Monday, June 29, 2015

Mee Bandung Muar... paling sedap... a keeper!

Assalamualaikum & salam sejahtera...



Mee bandung ni biasanya timbul bila masuk bulan Ramadhan je kat rumah MaDiHaA. Memang antara menu feberet, tapi tak selalu masak sebab en. suami kurang gemor.  Tapi bila masuk bulan puasa... ikutkan juga keinginan tekak sendiri walaupun en. suami kurang suka.. hehe... 

Masih setia dengan resepi perkongsian sahabat maya iaitu Sabrina... memang sedap sangat ikut selera MaDiHaA.  Walaupun resepi ada derhaka sikit dari resepi original yang sepatutnya tak letak sos... tp ikut selera MaDiHaA ianya bertambah sodap bila tambah sos tu. Untuk pengetahuan Sabrina ni memang orang Johor dan resepi ni resepi warisan dari maknya.. MaDiHaA ikut Sab je.. Sab tambah sos.. MaDiHaA pun tambah sos.. jangan marah eehh orang Muor... kalau nak marah kena marah Sab dulu.. kekeke... Sab awal2 dah minta ampun dari maknya... hehe..

Harap kawan2 yang nak mencuba tu jangan lengah2 lagi sebab resepi ni memang antara yang terbaiklah.  Memang a keeper gitu.  MaDiHaA belum jumpa mee bandung sedap bila makan kat sekitar PJ ni.  Jadi memang jarang order mee bandung bila makan kat luar (luar waktu bulan puasa la). Jadi bila tiba bulan puasa... bila tekak dok teringin & untuk puaskan hati memang kena masak sendiri ikut resepi yang terbaik ni. 

Jom MaDiHaA kongsikan sekali lagi resepi nya...




Mee Bandung Muar
Resepi : Sabrina
Sumber : MaDiHaA a.k.a Ratna

Bahan-bahan untuk kuah: Utk dimesin
5 ~ 6 ulas bawang merah
3 ulas bawang puteh  
10 tangkai cili kering ~ dipotong & rebus hingga lembut
segenggam kacang tanah (MaDiHaA letak dalam 2/3 cawan) ~ digoreng dan dimesin halus  
1 paket udang kering (2 sudu besar) ~ dimesin bersama kacang tanah  
300 gram daging ~ potong nipis & rebus empuk
4 biji telur  
2 sudu sos tomato
4 sudu sos cili (MaDiHaA tambah lagi sikit)  
Sedikit minyak masak ~ utk menumis
Garam secukup rasa  
2 sudu besar gula (MaDiHaA tambah)
air secukupnya  
1 ikat sawi ~ dicelur (MaDiHaA campurkan terus sayuran dalam kuah)
1 peket jagung muda (MaDiHaA tambah)
1 bungkus mee kuning ~ dicelur (MaDiHaA guna 450 gram jer ngam2 dgn kuah)

limau kasturi ~ optional  
daun sup ~ optional
tauhu goreng ~ optional
bawang goreng ~ optional 

 Bahan-bahan untuk cili jeruk:
3 tangkai cili merah ~ dihiris tebal
3 tangkai cili hijau ~ dihiris tebal (MaDiHaA guna cili hijau semuanya)
sedikit air panas
1 sudu cuka
sedikit garam (MaDiHa tambah)


 

Cara-cara:
1. Sediakan dahulu cili jeruk dengan mencampurkan semua bahan2nya & biarkan cili terendam dengan bekas yang bertutup.
2. Panaskan sedikit minyak, dan tumiskan kesemua bahan-bahan yg telah dimesin sehingga naik baunya & terbit minyak.
3. Masukkan 2 mangkuk air,  kacang tanah dan udang kering yang telah dimesin tadi.
4. Setelah beberapa minit, masukkan sos cili, sos tomato, garam & gula secukup rasa.  Masukkan daging yang siap direbus berserta air rebusan.
Nota Sabrina: ** kalau ikutkan resepi mee bandung Muar yang asli, tak ada letak sos tapi Sab degil.. nak letak gaks.. hehehe Ampun Mak...
5. Kacau rata semua bahan dan kemudian pecahkan telur sebiji demi sebiji ke dalam periuk (lebih selamat pecahkan dulu dalam mangkuk lain sebelum dimasukkan ke periuk bimbang jika ada telur yg busuk) dan perlahan kan api dapur. Biarkan sehingga telur masak.
6. Setelah telur masak,  boleh lah dihidang dengan mee, sayur sawi dan juga cili jeruk. (MaDiHa campurkan sekali sayur2an di dalam kuah sebelum masukkan telur)


