Wednesday, November 30, 2011

Donut Kentang

Assalamualaikum & selamat petang..


Yuk minum petang sambil2 mengunyah donut kentang yang lembut ni... huii... sedapnya kalau dpt layan donut dengan secawan nescafe atau teh 'o' panas kan..? Tapi tu semua tinggal angan2 sajalah bagi ibu2 bekerja seperti ku. hihi.. manalah nak cekau donut panas2 kat ofis ni.... Kalau pun teringin nak minum petang sambil kunyah donut... harus beli siap2 donut pagi2 tadi..  tapi itu dah jadi donut sejuk la.. kekeke...

Ok ni sebenarnya donut yang dibuat minggu lepas.. dua hari berturut2 buat donut ni atas permintaan anak2. Maklum sajalah.. minggu lepas anak2 ditinggalkan di rumah sebab mr. hubby bekerja malam.. jadi kenalah sediakan makanan kat rumah tu supaya anak2 burung tak kelaparan.. hehe.. Masa hari pertama aku buat tu.. aku buat lewat petang (hari cuti) & dapatlah bawa ke rumah jiran malamnya waktu melawat jiran yang baru lepas operation. Separuh dari donut yang aku buat sempat aku frozenkan untuk digoreng keesokkan paginya. Rupa2nya.. malam esoknya anak2 minta buatkan lagi donut sebab tak puas makan katanya.. Haa.. itu yang jadi dua hari berturut2 kena buat donut.. mujurlah kerja uli menguli semua ku serahkan kepada BM.. hehe..


Resepi donut kentang ni adaptasi dari resepi donut kentang Cakcibur a.k.a Rohana Shahdan.  Akan tetapi aku dah ubahsuai kuantiti bahan2nya kerana aku tak pandai nak 'bermain' dengan doh yang terlalu lembek. Jadi untuk resepi ini aku dah kurangkan sukatan air & lebihkan sedikit sukatan tepongnya. Alhamdulillah.. hasilnya tetap lembut & sangat sedap.. Ahhh.. tak payah la nak komen lebih2 pasal donut kentang kan.. semua orang pun dah tau sebarang doh jika ditambahkan kentang atau keledek dah tentu hasilnya akan jadi lebih lembut berbanding doh dari tepong semata2... hehe..
Ok jom semak resepi... 

Donut Kentang

Bahan2 doh
1 biji kentang (anggaran 150 ~ 190 gm) ~ kupas, potong & rebus empuk
200 ml air suam
70 ml minyak masak
70 ml susu pekat
½  peket mauripan (5.5 gm)
550 ~ 580 gm tepong gandum
1 sudu kecil (sudu kfc) garam

Bahan tambahan
minyak masak
gula kastor

Cara2 Menyediakan
1. Kentang dikisar bersama 200 ml air sehingga halus lalu tuangkan ke dalam mangkuk menguli.
2. Campurkan garam, minyak masak, susu pekat & mauripan ke dalam mangkuk kentang tadi dan kacau rata.
3. Masukkan tepong sedikit demi sedikit sambil diuli rata. Uli sehingga mendapat doh yang lembut & licin. Tak perlu habiskan tepong sekiranya doh sudah elok lembut & tak melekat ditangan. Bila doh siap diuli.. tutup mangkuk doh dengan tuala lembab atau dibungkus mangkuk tadi dengan plastik bersih & perap doh sehingga naik sekali ganda.
Untuk kaedah menggunakan BM.. masukkan saja bahan2 mengikut urutan ke dalam BM & set kan kepada program doh. Tunggu sehingga siap.
4. Tumbuk doh yang telah naik tadi untuk mengeluarkan angin. Bentukkan donat samada menggunakan donut cutter dengan mencanai doh atau boleh juga bulat2kan doh seperti membuat cucur badak. Susun di atas dulang. Bila doh sudah naik.. sapukan jari dengan minyak masak & buat lubang ditengah2 dan goreng sehingga kekuningan. Salut dengan gula kastor & sedia dihidangkan.

Nota
1. MaDiHaA uli menggunakan breadmaker dengan menggunakan kentang sebanyak 190 gm & menggunakan tepong gandum sebanyak 550 gm. Doh memang agak lembut.. gunakan tepong semasa membentuk doh supaya tak melekat ditangan.
2. Sapukan dulang dengan sedikit minyak masak sebelum mengatur donut yang dibentuk supaya donut tak melekat pada dulang semasa nak digoreng. 


Selamat mencuba!

Tuesday, November 29, 2011

Tak sihat .... Balik kampong.... Durian...

Assalamualaikum....

Salam Maal Hijrah buat semua... Agak terlambat bagi ucapan.. tapi oklah dari takde langsung kan... 

Hajat di hati hari Jumaat lepas memang nak update satu lagi entry sebelum cuti pulang ke kampong... Tapi kita hanya mampu merancang... Allah S.W.T juga yang menentukan segalanya... Rupa2nya petang Khamis tu badan seram sejuk menunjukkan tanda2 nak demam.  Cuba untuk bertahan.. tapi akhirnya terpaksa juga pegi ke klinik ambil ubat demam.. waktu tu suhu badan 38.5C.  Tak bercadang pun untuk ambil MC lagipun dah petang waktu tu.. tinggal lagi 3 jam untuk menamatkan waktu di pejabat. Masuk kembali ke pejabat, telan ubat demam, naikkan suhu penyaman udara di ofis dan sarung sweater untuk menahan kesejukan... 

Kepala semakin berat, pening berdenyut2.. cuba lagi bertahan harap2 bila ubat dah 'jalan' kuranglah sikit sakitnya.. akhirnya tak tahan juga.. rasa macam nak baring jer, lenguh seluruh badan & sendi2... minta izin dari bos untuk pulang awal setengah jam. Walaupun badan dah tak bermaya tapi kuatkan juga untuk jemput adik Alin di rumah pengasuhnya di tingkat 4. Selangkah demi selangkah menaiki anak tangga.. kadang kala rasa seperti nak rebah.. ohhh.. tahan... tahan.. Alhamdulillah.. sampai juga ke atas.. bawa Alin turun tangga berhati2..  mujur tak perlu jemput kakak Dini & abang Haziq sebab mereka ditinggalkan kat rumah bersama ayahnya sebab ayahnya kerja malam. Drive ke rumah  dengan berhati2 dengan kepala yang masih ting tong & waktu tu jalan tak begitu sesak. Syukur sampai juga ke rumah.. Sampai rumah terus kejutkan hubby yang sedang nyenyak tidor. Aku katakan padanya 'ibu demam... ayah masak ye!' aku bimbang hubby sangkakan aku akan memasak sebab hari2 sebelumnya selama cuti sekolah ni aku sempat masak utk dia sebelum dia pergi kerja malam. Tapi kali ni aku betul2 tak larat.. nak berdiri lama di dapur memang aku tak mampu.. Ingatkan demam kebah.. rupanya  demam sampai ke malam.. menggigil2 malam tu sampaikan nak mandi petang tu pun aku tak sanggup. Malam tu berselimut tebal dengan baju tebal & berstoking.. pun menggigil2.. Suruh pula anak2 letakkan bantal atas badan tapi sia2 aje sebab seram sejuknya bukan datang dari luar.. tapi dari dalam badan ku sendiri.. hehe..

