Saturday, February 28, 2015

Gulai Tempoyak Ikan Patin

Assalamualaikum & salam sejahtera....


Sambung lagi kisah ikan ye... semalam dok cerita pasal ikan talapia & patin sangkar yang marvelous. Jadi hari ni share resepi ikan patin pulak ye.  I dah jatuh hati dengan kesedapan ikan patin sangkar ni.  Sumpah lepas ni tak menolak dah kalau orang pelawa ikan patin. TAPIIIII... dengan syarat mesti ikan patin sangkar bukan patin kolam ye.  Patin sangkar tu maksudnya ikan patin yang dibela dalam sangkar iaitu dalam air yang mengalir contohnya air sungai.  Yang kolam punya pula dibela dalam air kolam yang tak mengalir, makan kat situ, berak kat situ.. sebab tu rasanya tak syedap... hehehe....


2 ekor ikan patin saiz agak besar jugak... dah masak sekor gulai tempoyak campur timun tapi tak snap gambar elok2 pon.. snap dari dalam periuk  share kat group wassap geng sekolah.. hahah.. Pastu sekor lagi dikerat dua. Sekerat MaDiHaA buat pais ikan patin. Pun tak snap. Yang sekerat lagi ulang masak gulai tempoyak lagi. Barulah snap gambar elok sikit. MaDiHaA masukkan resepi untuk sukatan seekor ye.  Takpelah resepi ulangan pun. Sebelum dah dah acap juga share resepi gulai tempoyak ni. Tapi kali ni special sikit sebab kali ni bukan patin kolam.. tapi patin sangkar yang sangat2 marvelous. Kawan2 yang tak makan ikan patin sebab rasa tak sedap tu lain kali kalau nak beli tanya penjual tu samada ikan tu kolam punya atau sangkar punya. InsyaAllah kalau penjual tu jujur & dia cakap sangkar punya bolehlah beli & rasai kesedapan ikan patin ni ye.  MaDiHaA rasa rugi sebab sebelum ni tak tau pasal ni.  Sekarang baru tau kesedapan ikan patin yang diwar-warkan. Tak hairanlah yang dijual kat Temerloh tu harganya mahal sungguh.  Benda baik & rasa sedap berbaloi walaupun bayar mahal.


Gulai Tempoyak Ikan Patin
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
1 ekor ikan patin (sangkar) saiz sederhana ~ dipotong 5~6 bahagian
1 ketul (sebesar bola pingpong) asam jawa ~ diramas untuk rendam ikan
800 ml air untuk kuah
secekak daun kesum
2 kuntum bunga kantan

Bahan tumbuk
15 - 20 biji cili padi
2 inci kunyit hidup
sedikit garam kasar (petua nak mudah lumatkan cili masa menumbuk)
4 - 5 sudu besar tempoyak baru (yg tak masam)

Cara menyediakan
  1. Ikan patin yang siap dibersihkan di rendam dalam air asam jawa selama 30 minit. Kemudia cuci bersih & tos.
  2. Tumbuk lumat kunyit hidup, garam kasar & cili padi. Masukkan tempoyak & gaul rata. Masukkan dalam periuk & bancuh dengan sikit air biar larut. Kemudian baru masukkan kesemua air.
  3. Didihkan bahan tadi & campaknya daun kesum & bunga kantan. Bila mendidih masukkan ikan & tambah garam jika perlu (tadi masa tumbuk bahan dah masukkan garam kasar jadi tambah garam hati2 ye). Biarkan mendidih & ikan masak. Bila dah cukup rasa boleh matikan api.

Friday, February 27, 2015

Talapia Goreng Berlada

Assalamualaikum & salam sejahtera....