Nota MaDiHaA : Kepekatan kuah terpulang pada selera individu jadi jumlah air yang dimasukkan ikut keperluan masing2 ye.

Friday, June 26, 2015

Rendang Tok (III)

Assalamualaikum & salam sejahtera

Jumaat ke dua di bulan Ramadhan hari ni.  Sekejap je dah masuk 9 hari kita berpuasa.  Mudah-mudahan kita semua dipanjangkan umur dan dikurniakan kesihatan yang baik agar dapat menghabiskan puasa sebulan pada tahun ini.  

Oklah tak boleh bebel panjang2 sebab banyak lagi tugasan lain yang nak dibuat.  Jom MaDiHaA kongsi resepi rendang tok versi ke 3 yang pernah kami cuba ni.  Ada banyak versi juga rendang tok ni rupanya... tapi semua pun sedap2 belaka. Resepi ni MaDiHaA ambil dari sebuah buku yang tak dapat dikenal pasti tajuknya sebab resepi ni en. suami yang photocopy dari buku kawan dia.. hehe.. jangan tak caya orang lelaki pun minat bab2 ambik & simpan resepi ni.  Nampaknya minat en. suami dengan kawannya sama... patutlah ngam.. hahaha... Yelah.. bila ada resepi macam ni.. kita si isteri ni nak memasak pun senanglah sikit sebab ada bahan rujukannya kan... Semua untuk manafaat bersama.  Tak semua orang lahir ni terus pandai memasak.  Semua perlukan rujukan samada melalui buku, internet atau dari mak & tok nenek kita.. Dari situlah kita2 ni semua pandai masak...

Resepi rendang tok (II) pun dicuba dari resepi yang en. suami photocopy tapi resepi kali ni ada lain sikit bahan2nya.  Ok jom semak resepi.. Kalau belum ada idea nak masak untuk berbuka petang ni.. bolehlah cuba resepi rendang tok yang enak ini..



Rendang Tok (III)

Bahan2

600 gm daging ~ potong saiz sesuai
3 sudu besar gula merah
garam secukup rasa
serbuk perasa jika suka
1 sudu besar asam jawa ~ ramas dgn air ambil jus
1 cawan kelapa parut ~ dibuat kerisik & tumbuk halus
2 helai daun kunyit ~ buang tulang tengah & dihiris rampai
minyak masak secukupnya
2 cawan santan pekat dari 1 biji kelapa
2 cawan santan cair (perah dari kelapa yang sama)

Bahan Tumis
3 ulas bawang merah ~ dihiris
3 ulas bawang putih ~ dihiris
2 biji buah pelaga
2 inci kulit kayu manis
4 kuntum bunga cengkih
 
Bahan Kisar
20 biji cili kering ~ rebus 
3 sudu besar ketumbar biji
2 sudu besar jintan manis biji
1 sudu besar jintan putih biji
1 sudu kecil lada hitam
10 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
4 cm halia
4 cm lengkuas
5 batang serai
3 biji buah keras

Cara menyediakan
1. Panaskan minyak masak lalu tumiskan bahan tumis sehinga bawang kekuningan. Masukkan bahan kisar & tumis lagi sehingga naik minyak.  
2. Masukkan daging yang dihiris & kacau rata. Masukkan santan cair & biarkan hingga daging hampir empuk.  Sesekali dikacau supaya tak berkerak. 
3. Masukkan santan pekat, air asam jawa, gula merah, garam & perasa. Kacau sebati & biarkan lagi sehingga agak kering. Bila rendang nampak agak pekat masukkan kerisik yang ditumbuk halus serta daun kunyit.  Kacau sebati. Jika daging masih keras... boleh tambah lagi 1 cawan air & sambung lagi merenih hingga daging empuk.
4. Tunggu hingga rendang benar2 kering & bolehlah ditutup api & hidangkan.