Esoknya aku tak ke ofis.. tunggu hubby balik kerja.. telefon bos mengatakan aku masih demam. Nak ajak hubby ke klinik pun rasa tak larat nak berjalan.. almaklumlah.. dari rumah nak ke parking kereta di apartment ni bukannya dekat.. lepas hubby pulang dari solat Jumaat tenghari tu barulah rasa segar & kebah sikit.. ajak hubby ke klinik. Cakap kat doktor demam dah kebah.. tapi kepala & badan memang sakit lagi. Bila doktor ambil suhu badan katanya demam masih ada.. huk aloh.. ingatkan dah tak demam... terus dia berikan antibiotik & lain2 ubat yg berkaitan. Syukur... akhirnya malam tu aku dah tak demam lagi. Hari tu hubby masuk kerja pukul 4 petang & habis kerja pukul 12 tengah malam & malam tu (awal pagi tu) juga bertolak pulang ke kampong hubby sempena cuti Awal Muharam sambil2 nak ambil buah durian.. hehe.. 

Yesss!! seronok balik ke kampong hubby kali ni sebab pak sedara aku dari Dungun Terengganu (papa Ida Marlida) yang dah lama teringin nak kenal kampong hubby pun ada datang dari Dungun bersama2 dengan anak menantunya. Puaslah jamu tetamu jauh ni makan buah durian & sempat juga bawa mereka pegi mandi manda Air Terjun Lata Lembek yang tak jauh dari kampong hubby. Bukan main seronok lagi anak2 & anak2 sepupu dok mandi air terjun... hmmm.. gambar mandi manda aku tak snap sebab masa tu dah petang sangat & sah2 gambar gelap almaklum ambik gambar guna handphone aje.. Tapi pak sedara adalah ambik gambar guna kameranya.. 

Gambar di bawah ni aje yang ada sebagai kenang2an di kampong.. satu kereta sorong buah durian yang berjaya dikutip hubby pada pagi hari pertama kami di kampong.. durian2 yang seterusnya dah tak ambik gambor sebab aku terlampau sibuk.. haha.. Layan ajelah yer.. tiada resepi untuk hari ni..



Buah durian kat bawah tu special yang mak simpankan untuk kami... subuh2 hari sesampai je kami ke kampong kami dah pulun buah durian.. haha...

Jumpa lagi...

Thursday, November 24, 2011

Sup Ikan Salmon

Assalamualaikum... good morning everybody!

Apa cerita pagi ni? Ada yang frust ker malam tadi Harimau Muda kecundang? hehe.. Malam tadi aku tak sempat nak mengadap tv sangat sebab dok sibuk buat benda lain.. sempat jeling2 jer. Tapi apa2pun.. mungkin faktor kekalanan tu sebab pasukan kita dah letih agaknya.. yelah.. baru je lepas bertarung dengan Garuda kan.. Apa2pun.. berbanggalah dengan Harimau Muda yang dah berjaya membawa pulang emas hari tu.. & tahniah juga sebab dengar khabarnya Sultan Pahang berkenan nak hadiahkan RM30,000 bagi setiap orang.. Wahh!!! Lumayan beb! Anak2 dara tu.. bolehlah try2 ngorat mana2 yang berkenan yer.. mana tau melekat... hehehe.. Aikkk..! tiba2 pulak tukar topik pagi ni citer pasal bola pulak.. haha.. sesekali tertukar channel takperlah ehh...

Oklah cerita pasal menu pagi ni.. layan ajelah apa yang ada ni.. Dah lama sebenarnya masak Sup Ikan Salmon ni..  sengaja tak letak entry rapat2 dengan entry ikan salmon yang dulu tu.. takut nanti dikatakan haii.. banyak benar pitih orang ni dok makan ikan salmon sokmo.. hehe... Sebenarnya.. ini saki baki ikan salmon yang dibeli duluuuuuuuuuuuuuuu tu.. kalau masih ingat.. sebelum bulan puasa lagi.. haha.. cuma aku sengaja letak entry ikan salmon ni jarak2 sikit.. lepas2 ni ada lagi insyaAllah.. tapi tak tau bilalah tu gilirannya enterprem... hehe..


Masa beli ikan salmon dulu aku berkongsi dengan member sekerat sorang sebab ikan ni agak besar jugak.. pancit kalau nak beli sekor.. hehe.. Aku pilih bahagian kepala.. orang Chinese mungkin kurang suka kot ikan bahagian kepala.. jadi aku amik jelah bahagian kepala tu.. boleh juga di gulai atau dikari.  Tapi bila tiba masa nak masak.. rasa nak ubah selera pulak.. goggle2 resepi jumpa resepi sup ikan salmon ni dari blog Ijan.. Aku pun masak jelah.. tapi dengan sedikit ubaisuai... TQ ye Ijan untuk resepi ni.. kalau tak silap.. Ijan masak ni masa dia dalam pantang dulu. 


Oh ya.. bercerita pasal ikan salmon ni.. rupa2nya kepala ikan salmon ni ada bahagian tulangnya yang rawan.. sedap krup2 boleh makan macam tu jer.. kiranya.. tak byk la tulang2 keras berbanding dengan ikan2 yang lain pada kepalanya tu... Tapi aku tak berapa lalu pulak mkn ikan ni bila masak berkuah gini sebab pada kepala ikan ni banyak sangat gelatinnya.. hehehe... Nasib baik hubby boleh makan.. so dialah yg laju... aku cubit isi2 dia jer.. 

Sup ni aku hidang juga dengan sambal kicap untuk kasi ummph lagi masa makan..


Sup Ikan Salmon
Resepi : Ijan

Bahan2
2 potong ikan salmon (MaDiHaA guna bahagian kepala)
2 ulas bawang merah dihiris
1 ulas bawang putih dihiris
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga cengkih
1 kuntum bunga lawang
1/2 sudu teh ketumbar (MaDiHaA ganti dengan 1 sudu kecil rempah sup dibancuh dulu)
1 camca besar serbuk lada hitam
1 inci halia diketuk
2 asam keping
1 biji kentang dipotong dadu (Letak lebih sebab anak2 suka kentang)
sedikit daun saderi (Letak daun sup)
kiub ikan bilis (MaDiHaA ganti dengan 1 kiub sup bunjut)
3 mug air atau secukupnya

1. Tumis bawang, bunga cengkih, lawang, kayu manis, ketumbar & halia hingga naik bau.
2. Masukkan ikan salmon & goreng sebentar. (MaDiHaA masukkan ikan last sekali lepas kentang agak empuk) Kemudian masukkan air, bancuhan rempah, kentang, serbuk lada hitam dan asam keping.
3. Masak hingga kentang empuk. Perasakan dengan garam & kiub ikan bilis.
4. Hidangkan bersama daun saderi. MaDiHaA hidang juga dengan sambal kicap.. sedap hirup kuahnya pedas2 tu..


