Friday, November 26, 2010

Bihun Sup Utara
































Mengenangkan ada sikit tulang rusuk, gear box & daging yang dapat dari ibadah korban baru2 ni...  aku pun rebuslah untuk dijadikan sup.  Tapi daging letak sikit aje sebab rasanya tulang2 yang ada pun dah cukup untuk kami sekeluarga. Teringin pula nak makan bihun sup utara. Sambil2 merebus tulang... terus aku rendam bihun & sediakan bahan2 sampingannya yang lain & jadilah menu dinner kami baru2 ni.  Sedap sungguh!! Puas hati!! Sampai berpoloh2 kesedapan & kepedasan disebabkan sambalnya tuuhh.. Kalau takde sambal cili tu.. tak jadilah bihun sup utara ya.... kalau guna sambal kicap tak acilah guna perkataan utara kat belakang tu.. hehehe..

Sebenarnya tulang & daging korban tu dapat dari majlis korban kat taman perumahan yang aku tinggal dulu masa baru2 kawin.. Kebetulan makcikku memang tinggal kat sana.. & makcik ajak aku meramai2kan kaum2 ibu (jiran2 & kawan2 lama aku juga) & tolonglah apa2 yang patut kat masjid tu. Meriah sungguh majlis korban kat sana... rasanya ini pertama kali aku pegi tengok majlis korban kat sana sebab sebelum ni tiap kali raya haji aku tak pernah miss balik kampung.  Tahun ni disebabkan tak balik mana2.. dapatlah pegi tengok majlis korban kat sana.  Majlis kali ni dibuat pada hari raya ke 4 iaitu hari Sabtu.. Jadi ramailah yg hadir. sebab ramai yang cuti.  Dengar khabar lembu untuk korban sebanyak 16 ekor & kambing pula 2 ekor.. Antara menu yang dimasak di masjid untuk dijamu kepada orang ramai ialah nasi beriani, nasi putih, sup tulang, daging arab, daging beriani, kambing sweet sour & gulai kari kambing.  Menu nasi & lauk pauk tu juga dihidangkan kepada jemaah yang siap bersolat Zohor di Masjid tersebut. Menu2 minum pagi pun ada macam2 jenis kuih muih serta laksa johor.. memang meriah.. Yelah.. orang yang melapah pun ramai.. so memang masjid kena sediakan banyak makanan & minuman untuk orang2 yang buat kerja. Tak banyak yang dapat aku tolong sebenarnya.. sebab anak dara kecik tu bukannya boleh berenggang.. so.. kita tolong tengok ajelah.. hehehe..

Ok jom tengok resepi!  Resepi ini yang biasa aku masak tiap kali untuk buat bihun sup utara.  Resepi dari kazenku Ida yang sangat rajin mem'baking' & masak memasak itu yang diperturunkan oleh suaminya Chef E yang memang pakar masak memasak.  Ok Ida.. terima kasih sekali lagi sebab berkongsi secret resepi bihun sup utara yang ummphhh ini!! Dulu dah pernah share kat Fotopages.. kali ni kaklong tepek kat blog pulak ye... kalau nak tengok gambar kat FP yang lebih jelas & terang (sebab guna kamera)... bolehlah klik 

Ini resepi yang MaDiHaA buat dulu.. actually kali ni MaDiHaA letak daging sikit aje tapi tulang rusuk & gearbox yg lebih... boleh ejas mana2 yg patut ye bab daging & tulang tu..

Sumber :  Marlida


Bahan2 utk sup
Minyak (kalu guna cara menumis.. kalau taknak tumis pun boleh)
Rempah tumis (rempah ni boleh dimesin atau tumis kasar ~ MaDiHaA guna kasar2 mcm tu jer sbb takde grinder yg sesuai)
2 ~ 3 kuntum bunga lawang
2 inci kulit kayu manis
1 s/b ketumbar
½ s/b jintan manis
½ s/b lada hitam
3 biji buah pelaga
½ s/b lada putih
(sukatan tu aku main agak2 jer)

Bahan Kisar
2 labu bawang besar
6 ulas bawang putih
2 inci halia - dititik atau kisar (dulu MaDiHaA titik tp kali ni dikisar sbb gearbox tu byk lomak)
2 batang serai - dititik
1 peket kecil rempah sup adabi (serbuk) ~ campurkan sikit air jadikan pes
1 kg daging (biarkan seketul besar gitu ataupun potong dua bahagian saja)
1/2 kg tulang
1/2 kg perut (jika suka) ~ MaDiHaA tak letak tapi masuk tulang lebih
air utk merebus dan kuah secukupnya (kena tambah lagi sehingga daging empuk)
garam & serbuk perasa
serbuk lada hitam secukupnya

Cara2 Membuatnya~ MaDiHaA tak tumis.. daging & tulang tu dah cukup berlemak dah..

1. Jika dibuat cara menumis - panaskan minyak tumis dulu rempah kasar sekejap kemudian masukkan bahan mesin kacau sikit masukkan pes rempah sup kacau lagi.
2. Masukkan serai dan halia kemudian masukkan air kacau jangan bagi berkerak.
3. Masukkan daging, tulang dan perut. Tutup periuk biarkan ia mendidih baru kacau2 sedikit (MaDiHaA tak tutup pun periuk... biar gitu jer.. hehe) Masak sehingga daging empuk. Jika daging masih belum empuk.. tambahkan air (kalau nak cepat tambah air panas mendidih). Jika guna periuk biasa... biasanya ambil masa lebih kurang 2½ jam sehingga 3 jam baru kuahnya sedap. Sekiranya anda mempunyai pressure cooker.. masa merebus lebih singkat .
4. Bila daging hampir empuk.. perasakan dengan garam, serbuk lada hitam & perasa secukupnya.. biar merenih & daging benar2 empuk.. tutuplah api..

Jika dibuat cara merebus - Masukkan air dlm periuk dan segala bahan2 sekali gus dan rebuslah sehingga daging empuk (cara ni tak guna minyak bagus utk org nak jaga badan )

Menyediakan Bihun
1. 1 bungkus bihun/mee hoon direndam dalam air bersama 1 sudu besar serbuk kunyit sehingga lembut kemudian tos kan.
2. Sementara itu didihkan air utk merebus mee hoon.
3. Bila air dah mendidih masukkan mee hoon yg telah ditos tadi dan tutup api.kacau 2 sikit bagi mee hoon masak dgn rata biarkan dlm 3 minit agak2 mee hoon masak jgn terlalu lama nanti terlembik.
4. Tos kan mee hoon sambil dijirus dgn air paip kemudian balik2 kan dan biarkan mee hoon di tos begitu sehingga di hidang. Tujuan buat begini supaya mee hoon tak jadi bergumpal dan mudah utk di ambil atau dileraikan bila nak makan.