Selamat mencuba!

Thursday, June 25, 2015

Gulai Lemak Rebung Madu Dengan Udang

Assalamualaikum & salam sejahtera...
Rebung ni sebenarnya lebihan rebung madu yang MaDiHaA beli dari Kak IlahJY tempohari.  Masak pun dah lama dah ni.  Sebahagian dibuat acar & selebihnya dimasak gulai lemak ni.  MaDiHaA memang suka sangat dengan rebung, tak kira masak apa pun. Tapi en. suami lebih suka dibuat gulai macam ni. Acar rebung yang MaDiHaA buat tempohari dia kurang minat... dia rasa sikit2 je. Untung la kan sebab orang tak suka kita boleh makan banyak.. hehehe... So kira acilah kan.. separuh dibuat acar & separuh di masak lemak. Tapi kat bawah tu MaDiHaA bagi resepi untuk setengah kg je... sebenarnya MaDiHaA masak 1kg tau... tak abislah sekali makan untuk kami 4 beranak sebab anak2 kurang suka. Tapi kalau ada anak yang sulung tu haruslah abis kot.  Oklah... kat bawah tu resepi mudah2 je MaDiHaA kongsi.. mana tau boleh datangkan ilham untuk berbuka puasa nanti kan...
 
Gulai Lemak Rebung Madu Dengan Udang

Bahan2
300 gm udang saiz sederhana
½ kg rebung madu
2 btg serai ~ ketuk
serbuk perasa & garam (jika perlu sebab dah bubuh garam kasar)
sebiji kelapa di ambil santan secukupnya
1 keping asam gelugur

Bahan ditumbuk halus
4 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
15 ~ 20 biji cili padi (ikut kepedasan yg anda suka) 
2 inci kunyit hidup ~ tumbuk halus
sedikit garam kasar (utk memudahkan cili lumat serta kurangkan percikan waktu menumbuk)
 
Cara memasak
1) Rebung di potong saiz yang sesuai. Rebus sekejap & toskan.
2) Jerang santan bersama bahan2 tumbuk & serai. Kacau2 sentiasa.
3) Bila mendidih.. masukkan rebung, asam keping, serbuk perasa & garam (jika perlu).
4) Biarkan mendidih sambil dikacau2 selalu agak tidak membuak. Akhir sekali masukkan udang & masak seketika sehingga udang bertukar warna.  Renihkan sekejap hingga kuah agak pekat.
5) Agak2 dah secukup rasa garamnya, bolehlah dihidangkan.
Selamat memasak..

Wednesday, June 24, 2015

Bihun Sup

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Bihun sup antara menu wajib dimasak setiap kali bulan puasa. Menu ringkas macam ni memang kesukaan anak2 MaDiHaA. MaDiHaA sendiri pun suka jugak tapi wajiblah ada sambal kicapnya.  Sebab tu tiap kali masuk bulan puasa menu ni antara menu yang wajib di masak. Lagipun masak bihun sup ni tersangatlah mudahnya.. Nak pulak bagi ibu2 bekerja macam MaDiHaA ni memang sentiasa mencari menu2 mudah sebab dapat siapkan dalam masa yang singkat sebab masa yang ada bagi ibu bekerja seperti MaDiHaA & ibu2 berkerja yang lain sangatlah singkat. Bak kata orang.. masak pun dah macam lipas kudung.. hehe..

Jom MaDiHaA kongsi sekali lagi resepinya... sama macam resepi yang lepas cuma jenis sayur je ditukar ikut sayur apa yang ada dalam peti sejuk...




