Thursday, December 22, 2016

Jeruk Maman

Assalamualaikum & salam sejahtera...




Hari ni MaDiHaA nak share resepi orang kampong pula ye. Jeruk maman namanya. Ada yang pernah makan? Atau ada yang tak pernah tau atau tak pernah dengar? hihi... Rasanya kalau asal dari kampong tentu pernah tengok kan? Maaflah tak dapat nak tunjuk maman sebelum dijeruk sebab jeruk ni ma MaDiHaA yang buat.  Ini salah satu sayur kegemaran MaDiHaA. Kalau jumpa jeruk maman ni, terbau je dah boleh buat kecur air liur. Baru2 ni balik kampong, ma MaDiHaA dah siap2 buatkan sebekas besar jeruk maman untuk anakandanya yang nak pulang ke kampong.  Dia tahu anaknya memang suka makan tu yang dia siap2 petik maman yg ditanam kat tepi rumah. Terima kasih ma susah payah buatkan semua ni untuk anakmu. Anak dah tua2 macam ni pun ma tetap layan macam anak kecik lagi... sayang ma ketat-ketat... hihi...



Jeruk Maman

Bahan2
3 ikat maman atau secukupnya
Air masak secukupnya
Garam secukup rasa (jangan masin sangat)
1 senduk nasi sejuk

Cara menyediakan
1. Maman disiang ambil daun & bahagian tangkai2nya yang lembut sahaja. Cuci bersih & toskan.
2. Masukkan ke dalam bekas yang sesuai. Masukkan air masak agak2 tenggelam maman tu.
3. Masukkan garam agak2 ye & nasi sejuk diperoikan. Kacau2 sikit. Tutup bekas & peram sebaiknya 2 malam sebelum dimakan bersama nasi. Boleh juga masukkan cili padi dalam jeruk maman & masa nak makan picitkan cili tadi. Boleh juga hidang dengan ikan bakar. Selepas beberapa malam dijeruk, jika nak bagi tahan lama, simpan jeruk maman dalam peti sejuk.

Selamat mencuba!

Wednesday, December 21, 2016

Apam Pisang

Assalamualaikum & salam sejahtera....


Hari tu ada nampak kak Ayu Singapore update resepi apam pisang coklat kat sini. Kita ni bukan main lagi bersemangat nak buat juga sebab kebetulan kat rumah ada sikit pisang yang dibawa dari kampong. Tapi pisang tu sesuai dibuat pisang goreng. Tapi dek kerana terliur tengok apam pisang yang kak Ayu buat tu... tak kira nak juga guna buat apam.  Bila dah siap2kan semua bahan2, barulah terperasan yang serbuk coklat dah expired! Hahahaha.... nampak sangatlah tuan blog dah lama pencen buat kek atau kuih muih... sampai serbuk coklat pun boleh tamat tempoh. Sayang je... rasanya adalah dalam 2 cawan lagi serbuk coklat tu. Penyudahnya... kita campak ajelah ke dalam tong sampah. Haishhh! tak suka membazir tau.... Lenkali kena cek semua bahan2 supaya tak dibazirkan.. hmmm...

Itulah sebab kesudahan resepi kali ni hanya jadi Apam Pisang je. Tak dapatlah juga nak merasa keenakan apam pisang coklat tu. Sudahlah guna pisang tak sesuai, jadi kejadian apam pun tak cun warnanya, pucat aje. Guna pula gula perang... bertambah buruk warna apam pisang ni. TAPIIIII.... jangan tak percaya.. rasa apam ni sedap sangat2 tau. Lembut gebu sangat! Yang makan semua kata sedap... hihihi.... Biar buruk rupa asalkan sedap dimakan betul tak? Ayat penyedap hati... hihihi... Lenkali ada pisang sesuai bolehlah dicuba lagi yg versi coklat. Mesti lagi sedap! 

Ok jom tengok resepi yang MaDiHaA adaptasi dari resepi Norana copy dari myresepi je sebab nak copy dari blog kak Ayu tak boleh... hehe... Apa2pun terima kasih kak Ayu & Norana untuk resepinya...



