Tuesday, October 31, 2017

Puding Kastard Jagung

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Sesekali datang keinginan nak makan kuih-kuih manis pula.  Kita pilih yang mudah nak dibuat aje.  Bukan saja mudah, modal pun tak begitu mahal & bahan-bahannya mudah nak cari.  Sedap dijadikan sajian minum petang.  

Puding Kastard Jagung ni dah banyak kali MaDiHaA buat & rasanya dah beberapa kali juga dikongsi resepinya di dalam blog ini dan juga di dalam fotopages sejak lama dulu. Resepinya pun MaDiHaA ambil dari kawan cyber sejak berfotopages dulu iaitu Ana Elianas atau lebih dikenali sebagai Suzana Rahman yang sekarang dah jadi sifu baker yang juga mengendalikan kelas baking & masak2.  Kalau dulu sama2 hobi berkongsi resepi di fotopages, tapi sekarang kawan MaDiHaA ni sekarang dah pun melangkah jauh meninggalkan MaDiHaA dalam bidang masakan. MaDiHaA jugalah masih ditakuk lama tiada perkembangan. Yang kembang hanya badan semata-mata... hahahaha.... Apapun tahniah buat sifu Ana yang telah berjaya jadi baker yang berjaya serta dah pun menjadi cikgu masak2 yang dikenali ramai.  Semasa Ana mula2 nak mengorak langkahnya di dalam dunia baking, MaDiHaA masih ingat lagi waktu itu beliau sanggup naik bas dari Penang ke Pekan, Pahang untuk menuntut ilmu dengan sifu Amaruszati di sana. Sekarang ni Ana sendiri dah pun menjadi cikgu baking. Tahniah Ana...!


Jom MaDiHaA kongsikan resepi puding kastard jagung yang sedap ni... moga pahalanya berpanjangan buat pemilik resepi ini serta Ana yang berkongsi resepi ini apabila ramai yang mencuba resepi ni.. tak silapnya resepi ini adalah resepi dari ibu saudara Ana... 




PUDING KASTARD JAGUNG


Resepi : Ana Elianas
Sumber MaDiHaA aka Ratna



Bahan-bahannya:-


1 tin jagung jenis creamy
1 tin susu cair - prefer susu IDEAL (nak wat susu lain pun boleh...tapi jenama ni cam wangi jer puding tu)
3 cawan air
1 1/2 cawan gula pasir
1 1/2 cawan tepung kastad

Cara :-

1. Bancuh tepung kastard dengan air hingga sebati kemudian masukkan semua bahan2 lain dan bancuh rata.
2. Masak puding dengan menggunakan api yang kecil...hinggalah masak (kental & berkilat). (MaDiHa masak guna kuali)
3. Masukkan ke dalam loyang atau talam.
4. Bila sejuk masukkan dlm peti sejuk sebelum dipotong.

Selamat mencuba!

Tuesday, October 24, 2017

Sardin Puff

Assalamualaikum & salam sejahtera...



Dah minum petang semua? Petang2 macam ni sedap juga kalau pekena sardin puff suam2 dengan teh o panas kan? Nak buat pun mudah yang amat. Hanya perlu ada kulit pastri puff & sardin. Selebihnya bahan2 lain memang dah ada kat rumah. Jomlah kita ke dapur... hehe...

Sardin Puff

Bahan2
1 pek Pastri Puff jenama kawan
1 biji kuning telur

Bahan2 inti
2 tin kecil sardin
1 biji bawang besar ~ didadu
2 ulas bawang putih ~ dicincang
10 biji cili padi ~ hiris halus
sedikit perahan limau nipis/kasturi
minyak untuk menumis

Tumiskan bawang & cili padi. Masukkan garam, perahan limau serta sardin & hancurkan sardin. Masak sehingga sosnya kering. Sedia digunakan. 


Cara menyediakan 
1. Lembutkan pastri puff terlebih dahulu. Keluarkan sekeping & bentangkan. letakkan inti di sebelah bahagia pastri puff & sebelah lagi dibiarkan kosong. Katupkan pastri & tekankan keliling pastri dengan menggunakan garfu. 
2. Kelarkan bahagian atas puff secara menyerong menggunakan pisau tajam.
3. Ulangkan proses sehingga habis kulit puff. Sapukan dengan kuning telur yang dipukul sedikit atas puff & bakar dalam oven dengan suhu 200C selama 15 minit - 20 minit (bergantung oven masing2). Buka kipas supaya puff naik lebih gebu.



