Tuesday, January 28, 2014

Apam Polkadot, Ladybug & Karipap Tempahan... alhamdulillah...

Assalamualaikum & salam sejahtera.....


Setelah sebulan menutup tempahan untuk sementara waktu bagi menumpukan persiapan persekolahan anak-anak & beriadah bersama keluarga semasa cuti sekolah yang lalu... MaDiHaA dihujani dengan permintaan atau tempahan apam polkadot & apam ladybug dari peminat2nya yang masih setia.  Syukur alhamdulillah... masih ada peminat rupanya apam beraneka filling ni.  Terima kasih pada semua customer yang order  & yang mengulang tempahan ya. 



Apam polkadot atau ladybug ni memang sesuai sangat dihidangkan untuk majlis harijadi anak2 sebab ianya comel!  Sesuai juga dijadikan buah tangan bila nak pulang ke kampong atau ke rumah sahabat handai atau keluarga terdekat.  Tak kurang juga yang minta untuk dijadikan hantaran pertunangan.  Syukur alhamdulillah.. dulunya apam inilah yang paling malas sekali MaDiHaA nak mencuba resepinya semasa di awal kemunculan kerana memikirkan betapa cerewetnya nak buat dot-dot tu... tak sangka pula sekarang ianya menjadi salah satu punca pendapatan sampingan MaDiHaA.  Walaupun untung tak seberapa & kerjanya remeh.. MaDiHaA tetap bersyukur dengan rezeki dariNYA.  MaDiHaA tak pandai nak buat dessert2 hebat macam orang lain.. jadi kita buatlah apa yang kita mampu.  Bak kata orang.. ukur baju di badan sendiri.. Ehh! sesuai ke peribahasa ni..?  Belasah ajelah.. hehehe...


Pelbagai warna & aneka filling menjadi pilihan customer.  MaDiHaA ikut saja permintaan mereka.  Buat masa sekarang.. filling coklat mendapat sambutan hangat selain blueberry & strawberry.


Corak ladybug yang paling mendapat sambutan kerana ianya sangat comel!


Buat apam polkadot atau ladybug ini ada cabarannya yang tersendiri.  Adunan mesti dipukul sehingga betul2 gebu kalau tidak.. apam tak berapa nak membukit.  Semasa mengukus pula kena pandai jaga apinya tak boleh terlalu kuat & tak boleh terlalu kecil.  Jika tak betul apinya.. apam boleh rosak.  Rosak dalam ertikata tak elok untuk dijual.  Untuk makan sendiri memang tak jadi masalah.  Kalau api kuat apam boleh merekah & kembang setaman, api tersilap kecil apam akan mendap pula.  Kalau jadi macam tu.. jawapnya kenalah bancuh adunan yang baru.... tapi kadang kala jika waktu dah suntuk sebab buat dah lewat malam.. terpaksalah MaDiHaA bagi juga ke customer jika ada merekah sikit2 macam apam kat atas tu.  Harap customer tak marah ye... harap halalkan apa yang terkurang.


Dari peminat ladybug... walau untuk makan2 je... masih nak kan corak ladybug yang comel ni.. hehehe... Terima kasih Kak Maz yang rajin menempah.  Rajin pula tolong tempahkan untuk rakan2 sepejabat.  Bukan setakat tolong tempah (call/sms) tapi siap tolong ambilkan & bawakan ke pejabatnya sebab kebetulan rupa2nya.. Kak Maz tinggal setempat dengan rumah MaDiHaA cuma blok apartment je lain2...  TQ very much kak...


Kat atas ni pula tempahan dari Puan Nik untuk majlis di rumahnya.  125 apam polkadot, 125 apam ladybug & 100 baby polkadot.  Untuk baby polkadot tiada inti di dalamnya.  Terima kasih Nik sudi order dengan akak.  

Ini apam polkadot saiz biasa yang MaDiHaA jual...

dan ini pula baby polkadot.  Nampak macam sama je saiznya kan..? Tapi sebenarnya saiznya sangat berbeza... sila lihat gambar di bawah..