Selamat mencuba!

Wednesday, November 23, 2011

Onion Ring... best!

Assalamualaikum & selamat petang...



Jom kita layan Onion Ring petang2 ni. Sedap ni tauu... krup krap... Ralit dok melayan benda ni sampai tak sedar dah nak hampir habis sepiring.. hehehe... Resepinya hasil skodeng kat blog Nani tak lama dulu... Nampak macam sedap aje.. teruslah aku print resepinya. Terima kasih ye Nani.. walaupun resepi ni Nani kata resepi mudah tapi seumur hidup akak lom pernah buat lagi. Malu kat Kinah sebab Kinah pun pandai buat sendiri tanpa bantuan ibunya.. hehehe..

pada aku rasanya lebih sedap dimakan kosong begini tanpa sos atau mayonis sebab salutan tepongnya tu dah secukup rasa dah.. pedas, masin & rangup.. best!

Tak sia-sia akak godek aritu... memang best! Semetelah akak memang suka bawang2 ni.. kalau buat cekodok memang sengaja letak bawang lebih.. kalau goreng ikan tenggiri jeruk pun sama.. mesti goreng bawang besar + cili padi lebih pastu berebut2 mkn dengan husband & anak2.. hehehe... 

TQ.. resepi ni sangat perfect! Tapi harap Nani tak marah ye sebab akak ada alter sikit resepi ni sebab akak buat lebih sikit bawang tu.. jadi terpaksa akak bancuh tepong lebih sikit & akak sukat sekali sukatan air & garamnya coz resepi Nani airnya takde sukatan. Ini untuk mudahkan adik2 atau kawan2 yang nak mencuba supaya batternya tu ngam2 elok melekat pd bawang maksudnya tak cair sangat & tak pekat sangat... so senang kalau kita bagi sukatannya sekali.  Yang penting.. olahan resepi yang Nani bagi ni memang best & secukup rasa. Rangup tepongnya tu.. syok betul akak & anak2 layan.  Lenkali nak buat lagi.. tak puas mkn aritu.. hehe.. TQ ye Nani.. mintak izin ye letak resepi kat sini. Untuk resepi original dari Nani boleh klik SINI.

tak cukup?? ni ada lagi.... hehe..


Onion Ring
Resepi : Nani
Sumber : MaDiHaA a.k.a Ratna

2 ~ 3 biji bawang besar (bawang besar merah bukan yg kuning tu yer ~ dana akak dah edit! hehe)
3 sudu besar tepung gandum
2 sudu besar tepung jagung
1½ sudu besar tepung kastard
1½ sudu kecil lada sulah
1½ sudu kecil lada hitam kisar (sukat yg dah dikisar)
120 ml air
1 sudu kfc garam
minyak utk menggoreng

Cara2 Menyediakannya
1. Bancuh kesemua bahan (kecuali bawang & minyak masak) menggunakan whisker (handwisk) sehingga rata. Ketepikan.
2. Bawang besar dikopek, cuci bersih kemudian dimayang bulat. Lerai2kan lapisan bawang satu persatu sehingga habis.
3. Panaskan minyak. Celupkan hirisan gegelung bawang yang dihiris tadi dalam bancuhan tepong (batter) & masukkan ke dalam kuali satu persatu supaya ia tak melekat antara satu sama lain. Goreng sehingga garing, angkat & toskan. Goreng sehingga habis.
4. Sedia dihidangkan bersama sos, mayonis atau dimakan begitu saja. Sedapp!!

Nota MaDiHaA: sukatan tepong tu MaDiHaA sukat sedang2 ye.. tidak diratakan & tidak pula membumbung.. just sedang2 gitu..



Selamat mencuba!

Kuetiaw Kerang Kicap Campur

Assalamualaikum....

Ibu2 di rumah dah masak tengahari? Mesti sedang sibuk di dapurkan? Al maklum sajalah... di musim cuti sekolah ni.. semua anak2 ada kat rumah & semestinya ibu-ibu semua pun bertambah sibuk di dapur menyediakan juadah untuk anak-anak yang perutnya sentiasa minta di isi... Faham sangat dengan kerenah anak2... pantang lambat sikit masak mesti dah merungut lapar... "alahaiii sabarlah nak oii... mak nak godek resepi dulu kat tenet ni... jap lagi mak masak yer.." hehehe... kadang2 slot tersebut pernah jugalah terjadi kat rumah ku... tapi tidaklah kerap sangat sebab biasanya kalau MaDiHaA nak mencuba resepi baru dari internet.. awal2 lagi MaDiHaA dah print resepinya... tak retilah nak rujuk resepi dari skrin laptop sambil2 masak.. lebih selesa rujuk resepi dari kertas.. mudah dibawa ke sana sini..hehe..

Anak2 dara sunti tu... bantu2lah ibu di dapur yer... jangan asyik leka dengan aktiviti sendiri saja lebih2 lagi zaman sekarang ni anak2 asyik sangat dengan internet bermuka buku & macam2 lagi aktiviti dorang ni... Kalau tolong mak kat dapur tu.. cepat sikit boleh makan.. betul tak?


Oklah.. kali ni update resepi Kuetiaw Kerang aje... ini menu kami sekeluarga untuk dinner pada hari Ahad baru2 ni.  Selain kuetiaw.. sempat jugak aku buat donut.. yg tu aku update kendian yer.. hehe.. Tengahari Ahad tu ada kenduri kahwin jadi memang tak masaklah kat rumah.. malamnya rasa malas pulak nak masak lauk pauk.. kebetulan hari Sabtu tu sempat pegi ke pasar besar PJ.. adalah beli kerang 2 kg.. Masa beli tu tak terfikir pun nak dibuat apa.. saja2 beli sebab dah lama sangat tak beli kerang sebenarnya.. jadi untuk dinner Ahad tu.. aku goreng kuetiaw sajalah.. Untuk Haziq & Alin hubby gorengkan untuk mereka versi tak pedas tanpa kerang & udang (just letak fishball, fishcake & telur saja). Masih bimbang nak bagi Haziq makan udang & seafood yang lain sebab takut kena alergi lagi macam dulu.. huhu..