Bahan Tabur/ Tambahan Lain
Daging dan perut yg telah siap dipotong kecil2 (Ambil dari dalam kuah sup tadi)
Lobak masin hancur (dicuci & kalau suka boleh goreng kejap)
Bawang goreng (nak sedap goreng sendiri )
Daun sup dan daun bawang di mayang
Sambal Cili

RESEPI SAMBAL CILI
½ cawan serbuk cili babas
½ sudu besar bawang putih dan merah mesin (ambik dr bawang buat kuah sup tadi pun boleh tapi jgn letak halia)
½ cawan air (boleh tambah jika terlalu pekat)
50 gm gula melaka @ gula hitam
½ sudu besar asam jawa (dibancuh dgn air tadi)
perasakan dgn garam dan tok aji sikit
sedikit minyak utk menumis.

Cara2
1. Panaskan minyak api perlahan, tumis bawang kejap then masukkan serbuk cili kacau jgn sampai hangit.
2. Masukkan air asam jawa, gula melaka, garam & serbuk perasa secukupnya. Kacau hingga sebati jgn ada yg berketul. Biarkan ia pekat kacau2 sikit tapi hati2 sambal ini akan meletup2 mcm masak dodol jadi gunakan api yg perlahan. Rasakan sambal biar secukup rasa.. ada rasa masin, manis & masam... pedas semestinyaa
3. Sedia dihidangkan bersama2 dengan bihun & seangkatan dengan nya























Selamat Mencuba!

Thursday, November 25, 2010

Pancake Mayo
































Sesekali kalau bersarapan ala-ala western gini pun syok jugak kan? Hmm.. pada aku memang ok aje.. tapi.. alahaii... kat rumah tu kalau pagi2 ada benda2 macam aje.. jawabnya.. memang ada sesi soal jawab le.. hehe.. Mesti ada keluar soalan lebih kurang macam ni bunyinya... "ibu masak kuih ni je ke?" huhuhu... bukan apa.. en. asben & anak2 tu kalau takde sarapan berat atau sarapan savoury memang semua macam tak puas hati jekk. Jadi.. ibu ni terpaksalah buat juga sarapan yang lain contoh seperti nasi goreng, mee atau bihun goreng or.. jemput2 bilis or lempeng cicah sambal walaupun ibu dah buat kuih manis... Dorang tu semua memang lebih suka sarapan savoury berbanding sarapan manis2 gini.... Kuih2 manis tu umpama sarapan sampingan ajelah untuk dorang.. hehe.. Apa nak buat.. agaknya dah terbiasa dari dulu kot.. sebab aku sendiri pun lebih suka sarapan savoury berbanding yang manis2 ni.. hehehe...

Oklah.. kita layan resepi penkek mayonis ni yer.. resepi ni aku ambil dari Kak Zai Teratak Impian. Resepi asalnya dari Hajar yg dulu dok kat UK tp skrg dah balik Malaysia dan tinggal di Changlun Kedah (kalau tak silap).. lama Hajar senyap dari FP maupun blog.. Harap2 Hajar & family sihat2 ye.  Sebenarnya.. resepi ini juga telah ada sedikit ubah suai yg dibuat oleh Kak Nor Secubit garam.  Bukan ubah sebenarnya.. tapi ada penambahan bahan iaitu Mayonis itu sendiri... Selain tu.. Kak Nor juga telah memberi sedikit tips bagaimana nak masak penkek dengan cepat.  Memang bagus tak perlu tunggu lama.. Penkek ni pun memang sedapp.. lembut & gebusss... Terima kasih utk semua yang terlibat ye.. terutama Hajar, Kak Nor & Kak Zai... Ramai juga kawan2 yang lain dah mencuba resepi ni... thanks to all.. Kita c&p kat sini pula resepinya ye.. 





















Sumber : Hajar
Copy dari : Kak Zai Teratak Impian : Kak Nor Secubit Garam (TQ to all!)

3 sudu besar butter/majerin ~ dicairkan
1 bj telur (k.nor guna saiz A)
1 1/2 cawan tepung naik sendiri
1 sudu teh baking powder
1 sudu besar gula castor
1 cawan susu segar (boleh guna susu tepung yg dibancuh dgn air)
secubit garam
1 sudu besar jus lemon (k.nor tak letak pun)
11/2 sudu besar mayonaise - tambahan

Campurkan kesemua bahan dan gaul sebati.
Boleh guna blender atau guna balloon whisk jer.
Biarkan selama 10 minit.
Goreng dlm frying pan hingga masak.
* adunan ni mmg nampak pekat skit, tp lembut dan gebus jer hasil dia nanti
kalau nak tambah air skit pun tak per, tp jangan banyak, nanti cair. kalau cair pancake kita jd nipis jer, tak cantik.
updated:
bagi yg nak tau kaedah apa yg K.Nor guna utk masak pancake bg menghasilkan saiz yg sama.. (kembar ye Ayu hehe...) meh nak tunjuk :)

Caranya:
K.Nor guna 2 frying pan.
1. frying pan yg saiznya paling kecik kut yg ada kat pasaran dlm 12cm
2. frying pan yg saiznya lebih besar, tak kira la berapa saiznya tu 20cm atau 22cm asalkan lebih besar dr 12cm
3. bila guna pan yg kecik ni kita boleh hasilkan saiz pancake yg sama besar
4. panaskan pan dgn api yg sederhana jgn terlalu kuat
5. masukkan 1 senduk kecik adunan dan masak hingga keluar buih2/lubang2 kat atas permukaannya
6. terbalikkan atas pan yg satu lg tu (yg juga telah dipanaskan)
7. masak hingga pancake masak, angkat dan hidangkan
8. ulang hingga semua adunan habis dimasak.
9. kaedah guna 2 pan ni juga mempercepatkan tempoh memasak pancake, kan. tak la lama sgt anak2 menunggu utk makan :)

Nota:
Sedap makan bersama madu, aiskrim, jem dan sewaktu dgn nya...






















Selamat Mencuba !