Selamat mencuba!

Friday, October 20, 2017

Soto

Assalamualaikum & salam sejahtera...




Taugeh takde.. ganti dengan kobis hiris pun boleh..



Dulu2 cukup malas nak masak soto. Rasa macam leceh & banyak kerja je nak masak soto. Bila dicuba sekali, rupa2nya masak soto cukup mudah. Jika ada pembantu lagi cepat boleh hidang terutama bab nak racik2 isi ayam tu je yang rasa lambat. Hehehe... Sekarang hidangan soto dah jadi kegemaran kami sekeluarga. Yang penting wajib ada bergedil. Bertambah2 anak2 & suami makan. Lebih2 lagi jika soto digandingkan dengan bihun. Tapi kali ni MaDiHaA sediakan soto yang dimakan dengan nasi impit & mee kuning pula. Tukar2 selera.

Terima kasih Yatie berkongsi resepi mudah ni. Tak susah2 nak kena cari rempah soto.  MaDiHaA guna rempah sup je itupun dah cukup sedap dah. Jom masak soto...

Pinggan kahwin?? Kami memang sempoii.....


SOTO
Resepi : Yatiememories

BAHAN-BAHANNYA
  • Nasi Impit secukupnya
  • 1 ekor ayam - dipotong 4 (3 kpng di goreng dan 1 kpng di cincang kecil2)
  • 3 s/b rempah sup/ rempah soto
  • 1 ketul sup bunjut adabi
  • 1 s/b lada sulah- di tumbuk lumat
  • 1 ketul kiub pati ayam
  • 6 cwn air atau secukupnya
Bahan Tumis
  • Rempah tumis(1 kayu manis, 1 bnga lawang, 2 buah pelaga dan 2 biji cengkih)
  • 2 biji bwng merah- di hiris
  • 2 ulas bwng putih- di hiris
  • 2 btng serai- di titik
  • 2 cm lengkuas- dititik
Bahan Kisar
  • 1 biji bawang besar*
  • 5 ulas bawang merah *
  • 3 ulas bawang putih *
  • 1 inci halia *
Bahan utk tabur dan di makan bersama nasi impit.
  • 1 mangkuk kecil tauge
  • 1/2 cwn kcng tanah- di goreng
  • 1 paket kecil su'un- di goreng
  • sambal kicap secukupnya
  • 2 tangkai daun sup dan daun bawang - dihiris halus
  • Sedikit bawang goreng
  • Garam dan sedikit gula
CARA-CARANYA
  1. Kisar halus bahan yang bertanda *
  2. Sementara itu goreng 3 keping ayam yg dilumur sedikit garam dan serbuk kunyit hingga sedikit garing. Angkat dan ketepikan dahulu.
  3. Panaskan sedikit minyak di dalam periuk, tumiskan rempah tumis, bwng merah dan bwng putih yg di hiris, serai dan lengkuas yang telah dititik hingga naik bau, kemudian masukkan bahan kisar, kacau hingga garing.
  4. Masukkan rempah sup dan serbuk lada sulah, kacau sebati dan masukkan kiub ayam tadi, masukkan air dan ayam yg di cincang tadi... gaul rata.
  5. Masukkan sup bunjut adabi dan gaul sebati.
  6. Biarkan sehingga mendidih, masukkan garam dan sedikit gula, kacau rata dan perasakan.
  7. Sekiranya rasa dah ok, matikan api dan bolehlah hidangan bersama nasi impit.
  8. Sementara itu siat2kan isi ayam hingga habis.
Cara Penyediaan
  1. Masukkan nasi impit yg telah di potong kecil kedalam mangkuk hidangan, kemudian letakkan sedikit tauge, ayam yg telah di siat2 tadi, kcng tanah goreng, su'un goreng dan tuangkan kuahnya, taburkan daun sup, daun bawang dan bawang goreng. Letakkan sedikit sambal kicap.
  2. Setelah siap bolehlah di makan. Selamat Mencuba...
Sambal Kicap
  • 10 tangkai cili padi merah
  • 15 tangkai cili padi hijau
  • 3 ulas bwng putih-bakar sebentar
  • 1/2 cwn kicap manis jalen atau secukupnya
  • 2 sudu besar gula
  • 1 sudu kecil minyak masak- supaya biji cili hancur
  • 2 biji limau kasturi-ambil jusnya.
Caranya
  1. Kisar cili padi merah dan cili padi hijau, minyak, bwng putih bersama kicap jalen tadi.
  2. Tuangkan dlm mangkuk dan campurkan jus limau kasturi tadi. Gaul sebati.
  3. Boleh di makan bersama soto tadi. Sedap juga di makan bersama begedil ayam.

