Sunday, July 31, 2011

Sambal Berapi Ikan Rohu

 Assalamualaikum....

Jarang2 dapat update blog dari rumah... rasanya... antara rumah dengan ofis... lagi sibuk kat rumah.. sebab tu jarang2 dpt on lappy & update dari rumah... ginilah jadi surirumah yg bekerja.. bila berada di rumah.. masa banyak dihabiskan dengan semua kerja2 rumah yang patut dibereskan...

Oklah.. orang dah nak tidor.. barulah sempat on lappy... update resepi sempoi jer.. tp ini yang buat makan bertambah2... sampai berair2 idung kakak Dini dok layan sambal berapi ni... tapi makan tetap makan.. hehe.. Sapa2 yang kuat makan pedas harus cuba masak gini... kaw kaw!  Sebenarnya aku masak pedas2 gini sebab ada ikan rohu yang en. abang beli... nak mkn goreng gitu jer tak selera pulak.. almaklum.. ikan air tawar ni.. kalau tak kena cara masak.. rasa lain macam sikit.. so aku pun buatlah sambal pedas2 gini.. barulah syok melayan... Ikan rohu ni bertulang... kena hati2 masa makannya...



Sambal Berapi Ikan Rohu
Bahan2

4 ~ 5 keping ikan rohu (atau apa2 ikan pun boleh)
garam & serbuk kunyit 
air asam jawa (untuk rendam ikan)
1 btg serai ~ dititik
1 keping asam gelugur
garam, aji & gula secukupnya
Minyak masak 
Sedikit air

Bahan2 tumbuk halus
35 biji cilipadi (campur merah & hijau)
3 biji cili merah
2 inci kunyit hidup
7 ~ 8 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih

Cara menyediakan
1. Ikan dicuci bersih kemudian direndam dgn air asam jawa selama 15 minit. Cuci & tos. Gaul bersama garam & kunyit lalu digoreng garing.
2. Panaskan minyak secukupnya.. tumis bahan2 tumbuk serta serai sehingga agak garing & terbit minyak. Masukkan sedikit air, asam gelugur, garam, gula & aji. Biar secukup rasa.
3. Masukkan ikan & gaul rata. Bolehlah dihidang. Memang berapi!


Kakak Dini komplen kurang sambal... takper2 nanti ibu buat lagi & lebihkan cili...



Yang ni buat lagi & lebihkan lagi cilinya... bertambah berapi!


Ini 2nd time masak... lebihkan sikit cilinya... kaw kaw berapi...

Selamat mencuba!

Selamat berpuasa kepada semua muslimin & muslimat... semoga segala ibadat kita diterimaNYA.. Amin...

Thursday, July 28, 2011

Apam Dot Dot Versi LADYBIRD.... ComeLnyaaa!!

Assalamualaikum & salam sejahtera....

Diam tak diam... tinggal beberapa hari saja kita semua akan melangkah masuk ke bulan Ramadhan Al-Mubarak.  Ini bermakna... semua umat Islam di seluruh dunia akan menunaikan rukun Islam yang ke tiga iaitu menunaikan ibadah puasa.  Terasa begitu cepatnya masa berlalu... hari demi hari, bulan berganti bulan dan kini kita akan bertemu lagi dengan bulan yang penuh barakah... Syukur alhamdulillah kerana  sehingga kini Allah S.W.T. masih memanjangkan umur kita dan semoga masih sempat menunaikan ibadah puasa pada tahun ini sehingga habis.  Semoga kita semua diberikan kesihatan yang baik sentiasa agar dapat menunaikan ibadah puasa dan juga ibadah2 lain yang disunatkan.... amin.  
 
Sebenarnya setiap kali masuk bulan Ramadhan.. hati ku sering merasa sayu kerana ada peristiwa yang sangat sedih berlaku pada Ramadhan kira-kira 9 tahun yang lalu.  Arwah ayah  kembali ke rahmatullah pada 26 Ramadhan 1423H bersamaan 1 Disember 2002 kira2 hanya tinggal 4 hari saja lagi untuk kita menyambut Syawal.  Hati mana yang tak sedih...?  Hati mana yang tak sayu bila ayah yang dalam keadaan sihat2.. yang tiap2 hari pergi menjenguk kebun sayurnya.. tiba2 pergi meninggalkan kami secara tiba2.. Raya kami pada tahun itu & tahun seterusnya umpama bukan raya kerana tiap kali tiba masanya.. hati kami pasti terusik.  Ada cerita yang lebih terusik hati jika nak ku ceritakan secara detail di sini. Tapi biarlah kami saja yang tau.  Kami semua redha dengan ketentuan Ilahi kerana itu semua kehendakNYA juga. Hatiku puas kerana arwah ayah sempat memakai 2 helai kemeja yang ku belikan utknya khas untuk hari raya pada tahun tersebut. Walaupun pada awalnya ma merasa pelik dengan perangai ayah yang awal2 dah pakai baju yang aku berikan padanya khas untuk hari raya.. tapi  kini.. kami sudah mendapat jawapannya mengapa ayah berbuat begitu.. mungkin dia tahu yang dia takkan sempat menyarungkannya di hari raya nanti... Ma juga merasa puas hati kerana sempat masakkan makanan kegemaran ayah iaitu bubur chacha (guna tepong buat sendiri) dengan sup sawi + calong (bebola ikan home made) dua hari sebelum ayah pergi meninggalkan kami.  Selepas ayah pergi.. rasanya bertahun2 juga ma tak masak sup sawi + calong.. mungkin kerana dia tahu itu makanan feberet arwah.. hingga dia tak sanggup nak masak bila arwah dah takde.. Untuk arwah ayahku Ismail bin Muda.. Al-Fatihah...