Sebenarnya jarang en. suami beli ikan talapia ni.  Sebabnya dia tahu yang isterinya ni kurang gemar sikit kalau ikan2 jenis air tawar ni.  Tapi baru2 ni adalah dia beli 2 ekor ikan patin & 2 ekor ikan talapia.  Beranikan diri untuk mencuba buat sekian kalinya makan ikan patin & talapia tu.  Sebabnya MaDiHaA pernah merasa ikan patin sangkar masa kenduri kawin sepupu en. suami kat Jerantut.  Eh.. sedap pulak! Takde rasa2 pelik pun.  Sejak dari tu.. persepsi MaDiHaA terhadap ikan patin sedikit berubah.  Rupa2nya ikan patin yang tak sedap tu ialah patin yang dibela dalam kolam.  Patutlah ramai betul yang memuji kesedapan ikan patin yang buat MaDiHaA pelik.. apalah yang sedap sangat dengan ikan patin tu sampai sanggup membayar mahal (untuk patin buah). Sedangkan MaDiHaA nak telan pun macam tak boleh nak masuk.. Sekarang barulah tahu rahsia & penyebabnya.  hahaha.. Sekarang siap pesan kat en. suami lain kali kalau nak beli ikan patin hanya patin sangkar je... kalau patin kolam tak usah belilah... gerenti MaDiHaA takkan makan punya.  Bukan sombong tau.  MaDiHaA tak makan bukan sebab geli, tapi sebab rasa isinya tu memang tak boleh nak telan. Serupalah juga dengan ikan talapia kolam yang warna hitam tu.  Pernah beberapa kali masak, mesti cuba makan, bila rasa secubit memang tak boleh nak telan. Akhirnya ikan seketul yang diambil mesti akan masuk dalam pinggan en. suami... hehe.. Sekarang insyaAllah jika masak patin atau talapia sangkar pasti tak lagi jadi macam tu.  Berbalik dengan kisah ikan talapia pula.  Disebabkan ia juga dibela dalam sangkar (menurut kata penjualnya) jadi en. suami pun belilah juga 2 ekor yang saiz besar.  Alhamdulillah.. kedua2 jenis ikan tu MaDiHaA boleh makan. Takde rasa tanah, rasa lumpur atau rasa2 pelik.  Sedap sangat isinya. Anak2 pun suka juga.

Oklah panjang pula mukadimahnya. Jom tengok resepi mudah ni. Goreng ikan garing2.. memang ngam sangat digolek2kan dalam sambal lada tu. Membuka selera!


Talapia Goreng Berlada
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
2 ekor ikan talapia merah saiz besar
garam & serbuk kunyit
2 keping asam gelugur
1 ketul sebesar bola pingpong asam jawa
Garam & gula secukup rasa
minyak secukupnya
1 biji bawang besar ~ dipotong bulat

Bahan kisar/tumbuk
10 biji cili merah
5 biji cili padi merah
1 biji bawang besar
4 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
sedikit belacan

Cara menyediakan
  1. Ikan dibersihkan & dikelar. Larutkan asam jawa dalam sedikit air dlam bekas yang muat untuk merendam ikan tadi. Masukkan ikan talapia yang sudah bersih & rendam anggaran 30 minit.
  2. Sementara itu boleh sediakan bahan sambal. Tumiskan bahan kisar hingga garing. Masukkan garam & gula secukup rasa. Tambah asam gelugur & sedikit air jika terlalu kering. Bila dah secukup rasa bolehlah masukkan bawang besar yang dipotong bulat. Kacau2 sikit boleh matikan api.
  3. Ikan yang direndam tadi boleh dicuci bersih. Lumur dengan serbuk kunyit & garam hingga rata. Goreng hingga garing kedua2 belah. Oleh kerana ikan tu besar gorenglah sekor2 ye. Bila ikan dah masak bolehlah masukkan dalam kuali sambal lada tadi & gaul rata.  Boleh juga letakkan ikan goreng dalam pinggan hidangan kemudian tuangkan sambal di atas ikan rata2. Ikut je mana yang anda suka.
Selamat mencuba!

Thursday, February 26, 2015

Jelly Cocktail Berkuah

Assalamualaikum & salam sejahtera....

Melunaskan hajat anak dara masa cuti sekolah tahun lepas. Katanya teringin nak makan puding cocktail yang ada kuah susu tu.  Ibu tak berapa rajin nak godek puding kastard jadi beli sumi jeli jelah... hehehe... Senang keje semua beli yang siap, tinggal masak kuahnya aje.


Jelly Cocktail Berkuah
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
2 pek sumi jeli
1 tin buah cocktail
1 tin nenas kiub
1 tin laici
nata de coco secukupnya atau boleh campur apa saja yang digemari

Bahan kuah
2 tin susu cair
2 tin air masak (sukat dengan tin susu yg sama)
gula secukup rasa
2 helai daun pandan

Cara menyediakan
  1.  Masak bahan kuah hingga gula larut. Tak perlu hingga mendidih. Manis ikut selera masing2. Jika nak tambah ais boleh lebihkan manisnya sikit.
  2. Buka sumi jeli satu persatu ke dalam mangkuk hidangan. Buah2an dalam tin ambil isinya sahaja, air dibuang. Campurkan semua.Tuang bahan kuah. Jika suka masukkan ketulan ais ke dalam jelly cocktail tadi & hidang sejuk.

Selamat mencuba!

Wednesday, February 25, 2015

Masak Lemak Lada Hitam Umbut Kelapa

Assalamualaikum & salam sejahtera...

Belum habis lagi cerita pasal balik kampung.  Wajib kongsi kat sini sebab MaDiHaA seronok tak terkata sebab dapat makan sayur umbut kelapa masa balik kampung baru2 ni.  Dah lama tak jumpa sayur umbut tu tau.  