Tuesday, November 23, 2010

Gulai Tempoyak Ikan Kembong



























Masih lagi dengan resepi yang ku cilok dari blog Mariam... Masa aku sembang2 dengan Mariam tempohari.. tiba2 nampak dia update entry gulai tempoyak ikan dengan versi yang berbeza dengan gulai tempoyak yang biasa aku masak sebelum ni.  Gulai tempoyaknya warna kemerahan & nampak menggiurkan sungguh!  Sementara ada stok bunga kantan & daun kesum yang dibawa dari kampong tempohari... baik aku cuba cepat2.  Kebetulan cuma ada stok ikan kembong kat rumah... kira ok sajalah... & hasilnya..... memang sedappp!! Aku yang tak gemarkan masak tempoyak sebelum ni (terutama jika masak dengan ikan patin) tiba2 je rasa sangat2 suka dengan gulai tempoyak yang ini... Terima kasih banyak2 ye Mariam sebab berkongsi resepi gulai tempoyak mama Mariam yang sedap ni...... izinkan sekali lagi akak kongsikan resepi Mariam ni kat blog akak untuk koleksi akak & juga mana tau jika ada sesiapa yang nak merasa kelainan gulai tempoyak ni... untuk lihat resepi asal Mariam.. sila klik sini

Sumber : Mariam’s Mum

Bahan-bahan
Ikan (apa2 ikan yang sesuai ~ MaDiHaA guna ikan kembong) 
3 sudu besar tempoyak ~ dicampurkan dengan sikit air jadikan pes
Daun kesum secukupnya
1 kuntum bunga kantan ~ dibelah 2
1 ~ 2 keping asam keping
2 ~ 3 biji cili kering* (MaDiHaA letak 4 biji ~ direbus) 
1 inci lengkuas*
1 biji bawang besar* 
1 inci kunyit hidup*
Air secukupnya ikut kepekatan kuah yg dikehendaki
Garam
Gula (optional/ ikut citarasa/ boleh tambah sekiranya guna tempoyak lama yg agak masam)

Cara-cara 
Bahan2 bertanda* dikisar halus.  Masukkan air & bahan-bahan kisar ke dalam periuk & didihkan.  Kemudian masukkan bunga kantan, tempoyak, daun kesum, asam keping, garam & gula secukupnya. Tunggu hingga mendidih kemudian masukkan ikan. Bila ikan sudah masak & kuah secukup rasa bolehlah di tutupkan api & dihidangkan dengan nasi putih berserta sayuran & ikan masin.

Selamat mencuba !


Monday, November 22, 2010

Pulut Dakap



























Assalamualaikum..
Apa khabar semua?  Harap2 semua sihat2lah hendaknya ye. Pagi ni.. semangat betul nak update blog.. hehehe.. bukan apa.. tak sabar2 nak tayang menu yang satu ini.  Menu yang menjadi idaman sejak sekian lamanya.  Bukan saja2 menunda atau KIV.. tapi ni semua gara2 tak berjumpa dengan si Pisang Raja yang menjadi bahan utama dalam menu ni..  menunya tak lain tak bukan spt tajuk kat atas tu... iaitu Pulut Dakap.

Dah lama bebenor mengidam nak membuat pulut dakap ni... masa dok tengah mengidam  dulu.. adalah sekali kazen ku Ida bawak ke PJ pulut dakap yang dia beli kat Chow Kit kalau tak silap ler.. Walaupun dpt rasa.. tp tak puas hati sebab pisang yg ada dlm tu bukan pisang raja.. tawar & keras mcm tak berapa masak aje pisangnya.. hehehe (byk lak songeh org dah bagi rasa free yek!) Lepas tu.. masa raya puasa tempohari.. dapat lagi rasa pulut dakap masa beraya di rumah mak kawan suami... masa tulah baru dapat rasa kesedapan pulut dakap tu walaupun pisang yang digunakan bukan pisang raja yg biasa.. tapi Pisang Raja Udang (yg kulit & isinya warna pink/merah tu).  Hubby ada cakap.. pisang tu kalau orang badan lemah tak elok makan sebab pisang tu agak 'berbisa' tapi  dah sedap punya pasal.. aku balun jekk... sejak tu rasa semakin tak sabar nak buat sendiri pulut dakap sehinggalah aku dapat pisang raja pakcik hubby bagi masa balik Raub kg hubby (masa balik kacau dodol baru2 ni..) Siap dengan daun pisang aku suruh hubby ambik.. hehehe... Tak sabar sungguh nak membuat.. tapi kena tunggu hari Jumaat barulah aku jalankan projek.. sebab esoknya cuti so tak kisahlah nak berjaga malam2 pun.. 

Ok.. nilah dia hasilnya & rasanya sungguh sedapp!!! Dapat bagi kat Sujah juga & semua kata sedap!! Boleh buat lagi & lagi & lagi di lain kali...!  Ok.. resepi pulut dakap ni aku dapat dari FP Mariam dah lamaaaaa dulu... Hari ni barulah dapat aku kongsikan dengan semua sebab baru kali ni aku dpt mencubanya... Thanks Mariam!! Mariam juga dengan begitu sabar menunggu & berjanji untuk update sama2 dengan aku hari ni dalam blog masing2.. hehehe... kalau nak tengok step by step yg lebih detail.. bolehlah pegi ke blog Mariam ye...



Ini resepinya jika ada yang ingin mencuba terutama pencinta kuih muih orang lama2 sptku...



Sumber : Mariam


Bahan2
500 gm beras pulut ~ cuci bersih & rendam anggaran 2 jam 
1 ½ cawan santan pekat
Pisang raja secukupnya
Garam secukupnya
Gula pasir secukupnya
Daun pisang secukupnya (dikoyakkan anggaran 7 - 8". Layurkan & dilap bersih)
Tali rafia secukupnya

Cara-cara
1. Kukus pulut anggaran 20 ~ 30 minit atau hingga pulut separuh masak & nampak lembut.
2. Sementara tu.. santan pekat dicampur dengan sedikit garam & larutkan hingga terasa lemaknya.  Angkat pulut & gaulkan/arong pulut bersama santan hingga rata. (Kalau pulut terlebih masak.. boleh kurangkan santan sebab takut pulut jd terlalu lembik)
3. Sediakan sehelai daun pisang & sudukan pulut di atas daun pisang yang sudah dilayurkan. Tekan2 pulut supaya rata & nipis.  Sebarkan pulut menjadi persegi seperti dalam gambar.













4. Pisang yang sudah dibelah dua disalutkan dengan gula. Kemudian letakkan sebelah pisang tadi di atas pulut.
5. Balut pulut menyelubungi pisang seperti membuat pulut panggang. Kemaskan kedua2 belah kiri & kanan dengan menekan2 pulut dengan jari yang basah. (jika jari tak sampai.. boleh potong sedikit hujung daun pisang lebihan dikiri/kanan kemudian barulah ditekan2 pulut yg berada di dalam daun pisang tadi). Bila pulut dah mampat lipat daun pisang kiri & kanan seperti kita membungkus lepat pisang.  
6. Ambil 2 biji pulut yang sudah dibalut, dakapkan kedua2 pulut tadi & ikatkan dengan tali rafia di kedua2 belah kuih seperti dalam gambar.
7. Bila siap membungkus kesemuanya.. bolehlah dikukus pulut dakap selama 30-40 minit dengan api yang serdahana.  Semasa mengukus.. balik2kan pulut dakap supaya masaknya sama rata.