Perbezaan saiz apam polkadot saiz normal yang MaDiHaA jual & saiz baby... 

Kat sini lebih jelas lagi saiznya.... MaDiHaA bandingkan dengan telur ayam gred A.  
Dengan ini.. MaDiHaA buka tempahan apam baby polkadot jika ada yang sukakan apam saiz baby ni ye.  Minimum order 100 biji.  Jika berminat bolehlah call atau sms MaDiHaA nombor telefon yang tertera di sebelah kanan blog ini.


Dan terakhir.. produk baru MaDiHaA.. 100 biji karipap kentang order dari customer.  Jika ada yang nak mencuba.. sila2lah ye.  


NOTA MaDiHaA: Kepada yang berminat membuat tempahan... sila order awal sekurang2nya 4 ~ 5 hari untuk tempahan kuih muih.  Untuk tempahan pulut kuning pula.. sila tempah seawal 2 minggu.  

Terima kasih!

Sambal Tumis Telur Puyuh

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Anak-anak teringin nak makan telur puyuh bila mereka selalu nampak MaDiHaA beli telur puyuh untuk deko2 pulut kuning tempahan.  Setiap kali mendeko pulut kuning jika ada telur puyuh lebih.. anak akan makan telur puyuh rebus tu dengan kicap.  Ada sekali tu.. sengaja MaDiHaA beli lebih telur puyuh untuk dibuat sambal tumis.  Sesekali sedap juga layan menu sempoi macam ni.  Ada hidangan sayur ada ikan masin pun dah mencukupi bagi kami sekeluarga.  Tak perlulah nak bermewah2 sangat... janji kenyang syukur alhamdulillah... 
 
 
 
Sambal Tumis Telur Puyuh
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
24 biji telur puyuh ~ rebus & kopek kulitnya
1 sudu kecil asam jawa ~ jadikan jus campur dgn sikit air
2 senduk nasi cili kisar
1 biji bawang besar, hiris bulat
Garam dan gula secukup rasa

Bahan kisar/tumbuk
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci belacan

Cara menyediakan
  1. Telur digoreng hingga kuning sedikit, angkat dan toskan. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan kisar hingga wangi, masukkan cili kisar & masak hingga terbit minyak, guna api sederhana dan kacau sentiasa.
  2. Masukkan air asam jawa dan tambah garam & gula secukup rasa.  Jka suka boleh masukkan serbuk perasa sikit.  Masak hingga pekat. Tambah bawang besar dan telur puyuh yang sudah digoreng. Gaul rata, biar hingga bawang layu. Rasa dan jika rasanya ok bolehlah padamkan api & hidang.
Selamat memasak!

Monday, January 27, 2014

Ayam Goreng Kunyit dengan Sugar Snap Peas & Capsicum

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Ayam merupakan sajian kegemaran anak2.  Hairan sungguh mereka tu macam tak pernah jemu pulak makan ayam.  Kadang2 bila kerap sangat masak ayam sampai tak tahu dah nak masak apa.  Resepi yang diambil dari blog kawan2 kadang2 tak boleh nak cuba sebab kadang2 tak cukup bahan.  Bila dah buntu tak tau nak masak apa... inilah resepi yang biasa MaDiHaA masak.  Lauk 2 in 1 macam ni memang memudahkan kerja di dapur bagi ibu2 yang bekerja.  Apa tidaknya.. semua main lebur je dalam satu kuali.  Lagipun.. ia tak memerlukan bahan2 yang pelik.. semua bahan2 basic je.  Sayur2 yang dicampur tu pulak.. boleh aje ditukar2 dengan jenis sayur yang sesuai seperti brocoli, cauliflower, carrot & sebagainya.

Jom semak resepi sempoi ni..



