Thursday, February 10, 2011

Roti Poket Tuna


Salam & selamat pagi semua...

Dah breakfast? Tentulah sudah kan? Dah nak masuk ke tengahari pun ha.. hehe... Tapi kalau ada yang belum breakfast.. meh ler brunch dengan Roti Poket Tuna nih yer.. Tapi kena wat sendiri ler... nak pelawa yang ni pun semua dah boliauu... hehe...

Berkenan sangat dengan roti poket ni atau nama sebenar dari empunya resepi iaitu Khairiah dari Resepi.net. gunakan nama Roti Goreng Berinti.   Maaf ye Khairiah sebab saya guna nama Roti Poket sebab tiru nama yang diberi oleh sifu2 yang terlebih dulu mencuba resepi ni sebab rasanya nama Roti Poket lebih glemer & sedap disebut.. hehe.. Ramai dah yang mencuba resepi ni sebenarnya antaranya seperti Mamazieza, MamaFaMi dan Mat Gebu Tiffin Biru (hanya sebahagian yang ku tahu).  Tapi aku je yang terlepas pandang.  Terbaru yang aku baru terperasan mencuba ialah dari Kak Nor Secubit Garam.  Bila 1st time tengok gambar yang Kak Nor tayang.. terus terpikat.. Roti ni aku buat untuk dinner kami hari terakhir sebelum kami pulang ke kampung MIL pada 1hb Februari yang lepas.. Walaupun makan roti ni ajer malam tu.. alhamdulilah.. kenyang adanya sebab ianya sangat seimbang ada roti, tuna & sayuran.  Haa.. sesuai sangatlah untuk orang yang sedang berdiet tu... haha.. Oh ya.. ada yang kompius sapa yang berdiet dalam entry bubur oat aku yang lepas tu rupanya.. Actually.. bukan aku yang berdiet.. tapi.. cik abang yang sedang berdiet sebenarnya walaupun sebenarnya.. saiz wife dia ni yang lebih BESAR.. kikiki... Tapi kira oraitlah.. bila cik abang diet.. secara tak langsung wife dia pun bolehlah ikut juga sikit2...

Ok jom tengok resepi ye.. simple & sangat mudah penyediaannya.. terima kasih Khairiah dengan idea & resepi yang sangat best ni... terima kasih jugak Kak Nor kerana n3 akak yang telah memberi inspirasi untuk saya mencuba...


Roti Poket Tuna by Khariah dari Resipi.net. (resepi asal roti goreng berinti)
Sumber : Kak Nor Secubit Garam

Bahan2:
Roti Gardenia
Serbuk roti
Telur 
Daun salad
Tomato [MaDiHaA tambah]

Bahan2 Inti
Mayonis [MaDiHaA letak 3 ~ 4 sudu besar]
Cream cheese [MaDiHaA tak letak]
Lada sulah / lada hitam [MaDiHaA letak ½ sudu kecil]
Ayam [MaDiHaA gantikan dengan 1 tin tuna dalam air ~ ambil isinya saja)
2 biji scramble egg [MaDiHaA tambah]
Bawang Besar hiris
Cili Benggala potong dadu [suku biji]

Cara2 Menyediakan Roti Poket:
1. Lapiskan dua roti
2. Gelekkan dgn kayu penggelek sampai nipis.. tak der penggelek botol sos pon boleh..
3. Gunakan Acuan bulat (kalau ikut gmbr deme guna tutup thermos, tin pon boleh) utk memotong roti.. [MaDiHaA guna tupperware bulat (bukan tipuware yer.. hehe) yang ngam2 saiz dengan roti ~ kalau tak putus juga roti tu.. boleh gunakan pisau & potong keliling]
4. Celupkan dlm telur kemudian gulingkan dalam serbuk roti n gorengkan hingga kuning keemasan dengan api sederhana. Confirm akan menggelembung.
5. Toskan.


