Tuesday, March 31, 2015

Kari Ikan Yu Daun Kesum

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Lama rasanya tak bersiaran. Agak sibuk sikit kebelakangan nih.  Petang ni terasa lapang sikit jadi kita updatelah menu2 yang tertunda ni ye.  Sebenarnya ni antara resepi ulangan je.  Kalau lauk feberet tu memanglah ada siaran ulangan.  Hari tu ternampak Liza Intai Dapur update menu ikan yu.. baru teringat MaDiHaA pun ada gambar menu ikan yu yang belum sempat update.  Lain kali boleh cuba resepi yang Liza kongsikan tu pulak.  Sebab en. husband pun kadang ada jugak beli ikan yu ni.  Kadang tu tak tau nak dimasak apa dengan ikan yu ni. Minta tolong en. google pun tak banyak membantu. Gamaknya orang melayu tak ramai yang makan ikan yu kot. Tu pasal tak ramai yang share resepi masakan dari ikan yu.  Ikan yu ni ada khasiatnya yang tersendiri tau.  Elok bagi makan kat anak2 kita sebab ada seorang aci India bagitau ikan yu ni elok untuk budak2 yang kecacingan. hihihiii...

Sapa2 yang belum pernah masak ikan yu ni bolehlah mencuba. Sedap ikan yu ni & rasa ikan ni memang ada kelainannya.
 
 
 
Kari Ikan Yu Berdaun Kesum
Resepi : MaDiHaA a.k.a Ratna

Bahan2
500 gm isi ikan yu ~ dipotong saiz kesukaan (MaDiHaA potong kecik2 dari sekeping ikan yg besar ~ ikan tu dah dibuang kulit kasar oleh penjual ikan tu..) 
2 sudu besar asam jawa ~ larutkan dlm sikit/secukupnya air (untuk rendam ikan yu)
secekak daun kesum
1 ½ cawan santan pekat
2 ½ cawan air (atau gunakan 4 cawan santan sederhana pekat)
1 sudu besar asam jawa ~ larutkan dlm ½ cawan air di atas ambil jus
3 sudu besar rempah kari ikan ~ campur sikit air jadikan pes
beberapa biji bendi (ikut suka nak letak sayur apa.. kali ni MaDiHaA letak terung)
minyak untuk menumis
Garam & aji secukup rasa


Bahan kisar
1 cm halia
1 ulas bawang putih
4 ulas bawang merah
2~3 biji cili kering (rendam air panas) /1 sudu besar cili kering kisar


Bahan tumis
1 sudu kecil halba campur
2 ulas bawang merah ~ dimayang
1 ulas bawang putih ~ dimayang
1 cm halia dimayang

Cara menyediakan
1. Ikan yu dibersihkan & rendam dengan air asam jawa selama 15 - 20 minit. Cuci bersih & tos.
2. Dalam periuk panaskan minyak masak lalu tumiskan halba campur hingga wangi. Terus masukkan bahan2 tumisan yg lain. Bila bawang2 dah agak layu, masukkan bahan2 kisar. Tumis lagi hingga wangi & terbit minyak. Masukkan pes kari & kacau rata.
3. Bila bahan dah cukup masak/terbit minyak.. masukkan santan & air. Biarkan ia mendidih sambil sentiasa dikacau. Masukkan ikan, air asam jawa, garam & perasa. Masak dengan pi sederhana hingga nampak pecah minyak sambil sentiasa dikacau. (kacau pelan2).  Masukkan daun kesum & kacang bendi. Bila bendi nampak lembut & kuah secukup rasa bolehlah padamkan api & dihidang.


Selamat mencuba!

Tuesday, March 24, 2015

Cream Puff With Custard Filling

Assalamualaikum & salam sejahtera...

Cuti sekolah baru2 ni, rumah kami dikunjungi tamu.  Bukan orang lain.. ma & adik beradik serta ipar duai yang datang mengunjungi kami sebab nak melawat en. suami yang baru lepas operation.  Seronok berkumpul adik beradik, masak memasak dah macam hari raya pula... riuh rendah kejap rumah kaklong dia dengan suara anak2 & anak2 saudara yang gembira dapat berkumpul & bermain sama2.  Bukan senang dapat berkumpul kesemua adik beradik.  Biasa kalau dapat berkumpul semua gitu bila hari raya di kampong.  Kalau tidak.. memang agak susah juga sebabnya adakala bila kami balik, adik yang di Klang tak dapat balik. Begitu juga sebaliknya.  Tapi baru2 ni, adik2 yang ada kat kampong datang melawat kami di PJ, adik yang di Klang pun turut sama datang melawat kami, jadi memang meriah sungguhlah.  Hari Sabtu tu... sempatlah juga MaDiHaA buat cream puff untuk jamu pada tamu untuk minum petang, sebab hari Sabtu MaDiHaA memang cuti.  Jadi ada banyak masa nak ke dapur. Bancuh terus 2 adunan & dapatlah dalam 55 biji cream puff kesemuanya.  Puas hati bila tamu suka dengan cream puff tu...