Bila jiran sebelah rumah pelawa umbut kelapa yang ditebangnya.. apalagi.. seronok tak terkata dibuatnya.  Sebenarnya ada cerita sedih dalam tahun lepas pasal umbut kelapa ni tau.  Waktu kami balik kampong mertua, kami ternampak 2 pokok kelapa dah kena tebang! Rupanya2 mereka tebang kelapa sebab nak besarkan bahagian bilik air rumah (memang kami tau sebab projek tu memang projek perkongsian adik beradik suami).  Alamakkkk... kenapalah tebang kelapa tak tunggu waktu kami balik kampong.  Sedihnyaaaa sebab umbut kelapa tu rosak macam tu saja sedangkan umbut tu memang sayur kegemaran MaDiHaA.. sedih betul! Selang beberapa bulan balik pula rumah ma MaDiHaA... macam tu jugak yang berlaku. Ma upah orang tebang kelapa sebab pokoknya dah tinggi sangat. Macam tu juga umbutnya tiada siapa yang ambil.  Rasa nak nangis pun ada terkilan usah cakaplah.  Kenapalah mak & ma tak tunggu waktu kami balik baru tebang.  Boleh juga ambil umbutnya tu.  Boleh tak bayangkan betapa MaDiHaA rasa terkilan & sedih dengan 2 kejadian tu? Benda yang kita suka.. yang susah nak dapat.. yang kita tak sangka2 yang mak kita akan tebang pokoknya, tiba2 bila kita tengok pokoknya dah ditebang.. sedih sedih.. tapi kesedihan MaDiHaA tidaklah terucap pada kedua2 mereka sebab tak maulah mak & ma rasa bersalah pulak. Benda kecik je pun.. hehe..  MaDiHaA hanya ucapkan pada suami tersayang sahaja.  Dia je yang faham apa yang MaDiHaA rasa sebab dia pun rasa perkara yang sama sebab dia pun suka juga makan sayur umbut tu.. hehe..


Mungkin nak jadi rezeki kami balik bercuti baru2 ni jiran sebelah rumah tebang pokok kelapanya yang tumbang ke jalan.  Pokoknya taklah besar sangat, jadi umbut tu pun tidaklah begitu besar. Dia dah pelawa kat orang lain tapi takde siapa yang mau umbut tu. Dia sendiri tak berani nak makan mungkin sebab takut bisa badan kot maklumlah orang kata bila dah berumur.. tak elok makan benda2 berangin. Bila jiran pelawa kami.. wahhh.. ibarat orang mengantuk disorong bantal... rezeki jangan ditolak.. hehe.. Suami pun tahu yang umbut tu MaDiHaA dah lama teringin nak makan.. dia sendiri pun suka juga.. tanpa disuruh2 terus dia pikul batang kelapa bahagian pucuk tu ke depan rumah & terus dikerjakan untuk dapatkan umbut tu.. hehe.. Terima kasih abang! Terima kasih juga poksu bagi umbut tu.

Maka.. dapatlah seperiuk besar sayur umbut.  Dapat makan 2 round untuk keluarga besar kami sebab masa tu keluarga pakcik pun ada, adik yang kat Klang pun ada balik jugak.  Memang puas makan.. barulah puas hati.. hehe... Oh ya.. sayur umbut ni ada pantangnya tau.  Kalau boleh jangan dibiarkan bermalam ye.  Maksudnya kalau nak makan umbut.. masaklah umbut yang baru ditebang tu terus jangan dibiarkan esok atau lusa.  Yang dibiarkan bermalam tulah yang jadi bisa2 badan kalau jenis badan tak tahan sebab umbut tu dah masuk angin.  Jika tak sempat nak dimasak terus hari yang sama.. sebaiknya umbut tu direbus sekejap kemudian toskan airnya.  Bila sejuk simpan dalam peti sejuk untuk dimasak keesokkan harinya.  Jangan biarkan umbut tanpa direbus ye.  Kalau tak nanti sakit badanlah jawapnya.  Lagi satu.. kebiasaannya menu orang pantai timur bila nak masak umbut mesti menggunakan lada hitam.  Lada hitam berfungsi untuk memberi rasa panas jadi ia boleh melawan bisa/angin tu.  Sebab tu kalau nak masak lemak atau kerabu umbut memang wajib letak lada hitam.  Itu je petuanya. 