Cara2 Menyediakan Inti:
1. Tumiskan bawang
2. Masukkan cili benggala
3. Masukkan tuna, scrambled egg n lada sulah/lada hitam
4. Masukkan mayonis & Cream cheese [MaDiHaA masukkan mayonis kemudian setelah inti diangkat dari kuali]
5. Kacau2.. rasa.. kalu tak cukup garam tambah lah yer..

Penyudahnya:
1. Potong roti yg telah digoreng kepada dua bahagian dengan menggunakan gunting yang bersih.
2. Letakkan hirisan daun salad & tomato ke dalam poket roti.
3. Masukkan inti yg siap dimasak. Siap untuk dihidangkan sebagai sarapan atau minum petang.


Selamat mencuba!

Wednesday, February 9, 2011

Laksa Johor

Assalamualaikum...

Hampir terlupa bila ku buat laksa ni.  Buat laksa ni sebab ada tamu datang berkunjung.  Kelam kabut dengan anak yang tak berapa sihat masa tu.. ambil gambar pun kelam kabut jugak... sampai lupa nak letak sambal & hiasan yang lain.. hehe...

Oklah.. meh layan laksa Johor ni.  Sebenarnya aku tak pandai sangat masak laksa Johor ni.. resepi kali ni aku ambil dari rumah Kak Zai Dapur Comelku .  Terima kasih kak... izinkan saya copy & paste kat blog saya pulak ye...



Laksa Johor by Kak Zai

Bahan2 :
2 kotak spaghetti
Air secukup nya
sedikit garam

Cara:
1.Panaskan air dalam periuk + sedikit garam dan masukkan spaghetti dan biarkan kembang.
2.Bila dah kembang toskan airnya utk mengelakan ia melekat bolih disiram dgn air paip.

Bahan kuah:
5 ekor ikan kembung/selar/700gm ikan tenggiri- di rebus dan buang tulang (ambil isi saja)
200 gm udang hidup- buang kulit dan direbus
udang kering- rm2.00
50 gm serbuk kari/agak2 kesesuaian rasa
1 sudu besar jintan manis
1 sudu besar jintan putih
2 sudu ketumbar
1 inchi kunyit
1 inchi halia
1 inchi lengkuas
4 batang serai
5 biji bawang kecil
3 biji bawang putih
sepotong belacan
2 biji buah keras
4 cawan santan(2 cawan cair/2 cawan pekat) - atau 2 kotak santan kotak(campur dgn air rebusan ikan)
10 tangkai cili kering/ikut kesesuaian rasa
2 sudu besar kerisik
Sedikit minyak utk menumis
sedikit asam gelugor dan garam secukup rasa

Bahan 2 ulam:
2 btg timun - dibuang empulur dan dimayang bulat
Kacang panjang- jika suka
250 gm taugeh- kalau suka tak perlu dicelur
Daun kesum - dihiris
sedikit daun selasih - dihiris (tak letak)
Limau kasturi
Sambal belacan- cili padi, belacan, garam ditumbuk dan dicampur dgn sedikit air

Cara:
1.Ikan, udang direbus berasingan kemudian dimesin- airnya disimpan utk dicampur dgn kuah
2.Rendam cili kering dlm air panas hingga kembang dan dikisar berasingan.
3.jintan manis dan putih, ketumbar, bwg putih, bwg merah, udang kering, serai, buah keras, belacan, kunyit, lengkuas, halia dikisar halus.
4.Panaskan sedikit minyak untuk menumis cili kering kisar dan bahan2 lain yg dikisar hingga wangi, masukan serbuk kari sehingga naik baunya.
5.Masukkan isi ikan dan isi udang yg dikisar dan gaul rata, kemudian tuangkan santan, kerisik, asam gelugor dan garam.  Kacau hingga mendidih dan pekat dan naik minyak.
6.Sebelum dihidangkan, hias spaghetti dgn ulaman. Hidang bersama kuahnya & sambal belacan. 
Selamat mencuba...

