Showing posts with label Hari Raya. Show all posts
Showing posts with label Hari Raya. Show all posts

Friday, June 22, 2018

Salam Aidilfitri 2018

Assalamualaikum & salam aidilfitri.....





Sempena Syawal yang masih berbaki MaDiHaA dengan rendah hati ingin memohon ampun & maaf kepada semua pembaca blog Dari Dapur MaDiHaA seandainya selama berblog pernah menggunakan bahasa yang kurang enak dibaca, tersilap menulis mahupun termengata tanpa disengajakan atau pun disengajakan.  Semoga kalian semua sudi memaafkan ye.  Salam aidilfitri maaf zahir dan batin dari MaDiHaA sekeluarga buat semua pengunjung blog yang masih setia singgah di blog MaDiHaA yang dah suam2 kuku ni. 

Maaf juga dipinta kerana tak mampu nak aktif berblog seperti dulu2. InsyaAllah bila diberi kesempatan blog ini akan di update dari masa ke semasa.  Salam sayang buat kalian semua...

Friday, October 10, 2014

Aidiladha 2014 kami di Raub, Pahang...

Assalamualaikum & salam sejahtera semua...


Saja je nak kongsikan gambar Aidiladha kami baru2 ni untuk kenang-kenangan.  Raya Haji kali ni giliran beraya di kampung mertua di Raub, Pahang.  Seawal 5 pagi hari Sabtu kami dah bertolak dari PJ.  Sampai Petronas Gombak ngam2 dengar azan Subuh.. jadi sedang elokla isi petrol & solat dulu kat situ.  Sambung perjalanan & melepasi tol Gombak tak sampai pun 10 minit.. jalan dah mula sesak.  Wah! ada pesta lampu brek! hahaha... Masa tu baru pukul 6.30 am.  Wahhh.. rupanya ramai yang bertolak awal pagi.  Okay.. mengadap ajelah jem tak usah banyak komplen.  hehehe...  Tak kisah sangat sebab cuaca pagi kan nyaman.  5 jam lebih juga sampai bandar Raub, perjalanan biasa.. selalunya hanya 2 jam lebih je... Redha jelah... hehe...  Sempat singgah pasaraya TF beli barang2 dapur tambahan yang lain.  Daging, ayam & ikan dah beli siap2 kat PJ.. dah siap frozen.  Sampai Raub masih sejuk cuma dah ilang frozennya... mujur tak busuk.. hehe... Kat TF hanya beli barang2 kering je.  Anak dara MaDiHaA yang kat asrama tu petang Jumaat dia dah balik ke rumah opahnya.  Beli jugalah sekali barang2 kiriman si anak dara untuk bawak ke asrama..




Menu raya kami kali ni.. pandai2 MaDiHaA & suami je berbincang nak masak apa.  Tak tanya pun mak mertua.. hehe.. memang biasa mak serahkan pada kami je nak masak apa kalau giliran kami beraya kat sana.  Tapi kalau raya puasa.. biasanya menu wajib mesti mak mertua buat lemang.  MaDiHaA hanya masak menu tambahan lain je macam rendang, ketupat nasi atau nasi impit dengan kuah kacang.  Bila raya haji ni.. biasanya menu ikut dan  & ikut suka anak menantu dia je.  MaDiHaA dok berangan2 hari tu memang nak masak menu gulai kawah.  Jadinya.. masaklah kami nasi hujan panas, 3 kg gulai kawah daging, 1 1/2 ekor ayam masak merah, 1 1/2 ekor gulai aserong ayam & acar timun.  Alhamdulillah.. laku... nasi sampai kena masak 2 kali... hehe... MaDiHaA hanya masak nasi & gulai kawah je. Ayam masak merah tu adik ipar masak, gulai aserong ayam mertua masak.. acar timun pun mertua yang buat.  Raya haji satu kuih pun takde.. hehehe...



Oklah kongsi sekeping gambar kami dengan family mertua.  Adik ipar yang balik beraya hanya 3 orang aje.  Dua lelaki & sorang perempuan. Tiga2 ni belum berkeluarga lagi.  Ramai lagi adik beradik suami yang tak dapat balik.  Adik ipar yang tinggal sekali dengan mertua pulak giliran beraya rumah mertuanya juga kat Kuantan.. jadi hanya kami je lah yang beraya di Raub.  Gambar ni di ambil sebelum kami semua nak pegi ziarah kubur arwah bapa mertua.  Lepas tu teruslah beraya di rumah adik beradik mak mertua.  Gitulah rutin kami tiap2 tahun.  Petang baru balik rumah.. masa tu baru kami terima tamu sampailah ke malam tamu tak putus....  hehe..


Oleh kerana nak elak dari terkena jem lagi sampai naik kaku kaki suamiku.. Suami ajak balik malam hari raya tu jugak.  Sebenarnya dah masuk hari Isnin la sebab kami bertolak pukul 2 pagi Isnin tu.  Sampai rumah jam 4.30 pagi.  Alhamdulillah.. jalan tak jem tapi kenderaan tetap banyak juga tapi bergerak lancar.

Ok itu jelah cerita raya kami kali ni... serba ringkas je... hingga jumpa lagi ye...

Friday, September 5, 2014

Sembang raya.... suka duka kehidupan...

Assalamualaikum & salam sejahtera...

Buat semua pengunjung blog yang MaDiHaA sayangi semoga kalian semua berada dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya..