Apam Pisang
Adaptasi dari : My resepi

Bahan-bahan
  • 2 cwn tepung gandum*
  • 2 sudu makan serbuk koko* (MaDiHaA ganti dengan tepong gandum)
  • 1 sudu teh soda bikarbonat*
  • 1 sudu teh baking powder* semua bahan diayak bersama
  • 1 sudu teh garam
  • 1 cwn pisang emas yang dilecek
  • 1 cwn minyak masak
  • 1 1/2 cawan gula perang
  • 2 biji telur (dipukul)
Cara-cara
  1. Panaskan kukusan. Pukul telur hingga berbuih dalam bekas lain.
  2. Masukkan bahan yang telah diayak ke dalam mangkuk. Masukkan bahan-bahan yang tidak diayak termasuk telur yang dipukul ke dalam adunan tadi. Gaul sebati. Masukkan dalam acuan kecil atau loyang. (MaDiHaA sapu minyak pada loyan) Kukus selama ½ jam atau sehingga masak. (jika guna acuan kecil kukus dalam 20 minit)
  3. pastikan air kukusan tidak jatuh ke dalam loyang semasa mengukus. (MaDiHaA balut penutup kukusan dengan kain bersih)
Selamat mencuba!

Thursday, December 15, 2016

Gulai Ayam Dayang Suri (Gulai Ayam Nasi Dagang)

Assalamualaikum & salam sejahtera...



Jika semalam MaDiHaA kongsi resepi Nasi Dagang dengan gulai ikan tongkol/ikan aye, pagi ni MaDiHaA nak kongsi resepi Gulai Ayam Dayang Suri sebagai lauk alternatif sekiranya anda kurang gemar dengan ikan tongkol. Ada banyak versi gulai ayam yang boleh dimakan dengan nasi dagang dan ini salah satu darinya. Bolehlah mencubanya bagi yang suka makan nasi dagang tapi tak suka ikan tongkol inilah lauk alternatifnya.

Meh kita tengok resepinya ye...




Gulai Ayam Dayang Suri
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
1/2 ekor ayam ~ potong ikut selera
3 biji kentang saiz besar ~ potong 4 setiap sebiji
1 kotak santan (200 ml) ATAU 1 biji kelapa ambil santan pekat 200 ml, santan cair 800 ml)
800 ml air (sekiranya guna santan kotak)
1 sudu besar asam jawa + air jadikan pes
garam secukup rasa
1/2 sudu besar gula
6 biji cili padi/cili hijau
2 tangkai daun kari
minyak masak secukupnya

Bahan Kisar
6 - 7 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
3 biji cili padi (jenis pedas yang berkilat tu.. kalau guna cili padi kampong boleh letak 6-7 biji)
1 cm halia
1 hiris lengkuas
2 inci kunyit hidup ATAU 1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu besar serbuk cili
1 1/4 sudu besar Rempah Dayang Suri




Cara Menyediakan
1. Panaskan minyak dalam periuk lalu masukkan daun kari. Lepas beberapa saat masukkan bahan kisar & tumis sehingga naik minyak. 
2. Masukkan ayam yang dipotong lalu dikacau biar bersalut rempah & biar sehingga ayam berubah warna. Masukkan air/santan cair biar mendidih sambil dikacau. Jika guna air, tak perlu selalu dikacau, jika guna santan cair kena kacau selalu supaya santan tak berketul & membuak. 
3. Bila kuah mendidih masukkan kentang & biar sehingga kentang separuh masak.
4. Tambahkah garam, gula & air asam jawa serta santan kotak/santan pekat tadi. Kacau sentiasa supaya kuah tak berketul2. Bila mendidih masukkan cili padi/cili hijau. Biar sehingga ayam masak & kentang empuk sepenuhnya. Biarkan kuah secukup rasa & bolehlah dimatikan api & hidang bersama nasi putih atau nasi dagang bagi yang tak gemar ikan tongkol.

Selamat mencuba!


Wednesday, December 14, 2016

Nasi Dagang (Versi Terengganu)

Assalamualaikum & salam sejahtera semua...


Huarrghh... hari ni nak pergi kerja rasa lemau badan. Almaklumlah bila dapat bercuti lama mulalah naik lemak.. hihi.. Gitulah kan.. Ambik kesempatan pulang ke kampong jenguk ma tersayang bila ada cuti & kelapangan lebih-lebih lagi bila dapat cuti panjang macam kelmarin. 4 hari Selangor dapat public holiday... wehh.. syoknya la.. Sekadar menghabiskan masa sama2 dengan famili je.. takde ke mana2 pun sebab ongkos kurang mengizinkan. 




