Thursday, June 30, 2011

Nasi Lemak dengan Sambal Tumis Tempoyak

Assalamualaikum...

Bersua lagi... syukur masih dipanjangkan usia & masih dapat bernafas dibumi Allah ini...

Hari ni sebenarnya agak geram jugak sebab nak update blog dari pagi hingga ke petang asyik jer keluar Bad request Error 400.  Ehh.. kenapa jadi gitu yekk? Mula2 tengok kawan2 yang lain okey je pulak mengupdate blog pagi tadi.. yang aku ni terkial2 nak mengupdate.. bukan saja tak dapat update.. nak komen kat blog kawan2 pun tak boleh.  Kat blog sendiri apatah lagi… Cuma kat shoutbox je boleh komen.. Grrrrrr…. Last2 masuk FB mengadu ngan kawan2 kat sana… yelah.. nak ngadu kat blog tak boleh tinggalkan komen last2 melepak kat FB jer petang tadi... Hehehe.. rupa2nya.. ada jugak kawan2 yang mengalami nasib yang sama ngan aku.. blogger problem atau Mozilla problem pun tak taulah.. Sekarang ni try masuk guna Google Chrome okaylah pulak… cepat2 update dulu.. hehe..

Dah petang baru dpt update.. sepatutnya nasi lemak ni nak update pagi td.. nasiblah ye.. tayang nasi lemak petang2.. hehe..





Okeylah hari ni layan menu kemelayuan pula yer... Siapa akan menolak jika dihidangkan dengan nasi lemak ni yer.. hmmm.. rasanya.. agak sukar nak menolak kalau dah terhidang di depan mata... betul tak?

Jika kebiasaan nasi lemak dihidang dengan sambal tumis yang berwarna merah tu... apa kata anda cuba pula makan nasi lemak dengan Sambal Tumis Tempoyak ni... memang sedap tau!! Ini sebenarnya.. permintaan encik suami... dia kan kurang suka sikit masakan yg guna cili kering ni... makan tu makanlah.. tapi kalau dapat masakan yang guna cili padi lagi dia suka... Jadi.. disebabkan permintaan dari big boss begitu.. kita pun masakkan ajelah.. lagipun.. sendiri pun memang gemor jugak sambal tumis tempoyak ni.. hihihi.. sebab tu tak banyak soal jawap..


Jom tengok resepinya yer...




Sambal Tumis Tempoyak
Resepi : MaDiHaA a.k.a Ratna


Bahan2
segengam ikan bilis dibersihkan
1 biji bawang besar ~ dimayang
Garam secukup rasa
Gula secukupnya (jika guna tempoyak yg lama/masam)
Minyak masak secukupnya


Bahan2 ditumbuk
20 biji cili padi (ikut pedas masing2)
1 cm kunyit hidup
2 sudu besar tempoyak (seeloknya tempoyak yg baru ~ yang tak masam)
1 cawan air (untuk bancuh ramuan tumbuk tadi)


Cara2 Membuatnya
1. Tumbuk cili padi & kunyit hidup hingga lumat kemudian campurkan tempoyak. Bancuh dengan 1 cawan air hingga menjadi pes yg pekat.
2. Panaskan minyak dlm 1 cawan. Goreng ikan bilis hingga agak garing. Angkat dan ketepikan.
3. Goreng pula bawang besar hingga layu kemudian angkat & ketepikan.
4. Gunakan minyak yg sama (boleh kurangkan sikit kalau rasa byk sangat).. tumiskan bahan2 tumbuk/pes tadi hingga masak.
5. Masukkan 1 cawan air / lebih jika perlu (jika suka sambal cair). Biarkan mendidih.  Masukkan bwg & ikan bilis dan masak lagi.
6. Perasakan dengan garam, perasa & gula (jika perlu).
7. Jika terlalu pekat boleh tambah air lagi.. rasakan biar secukup rasa. angkat & bolehlah dihidangkan dengan nasi lemak atau nasi putih panas2.


Selamat mencuba!

Wednesday, June 29, 2011

Puding Keju

Assalamualaikum....


Salam Israk & Mikraj... 3 buah negeri yang bercuti hari ni kan... selamat bercuti utk negeri Kedah, Negeri Sembilan & Perlis... Kami di Selangor ni kerja macam biasa... cuma sekolah agama anak dara ku aje istihar cuti hari ni.. so hari ni kakak Dini cuma pegi sekolah kebangsaan aje.. & katanya petang ni nak pegi ke Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya dengan rakan2nya.... oklah tu dari buang masa dok ngadap astro kat rumah transit baik dia pegi baca buku kat sana... boleh pinjam buku sekali... ada gak faedahnya..

Oklah.. disebabkan dah lewat sangat baru sempat update blog... terus update pencuci mulut yang amat-amat sedap ni... wahhh.. betul kata Kak Nor.. puding ni sememangnya sedapp!! Terima kasih pada AlongRoz@homekreation berkongsi resepi yang best ni & terima kasih jugak Kak Nor@ Secubit Garam yang terlebih dulu mencuba & mewar2kan kepada kami semua... 

Anak2 semua suka puding ni... si kecik ku Alin pun angkut makan puding ni lepas satu satu... sekali hadap boleh habis 3 ketul.. wahhh.. terer betul anak ibu makan yer... sedap sangatlah tu... kakak Dini siap suruh buat lagi.. hehe.. insyaAllah nanti mesti ibu nak buat lagi sebab ibu sendiri pun tak puas makan aritu.. buat puding ni 1 adunan terus.  Dapat banyak jugak.. sebahagian dimakan kat rumah pastu lebihnya.. separuh dibawa ke rumah makcik masa aku masak makaroni goreng pedas berempah tu.. & lebihnya tu simpan dalam peti sejuk sebab kebetulan malam tu mak & adik2 nak datang rumah.. 