Masak Lemak Lada Hitam Umbut Kelapa
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
1 perdu umbut kelapa saiz sederhana
1 biji kelapa parut (kalau kelapa saiz kecil spt terjual kat KL ni guna 2 biji)
garam secukup rasa

Bahan tumbuk
6 - 8 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
1 sudu besar lada hitam ~ tumbuk halus
2 - 3 ekor isi ikan rebus (ikan sardin/selayang/kembung) (jika tiada boleh ganti dengan segengam ikan bilis)
2 inci kunyit hidup (jika tiada boleh ganti kunyit serbuk secukupnya)

Cara menyediakan
  1. Umbut kelapa dipotong saiz sesuai. Cuci bersih. Kelapa diperah santannya & ambil santan secukup kegunaan. Agak2 ye sebab MaDiHa tak sukat.
  2. Masukkan umbut ke dalam periuk yang besar, tapiskan santan ke dalam periuk berisi umbut & masukkan bahan2 tumbuk. Tambah garam secukupnya & masak hingga mendidih. Kacau sentiasa supaya santan tak membuak.
  3. Bila umbut dah lembut & dah secukup rasa, bolehlah dimatikan api & hidang.
Selamat mencuba!

Tuesday, February 24, 2015

Jemput-Jemput Nasi Ikan Bilis Bersayur

Assalamualaikum & salam sejahtera semua...




Inilah menu sarapan kegemaran keluarga kami. Buat selalu pun tak jemu2.  Apatah lagi jemput2 ni walau dibiarkan hingga ke petang pun ianya tetap lembut.  Bila tiba bulan puasa... kadang2 MaDiHaA buat juga jemput2 ni sebab en. suami lebih suka berbuka dengan kuih2 savoury berbanding kuih manis ataupun nasi. Mula2 kawin dulu hairan juga kenapa en. suami bila berbuka taknak makan nasi.  Sebab kalau ikut family MaDiHaA berbuka puasa wajib minum air berais, jamah kuih manis sikit lepas tu terus makan nasi. Tapi bila dah lama hidup bersama dengan suami ni... dah fahamlah macamana selera en. suami. Berbuka wajib dengan air teh o panas. Jadi MaDiHaA dan anak2 pun terikut2 cara en. suami.. berbuka puasa memang jarang2 sentuh nasi putih.  Kami berbuka umpama kami bersarapan pagi gitu... cuma bezanya.. kadang kala ada tambahan dengan kuih muih manis.  Itupun sebab ikutkan keinginan tekak MaDiHaA sendiri.  hehe.. 

Balik kampong baru ni pun sempat MaDiHaA bancuh sebesen besar adunan jemput2 ni.  Belum sempat MaDiHaA gorengkan, tup tup pakcik yang sama2 ikut kami balik kampong rupanya dah memborong & bawa balik sarapan pagi untuk kami semua.  Rupanya lepas dia habis solat subuh di masjid terus dia meronda cari sarapan ala kampong kat kampong MaDiHaA.  MaDiHaA hanya goreng jemput2 sekuali je la lepaskan kempunan mak yang nak merasa. Selebihnya bancuhan disimpan dalam peti sejuk & adik goreng keesokkannya bila kami dah balik ke Raub.  Adik siap wassap lagi puji jemput2 tu sedap.  Motif MaDiHaA cerita ni sebab nak bagitau untuk ibu2 bekerja macam MaDihaA yang nak sediakan sarapan pagi untuk anak2 & suami nak sekolah & kerja tu bolehlah siapkan adunan jemput2 ni sebelah malamnya & simpan dalam peti sejuk. Esok pagi2 tinggal gorengkan aje... Kan senang kerja tu..

Jom tengok resepi!


JEMPUT2 NASI IKAN BILIS BERSAYUR
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan-Bahan
  • 2 cwn nasi sejuk
  • 2 cwn air
  • 1 biji bwg besar ~ didadu
  • 1/2 cwn atau segengam ikan bilis yang siap dibersihkan
  • 2 1/2 cwn tepung gandum
  • 1 mangkuk sederhana hirisan halus kubis (boleh ganti dengan taugeh atau campuran apa2 sayur yang dirasakan sesuai)
  • sedikit garam
  • Minyak untuk mengoreng
Cara Membuatnya

  1. Blend nasi bersama air, masukkan sekali ikan bilis & kisar sebati. Tuangkan bahan kisar ke dalam sebuah bekas mengadun.
  2. Masukkan tepung gandum, garam & kobis ke dlm bekas  berisi bahan2 kisar tadi...gaul sebati.
  3. Panaskan minyak dan goreng adunan sebiji2 menggunakan sudu ke dalam minyak panas hingga garing kedua2 belah.
  4. Sedia dihidangkan dengan sos kegemaran.
Selamat mencuba!

Monday, February 23, 2015

Pindang Tapai Ubi

Assalamualaikum & salam sejahtera...