Ohya... cerita pasal ma, teringat menu kegemaran MaDiHaA iaitu nasi dagang. Oleh kerana memang suka sangat makan nasi dagang, jadi wajiblah anaknya ni belajar memasaknya sendiri dengan ma. Alhamdulillah bila2 masa rasa teringin tu... boleh je masak. Tapi takdelah selalu masak pun sebab menu nasi dagang ni kalau selalu2 makan makin gemok metto (gedempol) la si tukang masak jawabnya... hahaha... Biasanya MaDiHaA masak bila buat makan2 ajak keluarga terdekat datang ke rumah. Kalau setakat untuk makan 5 beranak, macam tak berbaloi nak masak. Tapi kalau tahap teringin tu terlalu tinggi... masak jugalah. Iyelah dok kat sini payah nak jumpa nasi dagang yang kena dengan citarasa. Yang masak sendiri juga yang puas hati. Bab nasi mungkin semua orang boleh masak, tapi bab gulainya tu yang kurang berkenan sebab kebanyakan yang masak gulai tu serupa gulai kari je. 

Oklah kat sini MaDiHaA share resepi nasi dagang turun temurun dari keluarga kami... insyaAllah sedap ditekak kami semua... Pada yang belum pernah masak sendiri tu bolehlah cuba resepi ni pulak. Atau mungkin juga korang ada resepi yang lebih best bolehlah share2 kita cuba kelainan pulak. Gambar2 masakan ni semua adalah gambar semasa raya haji yang lepas. Kami tak pulang ke kampong dan hanya beraya di PJ saja, jadi MaDiHaA masak nasi dagang untuk jamu tetamu yang datang berkunjung...




NASI DAGANG
(versi Terengganu)
Resepi : MaDiHaA a.k.a Ratna

Bahan2
1.2 kg beras siam
400 gm beras pulut
(nisbah utk beras = 1 bahagian beras pulut : 3 bahagian beras biasa)
1 ½ biji kelapa (ambil santan anggaran 600 ml ~ PERAH GUNA AIR MASAK!) (ni anggaran saja yer.. kalau tak cukup boleh tambah lagi.. sebab masa buat tu MaDiHa tak ukur pun santannya)
garam secukup rasa (Bancuh dalam santan)
700 ~ 800 ml air/santan cair utk arong nasi (boleh tambah jika masih tak mencukupi.. MaDiHa agak2 je ni)
5 ulas bawang merah ~ hiris nipis
1 inci halia ~ hiris nipis & halus memanjang
1 sudu kecil halba

Cara Menyediakan

1. Campurkan beras biasa dengan beras pulut dan cuci beras hingga bersih & jernih (mcm nak masak nasi tu). Rendamkan beras semalaman dalam air yg banyak.
2. Keesokannya.. panaskan periuk kukus & toskan beras dan kukus beras selama 30 ~ 40 minit. (guna periuk kukus berlubang kecil jika ada.. jika tiada.. alaskan dasar periuk kukus dengan kain putih bersih/ kain maslin/ jala bersih/daun pisang agar beras tak jatuh melalui lubang kukusan).
3. Angkat nasi kukus tadi dan masukkan nasi dlm besen besar. (Sementara itu.. tambahkan lagi air dalam periuk kukusan agar airnya tak kering utk mengukus kali kedua.. teruskan memanaskan periuk kukusan tadi.) Arong nasi dengan air biasa/santan cair sehingga rata dan tak berketul2.
4. Kukus sekali lagi nasi sehingga 30 ~ 40 minit. (kali ni tak perlu alas dasar kukusan).
5. Keluarkan nasi dan masukkan dlm besen tadi dan arong sekali lagi dengan santan yg dicampurkan garam serta taburkan bahan2 hiris serta halba. Kacau rata dan bolehlah dihidangkan.


Nota MaDiHaA: Santan tadi boleh juga dimasakkan sebentar diatas api sederhana sebelum diarong dengan nasi. Kaedah ini untuk membuatkan nasi dagang lebih tahan lama.. tapi jika tidak masak pun.. memadai perahkan santan guna air masak.. insyaAllah nasi dagang boleh bertahan dari pagi hingga ke malam.