Ok jom layan resepinya... ini resepi adaptasi dari resepi kuetiaw goreng Nuanza yang pernah aku buat DULU.. Cuma kuantiti kicapnya agak berbeza sikit sebab kali ni aku ada campurkan dengan kicap campur resepi Mas yang aku buat untuk Kuetiaw Haufan dulu.... TQ ye Nuanza & Mas juga.  Mas dah lama menyepi dari mengupdate blognya.. agaknya masih alah & mabuk2 lagi mekyung tu.. harap2 lepas ni bolehlah teruskan aktiviti harian seperti biasa bila dah berakhir fasa pertama..


Kuetiaw Kerang Kicap Campur
Adaptasi dari resepi : Kuetiaw Goreng Nuanza

Bahan2
1 kg kuetiaw ~ dilerai2kan
4 sudu rata serbuk cili (bancuh dgn air jdkan pes)
10 ulas bawang putih ~ ditumbuk
2 kg kerang ~ rebus & ambil isinya
400 gm udang ~ buang kepala & sebahagian kulit
2 keping tauhu ~ goreng & potong kiub
3 ~ 4 pokok sawi ~ dipotong tetapi batang & daun diasingkan ~ cuci bersih & tos
3 ~ 4 gengam taugeh
10 pokok kuchai ~ potong 1 inci
5 sudu besar kicap campur
1 sudu besar kicap pekat
2 sudu besar kicap manis
2 sudu besar kicap masin
garam jika perlu
2/3 cawan minyak masak

Cara2 menyediakan
1. Panaskan minyak lalu tumiskan bawang putih tumbuk & pes cili hingga wangi.
2. Masukkan kerang, tauhu, segala jenis kicap & kacau rata. Masukkan batang sawi, udang & beberapa sudu air jika perlu lalu kacau rata. bila batang sawi kelihatan agak lembut masukkan pula sawi & daun kuchai. Jika perlu boleh tambahkan sikit garam. Kacau lagi.
3. Masukkan kuetiaw & kacau rata. Akhir sekali masukkan tauge, kacau2 kejap & bolehlah dipadamkan apinya.
4. Hidang kuewtiaw dengan cili potong atau jeruk cili hijau untuk menambahkan kesedapannya.


Selamat mencuba!

Tuesday, November 22, 2011

Bingka Labu Lemak Tanpa Telur

Assalamualaikum....



Bersua lagi... Kali ni dengan menu minum petang pulak yer... Sebenarnya dah lama juga buat kuih bingka ni.  Rasanya sehari lepas nampak Yatie Memories letak di blognya dulu tu.. petangnya terus singgah kedai cari labu &  bahan2 lain.  Keesokkannya baru sempat buat.  Masa tu kira2 sehari sebelum balik kampong masa nak raya haji aritu... Sekarang baru sempat di update. Maaf ye... lama betul nak masuk entry... Almaklum.. banyak gambar yang Q menunggu giliran.  Sebab tu banyak entry tertunda.  Lagi2 kalau dok klik gambar banyak sangat macam bingka labu ni (kes perasan kuih tu comey sangat.. hehe) jadi makin lambat nak masuk entry sebab sah2 entry tu kena tulis atau keluarkan cerita lebih sikit barulah best masuk gambar banyak2... Takkan nak letak gambar semata2 kan? hehe.. 

Memasak bagi aku takde masalah sangat... biarpun terpaksa terkejar2 wajib juga memasak.. tapi nak mengupdate ke blog selalu je tak cukup masa lebih2 kalau kat rumah. Yelah.. bila kita nak update ke blog.. tak boleh nak update & taip cincai2 aje.. penyampaian resepi nak kena betul & tepat.  Asal usul resepi pun nak kena bagitau.. Kalau dok kelam kabut ada yang silap taip resepi.  Jadi kenalah tunggu tenang2 & lapang2 barulah best nak menaip. Takpelah ye.. slow2 kita update. Kekadang aku terpaksa gilir2 antara menu2 baru masak dengan menu2 yang dah lama masak ikut kesesuaian & bergilir2 antara lauk pauk & kuih muih.. jadi taklah jemu asyik tengok lauk pauk jer atau pun kuih muih jer.. hehe..

Bercerita pasal bingka ni.. memang sedap sangat walaupun tak gunakan telur.. Macam tak percaya sebab kebiasaannya rasa sedap & lembut sesuatu kuih tu datangnya dari telur.. Kalau tak percaya anda kenalah cuba buat  terutama bagi penggemar kuih bingka pasti takkan menyesal. Sedap sungguh! Rasa lemaknya mungkin datang dari santan, susu & juga labu itu sendiri... makan sekeping memang tak cukup hehe.. Oh yaa... kuih ni dapatlah aku bagi pada pengasuh & juga makcik selain bekalan anak2 ke sekolah masa tu sebab aku buat 2 adunan so dapat agak banyak juga... 


Okey.. mari kita lihat resepinya yer. Sebelum tu.. terima kasih banyak2 pada Yatie Memories yang perkenalkan resepi yang diambil dari Fida di Myresepi ni. Memang best! TQ both of you.. minta izin letak resepi kat sini ye. MaDiHaA buat 2 adunan dapat 2 biji bingka dalam acuan bunga pecah lapan & beberapa biji bingka dalam acuan muffin tu (lupa dah berapa biji kalau tak silap dalam 7 atau 8 biji kot.. maklumlah dah lama sangat buatnya..)


Bingka Labu Lemak Tanpa Telur
Resepi : Fida@MyR Fida@MyR
Sumber : Yatie Memories

Bahan-bahan (loyang 9x6 in atau 2 biji adunan pecah 8 )

    * 250 gm labu - tanpa kulit, direbus
    * 1/2 cawan gula halus (MaDiHaA guna gula perang)
    * 1/2 cawan santan pekat
    * 3/4 cawan susu cair/sejat
    * 1 sudu besar susu pekat manis
    * 1/2 sk garam
    * 1 cawan tepung gandum
    * 1 sudu besar mentega/majerin
    * sedikit pewarna kuning (akak tak bubuh ~ MaDiHaA pun tak bubuh)
    * bijan untuk ditabur (ini MaDiHaA tambah)

Cara-cara

   1. Satukan kesemua bahan2 dalam blender dan kisar halus.Tuangkan adunan ke dalam mangkuk dan kacau hingga rata.
   2. Tuang adunan ke dalam acuan/loyang yang telah disapu mentega/majerin/minyak. Taburkan bijan jika suka.
   3. Bakar pada suhu 160C selama 45 min atau hingga masak. (Yatie bakar 1/2 jam pertama guna api bawah je dan 1/2 jam lagi api atas dan bawah ~ MaDiHaA ikut cara Yatie juga... tapi untuk loyang muffin dikurangkan masa membakar)
   4. Sejukkan bingka, potong kecil dan boleh dihidangkan.



Selamat mencuba!


Sambal Tempoyak (mentah)

Assalamualaikum...