Seronok rasanya dapat bercuti panjang kali ni.  Cuti kali ni penuh dengan aktiviti family.  Macam2 yang sempat dibuat.  Anak kat asrama pun dapat balik ke KL.  Tapi tak lama pun kat rumah sebab lepas jemput dia kat Stesen Bas Pekeliling KL, malamnya kami bertolak balik ke kampong MaDiHaA pula.  Dapatlah tidor kat kampong selama 3 malam. Petang Jumaat pula kami bertolak balik ke Raub pula sebab en. suami ada 2 jemputan kenduri kahwin. Sekali hantar anak balik asramalah tu.. jadi tak perlulah dia nak balik ke asrama naik bas.  Tapi kami terpaksa tinggalkan dia kat kampong dulu sebab sekolahnya buka hari Selasa. Terpaksa minta tolong adik ipar hantarkan kakak ke asrama petang Isnin (hari ni).  Kami terpaksa balik ke PJ awal sebab adik2 kat sini semua bersekolah hari Isnin.

Cerita pasal kampong, MaDiHaA teringatkan kesedapan Pindang Tapai Ubi yang menjadi kegemaran arwah ayah.  Dah lama tak membuatnya.  Biasa kalau buat pun, guna tapai ubi yang dibeli dari pasar malam aje.  Belum ada kerajinan nak buat tapai ubi sendiri.  Hihi.. Kalau ada yang teringin nak mencuba atau dah jemu makan tapai ubi macam tu je.. bolehlah diolah tapai ubi menjadi pindang atau pengat macam ni.  Mesti tambah sedap!




PINDANG TAPAI UBI
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
1 peket tapai ubi (harga RM2.00)
1 kotak kecil santan (Madiha guna santan trim ayam brand)
1 cawan air
1 sudu besar gula pasir (nak manis tambah lagi)
1/4 sudu kecil garam
1 helai daun pandan ~ disimpul

Cara menyediakan
1. Masak santan bersama gula, daun pandan & garam hingga mendidih sambil dikacau2 sentiasa.
2. Masukkan tapai ubi dan masak seketika hingga kuah agak pekat.
3. Tutup api dan bolehlah dihidang.


Selamat mencuba!

Sunday, February 22, 2015

Labu Siam (Chayote) Goreng Pedas

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Oklah kali ni kongsi resepi labu siam goreng pedas.  Tak tau apa sebenarnya orang kita panggil sayur ni... Nama sayur ni dalam inggeris dipanggil chayote.  MaDiHaA kadang2 panggil buah penumbuk! hahaha... kan rupa buahnya tu serupa penumbok atau sarong tangan boxing tu... dah betul lah tu kan.. hehe.. Tak silap MaDiHaA orang Indonesia memanggil sayur ni sebagai labu jipang.. ye nggak? Kalau silap mohon diperbetul kan ye.. 

Dari segi rasa... labu siam ni rasanya lebih sedap dari sayur labu air tu tau.  Bahagian dalamnya sama sekali berlainan sebab labu siam ni dalamnya ada biji seperti biji mangga.. berbeza sekali dengan labu air yang dalamnya berbiji2 tu.  Oklah panjang pulak celotehnya.. nak kongsi resepi sayur je pun... kihkihkih...


Chayote
gambar ehsan google


LABU SIAM/ CHAYOTE GORENG PEDAS
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
1 biji labu siam 

Minyak utk menumis
garam & perasa (jika suka)
air secukupnya utk melembutkan labu

Bahan2 Tumbuk
1 sudu besar udang kering
1 biji cili merah
5 biji cili padi
3 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih

Cara2 Menyediakan
1. Kupas kulit labu siam, cuci getahnya & belah dua. Buangkan bijinya & potong saiz kesukaan anda.
2. Panaskan minyak lalu tumiskan bahan2 tumbuk hingga wangi & agak garing.
3. Masukkan labu & juga air biarkan hingga labu lembut sambil sesekali dibalik2kan. Elok ditutupkan kuali dengan penutup periuk agar labu cepat lembut.
4. Perasakan dgn garam & penambah perisa. Sedia dihidangkan. 


Selamat mencuba!

Saturday, February 21, 2015

Bengkang Jawi Kacang Hijau



Assalamualaikum & salam sejahtera buat semua....

Hari ni entry express je ye.  Sebenarnya.. resepi ini MaDiHaA pernah kongsikan di Fotopages dah lama dahulu. Pada mulanya MaDiHaA begitu malas nak ulang kongsi resepi di Fotopages ke blog kerana ianya tentu mengambil masa yang lama memandangkan ada begitu banyak resepi2 yang MaDiHaA dah kongsikan di Fotopages sejak bertahun2 dahulu.  Tetapi oleh kerana beberapa bulan yang lalu berlaku masalah teknikal yang membuatkan laman Fotopages tidak boleh dilayari hingga berbulan2... buatkan hati MaDiHaA rasa begitu sedih kerana risaukan segala kandungan di situ akan hilang begitu sahaja.  Jadi untuk menyelamatkan sebahagian resepi2 yang pernah MaDiHaA cuba... MaDiHaA akan cuba transferkan semua resepi2 di Fotopages ke blog MaDiHaA walaupun ianya memerlukan masa yang agak panjang. Ia juga merupakan langkah untuk back up sekiranya FP mengalami masalah lagi.. MaDiHaA boleh mencari resepinya di blog.  Sayang rasanya sekiranya resepi2 yang pernah MaDiHaA cuba hilang begitu saja satu hari nanti...