GULAI NASI DAGANG 
(kuantitinya dianggarkan cukup utk nasi dagang diatas )
Resepi: MaDiHaA a.k.a Ratna 

Bahan2
2 atau 3 ekor ikan tongkol hitam (anggaran 2 kg) (dipotong, dibersihkan & direbus bersama sedikit air, 3 sudu kecil garam dan 6 keping asam gelugur)
2 biji kelapa (ambil santan sederhana pekat @ cair sedikit pun tak mengapa)
1 sudu besar rempah kari ikan (campur sikit air jadikan pes)
1 sudu besar rempah masak cap bunga rose (jadikan pes dengan rempah ikan tadi)
2 sudu besar rempah gulai cap bunga rose (jadikan pes dengan rempah ikan tadi)
(jika tiada rempah masak & rempah gulai cap bunga rose.. tambahkan lagi 1~2 sudu besar rempah kari ikan)
2 sudu besar kerisik yg ditumbuk halus
2 inci kulit kayu manis
2 keping asam keping
10 biji cili hijau
15 biji cili api
10 biji belimbing buluh (kalo ada.. takde pun takpe)
½ ketul gula melaka (tambah lagi jika kurang ~ gulai nasi dagang memang terasa manis sedikit)
garam secukup rasa
serbuk perasa jika suka

Bahan2 Dikisar Halus
1 sudu besar ketumbar 
1/2 sudu besar jintan manis 
8 ulas bawang merah 
1 biji bwg besar (kalau kecik.. letak 2)
3 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
1 inci halia 
1 1/2 inci lengkuas 
15 ~ 20 biji cili kering ~ dikerat2 & rebus sebentar & buang biji (dikisar)

Cara Menyediakan

1. Gunakan periuk yg agak besar sedikit. Masak santan bersama (sedikit saja) garam di atas api sederhana sehingga pecah minyak. Kacau sekali sekali sahaja.
2. Masukkan kulit kayu manis, ramuan yang dikisar dan pes rempah tadi ke dalam santan. Jika suka.. bahan2 ini boleh juga ditumiskan dulu dengan sikit minyak hingga wangi sebelum dimasukkan dlm santan. (terpulang anda.. tp jika tumis.. kuah akan jadi lebih berminyak!)
3. Masukkan gula melaka, garam, kerisik (bancuh sedikit dgn kuah santan agar tak berketul2) dan asam keping. Biar mendidih sebentar.
4. Masukkan ikan rebus beserta air rebusannya & asam keping semasa merebus tadi. Tambahkan serbuk perasa.
5. Biarkan kuah pekat sedikit. Hati2 semasa mengacau agar ikan tidak pecah. Masukkan belimbing buluh, cili hijau dan cili api. Biar merenih sebentar dan  sesuaikan rasanya bolehlah di angkat.



Acar Timun
Bahan2 agak2 lah sendiri yer..
Timun
bawang besar
cili merah
cuka
gula & garam
(jika suka boleh campur dgn carrot juga)

Cara2
Hiris memanjang timun (buangkan empulurnya). Cuci bersih.
Mayang bawang besar & hiris cili merah. Gaulkan timun, bawang besar, cili dengan semua bahan2 lain. Adjust sendiri rasa acar ikut selera masing2.

 Ok.. selamat mencuba!

Saturday, December 10, 2016

Muffin Epal Oatmeal

Assalamualaikum & bersua lagi...






Musim hujan ni anak2 kat rumah asyik merungut lapar je kan. Gitulah bila anak2 cuti sekolah terperap kat rumah. Tak banyak aktiviti di luar, maka yang paling banyak dibuat aktiviti menonton tv & makan jelah. Ibu2 yang bekerja ni nak pegi kerja pun risau nak tinggal anak2 kat rumah tanpa ada makanan yang cukup. Jadi kenalah rajinkan diri godek2 apa yang boleh digodek untuk kudap2 anak2 kat rumah waktu ibu kerja. Punggah2 barang dalam peti ais, terjumpa 3 biji epal hijau dah hampir nak bertukar warna... hehe... Dari dibazirkan lebih baik diolah menjadi sesuatu yang boleh dimakan. Anak2 ni kalau buah2an tersimpan dalam peti ais, bukan pandai nak cari. Kalau ibu tak kopek tak dipotong... terperuk macam tu jelah buah2 yang dibeli. Epal tu nak dimakan macam tu dah kurang menarik.. bila dah jadi muffin barulah anak2 berselera tengok.

Jom cuba resepi mudah ni...




Muffin Epal Oatmeal 
Adaptasi dari : www.food.com

Bahan-bahan
2 biji telur (MaDiHaA guna gred A)
1/3 cawan minyak jagung
3/4 cawan susu segar
1/3 cawan gula kastor
1 cawan oatmeal (oat segera)
1 cawan tepung gandum
1 sudu kfc rata garam
1 sudu besar baking powder
1/2 sudu kecil serbuk kayu manis
1/2 sudu kecil serbuk buah pala (nutmeg powder)
3 biji epal hijau granny smith ~ kopek kulit, buang biji & didadu

Cara menyediakan
1. Panaskan oven 170-175C. Pukul ringan telur menggunakan whisker. Masukkan minyak jagung & susu segar. Gaul sebati.
2. Masukkan gula, garam & oat segera kacau rata. Masukkan tepong gandum, baking powder, serbuk kayu manis, serbuk buah pala & kacau sekejap.
3. Masukkan epal yang didadu & kacau rata. Jangan terlebih kacau agak2 sebati je.
4. Masukkan dalam acuan muffin sebanyak 3/4 ketinggian acuan muffin & bakar selama 15 - 25 minit bergantung saiz acuan muffin. MaDiHaA bakar 25 minit sebab acuan muffin agak besar.