Oklah kita tutup kisah sedih.. kita teruskan pula dengan entry hari ni yer.. Maaflah kepada pembaca semua yer sebab awal2 keluar cerita sedih pulak.. Oklah.. kali ni kita buka cerita happy pulak yer.. Dengan hati yang sangat teruja aku masukkan entry Apam Ladybird yang sangat comel ni.  Sebenarnya.. dah lama aku simpan resepi Apam Dot Dot yang aku ambil dari blog Hana Memories.  Tapi entah kenapa seperti tiada seru yang memanggil2 aku untuk mencubanya walaupun resepinya dah berkurun ku print.  Di sana sini kawan2 buat apam dot dot... tapi aku buat derkk jer walaupun suka tengok hasil apam dot dot  kawan2 yang comel tu.. Memang suka melihatnya.... tapi buatnya tak jugak! Hingga sampai satu hari.. anak sulungku Dini dok bawak balik apam dot dot yang dia beli dengan kawannya di sekolah.. hehehe.. 5 biji dengan harga 50sen. Murah betul! Tapi apamnya tu saiznya memang comel ajelah..agak2 besar syiling 50sen kot atau besar sikit gitu.  But pada aku still sangat murah.. siap dipek dalam bekas plastik 4 segi tu lagi.. ada untung ke?  Rasanya.. adalah 3 atau 4 kali jugak Dini bawak balik & share dengan adik2nya.  Masa tengok Dini bawak balik kat adik2 dia tu.. dalam hati aku pun terdetik macam nak buat jugak apam dot dot tu sebab nampak anak2 suka (kecuali Haziq) Lagipun.. bila dah tengok depan mata tu rasa mcm teringin pulak nak mencuba.. hehehe...

Dalam pada nak buat tu.. tup2.. kazenku Ida Marlida dok menayang Apam Versi Ladybird yang dia buat... Wahhh!! Bertambah terujalah aku!!! Cute sungguh!!! Rasa macam tak sabar2 pulak aku nak membuatnya walaupun sebenarnya aku tak tau macamana nak membuatnya.. hehehe... Terus tanya Ida macamana nak buat corak ladybird yang comel tu..... So dengan keinginan yg membuak2.. aku & Ida set kan satu masa yang sesuai untuk belajar buat apam lady bird tu. Tempat yang kami pilih kat mana lagi kalau bukan tempat feberet kami untuk melepak iaitu di rumah makcik kamilah!  Hahaha... Jadi selain aku jadi anak murid.. 2 anak dara makcik pun sama2 jadi anak murid pada hari tu.  Enjoy betul..!  Apalagi bila tengok ladybird yang sangat cumel itu.. Terima kasihlah Ida yer.. sudi jadi cikgu kami semua... hehehe..

Oh ya.. sebelum tu.. Ida ada bagitau yang dia tengok kat Kongsi Resepi cara2 nak corakkan ladybird tu.. Masa tu aku memang tak sempat nak cari sebab agak sibuk sikit.  Lepas dah belajar dengan Ida baru2 ni.. barulah aku sempat korek2 asal usul dari mana idea membuat corak ladybird ni.. siapalah orangnya yang sangat kretif tu yer? Korek punya korek.. cari punya cari.. maka terjumpalah kat blog Nuri @bakery2embroidery cara2 membuatnya.  Menurut Nuri.. Idea membuat dot-dot menjadi ladybird ni adalah idea dari Fadilah Mazlan.  Maka dengan ini.. akak nak berterima kasih kepada mereka2 ini semua yang telah mencetuskan & memberikan idea yang sangat kreatif ini yer.. Terima kasih pada penyumbang resepi & terima kasih juga kepada penyumbang idea membuat ladybird yg cute itu yer.. Akak mintak halal letakkan ilmu yang akak timba dari korang semua kat blog akak pula. Mana tau anak2 akak nak mencuba di masa akan datang.. (dorang semua seronok tengok kejadiah apam ni).. & mana tau ada antara adik2 atau kakak yang juga nak mencuba.. jadi dipersilakan yer..

Ok jom semua kita tengok macamana cara nak mencorakkan ladybird yang sangat cute dimata ku ini....


Apam Ladybird
Adaptasi dari resepi : Lilydvalley
Sumber : Hana Memories, Nuri,& Ida Marlida  
Ditulis & edit semula secara detail : MaDiHaA a.k.a Ratna
Idea Kreatif Lukis Ladybird : Fadilah Mazlan


Bahan-bahan Apam
    * 3 biji telur - dari peti sejuk (MaDiHaA guna gred A)
    * 275 gm tepung gandum
    * 220 gm gula halus – (MaDiHaA guna 170 gm)
    * 150 gm susu segar
    * 3 sudu teh baking powder
    * 1 sudu kecil ovallete
    * 1 sudu kecil esen vanilla (MaDiHaA tambah)



Lain2 bahan
    * Filling blueberry / strawberry secukupnya (masukkan ke dalam piping bag)
    * Pewarna hitam & merah
    * Nozel bulat ~ untuk picit dot dot hitam (nozel yg biasa guna utk menulis semasa deco kek) (kalau takde boleh juga.. cuma perlu pastikan gunting muncung piping beg utk warna hitam dengan lubang yg kecil saja supaya dpt membuat dot dot hitam yg halus terutama utk bahagian mata ladybird)
    *Acuan lompang atau acuan yg sesuai untuk menampung paperliner.
    *Paperliner atau mangkuk kertas saiz yg sesuai dengan acuan yg anda gunakan.
    * Piping beg atau plastik bersih yang sesuai.

Cara-cara Menyediakan

1. Masukkan semua bahan2 apam ke dalam mangkuk mixer dan pukul kelajuan maxima selama 6 - 8 minit sehingga adunan menjadi putih & gebu.
2. Ambil 1 ½ sudu besar & masukkan dalam piping beg kecil & ikat kemas. Gunting halus muncungnya apabila nak digunakan.
3. Ambil lagi 3 sudu besar adunan & warnakan dengan pewarna hitam & masukkan dalam pipig beg kecil yang dimasukkan nozel bulat terlebih dulu & kemudian ikat kemas piping beg dengan getah.  Gunting muncungnya apabila nak digunakan.
4. Adunan selebihnya diwarnakan dengan pewarna merah hingga mendapat warna merah yang disukai.  Masukkan adunan yg diwarnakan ke dalam piping beg besar atau plastik bersih yang sesuai & sedia utk digunakan.
5. Seterusnya.. susunkan acuan kertas/paperliner di dalam acuan yg sesuai.  Picitkan sedikit adunan merah ke dalam mangkuk kertas tadi hingga separuh ketinggian acuan kertas tadi.
6. Picitkan filling kesukaan anda secukupnya. (tak perlu byk sebab jika terlalu byk ia berat & akan mendap ke bawah!)
7. Picitkan lagi adunan warna merah sehingga ¾ penuh.
8. Gunakan pula piping beg adunan warna hitam & picit 2 garisan seperti dalam gambar. Satu garisan mesti berada ditengah2 diameter apam & satu lagi garisan buat sedikit ke tepi utk dapatkan bentuk kepala ladybird.  Penuhkan bahagian kepala ladybird yg kecil sedikit tu dengan adunan warna hitam. (sila rujuk gambar)

