulit tu dimasakkan sekali.

Cara menyediakan
1.Masukkan bahan tumbuk ke dalam periuk yang agak besar. Masukkan pisang muda yang siap dipotong. Tapiskan santan ke dalamnya. Masukkan serai, garam serta sedikit serbuk kunyit. Jerang sehingga mendidih. Perlu dikacau selalu supaya santan tidak membuak.
2. Agak2 pisang nampak lembut sedikit terus masukkan lala yang telah dicuci bersih, asam keping. Masak sehingga kuahnya mendidih & lala bertukar warna & terbuka. Bila dah yakin lala sudah masak (apabila kulitnya semua sudah bertukar warna, bolehlan matikan api setelah sesuaikan rasanya.

Selamat mencuba!

Tuesday, May 30, 2017

Keria Gula Melaka @ Gula Nisan Kerek

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Sejak keria gula Melaka dok viral dulu sampailah sekarang belum ada rezeki lagi MaDiHaA nak merasa. Masa pegi Melaka hantar adik ipar kawin dulu pun takde rezeki juga nak beli sebab masa pegi petang tu kedai dah tutup. Pegi esoknya pulak kedai tutuplah pulak hari tu. Dengar khabar nak beli kena beratur panjang. Fuhh... femes betul yer... Mesti sedap sangat tu... Nampak gaya kena buat sendiri ajelah. Memang tak kuasalah kot nak beratur panjang macam tu. Sudahlah kita ni bukan jenis yang kuat berjalan sangat. Nak pegi Melaka pun bermodal. Semata-mata nak makan keria nak kena pegi Melaka rasanya payah nak jadi kenyataan. Kami ni jenis cuti pun setahun sekali. Telan air liur jelah tengok orang tayang kat fb... hehehe...

Untuk tidak kempunan kan diri sendiri, maka MaDiHaA godek2 ajelah sendiri buat kuih keria viral ni untuk berbuka puasa hari ke dua tempohari. Alhamdulillah... sedap seadanya walaupun guna keledek purple campur oren sebab keledek tu je yang jumpa. Gula pulak MaDiHaA guna gula nisan kerek yang jenis nipis tu (yang berbalut dengan daun nipah), bukan gula melaka yang seketul besar tu. Gula kerek tu lagi sedap pada tekak MaDiHaa. Ikut citarasa masing2lah ye...

Jom kita buat sendiri keria viral ni....



Keria Gula Melaka @ Gula Nisan Kerek

Bahan2
900 gm keledek putih (MaDiHaA guna keledek purple 3 ketul & oren 1 ketul)
1 1/2 cawan tepong gandum
2 sudu kecil penuh baking powder
1 sudu kecil garam
1 sudu besar garam untuk rebus keledek
Minyak secukupnya untuk menggoreng

Bahan salut
2 keping gula nissan kerek saiz besar
2/3 cawan air
1 helai daun pandan



Cara2 Menyediakan
1. Keledek dikopek kulit & cuci bersih. Potong saiz kecil supaya cepat empuk. Bersihkan & tos. Rebus dengan air agak2 tenggelam keledek bersama 1 sudu besar garam. 
2. Bila keledek empuk, toskan & masa tengah panas2 tu terus lenyek keledek sehingga hancur.
3. Tunggu suam2 sikit, campur keledek bersama tepong gandum, baking powder & garam. Uli sehingga rata.
4. Bahagikan doh kepada 2 bahagian. Guna papan canai & golekkan doh jadi bentuk silinder panjang anggaran sebesar cawan (ikut saiz keria yg anda suka). Potong kepada beberapa bahagian dengan ketebalan yang sama. Bentukkan doh jadi bentuk tayar & susun atas dulang yang ditabur tepong.
5. Goreng kuih keria hingga masak & toskan. Sejukkan sebentar.
6. Dalam kuali lain, masak air bersama gula kerek & daun pandan sehingga mendidih & gula larut sepenuhnya. Buang balutan mengkuang pada gula kerek tu & kacau sehingga air gula jadi pekat & berambut2 bila kita angkat & tuang. Bila dah dapat kepekatan yang sesuai, masukkan kuih keria tadi & gaul rata. Kecilkan sedikit api dan teruskan mengacau sehingga semua gula tersalut pada kuih. Bila gula hampir2 kering tutupkan api. Bila kuih sejuk nanti gula akan kering sepenuhnya. Untuk pastikan kuih tak melekat2, sentiasa kuis2 kan kuih dari melekat antara satu sama lain & kemudian bolehlah susun ke dalam pinggan hidangan.