Selamat mencuba!

Friday, December 9, 2016

Tofu Telur, King Mushroom & Kobis Bunga Sos Tiram

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Ini salah satu masakan kegemaran keluarga MaDiHaA terutama anak2. Sayuran tu boleh saja nak ditukar dengan apa2 sayuran yang sesuai. Kuantiti masakan ni agak banyak ye. Kalau keluarga kecil yang tak kuat makan atau untuk makan 2 orang, buat 1 tiub tofu pun dah cukup. Yang MaDiHaA masak ni untuk 4-5 orang makan, ini pun macam tak berapa nak cukup. Masing2 kuat makan lauk.. hihi...

Kalau tak de idea nak masak apa hari ni, boleh cuba resepi ni... 



Tofu Telur, King Mushroom & 
Kobis Bunga Sos Tiram

Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2

3 tiub tofu telur
1 pack king mushroom (4 batang) ~ potong ikut selera
1/2 ketul kobis bunga ~ potong floret
3 ulas bawang putih ~ diketuk & cincang
3 ulas bawang merah ~ dihiris nipis
2 biji cili padi ~ dihiris halus
4 sudu besar sos tiram
3 cawan air (1 cawan guna untuk bancuh tepong jagung)
2 sudu besar tepong jagung dibancuh dengan 1 cawan air dari 3 cawan tadi
sedikit minyak

Cara menyediakan
1. Panaskan minyak untuk menggoreng. Tofu telur di keluarkan dari tiub & letak atas tapak tangan, cuci dibawah air paip sambil berselawat sikit kemudian  hiris terus ke dalam minyak yang dipanaskan. Goreng garing kedua2 belah. Goreng hingga habis batch by batch ye.
2. Keluarkan sikit minyak masak tadi tinggalkan sikit untuk menumis. Tumiskan bawang putih, bawang merah & cili padi sampai berbau. Masukkan 2 cawan air & biarkan mendidih. Masukkan cendawan & kobis bunga serta sos tiram. Bila dah mendidih tambahkan bancuhan tepong jagung tadi sambil dikacau sehingga pekat. Akhir sekali tambah tofu telur yang digoreng tadi & kacau perlahan2 supaya tofu tidak hancur. Sedia dihidangkan.

Selamat mencuba!

Wednesday, December 7, 2016

Ikan Percik Terengganu Style

Assalamualaikum & salam sejahtera...



Hari ni kongsi resepi lauk pulak ye. Lama tak buat ikan percik. Anak semua dah berkumpul kat rumah ni bolehla nak masak sedap sikit. Barulah nak makan tu tak rasa bersalah. Yelah bila anak ada kat asrama, bila masak yg macam sedap sikit tu dok teringat2 je kat dia. Sekarang semua cuti ada kat rumah, bila masak semua boleh merasa. Alhamdulillah... 



Ikan Percik Terengganu Style
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
4 - 5 ekor ikan kembong/ikan yg sesuai
(1 sudu kecil garam + 1 suku kecil kunyit serbuk utk dilumur pd ikan)
15 biji cili kering* ~ buang biji & rebus
1 biji bawang besar*
3 ulas bawang putih*
1 inci kunyit hidup* 
(bahan bertanda* dikisar halus)
1/2 sudu kecil kunyit serbuk
1 inci lengkuas ~ dihiris nipis
3 batang serai ~ diketuk
1 keping asam gelugur
1 1/2 sudu kecil halba
1 biji kelapa diambil santan pekat
Minyak secukupnya
Garam, gula & perasa secukupnya

Cara Menyediakan
1. Lumurkan garam + kunyit pada ikan dan panggang hingga masak dikedua2 belah. (MaDiHaA guna pemanggang ajaib)
2. Panaskan minyak dalam periuk dan tumis bahan2 kisar serta serai hingga wangi dan pecah minyak.
3. Masukkan lengkuas, halba, serbuk kunyit, asam gelugur & santan. Biarkan merenih sambil dikacau selalu hingga kuah pekat.
4. Bila ikan dah masak, buka penutup pemanggang & curahkan sedikit kuah percik dan panggang sekejap lagi. Terbalikkan & curahkan pula sebelah lagi kuah. Bila masak bolehlah diangkat ikan & semasa hidang boleh curah lagi kuah percik di atas ikan.
5. Kuah lebih boleh hidang sebagai kuah tambahan.