Nota dari Mariam : Kalau nak gaul terus gula bersama pulut pun boleh, jadi pisang tu tak perlulah disalut gula lagi. Menurut Mariam.. pulut tu kalau boleh diratakan nipis2 saja.. barulah sedap.. Tapi MaDiHaA tak reti nak buat nipis2.. maklumlah baru 1st time mencuba..




Siap dikukus & disejukkan...
 



Selamat mencuba!

Friday, November 19, 2010

Aidiladha 2010

Salam Jumaat & salam Aidiladha..

Maaflah sebab terlambat bagi ucapan raya... cuti 3 hari sempena raya.. so hari ni baru sempat nak update blog..
Raya aidiladha tahun ni kami tak balik kg mana2. Sepatutnya giliran beraya dirumah mertua di Raub. Tapi ibu mertua pula nak balik beraya ke Kelantan dengan adik2 iparku. Kami tak dapatlah nak ikut serta balik Kelantan sebab cuti tak lama.. lagipun.. kekurangan modal.. Jadi kami ambil keputusan utk beraya di PJ saja... Inilah pertama kali beraya dirumah sendiri.. Memang agak bosan.. tapi nasib baik ada makcik kat sini yg jugak tak balik kg. Jadi adalah juga tempat untuk kami melepak.. hehe.. Selain tu.. sempat juga pegi beraya ke rumah pengasuh anak2 & juga bekas pengasuh anak sulungku.. Tak dapat nak berjalan jauh2 ke rumah kawan2 sebab anak dara kecik ku tak berapa sihat masa hari raya tu.. demam & perutnya meragam.. beberapa kali muntah.. asyik kena tukar baju saja.. Gambar tak banyak sebab handphone kehabisan bateri..

Menu kami dipagi raya... ikut pusingan jam.. ketupat segera, kuah lontong /lodeh berkari (resepi my mum), kuah kacang & rendang hitam daging (husband yang masak) .  Alhamdulillah.. dapat juga makan ketupat dengan kuah lontong berkari yang biasa ma masak setiap pagi raya.  Kalau tak.. mesti rindu giler dengan masakan ma.. walaupun tak sesedap air tangan ma.. tp kira okeylah.. hehe.. Lepas husband balik dari masjid.. sempat dia tukar baju melayu & turun semula dengan anak bujangku untuk pegi kat tempat orang melapah lembu korban. Cadang2 nak tolong melapah.. dah siap asah parang bagai malam sebelumnya.. tapi last2 balik semula sebab katanya.. orang yang melapah ramai sesangat sampai tak cukup lembu.. (lembu 6 ekor) hehehe.. mesti sebab ramai yg tak balik kg kot sebab cuti raya ditengah2 minggu.. sebab tu ramai yg menolong.. jadi akhirnya dia balik rumah semula & tak tunggu pun untuk ambil daging korban sedangkan kupon dah ada orang bagi untuk collect daging korban. takpelah.. takde rezeki kami.. lagipun kami keluar beraya dan hanya balik rumah sebelum maghrib..

Muka budak tak sihat.. (tengoklah rambutnya tu.. tokcunya tersalah gunting pendek sangat! huhu..) Ambil gambar si kecik yg tak sihat ni sebelum masuk kereta. Bergambar depan deretan kedai berhampiran parking kereta. Kedai2 semuanya tutup sebab cuti raya.. jadi bolehlah ambil gambar.. hehe.. Selalunya depan kedai ni sentiasa ramai orang lalu lalang.. tapi hari raya baru ni lengang!
Sementara tunggu enjin kereta panas.. duduk2 kejap... bukan senang nak ambik gambar si kecik ni... asyik bergerak je.. dahla ibu pakai kamera handphone je..

Sampai rumah makcik kazenku Ida dah lama ada sana... hehe..  Pastu apalagi.. dah namanya raya.. makan jelah kejenya.. hehe.. makcik masak ketupat, pulut kuning, sayur lodeh, rendang daging, kuah kacang & puding triffle sebagai pencuci mulut. Menu yg 4 jenis tu seakan2 sama dengan menu kami.. cuma versi je lain2.. hehehe... Ini je gambar yg last sempat diambil..  gambar daging kambing korban jiran makcik bagi pun tak amik gambar.. lepas tu terus handphone ku kong kehabisan bateri.. huhu.. Lepas asar pegi beraya rumah bekas pengasuh anak sulungku yang merupakan jiran lama makcik.. so makcik pun ikut sekali.. borak2 sampai kul 6 petang.. huhu.. Kami pulang rumah hampir maghrib.. lepas mandi & solat maghrib.. keluar lagi beraya ke rumah jiran sebelah pula sebab dari semalam dia pesan jemput kerumahnya.. Nak singgah siangnya masa kami keluar dia pula takde kat rumah.. so malam pun takpelah kan.. dah namanya raya.. siap Kak Ina jampikan kunyit & kapur utk Alin yg demam.. lepas beraya rumah Kak Ina.. pegi pula rumah Cik Ani pengasuh anak2ku sekarang..  pastu.. singgah lagi rumah makcik sebab dah janji ngan kazen2 nak berbbq malam tu.. hhuhuu.. penat seharian berjalan... tapi oklah juga ada xtvt..


Tuesday, November 16, 2010

Tomyam Ayam





















Tomyam ni salah satu feberet aku & anak2.. sukaaaaa sangttttt.... TAPIIII... jarang2 dapat masak kat rumah disebabkan en. asben kurang suka dengan tomyam.. huhuhu... bukan saja tomyam.. tapi apa2 lauk yg ada daun limau purut mesti dia tak berapa suka... Sebab tu kalau resepi yg letak daun limau purut.. mesti aku letak sikit2 je takut spoil selera cik abang ku.. hehe.. 

Biasanya aku masak lauk tomyam ni bila en. asben tak mkn kat rumah iaitu.. pada hari dia masuk kerja kul 4 petang iaitu hari last dia kerja shift malam. Selalunya kalau dia kerja shift malam dia masuk pukul 8 mlm.. tp hari last kerja shift mlm dia akan masuk pukul 4 petang & balik pukul 12 tengahmalam yg ertinya dia tak makan malam kat rumah.. haaaaaaaaa... masa tu.. barulah aku akan masak lauk2 kegemaran aku & anak2 serta dapat makan puas2... hehehe.... umpama membalas rindu dendam gitu.. keh keh keh... actually dia tak pernah melarang aku masak lauk2 gini... cumanya yg buat aku tak syok ialah bila aku masak lauk2 gini.. dia tak berapa nak sentuh.. so kalau aku nak masak juga.. aku kenalah masak lauk2 lain juga.. jadi baik aku masak je lauk2 lain yg mana kami boleh sama2 enjoy daripada aku enjoy lauk feberet aku & dia enjoy lauk feberet dia.. rasa macam tak syok gitu kan? So inilah lauk yg aku & anak2 dok makan & hirup puas2 masa asben takde bebaru ni... hehe...