Ok pada Alongroz.. MaDiHaA mintak izin ye letak resepi kat sini. Terima kasih banyak2 untuk resepi yang best ni.. Tapi mintak maaf sebab ada ejas bahan2 sikit sebab nak kurangkan manis & lagi satu.. MaDiHaA gantikan serbuk agar2 dengan agar-agar tali sebab kat rumah cuma ada agar2 tu aje... harap tak marah ye..




Puding Keju 
Resipi : AlongRoz@homekreation
Sumber : Kak Nor @Secubit Garam

Saiz 8" persegi

BAHAN2:
13g Serbuk Agar-Agar (MaDiHaA guna 15g agar-agar tali)
1 liter Air
120g Gula
3 biji Telur (MaDiHaA letak 2 biji gred A.. itu je yg tinggal)
120-150g Biskut Cheese - blend halus
1 sb Tepung Kastad
400ml Susu Cair
200g Susu Pekat (MaDiHaA letak 100 gm aje)
50g Mentega

CARA2:
1. Masak serbuk agar2 dgn air sehingga hancur. Kacau selalu.
Masukkan gula & kacau sehingga sebati.

2. Pukul telur sehingga rata & campurkan biskut & tpg kastad.
Masukkan susu & kacau sebati.
Tuangkan ke dlm adunan agar2 tadi & tutup api apabila mendidih.
Masukkan mentega sehingga sebati.

3. Tuang ke dlm tin/acuan & biarkan sejuk di suhu bilik.
Sejukkan sebelum di hidangkan.

* Utk bahan telur, biskut, susu cair, susu pekat dan tepung kastard.. K.Nor blend semua sekali dlm blender.
Bila dah tuang ke dlm adunan agar, adunan akan jd pekat dan hendaklah sentiasa dikacau hingga mendidih. Pastu padamkan api dan biarkan sebentar (sejuk sket), baru lah dituang dlm mould (kacau dulu hingga sebati sebelum menuang) (MaDiHaA kisar bahan ikut cara  Kak Nor)



Selamat mencuba!

Tuesday, June 28, 2011

Ayam Goreng Ala KFC (versi hot & spicy)

Salam....


Ok... untuk menu seterusnya yang saling melengkapkan antara satu sama lain.... inilah dia menu utamanya... Ayam Goreng Ala KFC Versi Hot & Spicy.  Memang sebiji serupa macam kat KFC tu... tepong gorengannya pun rangup sangat.. resepi ni pasti akan di simpan elok2... wahhh.. seronok anak2 dapat makan ayam KFC kat rumah.. ibu dia lagi seronok sebab tak payah keluar duit lebih2 untuk set yang lengkap ni.. cuma bun jer takde.. lagipun anak2 memang tak makan bun kalau order set KFC tu.. 

Terima kasih banyak2 pada Ijan untuk resepi yang sangat sempurna ni.. akak mintak izin yer letak resepi kat sini mana tau ada kawan2 yang nak mencuba.  Dan resepi ni pasti akan dibuat lagi & lagi... besttttt!!!!

Terima kasih jugak pada Kak Nur & Zaliedana yang telah terlebih dulu mencuba...


Ayam Goreng Ala KFC
Resepi : Ijan Blogresepi
Sumber : Kak Nur & Zaliedana

Bahan Untuk Perap Ayam
6-8 ketul ayam
3 ulas bawang putih ditumbuk (MaDiHaA lebihkan 2 ulas lagi)
Sedikit garam
1 sudu besar serbuk cili
1 sudu kecil lada hitam ~ ditumbuk halus
Secubit baking powder
Secubit serbuk perasa

Bahan untuk tepung
1 cawan tepung jagung
1 cawan tepung beras pulut (guna tepung jagung 2 cawan pun takpe ~ MaDiHa guna separuh tpg beras pulut + separuh tpg jagung utk sukatan yg ini..)
3 ulas bawang putih ditumbuk (MaDiHaA skip yang ini.. tapi lebihkan bawang putih utk perap tu)
Sedikit garam
1 sudu besar serbuk cili
1 sudu kecil lada hitam ~ ditumbuk halus
Secubit baking powder
Secubit serbuk perasa


Bahan Tambahan
1 biji telur 
Minyak secukupnya

Cara2
1. Perap ayam dengan bahan-bahan perapan selama 1 jam.
2. Campurkan semua bahan-bahan untuk tepung di dalam bekas sehingga rata.
3. Selepas 1 jam, celup ayam yang telah diperap ke dalam telur yang dikacau.
4. Salutkan ayam tersebut di dalam campuran tepung tadi.
5. Goreng dalam minyak yang banyak sehingga garing.
6. Toskan minyak dan sedia untuk dihidangkan.




Untuk resepi Coleslaw.. klik SINI.
Untuk resepi Sos Kentang Putar... klik SINI.


Selamat mencuba!

Sos Kentang Putar

Sambung lagi yer....



Okey... resepi seterusnya untuk hari ni ialah Sos Kentang Putar yang sangat-sangat sedap ni...! Lebih sedap dari yang pernah aku buat dulu kat SINI.  Sos kentang putar ni memang sebiji rasa macam kat KFC tu tau... kalau you all tak percaya.. cubalah buat sendiri... ejas rasa ikut citarasa sendiri yer.. memang the best!! Aku akan simpan resepi ni elok2.. Ok.. untuk kentang putar tu.. aku hanya gunakan kentang powder yang dibeli dari kedai bakeri.. cuma tambah air panas/susu panas aje..