Tuesday, February 8, 2011

Tempahan Lapis Pisang Lagi..

Salam...

Hari ni tak sempat nak pos n3 masakan & resepi.. Agak sibuk sikit sebab hari ni baru je masuk kerja lepas cuti balik kampong sempena Chinese New Year... Just a quick update... aku pos n3 tempahan lapis pisang dari Along Ayu yang dah lama dah sebenarnya ni... tak silap aku.. Along mintak buatkan pada 8 Januari yang lepas.  Ehh.. baru perasan.. hari ni pun 8hb jugak.. jadi maknanya.. dah sebulan ler order nih.. hehehe...

Terima kasih Along sebab masih sudi menempah kuih dengan saya especially kuih lapis pisang ni.  Dah berkali2 Along order lapis pisang ni.. kali ni aku buat kaler hijau kuning plak.. sesekali ubah kaler...

Wednesday, February 2, 2011

Bubur Oats... untuk orang diet.. hehe...

Salam & selamat pagi...

Masak lagi Savoury Oat Porridge yang pernah dimasukkan resepinya dulu kat sini.  Kali ni.. masak khas untuk orang yang sedang berdiet.  Ada orang tu kan... betul2 tengah nak kurangkan berat badan... makan nasi pun sesenduk je.. tapi makan sayur lebih.. hari2  masa sarapan kalau boleh nak makan oats jer.. walhal dulu.. oats ni dia nak pandang pun tak mau.. kekeke.... adalah orang tu........ heeee.... tapi alhamdulillah.. dah nampak hasilnya.. kg pun dah berkurangan dah sikit dari kg yang asal... harap2.. cukup stamina nak jalankan projek kat kg nanti...

Kali ni.. masak bubur oats ni tak letak santan.. kan khas untuk orang diet... lepas tu.. lebur je sayur apa yang ada dalam peti ais tu... sedap jugak tau... kali ni.. guna rolled oats... tak letak terus masa masak.. sebab takmau jadi pekat macam yang pernah aku masak dulu tu.. kali ni masa nak makan barulah letak dalam mangkuk masing2 masa kuahnya masih panas2 tu... sedappp... selain masak bubur macam ni.. aku selalu buat sup sayur campur sekali dengan isi ayam/fish ball/chicken ball atau tofu... (tapi tak pernah amik gambar pun sebab sup sayur biasa2 je) kita tengok berapa lama orang tu boleh tahan dengan menu2 diet macam ni yer...  hmm.. tapi best jugak makan macam ni sebenarnya.. perut pun tak sarat sangat...  Tapi yang takutnya.... balik kampong nanti.. musnahlah diet orang tu nak nak bila mak masak gulai asam rong... heee...

Masukkan sekali lagi resepi bubur yang dah diubai suai sikit yer... Terima kasih pada penyumbang asal resepi ni... tetap sedap walaupun tak letak santan... sangat bagus menu macam ni untuk mereka yang pentingkan kesihatan...


Savoury Oat Porridge by cheritakucheritamu
Dirujuk & diubah suai oleh MaDiHaA

Bahan2

1 cawan rolled oats atau secukupnya
1/2 biji bawang besar ~ didadu
1 ketul dada ayam ~ didadu
3 helai daun kubis panjang ~ dihiris (atau apa2 sayur kesukaan... hanya ada sayur tu je dlm esbox)
1 cm halia ~ dihiris nipis  batang mancis
1 sudu besar rempah kurma/rempah sup
1 kuntum bunga lawang
2 kuntum bunga cengkih
1 batang kecil kulit kayu manis
1 liter air/ santan / susu segar (MaDiHaA guna air sebab resepi utk orang diet...)
1/2 sudu kecil lada hitam ~ ditumbuk 
1/2 sudu kecil halba
garam & gula secukup rasa
1/2 kiub ayam
sedikit minyak zaitun
daun bawang, bawang goreng & ikan bilis goreng utk hiasan & penambah rasa