Bihun Sup MaDiHaA's Style
Resepi : MaDiHaA

Bahan2
1 bungkus bihun ~ direndam ~ celur ~ tos ~ cuci dengan aliran air paip ~ tos
Bawang goreng & daun sup untuk hiasan (jika suka)

3 keping tahu digoreng & hiris (jika suka)

Bahan Sup
1/4 ekor ayam ~ potong saiz kecil & cuci bersih
1.5 liter air
400 gm bebola ikan
1/2 ketul kobis bunga ~ potong ikut saiz sesuai
3 pokok sawi ~ dipotong & bersihkan
1 kiub ayam
garam secukup rasa
2 ulas bawang merah ~ dihiris nipis
3 ulas bawang putih ~ tumbuk halus
3 ulas bawang merah ~ tumbuk halus
1/2 inci halia ~ tumbuk halus
minyak masak secukupnya

Rempah tumis
2 biji buah pelaga
1 kuntum bunga lawang
1 inci kayu manis

Cara menyediakan
1. Dalam periuk panaskan minyak lalu tumiskan rempah tumis & bawang merah hiris hingga wangi. Masukkan pula bahan yang ditumbuk & tumis hingga naik minyak. Masukkan ayam & kacau rata.  Masukkan air & biarkan mendidih.
2. Masukkan kiub ayam, bebola ikan & garam secukup rasa. Biar seketika. Akhir sekali masukkan kobis bunga & sawi masak sekejap kemudian tutupkan api bila sup dah secukup rasa.  Hidang bihun yang dicelur dengan kuah sup, hirisan tahu, bawang goreng & sambal kicap.


Sambal Kicap

Bahan2
20 ~ 25 biji cili padi
2 ulas bawang putih
2 sudu kecil gula
Kicap manis secukupnya

Cara menyediakan
Tumbuk cili padi & bawang putih hingga lumat. Masukkan dalam mangkuk. Campurkan dengan gula & kicap secukupnya.  Siap untuk digunakan.

Selamat mencuba!

Monday, June 22, 2015

Puding Buih Koktel Berkuah

 Assalamualaikum & salam sejahtera..



Hari ni kongsi menu pemanis mulut sesuai untuk hidangan berbuka puasa.  MaDiHaA buat ni pada Ramadhan yang ke dua tempohari.  Kebetulan anakanda sulung balik dari asrama.. seronokla sikit nak memasak sebab ada kawan nak makan.  Kalau harap adik2nya & en. suami kurang sikit juadah yang manis2 ni.. hehe..

Resepi asal puding buih ni dari Mamiyati. MaDiHaA kerap buat puding ni terutama bila tiba bulan puasa.  Biasanya dihidang tanpa buah koktel.. tapi kali ni MaDiHaA tambahkan buah koktel sebagai pelengkap rasa.  Memang sedap sangat terutama bila makan sejuk-sejuk.   Puding & sosnya tu kita letak dalam peti sejuk dulu sebelum menghidang. MaDiHaA ucapkan berbanyak terima kasih pada Mamiyati yang berkongsi resepi ni.  Minta izin kongsi di blog ye.  Sebelum ni MaDiHaA pernah kongsi dah kat Fotopages..




PUDING BUIH KOKTEL BERKUAH
Sumber : Mamiyati

Diolah oleh : MaDiHaA aka Ratna
 

Bahan2 Untuk Puding
20 gram agar2 tali
4 cawan air
1/2 cawan gula halus
5 biji putih telur
3 biji kuning telur
1 s/k esen vanila

Bahan Kuah/Sos
1/2 tin susu manis
2 biji kuning telur
4 cawan air
2 helai daun pandan
1 s/k esen vanila (jika suka)
2 sudu besar tpg kastad
3 s/b gula pasir
sedikit pewarna kuning 



Bahan Tambahan
1 tin buah koktel
 

Cara2 Menyediakan Puding
1. Masak agar2 bersama 4 cawan air. Kacau2 supaya agar2 benar2 hancur.
2. Pukul putih telur sehingga ringan, masukkan gula sedikit demi sedikit. Pukul lagi hingga bila diterbalik mangkuk, tak jatuh texturnya....
3. Masukkan kuning telur satu persatu dan esen vanila sambil dipukul dengan kelajuan yg perlahan.
4. Bila dah sebati masukkan agar2 yang sedang mendidih tadi sedikit demi sedikit sambil dipukul sentiasa dengan mixer. Pukul adunan sehingga agar2 menjadi suam dan bolehlah tuangkan ke dlm loyang. Bila dah sejuk sedikit.. masukkan dlm peti ais.