Ayam Goreng Kunyit dengan Sugar Snap Peas & Capsicum
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
1/2 ekor ayam ~ dipotong saiz kecil & bersihkan (MaDiHaA buang kulit ayam setiap kali sebelum memasak)
garam & serbuk kunyit
1/2 biji capsicum merah ~ potong dadu
1/2 biji capsicum hijau ~ potong dadu
1 pek sugar snap peas (boleh juga guna snow peas jenis peas yg nipis tu) ~ buang hujung & pangkalnya
1/2 cawan air
Garam
Minyak masak secukupnya


Bahan tumis
1 labu bawang besar ~ dimayang memanjang
2 ulas bawang putih ~ dihiris
2 inci halia ~ dihiris nipis atau hiris btg mancis

Cara menyediakan
1. Ayam digaul garam & serbuk kunyit.  Goreng ayam hingga masak, tetapi jangan terlalu garing. Ketepikan dahulu.
2. Dalam kuali yang lain, panaskan sedikit minyak & tumiskan bahan tumis hingga naik bau. Masukkan 1 sudu kecil serbuk kunyit & sedikit garam. Masukan 1/2 cawan air, capsicum & sugar snap peas & kacau sebentar.
3. Masukkan ayam goreng & kacau rata.  Rasakan garamnya & jika dah terasa garam bolehlah matikan api & hidangkan.

Selamat mencuba!


Saturday, January 25, 2014

Mee Goreng

Assalamualaikum & selamat berhujung minggu...



Sarapan apa pagi ni kawan2? Hari ni sesetengah sekolah ada sekolah ganti kan? Sekolah anak MaDiHaA kat sini pun sama juga.. Tapi hari ni MaDiHaA tak kerja.  Sabtu & Ahad memang hari cuti... cuma.. minggu ni tidak sibuk seperti minggu2 yang lalu yang sentiasa sibuk dengan tempahan kuih muih.. so hari ni bolehlah rehat2kan diri sikit.. hehe.. Cadangnya hari ni nak pegi cari kain sikit untuk buat blouse labuh anak dara kat asrama tu... pagi semalam lepas subuh anak dara dah telefon minta buatkan lagi baju labuh sebab dia kena pakai tu untuk latihan bola jaring nanti.  Kalau ada rezeki masuk MASISUPA tahun ni memang nak kena pakai blouse labuh.  Katanya tahun ni acara sukan tu berlangsung kat sekolah lain.. jadi dia takutlah pulak baju & seluar track dia yg hanya ada 2 helai tak sempat basuh.. maklumlah berkampong kat sekolah lain, bimbang hilang pun ye jugak.. hehe.. hmm.. takperlah kakak.. janji kakak aktif kat sekolah tu.. apa2pun ibu & ayah akan berusaha untuk dapatkan apa keperluan kakak. Ibu doakan kejayaan pasukan bola jaring SMAAFBT sama seperti tahun lepas.. khabarnya jadi juara.  Infonya ada kat SINI.. terselit jugak wajah anak dara ku dlm blog cikgunya.. hehe...

Hari ni takde menu special... hanya kongsi resepi mee goreng saja.. hehe... takpelah kan daripada blog tak berupdate... resepi ini khas untuk adik2 yang baru berjinak2 nak belajar memasak.. Untuk ibu2 yang dah handal memasak tu.. buat2 tak nampak jelah ye.. hehe... malu la pulak.. resepi sempoi je ni.. Ini memang sarapan kegemaran anak2 MaDiHaA ni..



Mee Goreng
Resepi : MaDiHaA a.k.a Ratna  

Bahan2
900 gm mee kuning ~ dilerai2kan & cuci sikit & toskan
1 bungkus kecil bebola ikan ~ dipotong 2
4 ekor sotong ~ dipotong2 (nak tambah lain2 lauk pun boleh aje.. adjust sendiri bahan perasanya ya)
suku biji kobis saiz besar (1 tapisan penuh) ~ dihiris halus (boleh juga nak ganti dengan taugeh & boleh juga nak campurkan kobis dengan sawi.. pilihan di tangan anda..)
1 batang carrot ~ disagat kasar
2 sudu besar kicap manis
3 sudu besar sos tiram
2 sudu besar sos cili
garam secukup rasa
2 biji telur
½ cawan air
2 ulas bawang putih ~ diketuk & cincang
6 sudu besar penuh bawang & cili kisar (yang terdiri dari bawang besar, bawang putih & cili kering)