Jom tengok resepi ni.  Resepi ulangan yang dah banyak kali buat.  Untuk tempahan pun MaDiHaA guna resepi yang sama juga.  Jika buat & ikut step yang diterangkan dalam resepi, insyaAllah.. pasti menjadi.
CREAM PUFF

Resepi : Chef Alex Goh

Sumber : Che Mat Gebu



Bahan Cream Puff / Pastri Choux
100 g mentega / marjerin
250 ml air
½ camca teh garam
150 g tepung gandum, diayak
3 biji telur gred A

Cara membuatnya  
 
1. Dalam periuk satukan air, mentega dan garam. Masak hingga air mendidih dan mentega cair. Masukkan tepung dan dengan pantas kacau adunan sehingga menjadi seketul doh yang tidak melekat di periuk, gunakan api perlahan dan kacau hanya satu arah. 

2. Panaskan oven pada suhu 200C. Lenser dulang pembakar dengan sedikit mentega atau alas dengan silicone paper.  (MaDiHaA tak alas apa2 pun dulang pembakar)

3. Masukkan doh tadi dalam mixer dan pukul hingga doh menjadi suam. Pecahkan telur dan kacau dengan garfu. Masukkan sedikit demi sedikit telur ke dalam adunan doh hingga habis. Pukul hingga adunan menjadi pes yang lembut.  

4. Masukkan pes tadi ke dalam piping beg yang dipasang muncung bintang atau muncung biasa. Paipkan bentuk siput/spiral atas dulang pembakar. Buat hingga habis dan bakar 20 minit hingga kuning keemasan.  

5. Bila masak, alih cream puff atas jaringan dan biar sejuk. Belah sedikit puff (jangan sampai putus) dan bolehlah paipkan kastad di tengah2nya. Sedia dihidangkan.
FILLING CUSTARD

Resepi : MaDiHaA aka Ratna
 

1 ½ sudu besar tepung gandum
1
½ sudu besar tepung kastard
4 sudu besar gula
1 cwn (250ml) susu segar
1 biji telur
1 sudu besar mentega

Cara-cara:
1. Campurkan kesemua bahan2 di atas kecuali mentega. Kacau rata menggunakan whisker.
2. Jerang atas dapur dengan api yg perlahan dan masak sambil dikacau2 sentiasa sehingga kastad nampak pekat.
3. Tutup api & masukkan mentega dan kacau2 lagi.
4. Biar sejuk sebelum dimasukkan ke dalam piping bag.



Selamat mencuba!

Monday, March 23, 2015

Mee Hailam

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Lama sungguh tak masak mee hailam ni.  Kalau makan kat luar pun jarang order mee hailam sebabnya.. susah nak jumpa yang menepati selera sendiri.  Jadi nak puas hati.. masak sendirilah jawabnya.  

Jom tengok resepi mudah MaDiHaA ni...
 

Mee Hailam
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2

1 bungkus mee kuning (450 gm)
150 g daging - dihiris
150 gm isi ayam - dihiris
10 ekor udang 
1/2 batang lobak merah ~ hiris bulat
2 pokok sawi ~ dipotong
sedikit bunga kobis ~ hiris
sedikit kobis~ hiris
1/2 biji capsicum ~ hiris kasar
sedikit tomato ceri
2 sudu besar sos cili
3 sudu besar sos tiram
2 sudu besar kicap pekat
garam secukup rasa
1 sudu besar tepung jagung dibancuh dgn 1/2 cawan air
air secukupnya utk kuah anggaran 800 ml (boleh tambah lagi kalau nampak kurang berkuah)

Bahan kisar
3 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah
1 biji cili merah
1 hirisan halia
 
Hiasan
Daun bawang
Limau kasturi
Bawang goreng secukupnya


Cara Menyediakan


  1. Rebus daging sehingga empuk dengan air secukupnya.
  2. Tumis bahan kisar sehingga wangi & terbit minyak.
  3. Masukkan rebusan daging serta airnya dan isi ayam. Masukkan 800 ml air. Biar mendidih. Masukkan udang, sawi, kobis, kobis bunga & lobak merah.
  4. Masukkan semua jenis sos & garam sekiranya perlu. (rasa dulu ye) Bila sayur separuh empuk, Masukkan bancuhan air tepong jagung.  Biarkan mendidih.  
  5. Akhir sekali masukkan capsicum, tomato ceri & mee. Kacau lebih kurang & bolehlah matikan api. 
  6. Hidang segera semasa ia masih panas.
Selamat mencuba!