 

Cara2 Menyediakan Kuah/ Sos
1. Bancuh tepung kastad dengan sedikit air.
2. Dalam periuk kecil, campur air, kuning telur, susu manis, esen vanila dan daun pandan. Kacau rata.
3. Masak diatas api sederhana hingga mendidih. Sos hendaklah dikacau selalu agar tak berketul2.
4. Masukkan bancuhan tepung kastad ke dlm sos dan masakkan sehingga pekat.
Tutupkan api.
5. Semasa menghidang.. potong puding saiz kesukaan anda dan letak dlm mangkuk. Taburkan dengan buah koktel secukupnya dan tuangkan sos di atasnya. Sedia untuk dihidangkan.


Selamat mencuba!

Thursday, June 18, 2015

Bebola Ikan & Kentang Tiga Rasa

Assalamualaikum & Salam Ramadhan...

Selamat menjalani ibadah puasa buat semua muslimin & muslimat sekalian. Syukur ke hadrat Ilahi kerana masih dipinjamkan usia untuk menikmati indahnya Ramadhan pada tahun ini.  Sama-samalah kita berdoa semoga kita sempat menghabiskan sebulan berpuasa pada tahun ini dan seterusnya menyambut hari raya bersama keluarga.  Semoga Ramadhan tahun ini adalah lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya... insyaAllah..


Kongsi menu ringkas sesuai untuk bersahur yang waktu memasaknya tak begitu panjang.  Jom semak resepi ni..

Bebola Ikan & Kentang Tiga Rasa
Resepi : MaDiHaA

Bahan-bahan
2 peket kecil bebola ikan
3 biji kentang ~ kopek & hiris
1 biji cili benggala hijau saiz kecil ~ potong kiub lebar
1 biji bawang besar ~ hiris
2 ulas bawang putih ~ hiris
2 sudu besar cili kering kisar
4 biji cili kering ~ kerat pendek2
1/2 cawan air
3 sudu besar sos tiram
2 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos ikan
1 sudu besar sos tomato
garam secukup rasa
minyak masak secukupnya

Cara menyediakan
  1. Goreng kentang hingga kekuningan. Angkat & tos. Ketepikan dahulu.
  2. Kurangkan minyak gorengan untuk menumis. Tumis bawang putih, bawang besar & cili kering hingga wangi. Masukkan cili kering kisar & biar hingga masak.
  3. Masukkan bebola ikan & kacau rata. Masukkan 1/2 cawan air, kesemua sos2 dan biar mendidih. Masukkan garam sekadar perlu & kacau sebati.
  4. Akhir sekali masukkan kentang goreng & cili benggala & gaul rata.  Bila dah secukup rata, bolehlah hidangkan.


Selamat mencuba!

Wednesday, June 17, 2015

Kari Ayam Berkentang

Assalamualaikum & salam sejahtera...

Tak tau kenapa MaDiHaA kalau bab masak kari mesti failed!  Tengok orang lain buat kari menarik je... merah menyala & berminyak2... hehe.. Agaknya sebab MaDiHaA tak guna serbuk cili & lagi satu mungkin sebab penggunaan minyak yang minima tu yang buat kari MaDiHaA kurang pecah minyak.  Maklumla.. konon2 untuk jaga kesihatan kan.. tak maula guna minyak banyak2 sangat.  Pastu.. kulit ayam pun memang setiap kali masak mesti MaDiHaA buang.. jadi memang takdelah lemak2 dari ayam yang menyumbang kepada lemak untuk kuah tu.  Biasa kalau masak nasi ayam boleh tengok beza kalau rebus ayam sekali kulit dengan rebus ayam tanpa kulit. Kalau yang takde kulit tu memang kurang minyak2 yang timbul dalam sup tu.. berbanding kalau rebus ayam dengan kulitnya sekali memang banyak minyak yang keluar. So buat nasi ayam pun nampak cantik je berminyak2. Tapi nasi ayam MaDiHaA kurang minyakla sebab guna ayam tanpa kulit.. hehe.. Takpelah kan.. yang penting kesihatan keluarga tu yang kita kena jaga.  