Cuti hujung minggu ni kalau takde aral melintang cadang2nya nak balik kg mr. hubby sebab adik ipar ada telefon katanya durian dah mula gugur.  Kalau ikutkan aku bukanlah 'antu' durian (tapi aku 'antu' manggis!! hahaha...). Setakat dua, tiga ulas bolehla. Kalau setakat nak makan.. kat sini pun boleh beli kalau teringin nak makan durian.. tapi tak sedaplah kalau tak balik... kecik pulak hati orang tua... Selama ni dok bawak balik durian penuh bonet kereta pun sebab nak sedekah2 kat jiran2, sedara mara & kawan2... biasanya kat rumah tinggal ler dlm 3, 4 biji aje.. itupun belum tentu habis.. Bila tak habis.. biasanya aku frozenkan isi durian tu kot2 nak dibuat kuih.. 


Hemmm... kalau nak tau.. isi durian frozen musim yang lalu tak terusik pun.. haha.. Bila dengar hubby kata nak balik kg ambik durian.. aku pun defrost isi durian tu & terus aku jadikan tempoyak.  Saja sebab nak bagi ada ruangan dalam freezer tu untuk aku frozenkan isi durian yang baru.. hahaha.. Petang semalam sempat juga aku buat sambal tempoyak untuk dinner kami selain ikan aye goreng, telur kicap dengan sawi tumis air.  Semalam kan aku half day sebab bateri kereta kong.. jadi anak2 semua aku tinggalkan kat rumah sebab hubby ada kat rumah. Lagipun masa aku nak keluar dalam pukul 12 tengahari tu.. si Alin dah tidor.. jadi aku tinggalkan aje dia. Lagipun.. kakaknya pun dah boleh jaga adik.. Itu yang aku boleh balik cepat sikit petang semalam sebab takde tempat persinggahan.... Bila tak perlu singgah mana2 especially tak perlu jemput anak2 kat sekolah & tak perlu menempuh Federal Highway.. bolehlah aku ubah haluan ikut jalan lebih dekat iaitu ikut Jalan Klang Lama.. so balik rumah sempatlah masak utk hubby sebelum dia pergi kerja.

Oklah.. sesekali layan menu orang kampong.. sedap ni weiii.... kakak Dini pun dah pandai makan tempoyak!

Sambal tempoyak lawan dengan petai jeruk.. mmg ngam sangatlah!

Sambal Tempoyak (mentah)

Bahan2
Segengam cili padi ~ buang tangkai
Segengam ikan bilis ~ dikopek & rendam ~ tos
garam secukupnya
Tempoyak secukupnya (lebih sedap guna tempoyak yang baru sbb kurang  masam)

Cara2 menyediakan
Tumbuk ikan bilis, cili padi & garam hingga halus. (selalunya aku kisar je guna pengisar kering.. hehe.. dasar pemalas! Nak cepat!)
Letakkan dalam piring. Letakkan juga tempoyak secukupnya di sebelah bahan tumbuk tadi. Semasa nak makan.. gaulkan bahan2 yang ditumbuk bersama dengan tempoyak & bolehlah dinikmati bersama ulam2 & lauk2 yang lain. Marbelesss!

sebenarnya.. sambal tempoyak dalam gambar ni yang dah lama buat.. 
semalam punya sambal tak ambik gambar pun.. hehe...

Selamat mencuba!

Monday, November 21, 2011

Chiffon Tapai Ubi.. alahaii......... kenapa begini?

Assalamualaikum...
Selamat petang... terlambat mengupdate hari ni.. Pagi tadi tak masuk ofis sebab keretaku tak dapat dihidupkan enjin. Ohhh.. rupanya bateri kereta kong. Waduh2... Nasib baiklah tak terkena semasa anak2 exam hari tu..Kalau tak.. mesti kelam kabutlah aku nak hantar anak2 ke sekolah.. Hari ni pun mujur en. husband ada kat rumah sebab minggu ni dia masih bekerja shift malam. Jadi terpaksalah aku ambil halfday sementara tunggu kedai jual bateri kereta buka dan en husband pegi beli dengan motor kapcainya. Jadi kami semua naik lah ke rumah dulu untuk bersarapan & buat apa2 yang patut.. Tengahari barulah aku masuk kerja.. Kebetulan pula hari ni bos kena pegi ke warehouse.. jadi.. idaklah sibuk sangat aku petang ni...

Oklah.. meh tengok kek chiffon ku yang hudoh ni...... alahaiii.. kenapa jadi begini??


Frust betul dengan kejadian kek chiffon ku kali ni... Kenapa kau merekah & berlobang2?  Kan dah tak cantik nak diposingkan... kekeke....  Walaupun kau tak cantik... aku posingkanlah juga... Yelah.. takkan nak tunjuk sini yang elok2 jerkan.. Takkan nak bajet hebat sokmo.. sesekali kena juga tunjuk eksperimen yang tak menjadi.. aku hanya insan biasa.. budak baru belajar.. hehe.. Tapi syukur.... hati sedikit terubat kerana  ku rasa kek chiffon ni.. WOW! sangatlah  gebusss & sedap! Lain dari yang lain... Nak kata rasa tapai ubi pun takdelah terasa sangat.. tapi yang pasti.. memang sedaplah!

Dalam perkiraanku.. rasa2nya aku tau kenapa chiffon ku jadi begini.. aku catatkan di sini utk rujukan ku dimasa akan datang & supaya aku tak ulangi lagi kesilapan yang sama.

1. Semasa mencampurkan meringue ke dalam adunan tapai ubi.. aku menggunakan spatula. Jadi aku rasa adunan tu tak tercampur dengan elok ataupun kurang rata sebab masa buat kek ni aku dalam keadaan tergesa2.. hehe. Sebaiknya campurkan adunan menggunakan whisker barulah adunan putih telur betul2 rata. Bila adunan putih telur tak rata.. maka jadilah kek chiffon yang berlubang2 macam dalam gambar tu.. 

2. Semasa membakar.. aku panaskan oven menggunakan suhu 170C & rasanya suhu tu terlalu panas utk oven aku. (kalau ikut saranan dlm resepi asal menggunakan suhu 180C.. huhu..) Aku rasa.. sebaiknya lain kali gunakan suhu 150C sahaja utk oven aku semasa membakar kek chiffon. Oleh kerana suhu terlalu panas.. makanya kek chiffon ku cepat hangus & jadi merekah di bahagian atasnya. Dalam resepi ku edit ikut cara aku bakar kak chiffon pisang yang pernah aku buat dulu.

3. Kek ni agak rendah sebab aku gunakan loyang yang akak besar & tak sepadan dengan saiz adunan. Mengikut  saranan resepi gunakan loyang saiz 20cm tapi aku gunakan loyang saiz 24 cm sebab itu je yang aku ada.

Kalau kawan2 ada sebarang idea & nasihat berkenaan kek chiffon ku yang tak menjadi ni sila2lah berkongsi ye... Terima kasih..