Cara2 menyediakan
1. Panaskan minyak masak lalu tumiskan bawang putih ketuk hingga wangi kemudian masukkan bahan2 kisar hingga wangi & pecah minyak.  
2. Masukkan bebola ikan & sotong.  Kacau2 kejap then pecahkan telur.  Biarkan telur beku sikit then barulah dibalikkan. Bila telur masak sepenuhnya barulah dipotong2kan telur dengan sudip.  Tujuan supaya telur jadi berketul2 sikit & tak bercampur dengan bahan tumisan kalau dikacau2 terus.
3. Masukkan air, kobis & carrot (kalau guna taugeh.. letak taugeh last sekali). Kacau rata. Masukkan kicap manis, sos tiram, sos cili & sedikit garam.  Akhir sekali masukkan mee yang dilerai2kan dan gaul sebati. 

Nota MaDiHaA : Jika guna sayur yg sedikit (ada orang tak suka letak sayur banyak2 sebab anak2 tak suka makan sayur) jadi sila kurangkan sendiri kuantiti garam ye sebab takut mee akan jadi masin pula.  MaDiHaA suka sayur lebih jadi sukatan yang MaDiHaA bagi ni sudah berpadanan.

Selamat bersarapan...

Friday, January 24, 2014

Bun Inti Coklat

Assalamualaikum & salam sejahtera....




Pagi Jumaat yang sangat mendamaikan... Kebelakangan ini cuaca pagi2 begitu sejuk sekali... Kasihan kat anak2 nak mandi pagi untuk ke sekolah sehingga menggigil2 dibuatnya. Kat rumah kami memang tak ada water heater.. selalunya takdelah sejuk sangat nak mandi pagi.  Tapi kebelakangan ni cuaca sejuk sungguh.  Bukan hanya anak2 je yang kesejukan mandi pagi... orang tua macam MaDiHaA yang banyak lemak ni pun boleh gigil... hehehe...

Bila badan dah sejuk tu... kenalah panaskan badan sikit barulah terasa lega kan?  Minum teh O panas bersama2 dengan bun berintikan coklat ni.. memang sesuailah sangat.  Untuk anak2 pula kita sediakan 2 mug milo suam.. kalau panas karang anak2 tak nak minum pulak.. hehehe...



Masih menggunakan resepi roti basic yang masih sama iaitu dari Puan Roshayati Johari yang memang a keeper... roti ni memang lembut sangat2.. setakat ni.. inilah resepi roti percuma yang terbaik.  Kalau resepi terbaik yang berbayar tu.. MaDiHaA memang tak adalah ye sebab tak pernah lagi ikuti mana2 kelas roti.  Jadi setakat ni.. inilah resepi yang terbaik yang ada dalam simpanan MaDiHaA.  Boleh diolah menjadi apa saja roti kegemaran.  Jom MaDiHaA kongsikan sekali lagi resepinya.  Resepi terbaik tak salah kita kongsi berkali2 kan?  Mana tau ada yang belum simpan lagi resepi ni.. meh kita sama2 buat roti sendiri.. jimat sikit duit belanja tak perlu nak beli roti kat kedai bakeri yang semakin hari semakin mahal harganya.  Moga pahala akan berterusan kepada empunya resepi bila setiap kali orang mengguna pakai resepi ni... insyaAllah... perkongsian yang ikhlas pasti ada ganjarannya...

Kali ni MaDiHaA uli roti menggunakan heavy duty mixer. selalunya guna breadmaker (BM). Tapi kali ni malas pulak nak keluarkan BM. Memang senang kerja ada pembantu.. tuan jadi semakin pemalas sekarang.. semua kerja suruh pembantu yang buat.. hehehe... Takpelah kan.. beli tak digunakan buat apa kan? Kalau nak simpan lebih baik simpan kat kedai aje.. duit pun tak abis.  Alang2 barang dah ada kita pergunakanlah.. Ok dah.. jom salin resepi pulak..