Ok jom tengok resepi orang dulu2 ni.  Resepi ini MaDiHaA perolehi dari dapur Kak Rusnah.   Terima kasih Kak Rus. Orang2 lama mesti suka kuih2 macam ni.  Tapi orang muda2 mungkin tak ramai yang menggemarinya.  Jika ada yang ingin mencuba bolehlah salin resepi ye..




BENGKANG (Bingka) JAWI KACANG HIJAU
Sumber : Kak Rusnah

1 cawan tepung beras cap gajah berbadan ikan (Siam mari) (MaDiHaA guna tepong beras biasa jer)
½ cawan gula putih
½ sudu teh garam
½ cawan kacang hijau tanpa kulit yg telah direbus (rebus dulu baru sukat)
3 cawan santan
1 helai daun pandan

1. Semua bahan kecuali kacang hijau tanpa kulit diadun sebati dan dikacau atas api perlahan bersama simpulan daun pandan. (MaDiHaA kacau guna whisker.. cantik adunan tak bergentel)
2. Kacau lebih kurang 10 minit...bila dekat-dekat pekat...tutup api dan masukkan kacang hijau rebus tadi dan terus dikacau. Buang simpulan daun pandan dan tuang ke dalam acuan yang dilengser minyak (kak rus guna minyak sapi.. MaDiHaA guna minyak masak je)
3. Bakar dalam ketuhar yang 10 minit lebih awal dipanaskan (suhu 175C)....kalau dlm masa 40 minit atasnya masih putih bakar lagi sampai nampak kerak coklat2 gitu.
4. Tunggu sejuk barulah dipotong & hidang sebagai minum petang.

Selamat mencuba!

Friday, February 20, 2015

Kerutup Che Banding

Assalamualaikum & salam sejahtera...

Masih mood bercuti hari ni kan.  Jadi entry hari ni ringkas2 sajalah ye.  Bagi idea untuk ibu2 kalau takde idea nak masak apa hari ni.. bolehlah cuba resepi ni.

Beberapa kali juga MaDiHaA masak lauk kerutup.  Tapi biasanya hanya menggunakan rempah beli yang dah siap pack.  Kali ni cuba rempah kerutup yang dikisar sendiri pula & hasilnya memang berbaloi.  Sedap sangat.

Terima kasih kak Sya untuk resepi ye. Mohon kongsi resepi ni di blog ye.  Resepi ni dah lama MaDiHaA cuba... gambar pun kurang kualitinya. Tak mengapalah.. yang penting resepi tu yang kita nak simpan kan.

 
KERUTUP CHE BANDING
Sumber : Sayasha FP


Bahan2
1 kg daging/1 ekor ayam sederhana ~ potong ikut suka (MaDiHa guna 2/3 dari sekor ayam.. 1/3 dah kena goreng LOL )
2 sudu besar kelapa parut * 
1 biji kelapa (santan 4 gelas iaitu 2 santan pekat dan 2 santan cair) (MaDiHa guna 200 ml santan kotak dan dilute dengan air menjadikan 4 cawan)
10 ulas bawang merah* ~ dihiris
4 ulas bawang putih * ~ dihiris
3 kuntum bunga cengkih *
3 biji buah pelaga *
10 biji lada hitam *
8 tangkai lada kering * ~ dikerat2
½ sudu teh jintan putih *
1 sudu teh jintan manis *
1 sudu besar ketumbar biji *
½ inci kulit kayu manis* (pastikan ketuk2 sikit bagi hancur dlm lesung supaya mudah halus masa blend sebab kayu manis agak keras)
1 batang serai* ~ hiris halus
½ inci lengkuas* (mayang halus)
¼ inci halia * ~ hiris (MaDiHa letak ½ inci)
2 keping asam keping (kecil)
Garam secukup rasa
Sedikit gula melaka
½ cawan minyak jagung

Cara Menyediakan
1. Satukan bahan2 bertanda * dan dicuci bersih & tos.
2. Panaskan minyak dah masukkan bahan-bahan yang bertanda * dalam kuali.
3. Goreng sampai kekuningan, tutup api dan biarkan dalam minyak & biarkan sejuk sebelum di blend bahan2 tersebut sehingga halus. (MaDiHa blend sekali dengan minyak & tambah sedikit air)
4. Gaulkan bahan kisar bersama daging/ayam dan perap sekejap sebelum di panaskan atas api sehingga nampak kering sambil dikacau2.
5. Masukkan santan, garam, asam dan gula melaka.
6. Masak sampai pekat & terbit minyak.
7. Rasakan apa yg kurang mengikut citarasa anda


Selamat mencuba!