Resepi Bergedil Ayam boleh klik : SINI

Selamat mencuba!

Thursday, October 19, 2017

Roti Pisang

Assalamualaikum & salam sejahtera....


Pisang pemberian mak saudara dah semakin ranum dalam peti sejuk. Masa baru2 diberi MaDiHaA tak sempat nak usik sebab minggu itu MaDiHaA kena travel ke Raub kerana ada urusan di sekolah anak di sana.  Jadi pisang itu kenalah simpan peti sejuk dulu takut terlajak masak.  Bila dah balik ke PJ semula kesibukan rutin harian buatkan MaDiHaA terlupakan pisang dalam peti sejuk tu. Jadinya.. lepas seminggu barulah sempat diolah. Nak digoreng pun pisang dah terlajak masak. Jadi MaDiHaA cuba olah jadikan Roti Pisang dengan menggunakan resepi yang MaDiHaA temui di blog Nasa Mulia.

Sekali pandang macam akok pun ada, macam bingka pisang pun ada kan... hehe...

Menurut Nasa Mulia, roti pisang adalah kuih tradisi masyarakat bugis di Sulawesi Selatan.  Rupa bentuknya seakan apam dan penyediaannya adunan tak perlu nak menguli seperti membuat roti.  Nama roti itu digunakan mungkin kerana penggunakan yis dan cara adunan yang diperam beberapa jam hingga naik sekali ganda sebelum ianya di masak. Alahh apa nak dipelik dengan nama roti.  Roti canai pisang pun ada juga yang panggil Roti Pisang kan? Tak kisahlah tu.. apapun nama diberi janji ianya enak dinikmati.  Roti pisang ni dimasak sebiji demi sebiji di dalam kuali kecil atau acuan khas. Barangkali boleh juga kita gunakan acuan kuih serabai semasa memasak. Kemudian bila dah kering permukaan atasnya.. roti diterbalikkan. MaDiHaA tak punya acuan khas jadi MaDiHaA gunakan saja apa yang ada. Acuan kuih bakar pecah lapan yang MaDiHaA guna... asal ada ajekan.. hehehe.... Nak guna kuali non stick yang biasa buat pancake tu malas pulak rasanya sebab macam lambat pulak siapnya... so guna acuan kuih bakar ni cepat sikit sebab ada 2 biji acuan.. lajula sikit siapnya... MaDiHaA suka kuih yang garing2 sikit.. jadi Roti Pisang MaDiHaA warnanya agak gelap dari warna Roti Pisang yang asal. Pulak tu... MaDiHaA hanya peram 1 jam yang mana resepi asal suruh peram 3 jam. Biasala kan kalau suka derhaka pada resepi mana nak jadi sama rupa macam resepi asal... hehehe... Takpelah janji rasanya sedap. Lembut.. ala2 kuih bingka pisang pun ada... bolehla tu asalkan pisang tak membazir. Boleh juga buat minum petang. Jangan lupa ye.. semasa memasak acuan perlu ditutup supaya ianya lebih cepat masak & bahagian atas cepat kering.  Pada yang nak mencuba... MaDiHaA kongsikan resepinya. Terima kasih pada penyumbang resepi Kak Soda & Nasa Mulia. Mohon halalkan ye MaDiHaA kongsi resepi kat blog MaDiHaA pula..