Hari ni terasa rajin nak bercerita kat blog ni walaupun sebenarnya entry hari ni berhari2 juga ku perah idea untuk ku siapkan.. hehe.. Bukan senang nak menulis ni tambah pula bila dah lama sangat berehat.  Jadi tanpa membuang masa.. jom layan entry hari ni yang agak berjela2 ni ye!  Hari ni saja nak bercerita kenangan raya kami.  Dah beberapa tahun sambut raya dalam keadaan yang agak suram.  12 tahun yang lalu kami pernah bersedih kerana kehilangan ayahanda tercinta pada tahun 2002 iaitu pd 26 Ramadhan.. kira2 hanya 4 hari lagi nak sambut raya.  Tiada ungkapan yang dapat digambarkan kesedihan kami pada tahun itu.  Siapalah yang tak berasa sedih.. insan yang berpuluh tahun bersama pergi meninggalkan kami buat selama2nya secara mengejut! Pagi masih ke kebun sayur.. kemudian petangnya diserang sakit, esok terus pergi. Hampir dengan hari raya pula tu. Tentu anda boleh bayangkan kesedihan kami ketika itu kan?  Sepuluh tahun selepas itu iaitu tahun 2012 kami diuji lagi dengan dugaan yang sangat besar yang kami sekeluarga harus tempuhi.  Dugaan itu ibarat sebuah bot ditengah lautan yang tiba2 bocor ditembak musuh.  Kami penumpangnya mau tidak mau terpaksa juga cekalkan hati untuk berenang menyelamatkan diri masing2.  Betapa sukarnya untuk selamatkan diri ditengah2 lautan dalam namun alhamdulillah.. setelah penat & letih berenang.. akhirnya kami hampir menemui daratan.  Begitulah beratnya dugaan kami.  Alam nyatanya.. kami bersyukur berkat doa kawan2 & semua yang mengenali kami di alam nyata maupun di alam maya... dugaan tersebut dapat kami lalui dengan tenang.  Sesungguhnya Allah menduga kita mengikut kemampuan hambaNYA & sesungguhnya setiap kejadian itu pasti ada hikmah yang tersembunyi disebaliknya.  Alhamdulillah.. 2 tahun kami lalui saat2 sukar... akhirnya kemanisan & pelangi yang kami dambakan & yang kami impikan hampir sudah menjelma. Semoga selepas ini segalanya yang indah2 belaka.  Tidak mahu lagi rasanya melalui saat2 sedih itu...

Tahun 2013 masih juga kami diuji.. namun ia hanya melibatkan keluarga kecil MaDiHaA sendiri.. sambut raya dengan keadaan suami yang ditimpa kemalangan pada 20 Ramadhan & patah 3 tulang rusuk membuatkan suami tidak dapat menguruskan dirinya sendiri apatah lagi untuk bekerja mahupun memandu kereta!  Akibat dari tulang yang patah itu buatkan suami tak punya kekuatan walau untuk mengelap badannya sendiri.  Nak berbedak, pakai baju pun perlu dibantu.. itupun hanya baju kemeja saja yang boleh dipakai sebab tangan kanannya tidak boleh diangkat, apatah lagi nak angkat barang.  Walaupun diuji.. namum MaDiHaA seronok kerana dapat luangkan masa yang berkualiti dengan suami tercinta.  Apa tidaknya.. dia sentiasa memerlukan MaDiHaA setiap kali nak buat sesuatu.  Dah macam membelai seorang anak kecil.. Nasib baik nak makan tak perlu bersuap sebab suami belajar suap guna tangan kiri menggunakan sudu.. hehe..   Masih teringat waktu itu MaDiHaA menjadi mak supir ke sana sini untuk bawa suami berubat di tabib cina & juga bomoh patah termasuk ke destinasi yang jauh iaitu di kampong MaDiHaA sendiri.  Bila diingat2 semula... macam tak sangka MaDiHaA mampu lalui itu semua.   Lepas memandu balik kampong berubat.. esoknya memandu pula balik kampong suami di Raub untuk sambut raya di sana.  Rupanya.. orang perempuan ni jadi bersemangat waja bila diberi dugaan... padahal.. jika waktu suami sihat.. bergilir memandu pulang ke kampong baru 1 jam pun dah terasa penat.  Tapi bila keadaan terdesak macam tu... langsung tak rasa penat.. Subhanallah.. sesungguhnya.. semangat itu datang daripadaNYA... tiada yang lebih berkuasa selain dari Allah s.w.t. alhamdulillah.. 

Lain pula cerita di tahun 2014 ini.  Mengikut jadual hospital.. suami akan menjalani pembedahan pada 10 Syawal tahun ini kerana masalah tonsilnya yang membengkak atau pembedahan yang lebih dikenali sebagai tonsilectomy.  Masalah yang dah lama beliau alami tapi baru setahun lebih dia dapatkan rawatan di hospital bila MaDiHaA paksa dulu.  Bukan apa.. risau kerana masalah tonsil tu dia juga dikategorikan sebagai pesakit Obstructive Sleep Apnea (OSA) yang agak berisiko kerana boleh membawa maut ketika tidur apabila salur pernafasan tertutup oleh tonsil yang relex/berkeadaan lembek ketika tidor.  Begitu juga ia agak merbahaya ketika pesakit memandu sebab ia boleh terlelap secara tiba2. (sebab tu kerap MaDiHaA jadi co driver tiap kali balik kampong)  Memang betul ajal maut di tangan tuhan.. namun.. tak salah kita berusaha untuk mengelak kejadian buruk dari berlaku betul tak?  Suami admit hospital pada 5hb Ogos dan sepatutnya jalani pembedahan pada 6hb Ogos.. namun kita hanya mampu merancang.. Allah jua yang menentukan.  Oleh kerana pada hari tersebut katil di ICU sudah penuh.. doktor terpaksa batalkan pembedahan kerana tidak mahu mengambil risiko maka pembedahan tersebut terpaksa ditunda ke tarikh lain pula.  Kasihan suami yang sudah berpuasa sehingga ke pukul 1 tengahari baru diberitahu pembedahan tak dapat diteruskan.  