Terima kasih pada Daun Pandan@MyResepi.... mintak izin letak resepinya di sini yer...


Sos Kentang Putar
Resepi : Daun Pandan
Sumber : MaDiHaA a.k.a Ratna

Bahan-bahan ( 3 - 4 orang )

    * 650 ml air
    * 5 sudu besar stok ayam (MaDiHaA guna 1 kiub ayam brand Knorr)
    * 1 biji bawang besar - cincang
    * 1 batang saderi - cincang (MaDiHaA guna 2, 3 tangkai daun sup)
    * 40 gm mentega
    * 20 gm tepung gandum
    * 1 sudu besar sos tomato
    * 1 sudu besar sos tiram
    * sedikit serbuk lada hitam
    * kicap pekat
    * garam

Cara-cara

   1. Masak air dengan stok ayam,saderi dan bawang besar hingga mendidih.Renihkan dalam 10 minit.Tapis ke dalam mangkuk.
   2. Cairkan mentega dan masukkan tepung gandum.Kacau atas api kecil hingga tak melekat pada tepi periuk.
   3. Tuang air rebusan sedikit demi sedikit sambil dikacau supaya tak bergentel.
   4. Masukkan sos tomato dan sos tiram, juga beberapa titik kicap pekat (kicap utk bagi warna).Masukkan juga serbuk lada hitam dan garam.
   5. Masaklah ikut pekat mana yg disukai.


Bila tengok gambar ni mesti dah boleh teka lepas ni resepi apa kan... hehehe.. 
ok.. tunggu resepi seterusnya akan menyusul...

NOTE: rasa dulu baru letak garam sbb stok ayam dan sos tiram dah masin.

Selamat mencuba!

Coleslaw

Assalamualaikum...


Sekarang ni sambil lunch.. sambil update blog.... aduuuhhh.. banyak betul n3 tertunda2... tak terkejar rasanya nak update dek kesibukan... selalu aku dengar orang bagi alasan sibuk dan tak sempat masak.. tapi aku ni lain sikit bunyinya... sibuk tak sempat nak update blog... masak tetap on walau sesibuk mana pun... hehehehe...

Oklah.. arini kita layan menu western ala2 fast food yer... dimulai dengan resepi Coleslaw... resepi sumber dari MamaFaMi Fotopages.. sejak buat coleslaw resepi mama ni.. terus je lekat ngan resepi ni.. TQ mama... saya tepek sini pulak resepinya yer..


Coleslaw
Resepi : MamaFaMi Fotopages

Sumber : MaDiHaA a.k.a Ratna
Bahan2
Kobis - disagat/ hiris halus
Carrot - disagat
Mayonese secukupnya
sedikit serbuk kayu manis
sedikit gula

Cara2
Sayur yg disagat tadi rendam sebentar dlm air sejuk. Kemudian toskan. Masukkan dlm mangkuk yg besar dan campurkan mayonese secukupnya, sikit serbuk kayu manis & gula. Kacau hingga sebati dan sejukkan dlm peti sejuk sebelum hidang.







Selamat mencuba!

Monday, June 27, 2011

Talam Nangka

Assalamualaikum...


Bersua lagi kita malam ni... curi2 masa kejap update blog.  Nak mintak maaf pada kawan2 semua sebab tak sempat nak reply semua komen2 pada entry yang lepas.  Masa terlalu cemburukan ku... Nak blog walking pun tak berapa sempat... terjah mana yang sempat aje... kalau ada masa memang nak BW semua blog kawan2.. tapi apakan daya... Kat ofis memanglah sibuk.. tapi masih sempat la jugak layan blog sebab buat kerja pun depan PC... tapi tak bermakna boleh layan blog selama 8 jam!  Kat rumah ni... lain pulak  sibuknya..  buat kerja rumah tak sama mcm kerja ofis..  tu yg tak berapa nak sempat gak nak mengadap lappy... cerita pasal kerja rumah ni.. memang tak pernah habis2 bagi kaum ibu kan..?  Tp takperlah.. buat kerja kena ikhlas demi menyempurnakan tugas seorang ibu & isteri yang diamanatkan...


Oklah... malam ni nak update resepi Talam Nangka yang dibuat minggu lepas.  Dah lama teringin nak buat kuih ni tapi asyik je tak berjaya sebab tiap kali beli nangka... memang tak sempat nak diapa2kan... semua anak2 'peminat tegar nangka' termasuk ayah & ibu.. hahaha...

Cerita pasal kuih talam ni... sapa tak kenal dengan Ratu Talam?? Siapa lagi kalau bukan Yatie Sinar Kehidupanku... Macam2 talam yang Yatie dah buat.. semuanya sedap2 & sempurna kejadiannya... Memang geram je tengok.. Pada Yatie... terima kasih banyak2 untuk resepi yang sedap ni ye.. memang kena ngan tekak.. manis pun sedang2 jer.. tekstur kuih pun lembut jer.. memang ngam & kena ngan selera akak.. akak mintak izin letak resepi kat blog akak pulak ye...