Roti Pisang
Sumber: Kak Soda & Nasa Mulia



Bahan-bahan
6 biji pisang masak (pisang nipah/raja) 
250gm tepung gandum
1 sudu (besar) yis* campur dengan 1/2 gelas air suam
Air secukupnya
3 sudu makan gula
1 biji telur
Secubit garam 
Minyak / majerin untuk mengoles acuan 


Cara Penyediaannya.
*  Campurkan yis, sedikit gula dengan air suam, kacau hingga sebati.
*  Hancurkan pisang masak hingga halus. 
*  Dalam mangkuk lain campur tepung gandum, gula, telur, pisang lenyek dan garam.  Gaul hingga sebati.
*  Masukkan air campuran yis tadi.  Gaul sebati.
*  Tambahkan sedikit air hingga mendapat adunan yang dikehendaki (tidak terlalu cair dan tidak terlalu kental).
*  Tutup adunan dengan kain lembab dan biarkan selama lebih kurang 3 hingga 4 jam atau semalam.
*  Panaskan dan lenser acuan (guna kuali kecil yang dalam) dengan majerin atau minyak masak.
*  Masukkan adunan roti setengah mengikut acuan dan tutup.
*  Bila permukaan adunan mula mengering, terbalikkan roti, tutup acuan dan masak seketika lagi.  Biar kedua-dua permukaan sama rata dari segi warnanya.
*  Keluarkan dari acauan dan hidangan ketika masih panas.


Selamat mencuba!

Friday, October 13, 2017

Acar Rebung Madu II

Assalamualaikum & salam sejahtera....


Balik kampung mertua baru2 ni dapat sedikit rebung madu dari nenek biras (wan) yang datang melawat mertua MaDiHaA bersama2 dengan besan mertua. Masa dikampung dah dapat makan pajeri rebung madu yang wan masak. Sedap sungguh! Rebung madu yang belum dimasak ni MaDiHaA teringin pula nak buat acar. Lama sungguh tak makan acar rebung madu ni.  Teringin la pulak.  Apa2 masakan yang berasaskan rebung memang kegemaran MaDiHaA.




Acar Rebung Madu

Bahan Kisar
2 biji bawang besar
2 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih

Bahan2 Tumis
3 cm halia ~ hiris halus memanjang
2 sudu kecil biji sawi
minyak masak secukupnya

Bahan2 Lain
550 gm rebung madu yang siap direbus ~ dikelar2
2 batang carrot ~ potong batang mancis kasar
1/2 cawan Enzim Halia (sekira tiada abaikan)
15 ulas bawang merah (sekiranya bawang merah agak besar boleh dibelah 2 tak putus)
15 ulas bawang putih (jika besar dibelah 2)
15 biji cili padi
2 sudu besar rempah kari daging
2 sudu besar serbuk cili
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 cawan air
2/3 cawan cuka
7 sudu besar gula
garam secukup rasa
bahan perasa sekiranya perlu
Bijan yang disangai ~ MaDiHaA tak letak



Cara menyediakan
1. Panaskan minyak masak & tumiskan hirisan halia & biji sawi hingga wangi.  Kemudian masukkan bahan kisar & tumis hingga naik minyak. Masukkan rempah kari, serbuk cili & serbuk kunyit dan tumis lagi hingga rempah masak.
2. Masukkan air, cuka dan rebung madu. Kacau rata. Bila mendidih, masukan hirisan carrot, bawang merah, bawang putih, enzim halia serta garam & gula. Masak sehingga mendidih lagi. Kemudian boleh campakkan cili padi & gaul rata.
3. Masak hingga agak pekat kuahnya. Rasakan apa yang kurang boleh ditambah biar ada rasa masam, manis & masin. Bila dah cukup pekat bolehlah dihidangkan. Tabur bijan sangai semasa menghidang.

Selamat mencuba!

Monday, October 9, 2017

Popia Sayur

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Menu minum petang kami di suatu petang. Nak suruh anak2 suka makan sayur macam ni jelah caranya. Pancing dengan popia sayur ni gerenti licin tak tolak tepi. Kalau masak sayur untuk makan dengan nasi, kadang anak2 langsung tak mau sentuh. Ada jenis2 sayur kegemaran dorang je yang dimakan. Tapi bila dah sorok sayur dalam popia macam ni memang habis dorang sapu bersih. 

Mudah je kan nak pikat anak2 makan sayur. Resepi pun mudah serta modal tak banyak. Puas anak2 makan. Kalau beli nanti sikit2 tak cukup pula. Buat sendiri puas hati. Kalau tak habis digoreng, boleh simpan dalam peti ais dulu untuk sehari dua masih tahan. Kalau nak simpan lama boleh difrozenkan. Sebelum goreng hanya perlu defrost. Kemudian goreng macam biasa. Jom minum petang!