Ok.. jom semak resepi! Resepi ni yang telah aku ubah dari apa yang aku buat hari tu supaya tak ulangi kesilapan lagi.  InsyaAllah.. ada kesempatan di lain hari aku akan buat lagi kek ni sebab tak puas hati dengan hasilnya kali ni. Nanti kita tengok kalau2 masih berlaku apa2 yang menyalah. hehe.. Lagipun tak puas  juga makan hari tu.. biasalah.. aku kalau buat apa2.. mesti bawak juga ke rumah pengasuh atau ke rumah makcik...(tp kali ni tak dpt nak bg makcik sbb tak cukup coz kakak Dini pun bawak ke sekolahnya bagi kat kawan2 dia hari tu... huhu) sharing & caring... hehe..


Chiffon Tapai Ubi
Olahan MaDiHaA a.k.a Ratna dari resepi di SINI.


Bahan2 A
150 gm tapai ubi kayu (MaDiHaA guna tapai ubi warna kuning)
75 ml minyak masak
150 ml susu cair
6 biji kuning telur (gred A)
120 gm tepong gandum ~ diayak
25 gm gula kastor (MaDiHaA guna gula perang)

Bahan2 B
6 biji putih telur (gred A)
secubit garam
½ sudu teh cream of tartar
75 gm gula kastor (MaDiHaA guna 60 gm gula perang)

Cara menyediakan
1. Tapai ubi dibuang urat tengahnya. Kisar tapai ubi bersama2 minyak masak, susu cair, kuning telur dan gula pasir hingga halus.  Tuang ke dalam bekas yang sesuai.
2. Ayak tepong gandum dan campurkan sedikit demi sedikit ke dalam bancuhan tapai ubi tadi dan kacau rata menggunakan whisker.  Ketepikan dahulu.
3. Panaskan oven 150C.
4. Pukul kesemua bahan2 B sehingga menjadi meringue & bertanduk. (sehingga diterbalikkan ia tak tumpah).
5. Masukkan sedikit meringue (adunan putih telur) ke dalam bancuhan tapai ubi tadi & kacau rata dengan satu arah sahaja menggunakan whisker. Tambahkan lagi sikit demi sikit adunan telur & kacau rata sehingga habis.
6. Tuang adunan ke dalam acuan chiffon (MaDiHaA guna acuan saiz 24 cm) yang TIDAK disapu marjerin & bakar selama 55 minit dengan suhu 150C bergantung oven masing2. (Sebaiknya bakar guna suhu 150C selama 30 minit kemudian diturunkan suhu ke 140C sehingga genap menjadi 55 minit masa membakar bergantung oven masing2.)
7. Bila chiffon masak.. segera terbalikkan acuan kek chiffon & biarkan ia  begitu sehingga kek sejuk.
8. Sisipkan bahagian tepi & tengah kek dengan spatula dengan berhati2. Tanggalkan dari acuan & sisip pula bahagian bawah kek & letakkan kek di atas pinggan yang sesuai. Sedia utk dihidangkan sebagai minum petang.


Selamat mencuba!

Sunday, November 20, 2011

Tenggiri Sambal Tomato

Assalamualaikum...

Dah lewat malam baru sempat jenguk blog.  Ehh! malam ke? dah pagi dah pun.. hehe... Sibuk betul bila kat rumah.  Kat ofis pun tak sesibuk ni.  Almaklumlah... semua benda perlu dibereskan dalam masa 2 hari.  Lepas tu dah mula kerja balik.  Hari cutilah hari yang perlu menyiapkan mana2 kerja yang tertunda tak sempat siapkan masa hari2 kerja...  Melipat kain, nak cuci bilik air ke, tukar cadar ke semua tu tunggu hari cuti baru sempat buat... itu yang kadang2 tu tak sempat nak ngadap lappy..

Oklah.. mata pun dah ngantuk.. bantal pun dah memanggil2..hehe.. idea pun dah kurang... kita teruskan jelah ngan resepi.   Ini lauk yang dimasak 2, 3 minggu lepas... lupa dah bila.. lauk sempoi2 jer.. tapi kalau lauk2 pedas gini memang kegemaran orang2 dewasa dalam rumah ni... hehe..


Kat bawah ni resepinya ye..

Ikan Tenggiri Sambal Tomato
Resepi : MaDiHaA a.k.a Ratna

Bahan2
3 keping ikan tenggiri ~ cuci bersih & tos, gaul garam kunyit & goreng
1 biji bawang besar ~ hiris
1 biji tomato masak (besar) ~ dadu
Minyak masak secukupnya
garam & aji
1 sudu kecil gula
1/2 cawan air

Bahan tumbuk halus
30 biji cili padi (Ikut pedas)
6 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup

Cara Menyediakan
1. Panaskan minyak & tumis bahan2 tumbuk hingga garing & pecah minyak.  Masukkan air, garam, aji & gula. Masukkan bawang hiris & tomato dadu. Kacau rata. Rasakan biar secukup rasa.
1. Akhir sekali masukkan ikan goreng td & gaul mesra. Bila sedikit pekat bolehlah matikan api & hidang. 


Selamat mencuba!

Friday, November 18, 2011

Kek Oren Puding Karamel

Assalamualaikumm...

Yer bersua lagi... baru jer melangsaikan kerja2 yang perlu dibereskan... maka... dapatlah masuk blog ni lagi sebagaimana dijanjikan pagi tadi.... alhamdulillah...



Ok kali ni ku pos pula resepi kek karamel yang dibuat untuk sepupu MaDiHaA  tempohari.  Kek yang telah diubahsuai sedikit bahan2 di dalamnya.  Tertarik dengan olahan resepi Kek Karamel yang Kak Wan buat sempena hari lahirnya baru2 ni... terus rasa tertarik nak cuba versi yang begini pulak. Lagipun.. tak puas makan Kek Karamel yang dibuat pertama kali masa bawak balik kampong hari tu.. haha.. Buat kali ni pun untuk dirasa ramai2 juga sebab dibuat khas untuk Naknie yang menyambut birthdaynya... So.. dapatlah rasa sepotong sorang... jadilah kan.. Kot2 teringin nak makan lagi.. lain kali boleh buat lagi... wahwahwahh... kemarukk nampak!

Mintak izin ye Kak Wan MaDiHaA letak kat sini pula resepinya & terima kasih berkongsi ilham...