Friday, March 20, 2015

Gulai Lemak Cili Padi Pisang Muda

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Teringat2 kesedapan gulai lemak cili padi pisang muda ni.  Selera kami suami isteri memang lebih kepada menu2 kampong.  Tapi anak2 ada yang belum dapat terima menu kampong macam ni.  Mungkin sebab pedas kot.  Harap2 bila dah besar nanti mereka juga dapat menikmati menu kampong yang sedap ni.  Buat masa sekarang, hanya si sulung yang enjoy masakan macam ni.. Bila dah masak gulai lemak macam ni.. goreng ikan masin dengan ikan goreng pun dah cukup. Kalau rajin boleh tambah ulam & sambal belacan... hmm... makan tak toleh kiri kananlah jawapnya...


GULAI LEMAK CILI PADI PISANG MUDA
Resepi : MaDiHaA aka Ratna


Bahan2
1 sikat pisang muda (boleh guna pisang emas, pisang putar/masam atau pisang 40 hari) ~ dipotong ikut suka lalu direndam dlm sebesen air (utk elakkan pisang menjadi lebam)
4 ~ 5 ulas bwg merah ~ ditumbuk
1 ulas bwg putih ~ ditumbuk
15 biji cili padi ~ ditumbuk
1 cm kunyit hidup ~ ditumbuk
Sejemput ikan bilis ~ dikopek bersih ~ rendam & ditumbuk
1 btg serai ~ dititik
1 biji kelapa ~ ambil santan secukupnya (agak2 tenggelam pisang & lebihkan santan dlm 2 inci dari paras pisang)
garam secukup rasa

Cara Menyediakan
1. Masukkan pisang yg siap dipotong dan dibersihkan ke dalam periuk.
2. Tuangkan santan secukupnya diikuti dengan bahan2 tumbuk & serai.
3. Masak di atas api sederhana sambil dikacau2 sentiasa supaya santan tak membuak.
4. Masukkan garam secukup rasa. Jika suka boleh tambah sekeping asam keping.
5. Biarkan hingga pisang empuk dan sedia utk dihidangkan. 


Selamat mencuba!

Thursday, March 19, 2015

Pulut Kuning Berhias *Tempahan*

Assalamualaikum & salam sejahtera....



Pulut ni tempahan dari Syida regular customer MaDiHaA yang sangat baik hati orangnya. Syida takde bagi contoh dekorasi... katanya serah kat MaDiHaA je nak deko macamana.  Dah banyak kali Syida order dengan MaDiHaA tapi ini kali pertama beliau order pulut kuning.  Oleh kerana dah lama MaDiHaA beli loyang bentuk love ni dan belum pernah gunakan untuk buat pulut kuning jadi teringinlah pula MaDiHaA gunalah loyang bentuk love ni.  Sesuailah untuk hantaran majlis perkahwinan sebab menurut Syida dia nak hadiahkan pulut ni pada pengasuh baby beliau yang buat kendudi anaknya.  Memang pemurah sangat Syida ni.. Terima kasih Syida untuk tempahan ye.  Jika terkurang mohon dihalalkan ye.

Sebenarnya tempahan Syida ni hari yang sama dengan tempahan dari Kak Niza tempohari. Saja update lain2.. hehe...



Inilah 2 bekas pulut kuning tempahan dari Syida & Kak Niza tu.  Terima kasih buat kedua2nya...


Jika ada yang berminat untuk menempah pulut kuning berhias jangan segan2 hubungi MaDiHaA di talian  019-3171150 sms/wassap/call.

Terima kasih!

Strawberry Milkshake

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Jarang sebenarnya MaDiHaA beli buah strawberry ni.  Maklumlah buah strawberry ni jenis buah mahal.  Nak beli pun kena fikir 4,5 kali.  Bagi yang berduit tu memang pejam mata je beli buah2 mahal ni kan? Bagi kami yang hidup sederhana ni... tak bolehla nak pejam mata... kena celik seceliknya setiap kali nak membeli barang.  Tapi bila sesekali teringin tu belilah juga.  Beli ni pun kebetulan beli untuk kegunaan hiasan pulut kuning tempohari. Terus beli lebih sikit sebab teringat anak2 MaDiHaA suka sangat dengan strawberry.  Alhamdulillah seronok anak2 dapat makan strawberry.  Doakan ibu murah rezeki ye anak2.. nanti ibu belikan lagi... 

Sempat simpan 10 biji untuk buat strawberry milkshake ni... teringin pulak nak mencuba memandangkan stok aiskrim vanila banyak dalam peti ais tu.  Maklumlah.. en. suami hari2 kena makan aiskrim vanila selepas pembedahan tonsilnya kan.  So kita mintak secawan untuk dikisar jadikan strawberry milkshake ni... emmmm... yummy!


Terima kasih Yana kongsi resepi ye.. akak copy & paste kat blog akak pula ye...