Selamat mencuba!

Friday, May 5, 2017

Pulut Dakap

Assalamualaikum & salam sejahtera....



Rindunya dengan blog sendiri! Tuan blog kesibukan yang amat. Tak sempat sangat nak layan blog lantaran wajib tumpukan pada kerja hakiki. Maklumlah nak update blog perlukan sedikit masa untuk transfer gambar, edit gambar (tambah label/watermark), menaip dalam entry. Kalau takde masa yang cukup memang takde idea nak taip apa. Kalau sempat pun, mungkin hanya entry express. Tapi macam tak syok la pulak kalau tak taip apa2. hehehe...


Okla hari ni ada sikit masa terluang. Nak update resepi kesukaan MaDiHaA ni. Kali kedua dalam hidup buat Pulut Dakap ni tau. Nak jadi kuih ni bukannya senang. Sebab utama pastilah kekangan masa. Sebab keduanya kerana tidak cukup bahan. Nak buat Pulut Dakap ni bahan utama paling penting ialah pisang raja! Pisang lain tak boleh & sangat tidak sesuai. Sebabnya? Sebab pisang raja ni bila kita masak ia tidak jadi lembik macam pisang lain. Pisang raja tetap keras & kejung bila dah dimasak. Nak cari pisang raja bukannya senang kat bandar ni. Yang banyak pisang berangan, pisang nipah, pisang nangka atau pisang emas, 40 hari. Pisang raja ni jarang sangat jumpa. 



Ikatan tak berapa kemas.. maklumla pembantu (adik) yg buat.. hehe.. 
MaDiHaA concentrate membungkus je...

Nak jadi cerita dalam hujung bulan lepas MaDiHaA sekeluarga pulang ke kampong MaDiHaA di Keratong. Sempatlah hari Ahad tu kami jalan2 ke pasar tani. Biasa kalau balik memang takde masa nak pegi pasar tani hari Ahad sebab Ahad hari kami nak balik KL semula. Tapi balik tempohari ada sambungan cuti hari Isnin sempena pertabalan Agong. Jadi Ahad tu kami masih free & boleh rileks2 di kampong. Apalagi... jalan2lah kita ke pasar tani. Sedang dok ronda2 tu.. ternampaklah gerai org Kelantan yang jual bermacam2 barang dari Kelate. Serba serbi ada... budu, gula nisse (gula kerek org Tganu panggil), asam jawa thai yang manis2 tu. Ehh.. macam2lah! Serupa macam kita pegi pasar besar Siti Khadijah tulah. Tapi idoklah serba serbi ada... cumanya.. barang2 yang makcik tu jual kebanyakannya semua barang2 dari Kelate ler. Sempatlah MaDiHaA beli gula kerek sebungkus. Pastu tiba2 mata tertancap ke kuih yang dijual. Terus terang biji mata. Wahhh.... ada pulut dakap!! Ada juga tapai pulut & tapai ubi. Tapi itu semua tidak buat MaDiHaA tertarik hati sebab kat KL pun senang jumpa tapai.  Pulut Dakap tu yang lebih menarik perhatian.  Terus MaDiHaA ambil 8 biji. Tak tanya pun harga terus je pilih2. Bila tanya berapa sebiji? Seriyal sutir! Errkkk!! Telan air liur.  Sutir tau.. bukan sepasang atau sedakap! Terkejut la jugak... tapi fikir positif.. owhh.. takpelah mahal sebab kuih ni pun bukan senang nak buat. Pulut mahal, pisang raja pun mahal, harga kelapa pun dah naik sekarang. Cuma yang sedihnya, saiznya alahaii.. kecik molek aje. Pisang tu rasanya dibelah 4 kot... jadi diameter kuihnya comel je. Memang tak puas makan. Tapi takkan nak beli banyak kalau 50sen sebiji oklah jugak.. hehe... Terus ma cakap kita buatlah nanti kaklong, ma pun suka ni. Kat rumah ada pisang raja setandan dah masak. Makanya... esok hari Isnin dalam sibuk2 nak berkemas balik KL... sempatkan diri lagi buat Pulut Dakap ni atas permintaan ma. Buat 2kg pulut terus. Hambek kauu... puas hati!  Diri sendiri pun sebenarnya tak puas juga makan. hehe... Eloklah tu.. anak buat kuih permintaan ma, ma pulak masak sayur batang keladi permintaan anaknya. Puas hati buat sendiri pisangnya MaDiHaA belah 2 je pisang tu, jadi saiz kuihnya agak besar. Sebesar lengan budak yang montel tu tau... puas hati.. hehe..