Bila difikir2.. lagi satu penyebabnya... rasa2nya mungkin sebab dok guna santan kotak... mana boleh lawan dengan santan dari kelapa parut kan? hihi.. Tulah.. kalau dah malas tu faham2 sendirilah... Tau nak yang mudah je kan.  Nak buat macamana.. ibu bekerja memang sokmo fikir nak yang cepat aje.  Cepat siap masak boleh sambung buat kerja lain pulak yang banyak menanti.... semuanya nak disiapkan sepulang dari kerja... 

Oklah.. sebelum letak resepi MaDiHaA nak ucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak buat semua pengunjung blog MaDiHaA & selamat menjalani ibadah puasa.



Kari Ayam Berkentang

Bahan2
1/2 ekor ayam `~ dipotong sederhana besar & bersihkan (MaDiHaA buang kulit)
2 biji kentang ~ kupas & potong 4 atau 6
2 sudu besar kisaran cili kering + bawang besar + bawang putih
3 sudu besar rempah kari ayam/daging + air dijadikan pes
1 sudu besar asam jawa + air ambil jus
700 ml air
1 kotak santan
minyak masak secukupnya
garam & serbuk perasa secukupnya

Bahan tumisan
2 tangkai daun kari
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 kuntum cengkih
2 biji buah pelaga
4 ulas bawang merah ~ dihiris
2 ulas bawang putih ~ dihiris
1 inci halia ~ hiris batang mancis

Cara menyediakan
1. Panaskan minyak lalu tumiskan bahan tumisan sehingga berbau harum. Masukkan 2 sudu bahan kisaran cili kering + bawang kacau rata. Bila terbit minyak, masukkan pes rempah kari & kacau rata sampai rempah masak.
2. Masukkan ayam & gaul rata. Tuang air asam jawa & biar mendidih sebentar. Masukkan air & kacau rata & biarkan hingga mendidih. 
3. Masukkan kentang & kacau sebati.  Tunggu hingga kentang hampir empuk.
4. Tambah santan, garam & serbuk perasa secukup rasa.  Kecilkan api & tunggu sehingga kari nampak pecah minyak.  Bila secukup rasa bolehlah dihidangkan.

Selamat memasak!

Friday, June 12, 2015

Pulut Kuning Berhias Hari Jadi *Tempahan*

Assalamualaikum & salam sejahtera....

Dah lama sebenarnya tempahan pulut kuning berhias ni. Tapi asyik tangguh2 je nak update ke blog. Mood update semakin ke laut nampaknya.. aduhaii...Tempahan ini dari En. Asri yang menempah khas buat sahabat baik beliau sempena hari jadi sahabat & jugak anak pada sahabat.  Kira harijadi 2 in 1 la ni.. katanya tarikh hari jadi sahabat baik & anak pada sahabatnya dekat2. Sebab tu En. Asri request nak ada 2 anak burung yang cute tu... hehe... Oleh sebab pulut ni akan diberikan pada sahabatnya sebagai surprise.. En. Asri request jugak mintak tapaukan pulut serta serunding & telur untuk dirinya dalam bekas lain.  Ye tak ye jugak kan... nanti menelan air liur pulak tengok pulut... takkan nak mintak rasa sebab dah bagi kat orang.. buruk sikulah pulak... hehehe.. Jadi MaDiHaA siap2 tapaukan untuk beliau jugak.  Cuma masa ambik gambar ni tak letak sekali pulut dalam polistrin tu.. hehe...