Resepi sempoi jer.. cuma guna ayam & letak sayur byk2 sebab anak2 pun suka sayur2 mcm ni.... 1 periuk.. habis kami 4 beranak...

½ ekor ayam ~ potong kecil
1 peket kecil cendawan tiram ~ disiat2
1 peket jagung muda (xde stok pulak)
2 batang carrot (saja letak lebih sbb si kecik suka sgt dgn carrot)
¼ biji kobis ~ hiris kasar
½ biji cauliflower ~ potong floret
3 helai daun limau purut  ~ disiat2
3 ~ 4 batang serai ~ diketuk  
2 ~ 3 biji limau nipis ~ ambil jus
6 biji cili padi ~ dipecah2kan
2 biji tomato ~ dibelah 4
1 biji bawang besar ~ dibelah 6 
3 sudu besar pes tomyam ~ dicairkan dgan sikit air
Sedikit daun ketumbar 
air secukupnya ikut citarasa masing2
garam, aji & gula ikut citarasa

Bahan2 dikisar halus
1 biji tomato ranum
1 biji cili merah
½ inci lengkuas
1 Inci Halia
5 Biji Bawang Merah Kecil

Cara2
1. Jerangkan air bersama bahan2 kisar. Masukkan sekali ayam serta kesemua bahan2 lain kecuali bahan2 perasa, sayuran & jus limau.
2. Bila dah mendidih masukkan sayuran kecuali cendawan, tomato & daun ketumbar.  Biarkan mendidih & sayuran nampak lembut. Masukkan cendawan & kacau2 biar mendidih.
3. Masukkan jus limau & perasakan dgn bahan2 perasa biar secukup rasa, Akhir sekali masukkan tomato & biarkan sekejap pastu bolehlah dihidang dengan menabur daun ketumbar ke dalam mangkuk tomyam.



Monday, November 15, 2010

Bingka Pisang

Salam pagi Isnin semua...
Harap2 semuanya berada dlm keadaan sihat2 semuanya...

Hari ni.. nak update resepi bingka pisang yang dah banyak kali juga aku buat ni.. dulu dah pernah update kat FP.. kali ni update kat blog pulak.. cuma.. bezanya gambar dulu teranglah sikit sbb guna kamera.. gambar kali ni kelabu asap maklumlah.. gambar2 semua hasil dari handphone aje.. Kuih ni aku buat gunakan pisang yang makcik bagi.. rezeki pisang sungguh sebab masa blk kg dah bwk blk pisang.. selang sehari.. makcik pulak bagi pisang yg dah masak ni... sehari sebelum buat bingka ni aku dah buat cekodok pisang (malas nak ambik gambar).. esoknya barulah aku buat bingka pulak.. manakala pisang yg dibawa balik dari kg.. baru je aku jalankan projeknya Jumaat lepas (mlm)...  utk dibuat sarapan pagi Sabtu.. Menu yang dah lama aku idam2kan.. tapi entrynya kenalah tunggu dulu ye... gambar belum siap diedit lagi.. hehe.. lagipun.. aku dah janji dengan Mariam untuk update sama2...

Terima kasih pada penyumbang resepi bingka yang sedap ni iaitu kak Zana.... mintak izin tepek resepi kat sini ye kak.. resepi ni diambil dari blog Kak Zai.. so.. terima kasih kepada kedua2nya..

SUMBER : http://dzanariah.blogspot.com/2009/07/bingka-pisang.html
C&P dari blog Kak Zai

Bahan2
1 sisir pisang kapas ( 10 - 13 biji).. di lenyek.. (anggaran 3 cawan ~ guna pisang yg taktau nama.. hehe..)
1 cwn tepung*
3/4 cwn gula* (MaDiHaA letak 1/2 cawan je)
1 cwn santan*
1 cwn susu sejat/cair*
1 biji telur*
2 sudu besar butter*

Cara2
1. Blender semua bahan*
2. Tuang adunan ke dalam mangkuk berisi pisang lenyek dan di gaul rata.
3. Masukkan ke dalam loyang yang telah dilenser dengan butter
4. Bakar 180C selama 1 jam.. or lebih untuk dapatkan kerak yang hebat.
5. Sejukkan.. baru di potong.. masuk peti ais lagi bestt..

Selamat mencuba!

Friday, November 12, 2010

Sosej Puff

Salam semua...

Ni update breakfast kami sekeluarga pagi ni... buat sosej puff ni sebab dah berjangkit dari Kak Nor Secubit Garam http://secubitgaramnor67.blogspot.com/2010/11/sosej-puff.html hehehe.. aritu Kak Nor bukan main happy lagi sebab dah dapat barang yang diidam2kan.. punyalah seronok diaaaaaaa...! hehe... Yang aku ni pulak.. benda tu memang dah ada lama dah dok bertapa dlm freezer tuh... siap ada 2 peket lagikk.. takde le pulak terasa rajin nak membuat.. Bila tengok Kak Nor buat.. tiba2 je angin R datang.. lagipun.. sosej pun dok ada gak dlm freezer tu.. mudah kerja sbb tak perlu susah2 nak sediakan inti bagai.. so balik dr kerja semalam.. terus keluarkan bahan2 dari freezer semua sementara memasak lauk dinner.  Lepas je dinner terus kerjakan bahan2 yg dikeluarkan tadi.. senang je rupanya....... maka menjadilah sosej puff yg tak berapa cun ni.. hahaha.. almaklumlaa.. aku pun baru 1st time guna puff pastri tu.. susah gak nak jumpa kat pasaraya kat rumah aku ni.. dapat 2 pek tu pun suruh hubby tinjau2 kat pasaraya dekat ngan tempat kerja dia.. 

Ok.. nak ucapkan terima kasih pada Yani yang berkongsi idea cara2 membalut sosej tu yer.... nampak cantik sangat macam beranyam gitu.. insyaAllah lenkali nak try buat cara lain lak.. kat blog Mat Gebu pun byk gak entry pasal puff ni.. cuma rasa malas lg nak cuba tu sebab tak sempat nak sediakan inti tu.. biasalah kan.. ibu2 bekerja ni sentiasa sibuk.. mana nak masak utk dinner lagi.. mana nak berkemas, nak settlekan kain baju dah tu.. bila masa nak bereksperimen?  Kena tunggu ada masa yg terluang betul2 barulah syok bereksperimen yg rumit2 tu.... Ok Yani.. akak minta izin tepek resepi yg akak copy dari blog Yani ye.. kalau nak tengok cara2 melipat puff boleh klik kat blog Yani.. Terima kasih Yani & Kak Nor yg berkongsi idea sarapan mudah ni... anak2 semua suka..