Cara2 Menyediakannya
1. Panaskan sedikit minyak zaitun.  Tumiskan rempah kulit kayu manis, bunga lawang, cengkih dan halba hingga naik bau. Masukkan bawang & halia kacau2 hingga bawang layu.
2. Masukkan rempah kurma/sup kacau rata. Masukkan air, kiub ayam & isi ayam & biarkan mendidih.
3. Tambahkan lada hitam, gula & garam secukup rasa.  Masukkan sayur kubis panjang & biarkan agak2 lembut & kuahnya secukup rasa terus tutupkan api.
4. Hidangkan panas2 sup ke dalam mangkuk.  Sudukan beberapa sudu rolled oats yang dikehendaki ke dalam kuah sup & biar ia kembang sebentar.  Taburkan daun bawang & bawang goreng atau ikan bilis goreng & bolehlah makan semasa suam2.

Selamat mencuba!

Tuesday, February 1, 2011

Pizza Daging Kari di Hari Lahir Haziq...

Assalamualaikum....

29 Januari yang lepas.. genap 5 tahun usia anak bujangku Haziq... Ibu doakan semoga Haziq menjadi anak yang soleh, berjaya dalam hidup dunia & akhirat.  Masa hari jadi Haziq tempohari.. aku tak buat apa2 kek pun.  Tiba2 rasa macam malas & takde mood pulak nak godek kek sendiri.  Lagipun.. aku tak sempat nak mencari bahan2.  Hari tu pulak.. cik abang kerja macam biasa.. Adik Alin pulak tak berapa sihat sangat... jadi.. rasa tak seronok & tak semangat nak buat apa2 sambutan atau persiapan bila ayah takde kat rumah dengan keadaan anak yang kurang sihat.  Hari tu aku masak macam biasa aje.. cuma petangnya... aku buat pizza untuk minum petang..

Pizza Daging Kari untuk minum petang yang marbeless!

Sedang elok aku tengah siapkan topping untuk pizza.. tiba-tiba je cik abang balik dari kerja.  Selalunya.. abang balik kerja & sampai rumah waktu malam.. Mungkin dia ingat hari tu hari jadi anaknya.. sebab tu dia balik awal.  Jadi.. sedang moleklah boleh minum petang sama2... Bila abang dah ada kat rumah.. barulah rasa seronok sikit.. Aku pun ajak abang pegi cari kek & bungkus sikit makanan & bawa ke rumah makcik.. masa tu sebenarnya dah malam dah pun.. so.. anak2 semua siap mandi semua berbaju tidor aje... sambut besday Haziq simple2 aje kat rumah tokcu nya... auntie2 dorang goreng fries... Kami bawak limau mandarin yang hubby dapat dari tempat kerjanya.. kemudian kami beli kek di Secret Recipes di Amcorp Mall & pegi tapau bihun tomyam & nasi goreng USA di taman selera Old Town.  Jadilah... sambut besday Haziq secara ala kadar... itupun.. Haziq tak kisah langsung pasal kek atau hadiah walaupun dia tau hari tu hari jadi dia.. aku dah biasakan anak2 semua macam tu..  hidup dalam kesederhanaan (spt kata2 dlm profile aku) & ikut kemampuan.. so dorang tak pernah demand itu & ini... syukur alhamdulillah...

Chocolate Banana Cake dari Secret Recipes yang sangat yummy!!

Lepas potong kek.. makan2 sambil borak2.. rasa kenyang & sangat full!   Dah lewat malam kami pun balik rumah.. Esoknya.. abang beli beberapa jenis jajan untuk dimasukkan ke dalam goodies bag untuk diagih2kan kepada kawan2 Haziq di sekolah tadikanya dan di rumah pengasuh Adik Alin yang dulunya abang Haziq pun tinggal di situ..