Menggunakan 1.25kg pulut kesemuanya termasuk yang tapau untuk makan sendiri buat En. Asri.  (Berat pulut siap masak semestinya lebih berat lagi ye) Terima kasih banyak2 En. Asri sudi menempah dengan akak.  Terlebih maupun terkurang mohon dihalalkan.

Thursday, June 11, 2015

Jeruk Kedondong Asamboi

Assalamualaikum & salam sejahtera...

Demam jeruk asamboi ni memang menjadi2 satu ketika dulu.  Ramai yang dah mencuba.  Saja MaDiHaA malas nak masukkan resepi ke blog.  Tunggu reda sikit barulah share kat blog.. hehe.. Tapikan.. sebenarnya.. MaDiHaA pun dah beberapa kali buat Jeruk Betik Homemade guna asamboi sejak beberapa tahun lalu. Cuma bezanya MaDiHaA guna asamboi warna merah tu.  Cuma mungkin tak diviralkan tu yang tak glemer resepi jeruk yg MaDiHaA pernah buat tuh.. hahaha..

Gambar kat bawah ni pun dah lama kejadiannya.. kira2 masa musim demam jeruk asamboi dulu tulah.. Tapi sebenarnya jeruk asamboi ni bukan MaDiHaA yang buat.. semua en. suami yang buat.. Bukan takat kedondong je... mangga, nenas, jambu batu.. semua dah try.. semuanya sedap2.  Terima kasih En. suami.. puan isteri tukang makan jer... kehkehkeh...


MaDiHaA tak pastilah resepi asal jeruk asamboi yang ni sapa yg punya.  Versi MaDiHaA dulu ada penggunaan cuka sikit sebab buah betik kan takde rasa masam.. jadi kenalah tambah cuka. Tapi versi yang ini biasanya orang guna buah yang sedia masam.. jadi tak perlu guna cuka.  Dalam FB tu rata2 semua orang dah cuba. Siap ada yang berjualan lagi kan. Resepi mudah je kan.. tapi share jugaklah utk rujukan anak2...

Jeruk Kedondong Asamboi

Bahan2
Buah kedondong muda secukupnya 
Gula pasir ikut banyak mana buahnya (agak2 la ye)
asamboi secukupnya ~ boleh gunting2 kalau suka.. biar cepat sebati..
cili padi ~ potong2 (tak letak takde stok masa ni)

Cara menyediakan

1. Kupas kulit kendondong & potong sesuai rasa. Basuh & toskan.
2. Masukkan dalam bekas sesuai. Taburkan gula & asamboi, cili & gaul rata. Simpan dalam peti sejuk sekejap atau semalaman.  
3. Sedia dihidangkan.

Selamat mencuba!


Thursday, June 4, 2015

Triffles untuk dibawa berkelah...

Assalamualaikum  & salam sejahtera...

MaDiHaA buat puding triffle ni untuk bawak bekal masa berkelah dengan family baru2 ni.  Berkelah dengan adik2 & ma tersayang.  Seronok sangat dapat berkumpul ramai2 bila ma & adik2 datang dari kampong. 



Pasal triffle ni pulak... yang hairannya.. warna jeli kristal tu boleh hilang & jadi warna neutral je pulak.. so dah tak cunlah sebab nampak kuning warna custard je.. hehehe.. Tapi takpelah cuma warna je yg kureng... rasa tetap sama... hihi..

Resepi ulangan je ni... Guna resepi basic dari Chef Hanieliza. Kek gulung pula MaDiHaA buat kek gulung guna resepi basic kek gulung kasih.



TRIFFLES  
Resepi : Kak Liza
 
Bahan-Bahan:  
1 bungkus kek swiss roll (MaDiHaA gunakan kek gulung kasih. Resepi boleh klik SINI)
1 kotak agar-agar segera (Lady's Choice) - perisa strawberry (MaDiHaA gunakan Crystal Jelly jenama Nona perisa rasberry@ kurangkan sukatan airnya kepada 300 ml saja ~ saranan menggunakan 400 ml air)
1 tin fruit cocktail  
2 sudu besar tepung kastard (MaDiHaA tambah lagi sesudu besar)  
3 sudu besar gula
3 cawan susu segar