Bahan-bahan:-
  • kulit puff pastri
  • sosej
  • telur
Cara-cara:- 
 








  1. Panaskan oven sehingga suhu 180 degree.
  2. keluarkan kulit puff dari peti sejuk. Biar sekejap sehingga lembut.
  3. Buat seperti dlm gambar di http://decochoco.blogspot.com/2010/10/sardin-puff_18.html Last sekali sapu dengan telur (MaDiHaA guna kuning telur). Bakar selama 20-25 minit atau sehingga perang.
 




















Nak update juga tips yang dikongsikan oleh Kak Nor yang diperoleh dari Hana.. TQ ye Hana & Kak Nor.. mintak izin tepek kat sini pulak utk dikongsikan dengan kawan2..

TIPS DARI HANA : dah dpt penjelasan dr org di sana, nun di Jepong. Puff ni perlu dibakar dlm suhu yg tinggi lebih kurang 190 - 200C (bakar lebih kurang 20min). Kena pastikan oven dah betul2 panas baru masukkan puff yg dah siap dibentuk. Ini utk menghasilkan puff yg fluffy. Tq Ina.. :)
Selamat mencuba!

Thursday, November 11, 2010

Kerabu Kacang Botor

Dua hari lepas.. aku buat kerabu kacang botor yang dibawa balik dari kampong tempohari untuk dinner kami.  Hmm.. macam2 yang dibawa balik haritu tau... selain bawak dodol & kacang botor... ada beberapa kuntum bunga kantan (kalau beli kat PJ ni RM2.00 sekuntum beb!!), daun kesum, daun pisang, labu kuning, buah betik & yang paling aku seronok sangat ialah dapat jugak 2 sikat pisang raja!! Dah lama aku mengidamkan pisang raja tuh.. Cari2 kat sekitar rumah aku & pasar malam sampai sudah tak jumpa2.. Ada projek sebenarnya yang aku nak buat.. tapi.. takleh cakap sekarang.. tungguuuu!!! Lagipun projek belum jalan lagi.. tunggu weekend nilah itupun kalau jadilaa.. hehehe.. (syyhhhh... Mariam.. sila keraskan tangan anda.. hihihihiiii...)

Okaylah.. hari ni layan resepi sempoi kerabu kacang botor ni yer... sibuk sikitlah.. malas nak ngomel panjang2..

My Simple Kerabu Kacang Botor
Bahan2
250 gm kacang botor/kacang kelisa ~ hiris menyerong, celur kejap & tos
1 ¼ cawan kelapa parut putih
1 s/b kerisik yg dibuat sendiri utk lebih sedap (optional ~ lupa nak lembutkan kerisik yg ku simpan dlm esbox.. so tak letak sbb nak cepat)
1 kuntum bunga kantan ~ hiris nipis
3 ~ 4 biji limau kasturi ~ ambil jus (boleh ganti dgn 1 s/b asam jawa jdkan jus sebanyak ¼ cawan menggunakan air masak)
garam, aji & gula secukup rasa

Bahan2 dikisar halus
1 ½ s/b udang kering
1 ~ 2 batang serai ~ hiris nipis
6 ulas bawang merah ~ belah 4
1 biji cili merah ~ patah2kan
8 biji cili padi
1 s/k belacan ~ bakar sekejap

Cara2
1. Bahan2 yg perlu dikisar halus dibersihkan (kecuali belacan) & digoreng dlm minyak sedikit hingga wangi. Angkat & sejukkan kejap kemudian dikisar bersama2 dengan belacan bakar dlm pengisar kering sehingga halus.
2. Kelapa parut disangai sekejap jangan sampai kuning. Tutup api & biarkan ia didalam kuali.  Masukkan bahan2 kisar tadi & gaul rata.
3. Masukkan kacang botor yg telah dicelur ke dalam kelapa parut tadi berserta bunga kantan, jus limau/jus asam jawa serta  bahan2 perasa secukupnya. 
4. Gaul rata2 & secukup rasa. Hidang segera bersama nasi putih & lauk2 tambahan yang lain.


Selamat mencuba!

Wednesday, November 10, 2010

Kuih Talam Labu

Selamat petang semua... mesti semua dah makan tengahari kan? Kalau suri rumah tu mesti tengah fikir nak buat apa utk minum petang pulak.. seronoknya kalau dpt jadi surirumah sepenuh masa... Macam aku ni.. dapat jadi part time suri rumah aje.. so bab2 minum petang ni memang jarang2lah nak kena fikir kecuali waktu cuti hujung minggu...  

Buat kuih ni utk sarapan minggu lepas.. tak ingat dah hari apa.. tapi buat hari yang sama yang aku masak cendawan kat bawah tu & juga sayur lemak pucuk labu & labu kuning (tak ambik gambar). Buat malam lepas2 dinner.. so pagi2 esoknya tinggal potong2 aje utk sarapan suami & anak sebelum ke tempat kerja & ke sekolah.  Siap dpt bekalkan untuk anak2 ke rumah pengasuh.. dpt bagi jugak kat makcik.. hehe.. Rasanya.. kalau nak buat utk minum petang pun okay jugak kuih ni kan..?

Jom tengok resepi..! Resepinya aku ambil dari blog kak UmmiZaihadi dah lama dulu.. Resepi asal dari Chef Hanieliza yg aku kenali sebagai Kak Liza.. Terima kasih kedua2nya utk resepi ni yer.. mintak halal MaDiHaA C&P kat blog MaDiHaA pulak dehh.. sedap kuih ni.. manis2 buah jer... kalau rasa sapa2 yang suka manis.. boleh tambahkan sikit lagi gulanya.. pada aku dah okay dah.. 