Bun Inti Coklat/Chocolate Filling Bun 

BASIC BREAD RECIPE  Source : Roshayati Johari
Tried by: MaDiHaA aka Ratna
(boleh dapat anggaran 18 ~ 20 biji bun untuk resepi ini)

Ingredients :

(A)
500g bread flour/high protein flour
100g sugar
1 teaspoon salt
30g milk powder
1 teaspoon bread improver (optional)
1 teaspoon bread softener (optional)
4 teaspoons instant dry yeast

(B)
250ml water
1 egg (lightly beaten)

(C)
40g butter
40g shortening

Method :
1. Mix well all ingredients in (A)
2. Add (B) into (A) and knead till smooth.
3. Add (C) and continue kneading till smooth and shiny and dough does not stick to your hand.
4. Leave to prove for 30 - 40 minutes.
5. Punch down the dough to let the air out.
6. Divide the dough according to the weight you wish. Make into balls and leave to rest for 10 minutes.
7. Shape accordingly.
8. Leave to prove for 40 minutes - 1 hour.
9. Preheat oven 180C. Bake till golden brown. (about 15 minutes)




Untuk membuat inti coklat boleh rujuk resepi di bawah ini ye.



CHOCOLATE FILLING/ INTI COKLAT
sumber: Anna Qawina
sumber : K.Nor@SecubitGaram & MaDiHaA aka Ratna
 
Bahan-bahan :
250ml susu sejat
180ml air suam
125gm gula halus atau gula kastor..boleh tambah sedikit jika nak manis (MaDiHaA guna gula 180 gm)
60gram mentega
60gram serbuk koko
40gram tepung jagung
1 sudu teh esen vanilla

Cara-cara :
Campurkan susu, koko, air suam dan tepung jagung. Kacau & tapis kedalam bekas berisi gula.

Kacau dan pekatkan diatas api..guna api perlahan
Kacau sampai pekat
Campurkan mentega dan esen
Kacau sebati dan tutup api..sejukkan. Bolehlah gunakan untuk inti bun kita tadi.


Selamat mencuba!
 

Thursday, January 23, 2014

Pulut Lemak Kukus Berserunding

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Orang Pantai Timur & Orang Utara memang biasa makan pulut tanak pagi2 kan? Dulu MaDiHaA ingatkan orang belah2 Terengganu je yang bersarapan dengan pulut campur kelapa parut yang sedikit muda yang digaul garam & gula dan juga dimakan dengan ikan kering goreng atau ikan rebus goreng...  (orang Tganu panggil pulut gaul nyor) rupanya orang Utara pun sama jugak.  hehe... Yelah.. manalah MaDiHaA tau sebab MaDiHaA tak pernah sampai lagi ke Utara nun.... Dapat tau pun bila bersahabat di alam cyber ni barulah tau bila ada rakan yang berkongsi gambar makanan yang biasa dimasak di kampong mereka.  Dari situ barulah tau makanan tradisi orang kampong kat dua buah negeri ni ada persamaan. hehehe...