Selain syarat utama wajib ada katil di ICU standby untuk suami.. kami juga diarahkan untuk membeli sebuah CPAP Machine sebelum pembedahan tersebut dapat dijalankan.  Mesin ini wajib ada jika tidak doktor tidak dapat buat pembedahan. Pesakit OSA agak berisiko sekiranya menjalani tonsilectomy tidak seperti pesakit tonsil biasa. Alhamdulillah kami bersyukur kerana layak mendapat bantuan dari Zakat Selangor untuk membeli mesin tersebut yang harganya sangat mahal yang memang tak mampu kami nak adakan dalam masa yang singkat.  Mana mungkin dapat nak adakan RM7800.00 dalam masa beberapa bulan.. terima kasih ya Allah kerana mendengar doa & rintihan kami.  Sebelum dapat bantuan tersebut kami sangat runsing kat manalah nak dapatkan duit begitu banyak.  Syukurlah dipermudahkan urusan kami.. sehingga ke hari ini.. suami masih menunggu panggilan dari pihak hospital untuk tarikh pembedahannya yang tertunda..

Nampaknya tahun 2014 ada sedikit sinar buat kami untuk bergembira di hari raya.  Cuma suami je waktu tu yang agak risau sebab pembedahan belum dibuat.. hehe.. Bagi MaDiHaA pula.. risau tu tetap ada, siapalah tak sayang suami kan.. tapi sudah merasa lega sedikit sebab banyak perkara dapat kami selesaikan sebelum pembedahan dibuat terutama bila CPAP machine yang mahal tu dah berada dalam tangan suami.  Yang penting sekarang.. hanya perlu pastikan suami berada dalam keadaan sihat.. tidak batuk, tidak demam supaya dapat menjalani pembedakan yang akan dihadapinya bila2 masa dari sekarang.  


Aidilfitri 2014 kali ini giliran beraya di kampong MaDiHaA.  Dapatlah berpuasa dengan ma tersayang selama 2 hari sebelum raya. Yang seronok tu sebab boleh request ma masak menu yang dok teringin sangat. Menantu (suamiku) pun sama juga siap minta ma buatkan nasi kerabu... jenuh satu kampong mencari ulam2an.  Sebabkan ada beberapa hari MaDiHaA di kampong sebelum raya.. sempat juga MaDiHaA buat 3 jenis kek iaitu kek buah kukus, kek gula hangus & kek coklat moist.  Sempat juga tolong ma bungkuskan tapai pulut.  

Menu berbuka kami di Ramadan terakhir....
Hari raya pula seronok juga sebab dapat makan masakan ma. Bukan bermakna masakan mertua tu tak sedap.. cuma.. menu yang berbeza tu yang buat kita boleh rindukan air tangan mak di pagi raya jika tak dapat beraya bersama.  Tahun ni kami pilih menu yang berbeza sedikit dari tahun2 sebelumnya iaitu menu nasi dagang Terengganu.  Biasanya menu wajib kami mesti ada lontong berkari, ayam masak merah & juga rendang yang dimakan dengan ketupat nasi & lemang.  Tapi tahun ni tukar ke menu nasi dagang pula.  Sayang tak sempat nak ambil gambar semua menu2 raya disebabkan terlampau sibuk.  Tapi.. menu lontong berkari kami masak juga malam raya tu untuk berbuka puasa sebab banyak sangat permintaan (dari cucu, dari anak).. hahaha.. menu lontong berkari kami hidang waktu berbuka puasa terakhir.. jadi hilanglah rindu kami sebab dapat juga makan lontong berkari sebab menu pagi raya kami ialah nasi dagang.  Lontong berkari ni tak sama dengan lodeh kuah putih atau kuah kuning tu tau... apa yang penting.. inilah menu yang menjadi kegemaran kami sejak dulu.. itu sebabnya boleh rindu bayang bila giliran kami beraya di Raub sebab tak dpt makan lontong berkari tu. Masak sendiri tak sama dengan air tangan mak.  Selain itu ma ada juga menempah beberapa batang lemang utk juadah hari raya. Tapi malam berbuka terakhir tu kami semua dah pun rasmikan lemang tu cicah dengan rendang daging.. haha..

Antara tetamu yang sempat diambil gambar... kawan lama ma berbangsa Cina & asli ni. Mereka memang tiap2 tahun datang beraya rumah kami... bila tiba Tahun Baru Cina.. kami pula berkunjung ke rumah mereka.. hehe..

Kawan sekelas semasa sekolah menengah dapat dengan suami & anak2..


Seronok sangat raya tahun ni sebab tetamu tak putus2 datang berkunjung. Kawan sekolah yang lama tak bertemu pun datang juga.  Kawan2 ma pun ramai yg datang. Sampaikan kami nak bergambar pun tak berapa sempat.. inikan pulak nak snap gambar makanan.. memang tak dan dibuatnya.. hehe..   