9. Dot dotkan bahagian badan ladybird di kiri & kanannya dengan beberapa dot dot berwarna hitam yang halus (sebab tu MaDiHaA syorkan menggunakan nozel bulat halus utk piping beg warna hitam ni ~ hasil tunjuk ajar dari sifu Ida Marlida.. hehe..).

10. Gunakan piping beg adunan warna putih tadi & dotkan mata ladybird. Dotkan pula warna hitam ditengah2 dot warna putih tadi untuk mendapatkan mata ladybird yang lebih menyerlah.

11. Kukus didalam kukusan yang telah dipanaskan terlebih dahulu selama 10-15 minit dengan api yang sederhana kecil (jangan terlampau kecil ye). (tempoh mengukus bergantung saiz apam anda) Pastikan juga balut penutup pengukus dengan kain yang sesuai supaya wap tak jatuh ke atas apam.

Nota dari Hana : jangan gunakan api yang besar kerana ini akan membuatkan apam merekah. TQ Hana untuk petua tu yer..
Nota dari MaDiHaA : jangan gunakan api yang terlalu kecil kerana akan membuatkan apam terbantut & tak mau naik.


Ini 'ladybirds' hasil tangan sendiri selepas mengikuti kelas dengan Ida.. hehe...

Hasil ladybirds selepas dikukus... comel kan? ini hasil dari kelas... warna agak pudar... 
terlupa bawak pewarna merah.. hehe..

Ladybirds hasil tangan sendiri... so cute!!  Don't you think so?

Ok semua... selamat mencuba!

Wednesday, July 27, 2011

Tauhu Sos Masam Manis

Assalamualaikum...

Hari ni ku masukkan resepi ringkas2 saja yer.  Tak boleh nak membebel panjang.. ada kerja yang menanti.  Tauhu ni sebenarnya memang salah satu makanan feberet.  Tak kisah di masak bagaimana pun.. semua aku suka.  Malah kalau digoreng kosong & dicicah dengan cili kicap pun sodapp!! Apa lagi dijadikan bahan campuran dalam rojak atau pecal... memang makan tak hengat!

Oklah untuk resepi hari ni... jom layan resepi Tauhu Sos Masam Manis ni yer.... resepi ringkas yang boleh digandingkan bersama2 dengan lauk pauk yang lain sebagai menu tambahan..


Tauhu Sos Masam Manis
Resepi : MaDiHaA a.k.a Ratna

Bahan-bahan
5 ketul tauhu ~ dipotong 2 & goreng separa garing & tos
3 sudu besar cili kisar
1 labu bawang besar - dipotong bulat
3 sb sos cili
2 sb sos tomato
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa
Minyak untuk menumis
Sedikit air
Daun bawang ~ optional

Bahan2 Kisar
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1cm halia

Cara2 Menyediakan
1. Panaskan minyak dalam kuali kemudian tumiskan bahan-bahan yang sudah dikisar berserta cili kisar sehingga wangi & terbit minyak. 
2. Masukkan sos cili, sos tomato, air, garam & gula secukup rasa.
3. Biarkan seketika & biarkan secukup rasa bolehlah masukkan tauhu yang digoreng serta hirisan bawang besar. Kacau sebati atau sehingga bwg sedikit layu & bolehlah dihidangkan dengan taburan daun bawang.




Selamat mencuba!

Tuesday, July 26, 2011

Daging Goreng Ala Kaprau

Assalamualaikum & salam sejahtera....

3 hari tak mengupdate blog... terasa seperti ada yang tak lengkap aje hidup ni... Hajat di hati tu kalau boleh memang nak update tiap2 hari... Tapi kita hanya mampu merancang... segala2nya Allah S.W.T jua yang menentukan...


Hari ni.. curi2 masa sebentar untuk update resepi yang sangat sedap yang resepinya ku ambil dari Dapur Kak Jee. Terima kasih Kak Jee untuk resepi yang sedap ni yer... Betul kata akak... makan lauk ni.. berselera jadinya... anak2 pun semua suka.. lagipun sengaja letak cili padi sikit aje sebab anak2 nak makan...  Saya buat 2 kali resepi asal.. maklumlahkan... ada 5 mulut yang nak mkn.. itupun kena ada lagi lauk tambahan yang lain... Alhamdulillah.. licin semua!

Dah ramai yang mencuba resepi yg Kak Jee kongsikan ni... aku hanya sempat mencubanya pada minggu lepas... hari ni baru sempat update ke blog... Resepi ni pasti akan ada ulangannya nanti.. Memang kena dengan selera kami semua.. lepas ni kena cuba masak digandingkan dengan daun selasih pula... untuk pertama kali ni.. tak dapat cari daun selasih di kedai... Menurut Kak Jee.. kalau ada daun selasih lagi sedap!

Daging Goreng Ala Kaprau
Resepi : Dapur Kak Jee
Sumber : MaDiHaA a.k.a Ratna

BAHAN2:

250 gms daging batang pinang dihiris nipis (atau ayam)
2 sudu besar paste tomyam (Kjee guna paste Adabi)
cili api  diketuk2 (ikut kepedasan. resipi asal mesti pedas)
2 labu bawang besar (dibelah lapan dan dicerai2kan)
1 sudu besar kicap manis
1 sudu besar sos cili (Kjee guna sos cili Thai)
daun selasih (Kjee tak bubuh sebab tak ada. Ada daun selasih sedap sangat)

CARA:

Perap daging yang telah dihiris bersama 2 sudu paste tomyam selama ½ jam. Kemudian tumis 1 labu dulu bawang besar yang telah dikerat 8. Kemudian masukkan cili api yang telah ditumbuk kasar. Setelah agak garing, masukkan hirisan daging yang telah diperap dan goreng hingga daging kecut.