Selamat memasak!

Friday, December 2, 2016

Bingka Pandan a.k.a Kuih Bakar

Assalamualaikum & salam sejahtera...



Bersua lagi kita. Didoakan semoga semua yang singgah di blog MaDiHaA ni dikurniakan kesihatan yang baik2 sentiasa ye. Musim hujan ni sesetengah tempat sudah pun dilanda banjir. Moga semuanya selamat & dalam lindunganNYA selalu hendaknya.


Warna asli dari daun pandan...


Baru ni MaDiHaA rajinkan diri godek kuih bingka pandan atau kuih bakar. Tekak dah lama teringin nak makan bingka yang buat sendiri. Memandangkan anak2 sedang bercuti sekolah & semua ada berkumpul kat rumah, elok sangatlah dibuat sekarang ni. Boleh juga buat kudap2 untuk dorang kat rumah bila rasa lapar. Pagi2 lepas solat subuh biasanya MaDiHaA akan masak siap2 sarapan pagi (selain dari kuih) sebelum tinggalkan dorang kat rumah. Kot habis makanan yang MaDiHaA masak tu, dah pesan kat si kakak masak le apa2 yang patut untuk adik2. Kakak pun dah boleh harap, pandai dah nak masak yang mudah2 tu. Adik2 pun bukannya jenis yang cerewet pun. Apa yang dimasak dorang makan je. Janji kenyang. Kuih pulak buat tambah2 kudap2 bila lapar waktu petang.

Ada bawak daun pandan balik dari kampong tempohari, tu yang menjadi projek bingka ni... masa bakar harum satu rumah baunya.... suam2 lagi anak2 dah minta dipotong... alhamdulillah di atas rezeki mu ya Allah...



Bingka Pandan / Kuih Bakar 
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2 

10 helai daun pandan ~ hiris halus & blend dengan 1 cawan air ~ perah ambil pati jadikan 1 cawan 
3 cawan santan dari sebiji kelapa parut (jumlah cecair iaitu santan & jus pandan = 4 cawan) 
4 - 5 biji telur gred A (kalau telur kecik.. buh 6 biji) 
1 3/4 cawan gula pasir
3 cawan tepung gandum 
secubit garam 
Bijan


Cara 
1. Masukkan telur, gula & garam dalam satu bekas & kacau guna whisker hingga rata. 
2. Terus masukkan santan & jus pandan dan kacau lagi hingga gula larut. 
3. Masukkan tepung gandum secawan demi secawan dan kacau hingga rata. 
4. Panaskan oven 175 - 180C & lengserkan keseluruhan dalaman acuan berlubang dengan 3 sudu besar minyak masak. (boleh juga guna acuan lain... tp masa membakar agak2lah yer.. 
5. Tapis adunan ke dalam bekas lain dan tuangkan ke dalam acuan. 
6. Bakar guna api bawah selama 30 minit kemudian keluarkan kuih dan tabur bijan dan sambung bakar lagi dengan api atas & bawah selama 35 - 40 minit lagi atau sehingga masak. 
7. Sejukkan terlebih dulu sebelum memotong.

Selamat mencuba!

Wednesday, November 30, 2016

Pucuk Paku Goreng Pedas

Assalamualaikum & salam sejahtera...



Bulan November pecah rekod kami sebab 3 kali kami balik Raub. Wahh... ! Memang tak sangka balik sekerap itu.  Bukan tak suka dapat balik kerap macam tu.. yelah sekurang-kurangnya dapat jenguk mertua. Tapi yelah.. nak balik selalu2 pun en. suami bukannya jenis cuti macam orang lain tiap2 minggu cuti. Cuti dia sebulan hanya 2 kali je, bermakna kerja 2 minggu baru dpt cuti 2 hari. Di samping tu, bila balik kerap sangat tu faham2 ajela... poket pun boleh kempis. Kalau balik kampong paling kurang RM250 belum tentu cukup. Tapi oleh kerana memang perlu balik, redho ajelah balik tiap2 minggu sampai 3 minggu berturut2 kami balik.. haha.. 