Oklah.. berbalik pada pizza yang aku buat untuk minum petang tu... resepinya aku ambil dari blog Kak Ummi Zaihadi... Kak Ummi pulak ambik resepinya dari sini.  Masa tengok Kak Ummi tayang pizzanya tu.. terus rasa teringin nak buat pizza versi kari yang belum pernah buat lagi sebelumnya.  Kak Ummi ada ubah sikit2 dari resepi asal.. begitu jugaklah  dengan aku ikut apa bahan yang ada dalam simpanan.  Terima kasih Kak Ummi.. Sangat2 yummy pizza tu makan waktu suam2 tu... even bila dah sejuk pun still sedap jugak.. hehe.. ada lebih sekeping.. panaskan esok paginya utk abang bersarapan sebelum pergi kerja.. kekeke...

Ok... ini resepinya kalau ada yang ingin mencuba... C&P dari Kak Ummi (ada tokok tambah sikit) mintak halal ye kak... Terima kasih!


Pizza Daging Kari by nibbledish.com
Dirujuk & diubahsuai : MaDiHaA

Bahan (Doh Pizza):-

    2 cawan tepung (MaDiHaA guna tepong gandum)
    1 sudu besar yis kering (mauripan)
    1/8 sudu kecil garam
    1 sudu besar gula kastor
    1 sudu besar susu tepong (MaDiHaA tambah)
    1/2 cawan air suam
    2 sudu besar minyak zaitun

Bahan Inti:-

    100 gm daging kisar (*akak letak 200 gm ~ MaDiHaA pun sama)
    1 sudu besar bawang cincang (*akak guna 1 biji bawang besar ~ MaDiHaA pun follow gak.. )
    1 sudu besar serbuk kari daging (*akak guna 2 sudu besar ~ ikut sama jugak )
    1/4 sudu kecil serbuk jintan manis
    1/4 sudu kecil serbuk ketumbar
    2 sudu besar minyak (*akak guna minyak zaitun ~ ikut sama jugak)
    1 biji tomato masak ~ dipotong kiub (MaDiHaA tambah)
    1/2 cawan air (MaDiHaA tambah)
      garam secukupnya & 1 sudu kecil gula (MaDiHaA tambah)

Bahan Lain:-

1/2 cawan sos pasta (akak marinate jek sos tomato, sos cili, puri tomato dan tomato cincang - ikut citarasa sendiri ~ MaDiHaA guna 2 sudu besar sos tomato + 2 sudu besar sos cili)
1/2 cawan parutan mozarella cheese (*akak guna lebih ~ MaDiHaA pun letak lebih gak)
1/2 biji cili capsicum hijau ~ dipotong kiub (MaDiHaA tambah)
Cara Membuat:-

1. UNTUK DOH: (*akak masukkan kesemua bahan dalam Bread Maker mengikut turutan, bahan cecair dahulu, baru diletakkan bahan-bahan kering. Jauhkan garam dengan yis sebelum mula mengadun, nnt terbantut yis nak kembang) Tekan ON dan biar doh diuli, dan bila siap uli akak hanya biarkan doh naik lebih kurang 20 minit sahaja. Keluarkan dari BM dan letakkan di atas papan pencanai yang ditabur sedikit tepung. Canai dengan rolling pin biar jadi bulat dan rata. Letakkan di atas loyang pizza ukuran 10 inci.  (MaDiHaA biarkan kira2 15  ~ 20 minit atau hingga nampak base tu naik sikit)