STRAWBERRY MILKSHAKE
Resepi : Yanashaiful
Dicuba oleh MaDiHaA aka Ratna

BAHAN-BAHAN:-
10 biji buah strawberry
1 cawan susu segar (MaDiHaA sejukkan)
1 cawan susu segar perisa strawberry (MaDiHaA sejukkan)
1 cawan ais krim vanilla
Sedikit gula ~ jika perlu
Sedikit ketulan ais

CARA PENYEDIAAN:-
  1. Cuci buah strawberry, Toskan dan potong 2
  2. Masukkan buah strawberry, susu segar, ais krim dan gula ke dalam blender
  3. Blender/kisar hingga halus
  4. Hidangkan dalam gelas dan letak sedikit ketulan ais..siap untuk diminum..slurppp ^_^
Selamat mencuba!

Pulut Kelapa Ikan Masin

Assalamualaikum & salam sejahtera...

Sarapan yang diminta oleh anak dara yang baru balik dari asrama.  Hari Sabtu lepas siapkan tempahan pulut kuning. Tanya anak2 nak makan pulut kuning tak? Kalau nak ibu masak lebih. En. suami memang belum boleh makan lagi benda2 camtu... jadi memang tak tanyala. Anak2 semua dah jemu dengan pulut kuning. Tapi anak dara yang sulung tu kata nak pulut kelapa ikan masin. Rindu katanya sebab dah lama tak makan. Lepas siap tempahan teruslah tanak pulut. Senang je kerja sebab hanya tanak pulut, goreng ikan masin pastu kelapa parut putih gaul dengan gula & garam sikit.  Dah siap sarapan kami. Inilah sarapan yang popular kat pantai timur.  Dapat kelapa parut yang agak muda sikit lagi mantop! Kat KL ni manalah nak cari kelapa parut camtu. 



PULUT KELAPA IKAN MASIN

Bahan2
3 pot beras pulut
air secukupnya
ikan masin secukupnya
kelapa parut putih
gula & garam

Cara menyediakan
1. Cuci beras pulut & tanak guna rice cooker. Sukatan air jangan sama macam tanak nasi ye. kena kurangkan agak2 lebihkan 1/2 cm dari ketinggian pulut. Tunggu hingga pulut masak.
2. Kelapa parut digaulkan dengan gula & sedikit garam. Jika guna setengah biji kelapa parut, masukkan 1 sudu besar gula. Gaul rata. Ikan masin digoreng garing.
3.  Dah siap & bolehlah dihidangkan pulut tanak bersama kelapa parut & ikan masin. Jika nak hidang dengan ikan rebus goreng pun boleh.

Selamat mencuba!

Wednesday, March 18, 2015

Rendang Tok (II)

Assalamualaikum & salam sejahtera....


Hari ni kongsi resepi rendang tok yang dimasak oleh en. suami sebelum dia operation lagi ni.  Lambat sikit update sebab malas bebenor nak menaip resepi.  Kalau resepi copy & paste tu lajulah sikit update.. haha.. Sesekali ubah selera sikit supaya tak jemu asyik makan lauk yang sama je kan.  Resepi ni sebenarnya dicuba dari resepi yang en. suami photostate dari sebuah majalah/buku.  Tapi minta maaflah ye sebab en. suami lupa apa nama majalah/buku tu sebabnya dia pun pinjam dari kawannya yang mana resepi yang dah siap photostate.  Ni kiranya photostate atas photostate lah ni... jadi maklumat asal buku tak dapat dijejaki... hahaha... Ehh! Jangan tak caya pula.. en. suami pun minat bab2 memasak ni tau...  Dia kan ambil shift memasak bila dia kerja shift malam.  Bila dah ada resepi tu senanglah dia nak buat rujukan.. bukan orang perempuan je minat simpan resepi ni... hihi.. MaDiHaA cuma tumpang glemer aje... tacap sana sikit.. tacap sini sikit.. ambik gambar... maka terhasillah sebegitu rupa di atas meja... takpekan.. tumpang glemer masakan suami... memang sedap tau.. TQ en. suami tolong masakkan tempohari... i lap u...

Jom kita tengok resepinya pulak...