Kemudian masukkan kicap manis dan sos cili dan terus goreng. Masukkan daun selasih yang telah dipetik2, dicuci dan ditoskan. Kemudian masukkan juga baki 1 labu bawang besar. Setelah bawang besar layu, padamkan api dan hidang.  
 
 
Selamat Mencuba!

Friday, July 22, 2011

Kubis Cina Gulung Keju

Assalamualaikum......


Jumaat yang mulia datang lagi... alhamdulillah masih diberi kesempatan olehNYA untuk bernafas dibumi ini.  Hari ni sebenarnya agak free sikit... Alhamdulillah.. sempat jugaklah aku mengupdate fotopages ku yang hampir 4 minggu tak berupdate.  Ni semua gara2 terlalu asyik & leka dengan blog sejak akhir2 ini.... Kesian dengan pengunjung2 setia FP ku itu... hehehe..



Oklah untuk resepi hari ni... sangat teruja nak update menu yang agak unik & boleh dikatakan sedap juga di tekak aku.  Malah en. suami pun kata sedap.  Anak bujang ibu yang tak suka makan sayur kubis cina tu pun boleh makan dengan berseleranya! Agaknya... dia sendiri pun tak sedar apa yang dia kunyah dan makan tu adalah campuran isi ayam dengan sayur kubis cina! hehehehe... Lagipun menu ni tak pedas.. jadi sangat sesuai utk anak2.  Cuma perlu diingatkan... kalau anak2 kecik nak makan.. kenalah potongkan betul2 sayur kubis cina tu yer.. sebab kalau sekadar dihiris macam dalam gambar aku tu... sayur kubis cina tu masih berjela2 panjangnya.. jadi kalau anak2 tak kunyah betul2.. boleh tersangkut kat anak tekak sebab sayur kubis tu tak putus betul.. hehehe.. Ini yg terjadi kat Haziq.. gamaknya dia ingat dia dah abis kunyah & terus cuba telan.. tapi sayur kubis tu tak hancur betul.. & akibatnya tersangkut kat anak tekak.. separuh dah tertelan & separuh lg masih tersangkut kat lubang tekak... Bila aku & ayahnya ingatkan supaya dia kunyah betul2.. barulah elok dia makan.. hehe..   

Menu ni aku masak malam tadi.  Kakak Dini masa aku masak ni.. dia tertidor awal sebab keletihan mungkin sebab letih dok berjemur tengah panas masa hari sukaneka semalam.  Jadi belum lagi dirasanya... adalah aku simpan untuk dia dalam petiais... malam ni bolehlah dipanaskan balik untuk dia. Anak dara kecik pulak.. malam tadi taknak makan... gamaknya dah kenyang makan kat rumah pengasuh. Jadi hanya kami 3 beranak je yang makan... Pada aku.. menu ni lebih sedap di makan macam tu aje & kurang ngam kalau makan dengan nasi putih... Tapi malam tadi en. abang rajin sikit... so dia tolong aku goreng nasi untuk dimakan dengan menu kubis cina ni.. selain tu adalah aku goreng ayam sikit sebab takut anak2 tak berkenan dengan menu ni terutama si Haziqlah! Rupa2nya.. sangkaan ibu meleset! hehe...

Oklah... resepi yang diperkatakan tu adalah resepi Kubis Cina Gulung Keju yang ada sedikit unsur2 western.  Terima kasih pada Kak Anymz yang telah berkongsi resepi yang beliau ambil dari Resipi Ibundo .  Kalau tak kerana Kak Anymz... mesti aku tak tau resepi ni sebab aku pun baru je terjumpa blog Ibundo yang ada bermacam2 resepi yang best2... itupun sebab lompat dari dapur Kak Anymz.  


Jadi kat sini.. MaDiHaA mohon keizinan dari penyumbang asal resepi ini iaitu Ibundo untuk meletak resepi kat blog MaDiHaA pulak ye.  Dan tak lupa.. terima kasih juga pada Kak Anymz yang telah berkongsi resepi diblognya tempohari... Resepi ni MaDiHaA ada edit sikit2 & susun mengikut tajuk2 kecik dalam resepi.. Harap Ibundo tak marah & kecik hati yer. Tujuan hanya untuk lebih tersusun & mudah difahami...  Thanks buat kedua2nya..

Kubis Cina Gulung Keju
Resepi : Resepi Ibundo 
Sumber : Kak Anymz 

Bahan2 Inti
2 ketul dada ayam dibuang tulangnya. (dadukan)
1 biji bawang besar didadu.
1 sudu besar tepung jagung
1/2 biji tomato didadu
sedikit capsicum hijau didadu (MaDiHaA tak letak sebab takde stok)
2 pokok daun bawang ~ dipotong halus (MaDiHaA tambah sebab kebetulan ada stok)
sedikit air
garam secukupnya

Bahan Sayuran
5 helai kubis cina yang agak lebar (MaDiHaA punya dah tinggal yg tak berapa lebar sebab yg lebar bahagian luar dah dibuat sup... huhu... Nota: MaDiHaA dpt 8 ketul gulungan ayam ni mungkin sebab tu MaDiHaA guna isi ayam lebih sikit agaknya... Jadi daun kubis yg MaDiHaA gunakan ialah 8 helai yer..)
1/2 batang carrot dihiris memanjang
Beberapa batang kacang buncis dipotong dua

Bahan2 Sos
2 sudu besar butter
2 sudu besar tepung gandum
3 sudu besar tomato puree
1 sudu kecil gula
Stok ayam (kalau tak ada, 1 cube ayam campur dengan secawan air)

Mozarella cheese secukupnya

Cara Menyediakan
1. Kubis cina dicuci bersih & dicelur supaya batangnya lembut sedikit. Angkat, tos & biarkan ia sejuk.
2. Ayam dan bawang diblender kasar.  (MaDiHaA kisar menggunakan pengisar kering.. Kisar sikit2 ye.. kalau letak banyak2.. berat pulak matanya nak berputar nnt..) Bubuh sedikit air. Sedikit saja. Masukkan dalam bekas dan bubuh sedikit garam. Masukkan tomato, capsicum & daun bawang.  Bubuh tepung jagung dan gaul rata. Ketepikan.
3. Panaskan butter dalam kuali.  Masukkan tepung.  Kacau hingga berbuih.  Masukkan stok ayam sedikit demi sedikit sambil dikacau. Sekiranya terlalu pekat, tambah sedikit air. Masukkan tomato puree.  Masukkan gula dan rasakan garam.  Bila kuah pekat, padamkan api.  Ketepikan.