Talam Nangka
Bahan-Bahan
Lapisan bawah
  • 1 cawan nangka- di cincang
  • 1 cawan tepung beras
  • 3 s/b tepung jagung
  • 3/4 cawan gula pasir
  • 3 cawan santan cair
  • 2 helai daun pandan
  • sedikit garam
Cara menyediakan lapisan bawah.
  1. Panaskan kukusan, lapiskan plastik dan sapukan minyak pada loyang 8 inci bulat/ 4 segi..
  2. Satukan tpng beras, tpng jagung, gula, garam dan santan cair dan kacau rata...tapiskan.
  3. Masak adunan sebentar sehingga nampak naik wap, masukkan sekali daun pandan supaya wangi....
  4. Masukkan nangka yg di cincang...kacau lagi hingga nangka dan adunan sebati.( keluarkan daun pandan tadi, barulah tuang adunan ke dlm loyang)
  5. Tuangkan adunan kedalam loyang, ratakan dan kukus selama 20 minit.


Lapisan Atas -
  • 1/2 cawan tepung beras
  • 4 s/b tpng jagung
  • 3 cawan santan pekat
  • 1 s/k garam
  • 2 s/b gula pasir
  • 2 helai daun pandan
  • pewarna oren (terpulang pada selera masing2)
Cara menyediakan lapisan atas
  1. Gaulkan semua bahan utk lapisan atas dan tapiskan.
  2. Masakkan sebentar adunan ni diatas api yg sederhana perlahan...masukkan sekali daun pandan... sentiasa kacau supaya adunan ni tidak berketul2.(adunan berwap saja...)
  3. Bila adunan lapisan bawah telah masak, cakarkan sikit dgn garfu dan tuangkan adunan oren atas permukaan nangka tadi...(keluarkan dulu daun pandan tadi..)
  4. Kukus lagi selama 20 minit.
  5. Kuih hendaklah benar2 sejuk barulah di potong dan hidangkan. 

Selamat mencuba!

Makaroni Goreng Pedas Berempah

Assalamualaikum....



Baru berkesempatan menjenguk blog... Pagi tadi agak sibuk kat ofis disamping terpaksa keluar sebentar untuk ke sekolah anak sulung untuk ambil report card.  Lepas ambil report card.. terus bawak anak lunch kat Taman Selera berdekatan.


Agak lewat dapat update entry hari ni.. tapi takpelah.. janji di update.. Tak sabar2 nak update resepi best hari ni.. hehehe.. Semestinya resepi yang sememangnya sedang hot!  Inilah dia Makaroni Goreng Pedas Berempah!  Dah ramai kengkawan lain yang mencuba. Ternyata sedappp!!! Terima kasih Kak Nor Secubit Garam berkongsi resepi yang sedap ni yer.  Menjadi kegemaran anak2 & seluruh family.  MaDiHaA masak 500 gm makaroni (lebih dari double resepi) sebab nak bawa ke rumah makcik bersama2 dengan makanan2 yang lain sebab nak berkongsi kesedapan makaroni ni bersama2 dengan anak2 makcik.. hehehe.. makcik & pakcik ada wedding dinner waktu tu.. jadi elok sangatlah kan berkongsi makan dengan kazen2 ku ittew... dorang pun semua suka.. makan bertambah2.. For sure akan dimasak lagi & lagi... & Thanks to Naknie yang bagi rempah Cajun tu yer.. kebetulan masa dok bercerita pasal Cajun hari sebelum kejadian pasta gorengni... rupa2nya.. Naknie ada 2 botol stok rempah Cajun.. dia selalu gunakan rempah tu untuk perap ayam atau ikan.. Wahh.. rupa2nya kakak mu ini aje yang ketinggalan.. adik sepupu dah lama pandai guna rempah Cajun.. al-maklumlah kan bakal chef.. mesti banyak perkara yang dia dah belajar.. hehehe..

Terima kasih Kak Nor untuk resepi ni & saya mintak izin letak sini pulak ye resepinya.. Resepi terpaksa ditokok tambah & dikurang serba sikit disebabkan kekurangan stok bahan.. & terpaksa kurangkan sikit kepedasan memandangkan ada budak kecik nak makan sama...


Makaroni Goreng Pedas Berempah
Resipi : Kak Nor @Secubit Garam
Sumber : MaDiHaA a.k.a Ratna

Bahan:
2 cawan makaroni (MaDiHaA guna elbow makaroni)
1 kpg dada ayam ~ dipotong kecil (MaDiHaA tambah crab stick sebab stok ayam tinggal sikit)
3 ulas bawang putih ~ diketuk dan dicincang
1 labu bawang besar *
1 biji tomato (besar) *
1/2 batang carrot *
1/3 biji capsicum merah *
1/3 biji capsicum hijau * (* dipotong dadu)
1/2 sudu besar serbuk lada hitam (MaDiHaA cuba sikit je nak kurangkan pedas)
1 sudu besar serbuk cili kasar
1/2 sudu besar cajun
2 sudu besar sos cili
1 cawan air rebusan makaroni
1 biji telur ~ dipukul sedikit
garam
sedikit gula
daun sup ~ dihiris
minyak

Rempah Cajun yang digunakan...

Cara:
Rebus makaroni sehingga lembut dan toskan. (Asingkan 1 cawan air rebusan)
Panaskan minyak dan tumis bawang merah dan bawang putih hingga wangi.
Masukkan ayam dan masak hingga isi ayam bertukar warna putih.
Masukkan tomato, carrot, capsicum merah dan hijau dan goreng seketika.
Masukkan pula serbuk lada hitam, serbuk cili kasar, cajun, sos cili, garam dan sedikit gula jika suka.
Masak hingga tumisan berbau wangi dan alihkan bahan2 ketepi kuali dan masukkan telur.
Biarkan telur masak sedikit lepas tu kacau hingga menjadi seperti scramble egg.
Masukkan makaroni dan juga air rebusan tadi (tujuan dimasukkan air adalah utk menghasilkan makaroni yg sedikit basah dan tidak terlalu kering.. boleh skip jika lebih suka makaroni yg kering)
Kacau goreng lagi sekejap dan bolehlah dihidangkan dlm pinggan.
Taburkan daun saderi sebelum dihidangkan.