Kek Oren Puding Karamel
Adapted frm :  Kek Puding Karamel Puan Munira
Sumber : Kak Wan@resipicitarasawan

Langkah 1 : Gula Hangus
1 1/2 sudu besar gula pasir
Loyang 8 inci (MaDiHaA guna loyang 9" jadi kek kurang tinggi tak cun spt kek KakWan)

Cara-cara :
1. Tabur gula pasir di dalam loyang dan masak dengan api perlahan hingga menjadi gula hangus tanpa mengacaunya. Tutup api, goyang loyang kiri kanan untuk meratakannya.   Biarkan sejuk dan keras. Ketepikan.
2. Sediakan bahan Puding (Langkah 2) :

Langkah 2 : Bahan Puding
200ml susu cair
200ml thickened cream / double cream
100gm gula kaster
1 sudu teh esen vanila
3 biji kuning telur (Asingkan 3 putih telur untuk meringue)
2 biji telur

Cara-cara :
1. Satukan semua bahan puding, kocok perlahan, jangan sampai berbuih. Kemudian tapis ke dalam loyang gula hangus (Langkah 1). Ketepikan.
2. Sediakan Adunan Kek (Langkah 3):


Langkah 3 : Adunan Kek Span

Bahan A (Meringue)
6 biji putih telur (3 putih telur dari langkah 2, 3 dari langkah 3)
70gm gula kaster
1/8 teh cream of tartar

Bahan B
3 biji kuning telur (Asingkan 3 putih telur untuk meringue)
130 ml air
50 ml minyak masak
70 gram gula castor
140 gram tepung gandum
1 sudu teh baking powder
1/2 sudu besar oren emulco (sunkist emulco) (MaDiHaA guna oren emulco)
2 sudu teh pewarna oren
1 sudu teh coklat emulco (MaDiHaA ganti dengan capucino emulco + sedikit pewarna hitam)

Kalau dulu kek karamel hanya berperisa karamel.. 
kali ni gandingan oren & karamel pula.. bertambah2 sedapp!!

Cara-cara :
1. Bahan A : Satukan bahan A di dalam mangkuk mixer yang bersih dan kering. Pukul dengan kelajuan tinggi hingga kembang dan bertanduk. Ketepikan ke dalam mangkuk lain.
2. Bahan B : Ayak tepung bersama baking powder. Ketepikan.
3 . Dalam mangkuk mixer yang sama, pukul kuning telur, air dan minyak masak sehingga putih dan gebu. Masukkan gula castor, pukul lagi sehingga kembang menggunakan kelajuan tinggi.
4. Tutup mixer, masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit hingga bergaul rata. Kemudian kaup balikkan dengan Adunan A (putih telur yang di pukul tadi) perlahan-lahan hingga sebati.
5. Ambil 1/4 adunan, masukkan coklat emulco dan kacau hingga rata. Adunan selebihnya, campurkan dengan pewarna oren dan oren emulco. Gaul rata.
6. Tuang 2 sudu besar adunan kek oren ke dalam loyang puding dari Langkah 2 secara bertompok2. Kemudian tompokkan dengan 1 sudu besar adunan coklat di atasnya. Ulangi sehingga habis. (Adunan akan terapung di permukaan puding dan sedikit bergoyang. Setelah di masukkan kesemua adunan barulah adunannya tidak bergoyang.
7. Panaskan oven pada suhu 180C. Masukkan loyang berisi puding dari langkah 2 ke dalam sebuah lagi loyang yang lebih besar (Loyang 10" atau 12"), tuang air panas ke dalam loyang yang lebih besar.
8. Bakar secara bain marie di rak bawah selama 45-50 minit hingga masak.  Biarkan kek di dalamnya selama 10 minit. (MaDiHaA bakar selama 70 minit dengan suhu 170C menggunakan api bawah sahaja seperti saranan Anna Qawina.. kek lebih gebus! TQ Anna!)
9. Keluarkan kek dan biarkan bahagian tepi kek rengang. Biarkan betul-betul sejuk.
10. Terbalikkan kek perlahan-lahan ke atas pinggan dan biarkan kek turun dengan sendiri.
11. Lap segera dengan tissue dapur jika ada air gula yang meleleh di tepi kek.


Selamat mencuba!

Happy Belated Birthday to Naknie... muahh muahhh!!

Assalamualaikum...

Saja nak share gambar my cousin masa MaDiHaA bagi surprise dengan sebiji kek karamel sempena birthdaynya yang ke 22 tahun pada 9hb November minggu lepas.  Inilah dia si cantik manis yang sambut besday tu... Happy  belated birthday yer Naknie... sori takde hadiah... cuma dpt bagi kek jer.. kekekeke...

 Happy face of birthday girl... "happy 22nd birthday!"

Yang jadi surprisenya tu sebab keknya MaDiHaA bawa lewat 4 hari.. hahaha... Kira belated birthday cake la ni.... Yelahh.. kakak sepupunya ni kan ke kerja.. tak sempatlah nak godek kek hari kerja walaupun tau minggu tu Naknie memang sedang bercuti sempena minggu cuti raya haji. lagipun dok fikir hari Ahad tu boleh beramai2 sikit sebab husband & anak2 pun boleh ikut sekali. 

Yang bestnya minggu lepas ayohwe & moksu (pakcik & makcikku) & sepupu2 dari Dungun pun ada datang sekali sebab hari Sabtu sebelum tu ada kenduri kahwin anak dara  si Ida Marlida ni... (boleh tengok SINI gambar persandingan anak dara Ida Marlida yang cantik menawan tu..) so memang meriahlah kat rumah makcik kat PJ tu. Kalau moksu (mama si Ida Marlida) datang ke sini tak sahlah kalau tak godek kuih muih yang best2 sebab moksu ni  memang pakar buat macam2 kuih tradisi Terengganu.  Hari tu macam2 kuih dibuatnya... ada kayu keramat, talam sekaya & yang paling best sekali... moksu buat akokk!!! Yummy!! Sedap giler! Lama betul tak makan akok Terengganu... Tapi tak beranilah nak makan banyak sebab manissss...! huwaaaa... kena pantang sikitlah manis2....... adeiii... kalau ikutkan hati mmg suka bebenor akok tu... Akok tu moksu bakar dalam oven & guna acuan bunga pecah lapan tu jer sebab takde sarang akok kat rumah makcik kat PJ ni.. tapi cantik jer menjadi.  Kelakar betul sebab anak dara aku yang sulung si Dini boleh tak suka makan akok.. bila dia rasa dia kata "kuih apa ni bu? Rasa macam telur manis jer.. ishhh.. akak tak sukalah..." hahaha... apalah.. nama jer cucu orang Terengganu.. akok pun tak suka.. 

Oklah.. pagi ni layanlah dulu gambar anak dara ni berposing yer... petang2 nnt masukkan resepi kek tu pulak.. kek karamel juga.. tapi versi lain sikit... tungguuuu!!
Anak dara bam bam ku si Alin & auntie Naknie sama2 tiup lilin..


Okeyy.. jom potong kek pula.... Alin dah tak sabar nak makan ni.... hehe.. 
Untuk resepinya sila klik SINI.

Hingga bertemu lagi...