Balik Raub kali pertama sebab anakanda sulung dapat anugerah tahfiz kali ke dua kat sekolahnya kat Raub tu. Jadi bagilah semangat sikit anak nak naik pentas katakan. (kali pertama dpt anugerah kami tak dapat pergi sebab dompet en. suami tercicir padahal kami dah pack barang siap dah). Kali ke dua pula balik Raub sebab sepupu en. suami meninggal. Ada hikmah juga tu dapat balik kali ke dua sebab masa tu mertua sakit lutut sampai tak boleh berjalan. Masa nak pegi melawat jenazah tu pun en. suami dukung maknya dari rumah hingga ke kereta.. hehe.. pertama kali tengok anak dukung mak gitu.. alhamdulillah. Mujurlah anak2 lelaki mak besar2 belaka... senang nak dukung mak bila mak sakit. Sekarang ni mertua pun dah sihat lepas dibawa ke klinik. Lepas tu kali ke tiga balik sebab nak jemput anak sulung kat asramanya. Hah.. tu dia sampai 3 kali balik. 

Yang seronoknya bila balik ke kampong, kami sempatlah borong sayur2 kampong dan pisang dengan harga yang murah. Itu sebab yang keluar menu pisang goreng hari tu.. hihi.. Kali ni pula menu pucuk paku goreng pedas. Pucuk paku beli kat kampong semua segar2 dan murah. 3 ikat dapat harga RM4 sahaja.  (1 ikat tu secekak besar orang dewasa). Pucuk paku pula muda2 & gemuk2 memang puas hati. 2 kali kami beli pucuk paku tu tau. Cuma kali pertama balik je tak sempat beli sebab nak cepat balik lepas anak dapat anugerah sebab en. suami kena kerja pulak malam tu.

Hmm.. panjang pulak celoteh hari ni.. moh ler kita ke dapur masak pucuk paku... Lepas ni tunggu menu sayur kampong yang lain pulak yer...




PUCUK PAKU GORENG PEDAS 

2 cekak pucuk paku - siang ambil bahagian lembut, bersihkan lalu disejat 
5 ulas bwg merah* 
1 ulas bwg putih* 
8 biji cili padi*                                 *ditumbuk halus 
1 cm kunyit hidup* 
segengam ikan bilis dibersihkan & rendam* 
minyak utk menumis 
garam secukup rasa 

Cara menyediakan 
Panaskan minyak & tumis bahan tumbuk hingga wangi.
Masukkan pucuk paku dan kacau rata. 
Masukkan garam dan kacau sehingga rata. (tak perlu tambah air)
Bila pucuk paku dah layu dan batangnya empuk bolehlah dihidang. 


Selamat memasak!

Friday, November 25, 2016

Daging Masak Hitam

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Kongsi resepi daging pula hari ni ye. Resepi ni memang sedap di tekak kami sekeluarga. Tak rugi memasaknya. Kalau ibu2 ada stok daging kat rumah bolehlah cuba sendiri resepi ni ye. Resepi ni asalnya di ambil dari majalah Mingguan Wanita telah dicuba oleh sepupu MaDiHaA & sekarang resepi ni antara resepi kegemaran kami sekeluarga. Kalau tak sedap, masakan ada resepi ulangannya kat blog ni kan? hihi...



Daging Masak Hitam
Resepi : Majalah Mingguan Wanita
Sumber : Fotopages Ida Marlida

Bahan2
1 kg daging (dipotong nipis)
3 ulas bwg merah (dihiris)
2 ulas bwg putih (dihiris)
3 kuntum bunga lawang
2 inci kulit kayu manis
1/2 cawan kicap pekat
air asam jawa secukupnya
garam secukup rasa 
Minyak masak untuk menumis

Bahan Kisar
4 biji bwg besar
3 inci halia
4 ulas bwg putih
20 biji cili kering
1 sudu kecil jintan manis
1 sudu kecil jintan putih
1 sudu kecil ketumbar - Ida tambah ~ MaDiHaA letak jugak

Cara
1. Panaskan minyak masak. Tumis bahan hiris, bunga lawang & kayu manis hingga wangi. Masukkan bahan kisar & tumis hingga garing & terbit minyak. 
2. Masukkan daging, air secukupnya & renih sehingga daging empuk. Masukkan kicap pekat, air asam jawa & garam secukup rasa. Tambah aji jika suka. Biar kuah agak pekat & secukup rasa. Bila daging cukup empuk bolehlah hidangkan. (sekiranya daging tak cukup empuk... boleh tambahkan lagi air & masak lagi hingga kuah agak kering)

Selamat mencuba!