* Isi ayam boleh digantikan kepada hirisan daging atau daging cincang. (MaDiHaA tambah crab stick)

 Makaroni posing dalam bekas ni jer sebab nak bawak ke rumah makcik...


Selamat mencuba!

Sunday, June 26, 2011

Tenggiri Asam Daun Kari

Salam di petang Ahad yang damai....


Teringin jugak nak mencuba resepi yang simple dari Kak Asma ni.  Ada jugak masak style gini.. tapi biasa masak dengan daging.. & buat biasanya tak letak daun kari.. Kali ni ikut cara Kak Asma guna ikan & tambah daun kari.  Memang tak dinafikan.. lauk2 simple gini memang menyelerakan.  Nak masak pun senang. Terima kasih pada Kak Asma untuk resepi Tenggiri Asam Daun Kari & juga kawan2 yang lain yang terlebih dulu mencuba membuatkan aku pun nak cuba jugak... Resepi ni ambil dari blog Kak Nor Secubit Garam.  Terima kasih kepada Kak Nor & semua yg terlibat.


Minta izin ye share resepi kat Sini...

TENGGIRI ASAM DAUN KARI

Resepi : Kak Asma
Sumber : Izah, Mamahawa, Mas, Kak Nor Secubit Garam

Bahan2:
4 keping ikan tengiri
1 labu bawang besar*
2 ulas bawang putih*
sedikit halia*
1 biji lada merah dan hijau*(*bahan bertanda dihiris )
1 batang serai(ketuk)
sedikit daun kari
garam,perasa,air asam jawa

Bersihkan ikan,lumurkan dengan serbuk kunyit dan garam.panaskan goreng hingga garing.angkat dan ketepikan.
Keluarkan minyak dari kuali tinggalkan sedikit,masukkan bahan yang telah dihiriskan tadi,tumis hingga layu.
masukkan lada,serai,daun kari,garam,perasa dan air asam.
biarkan sebentar,baru masukkan ikan tadi.
kalau suka berkuah agak2 hampir pekat matikan api.


Selamat mencuba!

Saturday, June 25, 2011

Super Moist Carameled Banana Cake versi bakar pulak...

Salam & selamat pagi...




Buat sekali lagi kek dengan resepi yang sama.. cuma kali ni buat versi bakar pulak.  Kali ni kek naik ok sikit berbanding yang dulu.. tapi rasanya kek ni memang jenis padat sikit kot.. Wanieyra pun cakap gitu gak masa dia buat dulu.. tapi dari segi rasa memang sedap.. cuma tak begitu gebu.. yelah.. cara membuatnya pun ala2 muffin ajekan.. 

Oklah..layan gambar yer.. kalau nak resepi.. klik jelah kat SINI..

Tekstur kek berlubang2 rasanya mungkin sebab aku lenyek pisang tak betul2 halus.. ehehehe..


Ok.. jumpa lagi..

Friday, June 24, 2011

Sambal Goreng Jambi

Salam petang....

Pagi dah tayang kuih.. petang kita tayang lauk pulakla yer... Lauk kali ni diberi nama Sambal Goreng Jambi.. sedap dimakan bersama nasi putih & lauk pauk yang lain termasuk sambal  belacan.. hehehe...  Nak masaknya pun senang.. bahan2 pun tak rumit.  Yang penting.. mesti ada kentang, udang & udang kering. 


Resepi ni MaDiHaA jumpa dari majalah Perempuan lama.. resepi sumbangan Kamariah. Jadi janganlah salahkan daku kalau2 sambal ini tak sama seperti orang2 Jambi masak yer.  Mungkin sekadar nama saja atau mungkin betul orang Jambi masak sambal kentang ni begini.. wallahualam... Tapi yang penting.. lauk ni memang sedap! Dah banyak kali dah dibuat.. pertama kali buat dulu dah pernah pos kat SINI.

Ok... mari kita tengok resepi dia... daku dah ubah suai sikit dari resepi asal..
Sambal Goreng Jambi
Resepi : Kamariah (Majalah Perempuan)
Sumber : MaDiHaA a.k.a Ratna

Bahan2
4 biji ubi kentang saiz besar ~ kopek kulit & hiris persegi nipis2 & goreng garing
2 sudu besar udang kering ~ rendam & tumbuk 
1½ cawan isi udang segar saiz kecil
3 biji cili merah ~ hiris serong
3 biji cili hijau ~ hiris serong
4 ulas bawang merah ~ hiris
2 ulas bawang putih ~ hiris
2 sudu besar cili kisar
1 sudu besar gula merah
sedikit air asam jawa
minyak
garam secukup rasa

Cara Memasak
1. Panaskan minyak dan tumis cili kisar dan bawang yg dihiris hingga wangi.
2. Masukkan isi udang dan udang kering yg ditumbuk. Kacau rata hingga udang masak.
3. Masukkan cili potong dan kacau rata.. masukkan garam, gula merah dan air asam jawa.
4. Akhir sekali masukkan kentang goreng dan kacau rata hingga kering.. Pastikan secukup rasa dan bolehlah dihidang.  


Selamat mencuba!

Kuih Kosui Pandan

Assalamualaikum & salam Jumaat buat semua...