Tapi hari ni bukan nak kongsi sarapan pulut gaul nyor tu ye... sebab kali ni tekak teringin nak makan pulut lemak dengan serunding.  Oppss! Serunding ni bukanlah serunding yang MaDiHaA buat sendiri.. tapi yang diorder online.  Serunding inilah juga yang MaDiHaA gunakan untuk deko pulut kuning tempahan.  Jika ada yang nak order serunding bolehlah order dari Kak Zue ye.  InsyaAllah.. pasti akan berpuas hati.  Serunding ayam atau daging dari Kak Zue ni sangat istimewa kerana didatangkan khas dari Kampong Laut, Kelantan.  Serunding yang cukup terkenal kerana keenakkannya.  Sebab tulah MaDiHaA gunakan serunding ini untuk mendeko pulut kuning yang customer order sebab serunding ini sangat sedap ditekak MaDiHaA. MaDiHaA pernah makan serunding keluaran dari Kelantan juga tetapi agak terganggu dengan kehadiran rempah2 ketumbar & jintan yang agak kasar.  Bila tergigit tu rasa kurang sedap.  Tapi serunding dari Kak Zue ni takde masalah tersebut sebab memang tak jumpa pun rempah2 kasar tu.  Pendek kata memang sedaplah!  Terdapat juga serunding ikan jika nak buat pulut panggang boleh saja gunakan serunding ikan tu.  Jika nak order klik je FB beliau & bolehlah order terus & Kak Zue Taukey Serunding akan pos kan terus ke alamat anda.  MaDiHaA sekadar berkongsi info ye.. tidak mendapat apa2 bayaran atau royalti pun ye.. sekadar tolong promote saja.. mana tau ada yang nak bisnes popia mini atau popia reben untuk raya nanti... tak perlu susah2 nak keluar rumah untuk membeli... serunding boleh terus diposkan ke rumah anda... hehehe...

Oklah.. Jom layan Pulut Lemak Kukus Berserunding ni.. sedap! Tak cukup serundingnya.. cicah je serunding tu byk mana yg suka.. hehehe.. Dalam gambar tu sekadar untuk gambar je tu.. hakikatnya.. bila nak makan dicicah2 serunding banyak2.. barulah sedap.. hehe..



Pulut Lemak Kukus Berserunding
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
600 gm beras pulut ~ cuci bersih & rendam 4 jam
Santan pekat secukupnya (anggaran 120 ml) (campurkan santan pekat dgn sedikit garam & larutkan)
Sedikit garam
 
Cara menyediakan
1. Panaskan periuk kukusan.  Tos beras pulut yang direndam & masukkan dalam pengukus yang dialas dengan kain net (supaya beras tak jatuh melalui lubang). Jika tiada boleh alas kukusan dengan daun pisang.  Kukus lebih kurang 20 minit atau hingga beras nampak masak.
2. Angkat pulut tadi masukkan dalam satu bekas.  Arung pulut dengan santan pekat bergaram hingga rata.  Kukus sekali lagi sehingga pulut masak.
3. Sedia dihidangkan dengan serunding atau pun sambil bilis ikut kesukaan anda.

Selamat bersarapan!

Wednesday, January 22, 2014

Easy Banana Muffins



Assalamualaikum & salam sejahtera...


Baru2 ni nampak MamaFaMi pos resepi Mafin Pisang Mudah atau Easy Banana Muffins... terus terberkenan nak buat juga.  Lagipun.. kat rumah memang ada baki beberapa biji pisang berangan yang adik bagi iaitu pisang yang dibawa balik dari kampong.  Masa MaDiHaA ambil pisang tu kat rumah adik waktu ambil baju sekolah tempahan yang adik jahit, pisang tu masih hijau.. Bila dah masak.. sedap pula dimakan mentah hingga tak terlintas pun nak dibuat kuih atau kek.  Tapi bila pisang dah last2 tu.. dah kurang laku sebab terlampau masak sangat... jadi berbakilah beberapa biji.  Tu yang dapat dibuat muffin ni... Kebetulan hari MaDiHaA buat muffin ni esoknya anak dara dari asrama nak balik.. dapatlah juga dia merasa & dapat bawa balik ke asrama sebiji yang gedabak ni.. hehe.. Kenyang tau dapat sebiji ni sebab saiz muffin ni agak besar juga..
 Terima kasih mama kongsi resepi mudah ni ye.  Rasanya pun not bad... sedap!  Kalau dah 'antu pisang' memanglah apa2 berkaitan pisang tak pernah nak kata tak sedap... hihi...  Muffin ni muffin yang sihat sebab ada whole wheat flour di dalamnya... kaya serat u all!  kebetulan MaDiHaA memang ada stok tepong tu... kalau u all takde tepong tu boleh je gantikan dengan tepong gandum macam MamaFaMi buat.. pun jadi jugak..
 Kalau ada pisang tak terusik tu.. apakata olah jadikan muffin pulak.. jom cuba!