Hari raya ke tiga barulah kami sempat ziarah kubur arwah ayahanda tersayang.  Sempatlah kami sama2 membaca yaasin & tahlil buat arwah yang diketuai oleh suamiku.

Marbahan beramai2


Yang buat MaDiHaA paling seronok bila kami semua dapat berkumpul buat mini re-union di rumah seorang kawan pada hari raya ke tiga.  Seronok tak terkata. Pertemuan semula kami selepas 25 tahun.. memang tak cukup nak bersembang 1 hari.. macam2 nak diperkatakan.. hehe.. 
Posing beramai2 dan inilah antara yang dapat hadir... X-SMKK 84 - 88.  

Tak habis di situ.. hari raya ke 4 pula kami ambil peluang untuk beraya ke rumah kawan2 ku & kawan2 suami.  Yang paling tak dapat kami lupakan.. kat rumah kawan MaDiHaA ada bela macam2 pets.. antara yang menarik perhatian kami ialah 2 ekor ular jenis ball phyton yang sangat jinak & manja... hehehe... jom tengok kitorang main2 dengan ular!


First time pegang ular macam ni... sebelum ni hanya sentuh dengan jari je... hehehe..


En. Rozi yang dulu penggeli dengan ular cuba berani2kan diri pegang ular.. alhamdulillah... dah berani pun.. hehehe...
 
Tak lepaskan peluang.. anak sulung MaDiHaA dan adiknya pun ambik peluang juga nak pegang ular.. cuma adiknya Alin je penggeli sangat.. langsung takmau cuba.. hehe..


Begitulah cerita raya kami... setiap tahun ada saja dugaan mendatang setiap kali nak sambut raya.  Nampaknya tahun 2014 ini ada sedikit cahaya kegembiraan buat kami walaupun masih ada yang belum selesai.. namun.. doakanlah segalanya berjalan dengan lancar... mudah2an tahun hadapan tiada lagi dugaan besar buat kami..  amin.. 

Sekian dulu untuk kali ni... terima kasih pada yang sudi luangkan masa di sini ye.. 

Tuesday, August 19, 2014

Salam Aidilfitri dari kami sekeluarga...

Assalamualaikum & Salam Aidilfitri dari kami sekeluarga...


Seperti biasa... tiap kali selepas raya mood untuk update blog merudum... hehe... Hari ni kuatkan semangat sapu2 habuk kat blog sendiri.  Baru sempat edit sekeping dua gambar raya.  Tak sempat nak bergambar sangat.  Memang tiap2 tahun begitu... setiap kali raya samada di rumah sendiri maupun rumah mertua.. sibuk sungguh melayan tetamu yang datang tak putus2... pendek kata.. tangan tak sempat kering mencuci pinggan & gelas... alhamdulillah.. tetamu datang membawa rezeki... kedatangan tetamu itulah yang buatkan hari raya jadi bertambah meriah...


Kepada semua pengunjung blog MaDiHaA.. di kesempatan ini ingin MaDiHaA mohon kemaafan seandainya ada salah & silap dalam patah perkataan yang MaDiHaA tuliskan di blog ini... samada sengaja atau tidak disengajakan.. mohon dimaafkan ye...


Ok cukup dulu untuk kali ini... ada kesempatan & kerajinan nanti bolehlah update resepi pula.  Ada juga beberapa resepi dari juadah berbuka yang tak sempat nak update ke sini.  

Terima kasih sudi berkunjung ke blog MaDiHaA ye..

Monday, October 29, 2012

Rezeki raya.....

Assalamualaikum...

Alhamdulillah dipanjangkan umur & selamat kembali semula dari kampong halaman.. Syukur masih berpeluang untuk mencoret lagi di blog kesayangan ku ini....

Raya korban kami kali ini betul2 sederhana... tiada bertemu dengan rendang maupun ketupat... lontong atau lodeh jauh sekali... alahaii.. kasihan sungguh! Tapi alhamdulillah.. dapat juga merasa lemang, gulai asamrong & laksa penang. Kat rumah mak mertua hanya sempat goreng bihun aje.. itupun biras yang masak.  Kami bertolak dari PJ 1.30 am... ingatkan dah takde jem.. rupa2nya 5 minit lepas bayar tol Gombak jalan dah melekat! Pukul 5 pagi (pagi raya) jugak baru sampai rumah mak.

Hari raya sempatlah berjalan ke rumah makcik & pakcik sebelah suami (walau mata macam takleh nak celik.. hehe) tapi raya kali ini agak kesuntukan masa kerana raya di hari Jumaat.. kaum lelaki nak solat Jumaat pula.. jadi masa tu agak terhad. Ada yang tak sempat nak ziarah tapi tak apalah.. nak buat macamana.. Apapun.. hari raya kedua dapatlah berkumpul semua makcik & pakcik suami sebab sepupu suami ada buat korban seekor lembu. Ada masak2 juga & jemput jemaah masjid bertahlil & makan tengahari kat rumahnya. Macam biasa bila beraya kat rumah mertua memang takde sessi bergambar2... jadi harap maklum!