POPIA SAYUR
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2 
1 biji sengkuang saiz sedang – sagat
1 biji carrot – sagat
5 batang kacang panjang

Segengam taugeh
2 ulas bwg putih - cincang
1 ulas bwg besar – cincang
sedikit udang geragau jika suka
sedikit garam
sedikit sos tiram
minyak
kulit popia secukupnya
2 s/b tepung gandum – bancuh dgn sikit air jadikan pes sebagai pelekat

Cara2
1. 
Tumis bwg putih hingga wangi dan masukkan bwg besar tumis hingga layu. Masukkan udang geragau dan kacau rata.
2. Masukkan carrot, sengkuang & kacang panjang. Masak sehingga layu. Kemudian masukkan taugeh & bahan perasa lalu dikacau rata. Angkat dan sejukkan sebentar sebelum mula menggulung popia. Gunakan pes tepung sebagai pelekat. Bila siap menggulung bolehlah digoreng. 




SOS CILI 
Resepi : MaDiHaA aka Ratna


Bahan2 
10 biji cili kering – potong & rebus dan blend halus  bersama bawang putih 

(boleh juga guna cili merah dlm 6 biji)
1 ulas bawang putih

1 senduk kecil cuka
1 keping kecil gula kerek

garam secukupnya
air secukupnya 

jika kurang manis boleh tambah sedikit gula pasir
2 s/k tepung jagung bancuh dgn sikit air

Cara2
Masukkan semua bahan kecuali bancuhan tepung jagung dlm periuk dan masak di atas api sederhana. Bila mendidih masukkan bancuhan tepung jagung. Masak mengikut kepekatan yg dikehendaki. Rasakan masin dan manisnya dan bolehlah dihidang bersama popia goreng. 


Selamat mencuba!



Wednesday, October 4, 2017

Pajeri Nenas

Assalamualaikum & salam sejahtera....

Rasanya dah banyak kali kongsi resepi pajeri nenas samada di fotopages maupun blog. Ini memang salah satu menu kegemaran kami suami isteri. Anak2 je tak layan sangat. Sebab tu boleh dikatakan jarang memasaknya. Tapi bila datang teringin tu tak boleh tidak, wajib masak juga. Bila ada pajeri ni dah tak payah nak masak lauk lain beria2 sangat. Dapat ikan goreng atau ayam goreng kunyit pun dah cukup. Bertambah2 makan nasi. Itu sebab tak boleh selalu sangat masak lauk ni. Nanti makan lupa diri.... hihi....

Jom MaDiHaA kongsikan lagi resepi mudah ni. MaDiHaA memang suka masak yang mudah2 je. Kadang tu bila mencuba resepi2 yang ajar cara susah pun MaDiHaA akan fikir cara mudah jugak. Bukan apa.. tak ada banyak masa sangat nak berlama-lama kat dapur sekarang ni. Banyak benda lain yang perlu dibereskan apabila pulang dari kerja. Kami bukannya ada pembantu rumah. Semua benda dibuat sendiri...



Pajeri Nenas
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2 
1 biji nenas biasa (morris atau josephine) ~ dikupas & hiris sesuai selera 

3 cawan santan sederhana pekat (tambah lg kalau rasa tak cukup)
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
1 biji buah pelaga

3 kuntum bunga cengkih
3 sudu besar rempah kari ikan*

3 sudu besar rempah kari daging* ~ bahan bertanda* dibancuh dengan air jadikan pes
Minyak secukupnya
2 sudu besar gula merah
2 sudu besar kerisik (yang dah siap ditumbuk homemade ye)
Garam secukup rasa 


Bahan hiris halus
1 inci halia 
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih 

(kalau suka boleh tambah 1 sudu besar udang kering direndam & ditumbuk halus ~ MaDiHaA tak letak pun masih sedap juga)

Cara menyediakan

1. Panaskan minyak dalam periuk dan tumiskan bahan hiris serta kulit kayu
manis & kawan2nya (4 sekawan) sehingga layu & wangi.  Masukkan pes rempah kari dan tumis hingga pecah minyak. Sentiasa kacau supaya rempah tidak hangus.
2. Masukkan kerisik dan kacau supaya rempah tidak melekat pada
periuk.
3. Masukkan santan, garam serta gula merah. Bila dah mendidih masukkan hirisan nenas. Sentiasa dikacau2 supaya tak membuak.
4. Masak hingga kuah pekat dan naik minyak serta nenas masak.
5. Sedia dihidangkan bersama nasi putih atau nasi berperisa.


Selamat mencuba!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...