Jom MaDiHaA share sekali lagi resepi Pulut Dakap ni. Resepi asalnya MaDiHaA ambil dari fotopages Siti Mariam. Sekarang Mariam dah tak aktif berfotopages & rasanya tiada blog. Tapi kami masih berhubung melalui facebook. Terima kasih ye Yam berkongsi resepi.


PULUT DAKAP
Sumber : Mariam
Dicuba oleh : MaDiHaA aka Ratna


Bahan2
500 gm beras pulut ~ cuci bersih & rendam anggaran 2 jam 
1 ½ cawan santan pekat
Pisang raja secukupnya
Garam secukupnya
Gula pasir secukupnya (ikut semanis mana yg kita suka)

Daun pisang secukupnya (dikoyakkan anggaran 7 - 8". Layurkan & dilap bersih)
Tali rafia secukupnya

Dalam gambar ni MaDiHaA buat 2kg pulut tau... sebab tu nampak banyak.




Cara-cara
1. Kukus pulut anggaran 20 ~ 30 minit atau hingga pulut separuh masak & nampak lembut.
2. Sementara tu.. santan pekat dicampur dengan gula & sedikit garam & larutkan hingga terasa lemak manisnya.  Angkat pulut & gaulkan/arong pulut bersama santan hingga rata. (Kalau pulut terlebih masak.. boleh kurangkan santan sebab takut pulut jd terlalu lembik)
3. Sediakan sehelai daun pisang & sudukan pulut di atas daun pisang yang sudah dilayurkan. Tekan2 pulut supaya rata & nipis.  Sebarkan pulut menjadi persegi seperti dalam gambar.

Ini cara2 membungkus masa MaDiHaA pertama kali buat dulu.


4. Pisang yang sudah dibelah dua diletakkan sebelah pisang tadi di atas pulut.
5. Balut pulut menyelubungi pisang seperti membuat pulut panggang. Kemaskan kedua2 belah kiri & kanan dengan menekan2 pulut dengan jari yang basah. (jika jari tak sampai.. boleh potong sedikit hujung daun pisang lebihan dikiri/kanan kemudian barulah ditekan2 pulut yg berada di dalam daun pisang tadi). Bila pulut dah mampat lipat daun pisang kiri & kanan seperti kita membungkus lepat pisang.  
6. Ambil 2 biji pulut yang sudah dibalut, dakapkan kedua2 pulut tadi & ikatkan dengan tali rafia di kedua2 belah kuih seperti dalam gambar.
7. Bila siap membungkus kesemuanya.. bolehlah dikukus pulut dakap selama 30-40 minit dengan api yang serdahana.  Semasa mengukus.. balik2kan pulut dakap supaya masaknya sama rata.


Nota MaDiHaA : Masa pertama kali buat dulu MaDiHaA buat, santan tu tak dicampurkan gula tetapi MaDiHaA salutkan pisang dengan gula sebelum letak atas pulut (ikut cara Mariam).  Menurut Mariam.. pulut tu kalau boleh diratakan nipis2 saja.. barulah sedap.. Tapi MaDiHaA tak reti nak buat nipis2 sangat. Pada pendapat MaDiHaA cara kedua yang MaDiHaA buat sekarang dengan mencampurkan terus gula dalam santan lebih senang nak dikendalikan berbanding salut pisang dengan gula sebab ia agak cerewet & berlengas sikit nak buat kerja. 