Cara:
1. Campurkan tepung kastard, gula dan susu dan masak sehingga menggelegak dan pekat. Angkat dan biar sejuk. (MaDiHaA buat step 2 & 3 dahulu barulah masak kastard (step 1).. bila kastard dah masak terus je tuang ke atas potongan kek yg telah dibasahkan dengan jus buah cocktail tadi..)  
2. Potongkan kek swill roll dan susun ke dalam bekas [kalau nak cantik..masukkan dlam bekas kaca..nanti nampak lapisan triffle ni] sehingga penuh.  
3. Kemudian ambil sedikit jus buah cocktail dan tuangkan keatas kek tadi.  
4. Tuangkan kastard tadi keatas kesemua kek sehingga rata.  
5. Taburkan buah cocktail keatas kastard tersebut.
6. Bancuh/masak agar-agar segera mengikut arahan yang telah disediakan dan tuangkan keatas buah cocktail tadi.
7. Masukkan ke dalam peti sejuk.

Selamat mencuba!

Wednesday, June 3, 2015

Makaroni Goreng

Assalamualaikum & salam sejahtera...

Bermula sudah cuti sekolah... maka awal2 pagi sebelum solat subuh & bersiap ke pejabat wajiblah masak lebih sikit untuk anak2 di rumah. Abang & adik masing2 tak mau pegi ke day care atau rumah transitnya.. Semua nak duduk rumah sebab kakaknya dah balik dari asrama.  Bukan apa tu.. kat rumah kan ramai kawan2 yang sama2 cuti sekolah.  Apa lagi.. asyik ingat nak main ajelah tu.  Mujur minggu ni ayahnya pun kerja shift malam.. jadi bolehlah juga pantau anak2. 

Kalau masak untuk dorang tu memang kena masak banyak sebab semuanya kaki makan. Sikit2 nanti tak cukup.  Ini pun entah2 tak sempat tengahari.. padan makan pagi je. Kalau dah habis tu.. pandai2lah kakaknya pula jadi tukang masak. hihihi....

Kuantiti resepi kat bawah ni memang dapat banyak.  Kalau rasa banyak sangat boleh buat separuh je. Resepi biasa2 je ni. Takde yang istimewa pun. Tapi alhamdulillah.. adalah 'rasa' dia bila dijamah... janji anak2 kenyang...




Makaroni Goreng 
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
500 gm makaroni pasta ~ direbus hingga lembut ~ tos
3 ulas bawang putih ~ diketuk & cincang
10 - 12 sudu besar cili + bawang besar + bawang putih yang siap dikisar pekat ye.. kalau cair sila lebihkan kuantiti)
1 biji tomato ranum ~ didadu
minyak masak secukupnya
6 - 7 batang sosej ~ dihiris
4 sudu besar sos tiram
3 sudu besar sos cili
3 sudu besar kicap
3 sudu kfc garam atau secukup rasa ikut selera sendiri
2 cawan air
2 biji telur
1/4 kobis ~ dihiris
1 biji carrot ~ di sagat kasar

Cara menyediakan
1. Panaskan minyak masak secukupnya. Tumis bawang putih cincang hingga wangi. Masukkan cili & bawang kisar. Tumis hingga naik minyak. Masukkan tomato dadu & sosej yang dihiris. Kemudian masukkan 1 cawan air. Biar hingga sosej masak sebentar.  Tambah sos tiram, sos cili, kicap & garam. Kacau rata.
2. Pecahkan telur ditepi kuali. Jangan terus dikacau. Biar telur masak sikit lepas tu balikkan & biar seketika. Bila nampak telur beku sikit barulah kacau2. 
3. Masukkan hirisan kobis & boleh tambah 1 cawan air lagi jika nampak kering. Kacau rata. Kemudian masukkan makaroni yang direbus tadi & kacau sebati. Akhir sekali masukkan carrot yang disagat & kacau sebati. Rasakan apa yang kurang boleh ditambah baiki rasanya ye. Kemudian bolehlan dihidangkan.

Selamat mencuba!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...