2. UNTUK INTI: Panaskan minyak, tumiskan bawang hingga kekuningan, masukkan rempah kari, jintan manis & ketumbar kacau sebentar dan masukkan daging kisar serta air. Masukkan garam & gula dan kacau hingga daging masak dan sedikit kering. Sebelum diangkat, masukkan tomato yang didadu & kacau rata. Angkat dan sejukkan.
3. Ratakan sos pizza di atas doh, (lihat nota) kemudian letakkan inti daging tadi dan ratakan.   Aturkan cili capsicum di serata permukaan pizza.
4. Kemudian taburkan parutan mozarella cheese dan bakar dalam oven yang telah dipanaskan terlebih dahulu pada suhu 190C selama 10 minit. Hidangkan panas2 suam dan drizzle dengan sos cili kegemaran.
Nota MaDiHaA : Selepas doh yang dicanai dibiarkan naik sedikit.. MaDiHaA bakar base pizza selama 5 minit.  Keluarkan dari oven & cucuk2 sikit base pizza dengan garfu.  Sapu dengan sos kemudian tabur nipis mozarella cheese  sebelum diletakkan inti daging sehingga rata.  Aturkan cili capsicum & akhir sekali barulah taburkan mozarella cheese tebal2 menutupi inti. Kemudian barulah dibakar selama 10 minit dengan suhu 190C.


Selamat mencuba!

Monday, January 31, 2011

Asam Pedas Ikan Tenggiri


Salam...

Rasanya.. dah berbulan jugak gambar asam pedas ikan tenggiri ni dok dalam folder... buat gara2 terliurkan asam pedas yang Hana tayang dulu... sampaikan nampak Hana dah tayang asam pedasnya kali kedua barulah teringat kat gambar asam pedas ku ini.. hehe..   Asam pedas ikan tenggiri ni dah yang kedua yang aku masak sepanjang tempoh dua bulan ni..  Puas makan sambil hirup kuah asam pedas ni.. hehe.. Sebenarnya.. kat rumah jarang2 masak asam pedas sebab bukan kegemaran cik abang.  Tu yang bila datang teringin nak makan asam pedas dah tak kira abang suka ke tak... masak jugak.. ! Siap aku usik2 lagi cik abang bila dia tanya masak apa mlm ni.. aku jawap.. 'masak lauk feberet abanglah... asam pedas'! Abang jawab 'Allahuakbarrr.....' hehehehe.... teruk betul wife dia ni kan? Takper.. asam pedas masih boleh dimaafkan lagi.. abang masih makan jugak.. tapi kalau masak tomyam.. langsung tak disentuhnya!

Resepi macam resepi asam pedas orang lain jugak kot... khas untuk rujukan anak2 nanti...

Asam Pedas Ikan Tenggiri by MaDiHaA

Bahan2
3 ~ 4 keping ikan tenggiri ~ bersihkan (ku punya ikan besar sangat.. so suruh org pasar kerat dua bg setiap keping)
secekak daun kesum
10 biji bendi ~ cuci bersih & tos JANGAN KERAT LAGI supaya tak berlendir!
2 batang serai ~ diketuk
4 cawan air atau secukupnya (agak2 je tu.. lupa nak sukat.. pekat cair ikut suka masing2)
garam secukup rasa
perasa jika suka
1 sudu kecil gula
2 sudu besar asam jawa ~ diramas dengan air ambil jusnya
1 ½ senduk sedang minyak masak

Bahan2 diKisar Halus
1 biji bawang besar
4 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup/1 sudu kecil kunyit serbuk
1 inci halia
2 hirisan lengkuas
6 sudu besar cili kisar/ 20 biji cili kering ~ direbus hingga lembut
1 inci belacan (1" x 1")

Cara2 Memasak
1. Panaskan minyak masak. Tumiskan bahan2 kisar & serai sehingga wangi & terbit minyak.  Masukkan air, air asam jawa & biar hingga mendidih.
2. Masukkan ikan, garam, perasa serta gula & masak sekejap. Kemudian masukkan daun kesum.  Masa ni barulah kerat pangkal kacang bendi dan terus masukkan ke dalam kuah & renih sehingga nampak bendi lembut. Biarkan secukup rasa & bolehlah dihidang. 


Selamat memasak!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...