Selamat mencuba semua!

Monday, April 3, 2017

Ikan Tumis Serai

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Bila hari2 memasak kadang tu habis idea nak masak apa.  Lauk basah macam2 dah suami dok beli tapi puan isteri kehabisan idea. hehehehe... Penyudahnya puan isteri masak yang mudah2 jelah. Teringat kat lauk ikan tumis serai yang ma selalu masak masa zaman MaDiHaA budak2 dulu. Rasa rindu pulak masakan zaman masih sekolah ni. Masam2, pedas... tentu selera makan. Memang dah lama tak makan & seingat MaDiHaA sejak kahwin tak pernah masak lagi kot. Haishhh.. berbelas tahun dah kawin. Punyalah lama! Akhirnya ia wujud di dapur MaDiHaA. Tak sangka en. suami suka masak yang sempoi2 gini. Oklahlah lain kali boleh ulang lagi bila ada ikan yang sesuai. Selain ikan kembong, selar besar, boleh juga gunakan ikan cermin.... ehh... asalkan ikan kira bolehlah! Kita yang buat dia kan... takde yang mustahil... hehe...

Jom MaDiHaA kongsikan resepinya...





Ikan Tumis Serai
Resepi : MaDiHAa aka Ratna

Bahan2
2 ekor ikan kembong/selar saiz besar
garam & serbuk kunyit
minyak masak
garam secukup rasa
sikit gula (1/2 sudu kecil)
1/2 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu kecil asam jawa + air jadikan pes
air secukupnya (tak perlu byk)

Bahan hiris
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
3 batang serai (kalau serai besar letak 2 je) ~ hiris nipis2
5 biji cili padi ~ hiris atau belah 2
1 cm halia ~ hiris batang mancis

Cara menyediakan
1. Ikan dibersihkan, kelar & lumur garam & serbuk kunyit. Goreng kemudian ketepikan dahulu.
2. Dalam kuali yang sama, kurangkan sikit minyaknya. Tumis bahan2 hiris hingga wangi. Masukkan serbuk kunyit dan kacau rata. Masukkan air asam jawa & air secukupnya untuk kuah.
3. Masukkan garam & gula & bila mendidih masukkan ikan goreng tadi. Gaul mesra & ikut selera masing2 jika suka berkuah boleh lebihkan kuahnya. Jika tak suka.. tak perlu tambah ekstra air.. rasanya garamnya & jika sudah ok, boleh matikan api & hidang.

Selamat mencuba!

Wednesday, March 29, 2017

Mee Kari

Assalamualaikum & salam sejahtera...



Rindu betul nak update blog tapi apakan daya kesibukan kerja hakiki membataskan hobi.. hehehe.... Cuti sekolah pun dah berakhir dan bermulalah rutin seperti sediakala. Bertambah2 sibuk jadinya...



Masa anak2 semua berkumpul kat rumah (ewahhh, macam ramai sangat yang belajar kat luar, padahal sorang je.. hehe) sempatlah MaDiHaA masakkan mee kari ni untuk mereka. Dah lama teringin nak masak, tapi kena tunda hajat dihati sebab kalau anak2 tak lengkap kat rumah terasa ralat pulak. Walaupun menu mee kari ni hanya menu biasa2 je bagi orang lain, tapi bagi MaDiHaA ia satu menu yang istimewa sebab kat rumah kami jarang masak menu2 macam ni. Kebiasaannya hanya masak menu yang ringkas je. Yang tak gunakan banyak bahan2. Hidangan kami memang yang simple2 je, sebab tu bila masakan yang agak istimewa macam ni, rasa tak sampai hati nak dibuat jika tak cukup korum anak2 kat rumah.

Selain mee kari, sempat juga masak bubur jagung (2nd time) khas untuk anakanda sulung 
sebab hari tu masak dia belum balik dari asrama lagi...