Thursday, February 19, 2015

Loh Mai Chi / Snow Ball

Assalamualaikum & salam sejahtera....

Sempena perayaan Tahun Baru Cina hari ni MaDiHaA ambil kesempatan untuk ucapkan selamat tahun baru Cina buat semua teman2 berbangsa Cina. Hari ni pun MaDiHaA terpanggil untuk kongsikan satu resepi masyarakat Cina dengan kawan2.  Mungkin ada yang pernah melihatnya dan mungkin ada juga yang tak pernah melihat kuih ni kan.  Sebenarnya.. resepi ni dah lama MaDiHaA buat dan dah lama MaDiHaA kongsikan di Fotopages MaDiHaA beberapa tahun yang lalu.  Rasanya belum sempat lagi dikongsikan di blog ni.  Maaflah kalau tersilap.. nanti jadi siaran ulangan pulak.. hehe.. Tapi MaDiHaA dah semak nampak macam belum pernah kongsi di sini.

Kuih ni dulu2 MaDiHaA selalu nampak kawan2 ofis yang majoritinya Chinese bawa ke ofis. Biasanya mereka beli dari pasar pagi.  Teringin pula nak mencuba sebab nampak sedap sangat bila tau intinya diperbuat daripada kacang tanah.  Tapi nak cuba macam tak sampai hati dan rasa was-was pula. Jadi paling selamat bila dah teringin sangat tu kita cubalah buat sendiri.  Resepi ni MaDiHaA jumpa di Myresepi iaitu resepi sumbangan Che'Iza.  Terima kasih ye Che'Iza.. MaDiHaA minta izin kongsi resepi di blog MaDiHaA pula ye.


LOH MAI CHI a.k.a SNOW BALL 
Resepi : Che'Iza Myresepi
Sumber : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2 Kulit
1 cawan tepung pulut
½ cawan tepung beras (resepi asal 1 cawan)
½ sudu teh garam halus
½ cawan air biasa (tak sukat sebenarnya.. tuang agak2 ikut lembut doh yg dikehendaki)

Bahan2 Inti
½ cawan kacang tanah ~ goreng tanpa minyak/bakar hingga masak (buang kulit & kisar separuh halus)
3 ~ 4 sudu besar gula pasir ~ kisar halus (ikut manis yg anda suka)

Bahan Lain
½ cawan tepung beras ~ disangai/goreng tanpa minyak sebentar

Cara Menyediakan
1. Goreng ½ cawan tepung beras tadi (jangan sampai jadi kuning pula).
2. Untuk doh, campur tepung pulut, tepung beras & garam. Tuangkan air sikit demi sikit sambil diuli rata. JANGAN tuang air sekaligus takut terlembik pula. Dapatkan doh yg lembut spt doh membuat onde2. (Jika terlembik boleh tambah sedikit tepung pulut)
3. Jerang air dalam periuk.
4. Campurkan kacang tanah & gula halus & gaul rata.
5. Ambil sejemput doh (agak2 mcm nak buat onde2). Leperkan dan isikan 1 sudu kecil inti kacang tanah tadi lalu ditutup kemas. (Agak MENCABAR utk isi inti ni sebab kuih mudah berkecai kerana intinya berdebu gitu).
6. Rebus kuih dalam air yg mendidih sehingga timbul. Angkat kuih & golekkan di dalam tepung beras yg digoreng tadi. Sedia utk dimakan.

TIPS DARI MaDiHaA CARA MENGISI INTI KUIH: Pastikan semasa meleperkan doh jangan terlalu nipis. Leperkan doh buat seperti mangkuk. Jangan leperkan macam lempeng tu.. Masukkan inti dan tutup inti mulakan dari tepi sebelah kanan tekan doh seperti anda tekan kulit karipap (masa nak klim karipap tu). Tekan dari tepi dan seterusnya sampai tepi sebelah lagi.. kuih akan jadi bentuk lonjong.. lepas tu terus kepal2 kuih & jadikan bulat. JANGAN tutup inti cara punjut gitu sebab cara tersebut akan membuatkan ada udara terperangkap dlm kuih dan akan menyebabkan kuih anda pecah. JANGAN digentel guna tapak tangan alamat kuih anda akan berkecai sebab intinya yg relai & sensitif itu.. Itu saja tips cara mudah utk isi inti dlm kuih ni.. ;-)

SELAMAT MENCUBA

Wednesday, February 18, 2015

Kerabu Taugeh Kerang

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Lama betul tak buat kerabu.  MaDiHaA terkenang2 betapa sedapnya kerabu taugeh campur kerang.  Kecur air liur dibuatnya.  Tapi apakan daya... buat masa sekarang ni belum berani nak makan kerang.  Masih berpantang makan seafood2 yang 'gatal' ni ye.  Kesian kat seafood...  padahal dia tak gatal pun.. orang yang makan yang gatal... tapi dia jugak dipersalahkan.. hahaha...