Rendang Tok (II)

Bahan A
1 kg daging ~ dihiris
2 cawan santan pekat (1 biji kelapa)
1/2 cawan kerisik
1/2 biji kelapa (ambil isi hiris nipis ~ jika suka)
3 sudu makan gula merah
3 keping asam gelugur
3 helai daun kunyit ~ hiris halus
Daun limau purut
Garam secukup rasa
minyak masak secukupnya

Bahan B (dikisar halus)
2 sudu makan ketumbar biji
1 sudu makan jintan manis
1 sudu makan jintan putih
1 sudu makan lada hitam
10 ulas bawang merah
3 kuntum bunga lawang ~ pecah2kan dulu dengan lesung batu
5 kuntum cengkih  
25 tangkai cili kering ~ rebus kejap
5 biji cili api (jika suka)
3 inci halia
5 batang serai
1 1/2 inci lengkuas

Cara menyediakan
1. Panaskan minyak dan tumiskan bahan kisar sehingga pecah minyak.
2. Masukkan daging dan masakkan sehingga daging lembut. Jika daging jenis keras tambahkan 3 cawan air dan masak hingga daging lembut.
3. Masukkan santan pekat, garam, gula merah, kerisik, daun limau purut, daun kunyit dan asam gelugur.
4. Masak sehingga pekat dan naik minyak. Kacau sekali sekala.
5 Tutup api & hidangkan.


Monday, March 16, 2015

Romaine Lettuce / Yau Mak Tam & Capsicum Sos Tiram

Assalamualaikum & salam sejahtera...



Semasa MaDiHaA MC sebabkan operation hujung tahun lepas hingga awal Januari, ma kat kampong sempat juga datang menjaga MaDiHaA hampir seminggu lamanya. Masa ma ada kat rumah tulah MaDiHaA baru tau yang sayur yau mak tam atau romaine lettuce ni sedap sangat rasanya.  Kisahnya... ma ikut suami ke pasaraya lalu dibelinya sayur tau mak tam ni & masakkan untuk kami semua.  Masa tu ma hanya tumis rencah ikan bilis je sebab masa tu kan MaDiHaA belum boleh makan sos tiram lagi.  Sejak tu barulah tau betapa sedapnya sayur ni.  Sebenarnya dah lama MaDiHaA nampak sayur ni kat pasaraya, tapi tak pasti apa nama sayur ni & tak tau pun ianya boleh dimasak ataupun dimakan mentah.  Jadi memang tak berani nak belilah.  Oleh kerana nak tau nama sayur ni.. MaDiHaA kongsi kat facebook & bertanyakan kawan2 apa nama sayur ni.  Ramai kawan yang respon & kongsikan nama sayur ni.. & sejak tu barulah tau yang nama sayur ni yau mak tam atau romaine lettuce yang mana ia juga spesis salad yang boleh dimakan mentah atau dimasak.  Sejak dah tau kesedapan sayur ni.. keraplah juga MaDiHaA beli sayur ni kalau ke pasaraya.  Barulah MaDiHaA perasan ada dituliskan nama YMT kat peket sayur tu. Rupa2nya ia singkatan nama yau mak tam. hehehe... Sapa2 peminat sayur bolehlah cuba beli sayur ni ye. Memang sedap. Manis & rangup! Anak2 pun suka makan sayur ni. 



ROMAINE LETTUCE / YAU MAK TAM  & CAPSICUM SOS TIRAM

Bahan2
3 pokok romaine lettuce/yau mak tam
1 biji capsicum merah/kuning
4 ulas bawang putih
3 sudu besar sos tiram
minyak masak secukupnya
sedikit air

Cara menyediakan
1. Romaine lettuce atau yau mak tam dikopek daunnya sehelai2. Cuci & toskan.
2. Capsicum dipotong ikut selera masing2. Bawang putih diketuk.
3. Panaskan minyak masak, tumis bawang putih hingga wangi & kekuningan, Lalu masukkan romaine lettuce serta capsicum. Kacau rata. Masukkan sos tiram & sedikit air jika perlu. Kacau sebati & bolehlah matikan api. Tak perlu masak terlalu lama sebab kedua2 sayur tu sedap dimakan rangup2.

Selamat mencuba!

Friday, March 13, 2015

Pulut Kuning Berhias *Tempahan*

Assalamualaikum & salam sejahtera....


Dalam kesibukan berulang alik ke hospital melawat en. suami semasa dia masih di hospital tempohari, sempat juga MaDiHaA mencelah2 mencari bahan2 untuk tempahan pulut kuning.  Walaupun sedikit penat, tapi oleh kerana tempahan dah terima.. ia menjadi tanggungjawap MaDiHaA untuk menyiapkan tempahan pelanggan.

Terima kasih kepada Kak Niza & Syida yang menempah pulut kuning baru2 ni.  Segala kekurangan minta dihalalkan dunia akhirat ye.


Pulut kuning tempahan kak Niza ni menggunakan 2kg beras pulut dan menggunakan loyang 4 segi saiz 10" x 10".  Katanya deko ikut sukahati MaDiHaA nak deko macamana.  Tapi ada contoh deko yang kak Niza berkenan ada dia tunjukkan.  MaDiHaA ikut style deko ala2 gitu, tapi gunakan bahan2 deko yang berlainan. Harap kak Niza berpuas hati hendaknya. Terima kasih kak sudi menempah dengan MaDiHaA.