Hari ni actually takde kerja sangat... bos pun tak masuk ke opis pagi ni..  Jadi bolehlah layan blog kejap.  Terus jelah cerita pasal Kuih Kosui Pandan ni ye... Guna daun pandan yang diambil dari kampong tempohari... Dah lama dah sebenarnya buat kuih ni..  dalam 2 minggu lepas kot.. Rasanya buat lebih kurang sama ngan hari Izah buat Kaswi Gandum yg tiba2  jadi glemer tu. hehehe.. Apa2pun.. resepi Kak Liza memang kebanyakannya best2 belaka.. mana boleh lawan ngan sifu betul tak..?

Hari tu ada sorang adik ada mintak resepi Kosui Pandan dari aku.. Masa tu ada aku tayang tempahan Kosui Pandan jiran depan rumah tu.. sorrylah sebab aku tak sertakan resepi dalam entry tempahan.. Hari ni aku share resepinya yer.. Tapi tulah.. aku dah lupa siapa nama adik yang mintak resepi tu.. Kalau adik  terbaca blog akak ni.. Akak mintak maaf ye sebab lama sangat nak bagi resepinya.. harap2 resepi ni menepati citarasa.. Kosui Pandan ni jenis yg goyang2 sikit.. bak kata kawan2 tu.. ada goyang inul sikit.. hehehe.. ramai yang suka kosui yang goyang2kan? Bagi aku pulak.. tak kisah kuih kosui ni goyang atau tak.. semua aku suka. Asalkan kuihnya secukup rasa & ada terbau air kapurnya.. itu dah cukup best! Kuih kosui kalau tak berbau air kapur kurang ummphhnya... tapi jangan pulak letak banyak sangat.. dah jadi tak sedap pulak.. sekadar ada bau sikit2 tu dah memadai... kalau takde air kapur.. dah jadi macam bancuhan kuih lapis pulak...

Oklah.. ni resepinya khas buat adik yang bertanya & kalau ada yang nak mencuba.. sila2lah yer.. gerenti goyang inul punya...

Kosui Pandan 
(loyang 9 inci)
Resepi : MaDiHaA a.k.a Ratna

Bahan A
1 1/3 cawan gula pasir (kalau suka lebih manis boleh tambah ikut citarasa sendiri)
1 cawan + 1 sudu besar tepong gandum
1 cawan tepong ubi (kurangkan 1 sudu besar dari 1 cawan tadi)
½  cawan tepong beras 

Bahan B
300 ml jus daun pandan (350 ml air dikisar bersama 12 helai daun pandan & sukat 300 ml jus pandan)
600 ml air biasa
2 sudu kecil air kapur

Bahan C
Kelapa parut putih secukupnya (guna kelapa parut berkulit basah)
Garam secukupnya

Cara Menyediakan
1. Panaskan periuk kukusan dengan air yang secukupnya.  
2. Dalam satu bekas/besin yang sesuai.. campurkan kesemua bahan2 A. Gaul rata.
3. Masukkan bahan B ke dalam bahan A sikit demi sikit sambil dibancuh/ dikacau rata. Gunakan whisker lebih memudahkan.  Kacau sehingga gula larut.
4. Apabila air kukusan sudah mendidih.  Tapiskan bancuhan ke dalam loyang bersaiz 9".  (Jangan tapiskan awal2 bancuhan ini ke dalam loyang kerana ia akan sedikit termendap jika berbuat demikian & ini akan membuatkan tekstur kuih keras di bawah & lembut dibahagian atas) Tutup loyang dengan aluminum foil supaya wap tak jatuh atas kuih. Kukus kuih selama 35 ~ 40 minit atau hingga kuih masak.  Jika tiada aluminium foil.. balut penutup pengukus dengan kain bersih supaya wap tak jatuh atas kuih. Jika masih terdapat wap / air di atas permukaan kuih selepas kuih masak.. boleh serapkan air tersebut perlahan2 dengan kitchen towel (tisu dapur) & buangkan tisu tersebut.
5. Sejukkan kuih betul2 sebelum dipotong. Hidang bersama dengan kelapa parut yang digaul kelapa.


Nota MaDiHaA: cawan yang MaDiHaA gunakan untuk menyukat bahan ialah cawan dapur aje ye.. bukan cawan metrik tu.




Tinggal 4 ketul ni jer untuk diposing2kan.. tak sempat nak posingkan awal pagi sebab kelam kabut nak hantar anak ke sekolah.. balik kerja petang baru snap gambar.. ini pun dah ada tangan2 yang dah tak sabar nak capai kuih kasui yang sodapp ni.. hehehe...

Selamat mencuba!

Nota Kaki : Kepada adik2 yang bertanyakan rupa Sos Hoisin dalam entry Terung Sos Hoisin semalam.. sila klik SINI untuk lihat contoh Sos Hoisin yang MaDiHaA gunakan. T.kasih.

Thursday, June 23, 2011

Terung Sos Hoisin

Salam petang semua...

Waduh2.. terkejar2 nak menghapdet petang ni.. nasib baik sempat jugak mencelah.. hehe... Bukan ada orang paksa pun update 2 kali sehari.. tapi saja jer sebab nak cepat2 clearkan gambar2 yang ada tu... Nak kata rajin sangat memasak takdelah juga.. Masak pun yang ringkas2 aje.. resepi pun takde yang canggih2... yang biasa2 aje..

Oklah takmo bebel banyak2.. ini menu sayur 2 hari lepas kalau tak silap.. resepi ambil dari blog Mat Gebu dah begitu lama... dari tahun lepas lagi!  Tapi asyik tertunda2 nak cuba.. padahal sos hoisin memang ada dalam esbox tu...  Terung pun selalu jugak en. abang beli.. tapi selalu jadi menu lain. hehe.. 