Sumber: Buku Aneka Talam dan Kuih Lapis by Chef Hanieliza
Copy dari : Blog Ummi Zaihadi http://ummizaihadi-homesweethome.blogspot.com/2010/07/kuih-talam-labu-salah-baca-resepi-lagi.html

(guna loyang 4 segi saiz 9 x 9 inci)
Bahan Lapisan Bawah:
3 cawan santan cair + sedikit garam
1 cawan labu yang diparut
1 cawan tepung beras (MaDiHaA tambah lagi 2 sudu besar)
½ cawan gula pasir (boleh tambah sikit lagi jika suka manis)
2 sudu makan tepung kastad
Cara-Cara:-
1. Masukkan semua bahan kecuali labu parut dan kacau hingga sebati. Tapiskan.
2. Kemudian masukkan labu yang diparut dan kacau lagi hingga rata.
3. Masukkan adunan ke dalam loyang dan kukus selama 30 minit sehingga masak. (MaDiHaA kacau bancuhan sebentar dalam kuali dengan api perlahan sehingga nampak pekat sikit kemudian baru tuangkan ke dalam loyang & kukus 30 minit)
Bahan Lapisan Atas:-
3 cawan santan pekat
1 cawan tepung beras
1 sudu teh garam
sedikit pewarna kuning (MaDiHaA tukar warna hijau nak bg nampak beza warna)
Cara-Cara:-
1. Gaulkan semua bahan dan tapiskan dalam periuk. Kacau adunan ini di atas api yang perlahan.
2. Apabila adunan lapisan bawah telah masak, cakarkan sedikit dengan garfu dan tuangkan adunan santan atas permukaan labu tadi.
3. Kukus selama 25 minit.
4. Sejukkan betul-betul sebelum dipotong dan hidangkan.

Selamat mencuba!

Cendawan Goreng Tepong Crispy

Ini cendawan yang digoreng sehari sebelum balik kg.. abang beli cendawan sampai 2 peket hok 500 gm tuh.. yang aku pulak ada beli pucuk labu kat pasar malam nak dimasak lemak dengan labu kuning yang dah lama terperap kat rumah tu.. abis tu.. mana satu aku nak masak ni.. dua2 sayur jenis tak tahan simpan.. sudahnya.. aku masak dua2.. pucuk labu pun aku masak.. cendawan pun aku masak.. oleh sebab dah ada kuah dlm sayur  lemak labu tu.. cendawan aku buat goreng tepong ajelah... hmmm.. tak sempat dibuat makan dengan nasi.. habis diratah panas2 mcm tu jer.. hehehe... Aku cuma goreng 250 gm jer & cendawan lebihnya dibawak balik kg...

Ok jom tengok resepi... resepi aku korek dari dapur Nuanza... TQ Shalieda...... sedap rasa cendawan ni bila digandingkan dengan rempah2 mcm ni.. tapi kena mkn panas2lah ye.. dah sejuk mungkin akan hilang rangup tepongnya... biasalah kan.. cendawan kan jenis sayuran menyimpan air... mana boleh tepongnya kekal rangup kalau biar lama2... kecuali kalau cendawan tu disiat halus2... Ok Shalieda... akak tepek sini resepinya ya.. tp resepi yg dah akak edit2 kuantiti bahan2nya sebab akak buat double dari resepi asal yg Shalieda tulis kat FP tu...

Bahan2
250 gm cendawan (guna cendawan tiram)
6 s/b tepung gandum
4 s/b tepung beras
1 s/b serbuk kari
½ s/k serbuk jintan manis (tak letak sbb kehabisan stok)
½  s/k serbuk jintan putih
½ s/k serbuk ketumbar
garam secukup rasa
2 biji telur
 
Cara2

1. Basuh cendawan & toskan ~ kalau yg jenis besar2 tu, koyak2kan skit (MaDiHaA perahkan sikit air yg meresap pd cendawan)
2. Gaul ngan garam secukupnya.  Pecahkan telur, gaul sekali ngan cendawan.
3. Satukan bahan2 tepung dan bahan2 lain masukkan dlm cendawan tadi dan gaul rata.
4. Goreng hingga garing dengan memasukkan cendawan satu persatu ke dalam kuali. (Jangan tuang semua dlm kuali yek). Balik2kan cendawan hingga garing. Angkat & tos. Sedia dihidangkan panas2.

Selamat Mencuba!

Tuesday, November 9, 2010

Mengacau Dodol Di Kampong...

Salam semua...

Pagi tadi agak sibuk sikit... tak sempat nak pos apa2 entry...
Oklah.. hari ni aku masukkan sikit gambar2 masa mengacau dodol kat kg hubby semasa balik bercuti sempena Deepavali tempohari.  Gambar memang tak banyak yang diambil sebabnya aku sendiri sibuk menolong apa2 yang patut.. Kerja2 ambil gambar ni memang takde sapa yang berminat selain aku... hehe.. so.. dah jurugambar tak bertauliah ni pun dok sibuk... maka.. tak dapek ler nak klik2 beria sangat.. hehe.. Adalah beberapa keping gambar semasa hubby & sepupu2nya mengacau dodol.. Jadilah buat kenang-kenangan.. itupun tak semua yg ada dlm gambar sebab aku buat keluar handphone tu pun sekali tu jer dari handbeg untuk ambik gambar.. malas laa.. ada byk kerja lain lagi nak buat kalau asyik dok pegang handphone aje.. apa kerja pun tak jadi.. (yepp.. gambar2 semua dari kamera handphone aje sebab kamera dapur aku dah rosak beberapa bulan yang lepas)

Kami kacau dodol ni kat rumah makcik memandangkan kawah ada kat sana.. so dah malas nak angkut ke rumah mak.  Merasa gak mengacau dodol.. seumur hidup, tulah baru sekali merasa mengacau dodol & kali kedua tengok org masak dodol secara live.  Masa pertama kali dulu masih bersekolah rendah.. cuma tengok2 gitu ajelah takdelah menolong.. kena sergah dek org tua aje kalau nk tolong masa tu.. kekeke.... tapi bila dah jadi mak orang beranak 3 ni.. baru ini ler dpt tengok sendiri & sama2 menolong dlm persediaan tu.. malah.... merasa gaklah bergilir2 mengacau dodol.. tp takdelah lama mcm org2 lelaki dok kacau... aku kacau kejap2 jer.. penat wooo... Hubby memang ramai sepupu2 lelaki & pakcik2nya pun semua jenis rajin2 belaka & boleh dikatakan semuanya bersatu hati.. semuanya boleh diharap.. So senanglah nak adalah projek2 mcm ni..  Buat dodol ni hubby yang sponsor.. cuma kelapa aje kelapa free.. hehehe..  & hasilnya dikongsi ramai2.. alhamdulilah berkat kerjasama.. bukan saja sedara mara kat kg dpt merasa.. malah sedara mara, kengkawan & jiran2 kat rumah aku kat PJ ni pun dapat gak merasa sorang sikit..
 Memasukkan bancuhan tepong & santan...


Dah mulai mendidih.. kacau tak boleh berhenti yer... dari awal lagi memang kacau tak boleh berhenti.. sebab tu perlukan ramai orang untuk bergilir-gilir mengacau dodol ni sebab kalau kacau sorang dua boleh demam dibuatnya..