Jika ada yang berminat untuk menempah pulut kuning berhias jangan segan2 hubungi MaDiHaA di talian  019-3171150 sms/wassap/call.

Terima kasih!

Wednesday, March 11, 2015

Bubur Nasi Sinar Mentari (untuk suami yang sakit tekak operation)

Assalamualaikum & salam sejahtera....


Hari ni MaDiHaA nak kongsi resepi salah satu bubur nasi yang MaDiHaA masak untuk en. suami yang masih cuti sakit tu.  Kasihan sangat dengan en. suami yang tak boleh nak makan benda lain selain bubur nasi, creamy soup, aiskrim vanilla & yogurt. Nestum atau oats pun masih belum boleh makan lagi.  Memang belum boleh makan makanan yang lain.  Bila telan makanan yang agak kasar macam oats atau nestum tu pun boleh keluar darah lagi.  Memang kesian tengok dia. Jadi MaDiHaA kenalah tukar2 menu walaupun asasnya bubur nasi atau creamy soup... tapi kena tukar2 bahan asas yang digunakan. Samada guna ayam atau ikan serta sayuran yang digunakan pun kena tukar2 jugak.  Kalau asyik masak guna bahan yang sama je jemu pula nanti kan.

So jom tengok resepi bubur ni.  Segala lauk & sayur tu memang kena kisar halus kalau tak memang sakit la tekak dia time menelan.  MaDiHaA namakan ia Bubur Nasi Sinar Mentari sebab warnanya yang ceria tu... hehe... Ok semoga dapat memberi inspirasi & idea untuk isteri2 atau ibu2 yang nak masakkan untuk pesakit tonsil lepas operation tu ye.


Bubur Nasi Sinar Mentari
Resepi : MaDiHaA aka Ratna

Bahan2
1 1/2 pot beras ~ cuci bersih
2 liter air (kalau kurang boleh tambah lagi)

Bahan lain
1 keping isi dada ayam (dlm 200 gm) ~ potong kiub
5 ulas bawang merah ~ hiris
3 ulas bawang putih ~ hiris
1 inci halia ~ hiris
1/3 lobak putih ~ hiris nipis
1/2 lobak merah ~ hiris nipis
1 batang seleri ~ potong pendek2
1 biji tomato saiz sedang ~ potong kiub
1 kiub ayam
garam secukup rasa
air secukupnya
sedikit minyak masak

Cara menyediakan
1. Beras direnihkan bersama air sehingga betul2 kembang. Sesekali dikacau supaya tidak berkerak. Jika masih kurang airnya.. boleh tambah lagi. Kecilkan api bila bubur dah kembang.
2. Dalam periuk yang lain panaskan sikit minyak & tumiskan bawang merah, putih & halia yang dihiris hingga wangi & nampak hampir keperangan. Segera masukkan hirisan ayam & kacau sebati. Masukkan semua sayuran & air anggaran tenggelam sayur & biar mendidih.
3. Masukkan kiub ayam & masak hingga sayur lembut. Bila sayur lembut tutup api & tunggu hingga sejuk atau suam. Bila dah sejuk atau suam, bahagi 2 atau 3 bahagian ke dalam pengisar & kisar semua bahan dlm sup tadi sehingga halus atau separa halus (jangan lepas penuh2 pengisar ye nanti ia membuak. (MaDiHaA kisar halus sebab suami langsung tak boleh makan sayur2 yg kasar tu sebab masih sakit tekaknya). Tuang kisaran ke dalam periuk bubur nasi tadi. Kisar lagi baki sup tadi. Sambung renih bubur nasi tadi & tambah garam hingga secukup rasa. Bila dah secukup rasa bolehlah matikan api & hidang. (Untuk pesakit tonsil yang baru lepas operation kena tunggu bubur betul2 sejuk barulah boleh makan)

Selamat mencuba!

Tuesday, March 10, 2015

Cekodok Labu

Assalamualaikum & salam sejahtera...

Lewat bersiaran hari ni.  Jom layan menu minum petang ni.  Sedap sangat cekodok labu ni.  Cara pembuatannya agak berbeza sikit sebab cekodok ni memerlukan kita kisar labu mentah2.  Biasa kalau buat cekodok MaDiHaA rebus dulu labu.. tapi resepi ni lain.  Boleh cuba utk rasai kelainannya ye.  Terima kasih Yati untuk resepi.  Dah lama simpan resepi ni, tapi baru sempat kongsi di blog pula.




Kalau kita kopek cekodok ni.. maka akan terserlahlah tekstur2 labunya.  Tidak seperti labu rebus yang dilecek.. ianya bersatu dengan tepong.  Memang best resepi ni!