Thursday, November 17, 2011

Gulai Cili Padi Rebung & Perut

Assalamualaikum...
Bersua lagi.. chakk!! Kemaruk mengupdate kot... hehe.. so updatelah apa2 yang patut...

Pasangan serasi agaknya... kalau masak rebung mesti nak gandingkan dengan perut... haiii... memang tak boleh dipisahkan dua ni... Yang penting memang sedapp & menjadi kegemarankuuu!! Ini sebenarnya air tangan cik abang kita ni yer.. kita tumpang amik gambar je nih.. Tak tau pun dia nak masak gulai ni sebab bahan2 dia beli awal pagi masa dia balik dari kerja & masa tu dah tentu2 ler aku dah ada kat ofis.  Minggu ni dia kerja malam jd tiap petang (kecuali semalam sbb kita cuti Alin tak sihat) bila balik kerja cik abang dah siap masak.. hehe.. TQ abang!

Resepi biasa sekadar catatan dalam blog ni.. senang anak2 nak rujuk nanti...



Gulai Cili Padi Rebung & Perut

Bahan2
½ kg perut lembu yg dah dibersihkan ~ potong kecil2 memanjang & cuci bersih
½ kg rebung jeruk (kali ni abang beli rebung yg panjang2 tu.. so kena hiris2 sendiri katanya) 
2 btg serai ~ ketuk
serbuk perasa & garam (jika perlu sebab dah bubuh garam kasar)
sebiji kelapa di ambil santan secukupnya
1 keping asam keping (taknak letak pun takpe sebab rebung dah masam)

Bahan ditumbuk halus
4 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
15 ~ 20 biji cili padi (ikut kepedasan yg anda suka) 

2 inci kunyit hidup ~ tumbuk halus
sedikit garam kasar (utk memudahkan cili lumat serta kurangkan percikan waktu menumbuk)
 
Cara memasak
1) Rebung direndam dengan air bersih beberapa jam untuk mengurangkan rasa masam & bau. Toskan. Rebus perut hingga empuk kemudian tos dah ketepikan.
2) Jerang santan bersama bahan2 tumbuk, serai dan perut yg dah direbus tadi. Kacau2 sentiasa.
3) Bila mendidih.. masukkan rebung, asam keping, serbuk perasa & garam (jika perlu).
4) Biarkan mendidih sambil dikacau2 selalu agak tidak membuak.
5) Rasakan garamnya & bolehlah dihidangkan.


Selamat memasak!

Chicken Blaze

Assalamualaikum...


Syukur alhamdulillah Alin dah kembali sihat & hari ni dia dah dihantar ke rumah pengasuh & dapatlah MaDiHaA bekerja seperti biasa.  Terima kasih kepada kawan2 yang mendoakan supaya anak MaDiHaA cepat sihat & juga yang bertanya khabar yer.. Syukur.. dah sihat sepenuhnya. Tapi masih diberi ubat takut2 sakitnya datang semula.


Sebelum meneruskan coretan.. MaDiHaA nak nyatakan rasa RALAT sikit dengan resepi Kek Lapis Krim Kraker Kukus semalam sebab ada bahan yang MaDiHaA lupa nak taip.  Almaklum.. kek tu sebenarnya dah lama dah dibuat. Tu yang lupa apa bahan yang dah ditambah sebab resepi yang dicatit masa buat tu MaDiHaA bawak ke opis.  Entry semalam pulak ditaip dari rumah jadi MaDiHaA terus je copy & paste dari blog Kak IlahJY. Ingatkan semua dah betulkan.. rupanya masih ada yang lupa nak taip. hehe.. Pagi ni bila check resepi kat opis rupanya ada bahan yang tertinggal. Dah pun MaDiHaA edit semula & harap kawan2 yang dah salin tu bolehlah edit semula ye. Tapi yang diedit tu pun sebenarnya yang MaDiHaA pandai2 tambah sendiri & kalau ikutkan resepi asal memang takde. Sila check ye pada yang dah print resepi tu. Jadi terpulanglah pada kawan2 samada nak ikut resepi asal atau resepi yang MaDiHaA dah adjust tu.



Ok kali ni nak pos resepi lauk yang sempat MaDiHAa sediakan untuk dinner malam kelmarin iaitu Chicken Blaze. Sebenarnya resepi asalnya MaDiHaA ambil dari Fotopages Kak Nur dah lama dulu sebelum ujudnya blog MaDiHaA ni lagi.  Resepi asalnya menggunakan daging tapi kali ni  MaDiHaA ubah suai sikit menggantikan daging dengan isi ayam pula. Dah pernah pun dimasak menggunakan daging dulu2 & memang sedap! Jom tengok resepinya kalau2 ada yang nak mencuba. Minta maaf Kak Nur sebab MaDiHaA tak dapat nak link kat resepi di Fotopages Kak Nur sebab Kak Nur dah kunci Fotopages tu kepada public yer? Tapi tak mengapa.. kawan2 boleh masuk kat blog Kak Nur sebab kat sana pun ada macam2 resepi yang best2 & gambar2 pun semua menarik hati.. hehe..


Chicken Blaze
Ubahsuai dari resepi Beef Blaze Fotopages Nurfikas (sorry tak dpt nak link sebab FP Kak Nur dah kunci)
Sumber : MaDiHaA a.k.a Ratna


Bahan2
500 gm isi ayam ~ potong nipis & kecil

2 cm halia ~ cincang kasar / hiris halus memanjang
5 ulas bawang putih ~ cincang kasar

6 biji cili padi ~dipecah-pecahkan/ hiris halus
3 sudu makan minyak masak
1 batang lobak merah ~ dipotong nipis

2 biji kentang ~dihiris kecil & digoreng
1 peket sweet peas
2 biji bawang besar ~ dihiris bulat


Bahan Utk Pekatkan Kuah
1 sudu makan tepung jagung }
1/2 cawan air } sebatikan dan ketepikan dulu

Bahan Utk DiPerap Bersama Ayam
2 sudu makan kicap pekat
1 ½ sud makan kicap cair
1 sudu makan gula perang
1 sudu makan sos tiram/sos abalone
½ sudu makan minyak
½ susu teh lada hitam serbuk

Cara2 Menyediakan

1. Ayam digaul bersama bahan perap dan biarkan setengah jam. Sementara itu sediakan bahan2 yang lain.
2. Panaskan minyak lalu tumiskan bawang putih, halia & cili padi hingga wangi. Masukkan ayam & masak hingga ayam berubah warna & air yang terbit agak kering.
3. Masukkan carrot & kacang sweet peas. (tambahkan air jika perlu). Bila carrot sedikit lembut bolehlah masukkan bawang besar, air tepong jagung & sedikit garam jika perlu.  Balik-balikkan sebentar sehingga nampak kuah berkilat.  Masukkan kentang goreng & gaul rata. Sedia untuk dihidangkan. 


Selamat mencuba!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...