EASY BANANA MUFFINS Posted by MamaFaMi
Source : Easter Bunny via
Allrecipes
Dicuba oleh : MaDiHaA aka Ratna
Ingredients :
3/4 cup all-purpose flour
3/4 cup whole wheat flour
1 teaspoon baking powder
1 teaspoon baking soda
1/2 teaspoon salt
4 bananas, mashed
1/2 cup castor sugar (MaDiHaA used 1/4 cup)
1/4 cup brown sugar
1/3 cup canola oil
1 egg
Vanilla essence (I added) (MaDiHaA added too..)

Method :
1. Preheat oven to 170 C. Arrange the papercups on a baking tray.
2. Sift the dry ingredients into a bowl. I sifted trice. Set aside.
3. Mix bananas, white and brown sugar, canola oil, vanilla essence and egg together in a separate large bowl.
4. Fold in the dry ingredients into the banana mixture until just incorporated. Scoop batter into prepared muffin cups, 3/4 full.
5. Sprinkle with some chocolate chips.
6. Bake in the preheated oven until muffins spring back when lightly tapped in the middle, 20 to 25 minutes.

Selamat mencuba!

p/s: Sorry malas nak translate ke BM. 

Tuesday, January 21, 2014

Kari Ikan Gaya Goa



Assalamualaikum & salam sejahtera...

Resepi ni dah lama berlegar2 di kalangan blogger.  Cuma MaDiHaA je yang belum terbuka hati nak mencuba.  Baru2 ni suami ada beli seekor ikan gerut.  Terus terlintas nak masak Kari Gaya Goa ni... 

Rasa kari yang lain dari kari biasa.. nak tau kenalah cuba sendiri ye... Terima kasih Yatie yang akak copy resepi dari blog Yatie, terima kasih juga Mat Gebu yang berkongsi resepi asal dari Chef Wan.  Yang membuatkan MaDiHaA terliur bila CT Zaliedana yang mengwar2kan kesedapan kari ni di Facebook tempohari... itu yg terus rasa nak cuba juga tu.. hehe...
KARI IKAN GAYA GOA

Sumber : Yatie Memories
BAHAN-BAHANNYA

  • 600 gram ikan tenggiri- Yatie guna 4 keping isi ikan kachi dan sekeping kepala-di belah 2 (MaDiHaA guna seekor ikan gerut dipotong 4 bahagian)
  • 3 biji tomato* (MaDiHaA guna 2 biji)
  • 3 biji cili hijau*
  • 3 camca besar serbuk ketumbar*
  • 3 camca besar serbuk jintan putih*
  • 2 camca teh serbuk kunyit*(*dikisar halus)
  • 2 biji bawang besar, dicincang
  • 3 ulas bawang putih, dicincang
  • 1 inci halia, dicincang
  • 1/2 camca besar biji sawi
  • 4 camca besar cili kisar
  • 500 ml santan (mat guna 200 ml santan + 300 ml air) (MaDiHaA lebihkan sikit)
  • 1/2 cawan jus asam jawa
  • 2 biji tomato, belah 3 setiap satu
  • 3 biji cili hijau (MaDiHaA tambah)
  • 1 tangkai daun kari
  • Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMBUATNYA :-

  1. Panaskan minyak dalam periuk, Tumis bawang besar, bawang putih, halia, daun kari dan biji sawi hingga harum.
  2.  Masukkan bahan kisar halus, cili kisar dan tumis hingga terbit minyak, guna api kecil dan kacau selalu.
  3. Tuang sedikit air, kemudian tambah santan, kacau rata. Bila mendidih, masukkan ikan dan jus asam jawa & cili hijau. Kacau perlahan. Tambah garam secukup rasa dan sedikit gula.
  4.  Masukkan tomato, dan masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi, roti, lempeng atau roti prata...
Selamat mencuba!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...