CEKODOK LABU
Sumber : http://bungamekar.fotopages.com (FP Yati)

Bahan2
500 gm ~ 600 gm labu (labu yg siap kopek) ~ dipotong kecil2
2 ½ ~ 3 cawan air
4 ½ ~ 5 cawan tepung gandum
¾ cawan gula pasir (kalau nak lebih manis boleh lebihkan lagi)
1 biji telur (gred A)
1 sudu kecil garam
Minyak untuk menggoreng

Cara Menyediakan
1. Kisar/blend potongan labu dengan 3 cawan air.
2. Masukkan dalam besen. Campurkan gula, telur, garam & tepung gandum.
3. Bancuh hingga rata.
4. Panaskan minyak & goreng ler cekodok sehingga kekuningan. Angkat & tos sebelum dihidang.



Selamat mencuba!

Monday, March 9, 2015

Dugaan kecil buat kami....

Assalamualaikum & salam sejahtera...

Masih terasa2 pedihnya selepas operation cysts yang MaDiHaA lalui beberapa bulan yang lalu.. kini giliran en. suami pula menjalani pembedahan.  Inilah namanya kehidupan. Tidak selamanya sihat... kadang kala ujian datang tanpa diundang.  Inilah dugaan kecil buat kami.  Kesakitan itu bukankah kifarah dalam kehidupan? Kesakitan juga penghapus dosa2 kecil sekiranya kita redho dengan ujian tersebut.  

Alhamdulillah.. setelah bertahun menunggu giliran operation membuang tonsil & setelah 3 kali operation tertunda disebabkan pelbagai sebab... Sebelum ini MaDiHaA pernah ceritakan perkara ini dalam entry  di sini.  Alhamdulillah akhirnya hari Rabu 4hb Mac 2015 baru2 ini en. suami telah pun selamat menjalani pembedahan membuang kedua2 belah tonsilnya yang mengalami masalah bengkak sepanjang masa yang dah bertahun2 lamanya.  Tiada apa yang dapat diucapkan selain doa tidak putus semoga en. suami cepat sihat & semoga kesihatannya bertambah baik selepas ini. Amin...


Ini gambar semasa en. suami di tahan di ICU sejurus selepas operation berakhir.  Terpaksa dihantar ke wad ICU untuk pemerhatian & pemantauan doktor kerana en. suami mengalami masalah pernafasan.  Syukur segalanya dah berakhir.  Hanya semalaman ni ICU kemudian esoknya dihantar ke wad biasa. Selepas beberapa malam di wad, akhirnya dibenarkan pulang.  Lega sangat bila suami dibenarkan discaj.  Tak perlu lagi ulang alik ke hospital. Kasihan anak2 sebab tak dapat ikut sama ke hospital kerana kanak2 tidak dibenarkan melawat.  Ibu doakan moga abang cepat sembuh. Amin..

Tuesday, March 3, 2015

Pulut Kuning Berhias 'Stack' *Tempahan*

Assalamualaikum & salam sejahtera....



Hari ni kongsi gambar pulut kuning berhias tempahan customer yang pertama dalam tahun 2015 ni.  Maafkan MaDiHaA terpaksa tolak tempahan customer yang sebelum2 ni kerana hujung tahun 2014 tempohari MaDiHaA kurang sihat sebab baru lepas menjalani pembedahan.  Sekarang ni setelah hampir 2 bulan lebih.. sekarang baru rasa ada kekuatan & keyakinan untuk kembali aktif menerima tempahan.  Terima kasih pada semua customer yang sudi menempah dengan MaDiHaA ye. Walaupun dah mula terima tempahan, tapi MaDiHaA terpaksa juga hadkan tempahan sebab jika hari bekerja MaDiHaA memang tak sempat nak buat tempahan. Hanya untuk hujung minggu sahaja yang MaDiHaA terima. Itupun jika tarikh yang dikehendaki kebetulan MaDiHaA tidak ada hal lain ataupun balik ke kampong atau melawat anak di asrama.  Apa2pun, jika ada yang berminat, boleh hubungi MaDiHaA dahulu untuk sebarang pertanyaan ye. Boleh hubungi MaDiHaA di talian 019-3171150.

Ini adalah tempahan kali ke dua Kak Zaidah.  Kali ni beliau maukan pulut yang bersaiz besar sikit dari yang ditempah sebelum ni boleh tengok kat SINI.  Menggunakan pulut sebanyak 2.2kg dapatlah menghasilkan pulut bersaiz 11 inci & tingkat atas stack tu lebih kurang 4.5 inci.  Kak Zaidah minta hiasan bunga penuh, jadi itulah hasilnya yang dapat MaDiHaA terjemahkan.  Syukurlah kak Zaidah suka dengan hasilnya. Minta maaf sekiranya ada yang terkurang ye kak.  Terima kasih sekali lagi kerana tak serik menempah dengan MaDiHaA. Masa MaDiHaA MC hari tu kalau ikutkan kak Zaidah ada juga nak tempah satu lagi pulut kuning... terpaksa ditolak sebab kesihatan MaDihaA belum mengizinkan. hihi..