4. Ambil sehelai kubis cina yang dicelur tadi.  Bentang dan letak dua sudu besar adunan ayam di atas permukaan yg berdaun. 


5. Letakkan hirisan carrot & potongan kacang buncis & tekan sikit supaya berada ditengah2 inti.


6. Kemaskan inti dengan menutup hirisan carrot & kacang buncis dengan inti ayam tadi supaya sayur tersebut berada ditengah2.. jadi nampak cantik bila dipotong nanti.


7. Gulung kubis cina seperti gulung kuih ketayap hingga ke bahagian batangnya. 




8. Letak di dalam caserol & tuangkan sosnya.  Taburkan mozarella cheese & bakar selama 15 minit.




Nota MaDiHaA : Sebelum dituangkan sosnya... MaDiHaA tutup kaserol dengan aluminium foil kemudian kukuskan kubis gulung tadi selama 10 minit (tempoh masa dari air kukusan mulai mendidih).  Kemudian buka aluminium foil & buangkan air dalam kaserol tadi sekiranya ada.  Lepas tu barulah dituangkan sos, ditabur mozarella cheese & bakar selama 15 minit dengan suhu oven 180C yang telah dipanaskan terlebih dulu.  Tujuan dikukuskan tu bukannya apa.. MaDiHaA nak pastikan yang inti ayam tu betul2 masak je.. Kepada yang nak mencuba boleh ikut cara Ibundo yer.. ini cuma catatan peribadi MaDiHaA.


Ok... selamat mencuba yer!

Thursday, July 21, 2011

Stylish Blogger Award dari Cik Cek, Nurul, Zaliedana & NoorSafone & Thank You Card dari Kak Ham

Assalamualaikum semua............


Dah petang barulah sempat menjenguk blog hari ni.... Pagi tadi aku tak masuk ofis sebab pergi ke sekolah kakak Dini yang mengadakan Hari Sukaneka kali ke 51.  Kakak Dini masuk acara perbarisan.. tapi ibu tak sempat nak tengok dorang buat persembahan pun sebab sampai terlewat sikit... Lepas hantar kakak Dini ke sekolah awal2 paginya.. hantar pula adik2nya ke sekolah tadika & ke rumah baby sitter...lepas tu ibu pusing balik nak ke sekolah kakak... melalui jalan Klang Lama tu jalan bukan main jem lagi... dah tiba sekolah.. cari2 parking yang dekat2 semua penuh... terpaksalah parking jauh & menapak.. hmmm... katanya dorang menari Chicken Dance kali ni... melepas ibu nak tengok... cuma dapat dengar musicnya aje dari jauh masa ibu tengah menapak menuju ke sekolah.. Elok aku nak sampai ke tepi pagar sekolah.. dorang dah abis menari.. cuma sempat tengok tengok berbaris nak keluar padang aje.. Tahun lepas pun gitu jugakk... dorang menari poco2 itupun ibu sampai lewat jugak... melepassss ler jugakkkk... hmmm.. dah macam lagu S.M Salim ler pulak.. hahahaha... Tapi apa2pun.. enjoy jugak tengok pasukan sorak bagi rumah sukan masing2 membuat persembahan lepas tu.. then barulah acara sukaneka diadakan... Itu yang dah petang baru dpt jenguk blog.. sebab masuk kerja half day aje... aishhh.. panjang lebar lak bercerita... 

Oklah.. tujuan sebenar entry ni sebab nak letak award yang kawan2 berikan... dah beberapa hari kawan2 bagi award ni.. rasanya hari ni sesuailah aku update award ni sebab nak update masak2 pun rasa takde mood pulak nak edit2 gambar... so... layan award jelah yer...

Terima kasih kepada ketiga2 sahabat blogger yang sudi memberikan award2 ni yer... Ketiga2 mereka memberikan award yang sama semuanya..

Award Stylish Blogger yang pertama ni pemberian dari  Cik Cek



Yang kedua pula dari Nurul




Dan yang ke tiga ini dari CT Zaliedana
  




Dan yang terakhir dari NoorSafone... atau lebih mesra ku panggil mama... terima kasih buat ke empat2 orang yang sudi bagi award ni yer...

Mengikut syaratnya... award ni mesti diberikan pula kepada 8 orang blogger2 yang lain.. yang ni KIV dulu yer.. nanti kalau sempat BW aku tengok sapa yang layak menerima & belum dapat lagi award ni yer.. 


Ok... dan terakhir sebelum terlupa... aku angkut sekali kad tanda terima kasih dari Kak Ham kepada kawan2nya yang telah mengucapkan hepi besday buat beliau semalam.... aku hanya sempat SMS aje.... Thanks ye Kak Ham. Saya doakan semoga akak dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki & sentiasa sihat & ceria2 selalu bersama family tersayang...

Wednesday, July 20, 2011

Nasi Ketumbar

Assalamualaikum...



Inilah dia nasi yang digandingkan dengan Ayam Masak Merah Berempah yang dipos di entry semalam.  Memang serasi sekali digandingkan bersama. Ada pula acar kobis campur carrot sebagai pelengkap & penambah selera.  Baru je siap hidang rasa dah tak sabar2 nak merasa...  nasib baik masih sempat ambil gambar dulu...

Penangan Nasi Ketumbar yang Kak Nor dok buat sampai dua kali tu.... aku bukan boleh tengok Kak Nor dok ulangtayang menu... mulalah nak meniru.. kehkehkeh.. Tapi takper kan Kak Nor... tiru dalam hal masak2 ni memang digalakkan.. jangan pulak meniru dalam peperiksaan.. yang itu memang nak kenalah tu... hhehehe...