Mee kari ni gunakan banyak sangat bahan2 sampingannya tu sebab jarang dimasak. Sekiranya teringin tu memang kena tunggu kakak balik dari asrama barulah masak.  Mee kari MaDiHaA memang takde bubuh seafood bagai seperti udang, kerang dan lain2 sebab anak nombor dua MaDiHaA tu alah pada seafood. Jadi masukkan apa yang dia boleh makan jelah. Janji sedap ditekak kami.
Ok jom kita tengok bahan2nya...





Mee Kari

Bahan2
1 kg mee kuning (dicelur dan toskan)
Taugeh (takde stok pulak)

Sawi (dipotong, cuci, celur & toskan)
4 biji telur (direbus & kopek & belah 2)
Bawang goreng

Cili merah & cili hijau (dihiris)
Limau kasturi (takde stok)

Bahan2 Untuk Kuah
1/2 ekor ayam (potong kecil)
2 peket fish ball

1 peket sederhana tofu pok
5 keping tofu keping goreng
1/2 biji cauliflower (dipotong floret)
2 s/b cili mesin

2 batang serai (diketuk)
3 s/b rempah kari (bancuh dengan air asam jawa jadikan pes)
5 cawan santan..(1 biji kelapa)
minyak
garam

Bahan2 dikisar halus 

5 ulas bawang kecil
2 ulas bawang putih
1 inci halia
1/2 inci lengkuas

Cara menyediakan
1. Panaskan minyak secukupnya dan tumiskan bahan kisar, cili kisar serta serai sehingga wangi dan masak. Masukkan rempah dan kacau sehingga naik minyak.  Masukkan ayam dan kacau rata.

2. Masukkan santan, air asam jawa & biarkan mendidih sambil dikacau sentiasa. Bila mendidih masukkan fish ball, tofu pok serta tofu keping yang sudah dihiris. Bila mendidih masukkan cauliflower & garam secukup rasa.
3. Hidangkan mee bersama2 bahan yang telah dicelur dan bahan yang dihiris. Cedukkan kuah secukupnya. Siap untuk dinikmati.


Selamat mencuba!

Thursday, March 23, 2017

Apam Isabella

Assalamualaikum & salam sejahtera



Selamat bersua kembali. Terasa sekejap pula rasanya cuti sekolah dah hampir nak berlalu. Ibu2 kalau takde idea nak buat kuih apa untuk kudap anak2 cuti sekolah ni bolehlah try buat Apam Isabella ni. Sedap, lembut & gebu mesti anak2 suka. Buat dalam bekas yang comel2 ni.. mesti anak2 seronok makan. Sesuai juga untuk hidangan jamuan hari jadi. Susun2 dalam pinggan hidangan pasti nampak comel je warna warni.

Sebenarnya MaDiHaA dah pernah kongsikan resepi ni dahulu. Tapi tak apalah kita kongsi sekali lagi. Dalam blog ni pun memang banyak resepi ulangan. hehehe.. 

Resepi asal dari Sweet Red Cherry. Terima kasih banyak2 share resepi...



APAM ISABELLA
Sumber : MaDiHaA aka Ratna

BAHAN:
3 cwn tepung gandum } ayak
1 sk baking powder     } bersama
3 biji telur sejuk ( dr peti ais ) (MaDiHaA guna gred A)
2 cwn gula halus (MaDiHaA guna 1 3/4 cawan sj)
1 sm ovallete
1 cwn ice-cream soda ( boleh juga guna sprite )
2 sk esen ros (MaDiHaA guna 1 sudu kecil sj)
pewarna pink

CARA MEMBUATNYA:

- Panaskan kukusan terlebih dahulu.
- Pukul telur, gula halus dan ovallete sehingga kembang dan pekat ( putih ).
- Kemudian masukkan tepung gandum dan baking powder yang telah diayak tadi. Putar lagi.
- Masukkan ice-cream soda dan esen ros. Putar sebati.
- Bahagi aduanan kepada 2 bahagian. 1 bahagian bubuh warna pink. 1 bahagian warna asal.
- Tuang adunan ke dalam acuan / papercup secara selang seli. 
- Kukus selama 20 minit.

* Nota: Api yang digunakan jangan terlalu besar, sedarhana saja.
* Adunan yang aku buat ni menghasilkan 30 biji apam..buat 1/2 adunan jika terlalu banyak.


-Selamat Mencuba-
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...