Ok dah merepek2... jom tengok resepi yang dah lama MaDiHaA buat ni... Kira aci jelah kan share resepi & gambar lama.. janji bukan gambar curi orang punya... betul tak?


KERABU TAUGEH KERANG
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

 
Bahan2
1 kg kerang ~ rebus & ambil isi
1 mangkuk besar taugeh ~ celur kejap
1 biji bawang besar ~ mayang
1 kuntum bunga kantan ~ hiris
3 batang serai (2 btg dihiris nipis & 1 btg* dikisar bersama bwg & cili)
5 ulas bawang merah* ~ hiris kasar
2 ulas bawang putih* ~ hiris kasar
8 biji cili padi*
1 sudu besar udang kering*
garam, gula & perasa
1 sudu besar asam jawa (bancuh dengan ½ cawan air)
2 sudu besar kerisik (yg dah siap tumbuk)
sikit minyak utk tumis bawang & cili

Cara2 Menyediakan
1. Panaskan sedikit minyak dan goreng sebentar bahan2 bertanda * dan juga sebatang serai hingga layu. Angkat & kisar bersama dengan jus asam jawa.
2. Campurkan kerang rebus, taugeh celur, bawang besar mayang, hirisan serai, bunga kantan, kerisik, bahan2 kisar serta bahan2 perasa (garam, gula & perasa) secukupnya. Gaul rata dan perasakan secukup rasa. Sedia utk dihidang... memang sedapp :P :P 


Selamat mencuba!

Tuesday, February 17, 2015

Lepat Labu Bersagu



Assalamualaikum & salam sejahtera...

Hujung minggu baru2 ni MaDiHaA buat lepat labu untuk minum petang.  Buat pun tidaklah banyak sebab hanya ada sejuring saja labu lebihan buat sayur.  Nak dihabiskan untuk sayur takut tak habis, jadi berbakilah sikit dan bertapalah si labu tu 2, 3 hari dalam peti sejuk.  Fikir punya fikir... sedap juga kalau dibuat lepat ni... Kebetulan MaDiHaA ada ambil daun pisang kat rumah makcik untuk buat pais ikan patin (lupa plak snak gambar). Bila daun pisang ada lebih tu.. bolehlah buat kuih lepat.  Cukuplah untuk kami 4 beranak.  Hmm.. ingatkan anak2 tak suka.. rupanya bila dah siap.. berebut2 pulak anak2 dengan lepat yang hanya dapat 7 ketul tu.. hailah anak... Kadang2 ibu tak faham dengan selera anak2 ibu ni.. ada masa tak suka kuih manis... ada masa boleh pulak berebut2.. Takperlah.. ibu buat persepsi sendirilah.. mungkin kuih manis anak2 tak suka ambil waktu pagi kot.  Bila hidang waktu petang tentu anak2 suka... memang mengikut betul selera ayahnya... hehe...

Oklah.. kat bawah ni resepinya yer...


LEPAT LABU BERSAGU
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
1 cawan  isi labu kukus yang dilecek (jangan rebus nanti terlalu berair)(ukuran labu sebelum dikukus tu lebih kurang 3" lebarnya
1/2 cawan + 2 sudu besar tepung gandum
4 sudu besar tepung beras
1/2 cawan santan pekat
1/3 cawan sagu ~ dibasuh & tos
5 sudu besar gula (MaDiHaA letak 4 sudu je sebab takmau manis sgt)
secubit garam
Daun pisang secukupnya ~ dilayur api/dijemur supaya layu ~ siat ukuran sesuai & lap bersih

Bahan inti

Kelapa parut putih digaul dengan sedikit garam


Cara menyediakan
1. Campurkan isi labu bersama bahan2 lain kecuali daun pisang sehingga sebati.
2. Sediakan daun pisang. Letakkan bahan bancuhan lepat 1 sudu besar di atas daun pisang. Kemudian letakkan sedikit kelapa parut di atas adunan tadi.  Tutup dengan adunan lebih kurang 2 sudu besar sehingga kelapa parut tertutup.
3. Balut kemas2 membentuk kuih lepat.  Susun di atas periuk pengukus.  Sementara itu boleh panaskan periuk pengukus anda sehingga air mendidih.
4. Bila habis membungkus lepat bolehlah kukuskan lepat selama 25 - 30 minit.
5. Sejukkan dahulu lepat sebelum menghidang.

Selamat mencuba!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...