Ok menu ni walaupun nampak ringkas tapi sedap jugak terung dimasak gini... Tak sangka pulak Kakak Dini & Abang Haziq  pun suka... sebelum ni diaorang berdua tu jarang nak makan sayur terung ni... bagus anak2 ibu sekarang ni... dah banyak sayur yang korang dah pandai makan.. hehehe.. Aku memang sejak dari awal lagi suka biasakan anak2 makan sayur. Alhamdulillah.. anak2 suka makan sayur walaupun ada juga sayur yang dorang tak reti lagi makan.. Tapi takper.. mungkin bila umur makin meningkat.. dorang boleh biasakan diri makan mana2 sayur yang dorang tak suka tu... Alin yang kecik tu pun suka makan sayur.. feberet sayur dia ialah lobak merah, cauliflower & brokoli.  Kalau Haziq dulu.. yg paling dia suka brokoli.. tp sekarang dah banyak sayur yang dia suka.. Ehh! melalut2 pulak.. kata takmo bebel panjang.. hehe..

Ok sambung pasal menu hari ni.. Thanks CMG kongsi resepi ni yer... akak C&P resepi kat sini pulak... halal yer..

Terung Sos Hoisin
Resepi : Mat Gebu

Bahan-bahan
2 biji terung biru, buang sedikit kulit, hiris serong dan rendam dalam air garam
1/2 cawan air
1 camca besar sos "hoisin"
1/2 camca besar sos tiram
1 camca besar cili kisar
1 camca besar kicap cair
1 batang leek, kerat2 dan rendam (tak letak.. takde stok)
1 biji bawang besar*
2 ulas bawang putih*
3/4 camca besar udang kering, rendam 10 minit dan toskan*(*ditumbuk lumat)
1 camca besar cuka makan
Cara-cara
1. Panaskan sedikit minyak, tumis bahan tumbuk hingga harum, masukkan cili kisar dan kacau rata. Masukkan sos tiram, sos hoisin dan leek. Gaul rata dan tuang air. Biar mendidih perlahan.
2. Masukkan terung tadi (toskan dulu), kacau dan masukkan kicap cair dan cuka makan. Masak hingga terung lembut. Rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan segera.  


Selamat mencuba!

Updated: 24/6/2011
Ini gambar Sos Hoisin yang MaDiHaA gunakan.. khas kepada adik2 yang bertanya.

Acar Ikan Bawal

Assalamualaikum.....

Salam sejahtera & selamat pagi...




Baru dapat jenguk blog... baru je settle semua kerja apa-apa yang patut... lega.. hehe.. sementara ada waktu terluang.. update dulu blog ni dengan resepi Acar Ikan Bawal yang sangat sedap ni.... Abang ada beli beberapa jenis ikan hari tu.. Ikan pari dah dimasak, telur ikan pun dah selamat.. ada lak ikan tenggiri & ikan bawal ni.. teringat kat dapur Kak Ayu mesti ada banyak resepi ikan yang best2.. sebab Kak Ayu memang rajin mencuba pelbagai resepi. Bila nampak je resepi Acar Ikan Bawal ni.. terus berkenan.. so apalagi... balik kerja terus ler masak lauk ni.. bahan2 pun semua ada dalam esbox tu... on jelah kan.. hehe..
Aku memang suka lauk yang masam2 ni.. Berselera je makan.. Rasanya lately ni pun dok asyik masak lauk masam2 aje kan.. Ikan tenggiri pun aku dah masak lauk yg berkuah masam2 gak.. (belum update lagi!) hahaha.. apa kes?? Tak kisahlah apa kes... janji sedapppp!!!

Terima kasih Kak Ayu untuk resepi yang dikongsikan ye!  Resepi asal dari Jumi Maslam@resepi ceria keluarga.  Seingat ku... dulu pernah sekali masak satu resepi dari Jumi Maslam ni.. Resepi dulu tu.. Bebola Daging Berkuah.. boleh klik kat SINI kalau nak tengok ye.. Dulu belum ada blog lagi.. jadi kat Fotopages itulah tempat aku kumpulkan segala eksperimenku dulu... hehe..




Acar Ikan Bawal

Sources : Jumi Maslam@resipi ceria keluarga
2nd sources : Ayu @curlybabesatisfaction
3rd sources : MaDiHaA a.k.a Ratna

Ingredients:-
500g ikan bawal-(500g black pomfret) (MaDiHaA guna bahagian kepala & isi yang dipotong)
minyak untuk menggoreng ikan-(oil for frying)

Bahan kisar:- Blended ingredients:-
10g lada kering-(10g dried chillies)
3/4 sudu besar ketumbar-(3/4 tbsp coriander powder)
1/4 sudu kecil jintan putih -(1/4 tsp cumin powder)
1 cm halia -(1cm ginger)
10g bawang putih-(10g garlics)
100g bawang besar-(100g large onion)

Bahan tumis:- Saute ingredients:-
1/4 sudu kecil biji sawi-(1/4 tsp mustard seeds)
1/2 sudu kecil halba-(1/2 tsp fenugreek)
21/2 sudu kecil gula-(21/2 tsp sugar) (MaDiHaA tambah sikit lagi)
1 sudu kecil garam-(1 tsp salt) (MaDiHaA tambah sikit lagi)
2 sudu besar cuka-(2 tbsp vinegar)
120g air-(120g water)
10g kismis - (10g raisins)

80g lobak merah-(80g carrots) (MaDiHaA lebihkan)
80g timun-(80g cucumber) (MaDiHaA lebihkan)
(potong kecil memanjang-cut small lenghtwise)