Oklah.. selain Kak Nor rasanya dah ramai jugak kawan-kawan yang dah mencuba resepi Nasi Ketumbar ni kan... Antara yang dah mencuba ialah Diana & Ida Marlida.  Ada lagi tak yang dah cuba? Maaf ye kalau tak sebut nama sebab mungkin dah terlepas pandang. Resepi Nasi Ketumbar ni  dari Q'ein@MyResepi.. Pertama kali tayangan amal dari Kak Ayu Singapore.. tapi rasanya macam aku terlepas pandang masa Kak Ayu dok tayang tu.. mungkin sebab Kak Ayu  update n3 berderet2 kot tu yang aku terlepas pandang tu... Then bila Kak Nor tayang.. barulah aku nampak & terpikat.  Resepi dah print.... cuma tunggu masa jer nak buat.  Sebelum aku buat.. nampaklah pulak Diana & Ida yang dah buat terlebih dulu... aku pun apalagi.. teruslah panaskan enjin.... ehh silap! panaskan periuk... haha.. Apa2pun.. terima kasih kepada semua yang terlibat yer..  Anak2 semua suka & makan bertambah2... Aku memang jarang masak nasi berperisa.. sebab en. hubby kurang suka nasi berperisa ni.. kalau pegi kenduri kawin seboleh2nya dia akan cari nasi putih jugak.. kecuali kat kenduri tu hanya ada satu jenis nasi aje.. terpaksalah dia ambil nasi yg ada tu... Masa masak nasi ni pun.. aku masak juga nasi putih khas untuk en. hubby.  Oklah.. mintak izin pada semua yang terlibat nak copy & paste resepi kat blog MaDiHaA pulak yer...


Nasi Ketumbar
resipi : Q'ein@MyResepi
sumber : Kak Ayu Singapore & Kak Nor Secubit Garam

Bahan:
500g beras
3 s/b mentega/minyak sapi
sedikit minyak
1 biji bawang merah (dimayang halus)
3 batang daun ketumbar (blender halus)
sedikit garam
pewarna hijau
1 kiub ayam

Cara-cara
1. Basuh beras dan toskan.
2. Cairkan mentega bersama sedikit minyakMasukkan bawang & goreng sehingga wangi dan masukkan kiub ayam.  Kemudian masukkan beras, daun ketumbar yang telah blender tadi dan secubit garam.
3. Masukkan air dan masak seperti nasi biasa.  Bila nasi dah kering buat beberapa lubang dan titiskan pewarna hijau. (jangan lupa tutup periuk kemas2 lepas tu yer)
4. Tunggu sehingga nasi betul-betul masak dan gemburkan sebelum dihidang.

*daun ketumbar yg diblend tak perlu ditapis kalau ditapis akan mengurangkan aroma daun ketumbar dlm nasi..


Set lengkap Nasi Ketumbar bersama Ayam Masak Merah Berempah & Acar Kobis & Carrot

Selamat Mencuba!

Tuesday, July 19, 2011

Ayam Masak Merah Berempah

Assalamualaikum.....


Ingat tadi nak masuk n3 awal sikit.. tapi ada pulak tugasan yang perlu dibereskan segera.  Takpelah kan... yang wajib didahulukan... 

Cuti baru2 ni aku cuba resepi Ayam Masak Merah Berempah resepi dari Kak Nor Secubit Garam.  Teringin nak cuba dah lama sejak Kak Nor tayang  masa dia buat Nasi Ketumbar tempohari... baru-baru ni nampak pulak Zaliedana masak... terus rasa macam tak sabar2 nak mencuba jugak.  Kalau lauk merah2 macam ni... Kakak Dini memang suka sangatlah... cuma ayah dia jer yang agak kureng.. hehe.. Tapi makan jugaklah kan... Budak berdua tu pulak.. ibu kenalah masak lauk yg tak pedas untuk dorang tu.. lauk tak pedas tu apalagi kalau bukan sup!

Terima kasih Kak Nor untuk resepi ni yer.. Memang sedaplah lauk ni.. lain dari ayam masak merah yang biasa tu.. bolehlah masak lagi lauk ni.. Sesuai dihidang dengan sebarang nasi.. samada nasi putih atau nasi berperisa... Masak untuk hidangan raya gandingkan dengan nasi minyak pun sesuai gak ni.. hehe.. Biasa kalau belah2 Trengganu kat kampong belah ma atau arwah ayah.. biasa sangat jumpa orang masak nasi minyak masa raya.. hehehe.. Ehh.. puasa pun belum dah sibuk cerita pasal raya.. kekeke.. Oklah Kak Nor.. saya mintak izin ye letak resepi kat sini.. Terima kasih banyak2!



Ayam Masak Merah Berempah
Resipi : Kak Nor Secubit Garam
Sumber : MaDiHaA

Bahan2
½ ekor ayam ~ dipotong dan dibersihkan
½ sudu kecil serbuk kunyit
½ sudu kecil garam

Bahan Penumis:
1 btg kayu manis
5 kuntum cengkih
3 bj buah pelaga
1 kuntum bunga lawang

Bahan Dikisar Halus:
1 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
1 in halia
1 btg serai

3 sudu besar cili mesin ~ kurangkan jika tak suka pedas
½ sudu kecil serbuk lada hitam
1 sudu besar serbuk ketumbar
1 sudu kecil jintan manis
1 sudu kecil jintan putih
2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap
air asam jawa
sedikit air
garam dan gula
minyak

Bahan2 Sampingan:
2 bj cili hijau ~ dipotong 2
2 bj cili merah ~ dipotong 2
1 bj tomato ~ dipotong 6
1 labu bawang besar ~ dipotong 6

Cara Menyediakan
1. Gaul ayam dgn serbuk kunyit dan garam, goreng hingga masak tp jgn terlalu garing. Angkat dan toskan.
2. Tinggalkan sedikit minyak dlm kuali dan tumiskan bahan penumis hingga wangi dan masukkan bahan cili mesin. Tumis hingga cili mesin menjadi garing dan masukkan bahan2 yg diblend. Goreng lg hingga kering sedikit dan masukkan sedikit air, masak hingga pecah minyak.
3. Masukkan serbuk lada hitam, serbuk ketumbar, serbuk jintan manis dan serbuk jintan putih (yg dah digaul dgn sedikit air panas hingga menjadi paste),  sos tiram & kicap.
4. Masak hingga wangi dan garing baru lah dimasukkan garam dan gula secukup rasa.
5. Masukkan 1/2 cawan air dan masukkan gula dan air asam jawa.  Biarkan mendidih dan sedikit pekat.
6. Masukkan ayam dan bahan2 sampingan (cili hijau, cili merah, tomato dan bawang besar).  Masak lah hingga kuah hampir pekat, angkat dan hidangkan.