Yang paling seronok sekali tu.. raya kali ni dapat makan buah kegemaran! Apa lagi kalau bukan buah manggis! Buah2 lain tu tak berapa nak layan sangat... tapi kalau buah manggis tu memang kecik hati wooo kalau orang tak pelawa... hehe... Terima kasih andak & sepupu2 suami yang rajin melayan tolong panjat & petik manggis, langsat & duku.  Walaupun manggis baru je nak belajar2 masak.. tp alhamdulillah dapatlah juga merasa & bawak balik sikit ke PJ. Buah durian belum banyak gugur lagi.. tapi dapatlah merasa juga. Tapi durian bukan buah kesukaan ku.. huhu.. Buah kundang pun tengah lebat berbuah. Dapat gakla makan cicah collek... tapi wrong timinglah sebab tekak tak terasa nak makan asam sangat sebab baru lepas menses.. hehe.. selalunya seminggu sebelum menses yang terasa nak makan asam sangat... sebab tu buah kundang tu aku ambik sikit je bawak balik. Selebihnya bagi kat adik ipar je bawak balik Kajang.. dia kata nak buat jeruk.  Oklah.. cukup dulu merapu pagi2 ni ye... meh tengok apa rezeki raya dari kampong kali ni..

Ada ubi kayu, jering cambah (dalam plastik biru), limau nipis, manggis, duku, langsat (yang bercampur), buah kundang & pisang sematu.  Alhamdulillah.. inilah rezeki raya kami.. & lagi bila balik ke PJ dapat pula kiriman daging korban dari makcik kat PJ ni. Terima kasih semua!

Bertemu lagi!

Wednesday, August 29, 2012

Suka Duka Aidilfitri 2012...

Assalamualaikum...

Bertemu lagi... sana sini rata-rata dah ramai kawan2 yang siarkan gambar raya di blog & FB masing2 kan?  Semuanya meriah dengan pelbagai cerita2 & kenangan raya yang indah2 belaka untuk dikenang... Pun begitu, bagi kami Aidilfitri 2012 kali ini amat terkesan di hati lantaran  rentetan peristiwa Julai 2012.  Walaupun ada sedikit perkembangan yang baik (mungkin) kerana Allah S.W.T mendengar rintihan & doa kami semua.. tapi hati tetap terpalit rasa sedih kerana famili kami tidak lengkap berkumpul pada raya tahun ini.  Mungkin benar kata kawan2... apa pun yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya... Waktu susah beginilah kita akan tersedar & Allah S.W.T tunjukkan kepada kita siapa sebenarnya kawan kita sewaktu menangis & kawan sewaktu ketawa  & waktu susah beginilah juga kita akan kenal yang mana satukah saudara kita yang benar2 mengambil berat terhadap kita sewaktu kita dalam kepayahan.  Hanya Allah S.W.T jua yang dapat membalasnya kepada mereka yang banyak membantu & mengambil berat di kala kami memerlukan.  Sebenarnya.. bukan wang ringgit yang kami dambakan.. sokongan moral pun dah memadai... Tambah2 lagi buat ma tersayang yang sudah tiada bersuami..  Kami adik beradik sedaya upaya cuba membantu agar ma sentiasa berasa kami berada disisinya walau dalam apa keadaan pun.  Satu lagi keajaiban & pengajaran yg kami perolehi... orang yang disangka menyusahkan suatu ketika dulu... rupa2nya dialah orangnya yang paling rapat dengan kami & paling banyak membantu semasa kami diuji walau (bukan wang ringgit) sekadar kudrat & masanya tapi itu adalah satu pengorbanannya yang sangat besar kepada kami.  Hampir sebulan mereka bersama2 menguruskan pelbagai urusan semasa di K.T merapatkan lagi hubungan sesama mereka. Itulah antara hikmahNya...  Syukur ya Allah dengan perkembangan ini sesungguhnya Kau Maha Mendengar lagi Maha Mengasihani hambaMu yang lemah ini! Syukur terhadapMu Ya Rabb..!


Kami sekeluarga... kain yang dibeli & ditempah setelah seminggu berpuasa..  Walaupun tiada mood nak berbaju raya baru.. mengenangkan anak-anak yang dah mula bertanya.. buatlah juga... hanya baju je yang baru.. tudung kami semua recycle! Takde mood nak cari tudung raya..



Exclusive dari kami... heee... (nampak lain muka bila ku tak pakai spek! heee..) 
2 minggu lagi genaplah 13 tahun kami sebagai suami isteri... Alhamdulillah... 
Moga jodoh kami berpanjangan hingga ke syurga.. amin...



Tak dapat berposing 4 beradik... hanya kami bertiga sebagai kenangan...



Keluarga kecil kami... tak lengkap famili kami bergambar kali ni.. 
bergambar mana yang ada jelah... 
(kualiti gambar memang out!)



Cucu2 tokma di hari raya... 3 orang cucu takde dalam gambar... yang sorang dah tidor rasanya (baby lagi) & lagi 2 orang beraya di rumah nenek belah satu lagi...
Punyalah susah nak ambik gambar deme ni semua... yang duduk depan tu semua takleh dok diam.. dahlah maklong ambik gambar pakai handphone je! Ni je sekeping yg elok sikit.. hee...



En. hubby nak bergambar dengan anak & anak2 saudaranya.. tu pun ada yang takde... hehe.. payah betul nak ambik gambar budak2 ni...



Inilah dia menu kami di pagi raya... masak yang mudah je... Lemang & rendang daging tu yang dah disiapkan pada sebelah malamnya lagi.. (siap dihidang utk berbuka lagi 29 Ramadhan tu!) Dan menu2 lain seperti Nasi Minyak, Kari Daging, Ayam Masak Merah & Acar Timun & Nenas semuanya dibuat pada pagi raya.  Fresh2 & panas2 lagi.. hehe...