Sambil mengacau.. sambil mata menahan asap... pedih dibuatnya.. hehehe... Masa cair lagi ni takdelah penat mengacau.. tunggu dah pekat sikit tau ler.. hahaha..






















Bila dah pekat sikit... api dikecilkan sikit dan teruskan mengacau sehingga dodol betul2 masak lebih kurang 6 ~ 7 jam (bergantung kuantiti yg dimasak)





















Ini dia dodolnya.. ini cuma yang aku packing malam tadi untuk diberikan pada kengkawan &  juga bos ku..  (walaupun dia Chinese.. tapi pandai makan dodol tau.. hehe..) Ini baru sebahagian.. ada lagi tu nak packing lain.. untuk adik2, ma kat kg ku & yg berkenaan..  malam nilah pulakk packing..  

Lupa betul nak ambik gambar dodol yang dah siap diangkat yang diletakkan dalam bekas2 masa kat rumah makcik hubby tu.. gara2 sibuk melayan anak2.. Dapat agak banyak juga.. yelah.. buat pun boleh tahan banyaknya.. 11 kg tepong...






















Pada sepupu2 & adik2ku yang belum dapat tu.. tunggu yea...... insyaAllah.. ada bahagian korang.. hehehe...

Ok.. aku tuliskan resepi dodol yang dibuat masa kat kg baru2 ni yer.. Mungkin ada kelainan dengan cara kat kg/negeri masing2.... tak kisahlah.. asalkan dodol yang dihasilkan sedap & secukup rasa & lemaknya sudahlah betul tak..? Resepi ni kuantiti bahan2 lain semuanya tepat.. cuma kuantiti air/santan aje yang aku kurang pasti sebab masa membancuh tu takde sukat2 pun.. main bancuh je.. jadi aku agak2 sendiri jer mengikut apa yang aku tengok..

Sumber : Mak & Makcik2 Hubby


Bahan2
40 biji kelapa~ diparut

10 kg tepong pulut
1 kg tepong beras
11 kg gula pasir
2 kg gula merah (boleh guna gula melaka tapi lebihkan kuantiti gula melaka & kurangkan kuantiti gula pasir sebab gula melaka warnanya kurang terang)

Cara2
1. Kelapa diperah santannya lebih kurang 3 ~ 3 1/2 baldi. (sekadar anggaran aku sahaja)
2. Bancuh tepong pulut & tepong beras bersama2 sebahagian dari santan sehingga rata. Tapiskan jika perlu.
3. Sediakan api menggunakan kayu api untuk memasak dodol. Bila api dah hidup & kayu dah membara bolehlah ditenggekkan terus kawah di atasnya. Masukkan santan lebihan dari membancuh tepong tadi beserta gula pasir ke dalam kawah & didihkan sambil dikacau2 sentiasa.4. Sementara itu.. dalam periuk yg lain, masak gula merah bersama2 dengan 1 jag air sehingga gula larut. Tapiskan terus ke dalam kawah berisi santan tadi.
5. Masukkan bancuhan tepong sambil dikacau dan teruskan mengacau sehingga dodol masak anggaran 6 ~ 7 jam tanpa henti atau sehingga dodol kental.  

Nota MaDiHaA : Bila dodol dah agak pekat.. kurangkan sedikit bara api sebab jika guna api yg besar takut cepat hangit.. tukang kacau mestilah 2 orang bagi tiap2 masa.. maksudnya.. kacau tanpa henti dari mula sehingga masak menggunakan dua  sudip ~ semestinya tukang kacau lebih dari dua orang sebab mengacau dodol dengan kuantiti yang banyak.. mestilah kena bergilir2 sebab tersangatlah penat.



Ok semua.. selamat mencuba!

Monday, November 8, 2010

Ayam Oh

Salam...

Baru sampai dari kg malam tadi... hari ni dah kerja balik dah.. kalau balik dari kg tu.. mcm biasa.. badan ni letih2 ler sikit... bukan sebab buat kerja berat pun kat kg.. tapi memang jenis tak boleh berjalan jauh.. lemau jer badan.. Pasal projek mengacau dodol tu.. alhamdulillah.. berjalan lancar.. jika ada masa nanti insyaAllah dimasukkan sikit ceritanya..

Ok hari ni layan resepi ayam ler pulak.. Masak minggu lepas.. Memula masa nak cuba resepi ni rasa mcm was was jugak sebab takut hubby tak suka.. Alhamdulillah.. bila dah masak.. hubby kata bolehlah.. cuma dia kata kalau letak lada hitam lebih sikit tentu lebih sedap.... hehehe...

Resepi Ayam Oh ni aku ambil dari blog Cik Mat Gebu... menurut Cik Mat Gebu.. resepi ni asal dari kaum baba & nyonya Melaka.. terima kasih ye Mat.. Ada kelainan dalam resepi ni.. memang tak pernah mencuba resepi kaum baba & nyonya sebelum ni.. resepi ini umpama sup berkicap gitu.. tp sedap gak.. anak2 pun suka... Tempek resepi kat sini.. mintak halal ye Mat & terima kasih berkongsi resepi!

Sumber : Mat Gebu

BAHAN-BAHANNYA :-)
500 g ayam, potong kepingan
2 biji kentang (saiz sederhana besar)
1 3/4 camca besar taucu
3 ulas bawang putih, tumbuk lumat
30 g halia, hiris nipis2 (MaDiHaA letak dlm 2 inci)
3/4 camca besar kicap pekat
1 camca besar kicap cair (atau secukupnya) (MaDiHaA tambah sikit lagi)
1 camca teh lada putih biji, tumbuk kasar (mat guna lada hitam... MaDiHaA pun sama)
1 1/2 liter air (atau secukupnya) (MaDiHaA guna 1 liter aje)
1/2 camca teh gula
Hirisan daun bawang, untuk hiasan
Hirisan halus cili merah, untuk hiasan

CARA MEMBUATNYA :-)
1. Ayam dicuci bersih dan toskan. Kentang dikupas, belah lapan setiap biji dan rendam. Panaskan sedikit minyak dalam periuk, tumis halia dan bawang putih tumbuk hingga wangi, masukkan taucu dan tumis hingga terbit minyak.
2. Masukkan ayam dan kentang (toskan dahulu), gaul rata dan biar ayam kecut. Tambah air dan lada putih, kacau dan biar mendidih. Kecilkan api dan renih hingga kentang empuk.
3. Tambah kicap pekat, gula dan kicap cair secukup rasa. Masak lagi sekejap, dan rasa, jika kurang masin tambah sedikit lagi kicap cair. Hidangkan dengan menghias dengan hirisan daun bawang dan cili merah.....kalau dibiar kan 4 - 5 jam, rasa masakan akan lagi sedap....




Selamat mencuba!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...