Selamat mencuba!

Monday, July 18, 2011

Talam Lapis Lumut

Assalamualaikum & selamat petang...


Bersua lagi di petang hari Isnin ni yer... Kali ni nak update kuih Talam Lapis Lumut yang juga dah lama benar dibuat ni... Kuih ni kejadiannya sangat sedap pada tekak aku...  terasa kacang hijaunya.. lemak2 dia pun cukup.. cuma bagi mereka yang kuat manis.. sila2lah tambahkan sikit lagi sukatan gula yer.. Tapi bagi tekak aku dah sedang molek dah ni... almaklum.. aku kalau buat kuih memang biasa aku cantas sikit sukatan gula kalau nampak resepi yang guna gula banyak sangat.  Tapi bagi resepi ni nampak mcm okay aje.. lagipun.. Kak Nur pun ada cakap kuih ni agak tawar sikit.. Tapi bagi aku dah ok dah ni.. just nice..



Adunan ni dapat agak banyak yer... kalau family kecil boleh buat setengah adunan aje.. Kuih ni ada rasa seakan2 koleh kacang jugak.. cuma mcm aku kata tadi.. ianya kurang manis.. koleh kacang biasanya org buat agak manis sikit & disertakan dengan tahi minyak.. Talam ni takdelah tahi minyak.. tapi adalah rasa iras2 koleh kacang sebab kuih ni diperbuat dari kacang hijau jugak... memang menarik perhatian ku sejak pertama kali lihat Kak Nur buat tempohari... kebetulan memang ada stok kacang hijau kat rumah tu... itu yg terus nak mencuba tu.. tapi agak lambat sikit jadi projeknya sebab dok mencari tepong hoen kwe dari kedai ke kedai takde pulak.. last2.. pegi kedai bakeri barulah berjumpa... hehehe... puas hati buat kuih ni.. dapat banyak juga dapatlah sedekah2kan kat baby sitter, rumah makcik & bawak ke ofis bagi kengkawan rasa... 

Kepada tuan punya resepi Puan Azimah Mansor... terima kasih banyak2 yer untuk resepi ni.. Terima kasih jugak buat Kak Nur yang sudi berkongsi resepi kat dapur Kak Nur... mintak izin letak resepi kat sini pulak ye Kak Nur... halal yer.. kita c&p jer ni.. insyaAllah nanti boleh buat lagi bulan puasa nanti sebab kuih ni tak perlu kacau2 macam kole kacang.. mudah kerja.. hehe.. Aku memang suka kuih koleh kacang tauu... tapi tu ler.. kalau beli tak puas hati sebab kengkadang org buat tak sedap. Ada jugak yg buat sedap.. tapi mak aihh.. mahalnyer sekeping saiznya pulak kecikkk aje.. rasa tak berbaloi nak bayar.. lebih baik buat sendiri puas hati dpt mkn sepuas2nya.. hehehe...


Oklah dah melalut pulak.. jom tengok resepinya yer..



Talam Lapis Lumut
Resipi : Puan Azimah Mansor
Sumber : Kak Nur & MaDiHaA


Bahan-Bahan

Bahan A
300gm kacang hijau (direbus hingga kembang & agak kering airnya)
60gm tepung hoen kwe (MaDiHaA guna 85 gm/1 pek)
150gm tepung gandum
250gm gula pasir (kalau suka manis.. sila tambah gula lagi ye... bagi MaDiHaA sedang elok dah manis dia ni.. tp bg yg kuat manis mesti kata kuih ni tawar..)
1500 mlm santan
50gm tepung beras
1 biji telur

Bahan B
70gm gula merah
Pewarna hijau dan coklat

Cara-Cara
1. Kisar semua bahan A dan bahagikan kepada 2 bahagian.
2. Satu bahagian dicampur dengan gula merah dan bubuh warna
coklat dan satu lagi dibubuh warna hijau.
3. Kukus selapis demi selapis selama 10 minit bagi setiap lapis.
4. Setiap lapis lebih kurang 400ml. (yg ni MaDiHaA tak sukat pun.. just sukat gunakan senduk aje.. tp pastikan setiap lapisan menggunakan sukatan yg sama yer)

Nota MaDiHaA: utk satu adunan ini sesuai menggunakan loyang 10 inci. 


Selamat mencuba!

Spaghetti Lemak Pedas

Assalamualakum...

Quick update pagi ni... adeiilaa... tertunda2 nak pos entry ni.. cuti 2 hari pun langsung tak sempat nak update blog.. sibuk betul skrg ni.. cuti 2 hari.. macam2 perkara perlu dibereskan... Rasa2nya.. spaghetti ni dah  lama betul dimasak rasanya ni... masak sejak bulan Jun lagi ni... entah ngapa lewat benor tiba gilirannya... tak kisahlah kan.. janji berupdate jugak... Sedap jugak spagetti masak gini.. tapi aku skip cili padi tu.. takut tergigit dek anak2 kang terus taknak dorang makan...

Ok.. macam biasa.. resepi copy & paste dari dapur Kak Nor Secubit Garam... Apa2 yang Kak Nor masak rasa macam nak try semuanya..! Tapi paling kuat bila kak nor dok ulang masak berkali2 tu sah-sah ler sedap... haa... yg tu lagi kuat daya tarikan nak mencubanya.. hehehe... Resepi asal dari Mat Gebu... TQ buat kedua2nya yer... Mintak izin ye letak resepi kat sini pulak...