Plan asalnya pada petang raya pertama kami nak bertolak ke Kuala Terengganu. Tapi kita hanya mampu merancang.. namun Allah S.W.T jua yang menentukan segalanya.. Tak jadi ke K.T sebaliknya haluan kami ke arah selatan iaitu ke Johor Bahru pula.. 
 Tak pernah terdetik di hati bahawa kami akan beraya di JB kerana kami memang tiada saudara di sana! Gambar anak2 ni semasa kami beraya dirumah saudara adik ipar ku Tasya di Ulu Tiram, Johor pada raya ke 2..



Dari Ulu Tiram kami ke rumah seorang lagi saudara Tasya di Kampong Dato' Sulaiman Menteri, Johor Bahru.   Beraya di JB? Memang boleh dijadikan arkib "Hari Ini Dalam Sejarah".. hehe....



Selesai beraya... kami menuju ke destinasi utama kami... destinasi wajib & tujuan utama kami ke Johor.. 



6 buah kereta berkonvoi dari Keratong ke Johor Bahru.. disinilah destinasi akhir kami sebelum kami pulang semula ke Pahang... di sinilah berlakunya 'drama air mata'... Syukur kerana dipermudahkan segala urusan kami.. Puas, lega & bersyukur kerana Allah S.W.T maha mendengar doa kami yang dalam kesusahan... 



Akhir sekali... letak gambar bunga2 orkid tokma yang sedang indah mekar ini....


Sekian...& terima kasih kepada semua yg sudi bertandang...

Monday, August 27, 2012

29 Ramadhan di Kampong ku....

Assalamualaikum...

Dah pun masuk 9 Syawal hari ni kan.... Macamana dengan raya kalian semua? Tentu meriah & gembira kan apatah lagi bila berpeluang menyambutnya bersama seluruh ahli keluarga tersayang di kampong halaman.  Tapi jangan dilupa... ada juga yang disapa hiba & kesedihan pabila ada dikalangan mereka yang kehilangan insan tersayang di saat2 akhir nak menyambut raya... Terimbau kenangan 10 tahun yang lalu pabila kami kehilangan ayahanda tercinta pada 26 Ramadhan... hanya 4 hari lagi nak sambut raya... terasa hari raya pada tahun tersebut tiada ertinya lagi... hanya air mata yang menemani kami semua di pagi raya.... Al-Fatihah buat allayarham Hj. Ismail bin Muda.. semoga arwah ayah ditempatkan di kalangan insan beriman.. amin..

Masih lagi ada sedikit kenangan Ramadhan walau ramai yang dah tayang gambar raya... takpelah kan... buat kenang2an kami.  Alhamdulillah berpeluang berbuka puasa bersama ma & adik2 di kampong pada akhir Ramadhan tahun ini walau ada ahli keluarga yang kurang... kami redha...

Oleh kerana ma nak ubah menu raya tahun ini (biasa wajib ada lontong) jadi untuk berbuka kakak Dini request tokmanya masak lontong... alhamdulillah dapat juga mkn lontong sebelum raya... sebenarnya ibunya pun teringin juga nak makan lontong tokma... bila kakak Dini kecewa tokma taknak masak lontong untuk pagi raya (sebab nak masak menu lain) jadi tokma masaklah untuk berbuka puasa hari terakhir puasa tu.... Bukan apa.. mungkin ma tak sampai hati nak masak lontong sebab menu tu adalah menu kegemaran salah sorang ahli keluarga kami yang tak dapat bersama2 pada pagi raya tahun ini...


Menu berbuka kami pada 29 Ramadhan yang ala2 menu pagi raya......... hee.... Ada ketupat nasi (segera), ada lontong, ada rendang daging cili padi & juga lemang.  Lemang tu ma buat bersama2 dengan kawannya...  Bila dah siap dibahagi dua.. sedap sangat lemang tu.. Lemang ni memang untuk raya tapi kami dah tak sabar nak makan lemang panas2... tak tunggu raya... petang tu dah korbankan 2 batang untuk buka puasa.. hee.... Rendang daging cili padi tu pun menu raya juga... tapi kami dah korban dulu almaklum nak gandingkan dengan lemang tu kan.... hee... Nanti menu raya yang lain update later ye....


Menu dessert pula... angah sempat buat jeli kelapa.  Kebetulan masa aku & en. suami ke belakang rumah untuk kait & kupas kelapa untuk masak menu raya.. aku request en. suami kait kelapa muda sekali untuk buat berbuka puasa... dikaitnya sampai 10 biji! Dah banyak2 tu... tu yang angah nak buat jeli kelapa... memang sedap!! Dapat banyak bila buat sendiri... puas anak2 makan...

Ok.. jumpa lagi ye...

Thursday, August 16, 2012

Salam Aidilfitri buat semua...

Assalamualaikum buat semua kawan2 & para pengunjung blog ini....

Source : 123Greetings.com

Kepada semua pengunjung Dari Dapur MaDiHaA yang tak pernah jemu2 bertandang ke sini MaDiHaA ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri & mohon ampun dan maaf zahir & batin sekiranya ada tutur kata atau tulisan di blog ini mahupun komen2 MaDiHaA di blog kalian yang menyinggung perasaan.  MaDiHaA hanya insan biasa yang kadang-kala alfa dalam setiap perbuatan.  Maafkanlah MaDiHaA ye...

MaDiHaA doakan semoga kalian semua beroleh kebahagiaan di dunia & akhirat & semoga hari raya yang bakal menjelang beberapa hari nanti akan memberi seribu kenangan manis buat semua...