2 biji lada merah-(2 red chillies)
2 lada hijau-(2 green chillies) (MaDiHaA tak letak)
80g bawang merah-(80g shallots)
(dibelah dua-cut to halves)
100g minyak untuk menumis-(oil for saute)

Method:-
Panaskan minyak dan goreng ikan hingga kuning, kemudian ketepikan. Kemudian panaskan 100g minyak,(boleh gunakan minyak yang sama cuma kurangkan kalau banyak) tumiskan bahan2 kisar, masukkan biji sawi dan halba, tumis hingga garing dan wangi baunya. Tuangkan air, masukkan cuka, garam dan gula. Bila mendidih masukkan ikan, bawang kecil, lada hijau, lada merah, kismis, lobak merah dan timun. Kacau rata dan angkat.-(Heat oil and fry fishes till golden yellow, dish out and put aside. Heat up 100g oil (you can use the same oil but lessen it if too much) and saute blended ingredients, mustard seeds, fenugreek till fragrant. Add in water, vinegar, salt and sugar. When boiling, add in fishes, shallots, green chillies, red chillies, raisins, carrots and cucumber. Stir well and dish out.)


Nota MaDiHaA : MaDiHaA tak campurkan sekali ikan bawal yang digoreng tu bersama kuah acar sebab ada budak kecik yang nak makan juga ikannya.. Jadi MaDiHaA hanya tuangkan kuah acarnya kat tepi je. 



Selamat mencuba!

Wednesday, June 22, 2011

Talam Sagu

Salam petang buat semua.....
Ok.. kali ni menu minum petang pulak yer.... 


Kawan2 ramai yang dah buat Talam Sagu ni kan... aku jer yang selalu ketinggalan keretapi... nak buat macamana.. naik lak keretapi yang guna arangbatu tu.. kalau keretapi letrik tu mungkinlah laju jugak.. hahaha..  lawak jer tu.. Kuih2 bersagu ni memang sedap dimakan kalau ada lemak2 dia.. lemak yang datang dari talam ni dah tentulah dari santannya..  atas bawah ada santan kauuu.. mau tak sedapp!? kalau kuih Bronok tu lemaknya datang dari kelapa parut tu.. Apa2pun..memang sedap sangat kuih ni tau.. Kuih2 bersagu ni kalau MaDihaA lebih suka & lebih sedap makan kalau sejuk2 keluar dari petiais tu... sejuk jer bila menelan... hehe..

Jom cuba buat Talam Sagu ni.. sapa2 yang suka kuih2 bersagu harus cuba resepi ni.. Terima kasih pada Kak Anymz yang mula2 menayang kuih ni. Resepi yang di ambil dari buku kompilasi kueh talam selenggaraan noorshawati che Razali dari abad 21... tapi menurut kak Anymz.. resepi ni dah diubai suai sikit oleh beliau.  Resepi ni pulak aku ambil dari Mas.. Thanks utk kedua2nya.. mintak halal nak tepek resepi kat sini pulak ye.. Boleh gak tengok versi IzahDaut & juga versi Azlita yang lagi cun-melecun sebab Ita buat lapis- lapis lagi tau..


Talam Sagu
Resepi  : Kak Anymz
Sumber : Mas

Bahan :
Bahan untuk lapisan bawah ( bersagu ) :

    * 2 cawan santan cair
    * 1 cawan sagu - dicuci dan rendam sebentar
    * 1/2 - 1 cawan gula pasir (MaDiHaA letak ¾ cawan)
    * garam secukup rasa
    * pewarna merah secukupnya

Cara membuatnya :

   1.       Sapu acuan dengan minyak dahulu.
   2.       Gaulkan semua bahan hingga sebati. (Mas masak dulu dalam periuk dengan mengacau hingga sagu pekat dengan menggunakan api perlahan. MaDihaA pun ikut cara Mas)
   3.       Tuangkan ke dalam loyang dan kukus selama 30 min.
   4.       Cakarkan permukaan lapisan bawah dengan garfu.
   5.       Letak adunan lapisan atas.

Bahan untuk lapisan atas :

    * 3 cawan santan pekat
    * 1 cawan tepung beras
    * 1 sudu teh garam

Cara membuatnya :

   1. Gaul semua bahan supaya rata.
   2. Tapiskan kedalam kuali tak lekat ( non stick pan ) dan kacau sebentar atas api.
   3. Apabila nampak pekat, tutup api dan ke tuang atas lapisan bawah tadi.
   4. Kukus lagi selama 20 minit.  
   5. Tunggu sehingga kuih sejuk sebelum dipotong.


Selamat mencuba!

Telur Ikan Goreng Kari

Assalamualaikum...

Resepi ringkas & update pun nak cepat aje ni.... sibuk sikit tadi... petang nanti kalau kelapangan update lagi ye....

Ok.. resepi seperti di bawah.. resepi agak2 saja...


Telur Ikan Goreng Kari
Resepi : MaDiHaA a.k.a Ratna

Bahan2
400 gm telur ikan
1 sudu kecil serbuk kunyit
garam secukupnya
3 sudu besar serbuk kari
Daun kari secukupnya
Minyak masak secukupnya

Bahan2 tumbuk
4 ulas bawang putih
1 inci halia

Cara2 Menyediakan
Cuci telur ikan & tos kering.  Gaul telur ikan bersama serbuk kunyit, garam, serbuk kari & bahan2 tumbuk. Perap selama 10 minit.  Goreng telur ikan dengan api sederhana ditaburi daun kari sehingga garing. Angkat & tos.  Saring rempah gorengan & tos. Tabur di atas telur ikan tadi & sedia untuk dihidangkan.


Selamat mencuba!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...