Jumpa lagi. Terima kasih.



Monday, March 2, 2015

Kek/ Bingka Ubi Kayu

Assalamualaikum & salam sejahtera...





Hari ni MaDiHaA nak kongsikan resepi Bingka Ubi Kayu yang agak berbeza sikit dari resepi bingka yang biasa.  Ini kerana dalam resepi diletakkan juga 2 sudu teh baking powder.  Yang sebenarnya.. nama resepi asal ialah Kek Ubi Kayu.  Tapi teksturnya tidaklah gebu seperti kek. Ia lebih kepada bingka... jadi memandai MaDiHaA letakkan nama resepi ni Kek/Bingka... Harap tuan resepi tak marah ye.  Resepi ni MaDiHaA ambil dari Fotopages kak Rusnah.  Sebenarnya... banyak juga resepi2 yang kak Rusnah kongsi menjadi ikutan MaDiHaA sebab agaknya mungkin citarasa kami ni sama kot.. hehe... Pantang kak Rus tayang gambar & kuih.. mesti nak cuba juga.  Tapi tak kurang juga masih banyak resepi2 yang tak sempat MaDiHaA nak kejar.. almaklumlah.. sifu ramai sangat di alam cyber ni kan.. nampak kat situ terliur, nampak kat sana terliur.. jadi kita buat mana yang termampu ajelah kan... ikut kemampuan badan & kemampuan poket.. hehe...


KEK UBI KAYU / BINGKA UBI KAYU
Sumber : Kak Rusnah Fotopages

Bahan2
4 cawan parutan ubi kayu yg siap diperah
1 cawan gula pasir
2 cawan santan pekat
1 cawan susu cair
4 biji telur
sedikit garam
3 sudu makan butter lembut suhu bilik
2 sudu teh baking powder
1 sudu teh vanilla
sedikit pewarna kuning

Cara2 Menyediakan
1. Panaskan ketuhar dan lengserkan acuan 8x8 dgn butter cair/minyak masak. (MaDiHaA guna 2 acuan. 1 acuan bunga pecah lapan & satu acuan loaf)
2. Pukul gula, butter dan telur sekadar sebati semuanya.
3. Masukkan parutan ubi, baking powder (ditapis), vanilla, santan, susu cair, pewarna kuning dan garam...sebatikan.
4. Tuangkan ke dalam acuan dan ratakan minyak yang timbul di permukaan dan bakar selama 1 jam dgn api atas bawah. (MaDiHaA guna suhu 180C)
5. Biar sejuk sebenar-benar sejuk baru elok bila dipotong.
6. Siap dihidangkan utk minum petang atau sarapan pagi.



Selamat mencuba!

Sunday, March 1, 2015

Puding Coklat Caramel

Assalamualaikum & salam sejahtera...


Entry express hari ni ye teman2.  Sebabnya hari cuti memang tak sempat nak mengadap lappy lama2.  Banyak sangat perkara yang perlu diberi keutamaan.  Jadi tanpa buang masa jom MaDiHaA kongsikan resepi dessert yang amat sedap sekali ni.  Terkenang2 kesedapannya.  Makan sejuk2 lagilah sedap.  

Puding Coklat Caramel ni amat sesuai sekali dijadikan juadah berbuka puasa maupun pencuci mulut untuk tetamu yang datang berkunjung.  Terima kasih pada Chef Hanieliza atau lebih mesra disapa sebagai Kak Liza untuk resepi enak ni ye.  Izinkan MaDiHaA share resepi ini di blog MaDiHaA pula ye.  Sebenarnya dah lama MaDiHaA cuba resepi ni.  Gambar pun kurang memuaskan sebab menggunakan kamera handphone megapixel yang rendah jadi gambar memang tak begitu baik.  Takpelah kan.. yang penting ada bukti yang MaDiHaA perlu cuba resepi sedap ni dan di sini MaDiHaA kongsikan buat teman2 jika ingin mencuba..


PUDING COKLAT CARAMEL
Sumber - FP Hanieliza

Bahan-bahan

Bahan A
½ cawan gula [buatkan caramel masak atas api perlahan hingga bertukar warna]

Bahan B
1 tin susu cair
1 cawan air
4 biji telur
1 s/k esen vanilla
4 s/b gula perang
1 s/b serbuk koko
3 s/b tepung jagung

Hiasan…Buah laici dalam tin

Cara Memasak
1. Gaulkan semua bahan B dan tapiskan dalam loyang yg berisi caramel. (MaDiHa blend kesemua bahan)
2. Kukuskan selama 30 minit dengan api sederhana.
3. Sejukkan dan terbalikkan dalam pinggan besar.
4. Hiaskan dengan buah laici atau sebarang buah koktel. 


Selamat mencuba!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...