Doakan juga semoga segala urusan MaDiHaA sekeluarga dengan ujian yang kami lalui ini dapat diuruskan & dipermudahkan dengan izin Allah S.W.T. Semoga segala kekusutan akan segera terurai & segala kesedihan bertukar kegembiraan di pagi raya nanti... amin amin ya robbal alamin...

Salam sayang buat semua...


Tuesday, November 8, 2011

Aidiladha 2011 di Keratong, Pahang

Assalamualaikum...

Pagi ni masuk ofis dengan mata yang agak kuyu... Kami sengaja bertolak pulang dari kampong agak lewat malam tadi sebab nak elak daripada jalan jem yang teruk.. Hubby dapat tau dari anak jiran yang bertolak ke KL pukul 4.30 petang.. masih lagi 'melekat' di daerah Negeri Sembilan pada pukul 8 malam.  Terus hubby kata kita bertolak lewat sikitlah.. kalau balik waktu tu (kul 8 mlm) belum tentu lagi boleh lepas ke PJ dalam masa 4 jam. hehee.. Jadi.. dalam pukul 11.30 malam baru kami bertolak.. Alhamdulillah jalan dah tak jem walaupun kenderaan masih banyak di atas jalan raya.  Cuma masa kami tiba di Tanjong Ipoh, Kuala Pilah.. jalan jem sikit disebabkan ada trailer lebar yang membawa muatan yang juga melalui jalan tersebut. Ada dua buah kereta peronda yang menjadi escort kepada trailer lebar tu sebab jalan terpaksa ditutup beberapa kali kepada pengguna jalan raya yang lain kerana memberi laluan kepada trailer lebar yang hampir2 memenuhi kedua2 belah jalan.. punya besor muatan yang dibawa tu.. sampai tak muat untuk kenderaan lain nak lalu bila berselisih dengan kenderaan tersebut. Bila tiba giliran kami melalui jalan tu bila trailer tu berhenti ditepi jalan berhampiran jalan di Istana  Seri Menanti untuk bagi laluan pada pengguna jalan raya.. lepas tu dah takde jem dah... syukur alhamdulillah.. sampai rumah di PJ kira2 pukul 3 pagi.. Oh ya.. malam tadi kami berkonvoi dua kereta dengan Lan adik ipar adik aku Angah.. jadi adalah juga kawan kalau2 kereta buat hal ditengah jalan.. hehe..

Kami bertolak balik ke kampong pun tengahari Sabtu tu sebab nak uruskan beberapa perkara dulu... Pun tersekat dengan jem teruk berhampiran Kuala Pilah... merangkak2 kereta bila melalui jalan baru di Ulu Bendul tu.. mujurlah kereta tak jem sama macam yang kena di Highway Karak tak lama dulu.. almaklumm.. kereta buruk.. haha...Kami bertolak pukul 2.30 petang.. berhenti makan tengahari di Senawang & sampai di kampong pukul 9 malam.  6 jam setengah!! Kebiasaannya kami boleh sampai ke kampong dalam 3 jam setengah hingga 4 jam saja... kasihan ma & Abby kena bersiap semua.. Angah adik aku pula tak dapat balik sebab suaminya bertugas. Masa aku sampai tu.. rendang & kuah kacang dah bertenggek atas dapur.. Ketupat dah siap direbus manakala lemang yang ditempah pun dah siap di ambil. Pepagi  raya esoknya barulah aku tolong ma sikit2 masak kuah lontong berkari & ayam masak merah.. Itupun semua bahan dah disiapkan lebih awal..  ayam dah bergoreng & sayur2 pun dah bersiang.. tinggal ma tumis2 aje.. Aku cuma tolong mesin kelapa & perah santan aje.. hehe..

Oklah.. kat bawah ni yang ma hidangkan pada kami sebaik kami tiba di kampong malam raya tu... Dalam2 ma sibuk buat persiapan raya yang lain.. sempat lagi dia masak macam2 malam tu.. Sedang molek perut pun tengah lapar.. ada pulak mee & bihun yang dimakan dengan sup gear box. Gear box tu ma beli pagi2 tu sekali dengan daging.  (bukan dari lembu korban punya tau sebab masa tu belum raya pun lagi.. hehe..) Selain sup.. ma buat juga pecal... kenyang malam tu menjamu selera... TQ ma & Abby!


Gambar2 yang kat bawah ni pula juadah sarapan pagi kami di pagi raya... Terima kasih ma masakkan lontong berkari tu untuk Kaklong... Memang rindu giler nak makan lontong berkari ma ni sebab masa raya puasa tempohari di  rumah MIL di Raub memang tak jumpa sebarang jenis lontong.  Kat sana yang femes lemang & nasi impit yang dimakan dengan kuah kacang, rendang atau gulai asamrong.. Puas hati dpt makan nasi impit dengan kuah lontong berkari ni.. berulang2 makan.. hehe..
 

Ini ku punya ketupat + kuah lontong berkari... masa ni belum letak lauk2 lain lg.. Actually tak letak lauk lain pun dah best dah sebab dalam kuah lontong tu pun ma ada campur ayam & udang selain sarat dengan pelbagai sayuran.. mmg heaven I tell you!

Ok... puas sudah posingkan makanan dipagi raya... meh layan gambar kanak2 ribena ni di pagi raya... Ini aje yg ada gambarnya.. tu pun Abby yg sempat ambik gambar dorang.. Payah sikit nak ambik gambar budak2 ni... Masing2 payah nak bagi kerjasama.. maklumlah.. masing2 dok sibuk nak main jer..