Thursday, November 24, 2016

Asam Pedas Ikan Tongkol

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Sekarang ni puan blog dah jarang bereksperimen di dapur. Masak pun yang biasa-biasa je. Kekangan masa buatkan rutin harian begitu sibuk. Dah takde masa nak layan hobi eksperimen di dapur semetelah sekarang ni banyak barang dah naik harga. Nak mencuba resepi2 pelik sikit pun fikir 10 kali nak beli bahan-bahannya.  Sebab tu sekarang ni share resepi biasa2 je. Kot ada yang special sikit pun mungkin jarang2 berlaku.. hihi... Puan blog ni pun umur dah semakin meningkat. Keinginan untuk mencuba resepi2 baru pun tak sekuat masa muda2 dulu. Dulu pantang je nampak resepi viral kat blog... mulalah pasang angan2 nak buat juga... hihiii...

Untuk menghidupkan blog ni MaDiHaA update jelah resepi2 ulangan ni ye. Jangan ada yang jemu... 



ASAM PEDAS IKAN TONGKOL
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2 
4 keping ikan tongkol / aye ~ cuci bersih
daun kesum secukupnya
1 sudu besar asam jawa + air ambil jus
air secukupnya ikut kepekatan kuah yg disukai
garam & gula secukup rasa
minyak secukupnya

Bendi secukupnya (cuci bersih barulah dipotong hujung & pangkalnya)

Bahan Kisar Halus
20 tangkai cili kering ~ belah, buang biji, rebus & tos
1 biji bawang besar
4 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 1/2 inci kunyit hidup
1 inci halia 
3/4 inci lengkuas
3 biji buah keras
1/2 inci belacan

Cara menyediakan
1. Panaskan minyak masak lalu tumiskan bahan kisar sehingga naik minyak.  Masukkan air asam jawa & air secukupnya.
2.  Masukkan ikan dan biar mendidih. Agak2 ikan dah hampir masak, masukkan daun kesum, bendi dan tambah garam & gula. Biarkan secukup rasa. Siap!


Selamat memasak!

Wednesday, November 23, 2016

Apam Beras

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Sementara ada kerajinan ni, hari ni nak kongsi resepi apam beras yang MaDiHaA buat hari sama MaDiHaA goreng pisang resepi semalam tu. Haa... punyalah rajin melayan tekak yg sentiasa lapar dimusim hujan ni kan. Bukan apa.. ada lebihan nasi sejuk 1 cawan hari tu, tiba2 teragak nak buat apam. Lagipun memang dah lama tak makan apam beras ni.  Tu yang laju je bancuh. Nak buat apam ni kena bancuh awal2 tau sebab perlu diperap selama 3 jam. Resepi dah pernah MaDiHaA kongsikan sebelum ni. Tapi takpelah kita ulang kongsi lagi hari ni resepi yang MaDiHaA dah kecilkan adunannya. Maksudnya.. MaDiHaA hanya buat setengah dari resepi asal sebab masa tu nasi sejuk hanya ada 1 cawan je. Alhamdulillah.. cukup2 je untuk kami 4 beranak.



Apam Beras
Resepi : Cha@MyResepi
Sumber : Kak Nor Secubit Garam
Sumber : MaDiHaA a.k.a Ratna


Bahan-bahan
1 cwn nasi
1 cwn tepung gandum
1 cwn tepung beras
3/4 cwn gula pasir
1 1/4 cwn air
1 sudu kecil yis (mauripan)
kelapa parut dgn sedikit garam

Cara-cara

1. Blend nasi dan air sehingga hancur (masukkan air sedikit-sedikit, jangan masukkan semua sebab jika terlampau banyak air nasi taknak halus pulak).  Setelah halus, campur gula ke dalamnya dan blend sehingga sebati.
2. Dalam bekas lain, satukan tepung gandum, tepung beras dan yis.  Selepas itu,masukkan bahan cecair tadi ke dlm bekas tepung. Kacau sehingga sebati.
Perap selama 3 jam dengan bekas bertutup.

3. Panaskan pengukus dan balut penutupnya dengan kain.  Sapukan sedikit minyak pada acuan kecil.  Masukkan adunan dlm jug untuk memudahkan kerja. Tuangkan adunan ke dalam acuan kecil dan kukus selama 15 minit.
4. Hidang bersama kelapa yg telah di gaul dengan sedikit garam.. atau enak juga dimakan begitu saja.




Selamat mencuba!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...