Spaghetti Lemak Pedas
Resipi : Mat Gebu
Sumber : Kak Nor & MaDiHaA

BAHAN-BAHANNYA :-)
1/2 cekak spaghetti
2 biji tomato ceri tomato, hiris bulat
1/4 bahagian red capsicum, dadu
1/4 bahagian green capsicum, dadu
1/4 bahagian yellow capsicum, dadu (capsicum takde MaDiHaA ganti dengan brokoli & cili merah aje)
1 helai bay leaf (MaDiHaA letak 2 helai yg kering punya aje)
3 biji cii padi, hiris halus (optional)
1/2 camca teh lada hitam yang baru dikisar
2 ulas bawang putih, cincang halus
1/3 cawan susu cair IDEAL
1 keping meat loaf "ayamas", didadu ~ k.nor gantikan dgn sosej dan udang (MaDiHaA ganti dengan sosej & chicken ball)
1/2 kiub pati ayam "Maggi"
Sedikit air ~ k.nor guna air rebusan pasta tu

CARA MEMBUATNYA :-)
Rebus spaghetti tadi hingga lembut mengikut arahan pada paket atau citarasa masing2. Toskan dan gaul dengan sedikit minyak zaitun. Ketepikan.
Panaskan minyak zaitun dalam kuali tak melekat. Tumis bawang putih hingga layu, masukkan bay leaf dan meat loaf tadi, kacau sekejap dan tuang susu + air, biar mendidih. Tambah serbuk lada hitam dan kuib ayam, kacau dan biar masak perlahan.
Masukkan red/green/yellow capsicum bersama cili padi. Tambah spaghetti dan gaul rata. Masak hingga pekat, dan rasa jika perlu tambah sedikit garam. Bila dah ok boleh matikan api.
Alih ke dalam pinggan yang sesuai, hias dengan hirisan tomato dan taburkan sedikit lagi serbuk lada hitam. Hidangkan segera.  



Selamat mencuba!

Friday, July 15, 2011

Ayam Oats Pedas Manis

Assalamualaikum semua...

Masa hari ku emergency leave  waktu anakandaku demam tempohari.. sempatlah aku mencuba resepi baru yang aku nampak kazenku Ida tayang  kat blog dia tempohari. Nampak macam menarik.. apalagi bila Ida kata sedap sangat2 membuatkan aku tak sabar2 nak mencuba.. Bila dah cuba.. memang sungguh bagai dikata.. memang sedap! Rasanya lebih sedap dimakan gitu saja dari dimakan dengan nasi... Rasa macam makan kerabu pun ye jugak.. Memang menyelerakan sungguh!  Hidangan ni lebih sedap dimakan sejurus selepas digaul dengan semua bahan2 tu.. Kalau dibiarkan lama nanti hilang pula rasa rangup2 ayam goreng tadi.


Terima kasih ye Ida sebab rajin mencari & mencuba resepi baru yg menarik macam ni... Resepi ni asalnya dari myhealthyheart.com.  Tapi aku ada ubahsuai sikit ikut bahan yang ada kat rumah & ikut selera sendiri.. Untuk  lihat resepi original bolehlah klik SINI yer.




Ayam Oats Pedas Manis / Sweet & Spicy Chicken Oats
Resepi : Quaker Oats@myhealthyheart.com
Sumber : Normarlida 
Diterjemah & ubahsuai : MaDiHaA a.k.a Ratna

Bahan2
2 ketul dada ayam (dada ayam dari seekor ayam saiz sedang)
1 cawan Quaker Oats Quick Cook
½ cawan tepong jagung
½ sudu kecil garam
1 sudu besar sos ikan nampla
Lada sulah secukupnya
1 biji telur, dipukul sedikit
Minyak masak secukupnya

Bahan2 Sos
3 sudu besar Sos Chili Thai
2 sudu besar jus lemon 
1 sudu besar sos ikan nampla
Secubit garam atau secukup rasa

Bahan2 Tambahan
2 ulas bawang merah ~ dihiris nipis
5 chili padi ~ dihiris halus
1 batang carrot ~ disagat/hiris halus memanjang
1 biji oren ~ buang kulit & hiris nipis (optional)
1 sudu besar bijan (disangai terlebih dulu)

Cara2 Menyediakan
1. Buangkan tulang ayam pada bahagian dada ayam tadi & ambil isinya saja.  Hiris nipis memanjang kesemua isi dada ayam tadi.  Perap bersama sos ikan, garam & lada sulah.  Gaul rata & perapkan selama 5 minit. 
2. Sementara itu.. campurkan Quaker Oat Quick Cook bersama dengan tepong jagung & digaul rata.  Ketepikan dahulu.
3. Masukkan telur yang dipukul terlebih dulu ke dalam isi ayam yang diperap.
4. Salutkan isi ayam dengan bancuhan oats dengan tepong jagung tadi.  Aturkan dalam pinggan atau bekas yang sesuai.
5. Panaskan minyak secukupnya. Goreng isi ayam dikedua2 bahagian sehingga kekuningan.  Angkat & tos.
6. Dalam mangkuk kecil.. campurkan Sos Chili Thai bersama dengan jus lemon & sos ikan nampla.
7. Dalam satu bekas yang sesuai.. campurkan isi ayam yang digoreng tadi, hirisan carrot, hirisan bawang merah, bijan sangai, secubit garam & cili padi.  Tuangkan bancuhan sos tadi & gaul rata & biarkan secukup rasa.  Letakkan di atas pinggan hidangan & hias dengan oren yang dihiris.  Hidangkan segera! Sedap & menyelerakan!

Nota MaDiHaA: Jika rasa ada yang kurang... bolehlah tambah bahan2 perasa apa yang patut ikut kesesuaian rasa sendiri yer.. Sebab kemungkinan kuantiti ayam/bahan2 yang digunakan tak sama banyak dengan kuantiti  bahan2 yang MaDiHaA buat ni.. jadi sukatan bahan2 lain yang ditulis mungkin tak mencukupi.. So pandai2 ejas sendiri yer..



Selamat mencuba!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...