Dari kiri.. Alin, Betty & Noor... (cucu2 tokma dari 3 ibu yang berbeza.. hehe)


Abang Haziq pun sama payah betul nak diajak bergambar... Kasihan Haziq.. raya kali ni dia tak sihat pulak sebab badannya naik gegata.. sejak pagi Sabtu tu lagi sampai ke pagi tadi pun belum betul2 pulih lagi.. Dia memang alergi tak boleh makan udang.. Malam sebelum blk kg tu ku masak mee adalah campur dengan udang.. terus esoknya badannya naik gegata.. itu yg aku jarang2 nak masak udang sebab kasihan kat dia.. kalau masak kasihan pulak kalau tak bagi dia makan.. bila kita bagi dia makan.. badan dia pulak yang tak tahan.. adeii...


Kenangan di pagi Aidiladha 2011...

Wednesday, September 21, 2011

Jamuan Sempena Aidilfitri 2011 di Kediaman Hamba....

Assalamualaikum....


3 minggu sudah berlalu... terasa janggal pula nak memulakan entry ni bila dah lama menyepikan diri... Tak tau kenapa mood mengupdate tiada sejak2 pulang  beraya dari kg tempohari... Ada masa kadang2 sempat juga melawat blog kawan2... tapi kebanyakannya tak tingalkan jejak sebab segan blog sendiri tidak berupdate.. hehe.. Apa2pun.. hari ni kuatkan semangat untuk mengupdate blog ku ini walaupun tiada siapa yang kisah atau peduli aku update ke tak update.. kehkehkeh... opsss..! ada juga sebenarnya yg bertanya... Thanks ye Lyacolours yg sudi bertanya akak bila nak update blog... ok... akak mulai dengan entry makan2 ni yer... gambar raya memang takde ye dik..

Oklah.. untuk permulaan sesi memanaskan enjin........ aku update gambar2 semasa aku buat jamuan sempena Aidilfitri 2011 secara kecil2an pada 16 September 2011 di rumah kami khas buat sanak saudara yang ada kat Selangor & KL, jiran2 & sahabat handai... Bukan open house yer.. cuma jamuan kecil2an saja yang mampu dibuat.. Terima kasih kepada yang sudi hadir.. 

Oklah.. layan gambar pula yer...

Antara kuih muih & pencuci mulut yang sempat aku sediakan pada hari tersebut...



Kuih serimuka tu pemberian makcik ku.... sedapp!!


Menu utama... Soto Ayam yang menggunakan 3 ekor setengah ayam... Jangan tak tau.. soto ni yang pertama kali ku buat dalam seumur hidup... hehe.. Terima kasih Yatiememories untuk resepi yang sedap ni... Tak sangka jugak berjaya masak soto dengan kuantiti yang agak banyak sedangkan ini cubaan yang pertama.. Berani2kan diri mencuba.. hehe.. Terima kasih juga pada  Izahdaut & Mas yang membuatkan akak terliur bila dengar cerita & gambarnya tu.... hehe..  Cucur udang tu pulak.. hampir 1.5 kg tepong ku bancuh... alhamdulillah.. puas hati tengok tetamu menjamu selera... Terima kasih juga pada abang & kakak Dini yang banyak tolong ibu pada hari kejadian...



Antara tetamu yang hadir... masing2 dah kenyang masa ni.. hehe.. sebenarnya ni sepupu2 & anak2 sepupu ku... ada dari PJ, Cheras & Semenyih... semua berkumpul.. seronok!


Tetamu silih berganti... ini jiran2 pulak.. hehehe... ramai lagi yang datang awal dari ni.. tapi tak sempat nak ambik gambar semuanya terutama masa tetamu memenuhi ruangan rumah... sibuk betul.. tapi seronokkk & meriah...!



Hubby & anak2 bergambar dengan kazen2ku yang paling rapat sekali.....

Adik Alin yang dah pandai bawak diri.... sporting.. tak mengacau ibu masak pun.. alhamdulillah... dapatlah ibu memasak dengan tenang.....

Ok itu saja cerita untuk kali ni..... Terima kasih..

Tuesday, August 30, 2011

Salam Aidilfitri dari MaDiHaA sekeluarga...

Assalamualaikum semua....

Hari ni rasanya dah ramai yang dah berada di kampong halaman masing2.  Tak kurang juga yang masih berada di jalan raya menuju ke destinasi masing2.  Kami masih lagi berada di PJ kerana suami masih lagi kena bertugas 4 petang ni hingga 12 tengah malam nanti.  Cadang2 kami akan bertolak pulang esok ke kampong MIL di Raub. Cuma belum pasti nak balik pukul berapa. Biasanya kami aim sampai bandar Raub dan sempat beli sikit juadah berbuka di bazar Ramadan di sana... maklumlakan.. lain bazar lain jenis2 juadahnya... hehe.. 

Oklah di kesempatan ini MaDiHaA ingin mengucapkan Salam Aidilfitri & Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri buat semua pengunjung di Dapur MaDiHaA ni... Maaf jika ada terkasar bahasa selama berblog atau meninggalkan komen di blog kengkawan ye.  Andai dipanjangkan umur.. bertemu lagi selepas raya nanti.  Tapi tak pastilah kalau2 boleh online dari kampong sebab kat kampong line tak berapa bagus sangat.  

Apa2 pun.. ini adalah sticky post... sila scroll ke bawah untuk n3 seterusnya...


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...